Rabu, 4 Disember 2013

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Bangkok kembali tenang buat seketika

Posted:

Bangkok kembali tenang buat seketika

Bangkok kembali tenang buat seketika

BEBERAPA anggota polis berjabat tangan dengan penentang Yingluck selepas tunjuk perasaan di Bangkok dihentikan buat sementara waktu semalam.


BANGKOK - Polis Thai semalam tidak melakukan halangan di bebe- rapa pejabat kerajaan semalam, sekali gus tiada pertempuran berlaku dengan para penunjuk perasaan antikerajaan.

Polis menyatakan, pihaknya tidak lagi menggunakan kekerasan terhadap para penunjuk perasaan yang mahu menggulingkan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.

Perubahan taktik itu dibuat sele- pas berlaku pertempuran ganas antara kedua-dua pihak sehingga polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air serta peluru getah.

Keadaan tenang itu berlaku ketika negara ini bersedia untuk meraikan ulang tahun keputeraan Raja Bhumibol Adulyadej yang ke-86.

"Terdapat persefahaman bahawa keadaan mesti tenang pada hari bertuah itu," kata Ketua Majlis Keselamatan Kebangsaan, Paradorn Pattanatabut kepada agensi berita AFP.

"Ia merupakan tanda-tanda yang positif dan perbincangan akan dibuat selepas ulang tahun keputeraan itu berakhir.

"Masalah yang berlaku di negara ini akan mengambil masa menerusi perundingan," tambahnya.

Tunjuk perasaan anti-Yingluck itu berlangsung sejak 24 November lalu.

Para penunjuk perasaan mahu menggantikan kerajaan pimpinan Yingluck dengan satu majlis rakyat.

Empat orang terbunuh dan 250 orang cedera dalam pertempuran ganas yang berlaku sejak Sabtu lalu.

Ketua penunjuk perasaan, Suthep Thuegsuban berikrar akan menggulingkan Yingluck yang dianggap boneka kepada bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra.

Thaksin merupakan abang Yingluck.

Yingluck merupakan pemimpin parti Pheu Thai.

Thaksin digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2006 sebelum didapati bersalah atas tuduhan rasuah dua tahun kemudian. - Agensi

Pihak berkuasa nafi Walker terlibat lumba haram

Posted:

Pihak berkuasa nafi Walker terlibat lumba haram

Pihak berkuasa nafi Walker terlibat lumba haram


GAMBAR fail menunjukkan kereta Porsche yang dinaiki Walker musnah di lokasi nahas di tepi jalan di Valencia pada Sabtu lalu.


LOS ANGELES - Beberapa pegawai penguat kuasa kelmarin menolak dakwaan pelakon filem Fast & Furious, Paul Walker terbunuh ketika menaiki kereta yang didakwa terlibat dalam perlumbaan haram di sini pada Sabtu lalu.

Ketika kejadian, Walker, 40, menaiki kereta Porsche yang dipandu rakannya, Roger Rodas sebelum kenderaan tersebut melanggar sebatang tiang lampu dan pokok sebelum meletup di tepi sebatang jalan raya.

Had laju yang dibenarkan di lokasi kemalangan itu ialah 72 kilometer sejam.

Kejadian itu berlaku di Valencia, 48 kilometer dari bandar raya Los Angeles.

Sebelum ini, beberapa saksi di kawasan kejiranan dekat lokasi nahas tersebut mendakwa kereta itu dipandu dengan laju.

Bagaimanapun, beberapa pegawai penguat kuasa menyatakan hanya kereta Porsche yang dinaiki Walker dan Rodas melalui jalan raya tersebut pada waktu kejadian.

Para penyiasat turut memperoleh keterangan daripada beberapa saksi yang menyatakan bahawa mereka hanya melihat kereta Porsche itu di lokasi nahas.

Seorang jurucakap Pejabat Koroner Los Angeles kelmarin berkata, keputusan bedah siasat ke atas mayat Walker juga akan didedahkan tidak lama lagi.

Para penyiasat juga sedang melakukan siasatan bagi mengetahui tahap kelajuan kereta tersebut sebelum nahas.

Rakan Walker itu mempunyai syarikat menjual kereta yang terletak tidak jauh dari lokasi kemalangan.

Dalam pada itu, satu rakaman video keselamatan merakamkan detik-detik kereta Porsche itu melanggar tiang lampu dan pokok.

Rakaman itu yang disiarkan di internet menunjukkan asap kelihatan sebelum letupan berlaku di lokasi nahas.

Walker membintangi siri filem Fast & Furious yang menceritakan tentang perlumbaan kereta jalanan. - Agensi

Lelaki tabur wang kertas ditangkap

Posted:

Lelaki tabur wang kertas ditangkap

Lelaki tabur wang kertas ditangkap


PULUHAN keping wang kertas bertaburan di atas pentas ketika sebuah kumpulan membuat persembahan di pasar raya Mall of America di Bloomington pada Jumaat lalu. Gambar kanan Vorobyov.


BLOOMINGTON, Amerika Syarikat - Seorang lelaki, Serge Vorobyov menaburkan puluhan keping wang kertas berjumlah AS$1,000 (RM3,215) dari tingkat empat pasar raya Mall of America di sini pada Jumaat lalu.

Dia kemudian ditangkap polis dan didakwa melakukan perbuatan yang tidak senonoh kerana tindakannya itu boleh menyebabkan orang ramai cedera kerana merebut wang tersebut.

Vorobyov turut menyiarkan rakaman video yang menunjukkan dia membuang wang itu.

Lelaki berkenaan memberitahu di laman sosial itu bahawa dia kini dilanda krisis perceraian dengan isterinya menyebabkan perbuatan tersebut dilakukan.

Vorobyov menganggap nasibnya pada tahun depan akan bertambah baik selepas dia membuang wang itu ketika sebuah band sedang membuat persembahan.

Lelaki itu yang berusia 29 tahun menyatakan tujuannya berbuat demikian untuk mewujudkan perasaan gembira dalam kalangan orang ramai.

Selain bercerai, dia juga gagal dalam perniagaan mengangkut kereta dengan trak.

Dia turut menyatakan perasaan gembiranya dengan perbuatannya itu.

Ketika menceritakan tentang perceraian itu, lelaki berkenaan memberitahu: "Saya tidak mempunyai banyak wang untuk membeli banyak barang. Saya kini mengharungi perceraian yang dahsyat. Dia (isterinya) turut mengambil kucing kami. Dia enggan memberitahu di mana kucing itu kini."

Polis berkata, Vorobyov melakukan perbuatan itu sebagai salah satu cara untuk memujuk bekas isterinya kembali kepadanya. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Menangis mengenangkan pekerjaan lama

Posted:

Menangis mengenangkan pekerjaan lama

Menangis mengenangkan pekerjaan lama

KENANGAN lama yang menerjah masuk di kotak fikiran, mengalirkan isyarat pada hati dan seterusnya menyebabkan air mata pelakon jelita Christina Suzanne tumpah tatkala ditemu bual media usai menggenggam trofi kemenangan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Filem (menerusi filem KIL) pada Anugerah Skrin 2013 (ASK2013) minggu lalu.

Bukan satu kemenangan kecil tetapi Christina berjaya mengetepikan nama-nama besar seperti Nora Danish (Mencari Cinta), Nadia Aqilah (Zaiton Ceritaku), Lisa Surihani (SAM) dan Jojo Goh (29 Februari) untuk dinobatkan sebagai terbaik pada majlis yang bersiaran secara langsung di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor itu.

Hakikatnya, pelakon berusia 27 tahun itu juga tidak menyangkakan kemenangan tersebut. Dia juga tidak pernah meletakkan dirinya sebagai artis kerana beranggapan lakonan adalah satu cabang pekerjaan untuk dirinya memperoleh pendapatan.

"Saya menangis sebab teringat pekerjaan lama saya. Saya pernah bekerja di pusat komputer (cyber cafe), menjadi pelayan dan juga pramugari.

"Mungkin ramai yang fikir jadi pramugari satu pekerjaan yang glamor seperti berlakon tetapi sebenarnya tidak. Saya kena buat macam-macam termasuk mencuci tandas kapal terbang," ujarnya sambil mengesat air mata yang tumpah.


CHRISTINA memberitahu, selepas dinobatkan sebagai Pelakon Filem Wanita Terbaik dalam ASK 2013, banyak pihak mula memberi perhatian kepadanya.


Dia kemudia menambah: "Mengingatkan kembali perkara itu membuatkan saya rasa sebak. Lebih-lebih lagi dengan apa yang saya dapat sekarang. Saya tidak meletakkan harapan untuk menang sebabnya saya tercalon dengan empat pelakon yang sudah lama dalam industri. Tambahan pula, filem KIL juga tidak mendapat sambutan yang begitu menggalakkan pada saat ia ditayangkan".

Bagaimanapun, dia gembira dan bersyukur hasil kerjanya dan juga filem tersebut diiktiraf pengiat seni tempatan.

Christina yang bakal berkahwin pada 22 Januari 2014 itu juga mengakui terkejut mendapat perhatian luar biasa selepas namanya diumumkan sebagai pemenang. Sedangkan, selama ini dia tidak pernah meraih perhatian sebegitu, malah tidak pernah berasakan diri sebagai selebriti.

"Tiba-tiba orang beri perhatian pada saya. Sebelum ini tidak ada siapa yang peduli tentang saya," jelasnya yang mula dikenali menerusi program realiti terbitan Datuk Rosyam Nor iaitu Pilih Kasih musim kedua.

Watak pembantu

Biarpun tidak berjaya masuk ke peringkat akhir program tersebut, rezeki Christina dalam bidang lakonan tetap ada selepas disunting oleh pengarah Erma Fatima membintangi drama Dia Bukan Maryam.

"Saya bermula dengan watak-watak pembantu agak lama. Namun, selepas itu saya memperoleh kepercayaan membawakan watak utama pula dalam drama Bicara Hati dan KIL," ulasnya.

Disoal sama ada kemenangannya itu disebabkan rezeki perkahwinan yang bakal berlangsung tidak lama lagi, Christina mengakui hakikat tersebut.

Ungkapnya, kahwin adalah benda yang baik dan dituntut dalam Islam, dan dia percaya rezeki yang dianugerahkan Allah itu kepadanya.

UJAR Christina, sikap demand dirinya bergantung kepada khidmat tawaran yang diberikan.


Hadiah buat ibu

Pelakon berasal dari Johor Bahru itu juga memberitahu, dia ingin menghadiahkan kemenangannya tersebut buat ibunya.

Semuanya kerana berkat sokongan dan kata-kata nasihat yang diberikan ibunya.

"Saya mahu hadiahkan kemenangan ini pada ibu. Sewaktu saya beritahu dia ingin terlibat dalam bidang seni, dia pesan agar saya pandai menjaga diri. Jangan ada gosip bukan-bukan.

"Tetapi, bila saya mula berlakon, kami sudah jarang sekali berbual bersama. Kadang-kadang saya balik penggambaran ibu sudah tidur dan kadang-kadang ibu hendak bersembang saya sudah penat dan tidak begitu mengendahkannya.

Namun, keesokannya saya akan meminta maaf padanya (ibu) kerana bersikap macam itu," ceritanya lagi.

Mengulas mengenai bayaran yang akan dikenakan selepas beroleh kemenangan tersebut, Christina menolak untuk bersikap demanding.

Katanya, perkara itu bergantung pada berapa lama masa penggambaran yang diambil atau jika memerlukannya berlakon di luar negara.

Jason Statham pertama kali jadi bapa

Posted:

Jason Statham pertama kali jadi bapa

Jason Statham pertama kali jadi bapa

FIGURA sasa ini kini muncul dengan filem terbaharu lakonannya, Homefront.


NAMA Jason Statham bukanlah asing dalam kalangan penggemar filem Hollywood. Antara filem lakonannya The Transporter dan The Expendables. Terbaharu, teman lelaki kepada model dan pelakon terkenal, Rosie Huntington-Whiteley ini hadir dengan filem penuh aksi, Homefront.

Melalui filem itu, Jason menjayakan watak seorang bekas pegawai pentadbiran penguatkuasaan dadah, Phil Broker yang mengambil keputusan untuk membesarkan anak perempuannya jauh di pedalaman setelah kematian isteri tercinta.

Malangnya, konflik mula tercetus apabila anak perempuannya, Maddy dibuli oleh seorang pelajar lelaki di sekolah dan bapa saudara pelajar itu merupakan pengedar dadah terbesar yang masih belum diberkas oleh polis.

Ketika ditemu bual oleh Julie Miller daripada majalah Vanity Fair, Jason mendedahkan bahawa ini merupakan kali pertama dia memegang watak sebagai seorang bapa dan bekerja dengan Sylvester Stallone yang bertindak sebagai produser bersama.

"Ia merupakan sesuatu yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini. Walaupun saya bukan seorang bapa tetapi saya banyak belajar dan melihat cara bagaimana seorang bapa melayan anaknya. Untuk filem ini, saya rasa perlu bagi watak Phil untuk berbicara dengan anaknya Maddy seperti orang dewasa.

"Cara Sly (Sylvester) bercakap dengan anak-anaknya juga sama seperti cara dia berbual dengan saya. Sebagai salah seorang produser, dia sentiasa mahukan saya memainkan watak yang berbeza setiap kali muncul dengan filem baharu," ujarnya.

Ketika ditanya mengenai respons Sylvester terhadap mutu lakonannya, Jason memberitahu, Sylvester banyak membantunya dalam menjiwai watak ketika sesi latihan sebelum bermulanya sesi penggambaran Homefront.


FILEM Homefront menggandingkan Jason dengan dua bintang terkenal, James Franco (tengah) dan Winona Ryder.


Jason turut memberitahu, watak yang dibawanya itu pada asalnya ditulis untuk Sylvester sebelum dirombak dan diberikan kepadanya.

"Saya cuba memberikan yang terbaik sewaktu sesi latihan kerana untuk menjadi diri Sly adalah sangat sukar. Dia memberikan pengaruh yang besar terhadap karier saya terutama dengan apa yang dia tulis. Saya tak mahu menjahanamkannya!

"Ketika sesi penggambaran, dia akan berada bersama saya. Jika apa yang keluar daripada mulut saya tidak kena dengan apa yang dia inginkan, Sly akan mengubah pada waktu itu juga supaya sesuai dengan perjalanan filem," ujarnya yag menyifatkan Sly begitu komited dalam kerjayanya.

Tambah Jason, walaupun Sylvester terkenal dengan sifatnya yang lasak, pelakon yang terkenal dengan watak Rocky itu mempunyai sisi lain yang sangat berbeza.

"Bekerja dengannya sungguh mengujakan. Dia terkenal dengan gaya lasak seperti menggantungkan diri pada helikopter dan menembak menggunakan senapang tetapi dia juga sensitif dan kreatif dalam membuat keputusan.

"Dia menggunakan sifat-sifat itu untuk mewarnai filem ini dengan memberikan subplot sedikit kemanisan antara hubungan saya dan anak perempuan saya," ujar Jason.

Menurutnya lagi, individu yang tidak mengenali Sylvester mungkin akan berfikir bahawa dia sering terikat dengan emosi yang dimainkan ketika berlakon sedangkan itulah hakikatnya.

"Itulah yang menggambarkan siapa Sylvester yang sebenarnya," tegasnya.

Jozan bakal pentaskan Jozan The Musical

Posted:

Jozan bakal pentaskan Jozan The Musical

Jozan bakal pentaskan Jozan The Musical

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL

JOZAN yang dianggotai oleh Zizan (kiri) dan Johan hanya ketawa apabila didakwa bergaduh. Hakikatnya hubungan mereka baik walaupun jarang bertemu.


WALAUPUN pernah tidak berjumpa selama setahun, Johan dan Zizan masih akrab dan serasi apabila bergabung sama seperti apa yang dilihat oleh masyarakat. Justeru, dakwaan kononnya mengatakan Jozan bergaduh, merupakan satu dakwaan yang dilihat sebagai satu fitnah yang ingin memecah-belahkan kedua pelawak tersebut.

Dakwaan seorang penerbit yang mengatakan Jozan sudah tidak sehaluan beberapa minggu lalu disangkal oleh Johan sekerasnya.

Bagaimanapun, 'kehilangan' Jozan dalam beberapa program seakan-akan menguatkan dakwaan tersebut. Apa yang pasti, Jozan punya alasan kukuh tentang 'ketiadaan' mereka muncul di kaca televisyen.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Johan yang ternyata kesal dengan dakwaan yang sama sekali tidak benar itu.

Kosmo!: Baru-baru ini muncul dakwaan tentang hubungan Jozan retak. Adakah kejutan di Akademi Fantasia 2013 (AF2013) baru-baru ini, merupakan cara Johan ingin berbaik semula bersama Zizan?

JOHAN: Kejutan tersebut bukan untuk memujuk dan berbaik semula. Namun hakikatnya, kami sudah setahun tidak berjumpa. Sebenarnya tidak timbul isu tentang kami bergaduh. Saya berjumpa dengan pihak Astro untuk beritahu yang saya memang mahu berjumpa dengan Zizan.

Sebenarnya, Zizan juga ada merancang untuk berjumpa dengan saya sewaktu saya bertanding dalam Super Spontan, namun kerana kesibukan dan komitmen terhadap AF2013 ketika itu, dia terpaksa batalkan. Sebab itu, kami akhirnya bertemu dalam final AF 2013.

Adakah ini bermakna, kalian terlalu sibuk dengan hal masing-masing sehingga tiada masa untuk berjumpa?

Dari segi kehidupan peribadi, sebenarnya saya jarang keluar kerana sering luangkan masa bersama keluarga di rumah. Berbeza dengan Zizan. Dia bujang dan bila-bila masa sahaja dia boleh keluar. Begitu juga ketika kami terbabit dalam Maharaja Lawak, saya jarang berjumpa dengan Zizan.

Namun, kami berjaya menghasilkan sesuatu yang baik ketika bersama walaupun jarang berjumpa. Itu yang merapatkan kami berdua kerana saya tahu dia mahu buat apa dan begitu juga sebaliknya. Itulah sebenarnya kekuatan Jozan.


JOZAN memberitahu, mereka bersedia untuk mementaskan lawak mereka di Istana Budaya.


Jika begitu, bagaimana kalian berjumpa untuk membuat latihan atau sebagainya?

Kami sering berkomunikasi melalui telefon. Jika ada mesyuarat dan perjumpaan, kebiasaannya pengurus kami yang akan menguruskan perkara tersebut. Namun, Zizan faham akan keadaan saya yang sudah berkeluarga ini.

Jika ingin dikira berapa kali saya lepak minum bersama Zizan, mungkin dua tahun sekali? Istilah Jozan bergaduh untuk saya adalah perkara yang tidak elok dan saya tahu siapa yang mengeluarkan kenyataan tersebut.

Jadi, mengapa pihak tersebut membuat kenyataan sedemikian?

Mungkin dia tidak puas kerana Jozan tidak mahu bekerjasama dengan pihaknya, itu sahaja. Apabila kami tahu, kami anggap perkara ini remeh. Jozan ketawa dengan apa yang dia kata. Setiap apa yang saya katakan, mewakili Jozan dan begitu juga Zizan. Kami mengeratkan hubungan kami dengan cara kami tersendiri. Bukan dengan menunjuk di khalayak, itu bukan cara kami.

Adakah anda tidak akan bekerjasama dengan pihak tersebut?

Saya tidak suka layan gosip dan kritikan orang. Bukan saya yang keluarkan kenyataan Jozan sudah berpecah tetapi pihak tersebut. Kami hanya ketawa apabila perkara tersebut sampai ke telinga kami. Bagaimanapun, kami tidak akan menyimpan dendam serta masih menghormatinya sebagai seorang yang telah lama dalam industri. Ini kerana, industri kita kecil, pusing-pusing akan jumpa orang yang sama juga.

Anda tidak pernah terfikir untuk berjumpa dan membalas kenyataan tersebut?

Itu bukan cara Jozan. Selagi dia tidak mengganggu keluarga dan punca rezeki saya, tiada masalah dan begitu juga Jozan. Secebis pun tidak memudaratkan reputasi Jozan pada hakikatnya. Itu merupakan percakapan kosong kerana sebelum ini juga ada cerita seumpama ini keluar. Namun, kami hanya biarkan ia berlalu pergi. Apabila kita menutup aib orang, Allah akan menutup aib kita kelak, insya-Allah.

Mungkin boleh ceritakan perancangan Jozan selepas ini?

Selepas ini mungkin kami bakal menerbitkan teater Jozan The Musical pada tahun depan di Istana Budaya. Bukan kerana ingin bersaing, namun kerana ingin memberi hadiah kepada peminat yang telah lama merindukan gabungan kami berdua di atas pentas. Mungkin kerana itu, kami kurang muncul di khalayak kini kerana ingin beri peminat rindu dan tidak bosan dengan kami.

Kredit: www.kosmo.com.my

Selasa, 3 Disember 2013

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Cara baharu tarik pembaca

Posted:

Cara baharu tarik pembaca

Cara baharu tarik pembaca

BEROPERASI sejak 15 tahun lalu, Readers Paradise di Ampang Point, Ampang, Selangor menjadi tumpuan warga kota untuk mendapatkan bahan-bahan bacaan.

Gedung tersebut menawarkan perkhidmatan sewaan buku dan antara judul buku yang banyak disewa oleh para pembaca ialah novel berbahasa Melayu dan Inggeris.

Dengan keadaan kedai yang semakin sempit dengan 20,000 buah buku pelbagai judul itu, pemiliknya, Khadijah Abdul Hamid, 54, menjadi tidak keruan. Apabila pembaca memulangkan buku-buku yang dipinjam, tiada ruang untuk menyimpan buku-buku itu.

Ditambah pula, setiap keluaran terbaharu novel tempatan dan antarabangsa, Khadijah akan membeli lima buah buku judul yang sama untuk diletakkan di kedainya bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Lambakan buku di kedainya menyebabkan Khadijah berusaha sedaya-upaya mencari jalan untuk melupuskan buku-buku yang masih baik itu.

"Saya mula menyertai Jualan Buku But Kereta Perbadanan Kota Buku (PKB) di Perpustakaan Negara, Kuala Lumpur sejak enam bulan lalu. Sepanjang acara ini, sambutan daripada pengunjung di gerai Readers Paradise amat menggalakkan," ujarnya ketika ditemui semasa jualan buku but kereta anjuran PKB baru-baru ini.

Menurut Khadijah, acara tersebut merupakan platform terbaik untuknya menjual judul novel baharu dan lama kepada pembaca.

Tanpa memerlukan meja, Khadijah yang dibantu oleh anaknya yang hanya meletakkan kira-kira 200 judul novel di atas karpet dan tikar di belakang but kereta miliknya.

Setiap novel dijual pada harga RM5 dan kebanyakan pelanggannya terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat yang minat membaca.

Walaupun murah jika dibandingkan dengan harga pasaran, novel yang dijual masih dalam keadaan baik tanpa sebarang cacat cela. Setiap buku dibalut dengan plastik bagi menjamin kualiti untuk dijual kepada pembaca.


KHADIJAH menunjukkan beberapa judul novel klasik yang dijual di gerai Readers Paradise.


"Selain menjual buku, saya juga berpeluang memberi maklumat mengenai gedung Readers Paradise kepada pembaca. Saya juga akan memberi cadangan kepada pembaca mengenai judul-judul novel yang bersesuaian dengan minat dan umur mereka.

"Kebanyakan pembaca yang hadir ke program ini meminati novel-novel bahasa Melayu. Ada yang mencari naskhah daripada penulis terkenal, tidak kurang pula yang meminati karya penulis baharu. Pembaca mempunyai banyak pilihan novel sepanjang acara ini berlangsung," jelasnya.

Antara nama penulis novel lama dan baharu yang menjadi pilihan pembaca pada jualan buku but kereta Readers Paradise ialah Sharifah Abu Salim, Abdul Rahim Awang dan Siti Rosmiza.

Tambah pendapatan

Menurut Khadijah, novel lama bertajuk Pulang dan Boneka hasil nukilan Abdul Rahim Awang merupakan antara judul yang mendapat perhatian mereka yang meminati karya penulis itu.

Beliau berjaya mengurangkan jumlah buku di kedainya selain dapat menambah pendapatan sehingga RM300 sepanjang menyertai program tersebut.

"Selain menjual, saya dan rakan-rakan peniaga lain bertukar-tukar membeli buku antara satu sama lain. Suasana itu berbeza dengan perniagaan di kedai.

"Urus niaga di kedai berlangsung antara pelanggan dan pembaca. Tetapi di sini, saya dapat bertukar-tukar pendapat mengenai industri buku walaupun kami bukanlah penerbit buku di syarikat penerbitan," ujarnya.

Readers Paradise menjadi tumpuan penggemar buku terpakai di acara itu. Pada harga yang murah, pembaca dapat membeli lebih sebuah novel lama dan baru untuk dibawa pulang.

Selain Readers Paradise, dianggarkan sebanyak 15 buah kereta terlibat dengan acara bulanan PKB itu.

Jualan Buku But Kereta PKB dianjurkan sejak setahun lalu dengan menjadikan kawasan tempat letak kenderaan Perpustakaan Negara sebagai lokasi utama.

SETIAP urus niaga di Jualan Buku But Kereta anjuran PKB dijalan secara santai bagi memudahkan peniaga dan pembeli.


Pembacaan puisi

PKB juga tidak mengenakan sebarang caj untuk tapak perniagaan kepada peniaga yang ingin membuka gerai di situ. Aktiviti yang dianjurkan pada setiap hujung bulan ini juga merupakan matlamat terbesar PKB iaitu sebagai pusat sehenti bagi menghimpunkan kegiatan industri buku yang melibatkan pembaca, penulis dan penerbit.

Acara pembacaan puisi daripada pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi dan penggiat seni tempatan juga merupakan pengisian yang mewarnai sepanjang acara itu.

Seorang pengunjung, Mohd. Nazim Abdul Aziz, 41, memberitahu, acara Jualan Buku But kereta merupakan platform terbaik untuk memupuk minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menurut kakitangan awam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang yang sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Terbuka Malaysia itu, dia amat gembira dengan usaha yang dilakukan oleh pihak PKB dalam usaha untuk memberi ilmu mengenai industri penerbitan tempatan.

"Kunjungan saya ke Perpustakaan Negara untuk mengadakan perbincangan pelajaran dengan rakan-rakan lain. Jualan Buku But Kereta ini telah menarik perhatian saya dan keluarga. Di sini, saya juga berpeluang membeli pelbagai judul novel dan buku-buku lain untuk anak-anak.

"Saya jarang mendengar dan mengunjungi acara-acara seperti ini. Kebiasaannya, saya akan membawa keluarga terus ke kedai-kedai buku. Bagi saya, acara ini merupakan cara baharu untuk menarik pembaca membeli buku lebih-lebih lagi di Perpustakaan Negara ini," ujarnya yang berasal dari Kuantan, Pahang.

Menurutnya, kepelbagaian bahan bacaan seperti buku-buku agama, novel, rujukan kanak-kanak dan buku terpakai yang dijual semasa acara itu merupakan tarikan utama untuk pengunjung di acara itu.

Sementara itu, seorang lagi peserta yang terlibat dalam Jualan Buku But Kereta PKB, Siti Aminah Mohd. Said, 35, berkongsi cerita, setiap buku yang dijual akan diberi potongan harga sehingga 20 peratus sepanjang acara itu.

Menurut pemilik penjual buku menerusi akaun Facebook, Al-Qawwiy Online Bookshop itu, diskaun itu merupakan tawaran istimewa hanya kepada pengunjung di acara tersebut.


WAKIL daripada syarikat penerbitan mendeklamasikan sajak dan puisi dengan penuh semangat sekali gus menarik perhatian pengunjung.


Promosi karya

"Sepanjang tiga bulan saya menyertai acara ini, saya membawa kira-kira 200 buah buku untuk dijual dan kebanyakan habis dijual. Jualan Buku But Kereta merupakan satu langkah bijak PKB untuk membantu penjual buku mempromosikan hasil karya penulis tempatan," ujarnya.

Antara novel daripada syarikat penerbitan yang dijual oleh Al-Qawwiy Online Bookshop di acara itu ialah Fajar Pakeer, Kaki Novel, Idea Kreatif, Lovenovel dan Buku Fixi.

Kebiasaannya, kereta Perodua Kelisa biru miliknya merupakan pengangkutan utama untuk membawa ratusan novel itu ke Jualan Buku But Kereta.

Menurutnya, kombinasi pelbagai judul buku dan syarikat penerbitan tempatan yang dijual mampu memberikan gambaran bahawa industri buku di negara ini kepada pengunjung.

"Menerusi acara ini, pengunjung sering bertanya mengenai buku-buku keluaran terbaharu kepada saya. Kebanyakan daripada mereka membeli dan merupakan peminat buku-buku tempatan. Acara ini juga merupakan medan perkongsian ilmu sesama insan," ujarnya yang turut dibantu oleh suami, Abdul Halim Mamat, 35.

Antara judul buku yang dijual oleh Al-Qawwiy Online Bookshop yang mendapat permintaan hangat daripada pengunjung ialah Awek Pisang Goreng, Lafaz Cinta Di Jari Manis Isteri Untuk Disewa dan Suamiku Mr. Blind.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Infiniti

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Aplikasi sosial hindar kesesakan trafik

Posted:

Aplikasi sosial hindar kesesakan trafik

Aplikasi sosial hindar kesesakan trafik

PADA setiap waktu puncak, Nor Syazwani Idris, 24, sering tertanya apakah cara untuknya mengelakkan diri daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang meletihkan.

Keadaan berubah apabila dia diperkenalkan dengan aplikasi Waze di telefon pintarnya melalui seorang rakan sekerja. Kali pertama menggunakan aplikasi tersebut, perjalanannya menjadi lebih lancar dan menjimatkan masa.

Nor Syazwani memberitahu, sejak mengetahui keberkesanan aplikasi itu, dia terus jatuh hati dan menggunakannya di luar waktu bekerja, terutamanya ketika berjalan-jalan di luar Kuala Lumpur.

"Memandangkan saya berasal dari Sarawak dan tugas saya sebagai seorang pegawai perhubungan awam di ibu kota memerlukan saya sentiasa keluar pejabat, aplikasi ini amat membantu. Ia bukan sahaja mudah digunakan tetapi turut memaklumkan arah tuju destinasi yang dikehendaki.

"Fungsi Waze yang membantu pemandu kenderaan sampai ke lokasi dengan tepat membantu menjimatkan masa pemanduan," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Dia menambah, sebelum menggunakan aplikasi tersebut dia telah menggunakan aplikasi dan teknologi perkhidmatan pemetaan Google Map. Namun baginya, Waze lebih membantu dari aspek menyalurkan maklumat semasa yang penting berkaitan pemanduan seperti kesesakan, kemalangan dan sekatan jalan raya.

PENUNGGANG motosikal juga tidak ketinggalan menggunakan aplikasi ini bagi memudahkan perjalanan mereka.


Selain itu, Waze juga memberi jalan alternatif kepada pengguna bagi memudahkan perjalanan.

"Satu lagi kelebihan aplikasi ini ialah setiap pengguna Waze juga berpeluang berkongsi maklumat tentang situasi lalu lintas lokasi yang dilalui. Ini secara tidak langsung membantu pemandu lain untuk mengubah laluan agar tidak terperangkap dalam kesesakan yang mungkin memakan masa berjam-jam lamanya," ujar Nor Syazwani.

Dalam pada itu, lain pula manfaat yang dialami seorang wartawan di sebuah syarikat penerbitan majalah swasta, Azimah Zulkafli yang menggunakan aplikasi tersebut ketika menunggang motosikal menuju ke lokasi tugasan di sekitar Lembah Klang.

Perspektif penunggang

Lazimnya tugas sebagai seorang wartawan memerlukan mereka sampai ke tempat tugasan pada kadar segera agar tidak terlepas tugasan yang diberikan dan ini secara amnya akan mempengaruhi penulisan bahan berita dengan lebih baik.

Bagi Azimah yang baru sahaja berpindah dari Pulau Pinang ke Shah Alam, agak sukar untuknya sampai lebih awal ke lokasi tugasan. Lebih-lebih lagi apabila mendapat beberapa tugasan di lokasi yang berbeza dalam sehari.

"Menggunakan Waze ketika membonceng motosikal kedengaran seperti suatu langkah berbahaya. Oleh itu, sebelum memulakan perjalanan, saya terlebih dulu menetapkan lokasi yang ingin dituju dan hanya mendengar arahan arah jalan melalui alat pendengar yang dipasang di telinga dan memasukkan telefon pintar ke dalam poket seluar.

"Dengan adanya aplikasi ini, saya dapat merancang waktu perjalanan ke tempat tugasan seterusnya. Setakat ini aplikasi ini antara yang terbaik yang pernah digunakan," ujarnya.

APLIKASI ini membantu pengguna jalan raya mendapat panduan laluan ke destinasi yang dituju dengan mudah dan pantas.


Jalan keluar

Azimah menambah, pada peringkat awal bekerja, dia sering lewat ke tempat tugasan kerana sering kali tersesat. Ini menyebabkan hasil kerjanya terganggu.

Tetapi sejak menggunakan aplikasi Waze lima bulan lalu, kesemua urusan kerja dan perancangan perjalanan menjadi mudah dan lebih teratur.

Sementara itu, bagi selebriti, Nadia Haswani Hasnan atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, Nadia Hasnan, Waze dijadikan aplikasi wajib untuknya ketika melancong ataupun ke lokasi penggambaran di luar kawasan Kuala Lumpur.

"Ketika bercuti bersama keluarga di Pulau Pinang baru-baru ini, saya tersalah jalan kerana keliru ketika membaca papan tanda. Namun kami bernasib baik setelah ibu mencadangkan untuk menggunakan aplikasi ini.

"Waze telah memaparkan peta dan panduan ke destinasi yang ingin dituju. Selain itu, ia juga sebuah aplikasi yang sangat membantu pengguna dan mampu menunjuk jalan keluar jika tersesat," jelasnya.

Menurutnya, Waze bukan sekadar sebuah aplikasi berdasarkan sistem penentu kedudukan global (GPS), bahkan juga sebagai tempat berhubung dengan pengguna lain yang melalui jalan sama.

"Satu lagi tarikan ialah ia bukan sahaja memberi manfaat besar kepada pengguna jalan raya, malah aplikasi ini boleh didapati secara percuma dan boleh dimuat turun aplikasi App Store dan Google Play pada peranti pintar pengguna," katanya.

Kemalangan industri terburuk China

Posted:

Kemalangan industri terburuk China

Kemalangan industri terburuk China


KEJADIAN itu turut mengakibatkan kerosakan infrastruktur dan kenderaan yang teruk.


MINGGU lalu, penduduk Qingdao, China digemparkan dengan letupan paip minyak milik syarikat kerajaan, Sinopec, yang mengakibatkan kematian 55 orang penduduk.

Ia merupakan salah satu kemalangan industri paling besar di China pada tahun ini. Dua letupan kuat itu menyebabkan kerosakan teruk jalan raya di kawasan bandar sehinggakan kereta-kereta terbalik dan rosak. Bangunan berhampiran turut menerima kesan dengan tingkap-tingkapnya pecah.

Keadaan bertambah buruk apabila tumpahan minyak melimpah selama 15 minit ke jalan raya dan kawasan pelabuhan berhampiran sebelum ia sempat ditutup.

Menurut laporan media tempatan, saluran minyak itu pada awalnya bocor dan meletup sebanyak dua kali ketika pekerja-pekerja Sinopec sedang membaiki kebocoran itu.

Kebakaran di beberapa kawasan akibat letupan itu memaksa 100 orang ahli bomba dikerah untuk bertindak.

Seorang pejalan kaki yang melalui kawasan itu terselamat daripada menjadi mangsa korban walaupun kakinya terputus manakala kepala seorang mangsa lain remuk dihempap serpihan konkrit.

"Sebelum ini, saya hanya melihat kejadian seperti ini dalam dokumentari-dokumentari bencana," kata seorang pekerja penyelamat yang mahu dikenali sebagai Xue kepada agensi berita Xinhua.

Tumpahan minyak

Teluk Jiaozhou dicemari dengan tumpahan minyak mentah yang telah merebak ke kawasan seluas 3,000 meter persegi.

Sebagai langkah tindakan, helaian fabrik digunakan untuk menyerap minyak, manakala sebuah penghadang sementara dipasang untuk menghentikan tumpahan itu daripada merebak.

Sebanyak 22 buah bot pembersih dan 10 bot menangkap ikan dikerah untuk membersih tumpahan minyak tersebut.

Selain itu, penduduk setempat juga digesa memakai topeng muka sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan berlaku sebarang kesan ekoran terhidu bau toksin minyak yang tumpah itu.


TUMPAHAN minyak yang berlaku memberi kesan terhadap ekosistem dan keadaan persekitaran kawasan Qingdao.


Berikutan bencana tersebut, Presiden China, Xi Jinping menggesa pasukan penyelamat mencari mangsa-mangsa yang hilang. Beliau turut sempat melawat mangsa-mangsa di Hospital Qingdao.

Dalam pada itu, pihak berkuasa telah menyediakan 40,000 sarapan dan makan tengah hari percuma untuk penduduk setempat yang terhimpit akibat terputus bekalan elektrik dan air.

Pengarah Pentadbiran Keselamatan Pekerja, Yang Dongliang berkata, berdasarkan penyiasatan awal, didapati terdapat salah laku serius oleh pekerja Sinopec yang membawa kepada bencana tersebut.

"Paip ini tidak diselenggara dengan baik sehingga membawa kepada kebocoran minyak. Mereka juga tidak mengambil langkah-langkah pencegahan seperti menyekat tumpahan minyak dan memindahkan penduduk setempat," ujarnya kepada media tempatan.

Sehubungan itu, pihak berkuasa telah menahan sembilan orang suspek yang terlibat dalam letupan itu.

Letupan itu memaksa Sinopec yang merupakan salah satu penapis minyak utama Asia, mengurangkan pengeluaran sekurang-kurangnya dari dua kilang penapis di bandar itu.

Wakil syarikat itu meminta maaf di atas bencana yang berlaku dan menyatakan rasa tanggungjawab kepada kecelakaan yang meragut nyawa penduduk setempat dan mengumumkan bahawa ia akan menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian itu.

Phablet pertama keluaran Nokia

Posted:

Phablet pertama keluaran Nokia

Phablet pertama keluaran Nokia


LUMIA 1520 merupakan peranti sempurna untuk golongan profesional yang inginkan telefon dan tablet berteknologi terkini.


SYARIKAT pengeluar peranti telekomunikasi terkemuka dunia, Nokia Corporation (Nokia) optimis dengan pengenalan peranti pintar terbaharu, Lumia 1520 yang dijangka mendapat sambutan menggalakkan daripada penggemar siri peranti Lumia.

Susulan itu, pada Selasa minggu lalu, Nokia Malaysia secara rasminya telah melancarkan peranti pintar phablet iaitu kombinasi tablet dan telefon pintar pertama yang berasaskan Windows Phone 8.

Menurut Ketua Pemasaran Nokia Pan Asia, Gary Chan, produk terbaharu oleh Nokia itu dilihat sebagai rangkaian terbaik dalam siri Lumia dengan teknologi imej yang dipertingkatkan dan skrin yang lebih besar.

"Ia juga terbukti sebagai satu peranti sempurna untuk golongan professional kerana mempunyai skrin hadapan besar yang membolehkan mereka merasai kecanggihan paparan yang terang dan jelas," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Hadir dengan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 800 dan skrin bersaiz 15 sentimeter, Lumia 1520 turut menyediakan kamera belakang yang menawarkan teknologi PureView 20 megapiksel dengan segala proses disokong oleh kad SD mikro.

Selain menghasilkan imej yang lebih jelas, teknologi PureView membantu pengguna merakam, menyunting dan berkongsi gambar serta video berkualiti tinggi.

"Satu lagi tarikan Nokia ialah apabila ia berjaya membawa beberapa aplikasi popular seperti Instagram, Whatsapp dan Vine ke platform Windows Phone 8. Ini seterusnya menawarkan kepelbagaian kepada pengguna setia Lumia," kata Chan.

Syarikat itu turut berkongsi aplikasi Papyrus pada platform Windows Phone 8 yang membolehkan pengguna Lumia 1520 mengambil nota tulisan tangan dengan pantas.

Orang ramai boleh mendapatkan peranti itu bermula awal bulan ini di sekitar Lembah Klang, manakala di kawasan-kawasan lain di Malaysia dijangka pada pertengahan Disember ini.

Walaubagaimanapun, pihak Nokia Malaysia telah membuka tempahan peranti berkenaan sejak Selasa lalu dengan menawarkan rebat bernilai RM160 dan set kepala Coloud Boom pada harga RM129 seunit.

Phablet Lumia 1520 Nokia ditawarkan pada harga RM2,159 seunit dan didatangkan dalam empat warna pilihan iaitu kuning, merah, putih dan hitam.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


KKBUM, Media Bikers raikan pengantin

Posted:

KKBUM, Media Bikers raikan pengantin

KKBUM, Media Bikers raikan pengantin

SEBAHAGIAN ahli KKBUM dan Media Bikers meraikan pasangan pengantin baharu, Nan Mustaqim dan Nurfateena Dinnina di Dengkil, Selangor baru-baru ini.


MERAIKAN MEMPELAI. Sebahagian ahli Kelab Kembara Bermotosikal Utusan Melayu (KKBUM) dan Media Bikers meraikan pasangan pengantin baharu, Nan Mustaqim Nan Azmie dan Nurfateena Dinnina Jaafar di Dewan Orang Ramai, Kampung Dato Haji Ahmad Razali, Dengkil, Selangor baru-baru ini.

Nan Mustaqim, 23, dan Nurfateena, 23, merupakan lepasan Institut Pendidikan Guru Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang yang baru sahaja menamatkan pengajian tahun ini.

Pengantin juga berkesempatan bergambar kenangan dengan ahli KKBUM dan Media Bikers yang berkonvoi menunggang motosikal berkuasa tinggi dari ibu negara.

Pasangan itu selamat diijabkabulkan di kediaman pengantin perempuan di Desa Seri Ampang, Ipoh, Perak pada 22 November lalu.

Warga SMK Kampung Selamat rai persaraan pengetua

Posted:

Warga SMK Kampung Selamat rai persaraan pengetua

Warga SMK Kampung Selamat rai persaraan pengetua


ARSUN (empat dari kanan) bergambar kenangan bersama guru-guru sebelum menanam pokok sebagai tanda kenangan sempena persaraannya di SMK Kampung Selamat, Tasek Gelugor, Pulau Pinang baru-baru ini.


BERSARA. Warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Selamat, Tasek Gelugor, Pulau Pinang meraikan perpisahan Pengetuanya, Arsun Jasin, 56, pada satu majlis khas di sekolah itu baru-baru ini.

Arsun, memulakan kerjaya sebagai seorang guru di SMK Bagan Serai, Perak setelah memperoleh Ijazah Sarjana Muda di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang pada tahun 1984.

Sempena majlis itu, Arsun merasmikan Ruang Bacaan Sedekad Ulang Tahun Ke-10 SMK Kampung Selamat dan menanam sejenis pokok bonsai. Beliau turut menerima pelbagai cenderamata ciptaan pelajar.

Hadir sama Penolong Pegawai Pendidikan daerah Seberang Perai Utara (SPU) Adnan Idris dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Kampung Selamat, Wan Chik Ahmad.

Warga DPP beriadah rentas hutan Bukit Datuk

Posted:

Warga DPP beriadah rentas hutan Bukit Datuk

Warga DPP beriadah rentas hutan Bukit Datuk


SEBAHAGIAN Penduduk DPP Fasa 1, Kajang bergambar beramai-ramai semasa merentas hutan di Bukit Datuk, MARDI, Serdang, Selangor baru-baru ini.


SANTAI. Seramai 30 peserta terdiri daripada penduduk Desa Pinggiran Putra (DPP) Fasa 1, Kajang menyertai aktiviti riadah santai dengan merentas hutan di Bukit Datuk, Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian (MARDI), Serdang, Selangor baru-baru ini.

Walaupun kali pertama diadakan, program anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) DPP Fasa 1 itu mendapat sambutan amat menggalakkan.

Pengarah program, Nor Azah Mohd. Khalid berkata, antara tujuan utama aktiviti tersebut adalah untuk memupuk semangat beriadah dan menghargai alam sekitar dalam kalangan penduduk DPP.

Katanya, Bukit Datuk merupakan satu-satunya kawasan hijau di sekitar Serdang dan puncak tertinggi di daerah itu.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Banjir semakin bahaya

Posted:

Banjir semakin bahaya

Banjir semakin bahaya

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID, SHAHRULANOOR ISHAK dan NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
berita@kosmo.com.my

PENGEMBALA lembu, Alias Abu Bakar membawa lembu milik rakannya di Kampung Bulat Mentuk, Kuala Terengganu ke tempat tinggi semalam.


KUALA LUMPUR - Banjir di tiga negeri akibat hujan lebat berterusan sejak lima hari lalu mengakibatkan lebih 19,000 mangsa di tiga negeri terpaksa dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan.

Di Pahang, senario banjir di negeri itu kian buruk apabila seramai 9,030 mangsa yang melibatkan 2,095 keluarga di lima daerah iaitu Kuantan, Maran, Pekan, Rompin dan Jerantut telah dipindahkan ke 69 pusat pemindahan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat memaklumkan lebih 100 kereta dilaporkan tenggelam di seluruh Pahang.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang turut mengesahkan bandar Kuantan lumpuh apabila kebanyakan laluan jalan raya di sekitar bandar itu dinaiki air melebihi satu meter.

"Kuantan mencatat jumlah mangsa paling ramai iaitu 3,672 orang membabitkan 916 keluarga di 33 pusat pemindahan.

"Di Rompin pula, sebanyak 859 keluarga dengan 3,249 mangsa terlibat dan ditempatkan di 13 pusat pemindahan," katanya ketika dihubungi semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Anjing kesan bukti bunuh

Posted:

Anjing kesan bukti bunuh

Anjing kesan bukti bunuh

Oleh NORLIDA AKMAR IDROS
norlida.idros@kosmo.com.my


SEORANG anggota polis menggunakan anjing pengesan untuk mencari bukti di sekitar kawasan penemuan mayat tiga beradik di Langgar, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR - Polis semalam menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) bagi mencari bukti yang ditinggalkan penjenayah untuk membantu pihak berkuasa itu menjalankan siasatan berhubung kes pembunuhan kejam tiga beradik minggu lalu.

Operasi itu dijalankan di Langgar di sini terutamanya di dua tempat mayat tiga beradik itu ditemui iaitu di bendang dan terusan MADA Kampung Padang Petani serta kawasan sekitarnya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Komplot licik pencuri lima beranak

Posted:

Komplot licik pencuri lima beranak

Komplot licik pencuri lima beranak

Oleh SOFIATUL SHIMA WAN CHIK
sofiatul.wanchik@kosmo.com.my


MOHAN SINGH menunjukkan rantai yang dirampas daripada lima beranak pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Lima beranak bertemu buku dengan ruas selepas kegiatan jahat mereka meragut barangan kemas pengunjung pesta dan Karnival Jom Heboh sejak dua tahun lalu terbongkar apabila kesemuanya diberkas di depan sebuah hotel mewah di Jalan Bukit Bintang di sini Ahad lalu.

Suspek-suspek yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan tiga anak mereka termasuk seorang perempuan berusia antara 13 hingga 52 tahun tersebut diberkas pada pukul 7 malam oleh satu pasukan khas Ops Cantas/Rentap diketuai Asisten Superintendan Ong Seng Keong.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


'Fokus saya tak pernah berubah'

Posted:

'Fokus saya tak pernah berubah'

'Fokus saya tak pernah berubah'

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

KIM SWEE (kanan) berjabat tangan dengan jurulatih FC Ryukyu, Norihiro Satsukawa pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.


TUMPUAN Datuk Ong Kim Swee kini terarah kepada persiapan skuad Harimau Muda A bagi menghadapi Sukan SEA 2013 di Myanmar yang akan membuka tirainya secara rasmi 11 Disember ini.

Justeru, Kim Swee tidak mempunyai sebarang perancangan terhadap skuad Harimau Malaya yang bakal kehilangan khidmat ketua jurulatih, Datuk K. Rajagobal.

Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan melantik Kim Swee sebagai pengendali sementara Harimau Malaya.

Ini kerana FAM tidak menyambung kontrak Rajagobal yang akan tamat pada 31 Disember ini.

"Buat masa ini, saya hanya mahu berikan perhatian kepada pada Sukan SEA di Myanmar.

"Bagi saya... terlalu awal untuk memikirkan tugasan bersama Harimau Malaya untuk aksi menentang Yemen (dalam kelayakan Piala Asia 2015) pada Mac tahun depan.

"Biarlah saya memberikan fokus pada Sukan SEA di Myanmar, itulah perkara paling mustahak buat masa ini," kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pada satu sidang akhbar khas di Wisma FAM, Kelana Jaya kelmarin, Rajagobal dilaporkan berkata, beliau berharap penggantinya mampu menjelmakan keputusan lebih baik apabila membimbing Harimau Malaya nanti.

Menurut Kim Swee, kenyataan Rajagobal itu tidak merujuk kepadanya, sebaliknya beliau menyifatkan 'pesanan' tersebut ditujukan kepada bakal jurulatih baharu Harimau Malaya yang dilantik secara tetap oleh FAM.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya hanya dilantik sebagai jurulatih sementara. Saya tidak rasa kenyataannya (Rajagobal) merujuk kepada saya.

"Kami memahami skop (tugasan) masing-masing dan kenyataan itu terlalu umum. Jadi, apa yang paling mustahak, saya perlu memberikan fokus kepada Harimau Muda A.

"Selepas berakhir Sukan SEA, barulah saya akan alihkan perhatian kepada Harimau Malaya. Itupun jika FAM masih belum menemui calon jurulatih tetap," katanya.

Sebagai rekod, skuad bimbingan Rajagobal berjaya memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2009 di Laos sebelum anak-anak buahnya muncul juara Piala Suzuki AFF setahun kemudian.

Annuar ada alasan

Posted:

Annuar ada alasan

Annuar ada alasan

PENASIHAT Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menyifatkan pandangan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) adalah jelas mengenai pelantikannya dalam Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak Negara (JPBSN).

Annuar berkata, bukan beliau yang tidak boleh berada dalam jawatankuasa berkenaan, sebaliknya wakil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Tindakan Menteri Belia dan Sukan (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) melantik semua pihak pada awalnya membuktikan beliau tidak berpihak kepada sesiapapun dan mahu semua pihak mengambil bahagian tanpa mencampuri urusan dalaman persatuan.

"Tepatlah pandangan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) yang juga merasakan isu ini adalah hal dalaman yang boleh diselesaikan menurut peraturan sedia ada, tanpa perlu mereka campuri sebab tiada sebarang campur tangan dalam urusan persatuan itu sendiri," kata Annuar dalam laman sosial Facebook miliknya semalam.

Beliau berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hanya menjalankan tugas bersama Kementerian Pendidikan dalam memajukan pembangunan bola sepak di Malaysia yang rata-rata melibatkan murid berumur 7 hingga 17 tahun.

Menurutnya, Khairy tidak dapat melakukan pembangunan itu ketika memegang jawang sebagai Timbalan Presiden FAM dan kini, beliau komited untuk melakukannya apabila menerajui KBS.

"Kebetulan saya juga begitu... jadi sekarang, jawatankuasa teruskan peranan mereka sementara saya terus mengambil sikap terbuka dan akan cuba untuk bertemu mata dengan pihak FAM dan AFC sendiri.

"Kesemua mereka telah saya hubungi dan mohon untuk mengadakan perbincangan demi kebaikan bola sepak Malaysia," katanya.

Kelmarin, Annuar berkata, beliau akan menunggu keputusan Khairy berhubung status keanggotaannya dalam jawatankuasa tersebut kerana ia terletak di bawah bidang kuasa KBS.

Sebelum itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menjelaskan, wakil FAM tidak dibenarkan melibatkan diri dalam jawatankuasa tersebut selagi Annuar menganggotainya.

Annuar sebelum ini menerima surat pelantikan untuk menganggotai jawatankuasa berkenaan daripada KBS.

Namun, FAM mendakwa pelantikan tersebut tidak sah memandangkan beliau masih menjalani tempoh penggantungan bermula April tahun lalu dan akan berakhir pada 4 Oktober 2014.

Annuar digantung selepas didapati bersalah melanggar Artikel 88 FAM yang memperuntukkan hanya Presiden dan Setiausaha Agung FAM boleh memberi kenyataan media berhubung skuad bola sepak kebangsaan.

Skuad chinlone laung semangat

Posted:

Skuad chinlone laung semangat

Skuad chinlone laung semangat

Daripada NORZASRUDIN MOHAMED NOR
norzasrudin@kosmo.com.my


SKUAD chinlone negara mahu membuktikan sesuatu ketika membuat penampilan pada Sukan SEA 2013.


NAYPYITAW, Myanmar – Meskipun sukar untuk membawa pulang pingat emas, barisan skuad chinlone negara tetap bersemangat menampilkan aksi terbaik pada edisi ke-27 temasya Sukan SEA 2013.

Jurulatih negara, Nurudin Pawi yakin anak-anak buahnya mampu memberikan cabaran yang sengit selepas beberapa hari berpeluang berlatih di gelanggang pertandingan - Stadium Tertutup Wunna Theikdi B.

Chinlone atau sukan sepak takraw tradisi Myanmar itu akan membuka gelanggang selepas skuad floorball negara tumpas 1-6 kepada Singapura pada perlawanan sulung di Stadium Tertutup Wunna Theikdi C kelmarin.

Barisan atlet chinlone dan floorball negara merupakan dua pasukan yang berlepas awal ke Myanmar sebelum skuad wusyu menjejakkan kaki di bumi Naypyitaw semalam.

Skuad wusyu negara bakal mencipta sejarah tersendiri pada temasya kali ini apabila dijangka menyumbang pingat emas pertama kontinjen Malaysia dan yang ke-1,000 sepanjang penyertaan mereka sejak tahun 1959.

Acara wusyu yang membuka tirainya pada 6 Disember ini menawarkan keseluruhan 23 pingat, sekali gus berpeluang untuk merealisasikan impian skuad negara meraih pingat emas istimewa tersebut.

Keyakinan skuad wusyu negara semakin tinggi berdasarkan pencapaian mereka pada Kejohanan Wusyu Dunia 2013 di Cheras, Kuala Lumpur bulan lalu.

Pada kejohanan tersebut, Malaysia menamatkan saingan di tempat kelima keseluruhan selepas mengutip empat pingat emas, lima perak dan lima gangsa, sekali gus memperbaiki pencapaian pada edisi kelapan di Hanoi, Vietnam pada 2005.

Sebanyak 460 pingat emas ditawarkan dalam 33 acara sukan yang dipertandingkan pada Sukan SEA 2013 yang akan membuka tirai secara rasminya pada 11 Disember ini.

Pada Sukan SEA 2011 di Palembang dan Jakarta, Indonesia, Malaysia berjaya meraih 59 pingat emas.

Bagaimanapun, pada temasya kali ini, Malaysia meletakkan sasaran 40 pingat emas.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved