Selasa, 8 Januari 2013

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Imej Harimau Selatan tercalar

Posted:

Imej Harimau Selatan tercalar

Imej Harimau Selatan tercalar

Oleh SHAHRULANOOR ISHAK
sukan@kosmo.com.my

KEHADIRAN Guiza (kanan) gagal membantu Johor DT meraih kemenangan ke atas Pahang malam tadi.


IMEJ Johor Darul Takzim (Johor DT) sebagai pasukan yang gah dengan pemain-pemain bertaraf bintang tercalar di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam apabila tewas 2-3 kepada Pahang yang kembali bersaing dalam saingan Liga Super musim ini.

Pahang yang hampir merayakan gol pertama menerusi tendangan Nikolche Kleckaroski pada minit kesembilan bagaimanapun terpaksa berputih mata apabila jaringan tersebut dibatalkan pengadil atas sebab penyerang Tok Gajah itu merempuh Muhammad Al Hafiz Hamzah yang sudah menangkap bola sebelum ia terlepas dan disambar oleh Nikolche.

Selang seminit kemudian, kekecewaan tersebut semakin dirasai apabila Johor DT meledakkan gol pertama pada minit ke-10 menerusi tandukan Safiq Rahim.

Tekanan dihadapi skuad Tok Gajah terus bertambah apabila tendangan Norshahrul Idlan Talaha sekali lagi menggegarkan gawang tuan rumah pada minit ke-25.

Permulaan babak kedua pula menyaksikan cubaan Pahang memperkemaskan jentera serangan dengan memasukkan R. Gopinathan bagi menggantikan Nikolche.

Langkah yang diambil oleh jurulatih Dolah Salleh itu berhasil meniup kebangkitan Pahang apabila berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-48 menerusi rembatan Fauzi Roslan.

Fauzi kemudian sekali lagi memanfaatkan peluang menghasilkan gol kedua Pahang pada minit ke-72 untuk mengikat kedudukan 2-2.

Gol penyamaan itu ternyata meniup semangat pemain Tok Gajah yang semakin ghairah melancarkan serangan dan hasilnya, R. Surendran berjaya meledakkan gol kemenangan Pahang pada minit ke-82.

Skuad Harimau Selatan yang tertekan melihat kebangkitan Pahang kemudian cuba memperkemas barisan serangan dengan memasukkan Mohd. Safee Sali pada minit-minit akhir untuk digandingkan bersama Norshahrul.

Harapan Johor DT yang dibimbing ketua jurulatih, Fandi Ahmad bagaimanapun lebur sebaik pengadil Shamsudin Ibrahim meniup wisel penamat.

Zainal nafi terlibat

Posted:

Zainal nafi terlibat

Zainal nafi terlibat

Datuk Zainal Abu Zarin


PRESIDEN Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Zainal Abu Zarin (gambar) menafikan yang beliau terlibat dalam dakwaan penyelewengan wang berjumlah RM4 juta milik badan induk sukan orang kelainan upaya (OKU) itu.

Beliau menganggap fitnah ke atas dirinya itu ditimbulkan pihak tertentu yang berkepentingan bagi menggugat kedudukannya sebagai peneraju MPM.

"Individu terbabit sengaja memutarbelitkan fakta bagi mengelirukan orang ramai tentang pengurusan kewangan MPM dan merosakkan imej serta nama baik MPM sebagai badan induk yang bertanggungjawab membela kebajikan atlet paralimpik di negara ini," katanya di ibu negara semalam.

Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan mengenai pelaburan wang RM4 juta oleh MPM ke dalam sebuah syarikat pengurusan acara, Paralimpik Ventures Sdn. Bhd. (PVSB) yang diterajui Zainal dan dua anaknya, Idi Irwan dan Ilia Ikhwan.

Laporan itu menyebut, wang berkenaan dipindahkan sebanyak dua kali iaitu pada 4 dan 17 April 2008 manakala cek pemindahan tersebut ditandatangani Zainal sendiri dan Bendahari MPM ketika itu, Liew Yoon Loy.

Sebuah akhbar harian dalam laporannya sebelum ini turut menyatakan bahawa wang RM3.8 juta daripada pelaburan sebanyak RM4 juta dalam PVSB dihapus kira disebabkan pelaburan berkenaan tidak memperoleh pulangan.

Dengan memetik minit mesyuarat agung tahunan MPM, laporan tersebut menyatakan bahawa majlis itu menerima sepucuk surat daripada PVSB yang mana PVSB komited membayar balik RM200,000 termasuk faedah lima peratus, menjelang Mac tahun lepas.

MPM kemudian menerima sepucuk lagi surat pada Ogos lepas yang mana surat itu menyatakan baki RM3.8 juta lagi akan dibayar menjelang 2014.

Bagaimanapun, pada mesyuarat agung MPM pada September tahun lepas, lembaga eksekutif majlis itu memutuskan untuk menghapus kira sejumlah RM3.8 juta dan ini akan ditunjukkan dalam penyata kewangan bagi tahun berakhir pada 31 Disember lepas.

Mengulas lanjut, Zainal berkata, dakwaan tersebut sebenarnya tidak berasas kerana wang berkenaan digunakan untuk tujuan pelaburan bagi menambah dana MPM yang tenat pada pada tahun 1990-an.

Sebelum ini, MPM bergantung sepenuhnya peruntukan yang tidak seberapa daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebelum Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil alih pada 2006.

Keadaan itu menyebabkan MPM terpaksa mencari alternatif lain bagi menampung kos program dan aktiviti membabitkan atlet paralimpik negara yang disusun setiap tahun.

"Untuk mendapat dana tambahan, exco MPM ketika itu sebulat suara menubuhkan anak syarikat dengan nama Paralimpik Ventures Sdn. Bhd. bagi mencari keuntungan dengan modal sebanyak RM4 juta yang dikumpul hasil perbelanjaan berhemah yang dilakukan MPM sebelum ini dan perkara ini telah dimaklumkan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS)," katanya.

Zainal berkata, apa yang dirancang bagaimanapun tidak berjalan lancar apabila PVSB gagal memberi pulangan keuntungan seperti yang disasarkan berikutan kemelesetan ekonomi dunia pada 2008.

Beliau berkata, PVSB pernah menyumbang keuntungan tunai sebanyak RM700,000 kepada MPM sebelum ini dan ini membuktikan bahawa anak syarikat milik MPM itu menjalankan perniagaan yang mendatangkan keuntungan.

Beliau menambah, pihaknya sering menghantar laporan kewangan tahunan MPM dan PVSB kepada PPS pada setiap tahun dan menafikan dakwaan bahawa wang RM4 juta yang dilaburkan MPM itu adalah lebihan peruntukan yang disediakan untuk penganjuran Sukan FESPIC Kuala Lumpur 2006. – Bernama

Harimau Malaya uji kekuatan dengan Iraq

Posted:

Harimau Malaya uji kekuatan dengan Iraq

Harimau Malaya uji kekuatan dengan Iraq

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

NAIB Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan Kamal (gambar) mendedahkan, skuad kebangsaan bakal beraksi dalam tiga aksi perlawanan antarabangsa sebagai persiapan menghadapi kempen kelayakan Piala Asia 2015 pada Februari depan.

Tiga pasukan tersebut ialah Iraq, Uzbekistan dan India yang telah pun mengesahkan persetujuan mengadakan aksi persahabatan itu.

Jelasnya, perlawanan persahabatan tersebut adalah untuk memantapkan persediaan skuad negara bagi menghadapi kelayakan Piala Asia 2015.

"Seperti yang dimaklum, pasukan kebangsaan akan memulakan aksi persahabatan itu menentang Qatar di Doha pada 6 Februari depan.

"Sebelum itu, skuad negara akan menentang Iraq di UAE pada 1 Februari dan aksi menentang Uzbekistan serta India bakal diadakan bulan September," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Dalam perkembangan sama, Subahan turut mengesahkan FAM telah memohon kepada pasukan-pasukan lain untuk mengadakan aksi persahabatan dalam usaha memperbanyakkan aksi pemanas badan buat skuad negara.

"Selain itu, kita (dijangka) akan bertemu dengan Oman dan jika semuanya berjalan lancar, aksi menentang Oman bakal berlangsung pada 17 Mac depan.

"Kita juga telah menulis surat serta memohon untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan lain termasuk Thailand (7 Jun), Jordan (11 Jun) di laman sendiri, China (18 Jun), Taiwan (14 Ogos) serta Korea Selatan (10 Oktober) dan setakat ini kami masih menunggu jawapan.

"Kami harap mereka akan dapat memberikan persetujuan untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan kami," katanya.

Pada perkembangan lain, Subahan turut menggesa agar penyokong-penyokong setia Harimau Malaya memberikan sokongan padu kepada skuad kendalian Datuk K. Rajagobal dalam usaha melayakkan diri secara automatik ke pentas Piala Asia.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Warga INTI ringan tulang

Posted:

Warga INTI ringan tulang

Warga INTI ringan tulang


PASUKAN bola baling Inti IU menyusun batu-bata untuk dijadikan dinding rumah seorang penerima bantuan.


PELBAGAI cara boleh dilakukan untuk membantu golongan yang memerlukan. Sekumpulan 20 pelajar dan warga kerja Inti International University (Inti IU), Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini memilih untuk membantu membaiki dan membina semula kediaman keluarga yang berpendapatan rendah.

Mereka yang terpilih ialah rumah Hassam Mogot dan Sapparuddin Abd. Hamid dari perkampungan Orang Asli Bukit Bangkong, Sungai Pelek, Selangor.

Mereka dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan pertama yang disertai Naib Presiden, Perkhidmatan Pelajar, Inti IU, Dr. Sia Ah Hiok yang membantu mengecat rumah milik Hassam dan isterinya, Gipah Noor.

Kumpulan kedua pula disertai pasukan bola baling Inti IU dengan tugasan membaiki rumah Sapparuddin. Walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam pembinaan, kumpulan tersebut berjaya menggantikan dinding lama bahagian ruang tamu kediaman tersebut. Dinding kayu itu diganti dengan batu-bata.

Ketua pasukan bola baling, Go Kah Hou nyata gembira apabila usahanya memaparkan aktiviti itu di laman Facebook mendapat sambutan daripada semua ahli pasukan bola baling.

"Saya tidak sangka semua ahli pasukan bola baling sanggup turun padang melakukan kerja-kerja yang tidak pernah mereka lakukan sebelum ini.

"Kami berjaya membancuh simen dan menyusun batu-batu, meskipun tidak mempunyai pengalaman. Usaha ini sangat berbaloi dan kami sangat gembira kerana dapat membantu golongan yang memerlukan," katanya.


WALAUPUN tanpa pengalaman membina rumah, ia bukan penghalang untuk para pelajar menghulurkan bantuan.


Dalam pada itu, Ah Hiok turut gembira dengan sokongan para sukarelawan yang sanggup meluangkan masa dan tenaga dalam menjayakan program berkenaan.

"Usaha mereka merupakan kesinambungan daripada projek kami yang terdahulu. Diharapkan ia dapat diteruskan pada masa depan.

"Sebelum ini, para pelajar turut menganjurkan malam amal dan berjaya mengumpul dana sebanyak RM6,000.

"Dana tersebut diserahkan kepada Living Hope Malaysia yang kemudiannya menyalurkannya kepada pusat sumber khusus untuk anak-anak Orang Asli di Kampung Gebok dan Kampung Kedat di Mantin, Negeri Sembilan," kata Ah Hiok.

Ford menghargai alam

Posted:

Ford menghargai alam

Ford menghargai alam


FORD menunaikan tanggungjawab sosial dengan menyumbangkan RM150,000 untuk pelbagai pertubuhan bagi menjalankan projek pemuliharaan alam sekitar.


SYARIKAT pemotoran, Ford Motor Company mengumumkan pemenang grogram Geran Pemuliharaan dan Alam Sekitar 2012 di Malaysia dengan menerima RM150,000 pada pertengahan Disember lalu.

Pemberian geran itu membolehkan pihak penerima melaksanakan program hijau masing-masing.

"Program ini merupakan salah satu daripada cara Ford berusaha memulihara alam sekitar dan meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat di tempat kami beroperasi," ujar Pengurus Serantau Asia Pasifik, Bahagian Operasi Eksport dan Pertumbuhan, David Westerman.

Tambahnya, ciri paling menarik mengenai program tersebut adalah ia secara tidak langsung dapat menyatukan semua pihak yang terdiri daripada kakitangan Ford, pelanggan dan kumpulan masyarakat.

Dana geran yang diberi akan digunakan dalam projek sebenar dan positif terhadap alam sekitar sekali gus dapat meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Sebuah panel juri bebas ditubuhkan bagi menentukan penerima geran tersebut. Antara ahlinya ialah Pengarah Pemuliharaan WWF-Malaysia, Dr. Sundari Ramakrishna, Pengurus Besar Wild Asia, Gonthong Lourdesamy dan Pengarah Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar di Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM), Dr. Ismail Harun.

Wakil daripada Ford pula ialah Pengurus Jualan Kebangsaan, R. Veemala.

Program Geran Pemuliharaan dan Alam Sekitar dilancarkan pada peringkat global pada tahun 1983. Ford telah menyampaikan geran berjumlah lebih AS$2 juta (RM6.09 juta) kepada pelbagai projek alam sekitar di 60 buah negara.

Negara-negara yang pernah mendapat manfaat tersebut selain Malaysia ialah Carribean, Puerta Rico dan juga negara-negara yang berada di rantau Asia Pasifik, Amerika Tengah serta Asia Barat.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Lima suspek perogol dihadap ke mahkamah

Posted:

Lima suspek perogol dihadap ke mahkamah

Lima suspek perogol dihadap ke mahkamah

SEBUAH van polis membawa lima lelaki dipercayai perogol meninggalkan sebuah mahkamah majistret di New Delhi semalam.


NEW DELHI - Lima lelaki yang dituduh merogol dan membunuh seorang pelajar perubatan berusia 23 tahun di dalam sebuah bas secara bergilir-gilir pada 16 Disember tahun lalu dihadapkan ke mahkamah majistret di selatan Delhi semalam.

Semua mereka dituduh melakukan kesalahan itu ketika mangsa dalam perjalanan pulang selepas menonton filem di New Delhi bersama teman lelakinya.

Mangsa yang merupakan pelajar bidang fisioterapi disahkan meninggal dunia pada 29 Disember lalu selepas mendapat rawatan di sebuah hospital di Singapura.

Lima lelaki yang didakwa itu ialah pemandu bas tersebut, Ram Singh dan adiknya, Mukesh Singh.

Penjaja buah-buahan, Pawan Gupta dan seorang pencuci bas, Akshay Singh serta pengajar kecergasan, Vinay Sharma turut didakwa melakukan perbuatan itu.

Perbicaraan kelima-lima suspek yang berumur 19 hingga 35 tahun itu terpaksa diadakan secara tertutup ekoran orang ramai membuat bising.

Majistret Namrita Aggarwal memutuskan supaya orang ramai dan media tidak dibenarkan masuk sepanjang perbicaraan berlangsung.

Aggarwal berkata, pendengaran seterusnya akan diadakan pada 10 Januari ini.

Seorang pegawai polis berkata, semua tertuduh memakai penutup muka ketika memasuki mahkamah.

Menurut seorang pendakwa raya, Rajiv Mohan, seorang peguam akan membela mereka.

Kebanyakan peguam dikatakan tidak sanggup untuk mewakili mereka kerana kekejaman yang dilakukan oleh para suspek itu.

Jika sabit kesalahan, mereka akan dikenakan hukuman mati.

Seorang lagi suspek berumur 17 tahun akan dibicarakan di sebuah mahkamah juvenil kerana usianya di bawah umur. - Agensi

Penggodam komputer bank ditangkap di Bangkok

Posted:

Penggodam komputer bank ditangkap di Bangkok

Penggodam komputer bank ditangkap di Bangkok


HAMZA (tengah) dikawal dua anggota polis pada sidang akhbar yang diadakan di pejabat Biro Polis Imigresen di Bangkok semalam.


BANGKOK - Seorang penggodam komputer warga Algeria yang diburu Biro Siasatan Persekutuan (FBI) kerana mencuri berjuta-juta dolar dari beberapa buah bank Amerika Syarikat (AS) untuk membiayai kehidupan mewahnya ditangkap di sini, kata polis Thailand semalam.

Lelaki tersebut, Hamza Bendelladj kelihatan tenang walaupun mengetahui bahawa dia bakal diekstradisi ke AS.

"Apabila ditanya apa yang dilakukan dengan wang tersebut, dia menjawab wang itu digunakan untuk melancong dan menjalani kehidupan mewah seperti menaiki penerbangan kelas pertama serta tinggal di kediaman mewah," kata Ketua Polis Imigresen, Phanu Kerdlabphol.

Menurutnya, pihak FBI menjejaki graduan sains komputer itu selama tiga tahun selepas dia mula menggodam bank-bank AS ketika berusia 20 tahun.

"Dia telah menggodam komputer beberapa buah bank AS dan pernah mencuri transaksi berjumlah AS$10 juta (RM30.4 juta) dari sebuah bank," tambah ketua polis tersebut.

Pemuda itu ditahan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi di sini kelmarin selepas dia tiba dari Malaysia untuk menyambung penerbangan ke Kaherah. - AFP

Penduduk pakai kostum pelik di Silio

Posted:

Penduduk pakai kostum pelik di Silio

Penduduk pakai kostum pelik di Silio


SEORANG lelaki memakai kostum seperti pokok pada Festival Vijanera di Silio kelmarin.


SILIO, Sepanyol - Beberapa orang lelaki memakai kostum pelik yang menyebabkan sebahagian mereka kelihatan seperti pokok pada Festival Vijanera di Silio, utara negara ini kelmarin.

Terdapat juga penduduk yang memakai topeng muka, kulit haiwan dan pakaian yang berwarna cerah pada festival itu.

Ia merupakan festival pertama diadakan di Eropah pada awal tahun ini.

Festival tersebut berasal dari era empayar Rom.

Muka penduduk yang menyertai festival itu diwarnakan hitam dengan kepercayaan ia akan dapat mengelak kedatangan roh jahat. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Tahanan lolos: Penduduk diminta tidak bimbang

Posted:

Tahanan lolos: Penduduk diminta tidak bimbang

Tahanan lolos: Penduduk diminta tidak bimbang

08/01/2013 7:09pm

BUKIT MERTAJAM — Polis Pulau Pinang memperhebatkan usaha mengesan tujuh tahanan yang meloloskan diri daripada polis semalam, terutama di kawasan Tasek Gelugor di sini.

Sehubungan itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi meminta penduduk di situ agar tidak bimbang dengan keselamatan mereka kerana polis juga meningkatkan rondaan selain mengadakan sekatan jalan raya di kawasan tersebut.

"Penduduk boleh terus menghubungi pihak polis jika melihat orang yang mencurigakan di kawasan mereka," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 9 pagi semalam, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat polis pengiring.

Dua daripada tahanan berjaya diberkas semula berhampiran van polis itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor, manakala tujuh lagi dipercayai melarikan diri ke sekitar kawasan ladang sawit di Ara Kuda.— BERNAMA

Wanita Indonesia ditemui mati di Flat Sri Kuching

Posted:

Wanita Indonesia ditemui mati di Flat Sri Kuching

Wanita Indonesia ditemui mati di Flat Sri Kuching

08/01/2013 7:05pm

KUALA LUMPUR — Seorang wanita warga Indonesia ditemui mati dengan dua kesan tetakan pada lehernya, di rumah sewanya di Flat Sri Kuching di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supt. Othman Abu Bakar berkata, wanita berusia 36 tahun itu dipercayai mati akibat dibunuh pagi ini.

"Mayat mangsa ditemui berpakaian lengkap dan terlentang di dalam bilik air. Terdapat kesan lebam pada mata serta dua tetakan di belakang lehernya," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata, polis turut menjumpai sebilah pisau pemotong daging di bahagian dapur yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu.

Berikutan kejadian itu, katanya, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun yang tinggal serumah dengan mangsa. — BERNAMA

Piala Asia: M'sia harungi 3 perlawanan persahabatan

Posted:

Piala Asia: M'sia harungi 3 perlawanan persahabatan

Piala Asia: M'sia harungi 3 perlawanan persahabatan

08/01/2013 6:36pm

PETALING JAYA — Skuad Harimau Malaya bakal mengharungi tiga perlawanan persahabatan antarabangsa sebagai persiapan menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia 2015, yang dijadual bermula bulan depan.

Naib Presiden, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, perlawanan itu membabitkan Iraq di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 1 Februari, Uzbekistan di Tashkent pada 6 September dan India di tempat lawan pada 10 September.

Selain tiga perlawanan itu, Subahan yang juga pengurus skuad kebangsaan berkata, FAM turut menghantar jemputan kepada beberapa negara Asia lain bagi mengadakan perlawanan persahabatan, namun sehingga kini belum ada jawapan daripada pasukan terbabit.

"Kita tahu bukan semua pasukan jemputan akan memberi jawapan positif kerana mereka mempunyai komitmen lain seperti Jordan yang terlibat dengan Kejohanan Bola Sepak Piala Teluk 2013 di Bahrain.

"Kita juga sedang menunggu jawapan daripada pasukan Asia lain seperti Thailand dan China untuk mengadakan perlawanan persahabatan bersama skuad kebangsaan," katanya pada sidang media di Wisma FAM di sini, hari ini.— BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Terukir Di Bintang layak menang

Posted:

Terukir Di Bintang layak menang

Terukir Di Bintang layak menang

BIASANYA penganjuran sesebuah acara anugerah yang besar semememangnya tidak pernah sunyi daripada dilanda dengan pelbagai kontroversi. Itu yang dilalui ketika penganjuran Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL 27).

Kontroversi bermula apabila Yuna yang sepatutnya menyanyikan lagu ciptaannya sendiri di pentas AJL 27 terpaksa menarik diri pada saat akhir kerana mempunyai komitmen lain di Amerika Syarikat.

Nama penyanyi veteran Uji Rashid lantas disebut-sebut sebagai pengganti menyanyikan lagu Terukir Di Bintang, tetapi akhirnya Aizat telah diberi tanggungjawab membawakan lagu tersebut.

Biarpun pertukaran penyanyi untuk lagu itu dikecam segelintir pihak, kemenangan telah berpihak kepada Aizat apabila Terukir Di Bintang yang dipersembahkannya itu dinobatkan sebagai juara.

Pada sidang akhbar yang berlangsung selepas berakhirnya acara tersebut, Azmeer selaku ketua juri menyatakan kehebatan sesebuah lagu itu tidak boleh dinafikan, meskipun tidak dinyanyikan oleh penyanyi asal.

"Saya yakin dan percaya kontroversi yang berlaku sememangnya langsung tidak mempengaruhi para juri dan kami sudah sepakat bahawa lagu Terukir Di Bintang layak dinobatkan sebagai juara.

"Mengenai persembahan Aizat pula, saya lihat dia telah membawakan lagu ini dengan caranya tersendiri dan tidak terlalu terikut-ikut dengan gaya penyampaian Yuna," jelasnya sambil menafikan kemenangan lagu tersebut semata-mata mahu menutup kontroversi yang telah timbul.

Ketika ditanya sama ada lagu tersebut akan tetap menang sekiranya dinyanyikan oleh Uji Rashid, Azmeer menjelaskan kekuatan sesuatu lagu tidak terletak kepada penyanyi keseluruhan.


AARON Aziz membuat penampilan khas dalam persembahan Hafiz dan Aidira untuk lagu, Ombak Rindu.


Sebaliknya, persembahan penyanyi hanya merangkumi 10 peratus daripada penilaian dan selebihnya pemilihan lagu terbaik dibuat berdasarkan kepada melodi, lirik dan susunan muzik.

"Tidak kira siapa sahaja yang menyanyikan lagu ini sama ada Yuna, Aizat atau Uji Rashid, sekiranya masing-masing membuat persembahan dengan baik peluang untuk menang tetap ada," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar yang turut berada semasa sidang akhbar tersebut berkata, pihak TV3 tidak mencampuri sebarang keputusan terhadap pemilihan penyanyi.

Beliau berkata, pemilihan penyanyi yang menggantikan tempat Yuna telah ditentukan oleh pihak pengurusan penyanyi itu dan pihak TV3 perlu menghormati segala keputusan yang dibuat.

"Kami terpaksa akur apabila Yuna ada komitmen lain yang menghalangnya membuat persembahan di pentas AJL 27, tetapi dia sendiri yang telah memilih Aizat untuk menggantikan tempatnya.

"Namun begitu, saya melihat Yuna telah membuat pilihan yang tepat apabila Aizat mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan sehingga lagu ciptaannya itu mengatasi 11 lagu yang lain," jelasnya.

Dengan kemenangan tersebut, lagu Terukir Di Bintang berjaya membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai RM35,000, manakala lagu Idola yang dinyanyian oleh Azlan & The Typewriter membawa pulang trofi dan wang tunai RM15,000 setelah muncul naib juara.

Hafiz yang muncul sebagai pemenang AJL pada tahun lalu menerusi lagu Awan Nano sekadar berpuas hati di tempat ketiga dengan lagu nyanyiannya Ku Akui hasil ciptaan Ajai.

Bagaimanapun, penyanyi tersebut terus kekal memenangi kategori Vokal Terbaik buat dua tahun berturut-turut. Black dan RJ pula menang kategori Persembahan Terbaik menerusi lagu Teman Pengganti. Pemenang kedua-dua kategori itu membawa pulang trofi dan wang tunai RM10,000.

Selain Azmeer, antara barisan juri yang dilantik mengadili lagu-lagu di pentas AJL 27 seperti Aubrey Suwito, Helen Yap, Eddie Marzuki, Achik, Edrie Hashim, Ramli Sarip, Yasin Sulaiman, Ad Samad dan Hetty Koes Endang.

52 jam


AKSI hebat Amy (kiri) dan Hazama dalam persembahan lagu kolaborasi mereka, Simetri.


Biarpun sudah berpengalaman luas dalam bidang nyanyian, namun menjadi pengganti pada saat-saat akhir untuk sebuah pertandingan yang besar seperti AJL 27 pastinya memberikan pengalaman baharu buat Aizat.

Ketika ditemui pada sidang akhbar tersebut, Aizat mengakui agak terkejut apabila diminta menggantikan Yuna, tetapi tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila lagu itu telah muncul sebagai pemenang.

"Saya telah mendapat panggilan untuk menggantikan tempat Yuna menyanyikan lagu Terukir Di Bintang kira-kira 52 jam sebelum AJL 27 berlangsung dan kemenangan ini pastinya di luar jangkaan.

"Biarpun masa yang saya ada untuk membuat persiapan agak singkat, tetapi sebagai seorang kawan saya perlu bantu Yuna. Itu yang menyebabkan saya bersetuju menerima tanggungjawab tersebut," jelasnya.

Menyedari dirinya tidak mempunyai masa yang banyak, Aizat menyatakan, dia hanya berserah kepada Allah semasa membuat persembahan. Namun, dia bersyukur kerana mendapat bantuan daripada rakan-rakan sehingga semuanya berjalan lancar.

Berkenaan dengan kontroversi tentang pemilihan penyanyi untuk lagu berkenaan, Aizat berkata, dia tahu mengenai perkara tersebut dan berasa sedikit tertekan.

"Secara jujurnya saya memang simpati dengan apa yang berlaku terhadap Uji Rashid memandangkan dia yang dipilih menggantikan Yuna, tetapi keputusan telah bertukar pada saat-saat akhir.

"Sebagai seorang penyanyi veteran yang telah lama mewarnai industri nyanyian, beliau sewajarnya dihormati oleh semua pihak. Kalau diikutkan saya mahu menyanyi bersamanya di pentas AJL 27," luahnya.

Dengan kemenangan tersebut, Aizat juga tidak menolak kemungkinan untuk menyanyikan lagu tersebut dalam mana-mana persembahan nyanyian sekiranya ada permintaan.


PERSEMBAHAN Azlan & The Typewriter menerusi lagu Idola memacu mereka untuk bergelar naib juara AJL 27.


"Saya berharap agar dapat berkolaborasi dengan Yuna seperti memintanya menciptakan lagu untuk saya. Sebelum ini perkara tersebut pernah kami bincangkan bersama, tetapi saya faham dia masih lagi sibuk serta jadualnya yang padat," ujarnya.

M-Girls bergabung selepas lapan tahun

Posted:

M-Girls bergabung selepas lapan tahun

M-Girls bergabung selepas lapan tahun

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA


PERCAYA atau tidak, M-Girls sudah muncul dengan 100 buah album sejak mula ditubuhkan pada tahun 2001.


WALAUPUN kumpulan yang ditubuhkan mereka pernah berpecah sejak lapan tahun yang lalu, kini M-Girls yang terdiri daripada empat gadis muda - Crystal, Angeline, Queenzy dan Cassandra kembali bergabung sempena Tahun Baru Cina pada tahun ini.

Empat anak muda itu juga telah melancarkan album 'reunion' mereka sempena sambutan perayaan tersebut pada 12 Disember tahun lepas.

Mereka yang kesemuanya berumur 27 tahun ini sebenarnya telah berjaya menghasilkan lebih 100 album berbahasa Cina sejak penubuhan M-Girls pada tahun 2001.

Sebelum ini dua ahli kumpulan mereka iaitu Cassandra dan Queenzy telah keluar dari M-Girls disebabkan ingin menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajian di sebuah kolej swasta di ibu kota.

Disebabkan itu, Crystal dan Angeline telah merakam album M-Girls secara berduet dan berkolaborasi dengan artis lain di bawah syarikat naungannya, Star Media Distribution Sdn. Bhd.

Kini, atas permintaan peminat setia mereka, sebuah album yang dinamakan Reunion yang mengandungi 12 buah lagu bertemakan Tahun Baru Cina telah dipasarkan bagi mengubati rindu peminat mereka.

Kali terakhir kumpulan ini merakamkan album bersama pada tahun 2005.

Kata Crystal, dia benar-benar teruja untuk membuat persembahan bersama dengan tiga ahli kumpulan asal M-Girls selepas dua daripada mereka iaitu Cassandra dan Queenzy mengambil keputusan untuk berehat panjang.

"Kami tidak bergaduh pun. Memang Cassandra dan Queenzy ingin beri komitmen sepenuhnya kepada pelajaran, jadi saya dan Angeline terpaksa akur dengan keputusan mereka berdua," jelasnya.

Mengakui mereka berempat sebagai 'satu kepala', Angeline pula menambah, dia tidak sabar-sabar lagi untuk menunggu respons peminat mereka yang menantikan album mereka.

"Sangat gembira ada album bersama kembali, walaupun kami selalu berjumpa, ia tidak sama apabila tidak membuat persembahan dengan M-Girls," jelasnya.

Bagi Cassandra yang telah tidak bersama M-Girls selama lapan tahun, dia merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya.

"Apabila memikirkan banyak memori manis kami bersama, memang saya rindu untuk bersama M-Girls. Jadi dengan kemunculan album terbaharu kami ini, ia akan mengubat rindu saya sendiri dan peminat kami," ujarnya yang mengakui pasaran M-Girls termasuklah China, Indonesia, Brunei, Singapura dan Taiwan.

Mengenai album terbaharu mereka itu, Queenzy memberitahu, keunikan Reunion adalah ia merupakan album yang patut ada untuk setiap sambutan perayaan berkenaan.

"Di Malaysia sangat berlainan dengan negara China. Di China memang tiada orang terbitkan album untuk musim perayaan. Di negara ini lebih 10 album dipasarkan untuk perayaan seperti sambutan Aidilfitri juga," jelasnya.

Album M-Girls boleh

Salman buat hal sendiri

Posted:

Salman buat hal sendiri

Salman buat hal sendiri


SALMAN KHAN


SALMAN KHAN memulakan tahun baharu 2013 dengan penuh positif. Aktor Terbaik 2012 pilihan ApunKaChoice.Com. yang mengalahkan dua pencabar terdekatnya, Shah Rukh Khan dan Akshay Kumar itu selama ini sememangnya digosip tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Shah Rukh.

Namun baru-baru ini, Salman telah mengeluarkan kenyataan menafikan dia berselisih faham dengan Shah Rukh sehingga di Bollywood dikatakan wujud puak Salman dan puak Shah Rukh.

Katanya kepada ibn.live.in.com: "Tiada puak-puak tertentu dalam industri perfileman di Bollywood. Saya buat hal sendiri. Saya tidak mengikuti atau mengambil tahu tentang kehidupan orang lain."

"Jika ada yang datang berjumpa atau berbual dengan saya, dia akan dilayan dengan baik. Saya tidak kisah dia kawan siapa - ia tidak menjadi suatu masalah buat saya."

Kredit: www.kosmo.com.my

Isnin, 7 Januari 2013

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Bantu pembelajaran pelajar di luar bandar

Posted:

Bantu pembelajaran pelajar di luar bandar

Bantu pembelajaran pelajar di luar bandar

PERJALANAN ke Sekolah Kebangsaan Ladang Mutiara (SKLM), Kluang, Johor bukan calang-calang. Jarak antara bandar Kluang ke sekolah yang terletak di tengah-tengah ladang kelapa sawit itu kira-kira 60 kilometer.

Selepas melalui Felda Nitar dengan jalan yang agak baik, laluan tidak berturap terpaksa dilalui. Keadaan jalan yang sempit dan berlubang-lubang pasti menjadi cabaran bukan sedikit.

"Jika hari hujan, jalan berlecak sehingga susah untuk kereta bergerak manakala waktu panas terik pula, keadaan laluan berdebu," kata Hishamuddin Salim, 33, yang telah hampir sedekad berkhidmat sebagai guru di sekolah itu.

Guru-guru SKLM seperti Hishamuddin dan guru besar, Ali Udon, 55, yang tinggal di Kluang atau Kahang terpaksa keluar seawal pukul 6 pagi kerana perjalanan memakan masa lebih sejam.

Hujan lebat bukan sahaja menjadikan jalan berlecak tetapi air kerap naik membanjiri laluan menyebabkan ada guru terhalang untuk datang ke sekolah.

Lebih parah apabila sekolah yang mendapatkan bekalan elektrik menggunakan janakuasa terpaksa belajar tanpa kipas angin kerana bekalan minyak diesel tidak dapat dihantar.

Bagi Shahrul Semangar, 14, kanak-kanak Orang Asli dari Kampung Pucoh wajib bangun seawal pukul 5 pagi, untuk bersiap-siap ke sekolah dengan menaiki van kira-kira pukul 6 pagi dan tiba tepat pukul 7 pagi.

"Di sekolah saya boleh belajar, dapat berjumpa dengan rakan-rakan dan bermain bola sepak bersama-sama kawan-kawan," kata Shahrul ringkas ketika ditemui di SKLM, Kluang awal bulan November lalu.

Shahrul merupakan pelajar pendidikan khas di SKLM bersama Shaharil Rosli, 12, dan adiknya, Rizal, 8, juga berasal dari kampung yang sama.

Adik-beradik itu kelihatan pemalu apabila didekati untuk bertanyakan nama, mereka menjawab dengan suara yang perlahan.

Mereka menjawab soalan dengan cara menggerakkan kepala sama ada menggeleng atau mengangguk. Barangkali, kedua-duanya berasa takut atau malu dengan orang luar.

Pastinya, mereka serta-merta mengangguk kepala apabila ditanya mengenai keseronokan berjumpa dan belajar bersama rakan-rakan di sekolah.

Menurut penyelaras pendidikan khas SKLM, Rosinabi Hussein, 33, rutin harian pelajar pendidikan khas bermula dengan sesi mandi pagi di sekolah.

Terdapat pelajar yang terpaksa bangun seawal 4 pagi untuk ke sekolah. Mereka menempuh perjalanan panjang termasuk merentas kawasan yang mungkin mengotorkan mereka.


SISTEM solar hibrid di Sekolah Kebangsaan Ladang Mutiara, Kluang, Johor dibangunkan dengan kos sebanyak RM3 juta.


Perjalanan jauh itu juga membuatkan mereka berpeluh. Maka, sesi mandi pagi di sekolah perlu sebelum kelas bermula bagi memastikan mereka sentiasa bersedia dan segar.

Kemahiran

Selain pembelajaran akademik, kelas pendidikan khas SKLM turut memberi tunjuk ajar dalam bidang kemahiran seperti perniagaan.

"Pelajar akan membuat dadih sendiri pada setiap hari. Kemudian, mereka akan jua dadih pelajar lain," terang Rosinabi.

Tambahnya, hampir keseluruhan pelajar pendidikan khas di situ seramai sembilan orang terdiri daripada pelajar lembam.

Suasana bilik darjah pendidikan khas berlainan sedikit kerana lebih interaktif dan menarik dengan penggunaan objek serta warna yang pelbagai.

"Komputer barangkali tidak memudahkan proses pembelajaran pelajar tetapi dapat menarik perhatian dan minat mereka untuk belajar," katanya yang dibantu dua orang guru lain dan seorang pembantu pengurusan murid (PPM).

Keperluan bekalan elektrik dalam bidang pendidikan bukan setakat menghidupkan lampu dan memusingkan kipas tetapi alat bantu pembelajaran seperti komputer amat memerlukannya.

Ketika SKLM mula-mula dibuka pada tahun 2000, sekolah tersebut menerima tenaga elektrik dari ladang kelapa sawit berdekatan, jadi bekalan hanya diterima pada waktu pejabat dari pukul 8 pagi hingga 4 petang.

Sekolah itu hanya menerima generator sendiri pada tahun 2004 tetapi kata Hishamuddin, elektrik yang dijana tidak stabil dan masalah kehabisan minyak sering berlaku terutamanya apabila laluan masuk dilimpahi air bah.

Gangguan tenaga elektrik merupakan perkara biasa dan paling lama para pelajar SKLM pernah terputus bekalan kira-kira dua minggu disebabkan banjir besar di Johor sedikit masa lalu.


TNB Energy Services Sdn. Bhd. akan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan setiap tiga bulan sekali.


Apabila penalaan komponen penukar arus terus kepada arus ulang-alik generator, rectifier tiba-tiba menjadi huru-hara, maka lebihan beban bekalan berlaku menyebabkan komputer, mentol dan banyak lagi barangan elektrik rosak.

Hishamuddin yang mengajar di situ sejak tahun 2004 sudah masak dengan masalah bekalan elektrik yang sering mengganggu proses pembelajaran.

Paling menjadi masalah apabila hendak menjalankan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kerana ia melibatkan banyak alat bantu mengajar dalam bentuk cakera padat, komputer dan projektor.

"Bateri komputer riba diberikan kepada guru-guru yang tinggal di Kluang untuk dicas. Cikgu pula akan mengajar menggunakan skrin komputer yang kecil untuk dikongsi dengan murid-murid," kenang Hishamuddin apabila bekalan elektrik terputus dalam tempoh panjang.

Kata lelaki yang berasal dari Felda Nitar itu, terdapat inisiatif membekalkan tenaga solar pada tahun 2005 tetapi pada pendapatnya gagal kerana bekalan elektrik yang dibekalkan terlalu sedikit.

Bilangan panel solar antara tiga hingga empat keping, cukup sekadar menghidupkan tiga buah komputer pada waktu matahari bersinar sahaja.

Kini, dia amat bersyukur kerana SKLM sudah dilengkapi Sistem Solar Hibrid pada 15 Jun 2011 sekali gus sekolah yang menempatkan pelajar seramai 143 orang itu sudah boleh menerima bekalan elektrik selama 24 jam tanpa gangguan.

Solar hibrid merupakan projek di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia yang dibangunkan dan diselenggara oleh syarikat subsidiari Tenaga Nasional Berhad (TNB), TNB Energy Services Sdn. Bhd. (TNBES).

Bencana alam

Solar hibrid di SKLM siap dengan kos kira-kira RM4 juta. Ia memakan masa setahun lapan bulan untuk disiapkan kerana lokasi yang jauh dan sering terputus hubungan akibat bencana alam.

Sistem solar hibrid beroperasi dengan kombinasi solar panel dan generator serta dikawal menggunakan Sistem Pemantauan Jarak Jauh.

Elektrik yang dijana melalui panel solar digunakan pada waktu siang dan lebihan disimpan dalam bateri untuk digunakan kala tiada sinaran matahari.

Jika berlaku kehabisan bekalan elektrik dalam bateri, generator akan berfungsi serta-merta supaya bekalan elektrik dapat dibekalkan setiap masa.

Solar hibrid menjana tenaga elektrik menggunakan nisbah 70 peratus daripada panel solar dan 30 peratus lagi dijana oleh generator serta dikendali secara automatik tanpa pengawasan pengendali.

Sistem solar hibrid merupakan kaedah yang terbaik dalam membekalkan tenaga elektrik ke kawasan pedalaman seperti SKLM kerana penggunaan generator sahaja meningkatkan risiko kerap terputus bekalan elektrik selain kehabisan diesel.

"Grid penghantaran elektrik lebih baik dan menjimatkan tetapi ia bergantung pada bilangan penduduk di sesebuah kawasan.

"Kos bagi setiap 1 kilometer grid elektrik sekitar RM1 juta dan jarak antara jalan besar ke sekolah ini lebih kurang 50 hingga 60 kilometer manakala populasi penduduk tidak mencapai jumlah minimum untuk memasang grid," kata Pengarah Urusan TNBES, Shahrir Abdul Latiff ketika ditemui di sekolah itu.


SUASANA bilik darjah pendidikan khas sedikit berbeza kerana lebih interaktif dan penggunaan objek dengan warna yang pelbagai.


TNBES akan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan setiap tiga bulan sekali dengan beberapa pasukan turun ke SKLM bagi menjalankan pemeriksaan ringkas selain menambah diesel.

Tangki minyak generator direka bagi menampung kapasiti sepanjang tempoh tiada sesi penyelenggaraan.

Selain SKLM, terdapat lebih 18 buah sekolah lagi di Johor, Pahang, Kelantan dan Perak yang berada di kawasan pedalaman dapat berasa kenikmatan sama seperti sekolah di Ladang Mutiara.

Penyelesaian alternatif solar hibrid di SKLM itu turut memenangi Anugerah Tenaga ASEAN 2012 (AEA2012) bagi kategori Off Grid Generation sempena Forum Perniagaan Tenaga Asean (AEBF) di Kemboja.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


Kursus tingkat kemahiran pengendali, pembantu taska

Posted:

Kursus tingkat kemahiran pengendali, pembantu taska

Kursus tingkat kemahiran pengendali, pembantu taska


NOR ASIKIN (duduk, empat dari kiri) dan Kamarulzaman (duduk, lima dari kiri) bergambar bersama sebahagian daripada pengendali dan pembantu taska di Pulau Pinang baru-baru ini.


IKTIRAF. Seramai 43 pengendali dan pembantu taman asuhan kanak-kanak (Taska) menerima sijil tamat Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak (KAAK) yang diadakan di Hotel Veenai, Butterworth baru-baru ini.

Kursus yang bertujuan meningkatkan kemahiran pengendali taska itu dianjurkan oleh Gold Mind Resources (GMR) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengarah Eksekutif GMR, Kamarulzaman Awang berkata, sepanjang kursus itu, peserta diberikan latihan secara teori dan praktikal dengan berpandukan modul-modul berkaitan asas asuhan kanak-kanak.

Turut hadir, Timbalan Pengarah JKM negeri, Nor Asikin Ibrahim yang turut menyampaikan sijil kepada peserta kursus.

Majlis rai sumbangan kepimpinan BKUM

Posted:

Majlis rai sumbangan kepimpinan BKUM

Majlis rai sumbangan kepimpinan BKUM


NAWAWI (lima dari kanan) dan Kamsari (empat dari kanan) bergambar bersama barisan Exco BKUM di Langkawi baru-baru ini.


JASA. Badan Keluarga Utusan Melayu (BKUM) menganjurkan majlis Malam Budimu Disanjung bagi menghargai sumbangan Exco-Exconya yang telah berbakti selama dua tahun di Pulau Langkawi baru-baru ini.

Pada majlis itu, kesemua Exco menerima cenderahati sebagai kenangan yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Kuah, Datuk Ir. Nawawi Ahmad.

Turut hadir, Yang Dipertua BKUM, Kamsari Nor.

30 ibu tunggal terima barangan keperluan

Posted:

30 ibu tunggal terima barangan keperluan

30 ibu tunggal terima barangan keperluan


MOHD. LOKMAN (dua dari kanan) bersama sebahagian daripada ibu tunggal dan anak-anak mereka yang menerima sumbangan di Johor Bahru baru-baru ini.


SUMBANGAN. Kira-kira 30 ibu tunggal di daerah Johor Bahru menerima bantuan keperluan asas dan barangan sekolah untuk anak-anak mereka yang disumbangkan oleh Berita TV9 dengan kerjasama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Johor, Hotel Granada dan Econsave baru-baru ini.

Bertemakan Dekat Di hati Bersama Ibu Tunggal, Ketua Pengarang Berita TV9, Datuk Mohd. Lokman Hamidi berkata, program itu merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat yang dilaksanakan mereka.

Hadirin turut dihiburkan dengan persembahan artis popular seperti Najwa Latiff dan Asmidar.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved