Selasa, 8 Januari 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Imej Harimau Selatan tercalar

Posted:

Imej Harimau Selatan tercalar

Imej Harimau Selatan tercalar

Oleh SHAHRULANOOR ISHAK
sukan@kosmo.com.my

KEHADIRAN Guiza (kanan) gagal membantu Johor DT meraih kemenangan ke atas Pahang malam tadi.


IMEJ Johor Darul Takzim (Johor DT) sebagai pasukan yang gah dengan pemain-pemain bertaraf bintang tercalar di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam apabila tewas 2-3 kepada Pahang yang kembali bersaing dalam saingan Liga Super musim ini.

Pahang yang hampir merayakan gol pertama menerusi tendangan Nikolche Kleckaroski pada minit kesembilan bagaimanapun terpaksa berputih mata apabila jaringan tersebut dibatalkan pengadil atas sebab penyerang Tok Gajah itu merempuh Muhammad Al Hafiz Hamzah yang sudah menangkap bola sebelum ia terlepas dan disambar oleh Nikolche.

Selang seminit kemudian, kekecewaan tersebut semakin dirasai apabila Johor DT meledakkan gol pertama pada minit ke-10 menerusi tandukan Safiq Rahim.

Tekanan dihadapi skuad Tok Gajah terus bertambah apabila tendangan Norshahrul Idlan Talaha sekali lagi menggegarkan gawang tuan rumah pada minit ke-25.

Permulaan babak kedua pula menyaksikan cubaan Pahang memperkemaskan jentera serangan dengan memasukkan R. Gopinathan bagi menggantikan Nikolche.

Langkah yang diambil oleh jurulatih Dolah Salleh itu berhasil meniup kebangkitan Pahang apabila berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-48 menerusi rembatan Fauzi Roslan.

Fauzi kemudian sekali lagi memanfaatkan peluang menghasilkan gol kedua Pahang pada minit ke-72 untuk mengikat kedudukan 2-2.

Gol penyamaan itu ternyata meniup semangat pemain Tok Gajah yang semakin ghairah melancarkan serangan dan hasilnya, R. Surendran berjaya meledakkan gol kemenangan Pahang pada minit ke-82.

Skuad Harimau Selatan yang tertekan melihat kebangkitan Pahang kemudian cuba memperkemas barisan serangan dengan memasukkan Mohd. Safee Sali pada minit-minit akhir untuk digandingkan bersama Norshahrul.

Harapan Johor DT yang dibimbing ketua jurulatih, Fandi Ahmad bagaimanapun lebur sebaik pengadil Shamsudin Ibrahim meniup wisel penamat.

Zainal nafi terlibat

Posted:

Zainal nafi terlibat

Zainal nafi terlibat

Datuk Zainal Abu Zarin


PRESIDEN Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Zainal Abu Zarin (gambar) menafikan yang beliau terlibat dalam dakwaan penyelewengan wang berjumlah RM4 juta milik badan induk sukan orang kelainan upaya (OKU) itu.

Beliau menganggap fitnah ke atas dirinya itu ditimbulkan pihak tertentu yang berkepentingan bagi menggugat kedudukannya sebagai peneraju MPM.

"Individu terbabit sengaja memutarbelitkan fakta bagi mengelirukan orang ramai tentang pengurusan kewangan MPM dan merosakkan imej serta nama baik MPM sebagai badan induk yang bertanggungjawab membela kebajikan atlet paralimpik di negara ini," katanya di ibu negara semalam.

Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan mengenai pelaburan wang RM4 juta oleh MPM ke dalam sebuah syarikat pengurusan acara, Paralimpik Ventures Sdn. Bhd. (PVSB) yang diterajui Zainal dan dua anaknya, Idi Irwan dan Ilia Ikhwan.

Laporan itu menyebut, wang berkenaan dipindahkan sebanyak dua kali iaitu pada 4 dan 17 April 2008 manakala cek pemindahan tersebut ditandatangani Zainal sendiri dan Bendahari MPM ketika itu, Liew Yoon Loy.

Sebuah akhbar harian dalam laporannya sebelum ini turut menyatakan bahawa wang RM3.8 juta daripada pelaburan sebanyak RM4 juta dalam PVSB dihapus kira disebabkan pelaburan berkenaan tidak memperoleh pulangan.

Dengan memetik minit mesyuarat agung tahunan MPM, laporan tersebut menyatakan bahawa majlis itu menerima sepucuk surat daripada PVSB yang mana PVSB komited membayar balik RM200,000 termasuk faedah lima peratus, menjelang Mac tahun lepas.

MPM kemudian menerima sepucuk lagi surat pada Ogos lepas yang mana surat itu menyatakan baki RM3.8 juta lagi akan dibayar menjelang 2014.

Bagaimanapun, pada mesyuarat agung MPM pada September tahun lepas, lembaga eksekutif majlis itu memutuskan untuk menghapus kira sejumlah RM3.8 juta dan ini akan ditunjukkan dalam penyata kewangan bagi tahun berakhir pada 31 Disember lepas.

Mengulas lanjut, Zainal berkata, dakwaan tersebut sebenarnya tidak berasas kerana wang berkenaan digunakan untuk tujuan pelaburan bagi menambah dana MPM yang tenat pada pada tahun 1990-an.

Sebelum ini, MPM bergantung sepenuhnya peruntukan yang tidak seberapa daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebelum Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil alih pada 2006.

Keadaan itu menyebabkan MPM terpaksa mencari alternatif lain bagi menampung kos program dan aktiviti membabitkan atlet paralimpik negara yang disusun setiap tahun.

"Untuk mendapat dana tambahan, exco MPM ketika itu sebulat suara menubuhkan anak syarikat dengan nama Paralimpik Ventures Sdn. Bhd. bagi mencari keuntungan dengan modal sebanyak RM4 juta yang dikumpul hasil perbelanjaan berhemah yang dilakukan MPM sebelum ini dan perkara ini telah dimaklumkan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS)," katanya.

Zainal berkata, apa yang dirancang bagaimanapun tidak berjalan lancar apabila PVSB gagal memberi pulangan keuntungan seperti yang disasarkan berikutan kemelesetan ekonomi dunia pada 2008.

Beliau berkata, PVSB pernah menyumbang keuntungan tunai sebanyak RM700,000 kepada MPM sebelum ini dan ini membuktikan bahawa anak syarikat milik MPM itu menjalankan perniagaan yang mendatangkan keuntungan.

Beliau menambah, pihaknya sering menghantar laporan kewangan tahunan MPM dan PVSB kepada PPS pada setiap tahun dan menafikan dakwaan bahawa wang RM4 juta yang dilaburkan MPM itu adalah lebihan peruntukan yang disediakan untuk penganjuran Sukan FESPIC Kuala Lumpur 2006. – Bernama

Harimau Malaya uji kekuatan dengan Iraq

Posted:

Harimau Malaya uji kekuatan dengan Iraq

Harimau Malaya uji kekuatan dengan Iraq

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

NAIB Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan Kamal (gambar) mendedahkan, skuad kebangsaan bakal beraksi dalam tiga aksi perlawanan antarabangsa sebagai persiapan menghadapi kempen kelayakan Piala Asia 2015 pada Februari depan.

Tiga pasukan tersebut ialah Iraq, Uzbekistan dan India yang telah pun mengesahkan persetujuan mengadakan aksi persahabatan itu.

Jelasnya, perlawanan persahabatan tersebut adalah untuk memantapkan persediaan skuad negara bagi menghadapi kelayakan Piala Asia 2015.

"Seperti yang dimaklum, pasukan kebangsaan akan memulakan aksi persahabatan itu menentang Qatar di Doha pada 6 Februari depan.

"Sebelum itu, skuad negara akan menentang Iraq di UAE pada 1 Februari dan aksi menentang Uzbekistan serta India bakal diadakan bulan September," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Dalam perkembangan sama, Subahan turut mengesahkan FAM telah memohon kepada pasukan-pasukan lain untuk mengadakan aksi persahabatan dalam usaha memperbanyakkan aksi pemanas badan buat skuad negara.

"Selain itu, kita (dijangka) akan bertemu dengan Oman dan jika semuanya berjalan lancar, aksi menentang Oman bakal berlangsung pada 17 Mac depan.

"Kita juga telah menulis surat serta memohon untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan lain termasuk Thailand (7 Jun), Jordan (11 Jun) di laman sendiri, China (18 Jun), Taiwan (14 Ogos) serta Korea Selatan (10 Oktober) dan setakat ini kami masih menunggu jawapan.

"Kami harap mereka akan dapat memberikan persetujuan untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan kami," katanya.

Pada perkembangan lain, Subahan turut menggesa agar penyokong-penyokong setia Harimau Malaya memberikan sokongan padu kepada skuad kendalian Datuk K. Rajagobal dalam usaha melayakkan diri secara automatik ke pentas Piala Asia.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved