Ahad, 23 Disember 2012

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Hafiz tunggu Matahari

Posted:

Hafiz tunggu Matahari

Hafiz tunggu Matahari

HADIR dengan potongan rambut pendek yang diberi kemasan sleek sebagai pelengkap gaya, imej baharu anak muda kelahiran Kuching, Sarawak itu menampakkan kelainan. Sisi maskulin penyanyi berusia 22 tahun itu juga makin menyerlah. Ada kematangan terselit daripada senyum dan lagaknya.

Selama ini perjalanan kariernya diisi dengan seleksi hit antaranya, Masih Jelas, Noktah Cinta, Awan Nano yang kemudiannya bersambung pula dengan Ku Akui, Ombak Rindu dan terbaharu Muara Hati. Itu semua balada muzik Hafiz yang telah membelah jiwa peminatnya. Ternyata bintang yang menjalar pesonanya daripada program Akademi Fantasia itu semakin mendominasi pasaran penyanyi lelaki solo tempatan ketika ini.

Percubaan menembusi pasaran Indonesia dengan sebuah album yang dilancarkan untuk pasaran di sana dua bulan lalu juga satu langkah progresif untuk penjenamaan Hafiz. Diusik bakal mengikuti jejak langkah Datuk Siti Nurhaliza yang diterima baik pencinta muzik di Jakarta dan Indonesia umumnya, dia pantas menggelengkan kepala.

"Saya masih terlalu baharu, masih kena banyak belajar. Kiranya itu juga satu percubaan besar yang telah saya lakukan. Di Indonesia, saya benar-benar kena bermula dari bawah. Saya kena buat promosi di pusat-pusat beli-belah dan panjat stesen-stesen radio untuk perkenalkan nama saya kepada pendengar di sana.

"Di sana (Indonesia), jika sesebuah lagu daripada pendatang baharu seperti saya ini dapat bertahan di radio selama seminggu pun sudah dikira cukup bagus. Saya sudah sangat bersyukur dan setakat ini ulasan media di sana juga sungguh memberangsangkan. Lagu-lagu di dalam album itu juga sudah boleh dibeli menerusi iTunes," katanya yang baru-baru ini ke Jakarta lagi untuk rakaman klip video terbaharunya, Bahagiamu Deritaku.

Galak bercerita tentang pengalaman bekerjasama dengan kru penggambaran di Jakarta, Hafiz ketawa mengenangkan layanan pihak produksi di sana yang di luar jangkaan.

"Usahkan pegang cawan minuman dan ikatkan tali kasut, kalau boleh seluar saya pun mahu mereka pakaikan," bicara Hafiz bersantai-santai sementara menunggu set penggambaran untuk kulit album kedua disiapkan, Isnin lalu.


HAFIZ kelihatan lebih matang dengan stail rambut baharu dan gaya maskulin khas untuk album baharunya.


Album baharu tahun depan

Mencuri waktu emas penyanyi yang telah dua kali diiktiraf sebagai pemilik vokal terbaik dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) itu, Hafiz sedia berkongsi khabar mengenai album keduanya yang masih dalam pembikinan.

Album yang mendapat khidmat komposer Ajai, Kunci Demak, LY Baiduri dan Izueiza itu memuatkan 10 buah lagu termasuk tiga buah lagu yang dipetik daripada album yang dilancarkan di Indonesia dua bulan yang lalu.

Lagu tersebut ialah, Bahagiamu Deritaku, Patah Hati dan Hanya Kau Ku Cinta.

"Buat masa ini sembilan buah lagu telah siap cuma tinggal sebuah lagu sahaja. Mungkin saya akan cipta sendiri lagu yang terakhir itu," katanya mengenai album yang mahu direalisasikan dalam genre alternatif balada itu.

Ucap Hafiz lagi, untuk album kedua pihak pengurusan Astro Entertaiment Sdn. Bhd. memberi kelonggaran kepadanya untuk memilih konsep yang diinginkan.

"Jiwa saya sebenarnya lebih kepada muzik alternatif tetapi saya lebih dikenali dengan lagu-lagu balada. Jadi, untuk album baharu ini, saya mahu masukkan sedikit impian saya untuk dikongsi dan dirasai bersama dengan peminat. Saya tidak boleh buat perubahan secara drastik, nanti peminat akan rasa pelik. Jadi, konsep album tidak boleh terlalu jauh dengan album pertama.

"Saya juga tak boleh buang konsep balada dalam karier muzik saya. Balada tetap ada cuma ditambah sedikit elemen alternatif, akan ada sedikit elemen rock dan saya tak sabar untuk menghiburkan peminat dengan lagu baharu saya kelak," getusnya yang menetapkan lagu berjudul Matahari (Tak Cukup Indah) sebagai sasaran single terbaharunya.

Berdiri sebagai bekas peserta program realiti yang kemudiannya mengukir tapak yang kukuh untuk sebuah legasi kepada namanya, Hafiz sedar rezeki itu sekadar pinjaman selagi dia berjuang dan bekerja kuat.

"Saya cuma buat kerja saya. Saya cuma mahu menghasilkan sesuatu yang berkualiti. Menjadi popular sahaja tidak berguna sekiranya tidak produk berkualiti yang boleh menyokong populariti seseorang," katanya optimis.

Kulit album berkonsepkan majalah mini


BERKONGSEPKAN majalah mini, penggambaran kulit album kedua Hafiz berlangsung selama dua hari di Studio Pashe, Sunway Damansara.


Tidak sahaja pemilihan material sebagai bahan halwa telinga yang menjadi resipi kejayaan sesebuah album, pandangan pertama peminat terhadap kulit album itu kelak juga diberi penekanan. Biar peminat jatuh cinta dengan kulit album dulu sebelum mendengar gemersik dan merdunya lagu yang terkandung.

Untuk album kedua nanti, Hafiz bersama pihak pengurusannya memilih konsep majalah mini sebagai hadiah untuk peminat. Sesuai pula dengan judul Matahari (Tak Cukup Indah) yang disasarkan sebagai single pertama, kulit album itu merakamkan segala emosi perjalanan karier seni Hafiz selama ini.

"Untuk kulit album kedua ini, kami menggunakan khidmat Simon Chin, jurugambar terkenal yang pernah bekerja dengan nama-nama terkenal sebelum ini. Saya seronok dan sukakan konsepnya yang sangat pop.

"Rambut saya pula sudah kelihatan macam Psy, Oppa Gangnam Style," lenturnya berseloroh sambil memecahkan suasana dengan tawa berderai.

Kejutan selamba untuk AJL

Sebelum membiarkan Hafiz kembali ke set untuk meneruskan sesi fotografi yang berlangsung selama dua hari itu, dia disoal tentang persediaan menjelang AJL ke-26, pada 6 Januari depan.

"Saya pilih konsep persembahan yang selamba dan bersahaja untuk lagu Ku Akui. Untuk lagu Ombak Rindu duet bersama Adira pula, mungkin ada sedikit lakonan yang akan memasukkan semula emosi daripada filem Ombak Rindu sendiri," katanya menyimpan perancangan persembahan di pentas AJL kelak sebagai kejutan untuk peminat.

Siri kontroversi Shila-Sharnaaz

Posted:

Siri kontroversi Shila-Sharnaaz

Siri kontroversi Shila-Sharnaaz


SHILA memberitahu media bahawa hubungannya dengan Sharnaaz sudah kembali normal.


SEPINTAS lalu nama Shila Amzah dan Sharnaaz Ahmad itu sendiri cukup serasi untuk melekat sebagai pasangan merpati dua sejoli. Masing-masing sama popular, sama cantik dan sama sepadan. Bukan sahaja bertaut rasa cinta, Shila dan Sharnaaz bahkan berkongsi huruf pangkal nama yang sama.

Huruf 'S' untuk Shila dan Sharnaaz manakala huruf 'A' pula untuk Amzah dan Ahmad. Itu yang tertulis walaupun secara hakikatnya nama itu sekadar nama timangan mereka di arena hiburan.

Menyebut nama Shila dan Sharnaaz, dua selebriti yang hangat bercinta itu tidak habis dipukul kontroversi. Habis isu cium tangan di majlis Anugerah Industri Muzik, sensasi percintaan mereka kembali menggelegak dengan isu amukan di laman Twitter oleh Sharnaaz dan pengakuan terbuka oleh Shila konon-kononnya telah bersetuju untuk berkahwin dan telah menerima lamaran daripada Sharnaaz.

Sharnaaz mendakwa akaun Twitternya digodam manakala Shila pula telah memadamkan status 'lamaran' yang ditulisnya. Apa sahaja alasan dan tindakan yang dilakukan, 'drama sebabak' Shila dan Sharnaaz tetap menjadi buah mulut ramai.

Sandiwara Twitter dua 'S' itu cukup untuk menjadi pemanas kepada Anugerah Planet Muzik 2012 (APM) yang sepi tanpa banyak publisiti hujung minggu lalu. Kemenangan besar Shila yang mengungguli Anugerah Artis Wanita Terbaik seperti tenggelam akibat salah percaturan.

"Secara jujur, saya hanya menganggap kata-kata saya itu sebagai suatu gurauan. Saya tak sangka ia tidak dapat diterima oleh sesetengah orang. Habis acara itu, abah (panggilan Shila untuk ND Lala) menegur saya bahawa saya tidak patut berkata sedemikian di hadapan khalayak. Saya mengakui keterlanjuran kata-kata saya itu," jelas Shila berhubung gurauannya di pentas APM yang dikatakan menjadi penyebab kepada kemarahan Sharnaaz.

Segala-galanya bermula pada acara APM Sabtu lalu apabila Shila membuat persembahan bersama penyanyi popular Singapura, Taufik Batisah. Menambah konflik kepada plot kontroversi terbaharu itu, Shila dalam nada bergurau berkata sesuatu ketika menjadi penyampai bersama Adi Rahman.

"Saya lupa nak cakap terima kasih kepada cinta hati saya. Sebenarnya dia merajuk sebab tadi saya nyanyi dengan Taufik Batisah, saya tak tahu mana dia pergi," memetik ucapan Shila Amzah seperti yang tersiar.

Shila sudah membuka mulut saat ditemui media ketika pelancaran Konsert Shila Amzah dan Makan Malam Eksklusif sempena Gala Amal Pamoga-Gaza yang diadakan di Petaling Jaya, Selangor pada Isnin lalu.

Sebelum itu, bapanya sendiri, ND Lala juga terpanggil untuk memberi penjelasan agar kisah peribadi anak perempuannya itu dihentikan setakat ini.

Dalam satu kiriman e-mel yang dihantar kepada sebuah akhbar, ND atau nama sebenarnya Amir Amzah Salleh berkata, dia tidak mahu Shila memberi sebarang kenyataan berhubung perkara itu berikutan tumpuan yang perlu diberikan kepada persiapan rapi untuk ke World Music Awards (WMA) di Miami, Florida, Amerika Syarikat.

"Terima kasih kepada media, peminat dan masyarakat kerana terus memberi perhatian terhadap kerjaya Shila dan saya melihat tumpuan mengangkat nama baik negara lebih penting daripada hal yang bersifat peribadi.

"Buat masa ini saya tidak mahu Shila memberi ulasan kerana perhatiannya lebih kepada WMA memandangkan dia dicalonkan untuk kategori Artis Wanita Terbaik dan Penghibur Terbaik, sekali gus sejarah bagi industri muzik kita di mata dunia," ulas ND Lala berhubung kontroversi cinta puteri sulungnya.

Untuk Sharnaaz yang masih berdiam, mungkin diam itu gerak terbaik yang menjadikan hubungannya bersama Shila kembali ke suhu damai. Seperti kata Shila, hubungan mereka kini berjalan seperti biasa kerana segala masalah telah diselesaikan.

Antitahayul cara Mamat Khalid

Posted:

Antitahayul cara Mamat Khalid

Antitahayul cara Mamat Khalid


HUSIN (Awie) kembali ke Kampung Pisang setelah ditimpa muflis.


DUA tahun lamanya durasi yang diberikan oleh sutradara Mamat Khalid untuk menyemai rindu khalayak buat sambungan filem pecah panggungnya, Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Mengubat kerinduan dengan tawa dan hilai penonton terhadap lawak jenaka yang diberikan, Mamat selaku penulis skrip dan pengarah, kembali mempersembahkan filem kesinambungannya itu pada 7 Februari 2013.

Masih dengan sebuah tajuk yang panjang dan mengambil nafas untuk dibaca dan disebut, filem dengan tajuk Hantu Kak Limah 2: Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit itu bagi Mamat adalah sebuah penyegaran.

Dalam sesi sidang media selepas tayangan filem tersebut yang diadakan di Ipoh, Perak pada 15 Disember lalu, Mamat menjelaskan filem terbaharu terbitan Tayangan Unggul itu sebenarnya masih mengekalkan roh yang berlatarkan Kampung Pisang.

Mengekalkan Awie sebagai penarik cerita dan khalayak ke panggung, filem dengan kos RM1.65 juta itu masih berkisarkan Husin (Awie) serta penduduk Kampung Pisang yang berhadapan dengan permasalahan 'hantu'.

Karakter-karakter seperti Usop Wilcha, Pak Jabit, Kak Limah, Pak Abu dan Wan Kaswi yang dekat dengan khalayak bakal memberi kesinambungan ketawa kepada para peminat filem Mamat.

Mengharapkan para penonton filem tempatan berhibur dengan buah tangan baharunya itu, pada satu sisi lain, filem itu juga perlu diperhalusi dalam penyampaian mesej-mesejnya.

Boleh terangkan tentang penyegaran filem ini yang disebut sewaktu sidang media?

MAMAT KHALID: Saya mengekalkan roh Kampung Pisang agar khalayak berada dekat dan rasa dipunyai. Apabila saya mahu buat filem trilogi tentang Kampung Pisang, filem ini perlu lain daripada Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah. Karakter dan kampung masih sama tetapi ada penyegaran dalam permasalahan dan kewujudan karakter-karakter baharu. Filem ini tidak mengulang kembali perkara-perkara lama.

Pada satu lapis, khalayak akan melihat sebuah filem yang menghiburkan serta kembali bergelak ketawa. Pada lapisan kedua, anda selaku sutradara seakan-akan mengajar khalayak tentang tahayul. Boleh terangkan?

Saya seorang yang antitahayul. Tidak takutkan hantu kerana bagi saya, hantu hanya mainan filem. Kita dikelilingi dengan masyarakat yang masih kuat amalan tahayul. Saya suka untuk mempamerkan ini untuk menyatakan bahawa kita tidak lari daripada budaya itu.

Adakah anda melihat ini sebagai satu wabak?

Orang kita takut dengan gelap. Dimomokkan dengan banyak cerita tahayul. Penonton boleh melihat filem ini sebagai sebuah sumber hiburan sahaja. Pada saya, saya boleh pamerkan hantu atau jin yang lebih serius. Nanti kalau khalayak lihat, jin yang ditampilkan adalah jin yang ada dalam gambaran kanak-kanak yang gemar bermain permainan video. Namun begitu, saya paparkan juga tentang orang kampung dan ketahayulan yang masih berlegar. Mereka yang pilih untuk bersatu dengan tahayul. Husin pula cuba untuk lari daripada semua itu.

Filem ini juga memaparkan tingkah laku golongan berpangkat yang mampu membuat kucar-kacir dalam sebuah komuniti. Adakah itu satu kritikan?

Saya paparkan itu melalui lakonan Rashidi Ishak yang membawakan watak doktor. Bila ada pangkat, orang terus percayakan dia. Mungkin itu lumrah kehidupan apabila berhadapan dengan orang yang lebih berpangkat. Mereka mengangkat tanpa menilai. Dalam pada itu, suasana yang lebih besar dapat kita lihat pada kaum Yahudi yang mempermainkan manusia sejagat dengan kehebatan mereka. Kita lupa bahawa mereka ini berselindung.

Kredit: www.kosmo.com.my

Sabtu, 22 Disember 2012

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Sate tulang lebih besar, lebih sedap

Posted:

Sate tulang lebih besar, lebih sedap

Sate tulang lebih besar, lebih sedap

SEKITAR jalan raya berdekatan Klinik 1Malaysia Jalan Pantai, Batu 3, Jalan Pantai, Seremban, Negeri Sembilan kabur dek asap dari dua buah alat pemanggang sate di sebuah gerai berbumbungkan khemah kanvas biru.

Setiap hari, suasana di situ meriah seawal pukul 6 petang hingga 12 tengah malam kecuali pada hari Selasa kerana gerai Sate Ayang Pantai itu ditutup pada hari tersebut.

Sebaik melalui Jalan Jelebu atau lebih popular sebagai Jalan Pantai oleh masyarakat tempatan, anak mata tidak akan terlepas meleret menyaksikan deretan kereta yang diletakkan di bahu jalan seolah-olah ada pesta sedang berlangsung. Sementelah aroma rempah satenya yang enak dapat dihidu ketika melepasi kawasan tersebut.

Bagi mereka yang pertama kali singgah di gerai sate yang terletak kira-kira 2 kilometer (km) dari plaza tol Ampangan, Lebuhraya Lekas arah Seremban itu pasti tertarik dengan hidangan yang disediakan.

"Kami bukan sahaja menyediakan hidangan sate ayam dan sate daging biasa, bahkan ada yang lebih istimewa iaitu sate tulang," ujar pengusaha gerai tersebut, Sharipah Sadiah Khalid, 30, yang menyambut kedatangan kru Jurnal baru-baru ini.

Sate tulang menjadi hidangan signatur di gerai yang diusahakan oleh Sharipah Sadiah yang mesra disapa Ayang bersama suaminya, Yusri Abed, 35, itu. Turut dijual ialah variasi sate lain yang dihidangkan bersama kuah kacang dan nasi himpit.

Jika pertama kali ke situ, ketepikan hajat untuk menempah sate ayam dan daging yang biasa kerana nikmat akan lebih terasa jika menjamah sate tulang ayam terutamanya kepada penggemar bahagian tersebut.


ARANG daripada kayu bakau digunakan bagi memastikan keenakan rasa sate terpelihara.


"Kesedapan sate tulang lebih terasa kerana isi ayam dan rempahnya lebih sebati yang melekat di celah-celah tulang. Apatah lagi apabila ia dimakan bersama dengan kuah kacang pekat dan rasanya manis.

"Jika mahu menikmatinya dengan lebih puas, pakailah tangan berbanding makan terus daripada lidinya," ujar seorang pelanggan, Zabidi Ahmad, 32.

Saiznya yang kelihatan berganda berbanding sate ayam biasa turut menarik perhatian penggemar sate apatah lagi apabila dimakan ketika masih panas berasap.

Mengekalkan rasa sate yang segar dan enak sudah tentu memerlukan proses penyediaan yang mencabar manakala penjagaannya perlu diberi perhatian kerana sate tulang ayam lebih sensitif dan dan mudah rosak apabila kerap terdedah.

Demi mengekalkan kesegaran sate tulang tersebut, pasangan suami isteri itu akan mengunjungi Pasar Besar Seremban yang terletak kira-kira 5km dari gerai itu untuk mendapat bekalan bahan mentah pada setiap hari.

"Tulang ayam yang sudah diperap selama sejam akan mula dicucuk pada pukul 11 pagi pada setiap hari. Ini bermakna kesemua sate tulang tersebut perlu dihabiskan setiap hari kerana kualitinya sangat sensitif.

"Oleh kerana daging dan tulang ayam yang masih melekat itu, ia boleh menjadi mudah rosak jika tidak dijaga dengan betul. Jadi kesemua tulang yang sudah diperap itu perlu dihabiskan pada hari itu juga," kata Yusri yang memperoleh idea itu sejak mula membuka gerai tersebut tiga tahun lalu.

Bagaimanapun jelas Yusri, dia tidak menggunakan resipi rahsia untuk penyediaan bahan perapannya yang terdiri daripada serai, jintan, gula, kunyit dan bawang. Tambahnya, resipi itu diperoleh secara turun-temurun daripada ibunya yang menjalankan perniagaan sate semasa zaman kanak-kanaknya.


VARIASI sate seperti (dari kiri) sate perut, sate telur puyuh, sate rusa, sate tulang dan sate ayam ditawarkan di gerai Sate Ayang Pantai.


Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa gerai tersebut sebagai pusat sehenti buat penggemar sate kerana Yusri variasi sate.

Antara jenis sate lain yang dihidangkan termasuklah, sate perut iaitu daripada bahagian perut tembusu atau perut panjang daripada lembu dan kerbau, sate kambing, sate tongkeng, sate rusa, sate mempedal, sate telur puyuh dan sate arnab untuk waktu tertentu.

Menurut Ayang, menu paling popular dan cepat habis yang dihidangkan bersama nasi impit dan kuah kacang itu adalah sate tulang, sate perut dan sate tongkeng.

Seorang ahli perniagaan, Mohd. Zaidi Taib, 43, yang merupakan penggemar daging rusa tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi gerai itu hampir setiap minggu bagi menikmati juadah tersebut.

"Daging rusa memang sukar didapati, tetapi gerai sate ini menyediakannya. Harganya juga berpatutan. Hanya RM1.50 secucuk sate rusa dan isinya besar. Itulah istimewanya gerai ini bermacam-macam jenis sate ada," ujar Mohd. Zaidi.

Hidangan tersebut pula dijual pada harga semurah RM0.60 untuk sate ayam, sate daging (RM0.70), sate tulang (RM1), sate perut (RM1), sate kambing (RM1), sate tongkeng (RM1), sate telur puyuh (RM1).

Antara cabaran bagi pasangan suami isteri dalam menyediakan variasi sate itu adalah cara penyediaan yang berbeza-beza bagi setiap jenis bahan.

"Dalam memerap kesemuanya hampir sama iaitu diperap dari awal pagi untuk dibakar pada waktu petang. Tetapi untuk menyediakan sate telur puyuh, telur yang sudah direbus dan dikupas kulit akan dimasak sekali lagi bersama rempah sate selama 15 ke 20 minit agar ia ia lebih terasa. Tetapi untuk membakarnya hanya memerlukan beberapa minit dan sekadar untuk dipanaskan.

"Berbeza pula dengan cara membakar sate tulang yang mengambil masa yang lebih lama iaitu antara 10 hingga 15 minit kerana strukturnya yang lebih besar dan bertulang. Menjaganya juga sedikit leceh kerana jika tidak dikendali dengan betul ia akan masak tidak sekata.

"Sate perut akan direbus terlebih dulu agar teksturnya menjadi lebih lembut untuk dimakan," kata Yusri yang turut berkhidmat sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang koko berdekatan gerainya.


GERAI sate ini terletak berdekatan Klinik 1 Malaysia Jalan Pantai dan Restoran Nur Amira, Jalan Jelebu, Seremban, Negeri Sembilan.


Menurut Yusri, dia akan menyediakan kira-kira 300 cucuk sate tulang ayam setiap hari di samping 700 cucuk sate ayam dan daging serta sate lain.

Bagaimanapun jumlahnya akan menjadi berganda apabila tibanya hujung minggu yang kadangkala mencapai angka 800 cucuk sate tulang yang terjual.

Yusri bukan sahaja memiliki kepakaran menyediakan bahan untuk memerap sate, bahkan kuah kacang yang dihidangkannya mendapat sentuhan istimewa sehingga menerima tempahan yang luar biasa ketika hari raya.

"Kalau di gerai, saya menyediakan kuah kacang biasa. Tetapi apabila tiba hari raya tidak menang tangan menerima tempahan kuah kacang sahaja. Pada setiap tahun para pelanggan akan menempah kira-kira 200kg kuah kacang.

"Ia menjadi istimewa kerana salah satu bahan membuatnya adalah dengan daging lembu agar rasanya menjadi lebih sedap. Tetapi untuk merasa kena lah tunggu hari raya kerana menu itu disediakan khas untuk waktu tersebut sahaja," kata bapa kepada dua orang cahaya mata itu.

Masjid impian Sultan Selangor

Posted:

Masjid impian Sultan Selangor

Masjid impian Sultan Selangor


MASJID Istana Diraja kaya dengan nilai-nilai artistik seni bina Melayu dan Islam.


WALAUPUN baginda puas meredah lautan dan menjelajah banyak negara, kepuasan yang lebih bermakna hanya diperoleh Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas baginda membina sebuah masjid di Klang, Selangor enam bulan lalu.

"Semasa menjelajah ke luar negara khususnya Mesir, beta lihat banyak masjid yang cantik di sana. Jadi beta terfikir untuk mendirikan sebuah masjid seperti itu dengan memilih Istana Alam Shah di Klang sebagai lokasinya. Beta berharap masjid itu akan menjadi tempat untuk menyatukan kira-kira 1,000 ahli kerabat diraja Selangor," titah Sultan Selangor itu.

Dalam buku A Fulfilment: The Royal Palace Mosque, Sultan Sharafuddin menambah, membina masjid itu merupakan impian baginda yang telah lama terpendam.

"Ia ibarat kemuncak pencarian bagi kepuasan dalaman. Pada masa yang sama beta dapat meninggalkan warisan, tidak semestinya projek-projek mega negeri, memadai benda yang bermakna walaupun kecil," ujar baginda.

Lakaran arkitektur

Buku setebal 108 muka surat itu menjadi lambang idea murni Sultan Sharafuddin. Ia dibahagikan kepada empat bab dengan 39 tajuk kecil. Tidak kurang 100 keping gambar ruang dalam dan luar masjid disajikan kepada pembaca termasuk lakaran seni bina masjid itu sebelum kerja-kerja pembinaan dimulakan.

Membaca buku itu seolah-olah membawa pembaca ke tempat-tempat yang pernah baginda lawati. Menurut baginda, masjid itu menggabungkan seni bina Melayu, Turki, Mesir dan negara-negara Asia Barat lain.

Dibina bersebelahan Istana Alam Shah, Masjid Istana Diraja yang diilhamkan serta dibiayai sepenuhnya oleh Sultan Sharafuddin itu sarat dengan nilai-nilai artistik seni bina Melayu dan Islam.

Masjid bernilai RM9 juta itu mempunyai sebuah menara setinggi 36 meter dan empat buah pintu gerbang dengan pintu gerbang utamanya menghadap Istana Alam Shah. Jubin-jubin seni tangan dari Turki pula bagaikan memberikan sentuhan sempurna pada binaan gerbang itu.

Bagi menampakkan kelainan, permukaan kubah masjid diukir dengan corak geometri ringkas yang disusun secara seragam manakala di bahagian atas menara dihias dengan elemen murqanas, iaitu seni reka yang menerapkan corak berunsurkan Islam.

Sebagai kesinambungan kepada seni bina luarannya, pelbagai jenis kaligrafi ayat-ayat suci al-Quran ditempatkan di setiap penjuru dinding masjid.

Terdapat juga ukiran kayu di beberapa tempat seperti bahagian pintu utama dan mimbar bagi menyuntik elemen estetik Melayu.

Masjid terbuka

Lengkap dengan ruang untuk majlis akad nikah dan perkahwinan, masjid ini mengambil reka bentuk masjid-masjid lama di Kaherah, Mesir khususnya pada bentuk menara, kubah dan pintu gerbang.

Ia direka berkonsepkan masjid terbuka dengan ruang dalam bangunan kebanyakannya tidak dipisahkan oleh dinding bagi menggalakkan pengaliran udara segar di samping menjimatkan penggunaan alat pendingin hawa.

Pembinaan masjid yang berkeluasan 2,160 meter persegi itu mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan iaitu bermula dari Januari 2009 sehingga Mei lalu.

Tujuan utama pembinaannya adalah bagi mengeratkan hubungan silaturahim serta mengukuhkan tali persaudaraan antara waris-waris kerabat diraja Selangor.

Masjid ini juga dijadikan sebagai pusat ilmu tahfiz al-Quran yang dikenali sebagai Maahad Tahfiz Istana Alam Shah.

Pusat ilmu ini ditubuhkan bagi melahirkan ahli hufaz yang seimbang kejayaan mereka di dunia dan akhirat di samping memberikan manfaat kepada umat Islam.

Selain itu, ia juga berfungsi sama seperti masjid lain dan boleh digunakan oleh orang awam yang menghadiri majlis atau istiadat di Istana Alam Shah untuk menunaikan solat.

Bagaimanapun, solat Jumaat tidak dilakukan di sini berikutan lokasinya yang terlalu hampir dengan Masjid Suleiman Jamiur Rahmah yang dibina lebih 100 tahun lalu.

Berkat sekilogram tepung

Posted:

Berkat sekilogram tepung

Berkat sekilogram tepung

Oleh KHAIRIYAH HANAFI


WANITA ini mulanya tidak mempunyai asas untuk membuat kerepek.


SIAPA sangka di sebalik kejayaan wajah tua ini tersimpan seribu satu kenangan pahit yang pernah di tempuhinya dahulu?

Segalanya bermula dengan pantas sekitar tahun 1997 semasa Malaysia mengalami masalah kegawatan ekonomi yang teruk.

Kesusahan hidup yang dialami Siti Amanah Sidek, 57, membuatkan dirinya nekad untuk berkecimpung dalam dunia perniagaan.

"Kehidupan di Tanah Rancangan Felda memang terlalu susah pada waktu itu. Memang tidak sama dengan apa yang kita lihat sekarang.

"Dahulu hendak mandi pun kena angkut air di perigi atau sungai berdekatan. Rumah pula hanya beratapkan zink dan berdindingkan kayu cukup sekadar untuk berlindung daripada hujan dan panas.

"Tetapi sekarang semua sudah berubah. Pendek kata, buka mata sahaja siaplah semua," katanya memulakan bicara.

Membuka cerita mengenai kisah kehidupan silamnya, wanita yang selesa dipanggil Ummi itu berkata, dia memulakan perniagaan kerepek dengan hanya bermodalkan sekilogram tepung dan minyak sahaja.

Perniagaan yang diceburinya itu bermula dengan niat untuk membantu menjana pendapatan keluarga memandangkan suaminya hanya mengusahakan kebun kecil di belakang rumah.

Legasi perniagaan

Anak-anaknya pula pada waktu itu masih dalam alam persekolahan yang memerlukan perbelanjaan besar untuk membeli kelengkapan sekolah.

"Secara jujurnya, saya tiada asas dalam pembuatan kerepek. Saya belajar melalui pemerhatian terhadap kawan-kawan yang menjalankan perniagaan kerepek.

"Kemudian bila balik sahaja rumah, saya praktikkan apa yang saya nampak dan olah sedikit demi sedikit sehingga rasa kerepek itu ada," katanya kepada Jurnal.

Melalui fasa naik dan turun sama seperti pengusaha-pengusaha yang lain, dia mengakui bukan mudah untuk bertahan sehingga ke hari ini. Lebih-lebih lagi bagi insan sepertinya yang bukan datang daripada keluarga senang.

Malahan, penglibatannya dalam perniagaan kerepek ibarat bidan terjun yang hanya bermodalkan sekilogram tepung dan minyak.

"Dahulu masa baru-baru mula berniaga susah untuk saya dapatkan pelanggan. Sehari pun belum tentu ada kerepek yang terjual.

Perusahaan makanan

"Mana tidaknya, saya hanya menjual kerepek tepung biasa yang disira sambal. Orang lain pula bermacam-macam jenis dan rasa kerepek yang dijualnya," katanya.

Ibu kepada lima orang cahaya mata itu bagaimanapun tidak pernah kenal erti putus asa. Menurutnya, dia pernah menjaja di sekeliling kampung semata-mata untuk menjual kerepek.

Lima tahun kemudian kerepeknya mula mendapat sambutan, tetapi dia pula berdepan dengan masalah pengeluaran produk.

Ini kerana kerepek-kerepek tersebut dihasilkan tanpa penggunaan mesin ataupun tenaga kerja yang lain.

Namun segalanya berubah tiga tahun kemudian apabila dia mula mendapat bantuan daripada Jabatan Pertanian.

Bantuan tersebut membolehkan Ummi untuk mendapatkan bantuan dari segi perkakas membuat kerepek.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa tahu. Siapa sangka, kesabaran menggunung Ummi membolehkannya melebarkan legasi perniagaannya. Daripada kerepek yang dibungkus menggunakan plastik lutsinar tanpa nama tetapi kini namanya menjadi jenama produknya.

Perusahaan Makanan Ummi kini merupakan satu produk makanan berasaskan kerepek yang dikenali di seluruh negeri Johor dan Singapura.

"Dahulu saya hanya mampu untuk menghasilkan sejenis kerepek sahaja dengan menggunakan tepung dan kemudian disira dengan sos pedas.

"Tetapi kini saya mampu menghasilkan pelbagai jenis kerepek seperti kerepek tiram, pagoda, ubi pedas dan cakar ayam," ujarnya.

Tambahnya, perniagaan yang bermodalkan sekilogram tepung itu membuahkan hasil apabila dia mampu menghasilkan beberapa jenis kerepek yang lain seperti kerepek bawang, ubi pedas, jejari pedas, selayang manis serta selayang pedas.

Perniagaan yang dahulunya hanya dilakukan di rumah berdindingkan papan dan beratapkan zink telah berakhir. Kini, ummi mempunyai kilang memproses kerepeknya sendiri dengan perkakas-perkakas canggih untuk tujuan perniagaan.

Jika dahulu dia membanting tulang seorang diri dan kadangkala dibantu oleh anak-anaknya, kini setelah hampir 15 tahun Ummi meneruskan legasi perniagaannya dengan mengupah seramai tujuh orang pekerja.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Negara

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


'Wabak' penembak gila landa AS

Posted:

'Wabak' penembak gila landa AS

'Wabak' penembak gila landa AS

SEORANG pembantu syerif berbincang dengan anggota peronda lain berikutan kejadian tembakan yang membunuh empat orang di Frankstown, Pennsylvania semalam.


NEW YORK - Seramai empat orang maut kelmarin manakala beberapa anggota polis cedera dalam satu kejadian tembakan di pedalaman negeri Pennsylvania, kata pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS).

Bercakap mengenai tragedi terbaharu itu, jurucakap Agensi Pengurusan Kecemasan Daerah Blair, Diane Meling berkata, insiden tembakan itu meliputi 'satu kawasan sekitar beberapa kilometer' dekat bandar Frankstown di negeri berkenaan.

"Empat orang ditembak mati. Jumlah itu termasuk penyerang.

"Terdapat beberapa anggota keselamatan Pennsylvania yang cedera namun, saya difahamkan kecederaan mereka tidak serius," tambah Meling.

Beberapa pegawai lain memberitahu, serangan melibatkan seorang lelaki yang menembak mati seorang wanita ketika mangsa menghias dewan sebuah gereja untuk persediaan parti kanak-kanak di Geeseytown, Pennsylvania sekitar pukul 9 pagi waktu tempatan.

Menurut mereka, penyerang turut membunuh dua lelaki lain di sekitar bandar itu sebelum dia mati ditembak pasukan polis dalam satu kejadian tembak-menembak.

Dalam satu lagi serangan, dua orang ditembak mati di sebuah kelab malam di Birmingham, dalam negeri Alabama kelmarin.

Seorang pegawai polis, Kapten Jim Coker berkata, kedua-dua mangsa mati di tempat kejadian dalam serangan yang berlaku sekitar pukul 11.30 malam waktu tempatan.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Anne Ngasri sah jadi isteri Sumali

Posted:

Anne Ngasri sah jadi isteri Sumali

Anne Ngasri sah jadi isteri Sumali

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my


MOHD. Sumali (kiri) mencium dahi isterinya, Anne bagi membatalkan air sembahyang selepas majlis pernikahan mereka di Pontian, Johor semalam.


PONTIAN – Pelakon Anne Ngasri akhirnya sah menjadi isteri kepada Setiausaha Kerja Pemuda UMNO, Mohd. Sumali Reduan dalam satu majlis yang diadakan di Homestay Citra, Kampung Parit Pinang, Benut di sini semalam.

Dengan mas kahwin sebanyak RM22.50 dan seutas gelang tangan emas, pasangan tersebut selamat diijabkabulkan oleh Kadi Daerah Segamat, Abdul Mutalib Abdul Rahim tepat pukul 11.10 pagi semalam.

Mohd. Sumali, 40, yang telah menduda sejak tiga tahun lalu sebelum ini sah bergelar suami kepada Anne atau nama sebenarnya Naszriah Ngasri, 26, dengan sekali lafaz sahaja.

Pada majlis itu, pengantin bertukar-tukar hantaran iaitu lima dulang daripada Mohd. Sumali dan Anne juga membalas dengan lima dulang hantaran. Wang hantaran pula berjumlah RM11, 111.11.

"Syukur Alhamdulillah kerana penantian saya selama tiga tahun berakhir apabila saya ditemukan dengan lelaki yang terbaik iaitu Sumali yang sudah sah menjadi suami saya," kata Anne. Sebelum ini, selain pernah menjalinkan hubungan cinta dengan penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz, pelakon berkenaan juga pernah mendirikan rumah tangga dengan Abdul Wafi Hassan pada 2006, namun kedua-duanya bercerai empat tahun kemudian.

Sepanjang berkahwin mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Abdul Warits, 6, Abdul Wafri, 4, dan Nazhara Afroza, 1.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Murid tahun 5 maut dibaham buaya

Posted:

Murid tahun 5 maut dibaham buaya

Murid tahun 5 maut dibaham buaya

Oleh MULLER ASEN


ANGGOTA bomba dan penduduk melancarkan gerakan memburu buaya membaham Jerry di Sungai Suai, Miri semalam. Gambar kecil Jerry.


MIRI – Seorang murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Iran Suai maut selepas diserang seekor buaya dalam kejadian di Sungai Suai dekat sini pagi semalam.

Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, mangsa, Jerry Apat Angsa, 11, berasal dari Rumah Panjang Sulang Suai difahamkan turun ke sungai berkenaan bersama dua lagi rakannya untuk mandi.

Namun, niatnya tidak kesampaian selepas seekor buaya sepanjang empat meter dipercayai membaham paha kiri budak malang itu sebelum mengheretnya masuk ke tengah sungai.

Menurut sumber, berdasarkan keterangan rakan yang enggan dikenali, Jerry sempat membasuh bajunya di jeti sebelum diserang oleh reptilia ganas itu.

"Rakannya yang tergamam melihat badan mangsa dilambung dan ditarik buaya ke tengah sungai terus menyelamatkan diri dan berlari pulang ke kampung untuk memaklumkan kejadian kepada keluarga Jerry.

"Selepas menerima berita itu, bapa mangsa, Angsa Ludang, 45, bersama penduduk kampung bergegas ke lokasi kejadian namun kelibat buaya ganas tersebut sudah tidak kelihatan," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Nicol lakar sejarah tersendiri

Posted:

Nicol lakar sejarah tersendiri

Nicol lakar sejarah tersendiri

AKSI Nicol (kiri) ketika menentang Laura pada aksi final Kejohanan Skuasy Wanita Terbuka Dunia 2012 di Camana Bay, Kepulauan Cayman semalam.


RATU negara, Datuk Nicol Ann David melakar sejarah tersendiri apabila mengesahkan gelaran dunia ketujuh selepas memenangi aksi final Kejohanan Skuasy Wanita Terbuka Dunia 2012 di Camana Bay, Kepulauan Cayman semalam.

Kejayaan tersebut hadir selepas pemain No. 1 dunia berusia 29 tahun itu menewaskan Laura Massaro dari England dengan kemenangan straight set 11-6, 11-8, 11-6 dalam tempoh kurang 30 minit.

Kemenangan itu menjadikan Nicol sebagai pemain pertama yang mengungguli tujuh gelaran dunia, sekali gus mengatasi Sarah Fitz- Gerald dari Australia yang meraih enam kejuaraan.

"Saya seperti tidak percayakannya. Saya sangat gembira dengan corak permainan saya hari ini (semalam). Laura juga mempamerkan aksi yang baik kerana dia juga memberikan tekanan pada setiap mata perlawanan.

"Jadi, saya tidak dapat mengambil masa untuk berehat walaupun sebentar kerana saingan yang diberikan sangat kompetitif," kata Nicol seperti yang dipetik dalam laman web rasmi kejohanan iaitu www.worldopensquash.com.

Nicol berkata, dia harus memberikan tumpuan sepenuhnya kepada aksi final itu agar tidak mudah 'termakan' dengan helah Laura.

"Saya hanya memberikan fokus kepada perlawanan tetapi saya juga terpaksa bekerja keras untuk melangkah ke satu tahap yang lebih bagi meraih kemenangan.

"Saya semenangnya mahu meraih kemenangan di sini (Kepulauan Cayman), seterusnya mengungguli gelaran dunia ketujuh. Saya mahukan semuanya!" kata Nicol.

Laura pula mengakui yang Nicol berhak meraih kemenangan tersebut.

"Saya gembira dapat mara ke final tetapi saya juga kecewa kerana tidak dapat mengatasi Nicol.

"Saya masih perlu bekerja lebih keras lagi kerana Nicol bukan mudah untuk ditandingi," kata Laura.

Untuk rekod, Nicol meraih gelaran dunia bermula dengan penyertaan pertamanya di Hong Kong pada 2005, diikuti Ireland Utara (2006), England (2008), Mesir (2010) serta Belanda (2009 dan 2011).

Arena basikal negara penuh ceria

Posted:

Arena basikal negara penuh ceria

Arena basikal negara penuh ceria


KAYUHAN bertenaga Azizulhasni (tengah) dalam acara pecut pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London.


BEBERAPA hari sahaja lagi, tahun 2012 akan melabuhkan tirainya.Bagi arena sukan berbasikal negara, 2012 meninggalkan banyak kenangan. Namun, tahun 2012 menjadi bukti bahawa saiz memainkan peranan untuk bergelar juara dunia hanyalah satu mitos semata-mata.

Hakikat itu dibuktikan oleh pelumba trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London, Ogos lalu.

Hakikatnya, pelumba yang terkenal dengan gelaran The Pocketrocketman itu sudah beberapa kali membuktikan betapa saiz bukan satu alasan untuk mengecap kejayaan.

Di London, Azizulhasni tampil dengan beban menggunung kerana menggalas amanat hampir 28 juta rakyat Malaysia yang mahukan dia muncul pelumba basikal pertama mengucup medal Sukan Olimpik.

Sekalipun gagal menepati sasaran yang ditetapkan, Azizulhasni melakar sejarah unik apabila muncul pelumba Asia terbaik menerusi acara keirin pada temasya Olimpik 2012.

Kejayaan meraih tempat kelapan menerusi acara keirin tetap dianggap sangat membanggakan sekalipun dia gagal melangkah ke pusingan akhir.

Sesungguhnya, Azizulhasni dan Sukan Olimpik 2012 telah merobohkan satu kekangan psikologi yang selama ini mungkin menghantui ramai pelumba Malaysia.

Ramai yang beranggapan mungkin sukar untuk mendominasi dunia kerana rata-rata pelumba negara bersaiz kecil.

Jika mahu dibandingkan dengan jaguh dunia seperti Chris Hoy, barisan pelumba negara mungkin terpaksa mengaku kalah lebih awal sebelum bertarung lagi.

Kini, apabila kalendar persaingan mula melangkah ke tahun 2013, hampir semua pelumba trek negara tidak lagi berdepan kekangan psikologi untuk menyaingi pelumba tersohor dari Jepun, Korea Selatan, China, Kazakhstan atau Iran.

Senario malu atau takut untuk bersaing, kononnya bertubuh kecil yang selama ini jadi suatu mitos, dibakar sepenuhnya oleh Azizulhasni.

Sepanjang tahun depan, beberapa kejohanan besar seperti Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2013 di New Delhi, India dan Sukan SEA di Myanmar dianggap medan terbaik bagi menguji kemampuan barisan pelumba negara.

ACC 2013 dan Sukan SEA 2013 dilihat amat bermakna kerana menawarkan tiket automatik ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Justeru, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM, Datuk Abu Samah Abd. Wahab menjelaskan betapa pihaknya sudah merancang beberapa pendekatan drastik sepanjang 2013 demi memastikan kesinambungan keperkasaan dalam dunia trek akan diteruskan sekalipun tanpa kelibat Azizulhasni.

"Kita mahu mencari dan melahirkan lebih ramai Mohd. Azizulhasni Awang. Kita tak mahu beban itu hanya ditanggung sepenuhnya oleh Azizulhasni seorang.

"Kita perlu mencari pelumba yang sama hebat seperti dia. Lihat sahaja seperti Great Britain. Mereka ada Jason Kenny dan Chris Hoy. Mereka juga ada Bradley Wiggins dan Chris Froome.

"Pada masa yang sama, kita juga mahu mengenal pasti jurulatih yang hebat seperti John Beasley. Kami tidak mahu terlalu membebankan John.

"Kita sepatutnya biarkan dia beri sepenuh perhatian kepada Azizulhasni dan pada masa sama, tugas untuk mencari dan melahirkan lebih ramai bakat bertaraf dunia perlu digalas oleh jurulatih yang lain.

"Namun, saya percaya perkara ini bukannya semudah kita berkata-kata. Ia perlukan satu perancangan yang mantap dan pengorbanan serius demi melahirkan lebih ramai pelumba bertaraf dunia seperti Azizulhasni, (Mohd.) Rizal (Tisin) dan Josiah Ng," kata Abu Samah.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mohid Mohamed turut berkongsi sentimen yang sama.

Beliau mengharapkan satu keajaiban yang ketara menerusi skuad lebuh raya Malaysia untuk menjelmakan siri kejayaan besar sebagaimana dicetuskan oleh pelumba trek.

"Saya perhatikan selama ini kita hanya mengharapkan Anuar Manan atau (Mohd.) Harrif Salleh. Apa akan jadi seandai- nya kedua-dua pelumba tersebut kurang menyengat pada sesuatu kejohanan.

"Jadi, kita harus mula mencari pelapis untuk menggantikan Anuar atau Harrif. Sebagaimana yang kita tahu, sukan mempunyai satu jangka usia bertarung yang tidak menentu. Apa akan jadi kalau mereka tercedera. Sudah tentu kita tak boleh mengharapkan mereka berdua sahaja.

"Jadi, saya mahu PKBM mencari jalan bagaimana cara untuk melahirkan lebih ramai pelumba yang hebat seperti Anuar atau Harrif.

"PKBM harus menampilkan lebih ramai pelumba berbakat di pentas yang lebih berkualiti seperti Sukan Olimpik atau Sukan Asia. Apa yang dicapai oleh Azizulhasni memanglah sangat membanggakan kita semua.

"Saya juga mahu senario yang sama dicipta oleh pelumba lebuh raya Malaysia. Mereka harus mula membuktikan kejayaan pada peringkat yang lebih besar," katanya.

Abu Samah pula menambah, PKBM kini sudah mula mengorak langkah dengan sanggup berbelanja besar demi melahirkan jurulatih dan pelumba bertaraf khususnya yang berkualiti tinggi dalam kategori pendakian.

"Ada dua kategori perlumbaan dalam acara lepas beramai-ramai elit lelaki. Siri perlumbaan jelajah seperti Le Tour de Langkawi (LTdL), Tour de Taiwan, Tour of Korea dan Tour of Thailand.

"Perlumbaan sehari (one day race) pula seperti Sukan Olimpik, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan SEA. Semua perlumbaan itu memberi makna kemenangan yang besar.

"Ramai pelumba sanggup bekerja keras untuk menang pada Jelajah Perancis. Ada juga pelumba yang sanggup berkorban apa saja demi mengucup medal Sukan Olimpik.

"Ini dibuktikan oleh Wiggins pada Jelajah Perancis 2012 dan Sukan Olimpik 2012. Seseorang pelumba itu harus kuat dalam pendakian dan hebat di laluan landai.

"Inilah masalah pelumba lebuh raya Malaysia selama ini. Mereka agak kuat di laluan landai tetapi sangat lemah di kawasan pendakian.

"Jadi, kita melantik jurulatih baharu iaitu Aminuddin Sulaiman. Sasaran kita adalah untuk melahirkan lebih ramai pelumba yang kuat di pendakian. Saya rasa Aminuddin ada cara tersendiri untuk mencapai sasaran yang diberikan kepada beliau," jelas Abu Samah.

Kancah 2012 turut menyaksikan kelab benua tunggal di Malaysia iaitu Terengganu Cycling Team (TSG) mendominasi kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dalam siri Jelajah Asia.

"Kami adalah antara orang pertama yang memberi keizinan kepada mereka (TSG) menarik pelumba kelahiran Terengganu seperti Harrif, Anuar, Mohd. Zamri (Salleh), Mohd. Saufi (Senan) dan Mohd. Shahrul (Mat Amin) untuk menganggotai TSG.

"Walaupun pada masa itu mereka adalah tonggak pasukan lebuh raya Malaysia, namun kami membenarkan mereka berhijrah ke TSG.

"Yang penting, bendera Malaysia tetap berkibar dan lagu Negaraku berkumandang seandainya mereka menang pada sesuatu perlumbaan.

"Setakat ini, saya merasakan penubuhan TSG itu menepati sasaran yang ditetapkan. Mereka kini muncul antara kelab benua terbaik di benua Asia," kata Mohid dengan nada ceria.

Sedar atau tidak, skuad lebuh raya wanita turut menunjukkan peningkatan, sekali gus mampu untuk menyaingi kehebatan pelumba Vietnam, Thailand dan Indonesia.

Hakikat ini cuba dibuktikan oleh jurulatih skuad wanita, Mohd. Shari Mohd. Noor.

Beliau percaya anak-anak buahnya seperti Muslihah Salim, Masziyaton Mohd. Radzi dan Nurul Suhada Zainal mampu melakukan sesuatu pada temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar nanti.

"Sepanjang 2012 kami telah menyertai banyak pertandingan di Thailand, Vietnam dan Indonesia. Secara perlahan kita telah mula mampu menyaingi pelumba Thailand, Vietnam dan Indonesia.

"Beberapa tahun lalu, pelumba wanita kita agak jauh ketinggalan di belakang. Saya mengharapkan mereka mampu menang medal pada Sukan SEA 2013 nanti," katanya.

Keyakinan yang sama juga dilaungkan oleh Aminuddin yang muncul sebagai satu-satunya jurulatih mengucup kejayaan berganda pada Sukan SEA 2005 di Manila, Filipina dan edisi 2007 di Korat, Thailand menerusi Suhardi Hassan.

Aminuddin percaya skuad lebuh raya mampu untuk meraih pingat emas Sukan SEA 2013 seandainya Malaysia menggabungkan pelumba kebangsaan dan pasukan berstatus kelab, Terengganu Cy- cling Team (TSG).

"TSG masih mempunyai pelumba yang hebat seperti Harrif, Zamri, Mohd. Saufi dan Mohd. Shahrul.

"Dalam kem pasukan kebangsaan pula kita ada Muhammad Rauf (Nur Misbah) dan Mohd. Fauzan (Ahmad Lufti). Kita boleh gandingkan mereka untuk mencapai sasaran meraih pingat emas acara lepas beramai-ramai lelaki," katanya.

Hakikatnya, sinar mentari kejayaan pasti bergemerlapan sepanjang 2013 seandainya semua pihak berganding bahu untuk mencari titik persepakatan dalam memperjuangkan nama baik pasukan trek, lebuh raya, basikal bukit mahupun BMX negara.

Piala Ketua Pengarang Utusan hangat

Posted:

Piala Ketua Pengarang Utusan hangat

Piala Ketua Pengarang Utusan hangat


KAMI JUARA.... Barisan pemain Pasukan B meraikan kejayaan mereka menjuarai Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Pengarang Utusan 2012.


PENUH semangat setiakawan dan berpasukan.Senario itu yang dapat digambarkan pada Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Pengarang Utusan 2012 yang berlangsung di Padang Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak, Kuala Lumpur semalam.

Kejohanan anjuran Kelab Bola Sepak Editorial Utusan itu menampilkan enam pasukan termasuk dua skuad senior yang dibarisi pemain berusia 35 tahun ke atas.

Paling mencuri tumpuan ialah pemain paling senior di tengah padang iaitu K. Gopal Krishnan yang beraksi di posisi pertahanan bersama Pasukan Senior II.

Gopal yang telah mencecah usia 52 tahun merupakan pemandu peribadi kepada Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin.

Format pertandingan kejohanan sembilan sebelah itu diadakan secara liga melibatkan dua kumpulan. Dua pasukan terbaik bagi setiap kumpulan secara automatik layak ke saingan separuh akhir.

Walaupun terpaksa bertarung dalam keadaan cuaca panas dan hujan sejak saingan peringkat kumpulan lagi, Pasukan B akhirnya dinobatkan selaku juara.

Pasukan B yang diketuai Mohd. Hasriq Amiruddin muncul juara pada aksi final selepas menewaskan Pasukan Senior II yang turut dibarisi Pengarang Berita Kosmo!, Wan Hasnan Wan Hasan; Wartawan Eksekutif di Meja Sukan Kosmo!, Norzasrudin Mohamed Nor serta dua pakar grafik Kosmo!, Zainul Hisham dan Zaharuddin Mohamad. Pasukan Senior II kalah 0-2.

Pasukan A pula berjaya menebus kekecewaan gagal beraksi di pentas final selepas muncul sebagai pemenang tempat ketiga dengan menyingkirkan Pasukan D menerusi penentuan sepakan penalti.

Biarpun dianggap baik daripada segi kualiti penganjuran, kejohanan julung kali itu turut dimeriahkan dengan beberapa insiden hangat membabitkan para pemain.

Bagaimanapun, atas dasar semangat setiakawan, mereka yang terbabit tetap menampilkan semangat kesukanan dengan bersalaman antara satu sama lain selepas tamat aksi di padang.

Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak turut hadir menyaksikan perlawanan separuh akhir dan final kejohanan.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah; Pengarang Kosmo!, Baharom Mahusin; Penolong Pengarang Utusan Malaysia, Zulkefli Hamzah dan Pengurus Kelab Bola Sepak Editorial Utusan, Mustafa Kamal Basri.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Bom tentera Syria tidak meletup

Posted:

Bom tentera Syria tidak meletup

Bom tentera Syria tidak meletup

GAMBAR menunjukkan sebutir lagi bom tidak meletup di Ain Terma.


DAMSYIK - Beberapa butir bom yang digugurkan di Ain Terma, timur Damsyik dalam peperangan saudara di Syria didapati tidak meletup pada 19 Disember lalu.

Bom-bom tersebut jatuh di beberapa batang jalan raya tetapi ia tidak meletup sekali gus menjadi tontonan penduduk dan para penentang Presiden Bashar Al-Assad.

Kawasan di Ain Terma itu merupakan lokasi serangan tentera Syria terhadap askar-askar Tentera Pembebasan Syria yang menentang rejim Bashar.

Pertempuran itu meletus sejak Mac tahun lalu dan lebih 43,000 orang dilaporkan telah terkorban.

Para penentang itu terdiri daripada penduduk tempatan yang mahu menggulingkan rejim Bashar.

Bashar dianggap gagal membawa pembaharuan dalam bidang pentadbiran dan kebebasan hak asasi manusia.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menyatakan pihaknya akan menyediakan bekalan makanan kepada lebih 100,000 orang yang melarikan diri dari kem pelarian Palestin di Syria.

Kem itu terletak di Yarmuk, lapan kilometer dari Damsyik.

Ia turut menempatkan penduduk Syria yang menjadi mangsa peperangan tersebut.

Para pelarian itu melarikan diri ekoran serangan pesawat tentera Syria di kawasan berdekatan kem itu.

Kelmarin, konflik di Syria telah menjadi pertempuran antara fahaman Syiah dengan Sunni.

Ia diumumkan oleh agensi penyiasat PBB, Suruhanjaya Siasatan Syria selepas melakukan lawatan ke negara ini.

Bashar merupakan penganut Islam fahaman Syiah Alawi manakala ramai penduduk di negara ini berfahaman Sunni. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Lim Keng Yaik meninggal dunia

Posted:

Lim Keng Yaik meninggal dunia

Lim Keng Yaik meninggal dunia

22/12/2012 6:50pm

Bekas Presiden parti Gerakan Malaysia, Tun Dr. Lim Keng Yaik, 73, meninggal dunia di kediamannya di Tropicana Petaling Jaya pada pukul 4.45 petang.

Perkara ini disahkan oleh Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan.— BERNAMA

Penyakit diabetes ancaman baru golongan muda

Posted:

Penyakit diabetes ancaman baru golongan muda

Penyakit diabetes ancaman baru golongan muda

22/12/2012 4:53pm

KUALA LUMPUR — Seramai 300,000 golongan muda di negara ini didapati menghidapi penyakit diabetes melitus jenis 2 atau dikenali sebagai T2DM, kata Pakar Endokrinologi Universiti Sains Malaysia, Prof. Datuk Dr. Wan Mohamad Wan Bebakar.

Beliau berkata, jumlah penghidap golongan muda itu dikhuatiri akan meningkat sejajar dengan jangkaan peningkatan penghidap T2DM di seluruh dunia dari 230 juta kepada 440 penghidap menjelang 2030.

Katanya, pertambahan bilangan penghidap muda T2DM bermakna risiko berdepan komplikasi penyakit itu pada usia yang lebih muda juga adalah tinggi.

"Hakikatnya, 20.8 peratus dari rakyat Malaysia ketika ini adalah penghidap T2DM. Apa yang kami khuatiri ialah jumlah penghidap muda yang berusia dalam lingkungan 20-25 tahun meliputi lima peratus dari jumlah itu.

"Bilangannya adalah lebih besar jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat yang hanya mempunyai dua peratus golongan muda menghidapi penyakit itu," katanya dalam kenyataan sempena pelancaran Kombiglyze Yze Xr, sejenis tablet baru untuk merawat T2DM.— BERNAMA

Hoki Piala Juara-juara Asia: Malaysia kalahkan Oman

Posted:

Hoki Piala Juara-juara Asia: Malaysia kalahkan Oman

Hoki Piala Juara-juara Asia: Malaysia kalahkan Oman

22/12/2012 4:08pm

KUALA LUMPUR — Pasukan hoki lelaki kebangsaan memperoleh kemenangan kedua dalam Kejohanan Hoki Piala Juara-juara Asia setelah mengalahkan Oman 4-1 di Stadium Hoki Al Rayyan di Doha, Qatar pada Jumaat.

Khamis lepas, mereka menumpaskan Jepun dengan jumlah jaringan yang sama.

Pemain negara, bagaimanapun, berdepan tugas getir apabila mereka dijadual berdepan Pakistan, iaitu juara tahun lepas, pada Ahad.

Selain Malaysia, Jepun, Oman dan Pakistan, pasukan lain yang mengambil bahagian dalam kejohanan itu ialah juara bertahan India dan China.

Malaysia mengetepikan Jepun 1-0 untuk membawa pulang pingat gangsa dalam edisi pertama kejohanan itu di Ordos, China, tahun lepas.— BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

Jumaat, 21 Disember 2012

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


Kem bina semangat pelajar sekolah Kuala Muda

Posted:

Kem bina semangat pelajar sekolah Kuala Muda

Kem bina semangat pelajar sekolah Kuala Muda


SEBAHAGIAN daripada pelajar yang menyertai program RIMUP di Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.


BERSATU. Seramai 52 pelajar sekolah menengah di daerah Kuala Muda telah menyertai program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) selama tiga hari di Kem Teluk Bayu, Jalan Batu Lintang, Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.

Pejabat Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Kuala Muda menganjurkan program itu bagi memupuk semangat kepimpinan dalam diri remaja sekolah.

Pegawai penyelaras program itu, Hanita Ahmad berkata, peserta juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti lasak dan mencabar antaranya berkayak dan merentas hutan bakau.

Pegawai Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Kuala Muda, Jim Caroline ketika menutup program itu berkata, ilmu dan pengalaman yang diperoleh perlu dimanfaatkan oleh para pelajar kerana ia mampu membentuk jati diri masing-masing.

Warga KPTec tanam pokok bakau

Posted:

Warga KPTec tanam pokok bakau

Warga KPTec tanam pokok bakau


SEBAHAGIAN 30 kakitangan KPTec, Pulau Pinang turun padang menyempurnakan Program Pemuliharaan Paya Bakau di Nibong Tebal baru-baru ini.


CINTAI ALAM. Kira-kira 30 kakitangan Kobe Precision Technology (KPTec) Pulau Pinang turun padang menjayakan Program Pemuliharaan Paya Bakau di Kuala Sungai Acheh, Sungai Acheh Nibong Tebal, Pulau Pinang baru-baru ini.

Sepanjang program sehari itu, warga KPTec sanggup berlumpur untuk menanam sebanyak 60 batang anak pokok bakau di kawasan tersebut bagi tujuan pemuliharaan alam sekitar.

Penyelaras program, Mohamad Abd. Hamid berkata, aktiviti kemasyarakatan itu dianjurkan dengan bekerjasama Persatuan Kebajikan Nelayan-Nelayan Pantai Pulau Pinang (PKNNPPP).

Menurut beliau, pihaknya juga menyerahkan satu unit projektor dan sumbangan wang tunai berjumlah RM1,000 bagi tujuan membantu pihak PKNNPPP meneruskan usaha-usaha murni pemulihraan hutan paya bakau.

Meet Uncle Awie juara kejohanan paintball AmBank

Posted:

Meet Uncle Awie juara kejohanan paintball AmBank

Meet Uncle Awie juara kejohanan paintball AmBank


SYED ANUAR (berdiri, empat dari kiri) bersama para peserta yang menyertai pertandingan paintball di Petaling Jaya baru-baru ini.


MERIAH. Pasukan Meet Uncle Awie muncul juara pada Kejohanan Paintball Kelab AmBank Group (KAG) Super 7 2012 yang berlangsung di Akademi Paintball Malaysia, Kompleks Sukan Astaka, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Kejohanan itu mencatat sejarah tersendiri apabila disertai oleh 273 peserta daripada warga AmBank Group.

Presiden KAG yang juga Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat dan Pemasaran Kumpulan AmBank, Syed Anuar Syed Ali turut menyaksikan sebahagian pasukan yang bertanding dalam kejohanan itu.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved