Sabtu, 22 Disember 2012

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Nicol lakar sejarah tersendiri

Posted:

Nicol lakar sejarah tersendiri

Nicol lakar sejarah tersendiri

AKSI Nicol (kiri) ketika menentang Laura pada aksi final Kejohanan Skuasy Wanita Terbuka Dunia 2012 di Camana Bay, Kepulauan Cayman semalam.


RATU negara, Datuk Nicol Ann David melakar sejarah tersendiri apabila mengesahkan gelaran dunia ketujuh selepas memenangi aksi final Kejohanan Skuasy Wanita Terbuka Dunia 2012 di Camana Bay, Kepulauan Cayman semalam.

Kejayaan tersebut hadir selepas pemain No. 1 dunia berusia 29 tahun itu menewaskan Laura Massaro dari England dengan kemenangan straight set 11-6, 11-8, 11-6 dalam tempoh kurang 30 minit.

Kemenangan itu menjadikan Nicol sebagai pemain pertama yang mengungguli tujuh gelaran dunia, sekali gus mengatasi Sarah Fitz- Gerald dari Australia yang meraih enam kejuaraan.

"Saya seperti tidak percayakannya. Saya sangat gembira dengan corak permainan saya hari ini (semalam). Laura juga mempamerkan aksi yang baik kerana dia juga memberikan tekanan pada setiap mata perlawanan.

"Jadi, saya tidak dapat mengambil masa untuk berehat walaupun sebentar kerana saingan yang diberikan sangat kompetitif," kata Nicol seperti yang dipetik dalam laman web rasmi kejohanan iaitu www.worldopensquash.com.

Nicol berkata, dia harus memberikan tumpuan sepenuhnya kepada aksi final itu agar tidak mudah 'termakan' dengan helah Laura.

"Saya hanya memberikan fokus kepada perlawanan tetapi saya juga terpaksa bekerja keras untuk melangkah ke satu tahap yang lebih bagi meraih kemenangan.

"Saya semenangnya mahu meraih kemenangan di sini (Kepulauan Cayman), seterusnya mengungguli gelaran dunia ketujuh. Saya mahukan semuanya!" kata Nicol.

Laura pula mengakui yang Nicol berhak meraih kemenangan tersebut.

"Saya gembira dapat mara ke final tetapi saya juga kecewa kerana tidak dapat mengatasi Nicol.

"Saya masih perlu bekerja lebih keras lagi kerana Nicol bukan mudah untuk ditandingi," kata Laura.

Untuk rekod, Nicol meraih gelaran dunia bermula dengan penyertaan pertamanya di Hong Kong pada 2005, diikuti Ireland Utara (2006), England (2008), Mesir (2010) serta Belanda (2009 dan 2011).

Arena basikal negara penuh ceria

Posted:

Arena basikal negara penuh ceria

Arena basikal negara penuh ceria


KAYUHAN bertenaga Azizulhasni (tengah) dalam acara pecut pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London.


BEBERAPA hari sahaja lagi, tahun 2012 akan melabuhkan tirainya.Bagi arena sukan berbasikal negara, 2012 meninggalkan banyak kenangan. Namun, tahun 2012 menjadi bukti bahawa saiz memainkan peranan untuk bergelar juara dunia hanyalah satu mitos semata-mata.

Hakikat itu dibuktikan oleh pelumba trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London, Ogos lalu.

Hakikatnya, pelumba yang terkenal dengan gelaran The Pocketrocketman itu sudah beberapa kali membuktikan betapa saiz bukan satu alasan untuk mengecap kejayaan.

Di London, Azizulhasni tampil dengan beban menggunung kerana menggalas amanat hampir 28 juta rakyat Malaysia yang mahukan dia muncul pelumba basikal pertama mengucup medal Sukan Olimpik.

Sekalipun gagal menepati sasaran yang ditetapkan, Azizulhasni melakar sejarah unik apabila muncul pelumba Asia terbaik menerusi acara keirin pada temasya Olimpik 2012.

Kejayaan meraih tempat kelapan menerusi acara keirin tetap dianggap sangat membanggakan sekalipun dia gagal melangkah ke pusingan akhir.

Sesungguhnya, Azizulhasni dan Sukan Olimpik 2012 telah merobohkan satu kekangan psikologi yang selama ini mungkin menghantui ramai pelumba Malaysia.

Ramai yang beranggapan mungkin sukar untuk mendominasi dunia kerana rata-rata pelumba negara bersaiz kecil.

Jika mahu dibandingkan dengan jaguh dunia seperti Chris Hoy, barisan pelumba negara mungkin terpaksa mengaku kalah lebih awal sebelum bertarung lagi.

Kini, apabila kalendar persaingan mula melangkah ke tahun 2013, hampir semua pelumba trek negara tidak lagi berdepan kekangan psikologi untuk menyaingi pelumba tersohor dari Jepun, Korea Selatan, China, Kazakhstan atau Iran.

Senario malu atau takut untuk bersaing, kononnya bertubuh kecil yang selama ini jadi suatu mitos, dibakar sepenuhnya oleh Azizulhasni.

Sepanjang tahun depan, beberapa kejohanan besar seperti Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2013 di New Delhi, India dan Sukan SEA di Myanmar dianggap medan terbaik bagi menguji kemampuan barisan pelumba negara.

ACC 2013 dan Sukan SEA 2013 dilihat amat bermakna kerana menawarkan tiket automatik ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Justeru, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM, Datuk Abu Samah Abd. Wahab menjelaskan betapa pihaknya sudah merancang beberapa pendekatan drastik sepanjang 2013 demi memastikan kesinambungan keperkasaan dalam dunia trek akan diteruskan sekalipun tanpa kelibat Azizulhasni.

"Kita mahu mencari dan melahirkan lebih ramai Mohd. Azizulhasni Awang. Kita tak mahu beban itu hanya ditanggung sepenuhnya oleh Azizulhasni seorang.

"Kita perlu mencari pelumba yang sama hebat seperti dia. Lihat sahaja seperti Great Britain. Mereka ada Jason Kenny dan Chris Hoy. Mereka juga ada Bradley Wiggins dan Chris Froome.

"Pada masa yang sama, kita juga mahu mengenal pasti jurulatih yang hebat seperti John Beasley. Kami tidak mahu terlalu membebankan John.

"Kita sepatutnya biarkan dia beri sepenuh perhatian kepada Azizulhasni dan pada masa sama, tugas untuk mencari dan melahirkan lebih ramai bakat bertaraf dunia perlu digalas oleh jurulatih yang lain.

"Namun, saya percaya perkara ini bukannya semudah kita berkata-kata. Ia perlukan satu perancangan yang mantap dan pengorbanan serius demi melahirkan lebih ramai pelumba bertaraf dunia seperti Azizulhasni, (Mohd.) Rizal (Tisin) dan Josiah Ng," kata Abu Samah.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mohid Mohamed turut berkongsi sentimen yang sama.

Beliau mengharapkan satu keajaiban yang ketara menerusi skuad lebuh raya Malaysia untuk menjelmakan siri kejayaan besar sebagaimana dicetuskan oleh pelumba trek.

"Saya perhatikan selama ini kita hanya mengharapkan Anuar Manan atau (Mohd.) Harrif Salleh. Apa akan jadi seandai- nya kedua-dua pelumba tersebut kurang menyengat pada sesuatu kejohanan.

"Jadi, kita harus mula mencari pelapis untuk menggantikan Anuar atau Harrif. Sebagaimana yang kita tahu, sukan mempunyai satu jangka usia bertarung yang tidak menentu. Apa akan jadi kalau mereka tercedera. Sudah tentu kita tak boleh mengharapkan mereka berdua sahaja.

"Jadi, saya mahu PKBM mencari jalan bagaimana cara untuk melahirkan lebih ramai pelumba yang hebat seperti Anuar atau Harrif.

"PKBM harus menampilkan lebih ramai pelumba berbakat di pentas yang lebih berkualiti seperti Sukan Olimpik atau Sukan Asia. Apa yang dicapai oleh Azizulhasni memanglah sangat membanggakan kita semua.

"Saya juga mahu senario yang sama dicipta oleh pelumba lebuh raya Malaysia. Mereka harus mula membuktikan kejayaan pada peringkat yang lebih besar," katanya.

Abu Samah pula menambah, PKBM kini sudah mula mengorak langkah dengan sanggup berbelanja besar demi melahirkan jurulatih dan pelumba bertaraf khususnya yang berkualiti tinggi dalam kategori pendakian.

"Ada dua kategori perlumbaan dalam acara lepas beramai-ramai elit lelaki. Siri perlumbaan jelajah seperti Le Tour de Langkawi (LTdL), Tour de Taiwan, Tour of Korea dan Tour of Thailand.

"Perlumbaan sehari (one day race) pula seperti Sukan Olimpik, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan SEA. Semua perlumbaan itu memberi makna kemenangan yang besar.

"Ramai pelumba sanggup bekerja keras untuk menang pada Jelajah Perancis. Ada juga pelumba yang sanggup berkorban apa saja demi mengucup medal Sukan Olimpik.

"Ini dibuktikan oleh Wiggins pada Jelajah Perancis 2012 dan Sukan Olimpik 2012. Seseorang pelumba itu harus kuat dalam pendakian dan hebat di laluan landai.

"Inilah masalah pelumba lebuh raya Malaysia selama ini. Mereka agak kuat di laluan landai tetapi sangat lemah di kawasan pendakian.

"Jadi, kita melantik jurulatih baharu iaitu Aminuddin Sulaiman. Sasaran kita adalah untuk melahirkan lebih ramai pelumba yang kuat di pendakian. Saya rasa Aminuddin ada cara tersendiri untuk mencapai sasaran yang diberikan kepada beliau," jelas Abu Samah.

Kancah 2012 turut menyaksikan kelab benua tunggal di Malaysia iaitu Terengganu Cycling Team (TSG) mendominasi kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dalam siri Jelajah Asia.

"Kami adalah antara orang pertama yang memberi keizinan kepada mereka (TSG) menarik pelumba kelahiran Terengganu seperti Harrif, Anuar, Mohd. Zamri (Salleh), Mohd. Saufi (Senan) dan Mohd. Shahrul (Mat Amin) untuk menganggotai TSG.

"Walaupun pada masa itu mereka adalah tonggak pasukan lebuh raya Malaysia, namun kami membenarkan mereka berhijrah ke TSG.

"Yang penting, bendera Malaysia tetap berkibar dan lagu Negaraku berkumandang seandainya mereka menang pada sesuatu perlumbaan.

"Setakat ini, saya merasakan penubuhan TSG itu menepati sasaran yang ditetapkan. Mereka kini muncul antara kelab benua terbaik di benua Asia," kata Mohid dengan nada ceria.

Sedar atau tidak, skuad lebuh raya wanita turut menunjukkan peningkatan, sekali gus mampu untuk menyaingi kehebatan pelumba Vietnam, Thailand dan Indonesia.

Hakikat ini cuba dibuktikan oleh jurulatih skuad wanita, Mohd. Shari Mohd. Noor.

Beliau percaya anak-anak buahnya seperti Muslihah Salim, Masziyaton Mohd. Radzi dan Nurul Suhada Zainal mampu melakukan sesuatu pada temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar nanti.

"Sepanjang 2012 kami telah menyertai banyak pertandingan di Thailand, Vietnam dan Indonesia. Secara perlahan kita telah mula mampu menyaingi pelumba Thailand, Vietnam dan Indonesia.

"Beberapa tahun lalu, pelumba wanita kita agak jauh ketinggalan di belakang. Saya mengharapkan mereka mampu menang medal pada Sukan SEA 2013 nanti," katanya.

Keyakinan yang sama juga dilaungkan oleh Aminuddin yang muncul sebagai satu-satunya jurulatih mengucup kejayaan berganda pada Sukan SEA 2005 di Manila, Filipina dan edisi 2007 di Korat, Thailand menerusi Suhardi Hassan.

Aminuddin percaya skuad lebuh raya mampu untuk meraih pingat emas Sukan SEA 2013 seandainya Malaysia menggabungkan pelumba kebangsaan dan pasukan berstatus kelab, Terengganu Cy- cling Team (TSG).

"TSG masih mempunyai pelumba yang hebat seperti Harrif, Zamri, Mohd. Saufi dan Mohd. Shahrul.

"Dalam kem pasukan kebangsaan pula kita ada Muhammad Rauf (Nur Misbah) dan Mohd. Fauzan (Ahmad Lufti). Kita boleh gandingkan mereka untuk mencapai sasaran meraih pingat emas acara lepas beramai-ramai lelaki," katanya.

Hakikatnya, sinar mentari kejayaan pasti bergemerlapan sepanjang 2013 seandainya semua pihak berganding bahu untuk mencari titik persepakatan dalam memperjuangkan nama baik pasukan trek, lebuh raya, basikal bukit mahupun BMX negara.

Piala Ketua Pengarang Utusan hangat

Posted:

Piala Ketua Pengarang Utusan hangat

Piala Ketua Pengarang Utusan hangat


KAMI JUARA.... Barisan pemain Pasukan B meraikan kejayaan mereka menjuarai Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Pengarang Utusan 2012.


PENUH semangat setiakawan dan berpasukan.Senario itu yang dapat digambarkan pada Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Pengarang Utusan 2012 yang berlangsung di Padang Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak, Kuala Lumpur semalam.

Kejohanan anjuran Kelab Bola Sepak Editorial Utusan itu menampilkan enam pasukan termasuk dua skuad senior yang dibarisi pemain berusia 35 tahun ke atas.

Paling mencuri tumpuan ialah pemain paling senior di tengah padang iaitu K. Gopal Krishnan yang beraksi di posisi pertahanan bersama Pasukan Senior II.

Gopal yang telah mencecah usia 52 tahun merupakan pemandu peribadi kepada Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin.

Format pertandingan kejohanan sembilan sebelah itu diadakan secara liga melibatkan dua kumpulan. Dua pasukan terbaik bagi setiap kumpulan secara automatik layak ke saingan separuh akhir.

Walaupun terpaksa bertarung dalam keadaan cuaca panas dan hujan sejak saingan peringkat kumpulan lagi, Pasukan B akhirnya dinobatkan selaku juara.

Pasukan B yang diketuai Mohd. Hasriq Amiruddin muncul juara pada aksi final selepas menewaskan Pasukan Senior II yang turut dibarisi Pengarang Berita Kosmo!, Wan Hasnan Wan Hasan; Wartawan Eksekutif di Meja Sukan Kosmo!, Norzasrudin Mohamed Nor serta dua pakar grafik Kosmo!, Zainul Hisham dan Zaharuddin Mohamad. Pasukan Senior II kalah 0-2.

Pasukan A pula berjaya menebus kekecewaan gagal beraksi di pentas final selepas muncul sebagai pemenang tempat ketiga dengan menyingkirkan Pasukan D menerusi penentuan sepakan penalti.

Biarpun dianggap baik daripada segi kualiti penganjuran, kejohanan julung kali itu turut dimeriahkan dengan beberapa insiden hangat membabitkan para pemain.

Bagaimanapun, atas dasar semangat setiakawan, mereka yang terbabit tetap menampilkan semangat kesukanan dengan bersalaman antara satu sama lain selepas tamat aksi di padang.

Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak turut hadir menyaksikan perlawanan separuh akhir dan final kejohanan.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah; Pengarang Kosmo!, Baharom Mahusin; Penolong Pengarang Utusan Malaysia, Zulkefli Hamzah dan Pengurus Kelab Bola Sepak Editorial Utusan, Mustafa Kamal Basri.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved