Khamis, 20 Disember 2012

Kosmo Online - Sukan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Malaysia cipta sejarah

Posted:

Malaysia cipta sejarah

Malaysia cipta sejarah

KONTINJEN Malaysia mencipta sejarah apabila muncul juara keseluruhan pada AUG 2012 yang berakhir di Laos semalam. Pada temasya tersebut Malaysia meraih 60 pingat emas, 48 perak dan 72 pingat gangsa.


VIENTIANE, Laos – Kontinjen Malaysia mencatat sejarah baharu pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2012 yang melabuhkan tirainya di Stadium Utama Kompleks Sukan Nasional Laos semalam.

Buat pertama kalinya, Malaysia dinobatkan sebagai juara keseluruhan dan lebih manis kejayaan itu diraih di luar negara.

Kontinjen negara yang dibarisi 306 atlet mengungguli carta pungutan pingat pada temasya tersebut dengan membawa pulang 60 pingat emas, 47 perak dan 72 gangsa.

Malaysia mengatasi pencabar terdekat, Vietnam yang menamatkan saingan di tempat kedua dengan 56 emas, 35 perak dan 28 gangsa manakala Thailand di tempat ketiga dengan pungutan 42 emas, 51 perak dan 55 gangsa.

Malaysia tidak pernah bergelar juara keseluruhan pada AUG yang dilangsungkan di luar negara sejak temasya ini diperkenalkan di Chiangmai, Thailand pada tahun 1981.

Kali terakhir Malaysia bergelar juara keseluruhan ialah ketika menjadi tuan rumah pada edisi ke-14 empat tahun lalu.

Kejayaan kali ini juga mengatasi pencapaian terbaik mereka pada edisi ke-15 di Chiangmai dua tahun lalu yang menyaksikan Malaysia menamatkan saingan di tempat ketiga dengan meraih 37 pingat emas, 34 perak dan 43 gangsa.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sudah boleh menarik nafas lega apabila dasar yang diperkenalkan menerusi penubuhan Pusat Tumpuan Sukan dan Pusat Kecemerlangan Sukan di semua Institusi Pengajian Tinggi dua tahun lalu kini sudah menampakkan impak yang positif menerusi kejayaan kali ini.

Pada temasya kali ini, skuad renang paling menyerlah apabila menyumbangkan pingat terbanyak buat kontinjen Malaysia sekaligus bergelar juara keseluruhan sepanjang empat hari acara itu dipertandingkan di Pusat Akuatik Kompleks Sukan Nasional Laos.

Skuad renang cemerlang apabila menyumbang 21 emas.

Acara terjun juga tidak menghampakan apabila menyapu bersih kesemua empat pingat emas yang ditawarkan dalam acara tersebut.

Atlet-atlet olahraga turut mencuri tumpuan apabila berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan dengan meraih 11 emas, 10 perak dan enam gangsa.

Kejayaan itu menyaksikan skuad olahraga negara melepasi sasaran sembilan emas yang ditetapkan sebelum bermulanya temasya ini.

Majlis penutup AUG ke-16 semalam telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Laos, Asang Laoli.

Majlis kemudiannya tertumpu kepada penyerahan bendera kejohanan yang diserahkan oleh Menteri Pelajaran dan Sukan Laos, Dr. Phankham Viphavanh kepada Presiden Majlis Sukan Universiti ASEAN, Prof. Datuk Dr. Kassim Md. Mansor.

Dr. Kassim kemudian menyerahkan bendera itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Sukan Selatan Indonesia, Muddai Madang.

Indonesia bakal menjadi tuan rumah edisi ke-17 AUG pada 2014.

ToV 2012: Harrif pamer taring

Posted:

ToV 2012: Harrif pamer taring

ToV 2012: Harrif pamer taring

HARRIF muncul juara perlumbaan pada peringkat ketiga ToV 2012 semalam.


CAN THO CITY, Vietnam - Selepas dua hari menunggu untuk meledak, pelumba Terengganu Cycling Team, Mohd. Harrif Salleh akhirnya muncul juara perlumbaan peringkat ketiga Kejohanan Lumba Basikal Tour of Vietnam 2012 (ToV 2012) sejauh 124 kilometer dari Can Tho Soc Trang ke Thanh Pho Can Tho semalam.

Sekalipun hampir terkepung dalam celahan kelompok kecil pelumba termasuk dua pelumba skuad lebuh raya Malaysia yang terjatuh 100 meter daripada garisan penamat, namun pemecut TSG tersebut berjaya meloloskan diri untuk mengesahkan kejuaraan pertamanya pada ToV 2012.

Mohd. Harrif yang dianggap pemecut terbaik di Asia jelas mengharapkan sentuhan rakan sepasukannya khususnya Mohd. Zamri Salleh dan Mohd. Saiful Anuar Aziz sebelum melakukan henjutan ke garisan penamat dengan catatan masa 2 jam 51 minit 32 saat dengan purata kelajuan 43.373 kilometer sejam.

Kejayaan semalam menyaksikan tonggak TSG itu menyarung Jersi Biru ToV 2012 selepas mengumpul 51 mata berbanding pencabar terdekat, En Huang daripada pasukan Max Success Sports yang kini mendominasi Jersi Kuning.

Pelumba serba boleh negara, Mohd. Nor Rizuan Zainal pula yang turut terlibat dalam kemalangan menduduki tempat kelapan dengan catatan masa serupa sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam kutipan mata keseluruhan untuk Jersi Biru ToV 2012.

"Saya gembira kerana menang hari ini (semalam). Saya menunggu hampir dua hari untuk melakukan sesuatu. Saya dan rakan sepasukan memang tunggu detik yang sesuai untuk sekurang-kurangnya menang satu peringkat perlumbaan. Nampaknya ia berlaku hari ini (semalam)," kata Mohd. Harrif.

Strategi perlumbaan semalam digerakkan oleh TSG dengan pasukan kebangsaan Uzbekistan saling bekerjasama untuk mengukuhkan penguasaan mereka dalam kedudukan berpasukan keseluruhan ToV 2012.

Anak-anak buah jurulatih Malaysia, Aminuddin Sulaiman semalam dikerah bekerja keras demi mempertahankan kedudukan berpasukan keseluruhan dengan ancaman utama datang daripada TSG yang kini menduduki tempat ke-12 keseluruhan dengan catatan masa 35:36:30s berbanding pasukan kebangsaan di tempat ke-10 dengan catatan masa 35:34:26s.

Namun, buat pelumba tonggak negara Muhammad Rauf Nur Misbah, aksi semalam cukup mencabar buatnya setelah namanya tiada dalam senarai perlumbaan peringkat ketiga gara-gara laporan komisar yang kononnya dia melakukan kesalahan teknikal pada perlumbaan peringkat kedua kelmarin.

Bagaimanapun, selepas Aminuddin melakukan rayuan, Muhammad Rauf akhirnya dibenarkan berlumba namun dia dua kali terlibat dalam kemalangan termasuk terjatuh bersama lima pelumba yang jelas meranapkan peluangnya untuk melakukan sesuatu sekali pun sudah berada di kelompok depan pada jarak 5km terakhir.

Aminuddin mengaku perlumbaan peringkat ketiga jelas mengundang pelbagai detik mencabar buat anak-anak buahnya.

"Ahmad Fakrullah (Alias) bocor tayar belakang sebaik sahaja perlumbaan bermula. Selepas itu Muhammad Rauf terjatuh. Kemudian disusuli pula insiden Mohd. Ekbar (Zamanhuri) yang mengalami kebocoran tayar belakang dan terpaksa bekerja keras sejauh 3km untuk kembali ke dalam kelompok besar.

"Ketika perlumbaan tinggal 5km, Muhammad Rauf sekali lagi terjatuh sedangkan waktu itu dia bersama 10 pelumba sedang melakukan pemecahan dan hampir dua minit di depan kelompok pengejar. Insiden terakhir ialah Ahmad Fakrullah dan Mohd. Nor Rizuan terjatuh pada 100 meter ke garisan penamat.

"Hari ini (semalam) adalah hari yang sangat mencabar untuk kita. Semua pelumba terpaksa bekerja keras."

'Harimau Malaya kurang keyakinan'

Posted:

'Harimau Malaya kurang keyakinan'

'Harimau Malaya kurang keyakinan'

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

EPISOD hitam pada kempen Piala Suzuki AFF 2012 masih sukar untuk dikikis dalam kalangan peminat setia Harimau Malaya.

Kekecewaan tersebut masih lagi dirasai sejurus menyaksikan pasukan kesayangan mereka tersingkir daripada kejohanan berprestij Asia Tenggara itu pada peringkat separuh akhir.

Biarpun tampil dengan reputasi sebagai juara bertahan, skuad kendalian Datuk K. Rajagobal ternyata gagal untuk mempamerkan aksi memberangsangkan selepas tewas dengan agregat 1-3 kepada Thailand, minggu lalu.

Sebelum mengharungi kempen Piala Suzuki AFF pada kali ini, skuad negara sudah mula dikritik hebat ekoran prestasi hambar dalam beberapa siri perlawanan persahabatan antarabangsa.

Malah, sikap Rajagobal yang kerap melakukan 'eksperimen' dalam usaha membentuk satu pasukan mantap telah mengundang perasaan kurang senang beberapa pihak termasuk penyokong-penyokong fanatik Harimau Malaya.

Pengkritik mula berpendapat jurulatih berusia 56 tahun itu harus melakukan sesuatu atau berundur daripada membimbing skuad kebangsaan bagi memberikan laluan kepada pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swee yang dilihat sebagai pengganti ideal buat Rajagobal.

Begitupun, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih memberikan kepercayaan kepada bekas pengendali Selangor dan Kelantan itu dalam usaha melayakkan diri ke pentas Piala Asia 2015 menerusi perlawanan kelayakan yang akan bermula pada Mac depan.

Namun, bagi bekas pemain kebangsaan, Datuk Shukor Salleh menyifatkan Harimau Malaya masih lagi berpeluang untuk memperbaiki kelemahan selain meningkatkan corak permainan.

"Apa yang saya nampak, skuad negara kita tidak menunjukkan peningkatan yang begitu ketara.

"Sejujurnya, Harimau Malaya hanya 'betul-betul' bermain bola sepak ketika menewaskan Vietnam (2-0) dan Indonesia (3-0) di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada aksi Piala Suzuki AFF 2010.

"Jika Laos begitu yakin memperagakan corak hantaran pendek, mengapa tidak Harimau Malaya?

"Laos hanya menaruhkan pemain-pemain muda dan tidak memiliki pengalaman sebagaimana skuad negara biarpun mereka tewas kepada skuad negara 1-4 namun keyakinan barisan pemain mereka begitu terserlah.

"Kebanyakan pemain kita dilihat 'gugup' dan inilah masalahnya. Apabila tiada keyakinan diri, banyak kesilapan mudah kita akan buat.

"Tidak adil untuk menyalahkan Rajagobal secara individu cuma nasihat saya adalah beliau patut mencari jalan untuk meningkatkan serta memperbaiki corak permainan," katanya.

Dalam perkembangan lain, bekas pemain kebangsaan dan Pulau Pinang itu turut mengulas mengenai persefahaman dalam kalangan pemain Harimau Malaya sepanjang kejohanan tersebut.

"Jika diperhatikan, aksi Wan Zack Haikal Wan Nor bersama Mahalli Jasuli begitu baik. Persefahaman itu wujud kerana mereka biasa beraksi ketika bersama Harimau Muda."

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Dua banduan larikan diri dari penjara

Posted:

Dua banduan larikan diri dari penjara

Dua banduan larikan diri dari penjara

TALI yang diperbuat daripada cadar katil digunakan oleh dua banduan lelaki untuk melarikan diri.


CHICAGO, Amerika Syarikat - Dua banduan berjaya melarikan diri dengan menggunakan cadar katil sebagai tali dari sebuah penjara di sini awal kelmarin.

Kedua-dua banduan tersebut yang disabitkan kesalahan merompak bank didapati hilang pada pukul 5 pagi waktu tempatan semasa para pengawal penjara membuat pengiraan bilangan penghuni.

Menurut polis, banduan-banduan tersebut didapati bertindak melarikan diri antara pukul 5 dan 8.45 pagi.

Seorang pegawai polis, Sarjan Mark Lazarro berkata, kedua-dua banduan tersebut, Joseph 'Jose' Banks, 37, dan Kenneth Conley, 38, memakai baju banduan berwarna oren semasa mereka melarikan diri.

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua mereka mungkin memakai baju T berwarna putih, seluar panjang berwarna kelabu dan kasut sukan selepas melarikan diri.

Menurut Biro Penyiasatan Pusat (FBI), kali terakhir kelibat kedua-dua lelaki itu dilihat adalah di Taman Tinley, 40 kilometer ke barat daya bandar raya ini.

Sejumlah anggota pasukan tindakan khas dihantar ke taman tersebut untuk memburu mereka.

Namun, kedua-dua banduan tersebut gagal ditemui.

Kedua-dua lelaki berkenaan didapati turun dari sebuah tingkap yang kecil di sebuah bangunan penjara.

Sejumlah orang mengerumuni kawasan di luar penjara kerana mereka tidak percaya kedua-dua banduan berkenaan boleh melarikan diri.

Penjara itu menempatkan kira-kira 700 banduan dan setinggi 27 tingkat.

Ia merupakan bangunan penjara tertinggi di dunia.

Bangunan tersebut direka oleh seorang arkitek, Harry Weese pada tahun 1970-an.

Setiap bilik penjara mempunyai tingkap.

Pada tahun 2010, Matthew Nolan yang merupakan adik pengarah filem Hollywood, Christopher Nolan dihukum penjara 14 bulan kerana merancang untuk melarikan diri dari penjara tersebut dengan menyembunyikan tali yang diperbuat dari cadar katil. - Agensi

Bantahan ganas di New Delhi

Posted:

Bantahan ganas di New Delhi

Bantahan ganas di New Delhi


SEORANg penunjuk perasaan tidak menghiraukan tembakan meriam air dari sebuah kenderaan polis di New Delhi semalam.


NEW DELHI – Polis rusuhan India melepaskan tembakan meriam air semalam bagi menyuraikan tunjuk perasaan di sini yang diadakan bagi membantah kejadian merogol secara berkumpulan ke atas seorang pelajar wanita berusia 23 tahun di dalam sebuah bas, kata beberapa saksi.

Pihak polis melepaskan tembakan air ke arah penunjuk perasaan ketika sebahagian daripada mereka cuba meruntuhkan penghadang besi di luar kediaman rasmi Ketua Menteri Delhi, Sheila Dikshit.

Para penunjuk perasaan turut bertempur dengan anggota polis.

Siri bantahan itu bermula sejak malam Ahad lalu.

Mangsa rogol yang dihumban keluar dari bas kini dilaporkan kritikal dan sedang menerima rawatan di hospital.

Teman lelaki wanita itu turut cedera parah selepas diserang kumpulan yang sama.

Empat orang suspek termasuk pemandu bas telah ditahan dan misi memburu dilancarkan bagi mencari dua lagi suspek.

Pelajar wanita yang dirogol itu belajar dalam jurusan perubatan di sebuah universiti.

Ribuan penunjuk perasaan memenuhi jalan raya di depan ibu pejabat polis dan dekat bangunan Parlimen bagi membantah perbuatan tersebut.

Sebahagian pelajar universiti yang marah membuat sekatan di beberapa batang jalan raya di sini menyebabkan kesesakan teruk berlaku. – Agensi

Rumah perlindungan untuk hari kiamat dijual

Posted:

Rumah perlindungan untuk hari kiamat dijual

Rumah perlindungan untuk hari kiamat dijual


BENTUK rumah perlindungan yang dibina Seyfried di Salt Lake Utara, Utah pada 12 Disember lalu.


WASHINGTON - Syarikat Utah Shelter System yang dikendalikan Paul Seyfried menghasilkan beberapa buah rumah perlindungan untuk kegunaan orang ramai menghadapi pelbagai bencana seperti peperangan nuklear, kimia, biologi, bencana alam dan hari kiamat.

Harga rumah itu adalah antara AS$51,000 (RM155,738) hingga AS$64,000 (RM195,471).

Seyfried menghasilkan rumah tersebut dengan menggunakan keluli di Salt Lake Utara, Utah.

Rumah itu turut dilengkapi dengan tandas. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Miliki dadah: Ishtiaq digantung tugas sementara

Posted:

Miliki dadah: Ishtiaq digantung tugas sementara

Miliki dadah: Ishtiaq digantung tugas sementara

20/12/2012 8:57pm

KUALA LUMPUR — Majlis Sukan Negara (MSN) mengambil tindakan drastik menggantung sementara tugas Ishtiaq Mubarak selaku jurulatih atlet pelapis olahraga kebangsaan, berkuat kuasa hari ini selepas beliau mengaku bersalah atas tuduhan memiliki dadah.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong berkata, pihaknya akan mengeluarkan surat penggantungan kepada bekas pelari 110 meter lompat berpagar kebangsaan itu dalam tempoh terdekat bagi memastikan imej sukan negara tidak tercemar dengan isu dadah.

"Saya terkejut dan dukacita apabila mengetahui perkara ini kerana beliau merupakan satu nama besar dalam sukan olahraga tanah air. Beliau telah berkhidmat dengan MSN sejak Januari 2002 dan selama ini, beliau tidak pernah menimbulkan masalah, sebaliknya menjalankan tugas dengan baik," kata Zolkples ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Ishtiaq atau nama sebenarnya Ishtiaq Ahmad Mubarak Ahmad, 64, yang pernah mengharumkan sukan olahraga negara pada era 70-an, mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki dadah di Mahkamah Majistret di Langkawi, semalam.

Mengulas lanjut, Zolkples berkata pihaknya akan menunggu keputusan mahkamah sebelum mengambil tindakan seterusnya.

Tambah beliau, MSN boleh menamatkan kontrak Ishtiaq yang bakal berakhir 31 Dis ini jika pemenang pingat gangsa Sukan Asia 1966 itu didapati bersalah.

"Kita akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa kerja dengan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) pada awal Januari dan tentunya perkara ini turut akan dibincangkan," kata Zolkples. — BERNAMA

Skuad Muda KDN dianggotai 1.14j sukarelawan

Posted:

Skuad Muda KDN dianggotai 1.14j sukarelawan

Skuad Muda KDN dianggotai 1.14j sukarelawan

20/12/2012 7:39pm

KOTA BHARU – Skuad Muda Kementerian Dalam Negeri (KDN), yang diwujudkan sebagai pemangkin kepada gelombang sukarelawan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini, kini mempunyai 1.14 juta anggota.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong berkata, skuad itu dianggotai sukarelawan di bawah agensi kementerian itu seperti Ikatan Relawan Rakyat (Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Penjara dan Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis).

"Saya amat yakin skuad yang diterajui generasi muda dari seluruh negara ini akan menjadi pemangkin kepada gelombang sukarelawan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan bangsa," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Gelombang Kedamaian 1KDN dan Pelancaran Tabung Kecemasan Gaza di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC Kelantan) di Tunjong di sini hari ini.

Chee Leong berkata, perhimpunan Skuad Muda KDN serta pemimpin KDN itu diadakan bagi mewujudkan gelombang keamanan sejagat selain mengecam kekejaman yang dilakukan Israel di bumi Gaza.

"Suara kecil kita ini kalau digabungkan bakal membentuk satu gelombang yang besar dalam menyuarakan keamanan dan bantahan terhadap kekejaman rejim Zionis ke atas rakyat Palestin," katanya. – BERNAMA

Kebakaran: Keluarga kerugian RM400,000

Posted:

Kebakaran: Keluarga kerugian RM400,000

Kebakaran: Keluarga kerugian RM400,000

20/12/2012 7:33pm

JITRA – Sebuah keluarga kerugian kira-kira RM400,000 setelah rumah kayu dan tiga kenderaan kepunyaan mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Aman, Jalan Sungai Korok di sini semalam.

Kejadian kira-kira 6.50 petang itu memusnahkan dua buah kereta, iaitu Nissan Grand Livina dan Proton Iswara serta sebuah motosikal.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana rumah tidak berpenghuni ketika kejadian itu berlaku.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Jitra, Mohammad Darus berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.58 petang dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.

Dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jitra dan Alor Setar dengan kekuatan 13 anggota berjaya memadamkan kebakaran pukul 8.25 malam.

Mohammad berkata, punca kebakaran masih disiasat. – BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Tim Hwang belajar bahasa Melayu

Posted:

Tim Hwang belajar bahasa Melayu

Tim Hwang belajar bahasa Melayu

JIKA disebut Tim Hwang pasti ramai yang tertanya-tanya siapakah gerangan orangnya. Namun, buat mereka yang menonton drama Korea seperti Secret Garden, 49 Days, Queen of Reversal dan A Thousand Kisses pasti mereka cukup kenal dengan suara Tim yang menyanyikan lagu runut bunyi kesemua drama tersebut.

Figura yang lebih mesra disapa sebagai Tim ini sememangnya cukup terkenal dengan irama balada sehingga dia diberi jolokan Prince of Ballad di Korea Selatan lantaran gemersik vokalnya yang memukau.

Kosmo! yang berkesempatan bertemu dengan jejaka kelahiran Philadelphia, Amerika Syarikat itu pada sidang akhbar sempena siri jelajah Asia pertamanya, Into Asia Comes Tim's World, di Kuala Lumpur baru-baru ini cukup terpukau dengan kemesraan serta gaya santainya.

Memudahkan lagi komunikasi, tidak seperti penyanyi Korea yang lain, Tim atau nama sebenarnya Hwang Young-min cukup fasih berbahasa Inggeris.

Cukup gembira kerana menerima sambutan hangat daripada peminatnya di Malaysia, ujar Tim, ia bukan kunjungan pertamanya kerana sebelum ini Tim pernah bercuti di sini.

Menyambung bicara mengenai kerjayanya, terang Tim yang berusia 31 tahun, sebelum ini dia tidak pernah membayangkan kerjaya sebagai penyanyi kerana cita-citanya sebelum ini adalah untuk menjadi ahli farmasi sebelum ditawarkan menjadi penyanyi ketika usianya 20 tahun.

"Cita-cita saya waktu itu untuk menjadi ahli farmasi dan tawaran menjadi penyanyi tiba kebetulan pada saat saya baru hendak memulakan pelajaran di kolej.

"Hanya sempat tinggal di kolej selama sehari, saya terus membuatkan keputusan untuk terbang ke Korea Selatan," ujarnya.

Sudah memiliki lima buah album sepanjang penglibatannya dalam bidang nyanyian, ujar Tim, pernah tercetus di hatinya untuk menolak tawaran nyanyian yang diberikan gara-gara kurang keyakinan diri.

"Saya sememangnya seorang yang takut akan perubahan. Apabila terpaksa tinggalkan keluarga, cita-cita dan tinggal seorang diri di Korea membuatkan saya tertanya-tanya betul atau tidak tindakan yang saya ambil.

"Jika jalan yang saya pilih ini salah bagaimana harus saya menghadapinya? Nasib baik, saya dikelilingi oleh pihak pengurusan yang amat menyokong dan keluarga saya juga tidak membantah. Jadi, saya teruskan dan akhirnya hari ini saya berada di Malaysia," luahnya.

Walaupun mempunyai vokal yang bagus namun, cabaran utama yang dihadapi oleh Tim ketika itu sebenarnya adalah untuk menguasai bahasa Korea dengan lancar sebelum melancarkan album sulungnya yang berjudul First Tim pada tahun 2003.

"Masalah terbesar saya sudah tentu bahasa. Saya lahir dan dibesarkan di Amerika Syarikat, jadi saya tidak tahu langsung untuk berkomunikasi dalam bahasa Korea.

"Saya mengambil masa selama dua tahun hanya untuk belajar bahasa Korea dan menyiapkan diri sebelum keluar dengan album.


MEMBINA populariti di Korea Selatan tidak menghalang Tim Hwang daripada memberikan pandangan tentang isu pembedahan plastik yang dikatakan berleluasa dalam kalangan selebritidi negara tersebut.


"Selain itu saya juga menghadapi masalah kejutan budaya ketika mula-mula sampai di Korea. Dalam kalangan orang Asia termasuk warga Korea sendiri, pergaulan antara lelaki dan wanita agak terbatas tidak seperti di Barat.

"Saya sering disalah anggap gara-gara saya suka memeluk atau mencium orang lain hanya untuk mengekspresikan penghargaan dan kegembiraan saya. Sekarang saya sudah faham yang saya tidak boleh berbuat demikian sewenang-wenangnya," cerita Tim.

Indonesia

Sebelum hadir memperkenalkan dirinya di Malaysia, Tim sebenarnya sudah sukses membina populariti di Indonesia.

Buktinya, dia telah berjaya mengumpul ramai peminat di negara tersebut selepas muncul dalam drama siri berjudul Saranghae, I Love You di samping aktres popular Revalina S. Temat dan duet bersama penyanyi Astrid menerusi lagu Saranghamnida.

Bercakap mengenai lakonan, kata Tim, dia cukup bertuah apabila digandingkan dengan aktres popular Indonesia tersebut.

Drama itu turut membantu meningkatkan popularitinya di Indonesia sehingga konsert solo pertamanya di sana dihadiri 8,000 penonton.

"Saya bersyukur kerana diterima dengan baik di Indonesia. Saya bukanlah pelakon tetapi tawaran berlakon di samping Revalina itu datang tepat pada waktunya.

"Saya agak tertekan kerana diberikan watak utama tetapi semuanya berjalan dengan baik dan saya mudah memahami skrip kerana Revalina merupakan seorang 'guru' bahasa Inggeris dan penterjemah yang baik untuk saya," ungkapnya.

Selain menyanyi bersama Astrid, Tim juga telah muncul dengan sebuah lagu sepenuhnya dalam bahasa Melayu yang berjudul Pahitnya Asmara.

"Memang saya lebih senang berbahasa Inggeris tetapi saya juga boleh memahami dan bercakap sedikit dalam bahasa Melayu.

"Bagi saya, bahasa Melayu lebih mudah dipelajari berbanding bahasa Mandarin dan Korea kerana sebutannya sama seperti bahasa Inggeris.

"Bagi bahasa Mandarin dan Korea, saya harus menggunakan lidah dalam sebutan dan nada suara yang berbeza akan memberi maksud yang salah," katanya yang hanya mengambil masa selama sehari untuk merakamkan Pahitnya Asmara.

Mengenai kemungkinan untuk bekerjasama dengan penyanyi Malaysia pula, ujar Tim, dia bersedia untuk itu andai diberikan peluang.

"Saya teringin untuk bekerjasama dengan penyanyi dari Malaysia pada masa hadapan. Buat masa ini, belum ada sebarang perancangan ke arah itu memandangkan ini kunjungan pertama untuk bekerja dan bertemu peminat saya," akuinya.

Tidak hanya berlakon di Indonesia, Tim sedang sibuk dengan teater muzikal Legally Blonde sejak 20 November lalu. Dia berlakon di samping Jessica yang merupakan anggota kumpulan Girl's Generation.


ASTRID berpeluang berduet dengan Tim menerusi single Saranghamnida.


"Kalau diberi pilihan antara nyanyian, lakonan dan teater saya pilih teater muzikal kerana saya boleh lakukan semua perkara yang saya minat dalam satu persembahan.

"Dalam teater muzikal saya boleh menyanyi dan dalam masa yang sama berlakon.

"Jessica juga seorang pelakon yang bagus. Sebelum ini saya tidak begitu mengenalinya, tetapi selepas berlakon bersama saya dapati Jessica seorang yang menarik," ujarnya.

Album baharu 2013

Tempoh 10 tahun dalam industri seni bukan satu tempoh yang singkat buat Tim. Pelbagai cabaran pernah dilaluinya. Pernah hilang sebentar dalam industri seni, kata Tim, kini dia bangkit untuk berkongsi muziknya bersama peminat.

"Jika saya hendak bercakap soal cabaran memang terlalu banyak. Saya pernah berada di puncak dan pernah juga hilang daripada industri seni dalam tempoh yang agak lama.

"Sekarang saya lebih fokus dan tahu apa yang saya inginkan dalam kerjaya dan kehidupan. Cita-cita saya yang belum tercapai adalah merakamkan album penuh dalam bahasa Inggeris dan mengadakan konsert di tempat kelahiran saya iaitu di Philadelphia, Amerika Syarikat.

"Mungkin suatu hari nanti saya akan mempromosikan muzik saya di sana, saya hanya perlu bekerja keras untuk laksanakan impian itu," luahnya.

Mulai tahun 2013, kata Tim, aktiviti kerjayanya akan difokuskan di peringkat antarabangsa dan melahirkan album dalam bahasa Inggeris selepas teater Legally Blonde yang akan tamat pementasannya pada Mac tahun hadapan.

"Pada tahun 2013, fokus akan diberikan kepada aktiviti serta peminat di luar negara. Saya juga akan menghasilkan lagu-lagu bahasa Inggeris. Saya sememangnya tidak sabar untuk menghadapi tahun 2013.

"Album baharu itu akan diterbitkan oleh saya sendiri seperti album-album sebelum ini dan dijangka siap pada tahun hadapan," ujarnya.

Shah Iskandar suka Rozita Che Wan

Posted:

Shah Iskandar suka Rozita Che Wan

Shah Iskandar suka Rozita Che Wan

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


SHAH ISKANDAR mengakui ciri-ciri wanita idamannya ada pada Rozita.


SEPANJANG bergelar artis, pelakon cantik Rozita Che Wan atau lebih mesra dengan panggilan Che Ta, 38, sudah acap kali dikaitkan mempunyai hubungan dengan beberapa orang lelaki, kebanyakannya yang lebih muda berbanding usianya.

Terkini, dia dikatakan sedang menjalin hubungan mesra dengan seorang pelakon kelahiran Singapura, Shah Iskandar Mahfuz.

Menariknya, gara-gara gosip tersebut, timbul pula cerita yang mengatakan timbul perselisihan faham antara Iskandar dengan pelakon Zain Saidin, 28, yang sebelum ini merupakan antara individu yang rapat dengan Che Ta sehingga mereka sering digosip mempunyai hubungan istimewa.

Namun begitu, Shah, 29, yang ditemui pada acara Viewing Party perlawanan Piala Suzuki AFF 2012 antara Malaysia dan Thailand anjuran TV3 yang diadakan di Rasta, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini, mempunyai jawapan tersendiri tentang gosip tersebut.

Sementelah, dia mengakui pernah mempunyai hubungan dengan wanita yang lebih berusia berbanding dengan dirinya.

Kosmo!: Bagaimanakah boleh timbul cerita yang mengatakan Shah bercinta dengan Che Ta?

SHAH ISKANDAR: Cerita sebegini boleh timbul kerana kami sering berlakon di bawah produksi yang sama iaitu Zeel Production. Sehingga kini kami sudah berlakon tiga kali berturut-turut bersama iaitu menerusi drama Kiah Spy, Anak Ikan dan Kiah Ke Jepun.

Jadi, benarkah dakwaan yang mengatakan kamu berdua bercinta?

Sudah tentu ia tidak benar kerana hubungan rapat kami hanya di lokasi penggambaran.

Saya rasa cerita ini timbul apabila ada pihak yang salah anggap terhadap kemesraan kami, tetapi pada hakikatnya hubungan kami tidak lebih daripada sekadar rakan sesama pelakon.

Lagipun buat masa sekarang saya belum terfikir lagi untuk bercinta dengan sesiapa kerana mahu memberikan tumpuan terhadap karier terlebih dulu.

Bagaimanakah pula hubungan Shah dengan Zain Saidin?

Setakat ini hubungan saya dan Zain juga tiada masalah dan kami tidak pernah berselisih faham apabila cerita ini timbul. Kami menganggap ia tidak lebih daripada sekadar gosip.

Adakah Che Ta memiliki kriteria yang menjadi idaman Shah?

Secara jujurnya saya akui Che Ta memang ada memiliki ciri-ciri tersebut, antaranya dia merupakan seorang wanita yang sangat periang, terutamanya apabila dia bercakap dalam loghat Kedah sehingga membuatkan saya terhibur semasa berada di lokasi.

Pada masa yang sama, saya juga melihat dia seorang wanita yang sangat tenang. Sebagai contohnya, apabila gosip mengenai dirinya mempunyai hubungan dengan seseorang, saya lihat dia tenang berhadapan dengan situasi tersebut dan tidak cepat melatah.

Apabila berbincang tentang gosip yang melanda kami berdua, dia sekadar ketawa dan enggan melayan cerita tersebut.

Adakah Shah mengelak untuk menjalinkan hubungan cinta atau bertemu jodoh dengan wanita yang lebih berusia?

Apabila bercakap tentang cinta dan jodoh, saya tidak kisah sama ada pasangan saya itu lebih muda atau berusia daripada saya.

Sebelum ini saya pernah bercinta dengan wanita yang lebih berusia semasa di Singapura dahulu.

Paling penting, dalam sesebuah perhubungan itu perlu ada persefahaman antara satu sama lain dan soal umur sepatutnya tidak perlu timbul.

Cabaran Adik Manja versi Dharma

Posted:

Cabaran Adik Manja versi Dharma

Cabaran Adik Manja versi Dharma

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL


PELAKON watak penting filem Adik Manja, Noor Kumalasari (dua dari kanan) hadir memberi sokongan moral. Dia sempat bergambar bersama tiga pelakon Adik Manja The Returns iaitu (dari kiri) Ezlynn, Adeline Tsen dan Maria Tunku Sabri.


PADA era 1980-an, karya Othman Hafsham, Adik Manja merupakan antara filem yang paling mendapat sambutan. Mempertaruhkan dua bintang popular ketika itu iaitu Noor Kumalasari dan Dharma Harun Al Rashid, Adik Manja yang juga dibantu oleh pelakon Adibah Amin telah memperoleh kutipan sebanyak RM3.5 juta sepanjang tempoh ia ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.

Melihat kepada sambutan dan impak populariti filem tersebut, pelakon utamanya, Dharma mengambil risiko dengan menerbitkan semula Adik Manja dalam versi moden selepas 29 tahun ia pertama kali diterbitkan.

Melalui garapan baharu dengan menampilkan Dharma sendiri sebagai tonggak utama, naskhah yang diberi judul sebagai Adik Manja The Returns ini diperkuatkan oleh barisan pelakon terdiri daripada Rozita Che Wan, Faezah Elai, Juliana Evans, Ezlynn dan Maria Tunku Sabri.

Kata Dharma, secara umumnya Adik Manja The Returns masih mengekalkan jalan cerita yang hampir sama dengan Adik Manja.

Dharma yang merupakan pengarah dan penerbit filem tersebut turut menjelaskan, walaupun dia telah mengubah sedikit jalan ceritanya agar bersesuaian dengan situasi masa kini, namun dia masih lagi menggunakan acuan atau konsep Adik Manja yang pernah menampilkan dirinya untuk karakter Cikgu Azmi itu.

"Sebagai contoh, saya masih lagi mengekalkan konsep tentang pelajar kolej yang saling bergaduh. Selain itu elemen cinta, konflik dan kekeluargaan seperti yang pernah dipaparkan juga masih dikekalkan," jelasnya yang masih melakonkan watak Cikgu Azmi menerusi Adik Manja The Returns.

Mengulas tentang harapan terhadap filem bikin semula tersebut, Dharma tidak menyembunyikan perasaan gusarnya.

"Secara jujur, saya risau terhadap sambutan yang bakal diterima melalui Adik Manja versi moden ini.

"Bagaimanapun, saya yakin kekuatannya terletak pada judul Adik Manja itu sendiri dan para pelakon yang saya tampilkan," ujarnya ketika ditemui pada majlis pratonton filem tersebut di TGV, Wangsa Walk, Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ujarnya lagi, kekuatan label Adik Manja itu sendiri akan menarik peminat yang pernah menonton filem itu suatu ketika dahulu untuk hadir ke panggung, sekali gus mampu mengembalikan nostalgia mereka.

Mengenai risiko Adik Manja The Returns gagal meraih sambutan, kata Dharma, dia telah mempersiapkan diri untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku sebaik filem itu ditayangkan.

Ujarnya, dia tidak akan kecewa sekiranya filem tersebut tidak mendapat pulangan yang memberangsangkan memandangkan ia merupakan produk pertama di bawah syarikat produksi miliknya sendiri iaitu Adik Manja Sdn. Bhd.

"Segala risiko kelak, saya akan tanggung dan tidak kisah jika ia tidak mendapat untung. Memadai jika dapat menanggung semula kos modal pembikinan filem ini," jelasnya.

Adik Manja The Returns mula ditayangkan di 45 pawagam seluruh negara pada hari ini, 20 Disember.

Kredit: www.kosmo.com.my

Rabu, 19 Disember 2012

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Kopiah Waqi dieksport hingga ke Mekah

Posted:

Kopiah Waqi dieksport hingga ke Mekah

Kopiah Waqi dieksport hingga ke Mekah

DI dalam sebuah bilik, kelihatan enam gadis berusia awal 20-an sedang tekun melakukan tugas masing-masing. Salah seorang daripada mereka berdiri di satu sudut sambil menghadap sebuah mesin sulaman.

Sementara, lima yang lain pula duduk di atas kerusi sambil memegang gunting. Mereka begitu berhati-hati memotong 18 lapisan kain kapas yang telah dijahit menjadi satu lapisan tebal. Satu persatu helaian kain tersebut putus, namun kerja-kerja menyiapkan kopiah Waqi masih belum berpenghujung.

Mereka perlu memastikan sulaman di atas kain kapas berjalan lancar. Bahkan, mereka cukup berhati-hati dalam melakukan kerja tersebut kerana jika berlaku kesilapan, lapisan kain tebal itu akan rosak.

"Jika rosak kualiti kopiah yang dihasilkan akan terjejas. Lapisan tebal itu bakal dijadikan dinding kopiah.

"Lebihan kain daripada dinding kopiah itu kemudiannya dipotong, sebelum disambung pada bahagian atas kopiah," kata Pengarah syarikat Plexus Asia Sdn. Bhd. yang menghasilkan kopiah Waqi, Azhar Bahari.

Syarikat yang beribu pejabat di Taman Nirwana, Ampang, Selangor itu boleh dikatakan tidak menang tangan menghasilkan kopiah premium untuk pasaran tempatan dan eksport.

Menurut Azhar, kopiah Waqi dihasilkan menggunakan teknologi fabrik daripada lapisan kain kapas lembut bagi memudahkan peluh diserap sekali gus memberikan keselesaan kepada kulit kepala.

"Bahan kasa tegap mengekalkan bentuk asal kopiah agar sentiasa tampak segak bergaya. Kain kapas pula sifatnya lembut, ringan dan selesa digunakan.

"Gabungan bahan-bahan berkualiti itu memudahkan pengaliran udara keluar daripada kopiah membuatkan kepala kekal nyaman. Selain itu, lapisan bahan pemantul haba turut digunakan bagi mengurangkan bahang terik mentari," kata lelaki yang berpengalaman luas dalam industri sulaman dan jahitan selama 16 tahun.

Kualiti kopiah


KOPIAH Waqi berkualiti premium disulam menggunakan sulaman komputer.


Di pasaran negara, kopiah boleh didapati dalam tiga kualiti iaitu biasa, sederhana dan premium. Harga setiap kopiah ditentukan berdasarkan kualitinya.

Bagi kategori biasa, harganya boleh didapati semurah RM5, sederhana sekitar RM50, manakala premium pula lebih RM100 setiap satu.

Dalam Islam, kopiah atau ketayap merujuk kepada sejenis penutup kepala. Menutup kepala bagi lelaki hukumnya sunat dan memakai kopiah adalah salah satu cara yang mudah.

Selain songkok, pemakaian kopiah dalam kalangan umat Islam di negara ini sesuatu yang biasa. Tidak hairanlah, ada yang memiliki sehingga lebih lima buah kopiah. Setiap kopiah digunakan mengikut kesesuaian pada majlis tertentu seperti menghadiri ceramah agama, perkahwinan atau ke surau.

"Tidak banyak kopiah premium berada dalam pasaran negara kita, namun permintaannya adalah tinggi. Justeru, untuk menghasilkan kopiah Waqi, kami telah melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sendiri sejak lima tahun lalu.

"Kajian yang dilakukan adalah penggunaan teknik sulaman, jahitan, kerapian dan keselesaan. Sulaman tidak perlu mengikut fesyen terkini, tetapi apabila siap ia nampak simple dan kemas. Sulaman dilakukan menggunakan sulaman berkomputer," kata anak jati Kedah itu. Kilang kopiah Waqi terletak di Pendang, Kedah.

Bapa kepada tiga orang anak itu turut mementingkan maklum balas pengguna. Sehubungan itu, selama dua tahun pihaknya menjalankan kajian membabitkan kumpulan 50 peserta yang dijalankan sebanyak tiga kali.

Peserta terdiri daripada ahli jawatankuasa masjid dan pelbagai latar belakang responden. Setiap maklumat yang diperoleh digunakan bagi membaiki kualiti kopiah tersebut.

Sejak tahun 2010, kopiah Waqi telah berada di pasaran. Sambutan daripada orang ramai sangat menggalakkan, malah permintaannya jauh lebih tinggi berbanding penawaran yang mampu kami lakukan.


ALAT pengukur digunakan bagi memastikan saiz kopiah yang dipakai sesuai dengan kepala pelanggan.


Harga mahal

Setiap perniagaan pasti mempunyai cabaran sendiri, begitu juga dalam menjual kopiah berkualiti premium terutamanya berkaitan dengan harga.

Hakikatnya, pengguna tertarik dengan kualiti dan kecantikan, namun apabila melihat harga kopiah melebihi RM100, mereka mula berfikir banyak kali. Adakah pembelian tersebut berbaloi?

"Tidak dinafikan pelanggan berbelah bahagi untuk membeli kopiah premium, tetapi kami berjaya meyakinkan mereka. Pemakaian kopiah premium membuatkan si pemakainya kelihatan lebih segak.

"Tidak cukup dengan itu, kami turut melabur dalam menghasilkan bungkusan yang menarik. Ia nyata berbaloi apabila kami dianugerahkan Malaysia Good Design Award daripada Majlis Rekabentuk Malaysia," katanya yang menubuhkan syarikat berkenaan bersama dua rakan kongsi pada tahun 1994.

Pasaran eksport

Menurut Azhar, pihaknya juga telah mendapat permintaan daripada pihak tertentu di Mekah dan Madinah untuk memasarkan kopiah Waqi di kedua-dua kota suci umat Islam tersebut.

Kopiah Waqi yang akan dipasarkan ke sana berbeza termasuk dari segi corak kerana ia dijual sebagai cenderamata terutama pada musim haji.

"Mulai tahun hadapan kami akan mengeksport kopiah Waqi ke kedua-dua kota tersebut dan harganya tentulah lebih mahal berbanding di negara ini," katanya.

Pemilik Ijazah Sarjana Muda Rekabentuk Industri, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam itu memberitahu, kilangnya ketika ini mampu mengeluarkan kira-kira 3,000 kopiah setiap hari atau 36,000 setahun. Namun, pada tahun depan, pihaknya menyasarkan untuk mengeluarkan sebanyak 300,000 kopiah setahun.

Jualan kopiah paling tinggi pada bulan Ramadan. Ketika ini, syarikat berkenaan turut berdepan masalah kekurangan pekerja berpengalaman sekali gus merencatkan pengeluaran.

Mencantumkan kopiah

Bagi Nurul Anisah Abd. Rahim, 22, peluang menjalani latihan industri di syarikat yang menghasilkan kopiah premium merupakan satu pengalaman berharga.

Pelajar Politeknik Ibrahim Sultan, Johor Bahru itu menjalani latihan industri selama lima bulan di syarikat tersebut. Ketika bekerja, Nurul Anisah telah dihantar di beberapa bahagian yang berbeza.


KETELITIAN amat penting ketika proses memotong 18 lapisankain kapas yang telah dijahit untuk dijadikan dinding kopiah.
sebelum ia disambung menjadi dinding kopiah


"Mula-mula dahulu, saya bertugas di bahagian jualan sebelum dipindahkan ke bahagian pengawalan kualiti produk. Sejak dua minggu lalu, saya bertugas di bahagian R&D yang menghasilkan kopiah Waqi.

"Pembuatan kopiah Waqi dilakukan secara teliti dan saya mengambil masa satu hari untuk menghasilkan sebuah kopiah. Itupun kualitinya tidak berapa bagus.

"Bahagian yang paling susah ialah ketika mencantumkan dinding dan atas kopiah. Jahitan perlu dilakukan secara manual, ketekunan dan ketelitian amat dituntut atau kopiah akan senget," katanya yang berasal dari Pahang.

Sudah dua tahun

Seorang pelanggan, Mohammad Mydin, 31, berkata, dia memakai kopiah Waqi sejak dua tahun lalu.

Dia mengakui memilih untuk mengenakan kopiah Waqi selepas berpuas hati dengan fabrik yang memberi keselesaan.

Katanya, ketebalan kain menjadikan kopiah tersebut keras dan jika memakai serban, tidak perlu lilitan yang banyak.

"Syarikat berkenaan melakukan R&D sebelum menjual kepada para pelanggan. Ia bukan sahaja berkualiti, malah selesa dan cantik. Kainnya tebal, tetapi saya tidak pernah mengalami sakit kepala.

"Saya sering memakainya ketika majlis-majlis tertentu dan penyimpanannya juga agak senang," katanya yang merupakan seorang penceramah bebas.

Tidur di dalam bongkah ais

Posted:

Tidur di dalam bongkah ais

Tidur di dalam bongkah ais


PERMINTAAN terhadap penginapan ais yang meningkat membuatkan banyak hotel seperti di Jukkasjarvi ini dibina.


LUPAKAN seketika mengenai kemudahan yang kebiasaannya terdapat di bilik-bilik standard hotel lain yang menawarkan katil, bar mini dan jubah mandi berserta dua pasang selipar. Di sebuah hotel di Zwolle, ada sesuatu yang menarik mengenai bilik penginapannya.

"Selamat datang ke hotel ais Belanda yang pertama," itulah sapaan yang akan diterima apabila anda mula menjejakkan kaki ke bilik hotel yang bersuhu antara enam hingga lapan darjah Celsius itu.

Penginap juga diingatkan agar memastikan rambut dalam keadaan kering jika tidak mahu ia menjadi beku.

"Jangan mengambil makanan yang terlalu berat dan pastikan juga anda menukar pakaian sebelum memasuki bilik," beritahu Pengurus Hotel, Annet Van Limburg kepada tetamu yang pertama kali mengunjungi hotel tersebut.

Sambil tertawa mendengarkan kata-kata itu, Luc Van Heijst dan Maya Zhang, 42, mendengar dengan patuh akan nasihat yang diberikan.

Di dalam bagasi mereka sudah tersedia beberapa helai seluar, baju sejuk, sarung tangan dan topi sebagai persediaan untuk menginap di hotel ais itu.

"Tidak, saya tidak takut, cuma sedikit gementar. Kami datang untuk merasai sendiri pengalaman bermalam di sini dan saya rasa seolah-olah kanak-kanak yang teruja dengan percutiannya," kata Van Heijst.

Gudang penyejukan

Hotel ais itu dibina bersempena festival mengukir ais di Zwolle pada tahun lepas yang diuruskan oleh sebuah hotel tempatan. Namun, ia hanya mempunyai tiga buah bilik serta didirikan di dalam sebuah gudang penyejukan yang mengambil masa selama 10 hari bagi menyiapkannya.

Ia merupakan hotel ais yang terletak di Eropah paling selatan, memandangkan idea penginapan seperti itu bermula di sebelah utara benua tersebut.

Hotel ais terbesar yang berada di Jukkasjarvi, Lapland iaitu di utara Sweden menawarkan sebanyak 47 buah bilik untuk musim 2011 hingga 2012,

"Tidak seperti Kanada dan Lapland, hotel di Zwolle tidak berada dalam persekitaran semula jadi. Di sana, tetamu hotel tidur dalam suhu 20 darjah Celsius di bawah paras beku," ujar Van Limburg yang menambah bahawa suhu di hotel ais Zwolle itu masih dalam keadaan yang tidak terlalu ekstrem.

Harga yang ditawarkan untuk satu malam bagi dua orang pengunjung adalah sebanyak AS$259 (RM788).

Bilik bertema

Memasuki ruang bilik tidurnya, terdapat corak-corak abstrak yang diukir pada dinding ais tebal yang menghiasi dua daripada tiga buah bilik yang disediakan.

Sementara itu, bilik ketiga pula mengetengahkan tema nautika yang turut menggunakan cengkerang gergasi sebagai hiasan.

Turut menjadi penyeri ialah sehelai kain langsir berwarna hitam yang berfungsi sebagai pintu.

Bagaimanapun, tarikan utama yang terdapat pada hotel ini ialah katil segi empatnya yang dibina daripada bongkah ais besar serta memberikan limpahan cahaya berwarna merah jambu, biru dan hijau.

Warna-warna itu dipantulkan daripada lampu yang dipasang di bawah bongkah ais tersebut yang mampu membuatkan pengunjung berasa terpegun melihatkan keindahan suasana yang tercipta.

Walau bagaimanapun, menurut Van Limburg, terdapat sebuah bilik di sebuah 'hotel sebenar' yang berhampiran turut disediakan sebagai langkah persediaan andainya terdapat tetamu yang mengubah fikiran untuk tidak bermalam di dalam kiub ais itu.

Berbalik kepada kisah Van Heijst dan Zhang, pada keesokan paginya kedua-dua pengunjung tersebut kelihatan sihat dan tidak menghadapi sebarang masalah selepas bermalam dalam keadaan hampir beku.

"Saya memakai tiga helai seluar dan rasanya agak panas," ujar Van Heijst sambil ketawa.

"Ia merupakan satu pengalaman bermalam yang menakjubkan, namun sudah semestinya pengalaman sebegini memadai untuk dirasai untuk satu malam," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Horizon

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Pilihan percutian terunggul negara

Posted:

Pilihan percutian terunggul negara

Pilihan percutian terunggul negara

Oleh NASRI JAMALUDIN

BUKAN sahaja pada musim cuti persekolahan, malah juga cuti hujung minggu atau cuti umum, kita dapat menyaksikan rakyat di negara ini memenuhi kompleks beli-belah, taman tema, pusat rekreasi atau pulang ke kampung halaman.

Kewujudan banyak kompleks beli-belah juga membuktikan rakyat di negara ini suka berbelanja terutamanya pada musim tawaran harga murah. Di ibu negara, misalnya, jalan-jalan menuju kompleks beli-belah menjadi sesak. Orang ramai juga bersesak-sesak memenuhi premis-premis yang membuat tawaran harga murah.

Kompleks-kompleks beli-belah turut menjadi tumpuan orang ramai berhibur atau menjamu selera.

Jika tidak pergi ke kompleks beli-belah, taman-taman tema, pusat rekreasi, hutan lipur turut menjadi tumpuan rakyat Malaysia bercuti bersama keluarga atau rakan-rakan. Hotel atau restoran yang menghidangkan makanan lazat juga menjadi tumpuan orang ramai untuk menikmati detik istimewa bersama keluarga dan rakan-rakan.

Sebuah laman web pelancongan terbesar di dunia, TripAdvisor baru-baru ini mendedahkan 10 destinasi dalam negara pilihan rakyat Malaysia.

Destinasi yang disenaraikan TripAdvisor ialah Kuala Lumpur diikuti Melaka, Genting Highlands, Kota Kinabalu, George Town, Batu Ferringhi, Johor Bahru, Port Dickson, Kuching dan Kuantan.

Ranking tersebut berdasarkan bilangan alamat Protokol Internet (IP) rakyat Malaysia yang mengunjungi laman web TripAdvisor.com antara 1 Januari hingga 30 November tahun ini.

Timbalan Presiden Penjualan Periklanan, Asia Pacific TripAdvisor, Cindy Tan berkata, TripAdvisor membolehkan pengunjung merancang percutian termasuk mendapat tip daripada pengunjung lain yang pernah menginap di hotel atau mencuba makanan di restoran tertentu.

"Misi kami adalah untuk membantu pelancong atau pelawat di seluruh dunia merancang percutian sempurna.

"TripAdvisor merupakan laman web pelancongan terbesar di dunia, Pada tahun ini, sebanyak 75 juta orang memberi ulasan di laman web kami, 60 juta pengunjung setiap bulan, menyenaraikan lebih 1.8 juta perniagaan, lebih 60 penyumbang setiap minit dan membabitkan 110,000 destinasi," katanya kepada pemberita di One World Hotel, Bandar Utama baru-baru ini.

Kuala Lumpur

Ibu negara bukan sahaja mempunyai pelbagai tarikan pelancongan malah bilangan kompleks beli-belah yang banyak dan besar turut menarik perhatian rakyatnya.

Rangkaian hotel bajet hingga yang bertaraf mewah tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan di Kuala Lumpur. Hotel-hotel ada yang dibina bersambung atau berhampiran kompleks beli-belah sekali gus memberikan lebih banyak kemudahan kepada para penginap.


KUALA Lumpur merupakan pilihan destinasi percutian utama rakyat Malaysia.


Antara hotel di Kuala Lumpur yang menjadi pilihan tertinggi pengunjung laman web tersebut ialah Hotel Traders. Seramai 2,389 daripada 3,434 pengunjung TripAdvisor memberikan komen cemerlang terhadap kualiti perkhidmatan, harga, keselesaan dan lain-lain.

Melaka

Bandar raya bersejarah ini tidak kurang hebatnya apabila menjadi lokasi kedua pilihan percutian rakyat Malaysia di laman web tersebut.

Hotel The Majestic Malacca menduduki tangga nombor satu sebagai hotel pilihan pengunjung TripAdvisor. Keunikan seni bina dan kemewahan hiasan dan kemudahan memberi satu pengalaman indah kepada para pelanggannya.

Lokasi pilihan menjamu selera pula ialah di Restoran Pak Putra Tandoori dan Nan yang terletak di Jalan Laksamana 4, Bandar Melaka. Pengunjung web dilihat memberi komen seperti kesesuaian untuk kumpulan besar, harga yang murah, layanan mesra dan keenakan makanan tempatan.

Genting Highlands

Kota keriangan Genting Highlands berada di tempat ketiga dengan Resort Hotel Genting Highlands menjadi pilihan utama pengunjung. Daripada 136 pengunjung, 36 orang memberikan komen cemerlang, 56 baik manakala bakinya memberikan komen sederhana, biasa dan teruk.

Untuk menjamu selera kebanyakan pengunjung memilih restoran makanan segera Bubbles & Bites. Harga makanan yang ditawarkan adalah antara RM6 hingga RM34.

Kota Kinabalu


Tarikan rekreasi taman tema dan cuaca sejuk menjadikan Genting Highlands sesuai untuk percutian sekeluarga.


Keunikan alam Negeri Di Bawah Bayu ini bukan sahaja terkenal dalam kalangan pelancong tempatan malah dari luar negara. Sabah juga mempunyai pulau-pulau yang cantik sekali gus menjadi destinasi popular untuk aktiviti menyelam skuba atau snorkeling.

Hotel yang menjadi pilihan majoriti pengunjung ialah Shangri-La Rasa Ria Resort. Seramai 1,177 daripada 1,746 pengunjung memberikan komen cemerlang. Tetamu terpesona dengan keindahan pantai dan suasana tenang di hotel berkenaan.

Pulau Pinang

Negeri yang terkenal dengan persembahan boria ini sering kali menjadi pilihan pelancongan tempatan bercuti. Tidak hairanlah, dua daerah di negeri ini menjadi tumpuan pelancong iaitu George Town dan Batu Feringghi masing-masing berada pada kedudukan kelima dan keenam.

Hotel-hotel pilihan utama di dua lokasi berkenaan ialah Hotel Yeng Keng, George Town dan Shangri-La Rasa Sayang Resort.

Johor Bahru

Negeri paling selatan di Semenanjung Malaysia ini kian berkembang dari segi pelancongan. Pembukaan beberapa tarikan pelancongan baharu seperti Legoland dan Hello Kitty di Nusajaya membuatkan ramai rakyat di negara ini merancang berkunjung dalam masa terdekat.

Pada musim cuti persekolahan ini, difahamkan semua bilik hotel habis ditempah. Antara hotel pilihan utama ialah Hotel Thistle.

Port Dickson

Negeri Sembilan mempertaruhkan Port Dickson sejak sekian lama. Ia menjadi tumpuan pelancong tempatan yang gemar bermandi-manda di kawasan pantainya yang landai. Terdapat banyak hotel dan resort di daerah ini tetapi pilihan pengunjung TripAdvisor ialah Thistle Port Dickson Resort.

Beberapa pengunjung memberikan beberapa komen terhadap resort tersebut yang disifatkan bagus dari segi layanan pekerja, pemandangan laut dan kemudahan untuk tetamu.

Kuching


BERSIAR dengan bot di Sungai Melaka menjadi produk pelancongan yang amat popular.


Variasi budaya etnik dan kekayaan khazanah semula jadi menjadikan Sarawak tumpuan para pencinta alam. Lawatan ke Gua Niah, Gunung Mulu dan Taman Negara Bako adalah antara tarikan utama di Sarawak.

Di Kuching sahaja terdapat banyak lokasi tarikan pelancongan seperti China Town, Kuching Waterfront dan Muzium Sarawak. Setiap satunya mencuri perhatian dengan kekuatan nilai warisan yang eksotik.

Hotel Pullman Kuching menjadi pilihan utama pengunjung ketika bercuti ke ibu negeri Sarawak itu. Menurut laman web TripAdvisor, hotel tersebut menerima banyak komen positif yang menyentuh aspek hiasan yang menarik, lokasinya yang berhampiran dengan kompleks beli-belah dan Sungai Sarawak.

Kuantan

Club Med Cherating Beach muncul pilihan pertama daripada 42 hotel di Kuantan, Pahang. Terletak berhadapan Laut China Selatan membuatkan ramai pengunjung teruja dengan pemandangan laut yang indah dan menenangkan jiwa. Pengunjung juga dapat melihat kehadiran monyet-monyet atau hidupan lain di sekitar kawasan berhampiran.

Wanita berleher panjang Thailand

Posted:

Wanita berleher panjang Thailand

Wanita berleher panjang Thailand


PASAR Warorot, Chiang Mai merupakan tempat yang sesuai untuk membeli barangan berkualiti dengan harga yang murah.


PENGALAMAN mengikuti rombongan bersama Majlis Guru Besar Daerah Rompin selama tiga hari dua malam ke Chiang Mai dan Chiang Rai, Thailand merupakan satu pengalaman yang amat berharga.

Saya tidak menyangka akan sampai ke sebuah perkampungan kaum Karen di kawasan Mae Hong Son, barat laut Thailand. Perkampungan ini juga dikenali sebagai Perkampungan Leher Panjang Karen.

Kaum wanitanya menjadikan amalan menghias diri yang unik dan pelik iaitu menggunakan gelang tembaga di leher, lengan dan kaki.

Tujuan amalan itu bagi menonjolkan keindahan dan status adalah wanita kaum berkenaan. Gelang leher dipakai dari tulang selangka hingga ke bawah dagu. Perhiasan di leher mula dipakai sejak mereka berumur lima atau enam tahun.

Setelah dipakai ia tidak pernah ditanggalkan menyebabkan leher memanjang mengikut ketinggian gelang tersebut.

Saya cuba memakai gelang leher untuk tujuan bergambar namun terasa agak ketat dan mencekik. Justeru, saya terfikir, bagaimanakah kaum wanita mereka mampu memakainya dalam tempoh yang lama?

Rombongan kami sampai di perkampungan berkenaan ketika hari sudah malam. Penduduknya menggunakan pelita minyak tanah dan lilin bagi menerangi rumah masing-masing.

Dalam pada itu, saya dapat melihat dan merakamkan beberapa keping gambar aktiviti penduduk pada waktu malam. Kaum lelaki menghidupkan unggun api sekali gus menerangi kawasan berkenaan.

Menerusi cahaya daripada unggun api itu, rombongan kami dapat melihat persekitaran kampung kaum Karen berkenaan dengan lebih jelas.

Pada waktu itu, mereka menyambut kami dengan satu tarian yang unik. Persembahan mereka berjaya menghiburkan rombongan kami yang turut diajak menari bersama-sama mereka.

Sulam manik

Salah satu kelebihan kaum Karen ialah mereka mempunyai kemahiran menyulam manik di atas kain. Hasil sulaman ini dijual kepada para pelancong sebagai cenderahati.

Kami juga sempat membeli pelbagai cenderamata hasil kraf tangan wanita Karen seperti ukiran kayu wanita berleher panjang, kain tenunan, penanda kunci dan perhiasan gubahan butiran manik. Barang-barang ini disusun cantik di rumah kayu binaan atap nipah.


ROMBONGAN dari Malaysia ini berkesempatan menyusuri Sungai Mekong yang terletak di Segi Tiga Emas iaitu sempadan tiga buah negara Thailand, Myanmar dan Laos.


Para pelancong juga ada yang memberi sumbangan kepada wanita Karen yang membuat persembahan atau ketika bergambar. Ketika hendak balik, saya sempat menderma beberapa syiling 100 bath (RM1) kepada kanak-kanak Karen yang mengiringi kami pulang menuju ke arah bas.

Mereka kelihatan begitu ceria dan gembira menerima kedatangan kunjungan rombongan kami. Sebenarnya, itulah sumber pendapatan kaum Karen ini, kunjungan pelancong memberi sedikit hasil pendapatan untuk perbelanjaan harian mereka.

Pasar popular

Sementara itu, tarikan lain yang terdapat di Chiang Mai ialah Pasar Warorot atau dikenali sebagai Kad Luang oleh masyarakat tempatan.

Di pasar yang terletak dekat dengan Sungai Ping itu, rutin jual beli harian orang tempatan dapat disaksikan. Pelbagai barangan dijual dan pelancong asing boleh menemui sesuatu barangan kenangan pada harga yang murah.

Sebelum itu, dari Chiang Mai kami terus menaiki bas selama empat jam menuju Chiang Rai. Ketika dalam perjalanan kami dapat melihat persekitaran bumi Thailand yang melalui kawasan sawah padi, kebun getah dan jagung serta hutan-hutan simpan tropika yang masih kekal cantik.

Keadaan lalu lintas juga tidaklah terlalu sesak. Saya dan rombongan singgah sebentar di Kolam Air Panas Chiang Rai. Kelihatan ramai pengunjung dari Eropah dan negara Asia membeli-belah di situ.

Rendam kaki

Ada yang mengambil kesempatan merendam kaki, tidak kurang yang meredam telur ayam atau puyuh. Telur-telur tersebut masak dalam beberapa minit sahaja.

Pengunjung juga boleh membeli barangan cenderamata, ukiran kayu, pakaian, gubahan dan anyaman di beberapa buah kedai di sekitar kolam air panas itu.

Thailand mempunyai banyak kuil. Kami turut mengambil kesempatan mengunjungi sebuah kuil iaitu Kuil Putih atau dikenali juga sebagai Taj Mahal Thailand.

Seni bina Kuil Putih ini unik dan menarik dengan dipenuhi pelbagai bentuk ukiran, malah semua bahagian bangunan ini berwarna putih. Kami tidak melepaskan peluang bergambar sebagai kenang-kenangan.


GELANG leher dipakai oleh kaum wanita Karen sejak mereka berumur lima tahun.


Ketika sampai, hujan renyai-renyai namun kami tidak mempedulikannya kerana ingin merakam gambar terbaik. Keadaan di sini terasa seumpama berada di Taj Mahal, India.

Gajah melukis

Selepas menikmati keindahan seni bina Kuil Putih kami meneruskan perjalanan untuk menyusuri Sungai Mekong. Lokasi tersebut terletak di Segi Tiga Emas yang menjadi sempadan tiga buah negara iaitu Thailand, Myanmar dan Laos. Kami diberi taklimat oleh pemandu pelancong bahawa kawasan tersebut merupakan kawasan pengeluar candu terbesar suatu masa dahulu.

Satu lagi tempat yang menarik perhatian para pengunjung ialah di Ladang Gajah Maesa Taeng. Di situ kita boleh melihat pelbagai aksi menarik yang ditunjukkan oleh gajah-gajah. Antaranya melakukan urutan badan, melukis, bermain bola jaring, menendang bola ke arah gol, menyusun balak-balak, menari dan bermain alat muzik.

Kemahiran gajah melukis dengan cantik mengundang rasa kagum hinggakan ramai pelancong terutama pelancong Eropah sanggup membelinya. Sebelum itu, lukisan gajah-gajah itu dipamerkan dan dijual kepada pengunjung pada harga 3,000 baht (RM300) setiap satu.

Sememangnya pengalaman berkunjung ke Negara Gajah Putih itu meninggalkan seribu satu kenangan manis kepada kumpulan kami.

Menara Gajah kebanggaan Thailand

Posted:

Menara Gajah kebanggaan Thailand

Menara Gajah kebanggaan Thailand


BENTUK gajah jelas kelihatan dari sudut fotografi ini.


GAJAH sememangnya memainkan peranan penting dalam budaya dan sejarah masyarakat Thailand.

Sebagai haiwan darat terbesar di dunia, ia dianggap sebagai makhluk suci yang melambangkan kekuatan, kekuasaan dan kemegahan.

Gajah putih, misalnya, dianggap sebagai lambang diraja negara itu malah haiwan itu juga pernah digunakan sebagai simbol bendera dan mata wang Thailand suatu ketika dahulu.

Ketaksuban rakyat Thailand terhadap gajah juga membawa kepada pembinaan Elephant Tower yang terletak di pertemuan Paholyothin Road dan Ratchadaphisek Road iaitu di tengah-tengah Chatuchak, daerah komersial terulung di Bangkok.

Menjadi satu-satunya bangunan yang berbentuk seumpamanya di dunia, tidak hairanlah ia berjaya mencuri perhatian sesiapa sahaja dan kini menjadi salah satu mercu tanda di Bangkok.

Ia merupakan idea pemiliknya Arun Chaiseri, seorang ahli politik, jurutera dan jutawan hartanah dan pemilik syarikat kejuruteraan, Arun Chaiseri Consulting Engineers Company Ltd.

Bersama arkitek Ong-ard Satrabhandhu, Arun, lulusan kejuruteraan University of Illinois, Amerika Syarikat (AS) bergabung tenaga untuk menyiapkan Elephant Tower pada tahun 1997.

Gabungan kompleks

Elephant Tower merupakan gabungan kompleks pejabat, pusat beli-belah, kondominium mewah setinggi 32 tingkat. Ia turut mempunyai ruang parkir yang mampu memuatkan 1,200 kenderaan pada satu-satu masa.

Berbentuk kiub, binaan setinggi 102 meter itu menyerupai bentuk seekor gajah yang sedang berdiri. Bahagian telinganya dihasilkan daripada ruang balkoni kaca bertingkat berkeluasan 170 meter panjang dan 40 meter lebar manakala matanya pula merupakan sebuah tingkap besar.


KESIBUKAN kawasan Chatuchak yang menjadi tumpuan orang ramai termasuk pelancong asing membeli-belah.


Sementara itu, bahagian ekornya pula terdiri daripada bilik berkaca setinggi 20 tingkat yang kini menjadi ruang pejabat pengurusan bangunan.

Biarpun dianggap sinis pada awal pembinaannya, Elephant Tower pantas mengundang perhatian ramai pihak termasuk pelancong asing yang berkunjung ke negara itu.

Sementara ramai yang memuji keunikannya, tidak kurang juga yang mencela dan mengiktirafnya sebagai antara bangunan terburuk di dunia.

Bagaimanapun, Arun mempunyai alasannya yang tersendiri. Melalui pembinaannya, beliau mahu mendidik masyarakat Thailand untuk menyayangi gajah yang kini diancam kepupusan akibat penerokaan hutan, pembalakan dan pembunuhan haram.

Selaku pencinta haiwan itu, Arun turut mempunyai muzium yang menyimpan lebih 2,000 artifak dan objek yang berkaitan dengan gajah.

Pada 2011, CNNGo TV, rangkaian berita kabel (CNN Travel) menganugerahkan Elephant Tower tempat keempat daripada senarai 20 bangunan pencakar langit paling ikonik di dunia.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved