Jumaat, 19 Oktober 2012

Kosmo Online - Varia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Hargai detik-detik ibu dan anak

Posted:

Hargai detik-detik ibu dan anak

ERRA (tiga dari kanan) dan Carla (tiga dari kiri) antara selebriti yang turut memberi sokongan dalam kempen Precious Moments anjuran Johnson's baby.


DALAM mengeratkan hubungan ibu dan anak dari generasi ke generasi, jenama produk jagaan bayi terkemuka, Johnson's baby menyeru golongan ibu di Malaysia untuk menghargai detik-detik bersama anak mereka dalam kempen Precious Moments.

Pengarah Sumber Manusia Johnson & Johnson Malaysia, Sharon Foo memberitahu, kempen tersebut diadakan bagi meraikan kasih sayang dan hubungan erat antara ibu dan anak.

"Ia merupakan satu hubungan yang telah dipupuk oleh Johnson's baby lebih daripada 100 tahun dengan produk penjagaan bayi yang selamat dan berkesan bagi membantu para ibu menjaga anak mereka tanpa kegusaran," katanya.

Bagi meraikan sejarah sains dan inovasi Johnson's baby yang telah membantu mengeratkan hubungan ibu serta anak sejak beberapa generasi, jenama itu menyeru para ibu di Malaysia menghargai ikatan istimewa itu.

"Mereka boleh berkongsi gambar yang menunjukkan detik-detik indah antara ibu dan anak dengan menghantarkannya melalui aplikasi Facebook kami," ujarnya.

Beberapa ibu popular turut hadir memberikan sokongan pada majlis pelancaran kempen Johnson's baby Precious Moments antaranya pelakon, Erra Fazira dan model fesyen terkemuka, Carla Soong.

Walaupun banyak detik indah yang dapat Erra kenang tentang anaknya, Engku Aleesya Engku Emran yang kini berusia tiga tahun, terdapat satu saat istimewa yang tidak dapat dilupakan.

"Antara detik-detik paling bermakna yang saya kongsi dengan Aleesya ialah saat kali pertama melihatnya dalam dakapan saya sejurus selepas dia dilahirkan. Kegembiraan ketika itu mengatasi segalanya.

"Sungguhpun momen itu tidak diabadikan dalam gambar, saya sentiasa mengingatinya. Detik itu terlalu indah untuk dilupakan," kata Erra.

Semua ibu di Malaysia dijemput menyertai kempen itu dengan melayari Facebook Johnson's Baby di www.facebook.com/iLoveJohnsonsbaby.com.

Para ibu yang mahu mengambil bahagian boleh menghantar seberapa banyak gambar yang mereka inginkan.

Setiap penyertaan mesti disertakan gambar ibu dan anak dengan saiz fail kurang daripada 2MB dalam format JPEG. Ia juga perlu disertakan dengan kata-kata tidak lebih daripada 50 patah perkataan.

Bagi meraikan kempen itu, 100 keping gambar yang dihantar akan dipilih untuk menghasilkan video Precious Moments yang istimewa dan ditayangkan secara dalam talian setiap bulan buat tontonan umum.

"Sebagai meraikan label Johnson's baby yang kini berusia lebih 100 tahun, kami juga membuat sumbangan kepada rumah anak yatim tempatan dengan menderma RM1 untuk setiap gambar yang dihantar sempena kempen ini," ujar Sharon mengenai kempen Precious Moments yang bermula dari 3 September lalu dan berakhir pada 31 Oktober ini. - NURUL IZZA ROSLY

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Hafizh Syahrin ungguli sesi latihan kedua Moto2

Posted:

Hafizh Syahrin ungguli sesi latihan kedua Moto2

19/10/2012 7:41pm

SEPANG — Pelumba "wild card" Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah melakar permulaan baik apabila mencatat masa terpantas pada sesi latihan bebas kedua pada perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia 2012 di Litar Antarabangsa Sepang hari ini.

Beliau mencatat masa dua minit 13.493 saat berbanding 2:09.760s dengan kedudukan ke-24 yang dicatatnya pada sesi latihan pertama.

"Saya amat berpuas hati dan gembira kerana tidak pernah dapat tempat pertama, menjadi tumpuan orang dan memberi saingan kepada pelumba lain lebih-lebih lagi berlumba ketika hujan.

"Ada sedikit perubahan pelarasan tadi. Masa sesi pertama, mekanik telah buat pelarasan untuk keadaan litar kering dan ketika sesi kedua dengan keadaan hujan, kita tiada masa untuk buat banyak perubahan pelarasan suspensi, cuma ada ubah sedikit sahaja dan aksi saya lebih baik pada pertengahan sesi itu," kata pelumba Petronas Raceline Malaysia itu kepada pemberita di Pusat Media, di sini.

Sesi latihan bebas kedua selama 45 minit bagi kelas Moto2 agak terjejas selepas hujan lebat di kawasan litar.

Hafizh Syahrin berkata, beliau menyasarkan untuk berada pada kedudukan terbaik pada perlumbaan sebenar Ahad ini.- BERNAMA

2 kereta mewah dilarikan dalam kejadian samun

Posted:

2 kereta mewah dilarikan dalam kejadian samun

19/10/2012 6:48pm

MELAKA — Dua buah kereta mewah jenis Porsche Panamera dan BMW 5 Series dilarikan enam lelaki dalam satu kejadian samun dan pecah rumah di sebuah rumah banglo milik seorang ahli perniagaan di Jalan Taman Tasik Utama, Ayer Keroh di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi Rabu lepas, dua daripada lelaki terbabit yang memakai topeng dan bersenjatakan parang masuk melalui pintu belakang banglo dua tingkat tersebut sebelum mengancam pembantu rumah yang sedang mengemas di bahagian dapur.

Beliau berkata, ahli perniagaan berumur 50-an yang terdengar bunyi bising kemudian pergi ke dapur, namun diserang dua lelaki terbabit di kepala dengan objek tumpul.

"Kesemua penjenayah terbabit kemudian mengambil beberapa barang berharga seperti barang kemas, jam tangan, telefon bimbit dan beg duit serta melarikan dua buah kereta mewah yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM1.5 juta," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Kontinjen Melaka di sini, hari ini.— BERNAMA

Mayat dibungkus dalam plastik dijumpai

Posted:

Mayat dibungkus dalam plastik dijumpai

19/10/2012 6:33pm

ALOR SETAR — Mayat seorang lelaki dipercayai rakyat asing ditemui dalam satu bungkusan plastik di Kilometer 65 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini, hari ini.

Mayat lelaki berusia 40-an itu dijumpai oleh seorang pekerja kontrak yang sedang memotong rumput di kawasan itu pada pukul 10.50 pagi.

Ketua Polis Daerah Pendang, DSP Abdul Aziz Ahmad berkata, mayat itu dijumpai dalam keadaan berpakaian lengkap iaitu berbaju dan berkain sarung serta terdapat bantal dan tilam nipis dalam bungkusan itu.

"Pekerja kontrak itu ternampak kaki mayat dan terus membuat laporan polis.

Berdasarkan keadaan mayat yang tidak berbau, kami percaya lelaki itu mati dalam tempoh 24 jam yang lalu.

"Kami masih berusaha mengesan identiti mayat kerana tiada dokumen pengenalan diri dijumpai. Tiada kesan cedera atau darah pada mayat itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.— BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Pesona

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Art On Glass ilham Salmiah

Posted:

Art On Glass ilham Salmiah

Oleh NURUL IZZA ROSLY

JARI-JEMARINYA memegang lembut berus sambil mengoles warna-warna terang pada lukisan yang sedia ada di atas permukaan kepingan kaca lutsinar.

Tidak sampai 10 minit, 'wajah' kepingan kaca kosong tadi sudah menjadi naskhah seni yang mampu menyuntik perasaan bangga dan membuatkan sang pengkarya tersenyum puas.

Sudah menjadi rutin wanita berusia 45 tahun itu melihat pancaran ekspresi wajah penuh keterujaan daripada wanita-wanita yang datang menuntut ilmu seni dan kraf di premisnya, Art On Glass Biz di Jalan Dataran Selayang 2, Selangor.

Setiap kali melihat keceriaan di wajah anak-anak didiknya itu, semakin menggebu hasrat Salmiah Mohd. Norin untuk berkongsi ilmu seni lukisan kaca yang dipelajarinya empat tahun lalu.

Minatnya terhadap seni tersebut hanya terbit empat tahun lalu saat ibu kepada empat orang cahaya mata itu terbaca sebuah artikel mengenai seni tersebut di dada akhbar.

Bagai cinta pandang pertama, keunikan seni lukisan kaca telah menyunting hatinya untuk mendekati dan mendalami seni tersebut. Salmiah lantas mencari 'sifu' bagi membolehkan hasratnya menjadi kenyataan.

"Selama setahun saya belajar mendalami seni ini, sudah sampai masanya untuk berkongsi ilmu yang ada kepada wanita-wanita di luar sana terutamanya dalam kalangan suri rumah dan ibu-ibu tunggal.

"Berbeza dengan kelas-kelas seni dan kraf lain, Art On Glass Biz bukan sahaja mengetengahkan kelas lukisan kaca, malah turut menawarkan kelas sulaman reben, sulaman manik, decoupage, anyaman surat khabar dan gubahan bunga di bawah satu bumbung bermula Januari lalu," katanya yang tidak mempunyai sebarang pendidikan formal berkaitan seni itu sebelum ini.

DENGAN bayaran RM30 satu jam, segala peralatan keperluan untuk mempelajari seni kraf kaca akan disediakan, malah pelajar boleh membawa pulang hasil seni mereka.


Tambahnya, idea menghimpunkan kelas kraf di bawah satu bumbung adalah bagi memudahkan orang ramai untuk mempelajari pelbagai seni kraf tanpa perlu pergi ke merata tempat.

Salmiah juga pernah berhadapan dengan kesulitan tersebut, jadi dia mahu memudahkan wanita-wanita pencinta kraf di luar sana dengan menghimpunkan kelas kraf di bawah satu bumbung.

"Bagi seni lukisan kaca, saya sendiri akan turun padang menjadi tenaga pengajar tetapi untuk seni sulaman reben, manik dan lain-lain, khidmat tenaga pengajar luar disediakan.

"Saya mengambil khidmat salah seorang tenaga pengajar di Kolej Komuniti Selayang iaitu Rosnah Mamat, 56, apabila ada permintaan daripada orang ramai yang mahu mempelajari kraf tangan lain selain daripada lukisan kaca," ujarnya yang turut menerima tempahan cenderamata dan hadiah korporat.

Isi masa terluang

Sesiapa yang menjejakkan kaki ke Art On Glass Biz pasti terkesima dengan hasil tangan seni coretan kreativiti Salmiah.

Mungkin sesetengah orang melihatnya menganggap seni lukisan kaca sesuatu yang mudah, tetapi tak kenal maka tak cinta. Ia tidak semudah yang disangka, namun dengan latihan berulang kali, anda mampu menghasilkan sesuatu persis kerja tangan profesional.

"Jujur saya katakan, saya bukan tangan seni dan tidak minat seni pun sejak kecil.

"Apabila anak-anak sudah besar, saya tidak mempunyai aktiviti ketika mereka ke sekolah. Jadi, saya ingin lakukan sesuatu untuk diri sendiri," katanya yang pernah berkhidmat sebagai pembantu peribadi di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selama lapan tahun sebelum berhenti kerja untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak-anak dan keluarga.

Sejak melibatkan diri dalam seni lukisan kaca, Salmiah tidak dapat melupakan momen indah ketika membuka gerai pada Perhimpunan Agung UMNO 2010.

"Ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad terus melangkah ke gerai saya walaupun peniaga-peniaga lain memanggil-manggil beliau ke gerai masing-masing.

"Ia satu penghormatan buat saya apabila Tun membeli sebuah pasu bunga hasil kerja tangan saya," katanya yang turut mendapat undangan syarikat-syarikat swasta untuk turut serta dalam program anjuran mereka.

Tidak seperti kelas kraf lain, Art On Glass Biz mengenakan bayaran RM30 untuk satu jam. Salmiah akan menyediakan segala keperluan belajar dan mereka yang berminat hanya perlu menghadirkan diri.

"Hasil kreativiti yang telah disiapkan boleh dibawa pulang. Kelas ini juga dibuka kepada para pelajar semasa cuti sekolah," ujarnya sambil memberitahu diskaun akan diberikan jika hadir dalam kumpulan 15 hingga 30 orang.

Tiada had umur atau kriteria tertentu diperlukan untuk seseorang itu menuntut seni kraf di Art On Glass Biz. Cukup sekadar minat dan tidak perlu ada latar belakang seni.

Sulaman reben


ART On Glass Biz bukan sahaja menjadi lokasi menimba ilmu kraf, malah pada masa yang sama dapat menjadi terapi meredakan stres.


Jika orang ramai tidak mahu melalui jalan-jalan yang sesak, Salmiah pula sebaliknya. Dia sanggup memandu kereta kancil anaknya yang mempunyai paparan mengenai Art On Glass Biz pada cermin belakang meredah kesesakan jalan raya semata-mata untuk tujuan promosi.

Dalam pada itu, salah seorang pelajar yang pernah mengikuti kelas sulaman reben, Nur Zaiton Mohd. Salji, 45, memberitahu selepas menghadiri kelas selama lima jam, dia sudah mampu menguasai asas sulaman reben.

"Saya sangat meminati sulaman reben, tetapi tidak tahu di mana tempat yang menawarkan kelas sebegini.

"Kerana minat, saya cuba mempelajarinya secara dalam talian melalui YouTube, namun agak sukar untuk berbuat demikian kerana tidak dapat melihat secara langsung," katanya.

Selepas mengetahui Art On Glass Biz ada menawarkan kelas sulaman reben, Nur Zaiton tidak melepaskan peluang tersebut dan mula mengikuti kelas pada Julai lalu.

Apabila sudah mempelajari asas dan menguasai beberapa teknik sulaman reben, ibu kepada tiga cahaya mata itu sanggup bersengkang mata sehingga jam 2 pagi untuk memberikan nafas baharu pada sarung-sarung kusyen lama miliknya.

"Selain sarung-sarung kusyen, saya juga menjahit sulaman reben pada bekas botol kuih raya.

"Tidak lama untuk menguasai sulaman ini. Apabila sudah faham asasnya, kita sudah boleh mencipta macam-macam mengikut kreativiti masing-masing," ujarnya yang turut mengajar kenalan terdekat.

Bantuan melawan kelaparan

Posted:

Bantuan melawan kelaparan

Oleh SUHANA VERU

BEKALAN air bersih turut disalurkan kepada kanak-kanak di Vietnam.


MENGIKUT kajian Organisasi Bantuan Kelaparan dan Menghadapi Masa Depan Amerika Syarikat sehingga bulan Mac lalu, setiap tiga saat berlaku satu kematian akibat kebuluran di seluruh dunia.

Hasil kajian itu juga mendapati, setiap tahun seramai lima juta kanak-kanak mati disebabkan faktor yang sama iaitu kebuluran.

Malah, lebih 925 juta orang dikatakan sedang berdepan konflik kelaparan di seluruh dunia.

Menyedari hakikat itu, pusat penjagaan dan rawatan rambut, 101 Hair Care bekerjasama dengan sebuah badan amal antarabangsa, World Vision untuk membantu kanak-kanak di Asia yang mengalami kebuluran.

Komited dengan tanggungjawab sosial yang perlu dicurahkan kepada golongan yang kurang bernasib baik, 101 Hair Care mengambil inisiatif untuk menaja seramai 101 kanak-kanak miskin dari Kemboja, China, India, Indonesia, Lubnan, Myanmar, Thailand dan Vietnam.

Malah sejak tahun 1997, 101 Hair Care telah mengumpulkan sejumlah RM211,800 untuk membantu kanak-kanak miskin di bawah program tahunan tajaan World Vision.

Pakej amal 101 Hair Care

Pada tahun ini, pusat tersebut telah menyerahkan sumbangan RM60,600 menerusi jualan set penjagaan rambut amal.

Justeru, melihat kepada sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan, pusat tersebut melaksanakan projek yang sama pada suku kedua tahun ini berasaskan siapa cepat didahulukan.

101 Hair Care dan World Vision menganjurkan lawatan ke Thailand dan Vietnam dan mereka yang berminat boleh membeli mana-mana pakej amal 101 untuk berpeluang menyertai Program Pembangunan Kawasan World Vision.

Para pelanggan yang telah membeli salah satu pakej amal itu akan mendapat bayaran minimum untuk pakej lawatan lima hari empat malam ke Thailand termasuk tiket penerbangan, penginapan dan makan berjumlah RM2,700, manakala lawatan ke Vietnam lima hari empat malam berjumlah RM2,600.

Kesemua hasil jualan tersebut sebahagian besarnya akan disumbangkan kepada World Vision nanti.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif 101 Hair Care, Ricky Thye berkata, pihaknya juga menawarkan edisi terhad set penjagaan rambut kepada orang ramai.

"Anda boleh menjaga rambut dengan rawatan yang berkualiti daripada 101 Hair Care di samping menghulurkan bantuan kepada kanak-kanak yang memerlukan.

"Oleh itu, kita berharap orang ramai jangan melepaskan peluang ini untuk bertemu dengan kanak-kanak istimewa tersebut," katanya sambil memberitahu set penjagaan rambut mengandungi pek penyenggaraan, nutrisi, antipenuaan kulit kepala dan nutri folikel yang dijual pada harga istimewa.

Sementara itu, melihat kepada peningkatan angka penduduk dunia yang berdepan konflik kelaparan, 101 Hair Care juga menyokong kempen 30 Jam Kelaparan sebagai langkah susulan menyokong transformasi dalam kehidupan kanak-kanak dan komuniti mereka.

101 Hair Care telah menganjurkan kempen itu di ibu pejabatnya di USJ, Subang, Selangor baru-baru ini yang disertai lebih 50 kakitangan.

Dalam program itu, pelbagai aktiviti disusun bagi membolehkan peserta menyelami penderitaan kanak-kanak di negara kurang membangun.

Antaranya membina sendiri rumah daripada kotak dan surat khabar, mengemudi belon dan bola ping pong. Mereka melakukan semua tugasan itu seolah-olah sedang berada di kawasan gempa bumi.

Menerusi aktiviti-aktiviti itu, kakitangan dapat melihat sendiri cabaran dihadapi kanak-kanak dan merasai keperitan yang dilalui mereka.

Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti amal 101 Hair Care layari laman www.101hair.com.my.

Agihan daging akikah dan korban

Posted:

Agihan daging akikah dan korban

DAGING korban dan akikah haram diberikan kepada orang bukan Islam kerana tujuan penyembelihannya kerana ibadah kepada Allah.


SAYA ada kemusykilan mengenai akikah. Benarkah daging akikah tidak boleh dimakan oleh orang yang melakukan akikah? Adakah daging akikah ini boleh dimakan oleh mereka yang bukan Islam?

JAWAPAN:

Akikah adalah penyembelihan haiwan ternakan yang dilakukan untuk anak yang baru lahir sebagai tanda bersyukur kepada Allah.

Perkataan akikah daripada kata al-Iqqah bererti rambut makhluk yang baru dilahirkan, baik manusia atau binatang.

Akikah afdal dilakukan dalam tempoh seminggu selepas kelahiran. Daging akikah dan korban haram diberikan kepada bukan Islam kerana korban dan akikah merupakan amal ibadah kepada Allah.

Ia bertujuan untuk bertaqarrub kepada Allah. Ini ada disebut dalam Fatwa Syeikh Ahmad al-Fatthani.

Namun begitu, kalau bukan Islam hendak membeli satu bahagian daripada daging lembu itu untuk kegunaan peribadi, bukannya untuk korban, maka harus hukumnya menurut Syeikh Daud al-Fatthani dalam Furu'ul masaa'il.

Asalnya daging korban atau akikah adalah untuk sedekah yang mana diniatkan pahala. Maka pemberiannya perlu diberikan kepada orang yang berhak.

Dalam hadis ada menyebut bahawa elok dibahagikan daging-daging tersebut kepada tiga bahagian. Bahagian pertama dimakan oleh tuan punya akikah dan keluarganya. Bahagian kedua dihadiahkan kepada tetangga dan sahabat handai, manakala yang ketiga hendaklah disedekahkan kepada orang miskin dan memerlukan.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Dunia

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Kapal didaftar di Malaysia karam

Posted:

Kapal didaftar di Malaysia karam

KAPAL kargo Shinline karam dekat Pulau Jeju, Korea Selatan semalam.


SEOUL - Tiga kelasi warga Filipina dan dua rakyat China terbunuh semalam apabila sebuah bot pengawal pantai Korea Selatan yang dinaiki mereka karam, kata beberapa pegawai.

Ketika kejadian, bot itu menyelamatkan mereka dari sebuah kapal kargo Shinline yang turut karam.

Seorang jurucakap pengawal pantai berkata, bot itu terbalik ketika membawa 15 anak kapal kargo itu.

Kapal kargo yang didaftarkan di Malaysia dan seberat 5,436 tan itu karam berhampiran Pulau Jeju, di selatan negara ini.

Menurutnya, sebuah lagi bot pengawal pantai yang terlibat dalam operasi menyelamat kemudian hanya berjaya menyelamatkan 10 kelasi kapal tersebut.

Kapal kargo itu membawa 13 kelasi warga China dan enam rakyat Filipina membuat panggilan kecemasan selepas kapal yang dalam pelayaran ke Singapura itu mula tenggelam.

"Sebuah bot yang digunakan dalam operasi menyelamat itu terbalik kerana ombak kuat," kata jurucakap berkenaan.

Kesemua kelasi dan pengawal pantai yang selamat itu telah dihantar ke sebuah hospital di Jeju. - AFP

Jual lembu korban dengan cara yang unik

Posted:

Jual lembu korban dengan cara yang unik

SEORANG jurujual wanita yang berpakaian seperti koboi mengiringi pelanggan wanita di bilik pameran jualan lembu di Depok semalam


DEPOK, Indonesia - Seorang ahli perniagaan, Ramdoni mengubah suai bilik pameran kereta miliknya menjadi tempat jualan sejumlah lembu untuk dikorbankan pada sambutan Hari Raya Aidiladha di sini.

Dia turut menggaji beberapa wanita yang memakai pakaian koboi untuk menjadi jurujual lembu dan melayan pelanggan-pelanggannya.

Jurujual wanita itu turut membawa komputer tablet yang mengandungi maklumat tentang lembu seperti umur, berat badan dan baka haiwan tersebut.

Para pembeli juga boleh membeli lembu itu dengan menggunakan kad kredit dan debit. - Agensi

PM Australia terjatuh di depan kamera

Posted:

PM Australia terjatuh di depan kamera

KOMBINASI gambar menunjukkan detik-detik Gillard terjatuh di Memorial Mahatma Gandhi, New Delhi kelmarin.


SYDNEY - Perdana Menteri Australia, Julia Gillard (gambar) terjatuh selepas beliau meletakkan kalungan bunga di Memorial Mahatma Gandhi di New Delhi, India kelmarin.

Gillard terjatuh selepas kasut tinggi yang dipakainya terbenam di kawasan berumput semasa beliau berjalan ke arah pemberita dan jurugambar media.

Bagaimanapun, beliau kemudian segera bangun dan ketawa.

Gillard mengaku bahawa kasut tinggi yang dipakainya itu boleh terbenam di kawasan berumput sehingga menyebabkannya terjatuh.

Klip video yang menunjukkan perdana menteri itu terjatuh disiarkan berulang kali di televisyen Australia semalam.

Beberapa program berita dan media sosial juga menyiarkan klip video itu.

Akhbar Daily Telegraph di negara ini turut menyiarkan berita tentang kejadian tersebut di muka depan. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Hiburan

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Tak pandai cipta gosip

Posted:

Tak pandai cipta gosip

DALAM kalangan pelakon wanita tanah air, dia jarang sekali menjadi bahan gosip panas - baik di dada akhbar mahupun televisyen.

Jika ada pun, ia tidak menimbulkan kontroversi besar-besaran sehingga heboh diperkatakan di peringkat nasional.

Sememangnya pada tahun lepas, namanya menjadi sedikit 'panas' ekoran kontroversi impak kemunculannya memperaga gaun kuning pendek yang dikatakan agak seksi ketika membuat kemunculan sempena acara fesyen MASiF 2011 pada 15 hingga 17 September.

Namun selepas itu, namanya seolah-olah suram sehingga timbul persoalan adakah ia disebabkan popularitinya sudah semakin pudar.

Ketika ditemui pada sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini, Wan Sharmila atau nama ringkasnya, Lala bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

Bagi dirinya, dia lebih selesa menumpukan perhatian kepada kerjaya lakonannya berbanding gosip murahan.

"Saya ini jenis yang tidak pandai cipta gosip, lebih-lebih lagi kalau melibatkan diri saya sendiri.

"Kalau hidup saya penuh dengan gosip, mungkin saya bukan Lala yang orang kenal sekarang sebaliknya saya akan jadi orang lain," katanya yang mengakui lebih suka berdiam diri dan memberikan fokus kepada lakonan.

Diam tidak diam, penglibatannya dalam dunia lakonan sudah mencecah angka lima tahun.

Namun menurutnya, sejak hari pertama dia melibatkan diri dalam dunia lakonan, dirinya tidak putus-putus meraih tawaran berlakon walaupun kadangkala watak yang ditawarkan sekadar picisan.

"Saya rasa bersyukur hingga ke saat ini walaupun tidak diberikan watak yang besar atau popular, namun peluang untuk muncul di kaca televisyen sentiasa ada dan itu sudah memadai bagi saya sebab tidaklah saya terus tenggelam dari mata penonton," katanya.

Akuinya, kesibukan jadual harian kadangkala menyebabkan dirinya tidak mempunyai waktu rehat yang mencukupi.

"Selagi ada tawaran (berlakon), saya tidak akan tolak sebab bukan senang nak bina nama dan kepercayaan pengarah untuk menggalas sesuatu watak," ujarnya.

Dalam pada itu, seringkali apabila menonton drama Melayu yang menampilkan lakonan figura ini, pasti penonton sudah dapat meneka watak yang dilakonkannya.

Jelak jadi gedik

Namun menurut pemilik nama penuh Wan Sharmila Wan Mohamed ini, semuanya bergantung kepada rezeki meskipun kadangkala dia berasa jelak dengan watak sebegitu.

"Tidak dinafikan watak yang diberikan kadangkala memberi kesan kepada kita bila orang ingat watak yang dibawa dengan karakter sebenar saya sama sahaja," katanya.

Terbaharu, Lala, 31, tidak lagi diberi watak perempuan gedik, sebaliknya dia menghidupkan karakter yang mencabar menerusi filem arahan Faizul A. Rashid, Bisikan Syaitan.

Ia bakal mula ditayangkan pada 25 Oktober ini.


LALA dan Azam merealisasikan karakter pasangan kekasih dalam filem Bisikan Syaitan.


"Ini merupakan kali pertama saya melakonkan aksi-aksi mencabar dan ia ternyata berbeza daripada lakonan saya sebelum ini yang memerlukan saya untuk menjadi gedik.

"Sebenarnya, saya sudah lama teringin untuk membawa watak berat seperti ini, cuma tidak pernah diberi peluang.

"Apabila pengarah memberitahu saya bakal melakonkan watak ini pada tahun lepas, saya sangat teruja dan Alhamdulillah, saya mampu mengharunginya," ujarnya.

Dalam filem itu, dia yang memegang watak sebagai seorang gadis naif bernama Kamilia bergandingan dengan pendatang baharu, Azam Pitt sebagai pasangan kekasih.

Kamilia merupakan mangsa perjanjian syaitan angkara antara abangnya sendiri, Kamil (lakonan Fizz Fairuz) dan kakak iparnya, Suraya (Nabila Huda).

Bercerita tentang Azam Pitt, menurut pelakon genit ini, dia tidak mempunyai sebarang masalah apabila digandingkan bersama jejaka tersebut memandangkan sebelum ini mereka pernah bergandingan dalam drama TV.

"Saya sudah ada pengalaman bekerja dengan Azam tetapi kali ini lain sedikit memandangkan saya dan dia bergandingan sebagai sepasang kekasih.

"Namun, kami banyak berbincang untuk mendapat keserasian watak yang dibawakan," ujarnya mengakhiri bicara.

Diana Amir ada alasan

Posted:

Diana Amir ada alasan

Oleh MUHAMMAD IZWAN MOHD. ISA


KETIDAKHADIRAN Diana Amir pada majlis tayangan perdana filem, PE3 di Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor, Isnin lalu menimbulkan pelbagai spekulasi.


KETIKA menghadiri majlis pelancaran filem, PE3 arahan Farid Kamil di Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, kelibat salah seorang pelakon utama filem tersebut iaitu Diana Amir, tidak kelihatan.

Tindakan aktres itu secara tidak langsung telah menimbulkan banyak spekulasi daripada pelbagai pihak.

Ada yang menganggap Diana Amir sudah besar kepala memandangkan pelakon filem Aku Masih Dara itu juga pernah tidak hadir ke sesi tayangan perdana filem X, beberapa bulan lalu.

Ada juga yang berpendapat ketidakhadiran Diana pada majlis tayangan filem PE3, Isnin lalu itu kerana berkecil hati ekoran gambarnya tidak turut menghiasi poster filem tersebut.

Kosmo! menghubungi Diana untuk mendapatkan komen lanjut mengenai isu tersebut.

Kosmo!: Kenapa Diana mengambil keputusan untuk tidak menghadiri majlis pelancaran filem PE3, sedangkan Diana merupakan salah seorang pelakon utama filem itu?

DIANA: Ya, saya mengaku tidak hadir ke majlis tayangan perdana filem PE3 kerana sejujurnya, saya segan. Ketika menjalani penggambaran filem tersebut, saya masih lagi tidak bertudung. Jadi, agak kekok untuk menonton semula lakonan saya tersebut.

Adakah ini bermakna disebabkan batasan imej terkini Diana yang bertudung, ia menghalang anda hadir ke majlis itu?

Memang benar dan saya juga tidak menghadirkan diri ketika majlis pelancaran filem X atas sebab yang sama.

Adakah Diana kecewa apabila gambar Diana telah dikeluarkan dari poster filem berkenaan?

Saya telah diberitahu mengenai perkara ini, malah David Teo juga menyokong tindakan mengeluarkan gambar saya dari poster filem itu. Dia juga enggan perkara ini menjadi isu yang besar setelah poster filem PE3 dikeluarkan.

Apakah komen Diana jika ada sesetengah pihak mengatakan Diana adalah seorang pelakon yang tidak profesional dan cerewet?

Sebagai seorang manusia biasa, kita memang tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Saya faham persepsi orang ramai terhadap diri ini. Saya yakin peminat juga faham prinsip baharu hidup saya sekarang.

Sebelum ini, mungkin saya tidak terlalu peka dengan keseluruhan jalan cerita atau plot sesetengah filem sebelum sesi penggambaran bermula. Walau bagaimanapun sekarang, saya harus cerewet dalam memilih skrip atau watak yang bersesuaian dengan diri saya.

Tidak gusar dilabelkan sebagai diva oleh penerbit atau pengarah lain?

Seperti yang saya katakan tadi, saya yakin semua orang faham dan hormati prinsip hidup saya. Saya kini bertudung dan saya juga pasti penerbit dan pengarah di luar sana mengerti akan batasan pergaulan diri ini ketika sesi penggambaran.

Begitu juga dengan tawaran berlakon, selagi tidak melanggar prinsip hidup serta selari dengan imej saya, Insya-Allah saya akan melakonkan watak yang diberikan sebaik mungkin.

Masih mahu meneruskan karier dalam bidang lakonan?

Saya masih mencintai bidang lakonan. Saya masih akan menerima tawaran berlakon jika watak yang ditawarkan bersesuaian dengan saya.

Perkembangan terkini Diana?

Sekarang saya sedang mengembangkan karier saya dalam bidang pengacaraan. Buat masa ini, saya agak sibuk mengacara sebuah rancangan hiburan baharu di TV9, SIS (Suara Intelek Swadarya) yang bakal disiarkan tidak lama lagi.

Lohan bangga aksi ghairah

Posted:

Lohan bangga aksi ghairah

BINTANG sensasi, Lindsay Lohan kebelakangan ini kelihatan ligat bekerja dan terkini, dia akan muncul bersama sebuah filem yang memperlihatkan aksi ghairahnya iaitu The Canyons.

Memegang watak Bella, seorang bekas model, Lohan telah berbogel selain melakonkan babak seks .

Lohan yang telah menonton filem tersebut sebelum ia mula ditayangkan nanti melahirkan rasa puas hati dengan kerja kerasnya.

"Ia (filem) sangat hebat! Saya menontonnya bersama ibu. Walaupun dia (ibu) sukar menerimanya, tapi filem itu sangat menarik.

"Jelas sekali Paul Schrader (pengarah) melakukan kerjanya dengan baik," komen Lohan kepada HollywoodNews.com.

The Canyons memaparkan kisah sebenar kehidupan bintang porno, James Deen. Ia diselitkan dengan beberapa babak mengghairahkan.

Kredit: www.kosmo.com.my

Khamis, 18 Oktober 2012

Kosmo Online - Rencana Utama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Sihanouk kesayangan rakyat Kemboja

Posted:

Sihanouk kesayangan rakyat Kemboja

LAUTAN manusia membanjiri pekarangan Istana Diraja Phnom Penh, Kemboja untuk menangisi pemergian pemimpin kesayangan mereka, Norodom Sihanouk, 89.

Situasi memilukan itu membuktikan betapa kasihnya rakyat negara itu terhadap lelaki yang digelar 'Bapa Raja' tersebut.

Sihanouk pernah mengeluarkan kenyataan: "Saya adalah Sihanouk dan semua rakyat Kemboja adalah anak-anak saya."

Tempoh perkabungan rasmi telah bermula sejak Rabu lalu dan ketiadaan kawasan khas bagi upacara itu tidak menghalang orang ramai untuk hadir ke kawasan istana bagi memberi penghormatan terakhir.

Menjelang petang, ribuan lagi orang awam memenuhi kawasan tersebut. Pihak istana terpaksa menyediakan meja bagi menempatkan bunga-bunga, lilin dan setanggi, sambil orang awam berbaris mengabadikan ucapan takziah mereka dalam sebuah buku khas.

"Saya berharap dapat melihat mendiang dan mahu menatap wajahnya buat kali terakhir," ujar Mean Pichavisa, 16, yang sedang memotong reben hitam untuk diletakkan pada baju putihnya sebagai simbol perkabungan.

Remaja itu juga membotakkan kepalanya sebagai tanda hormat di atas pemergian Sihanouk. Kepulangan pemimpin Asia Tenggara terakhir yang merebut kemerdekaan Kemboja selepas peperangan itu, diibaratkan sebagai momen paling penting dalam sejarah negara tersebut.

Difahamkan, hampir 100 sami dan rahib Buddha memulakan upacara doa sejak Selasa lalu di sebuah pagoda yang terletak berhampiran istana.

"Sebagai penganut Buddha, kami percaya doa kami dapat membantu roh Bapa Raja kesayangan kami bersemadi dengan aman dan melalui proses kelahiran semula dengan cepat," ujar Ngoun Pheadkey, sami berusia 22 tahun yang menambah, upacara itu adalah tanda terima kasih rakyat jelata kepada Sihanouk.

Sejumlah orang awam, khususnya warga emas, sanggup datang dari ceruk kampung selepas mendengar berita kematian Sihanouk.

"Semua penduduk Kampong Chhnang berdukacita dan meratapi pemergian Sihanouk. Kami sentiasa berharap beliau dapat hidup lebih lama," ujar seorang tukang masak Pen Sominea, 50.

Di bandar-bandar utama Kemboja, segenap lapisan rakyat memakai reben hitam pada baju mereka. Sekumpulan pelajar universiti pula dilihat mendendangkan lagu patriotik Kemboja dengan penuh bangga di hadapan istana.

RAKYAT Kemboja membanjiri Istana Diraja Phnom Penh bagi memberi penghormatan terakhir kepada bekas raja mereka.


"Beliau seorang raja yang baik. Beliau menjaga negara dan rakyat Kemboja dengan penuh tanggungjawab," ujar seorang penduduk Kampong Cham, Ching Sivheang, 94.

Penulis biografi rasmi Sihanouk, Julio Jeldres pernah mengungkapkan: "Sihanouk ialah Kemboja."

Permintaan terakhir

Ekspresi yang dipetik rakyat cukup memberi gambaran tentang kredibiliti Sihanouk sebagai pemimpin. Biarpun pendirian beliau sering dipersoalkan, segala keputusan yang dipilih adalah semata-mata demi kebajikan negara dan rakyatnya.

Bukti sokongan rakyat terhadapnya dapat dilihat menerusi perbarisan melibatkan kira-kira 100,000 orang yang menyambut kepulangan jenazah Sihanouk pada Rabu lalu. Mereka memenuhi jalan-jalan di sepanjang lapangan terbang sehingga ke istana.

Jenazah Sihanouk akan terus berada di istana untuk tiga bulan membolehkan orang ramai memberi penghormatan terakhir.

Pada Januari lalu, Sihanouk meminta agar jenazahnya dibakar mengikut tradisi agama Buddha. Beliau memohon supaya abunya diletakkan di dalam tempayan, seboleh-bolehnya diperbuat daripada emas dan diletakkan di dalam stupa istana.

Sihanouk yang meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Beijing, China mula menerima rawatan sejak Januari lalu. Beliau berperang dengan beberapa penyakit termasuk kanser, diabetes dan masalah jantung. Sepanjang tempoh rawatan, beliau ditemani isteri keenam yang dikahwini pada tahun 1952, Norodom Monineath atau lebih dikenali dengan nama Monique.

GAMBAR bertarikh 30 Oktober 2001 ini merakamkan aksi Sihanouk bersama Monique melambai tangan kepada orang ramai ketika menghadiri festival tahunan lumba bot di Kemboja.


Hubungan akrab Sihanouk bersama pemimpin revolusi China, Mao Zedong dan Zhou Enlai dibuktikan menerusi penghormatan bendera China yang dinaikkan setengah tiang di Tiananmen Square dan di beberapa lokasi utama pusat bandar negara itu.

"Saya sentiasa menganggap China sebagai rumah kedua. Hanya China menyokong kami walaupun ditentang Khmer Rouge dan tidak diingini oleh Kesatuan Soviet," ujar Sihanouk pada tahun 1971.

Legasi

Dilahirkan pada 31 Oktober 1922, Sihanouk melalui zaman kanak-kanak ketika era kolonial Perancis Indochina. Pada tahun 1941, Perancis menabalkan beliau sebagai Raja Kemboja walaupun baharu berusia 18 tahun.

Perancis menganggap Sihanouk sebagai seorang putera yang tidak serius dan mudah dikawal. Mereka memandang rendah kebolehan Sihanouk, namun pada tahun 1953, Perancis akhirnya berundur.

Pada tahun 1955, Sihanouk turun takhta dan memberi laluan kepada ayahandanya, Norodom Suramarit untuk menaiki takhta. Beliau menceburi dunia politik dan membentuk parti sendiri serta memegang beberapa posisi penting seperti perdana menteri dan ketua negara.

Sepanjang hidupnya, beliau cuba menjadikan Kemboja sebagai negara berkecuali ketika Perang Dingin memuncak dan menjadi pengasas kepada Pergerakan Negara-Negara Berkecuali. Pada tahun 1965, beliau memutuskan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) yang kemudiannya menggandakan asakan dalam Perang Vietnam.

Namun, pada tahun 1969, beliau mencipta perhubungan baharu bersama AS dan mengetepikan China kerana bimbang bahan mentah negaranya dikuasai komunis Vietnam.

Keutamaan Sihanouk adalah bagi mengelakkan Kemboja daripada terlibat dengan perang, tanpa mengira musuh atau kawan, tetapi beliau gagal. Tentera udara AS mengebom markas komunis Vietnam di Kemboja yang disangka telah dipersetujui Sihanouk menerusi persefahaman tidak bertulis.

Bagi merebut kembali takhtanya selepas dirampas Jeneral Lon Nol yang mendapat sokongan AS pada tahun 1970, beliau membuat pakatan bersama Khmer Rouge. Ketika itu beliau melalui tempoh buangan di China.

Apabila Khmer Rouge berjaya merampas kuasa pada tahun 1975, Sihanouk kembali ke Kemboja. Namun, beliau meletakkan jawatan sebagai ketua negara selepas beberapa bulan dan diarahkan menjalani hukuman mati. Campur tangan pemimpin China, Zhou Enlai menyelamatkan beliau.

Sihanouk kemudiannya ditahan di istananya sendiri sambil menyaksikan Khmer Rouge menubuhkan rejim fahaman Mao Zedang yang bersifat ultra radikal bermula tahun 1975 sehingga tahun 1979. Sepanjang tempoh itu, kira-kira 1.7 juta rakyat terbunuh termasuk lima anaknya.

SAMI-SAMI Buddha dan orang ramai memenuhi monumen kemerdekaan Kemboja menantikan konvoi perjalanan yang membawa Sihanouk dari lapangan terbang ke istana.


Vietnam kemudiannya menawan Khmer Rouge pada tahun 1978 manakala Sihanouk dibuang negeri ke Beijing dan Korea Selatan. Walaupun kurang menyukai Khmer Rouge, Sihanouk terpaksa bersama tentera itu untuk membentuk Kerajaan Campuran Demokratik Kampuchea dan menghalau tentera Vietnam.

Selepas 10 tahun, Sihanouk kembali menaiki takhta pada tahun 1993 dan membina semula reputasi sebagai pemerintah negara mengikut sistem raja berperlembagaan. Keamanan negara bagaimanapun masih belum dapat dikembalikan ekoran trauma rakyat terhadap Pol Pot sehinggalah pemimpin Khmer Rouge itu mati pada tahun 1998.

Pada tahun 2004, atas faktor kesihatan Sihanouk akhirnya menyerahkan takhta kepada anak lelakinya, Norodom Sihamoni untuk menjadi Raja Kemboja.

Kredit: www.kosmo.com.my

Kosmo Online - Komuniti Kita

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Komuniti Kita


80 ahli pengakap Setiu sertai Korobori

Posted:

80 ahli pengakap Setiu sertai Korobori

MURID-MURID lepasan UPSR dari lapan buah sekolah rendah di Setiu yang menyertai Perkhemahan Korobori Pengakap di Kem Tengku Muhammad Ismail, Telaga Batin, Kuala Terengganu baru-baru ini.


PERKHEMAHAN. Seramai 80 murid lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dari lapan buah sekolah rendah di Setiu menyertai Perkhemahan Korobori Pengakap di Kem Tengku Muhammad Ismail, Telaga Batin, Kuala Terengganu selama empat hari baru-baru ini.

Para peserta merupakan ahli pengakap Tunas Kadet Remaja Sekolah dan Puteri Islam dari Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 29, SK Bari Pantai, SK Pelong, SK Putera Jaya, SK Kampung Buluh, SK Lembah Jaya, SK Seri Langkap dan SK Kampung Fikri.

Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Setiu, Ahmad Atiq Asnawi berkata, pelbagai aktiviti dijalankan sempena perkhemahan itu termasuk kraf tangan, permainan tradisional dan lawatan di beberapa tempat menarik sekitar bandar Kuala Terengganu.

Perlawanan bola sepak VTJ, polis bantuan BSN

Posted:

Perlawanan bola sepak VTJ, polis bantuan BSN

Pasukan VTJ dan Polis Bantuan BSN bergambar kenangan sebelum memulakan perlawanan persahabatan di padang SK Pohon Tanjong, Pasir Pekan, Tumpat baru-baru ini.


MESRA. Satu pertandingan bola sepak persahabatan antara pasukan Veteran Tok Janggut (VTJ) dan Polis Bantuan Bank Simpanan Nasional (BSN) diadakan di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Pohon Tanjong, Pasir Pekan, Tumpat baru-baru ini.

Pada pertandingan itu, pasukan VTJ menang bergaya dengan jaringan 5-1.

Timbalan Presiden VTJ, Mokhtar Abd. Rahman berkata, perlawanan itu bertujuan mewujudkan jalinan mesra antara komuniti pemain sekali gus mengeratkan hubungan.

Menurutnya, kemenangan tersebut akan menjadi perangsang kepada semua pemain VTJ bagi meningkatkan lagi latihan dalam menghadapi perlawanan lain di masa hadapan.

Nelayan kawasan Kawang terima elaun sara hidup

Posted:

Nelayan kawasan Kawang terima elaun sara hidup

GHULAM HAIDAR (dua kanan) bersama sebahagian daripada 519 nelayan di kawasan Kawang yang menerima elaun sara hidup bulanan di Papar, Sabah baru-baru ini.


ELAUN. Seramai 519 nelayan di kawasan Kawang menerima elaun sara hidup sebanyak RM200 daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar pada satu majlis di Papar, Sabah baru-baru ini.

Ghulam berkata, elaun sara hidup bagi bulan September diharap dapat membantu meringankan beban hidup nelayan.

"Elaun sara hidup ini merupakan antara usaha-usaha kerajaan membantu golongan nelayan menghadapi tekanan ekonomi disebabkan kenaikan harga bahan bakar global," jelasnya.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, ia merupakan insentif kepada sektor industri perikanan agar kekal berdaya maju.

Kredit: www.kosmo.com.my
 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved