Ahad, 18 Mei 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Jihad Ismail Sabri perangi orang tengah

Posted:

Jihad Ismail Sabri perangi orang tengah

Jihad Ismail Sabri perangi orang tengah

KETEGASAN yang ditunjukkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika melancarkan kempen Jihad Memerangi Orang Tengah amat dikagumi kerana ia merupakan masalah yang sudah berakar umbi dalam sektor pertanian negara.

Angkara mainan licik orang tengah, golongan petani ditindas dan terpaksa hidup di bawah paras kemiskinan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu tekad membanteras gejala tersebut bermula dengan subsektor padi dan beras pada Januari lalu. Ini diikuti subsektor perikanan pada Februari dan buah-buahan serta sayur-sayuran hujung bulan ini.

Ketokohan dan kebolehan Ismail Sabri sebenarnya sudah terserlah sejak dilantik menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada April 2009.

Beliau telah berjaya melaksanakan pelbagai program transformasi menerusi pelaksanaan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang membolehkan rakyat membeli barang yang berkualiti pada harga rendah.

Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) pula khusus untuk golongan peniaga mengubah perniagaan mereka supaya mampu berdaya saing.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-13, Ahli Parlimen Bera, Pahang itu mendapat kepercayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menerajui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA). Kini telah genap setahun beliau bersama MoA.

"Sebelum menyertai MoA, saya lihat sektor pertanian tidak banyak mengalami perubahan kerana dibelenggu persepsi yang mengaitkannya dengan kemiskinan, dianggap sektor luar bandar dan tidak moden.

"Pencapaian sektor ini juga masih pada takuk lama, tidak banyak penyertaan golongan muda sebagai pelapis, teknologi dan inovasi yang masih ketinggalan berbanding negara jiran serta tiada daya saing untuk pasaran eksport.

"Jabatan dan agensi sedia ada pula masih berkisar kepada agenda yang tidak dapat menjadikan sektor ini berdaya maju kepada golongan sasar dan ekonomi negara," katanya dalam satu wawancara khas di Putrajaya baru-baru ini.


KETUA Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Mohd. Hashim Abdullah (kiri sekali) bersama pegawai-pegawai kementerian mengacau dodol dan rendang pada satu majlis di kementerian tersebut di Putrajaya tahun lalu.


Banteras

Beliau membayangkan, sekiranya persepsi dan pencapaian sektor itu tidak dapat dipulihkan atau ditransformasikan maka ia boleh dilihat sebagai satu sunset industry kepada negara.

Setelah meneliti dengan mendalam dan mendapat input daripada para pegawai, Ismail Sabri mendapati punca sebenar sektor pertanian di Malaysia tidak mengalami perkembangan adalah ekoran kewujudan orang tengah.

Keperluan menjaga kepentingan golongan petani telah mencetuskan ilham kepada Ismail Sabri untuk melancarkan jihad membanteras orang tengah. Ini menunjukkan betapa seriusnya perjuangan untuk mengeluarkan nelayan, petani dan penternak daripada cengkaman lintah darat.

"Apabila sebut jihad, orang nampak sesuatu yang serius. Bukan sahaja saya sebut dalam kalangan nelayan, petani dan penternak tetapi dalam kalangan pegawai kerajaan, agensi dan kementerian, perkataan jihad membawa makna yang serius.

"Jihad Memerangi Orang Tengah ini juga bukan ditujukan untuk orang bukan Melayu atau bukan Islam kerana orang tengah ini tidak mempunyai bangsa dan agama. Sesiapa boleh menjadi orang tengah asalkan dia mengambil kesempatan menindas," kata beliau.

Menerusi kempen Jihad Memerangi Orang Tengah, beliau telah memperkenalkan lapan inisiatif iaitu peruntukan RM40 juta daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga Nasional (Tekun) bagi menyelesaikan hutang nelayan kepada orang tengah termasuk pinjaman membeli bot dan peralatan lain.

Selain itu, Pertubuhan Nelayan Kawasan (PNK) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) membeli terus hasil ikan daripada nelayan dan Nekmat diberi peruntukan kecemasan sebanyak RM50,000 untuk pinjaman segera kepada nelayan.

Sebanyak 200 pusat pengumpulan dan pengedaran hasil ikan pula akan disediakan oleh Nekmat dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Bilangan pasar nelayan pula ditambah menjadi 50 buah pada tahun ini berbanding 36 buah yang telah beroperasi selain memberi tapak berniaga di pasar tani serta pasar ikan bergerak kepada nelayan.


AHMAD (dua dari kiri) yang menerajui FAMA turut bertanggungjawab memacu agensi itu memerangi orang tengah.


Dasar baharu

Beberapa dasar baharu turut diperkenalkan oleh Ismail Sabri dan MoA walaupun tidak disenangi pihak-pihak tertentu. Namun, ia perlu dilaksanakan demi masa depan negara dan kepentingan banyak pihak.

Antaranya, pengharaman penggunaan pukat tunda saiz anak mata 38 milimeter (mm) yang mula dikuatkuasakan pada November tahun lalu. Lesen pengusaha laut juga boleh dibatalkan sekiranya memajak bot kepada pengusaha Vietnam atau menggajikan nelayan asing sepenuhnya.

Dalam wawancara dengan Kosmo!, Ismail Sabri jelas tidak bersikap apologetik.

"Saya cuma menyempurnakan apa yang sudah ada dalam undang-undang tetapi tidak dapat dilaksanakan selama ini. Saya lihat langkah itu sudah menjadi keperluan mendesak demi masa depan ekosistem dan hidupan laut.

"Saya tidak akan kompromi dalam soal ini. Kita akan korbankan kepentingan golongan yang kecil itu untuk menjaga kepentingan ramai dan inilah yang menjadi prinsip saya," tegas beliau.

Selain itu, beliau turut bertanggungjawab untuk meliberalisasikan permit import bagi ayam, lembu, kambing, kopi, kobis, khinzir dan kelapa bertujuan untuk mengelak berlakunya monopoli.

Petani muda

Menyedari pentingnya penglibatan golongan muda dalam sektor pertanian, Ismail Sabri turut menubuhkan Unit Agropreneur Muda bagi menarik lebih ramai golongan belia di bawah umur 40 tahun menyertai sektor itu.

Menerusi unit tersebut, MoA akan menyediakan pelbagai keperluan untuk para petani muda dari segi tanah, bengkel, pembiayaan, bimbingan dan ilmu pengurusan.

"Sasaran awal kita ialah melatih seramai 1,000 orang belia pelbagai latar belakang pendidikan menceburi bidang pertanian. Sambutan sangat menggalakkan apabila lebih 2,000 belia telah memohon untuk menyertai unit ini.


PERTANIAN tanpa orang tengah membolehkan petani mengecap pulangan berganda.


"Jelas apa yang kita laksanakan telah berjaya mengubah persepsi negatif dalam kalangan generasi muda menerusi pengenalan pertanian moden yang sesuai untuk golongan tersebut," jelasnya.

MoA turut mewujudkan Majlis Perundingan Agropreneur Muda yang dipengerusikan oleh Ismail Sabri sendiri bertujuan untuk melibatkan golongan muda dalam penggubalan dasar dan program-program pembangunan pertanian belia.

Mengenai masa depan sektor pertanian negara, Ismail Sabri menjelaskan, perubahan minda perlu berlaku dalam semua peringkat bermula daripada kementerian, agensi, pemimpin persatuan selain nelayan, petani dan penternak sendiri.

"Kita, misalnya, telah memperkenalkan Amalan Pertanian Baik (GAP) dan ia merupakan kaedah sistematik yang baik untuk sektor pertanian.

"Namun, masih ramai petani belum mendapatkan sijil GAP kerana mereka lebih selesa dengan cara tradisional yang sebenarnya menyebabkan keluaran mereka lebih rendah berbanding jika mengamalkan sistem GAP.

"Disebabkan itu, saya perlu kerja lebih keras untuk ubah cara petani kita bekerja. Bagi menyelesaikan masalah ini, kita akan laksanakan kursus perubahan minda membabitkan pemimpin-pemimpin persatuan petani bermula tahun ini," katanya.

Ismail Sabri menegaskan, sekiranya perkara itu tidak diatasi dengan segera, ia akan menyebabkan segala perancangan yang ingin dilakukan akan mengalami kegagalan.

Harapan dan impian beliau ialah mengubah kehidupan nelayan, petani dan penternak secara holistik dan usaha mencapai sasaran tersebut memerlukan satu pendekatan yang berbeza daripada amalan sebelum ini.

Implan otak pulihkan ingatan

Posted:

Implan otak pulihkan ingatan

Implan otak pulihkan ingatan


HASIL positif ujian implan otak terhadap tikus menunjukkan kajian serupa boleh dilakukan ke atas manusia.


DALAM beberapa bulan lagi, penyelidikan rahsia tentera Amerika Syarikat (AS) bakal mengumumkan kemajuan baharu pembangunan implan otak bagi memulihkan ingatan seseorang askar yang cedera semasa perang.

Agensi Penyelidikan Projek Pertahanan Termaju (DARPA) yang bertanggunggjawab terhadap penyelidikan berkenaan mempunyai pelan empat tahun bagi membangunkan perangsang minda canggih sebagai sebahagian daripada 100 inisiatif Presiden AS, Barack Obama untuk lebih memahami otak manusia.

Bagaimanapun, sains tidak pernah melakukannya sebelum ini dan ia menimbulkan persoalan etika mengenai sama ada minda manusia harus dimanipulasi atas alasan mengelak kecederaan perang atau menguruskan penuaan otak.

Ada yang menyatakan mereka yang memperoleh manfaat daripada pembangunan implan otak tersebut adalah lima juta rakyat Amerika yang menghidap penyakit Alzheimer serta 300,000 tentera AS termasuk lelaki dan wanita yang mengalami kecederaan otak akibat trauma perang di Iraq serta Afghanistan.

"Jika anda telah tercedera ketika dalam bertugas dan tidak mampu mengingati keluarga sendiri, maka kami mahu berusaha untuk mengembalikan fungsi seumpama itu.

"Kami fikir boleh membangunkan peranti neuroprostetik (neuro palsu) yang boleh secara langsung ditempatkan antara muka hippocampus (bonjolan melengkung pada lantai ventrikel lateral otak).

"Ia akan memulihkan jenis kenangan pertama dan nyata," kata Pengurus Program DARPA, Justin Sanchez pada persidangan anjuran Pusat Kesihatan Otak di Universiti Texas, AS.

Kenangan yang nyata adalah ingatan terhadap orang, peristiwa, fakta dan angka. Bagaimanapun, belum ada penyelidikan yang pernah menunjukkan ia boleh dikembalikan jika mereka kehilangan ingatan.

Apa yang mampu dilakukan oleh penyelidik ketika ini adalah membantu mengurangkan gegaran pada pesakit Parkinson, menurunkan kadar sawan dalam kalangan epilepsi di samping meningkatkan minda kepada segelintir pesakit Alzheimer menerusi proses dikenali sebagai rangsangan dalam otak.

Idea penciptaan peranti neuroprostetik telah diilhamkan menerusi penghasilan perentak jantung (peranti kawalan degupan jantung).


KAJIAN ini juga boleh digunakan untuk merawat pesakit Alzheimer.


Pulih ingatan

Sementara nadi elektrik ke dalam otak pula akan sama seperti rentak gendang yang stabil, namun tidak semua orang sesuai menggunakannya.

Pakar memaklumkan bahawa pendekatan yang lebih nuansa (perkataan dikesan melalui nada suara) diperlukan untuk memulihkan ingatan seseorang itu.

"Ingatan adalah corak dan hubungan. Bagi kami, untuk menghasilkan ingatan prostetik, kita sebenarnya perlu mempunyai sesuatu yang dapat menyampaikan corak tertentu," jelas Profesor Universiti Wake Forest, Utara Carolina, AS, Robert Hampson yang tidak mahu mengulas secara khusus mengenai rancangan DARPA.

Penyelidikan Hampson terhadap tikus dan monyet menunjukkan bahawa neuron dalam hippocampus iaitu otak yang memproses ingatan akan mencetuskan perbezaan apabila mereka melihat merah atau biru mahupun gambar wajah berbanding jenis makanan.

Menerusi pengetahuan ini, Hampson dan rakan-rakan penyelidik telah dapat memanjangkan hayat haiwan menggunakan memori otak protestik bagi merangsangkan hippocampus.

Mereka melaksanakan ujian ke atas kelakuan monyet menggunakan memori otak tersebut dan mengelirukannya dengan memanipulasi isyarat supaya haiwan berkenaan akan memilih imej yang bertentangan dengan apa yang diingati.

Menurut Hampson, bagi memulihkan memori spesifik manusia, ahli sains perlu mengetahui corak yang tepat untuk ingatan itu.

Memori baharu

"Idea ini adalah untuk memulihkan semula fungsi otak kepada normal atau hampir normal terutamanya di bahagian pemprosesan memori otak agar seseorang itu boleh mengakses ingatan mereka. Jadi akhirnya mereka boleh membentuk ingatan baharu seperti yang diperlukan," kata Hampson.

Bagaimanapun ada kalangan ahli-ahli sains mempertikaikan kaedah ini daripada sudut etika sebagai memanipulasi ingatan seseorang.

Mereka berpendapat, mengubah memori seseorang adalah risiko kehilangan perasaan diri dan menasihatkan DARPA untuk melihatnya menerusi biologi sintetik dan bukannya neuro sains.

Potensi untuk memadam memori atau memasukkan ingatan baharu boleh mengganggu teknik tempur yang dipelajarinya atau menjadikan mereka pahlawan yang lebih ganas. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved