Ahad, 4 Mei 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Seksi Anzalna ada batasan

Posted:

Seksi Anzalna ada batasan

Seksi Anzalna ada batasan

MOLEK budi bahasanya sewaktu meminta kelonggaran agar gambar-gambar yang keterlaluan menampakkan paha gebunya tidak diterbitkan. Sedar ada sensitiviti yang perlu dijaga, permintaan Anzalna Nasir itu tidak sukar untuk diturutkan.

Sementelah, rona merah dan krim yang dipadankan sebagai busana fotografinya kali ini sudah cukup untuk menyerlahkan penampilan selebriti berusia 26 tahun itu.

"Saya cuma mahu menjaga hati. Mahu lebih berhati-hati. Saya minta maaf kerana tidak dapat menggayakannya seperti model-model di pentas peragaan.

"Sampai ke tahap ini, rasanya saya kena menjadi seorang yang peka dengan perasaan orang lain terutama ibu bapa saya," tertib butir penjelasan Anzalna sambil memuji busana yang disediakan pereka fesyen terkenal, Hazree Wahid untuk fotografi tempoh hari.

Minta diperincikan lagi simpulan kata menjaga hati tadi, Anzalna tidak bersetuju jika pendiriannya itu dikatakan berpunca daripada larangan sang kekasih, Hanif Zaki.

"Hanif belum jadi suami saya, hormat saya terhadapnya masih lagi dalam acuan teman lelaki dan teman wanita. Lainlah kalau dia suami saya.

"Saya sebenarnya menjadi semakin terkesan dengan pesanan daripada ibu bapa saya yang sekarang tinggal di London. Sebelum ini, semasa tinggal bersama, saya tak berapa nak endah sangat apa yang ibu bebelkan, tapi bila berjauhan, saya semakin faham.

"Saya mudah rasa bersalah bila tak pedulikan pesanan ibu. Saya juga takut menyesal pada kemudian hari, kalau terjadi apa-apa yang tak diingini.

"Lagipun sebagai anak, hidup akan dirahmati selagi pesanan ibu bapa jadi panduan," panjang lebar cerita anak kedua daripada lima beradik ini.

Akur dengan permintaan ibu bapa, Anzalna hanya mengikut kata hati. Walaupun tidak bertudung, tidak bermakna dia boleh mendedahkan segala-galanya tanpa sekatan.


ANZALNA NASIR mahu hiasi peribadi agar tidak menimbulkan perasaan kurang senang ibu bapanya yang berada jauh di London.


Jangan perlekeh

"Saya memang suka pakai dres ketat tapi asalkan masih di bawah paras lutut saya okey, lebih atas daripada paras itu, saya mula rasa seksi, tidak selesa dan hilang keyakinan diri," luahnya mengenai pilihan dalam berpenampilan.

Lenggok dan bicara Anzalna masih seperti dahulu, masih manja dan tidak sah jika tidak diakhiri dengan ketawa. Awal mengenalinya sewaktu baru memasuki tahun pertama bergelar artis, perjalanan yang dilaluinya sudah memasuki tahun keempat.

Cuba mengenali lebih dekat personaliti anak kelahiran Tasik Gelugor, Pulau Pinang ini, sengaja karakternya yang lemah-lembut itu dikaitkan dengan kemampuan dalam bidang lakonan.

Kata Anzalna, dia masih menyimpan impak drama bersiri Adam & Hawa. Watak penggoda itu seperti satu pencapaian yang belum dapat diatasi. Untuk pergi lebih jauh, dia harus mencari watak yang boleh menyerlahkan lakonannya.

"Misi saya, selain bekerja untuk cari duit, saya mahu lakonan saya diingati. Seringkali saya diberi watak baik sebab watak begitu yang selalunya jadi watak utama.

"Saya juga suka watak antagonis sebab boleh beri banyak ekspresi. Saya nampak lembut, tapi, kalau diberi pilihan, saya mahu watak-watak yang lasak, tegas dan menuntut tenaga dalaman macam watak psiko atau kurang upaya.

"Risau juga peminat bosan dengan watak baik dan kontrol ayu sahaja," kata peminat sukan lasak seperti memanjat tebing tinggi ini.

Selama menjalani karier lakonan bermula dari pentas pencarian bakat Dewi Remaja 2010, pemilik nama Nur Anzalna Md. Nasir juga sudah mengumpul secebis pengalaman yang cukup bermanfaat untuk hari muka.

"Rasanya selama empat tahun ini, sudah agak banyak pengalaman yang mematangkan saya. Tempoh ini juga mendewasakan saya.

Kahwin tahun depan

"Sebelum memasuki bidang seni, saya seorang yang pemalu dan susah nak bergaul dengan orang. Sekarang, walaupun orang kata saya lembik, nampak lembut, tapi apa sahaja perkara yang berlalu, saya boleh hadapi sendiri.

TIDAK mengamalkan sikap tertutup dalam soal hati, Anzalna mengakui mahu bernikah dengan kekasihnya, seorang jejaka bernama Hanif Zaki sekitar tahun depan.


"Katakan saja apa gosip mengenai saya, saya tidak cepat melatah. Saya boleh berfikir dahulu dan barulah beri respons. Tapi jika tuduhan itu menjatuhkan maruah saya, saya akan bersuara.

"Saya akan bersuara jika saya tidak bersalah. Macam mana pun saya harus jelaskan, apa juga kecaman itu saya tak akan lari, saya akan jawab kalau wartawan tanya.

"Saya selalu anggap wartawan macam kawan. Mereka buat kerja mereka saya buat kerja saya. Jadi setiap masalah akan dapat diselesaikan dengan baik," jelas Anzalna yang baru-baru ini dipanaskan dengan isu perang dingin bersama pelakon Izzue Islam di lokasi drama Aku Isterinya.

Tambahnya: "Dalam soal itu, bukan saya mahu memuji sesiapa, tapi hubungan saya dengan Hanif banyak menyelamatkan saya daripada gosip yang lebih teruk."

Seperti yang telah diketahui ramai, Anzalna yang sudah dimiliki hatinya itu tidak mahu menunggu lama untuk mengakhiri zaman bujang.

Perancangan untuk berkahwin sekitar tahun depan juga sudah kerap kali dikongsikan dengan peminat.

"Perancangan memang ada, keluarga saya dan Hanif juga tahu keseriusan kami. Harap perancangan kami berjalan lancar," katanya.

Seperkara lagi tentang Anzalna yang boleh dipuji, dia tidak gemar berkongsi gambar-gambar kemesraannya dengan Hanif walaupun kisah cinta mereka disenangi ramai.

"Sebenarnya Hanif yang menjaga perkara-perkara begitu. Kalau sudah keluar bersama tak perlu nak tayang gambar lebih-lebih, nanti orang muak. Dia banyak jaga saya terutama selepas saya berjauhan dengan ibu bapa," ujar Anzalna.

Ditanya apa kritikan sang kekasih yang paling mengesankan tentang lakonannya setakat ini, kata Anzalna, Hanif cuma memuji watak air mata yang dijayakannya.

"Hanif tahu saya jenis yang susah nak menangis, jadi dia terkejut bila tengok saya boleh menangis dengan cemerlang depan kamera. Mesti dia takut, nanti saya akan pura-pura menangis depannya pula," mengekek lagi ketawa Anzalna mengakhiri ceritanya.

Nafas Cahaya Misha, Firos

Posted:

Nafas Cahaya Misha, Firos

Nafas Cahaya Misha, Firos

SETELAH dua kali menunda tarikh pernikahan, Misha Omar dan Firos yang bertunang pada Februari 2012 kini selamat bergelar pasangan suami isteri.


NAFAS lega terlerai keluar dari sanubari penyanyi Misha Omar saat sempurna jejaka dari Subang Jaya, Selangor itu melafazkan akad. Bak lagu yang pernah dilantunnya, Nafas Cahaya, terasa seperti segala perit yang membungkam dan menyesak dada dilepaskan lantas diganti cahaya bahagia yang lama didamba.

Seri pengantin bersulam bersama pancaran lega dalam mata Misha yang berkaca. Ada air mata yang tertumpah dan ada sinar bening yang terbit di ruang mata wanita yang ayu berkerudung dalam persalinan putih rekaan pereka Saiful Baharim itu.

Kegembiraan jelas terlukis di wajahnya setelah mengharungi pelbagai ujian dan penantian. Jendela dan pintu tohmah yang selama ini terbuka luas bagai terkatup usai juruterbang, Firos Ezzwan Rossly sah belahan jiwanya pagi Jumaat lalu.

Selama ini, Misha galak ditohmah pernah berkahwin, berkahwin sembunyi-sembunyi dan diceraikan sebagai isteri ketiga usahawan automotif bergelar Datuk.

Berkali-kali juga perkahwinannya tertangguh sejak mengikat tali pertunangan dengan Firos pada 21 Februari 2012. Sebelum ini, penyanyi Angin Syurga itu pernah merancang untuk berkahwin pada September 2012, namun ditunda untuk memberi laluan kepada adik Firos yang turut memilih bulan perkahwinan yang sama.

Ketika itu, Firos juga berdepan komitmen untuk mengambil peperiksaan lesen juruterbang kanan bagi mengendalikan pesawat Airbus A330.

Perkara yang sama berulang kembali apabila majlis yang dirancang pada Februari lalu ditunda sekali lagi sebagai tanda penghormatan kerana ahli keluarga Misha masih bersedih dengan pemergian arwah ayahnya, Omar Ismail, 75, pada 30 November lalu.

Namun, semua itu belum cukup menutup kata nista apabila ada mulut-mulut jahat menuduh penundaan tarikh pernikahan Misha dan Firos juga digosipkan berpunca daripada kelewatan Misha mendapatkan surat perceraian perkahwinan daripada seorang usahawan di Kelantan.

Namun, di tingkat enam Hotel Renaissance Kota Bharu, Kelantan, tempat berlangsung upacara ijab kabul oleh jurunikah Imam Mukim Chempaka, Ustaz Ahmad Khamil Mat itulah bukti dan keterangannya dalam pembelaan diri wanita itu akhirnya.

"Pada saya, inilah realitinya. Kadang-kadang kita tak perlu terus berdiri mempertahankan benda yang kita dah sekian lama pertahankan iaitu 'saya tak pernah berkahwin', saya dah letih, jadi kita balas dengan benda-benda yang nyata, yang tak boleh dijual beli.


SEBAGAI simbolik cinta sejati, Misha Omar tidak mahukan wang sebaliknya hanya seutas gelang emas sebagai mas kahwin. Dia juga tidak menerima sebarang wang hantaran.


"Kami lega sekali akhirnya. Alhamdulillah, inilah hari kemenangan kami dalam melalui pelbagai ujian," kata Misha selepas majlis akad nikahnya.

Sang suami juga nampaknya turut teguh di belakangnya.

"Saya menitiskan air mata sebab gembira kami berkahwin dan tertutuplah segala apa yang orang hendak cakap tentang isteri saya," ungkap Firos sebak dan pantas mencapai tangan Misha yang berada di sisinya lalu tangan isterinya itu dikucup syahdu.

Dalam majlis tersebut, Misha dinikahkan berwalikan abangnya, Mohd. Rose Omar dan sepasang gelang emas sebagai mas kahwin.

Pernikahan dihadiri ahli keluarga kedua-dua mempelai termasuk ibu Misha, Zainab Mat Nor dan ibu Firos, Asmah Kenin. Majlis yang diacarakan oleh rakan artis, Adibah Noor itu turut dihadiri Amy Mastura, Jaclyn Victor, Fara Fauzana dan Dina Nadzir.

Berkongsi perasaannya sebelum hendak ke pentas pernikahan, Misha mengakui perasaannya bercampur-baur dan debarannya begitu hebat.

"Rasanya nak naik membuat persembahan di pentas-pentas lain termasuklah di pentas-pentas besar pun tak rasa begini. Selain rasa debar, ada rasa sedih, sayu dan syukur. Rasa syukur akhirnya detik ini sampai juga dalam hidup saya," ujarnya.

Bercakap mengenai mas kahwinnya yang memadai sepasang gelang emas, Misha berkata, itulah simbolik cinta mereka.

"Saya berbesar hati suami memberikan saya ini, betul saya tak nak duit. Duit boleh habis, kalau beli barang, barang pun boleh hilang. Bagus juga dia bagi saya emas, nilai emas sentiasa ada, kalau jatuh pun tak lama.

"Jadi harapan saya cinta kami pun simboliknya begitu. Cinta kami setulen emas dan harap nilai kasih sayang kami akan bertambah mekar," kata penyanyi yang popularitinya memuncak melalui lagu Bunga-Bunga Cinta pada tahun 2003.

Kini, apa yang diharapkan oleh Misha dan Firos ialah rumah tangga yang terbina pada 2 Mei lalu itu kekal hingga ke akhir hayat.

"Mudahan-mudahan tarikh 2 Mei bersamaan 2 Rejab, yang jatuh pula pada hari Jumaat yang barakah itu memberi keberkatan kepada kami dan jodoh kami akan berkekalan hingga ke akhir hayat, ke alam syurga," ungkap Misha.

Semoga abadi Misha, Firos!

Kontroversi matangkan Amyra

Posted:

Kontroversi matangkan Amyra

Kontroversi matangkan Amyra

MASIH digelar pendatang baharu, Amyra cepat memanjat populariti. Dia yang hanya dikenali menerusi drama Ku Cinta Kau Seorang kini bergelar Duta Aura White.


AWAL kemunculannya, Amyra Rosli bukanlah satu nama yang sentiasa meniti di bibir ramai. Bagaimanapun, secara tiba-tiba namanya dikenali gara-gara kontroversi yang mengaitkan dia bersama pelakon terkenal Fasha Sandha. Fasha mendakwa Amyra mempunyai masalah disiplin ketika di lokasi penggambaran.

Sebelum itu, tunang Amyra, Dazrin Kamaruddin juga didakwa Fasha mempunyai masalah yang sama.

Biarpun perkara itu sudah berlalu, pelakon Ku Cinta Kau Seorang itu mengakui ia satu pengajaran buat dirinya sebagai pendatang baharu.

"Saya anggap isu sebegitu asam garam dalam dunia hiburan. Itu semua salah faham sahaja.

"Perkara tersebut sebenarnya banyak mengajar saya dan menjadikan saya semakin matang," tutur pemilik nama sebenar Nur Amira Izzati Rosli itu.

Menurut pelakon berumur 23 tahun itu, dia bersedia untuk bekerjasama dengan Fasha jika diberi peluang lagi.

"Tiada apa-apa pergaduhan pun antara kami. Saya belum lagi berkesempatan untuk berjumpa dengannya ekoran kekangan masa, tetapi saya ada menelefonnya untuk bercakap mengenai perkara itu," kongsinya.

Tambah Amyra, dia juga bersikap terbuka dan tidak kisah jika ada individu yang ingin memberikan teguran demi kebaikan bersama.

"Saya sendiri pun selalu ditegur keluarga. Jadi, tak salah kalau saya ditegur oleh seorang yang boleh dianggap kakak. Apatah lagi saya ini pendatang baharu," tuturnya.

Bercakap tentang perancangan hidup, Amyra mendedahkan bahawa dia sudah bersedia untuk bergelar isteri kepada Dazrin.

Kata Amyra, usia muda tidak menjadi penghalang buatnya untuk mendirikan rumah tangga.

"Umur bukan satu masalah besar. Ibu dan nenek saya dulu pun berkahwin muda," kongsinya.

Ketika ditebak soalan mengenai tarikh majlis perkahwinannya nanti, Amyra memberitahu, dia akan membuat pengumuman mengenai perkara itu apabila segala persiapan sudah dibuat.

"Saya akan umumkan nanti. Insya-Allah dalam tahun ini juga, paling lewat pun tahun hadapan. Tak boleh nak cakap sekarang sebab hal ini melibatkan pihak lelaki juga," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran duta baharu Aura White Beauty di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Amyra yang dilantik sebagai duta baharu produk penjagaan kulit Aura White turut melahirkan rasa syukur dengan rezeki yang diterimanya.

"Sebenarnya sebelum saya terima pelawaan untuk menjadi duta ini, saya sudah berfikir dalam-dalam. Tidak semua perkara boleh diambil mudah untuk bersetuju menjadi jurucakap produk.

"Tapi saya fikir tak salah kalau saya cuba untuk menggalas tanggungjawab itu. Sebelum dilantik menjadi duta pun, memang saya sudah menjadi pengguna produk berkenaan. Sempatlah juga habis enam botol," katanya.

Selain Amyra, pelakon Natasha Hudson turut dilantik menjadi duta bagi rangkaian produk minuman kolagen Aura White Beauty.

Kedua-dua mereka menandatangani kontrak perjanjian sebagai duta Aura White Beauty selama setahun bermula 1 Mei 2014.

Pengumuman yang dibuat pengasas produk, Furyna Azmeer itu sekali gus menjawab segala teka-teki yang bermain selama ini mengenai individu yang bakal menggantikan duta Aura White terdahulu, pelakon Hanez Suraya.

Sejak Hanez dilanda kontroversi mengaitkan dirinya sebagai perampas suami orang, dia dikatakan bertindak mengundurkan diri daripada terus menjadi Duta Aura White.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved