Sabtu, 17 Mei 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Brian tidak kejar anugerah

Posted:

Brian tidak kejar anugerah

Brian tidak kejar anugerah

KARYA dirinya bertunas mekar dalam jiwa peminat muzik sejak dia mula menceburkan diri dalam bidang nyanyian kira-kira 22 tahun yang lalu. Lagu demi lagu yang dihasilkan dilihat bertepatan dengan kegilaan muzik genre R&B yang pernah melanda dunia sekitar tahun 1990 hingga 2000.

Justeru, tidak hairanlah jika tuan empunya nama, Brian McKnight, 45, pernah dicalonkan sebanyak 16 kali menerusi pengiktirafan muzik paling berprestij, Anugerah Grammy.

Sungguh pun banyak menerima pencalonan, entah apa silapnya, Brian tidak pernah sekali pun menjulang sebarang anugerah daripada beberapa kategori yang melayakkan dirinya tersenarai sebagai calon Grammy.

Malah, selepas kejayaan lagu Back at One, namanya seperti tenggelam dalam anjakan perubahan yang berlaku dalam industri muzik dunia.

Ketika berpeluang bertemu dengan Brian sehari sebelum dia mengadakan persembahan bagi Konsert An Intimate Evening with Brian McKnight di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini, penyanyi kelahiran Buffolo, New York, Amerika Syarikat (AS) itu berkata, tujuan asal dia mencipta lagu bukan untuk meraih sebarang anugerah.

Sebaliknya, lagu-lagu yang digarap olehnya digunakan sebagai sebuah medium untuk melakar cerita dan pada masa yang sama berkongsi penceritaan itu dengan para peminat.

Tidak buru anugerah

"Ketika mula-mula menceburkan diri dalam bidang penulisan lagu, tidak pernah terdetik di minda saya untuk mencipta sebuah karya semata-mata untuk mendapatkan anugerah.

"Saya tidak boleh bayangkan jika setiap lagu yang dicipta adalah bertujuan untuk meraih pengiktirafan. Saya hanya menjalankan tugas sebagai penulis dan penyanyi. Sebarang keputusan terletak pada tangan mereka yang memilih," katanya.


MESRA. Terkenal dengan sikapnya yang mesra peminat, Brian tidak jemu-jemu berbual dengan penonton sepanjang konsert berlangsung.


Walaupun anugerah atau pengiktirafan sering dikaitkan dengan pencapaian sesetengah artis, namun, apa yang penting buat Brian ialah interpretasi para peminat terhadap lagu-lagu ciptaannya.

"Sudah tiba masanya kita bersatu dengan lagu yang kita gemari. Ia kedengaran sedikit janggal tetapi itu hakikat yang sebenar.

"Mungkin 10 atau 20 tahun yang akan datang, kita akan mendapat memori yang indah di sebalik lagu yang kita gemari pada masa sekarang," ujar Brian sambil menyifatkan penciptaan lagu sememangnya sudah sebati dalam dirinya sejak kecil lagi.

Refleksi diri

Ketika berbicara tentang lagu yang telah ditulis olehnya, bapa kepada tiga cahaya mata, Brian Jr., Clyde dan Niko ini mengakui, dia tidak dapat melabelkan sebarang karya yang boleh dikategorikan sebagai karya kegemarannya sepanjang bergelar penulis lagu.

Kata Brian, dia melihat lagu-lagunya sama seperti dia melihat tiga orang anaknya. Memilih lagu yang digemari merupakan satu tindakan yang sangat mustahil.

"Apabila saya mencipta lagu, saya membangunkan komposisi lagu tersebut secara berseorangan. Boleh dikatakan hampir 95 peratus kerja-kerja mencipta sehinggalah mengadun dilakukan oleh saya.

"Menerusi proses ini, saya bukan sahaja berkembang sebagai seorang penyanyi atau penulis lagu, malah saya juga turut berkembang sebagai seorang individu, suami dan ayah.

"Disebabkan itu, semua lagu-lagu ciptaan saya adalah istimewa," tuturnya sambil tersenyum.

Muzik berubah

Melanjutkan bicara mengenai penerbitan lagu-lagu untuk penyanyi lain, Brian berkata, perubahan yang berlaku terhadap permintaan jenis muzik berbeza oleh syarikat rakaman membuatkan dia terpaksa memperlahankan aktiviti tersebut sejak akhir-akhir ini.


BERTEMANKAN sekumpulan pemuzik kecil, Brian berjaya menarik perhatian ribuan penonton yang hadir untuk ikut menyanyi bersamanya.


"Sejak kebelakangan ini, permintaan terhadap lagu-lagu berentak R&B semakin berkurangan. Apa yang saya tulis tidak kena dengan trend lagu-lagu pada masa kini.

"Jadi, lebih baik saya menerbitkan lagu untuk diri sendiri," jelas Brian yang kini sedang sibuk menguruskan projek interaktif bersama peminat menerusi laman web rasmi miliknya.

Projek yang diberi nama Brian McKnight Interactive ini merupakan sebuah platform bagi para peminat untuk memuat turun lagu dan melihat secara eksklusif kerja-kerja belakang tabir yang melibatkan pembikinan album terbaharunya dalam tempoh setahun.

"Setiap bulan, mereka akan berpeluang memuat turun sebuah lagu baharu di samping beberapa trek bonus. Apa yang mereka perlu lakukan ialah mendaftar sebagai ahli di www.mcknight360.com dan membayar sebanyak AS$12 (RM39).

"Pada penghujung tahun nanti, mereka akan mendapat sebuah album penuh berserta klip video bagi setiap lagu-lagu tersebut," ujarnya.

Cakra tunai nazar

Posted:

Cakra tunai nazar

Cakra tunai nazar

Oleh IZWAN MOHD. ISA

CAKRA KHAN pernah menjadi penyanyi jalanan yang dibayar hanya sebanyak 80 sen untuk sesebuah lagu yang didendangkannya.


"INSYA-ALLAH, saya akan menghantar ibu, kakak dan suaminya ke Mekah untuk menunaikan umrah awal tahun hadapan" tutur tuan empunya nama, Cakra Konta Paryaman atau Cakra Khan sewaktu ditemui pada majlis pelancaran album sulungnya di Kafe Hard Rock, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut pemuda berusia 22 tahun itu, dia telah bernazar untuk menghantar ibunya ke Tanah Suci ketika namanya masih belum dikenali oleh khalayak umum lagi.

"Sebelum bergelar penyanyi, saya pernah memberitahu ibu saya bahawa saya akan menghantarnya menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah suatu hari nanti. Ketika itu, ibu saya hanya membalas dengan menguntumkan senyuman.

"Alhamdulillah, atas rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT, niat saya akhirnya tercapai. Jika diberi kesempatan, saya akan menghantar ibu saya ke Mekah sekali untuk menunaikan fardu haji pada tahun yang berikutnya," ujar anak jati Pangandaran, Indonesia itu.

Menangis

Pada petang itu, Cakra turut menghiburkan tetamu yang hadir dengan seleksi lagu-lagu yang terdapat dalam albumnya termasuklah sebuah lagu berbahasa Inggeris, A Song For Mama.

Ternyata sayu dibuai emosi, Cakra tidak dapat menahan perasaan sebak lalu mengalirkan air mata saat mendendangkan lagu yang pernah dipopularkan oleh kumpulan R&B terkenal, Boyz II Men itu.

Ditanya apa yang membuatkannya menangis, Cakra berkata, dia berasa sedikit kecewa kerana tidak dapat membawa ibunya bersama ke Kuala Lumpur untuk meraikan hari bersejarahnya di sini.

"Ibu saya tidak dapat hadir bersama kerana mempunyai masalah dengan pasportnya. Ya, saya berasa sedih kerana dia tidak ada bersama ketika saya melancarkan album," ujarnya.

Melanjutkan perbualan mengenai ibunya, wanita bernama Entik Trisuyatmi itu merupakan tulang belakang terhadap setiap perkembangan kariernya sebagai seorang penyanyi.

"Walaupun ibu saya berada di Indonesia, dia tidak pernah lupa mengirimkan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan mendoakan agar segalanya berjalan dengan lancar," ujarnya lagi.

FIGURA ini menegaskan, dia menjadi penyanyi kerana mahu menjadi dirinya sendiri.


YouTube

Perjalanan karier Cakra Khan sebagai seorang penyanyi tidak bermula dengan mudah. Jejaka ini pernah menyanyi di jalanan bersama rakan-rakannya dan diberi bayaran sebanyak 2 ribu rupiah (RM0.80) untuk sebuah lagu.

Namun, selepas memuat naik beberapa buah video di laman YouTube, nasibnya sebagai penyanyi berubah sama sekali.

"Ketika aktif menyanyi di kelab-kelab malam dan kafe, saya sering diminta untuk menyanyikan lagu-lagu tertentu oleh para pelancong yang melawat Indonesia.

"Tidak berkesempatan untuk berbuat demikian secara langsung, saya merakamkan lagu-lagu yang diminta dalam bentuk video dan memuat naik ke akaun YouTube. Sehinggakan, ada seorang peminat dari Amsterdam mengundang saya untuk menyanyi di sana.

"Menariknya, dia bukan warga Indonesia dan meminati lagu-lagu saduran saya menerusi rakaman video di YouTube," ujar Cakra yang tidak berkesempatan memenuhi undangan tersebut kerana mahu menghormati bulan Ramadan ketika itu.

Bukan bersaing

Jika dilihat pada lambakan penyanyi lelaki yang mempertaruhkan vokal sebagai aset utama, nama Cakra dan penyanyi Afgan sering dibanding-bandingkan.

Ketika ditebak dengan isu perbandingan itu, Cakra memberitahu, kewujudannya sebagai seorang anak seni bukan untuk bersaing, tetapi lebih memperbaiki mutu dan kualiti industri muzik di negara-negara nusantara.

"Saya menyanyi kerana saya mahu menjadi diri sendiri. Saya tidak takut pada persaingan kerana tujuan asal saya menyanyi adalah untuk menyalurkan minat saya pada orang ramai," katanya yang cukup berbangga dengan kelahiran album sulungnya itu.

Lana bosan jadi penggoda

Posted:

Lana bosan jadi penggoda

Lana bosan jadi penggoda

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

LANA NODIN memberitahu, kehidupannya kini lebih tenang dan bahagia selepas menunaikan umrah pada Februari lalu.


SEJAK pulang daripada menunaikan ibadah umrah pada bulan Februari lalu, Sabtu lalu barulah Kosmo! berkesempatan bertemu dengan pelakon sensasi, Lana Nodin.

Menariknya, ketika Lana, 35, meluangkan masa untuk hadir ke acara Potret Bersama Selebriti sempena Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2014 yang berlangsung di pusat beli-belah Suria KLCC, Kuala Lumpur pada Sabtu lepas, pelakon filem Chow Kit itu turut ditemani ibu tersayang, Zaimah, 60.

Malah, dia juga turut meluangkan masa sekitar 30 minit untuk beramah mesra serta bergambar dengan peminat di studio mini khas Kosmo! yang disediakan.

Kosmo! berbicara bersama Lana tentang kehidupannya kini dan perkembangan kariernya.

Kosmo!: Boleh ceritakan tentang pengalaman Lana sepanjang mengerjakan ibadah umrah di Mekah pada bulan Februari lalu?

LANA: Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dan sudah menjadi rezeki saya apabila dapat mencium batu Hajarul Aswad.

Cuma, tempoh selama 12 hari mengerjakan umrah dirasakan tidak puas dan seboleh-bolehnya saya mahu berada di sana lebih lama lagi.

Apakah doa anda ketika berada di depan Kaabah?

Sudah tentu doa saya di depan Kaabah itu adalah rahsia diri saya sendiri. Bagaimanapun, saya akui memang ada berdoa untuk mendapatkan jodoh ketika di Jabal Rahmah.

Bagaimanakah dengan perkembangan terbaharu kerjaya lakonan anda sekarang?

Setakat ini tawaran berlakon memang banyak yang diterima, tetapi kebanyakannya masih belum muktamad lagi. Selagi tidak menandatangani apa-apa kontrak, saya tidak berani untuk bercerita. Namun begitu, saya mungkin akan terlibat dengan sebuah drama bersiri untuk terbitan RTM dan sebuah lagi super telemovie.

Adakah sejak pulang dari menunaikan ibadah umrah, anda menjadi selektif untuk memilih tawaran lakonan?

Kalau diikutkan sebelum menunaikan ibadah umrah pun saya sudah selektif memandangkan sering kali ditawarkan watak yang sama iaitu perempuan penggoda, sedangkan saya ingin watak yang lebih mencabar untuk perkembangan karier lakonan saya.

Seboleh-bolehnya, saya meminta supaya penerbit atau pengarah dapat menawarkan watak yang belum pernah saya bawakan lagi. Kalau untuk watak penggoda pula, rasanya lebih sesuai diberikan kepada pelakon baharu.

Selain lakonan, apakah aktiviti lain yang anda lakukan sekarang?

Sebenarnya, saya bakal melancarkan sebuah pusat kecantikan dalam tempoh terdekat ini dan sekarang ia masih lagi dalam proses perbincangan untuk fasa terakhir. Sekiranya semua proses sudah selesai, saya akan membuat satu majlis pelancaran produk terbaharu saya ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved