Jumaat, 23 Mei 2014

Kosmo Online - Dunia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Tentera rampas kuasa di Thailand

Posted:

Tentera rampas kuasa di Thailand

Tentera rampas kuasa di Thailand

SEJUMLAH penunjuk perasaan membawa barang-barang mereka kembali ke rumah mereka dengan menaiki bas di Plaza Diraja, Bangkok semalam.- REUTERS


BANGKOK - Panglima Tentera Thailand, Jeneral Payuth Chan-O-Cha mengambil alih kuasa di Thailand dalam satu rampasan kuasa tentera semalam.

Beliau menggulingkan sebuah kerajaan demokrasi sekali gus mencetuskan situasi tidak menentu selepas Thailand dilanda konflik politik selama beberapa bulan.

Pengumuman rampasan kuasa kali ke-12 itu dibuat oleh Prayuth dalam satu ucapan di televisyen.

Jeneral berusia 60 tahun itu berkata, angkatan tentera terpaksa bertindak untuk memulihkan kestabilan di negara rantau Asia Tenggara tersebut.

"Dalam usaha agar negara segera kembali normal, Jawatankuasa Pengaman Kebangsaan yang terdiri daripada tentera darat, angkatan bersenjata Thai, Tentera Udara Diraja dan polis merampas kuasa berkuat kuasa pada pukul 4.30 petang, 22 Mei ini," kata Prayuth.

Tentera negara ini turut menggantung perlembagaan negara.

Kuasa pemerintahan kini dipegang oleh jawatankuasa tersebut yang diketuai sendiri oleh Prayuth.

Beberapa saksi berkata, mereka melihat askar-askar mengiringi barisan pemimpin dua parti politik utama Thailand dan pergerakan masing-masing keluar meninggalkan lokasi rundingan yang diadakan oleh Prayuth.

Pertemuan tertutup tersebut yang bertempat di sini bertujuan untuk menyelesaikan permusuhan antara pihak-pihak berkenaan yang berlaku sejak enam bulan lalu.

Namun, masih tidak jelas sama ada mereka telah ditahan secara rasmi atau sebaliknya.

"Keganasan di Bangkok dan banyak lokasi lain di Thailand telah meragut nyawa penduduk tidak berdosa dan menyebabkan kemusnahan harta benda dan ia dipercayai akan menjadi lebih buruk," kata Prayuth ketika menjelaskan punca beliau merampas kuasa.

Jeneral tersebut bagaimanapun tidak menyebut tempoh tentera mengambil alih kuasa di Thailand.

Terdapat 18 rampasan kuasa dan percubaan merampas kuasa melibatkan tentera negara ini sejak tahun 1932.

Rampasan kuasa kali ini berlaku selepas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra dipecat oleh mahkamah negara ini pada pertengahan bulan ini kerana menukarkan seorang pegawai tinggi kerajaan.

Kuasa pentadbiran kemudian diserahkan kepada Perdana Menteri sementara, Niwattumrong Boonsongpaisan.

Krisis politik Thailand menyaksikan permusuhan antara golongan elit diraja di sini dan penyokong mereka dengan keluarga bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra yang juga abang Yingluck.

Thaksin digulingkan dalam satu rampasan kuasa tentera pada 2006 dan kini tinggal dalam buangan di luar negara.

Beliau bagaimanapun masih menerima sokongan kuat terutamanya daripada penduduk di utara Thailand.

Sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh manakala beratus-ratus lagi cedera dalam protes jalanan di Thailand ekoran konflik tersebut sejak enam bulan lalu.

Protes jalanan itu menyebabkan beberapa lokasi di Bangkok menjadi medan perkhemahan para penunjuk perasaan antikerajaan. - Agensi

Johnson juarai American Idol musim ke-13

Posted:

Johnson juarai American Idol musim ke-13

Johnson juarai American Idol musim ke-13

JONHSON berdiri di sebelah Irene dan Seacrest sebelum pemenang program American Idol diumumkan.- REUTERS


LOS ANGELES - Peminat lagu rock, Caleb Johnson menjadi juara program realiti televisyen popular, American Idol musim ke-13 selepas dia menewaskan penyanyi pop remaja, Jena Irene kelmarin.

"Ini (kemenangannya itu) merupakan sesuatu yang gila," kata Johnson selepas kemenangannya itu diumumkan pengacara program tersebut, Ryan Seacrest.

Johnson, 23, dari Ashville, Carolina Utara dan Irene, 17, dari Farmington Hills, Michigan sempat bergurau sesama sendiri sebelum keputusan itu diumumkan.

Johnson turut bersetuju untuk menghadiri malam tarian di sekolah Irene.

Bagaimanapun, jumlah undian yang diterima oleh kedua-dua peserta akhir tidak diumumkan oleh Seacrest

Pada pertandingan itu, Johnson memilih untuk menyanyikan lagu Dream On, Maybe I'm Amazed dan As Long as You Love Me.

Irene pula menyanyikan lagu Dog Days Are Over, Can't Help Falling in Love dan We Are One.

Lagu We Are One merupakan lagu tema Pusingan Akhir Bola Sepak Piala Dunia 2014.

Kemenangan itu telah melayakkan Johnson untuk menerima tawaran kontrak merakamkan album.

Pertandingan akhir yang berlangsung selama dua jam itu juga menyaksikan persembahan dari beberapa penyanyi terkenal seperti John Legend, Kiss, Demi Lovato dan Lady Antebellum.

Turut membuat persembahan ialah juri program tersebut, Jennifer Lopez.

Dua juri lain, Keith Urban dan Harry Connick Jr. juga membuat persembahan.

Juri yang menjadi mentor program tersebut, Randy Jackson turut menyertai tiga juri tersebut untuk membuat persembahan.

Stesen televisyen Fox dalam satu kenyataannya memberitahu, program tersebut hanya akan disiarkan sekali dalam tempoh seminggu untuk musim baharu.

Sebelum ini, sebanyak dua program American Idol disiarkan dalam seminggu.

Program itu telah memperoleh jumlah penonton sebanyak 30.3 juta pada musim 2005 hingga 2006.

Namun, jumlah penonton berkurangan pada tahun ini kepada angka tidak sampai 10 juta orang.

Program tersebut telah memperkenalkan bakat baharu dalam bidang hiburan iaitu Carrie Underwood dan Jennifer Hudson. - AP

Pertandingan dihentikan kerana tiga matador cedera parah

Posted:

Pertandingan dihentikan kerana tiga matador cedera parah

Pertandingan dihentikan kerana tiga matador cedera parah


AKSI Mora ditanduk seekor lembu jantan di gelanggang Las Ventas, Madrid pada Selasa lalu.- AFP


MADRID, Sepanyol - Buat pertama kali dalam tempoh 35 tahun, satu festival laga lembu yang dikenali sebagai Festival San Isidro terpaksa ditangguhkan selepas tiga orang matador cedera ditanduk haiwan itu Selasa lalu.

Pada pertandingan itu, matador pertama, David Mora terpaksa diusung keluar akibat cedera parah selepas berdepan dengan seekor lembu jantan seberat 532 kilogram (kg).

Mora terpaksa dimasukkan darah dalam pembedahan selama dua jam akibat ditanduk lembu tersebut.

Dia kemudiannya diganti dengan matador kedua, Antonio Nazare yang berjaya membunuh lembu tersebut dengan sebilah pedang.

Bagaimanapun, Nazare pula cedera dan gagal menewaskan seekor lagi lembu seberat 537kg dan terpaksa diganti dengan seorang lagi matador, Saúl Jiménez Fortes.

Walaupun Fortes berjaya membunuh lembu berkenaan tetapi dia turut cedera akibat ditanduk dan terpaksa dihantar ke hospital.

Kejadian tersebut menyebabkan festival di gelanggang Las Ventas itu terpaksa dibatalkan kerana tiada lagi matador yang boleh berlawan dengan haiwan tersebut.

Pada festival yang berlangsung selama satu bulan itu, matador-matador akan bertarung dengan seekor lembu jantan yang akhirnya akan mati dibunuh mereka.

Pembatalan pertandingan tersebut merupakan yang pertama sejak tahun 1979 dan yang ketiga sepanjang 68 tahun festival itu berlangsung. - Agensi

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved