Sabtu, 26 April 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Obama sambung legasi Johnson

Posted:

Obama sambung legasi Johnson

Obama sambung legasi Johnson

NOR IDAYU BOSRO
idayu.bosro@kosmo.com.my

OBAMA dilihat sebagai pemimpin AS yang berjaya memulihkan imej negara itu di mata dunia.


"IBU, Aiman rindu ibu, Aiman nak balik Malaysia. Keadaan di sini lain sangat dengan di negara kita." Itu antara dialog yang dilakonkan Aiman Ahmad Marzio, 18, dalam filem pendek berjudul Hello From Malaysia yang ditayangkan sempena Festival Filem Pelajar White House 2014 di Amerika Syarikat (AS) pada 28 Februari lalu.

Video berdurasi tiga minit yang diarahkan rakannya, Kira Bursky itu menewaskan lebih 3,000 penyertaan untuk menjadi salah satu daripada 16 buah filem pendek yang dipilih bagi tontonan Presiden Barack Obama.

Bertemakan peranan teknologi dalam pembelajaran di sekolah, ia mengisahkan tentang seorang pelajar dari Malaysia yang mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan baharunya di AS.

Bagaimanapun, kesulitan Aiman difahami salah seorang pelajar tempatan, Maddy Boveri. Dia kemudiannya menjadikan internet sebagai medium untuk cuba mempelajari bahasa dan budaya masyarakat Malaysia.

Malah gadis mat saleh itu turut belajar makan menggunakan tangan supaya Aiman tidak berasa dirinya dipinggirkan.

Ternyata pendekatan ringkas dan padat berkenaan melayakkan filem pendek itu dipilih sekali gus memberi laluan kepada Aiman serta rakan-rakannya untuk bertemu dengan Presiden AS itu.

Anak pasangan Dr. Ahmad Marzio Mohd. Yusof dan Nurima Ibrahim itu berpeluang meninjau keadaan dalam beberapa ruang di White House termasuk perpustakaan dan bilik di Sayap Timur.

Dia juga berkesempatan bertemu Obama di Dewan Makan Negara yang terletak di kediaman rasmi Presiden AS ke-44 itu.


Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (kiri) berkenan mengiringi Obama (kanan) selepas sambutan rasmi Presiden AS itu di Dataran Parlimen semalam.


Adikuasa

Bekas pelajar Kolej Perempuan Antarabangsa Cempaka (CILC) itu mengakui mengagumi Obama kerana sifat kepimpinan dan karakter yang dimiliki beliau.

"Saya begitu menghormatinya. Apabila dia datang berjumpa kami, langsung tiada sifat kepura-puraan dalam dirinya. Beliau juga begitu terbuka dan memberikan perhatian kepada kami," katanya.

Kredibiliti Obama sebagai pemimpin tidak perlu dipertikaikan lagi.

Lihat sahaja bagaimana lelaki yang dahulunya dianggap mentah dalam bidang politik itu mengalahkan calon Parti Republikan, John McCain dengan jumlah 349 undi untuk badan perwakilan pemilih berbanding 157 undi dalam Pilihan Raya Presiden AS pada tahun 2008.

Beliau juga mencipta sejarah apabila menjadi presiden kulit hitam pertama yang menduduki jawatan berkenaan selain menjadi calon Parti Demokrat pertama mendapat undi popular 52 peratus berbanding McCain yang memperoleh 47 peratus.

Obama atau nama sebenarnya Barack Hussein Obama Jr. turut mempertahankan jawatan itu apabila memenangi pilihan raya penggal kedua pada tahun 2012 dengan mengalahkan calon Parti Republikan, Mitt Romney.

Menjadi adikuasa baharu negara paling berpengaruh di dunia itu, Obama berjaya merobohkan sentimen perkauman yang begitu menebal dalam kalangan masyarakat AS.

Malah, ahli politik lulusan Universiti Harvard itu turut dilihat sebagai pemimpin yang berjaya memulih serta meningkatkan imej AS di mata negara-negara luar khususnya negara Islam.

Tinjauan Ipsos yang dijalankan pada tahun Mac 2009 ke atas 7,000 orang di Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Lebanon, Mesir dan Jordan mendapati, purata 48 peratus daripada individu terlibat menyatakan pandangan positif terhadap Obama, manakala sebanyak 33 peratus menunjukkan pandangan yang sama terhadap AS.

"Apa-apa strategi pun untuk menarik dunia Islam ialah meletakkan Obama sebagai penyampai dan beliau akan ke sana untuk bercakap dengan mereka.

"Ia juga memperlihatkan kesan positif terhadap Obama dan beliau nyata sekali menyumbang kepada peningkatan kredibiliti AS di seluruh dunia," kata Clifford Young daripada Hal Ehwal Umum Ipsos Global.


AIMAN (berkebaya hijau) berpeluang bertemu Obama selepas filem pendek lakonannya sempena Festival Filem Pelajar White House 2014 pada 28 Februari lalu dipilih untuk ditayangkan di White House.


Penghormatan

Semalam, Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Subang menjadi saksi apabila menerima kunjungan Obama buat pertama kalinya selepas lawatan sulung Presiden Lyndon B. Johnson ke negara ini 48 tahun lalu, iaitu pada tahun 1966.

Dalam kunjungan hampir setengah abad lalu itu, Presiden Johnson melawat tanah rancangan Felda di Labu Jaya, Seremban, Negeri Sembilan.

Nama perkampungan itu kemudiannya ditukar kepada Felda LB Johnson sempena memperingati lawatan bersejarah tersebut.

Hari ini, Obama berada di Kuala Lumpur bagi mengikuti lawatan rasmi selama tiga hari sebagai sebahagian lawatan ke empat negara Asia iaitu Korea Selatan, Jepun dan Filipina.

Lawatan yang antara lain menghadiri mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu pasti terpahat dalam sejarah negara.

Ia disifatkan sebagai suatu pengiktirafan kepada usaha dan kejayaan kerajaan dalam membangunkan negara ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman turut menarik perhatian bahawa sejak lawatan Presiden Johnson, hubungan Malaysia-AS telah melalui transformasi dari perspektif ekonomi dan diplomatik.

Dengan Najib dan Obama sebagai peneraju dalam pentadbiran masing-masing, beliau berkata, kedua-dua negara memperoleh banyak perkembangan positif misalnya peningkatan dalam pertukaran lawatan peringkat tertinggi.

"Hubungan turut dijalin dengan memperkukuhkan kerjasama dalam bidang sains dan teknologi, keselamatan selain pendidikan menerusi perjanjian formal," katanya.


PESAWAT Air Force One dan Cadillac One menjadi kenderaan rasmi Presiden AS dalam lawatan pemimpin itu ke luar negara.


Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia, Mohamad Noorizuddin Nooh berpendapat, bukan mudah pemimpin seperti Obama mahu datang ke negara seperti Malaysia tanpa terlebih dahulu melihat kestabilan tempat yang hendak dikunjunginya.

"Lawatan ini menunjukkan Malaysia mempunyai hubungan akrab dengan negara kuasa besar itu. Pastinya banyak perkara akan dibincangkan, terutamanya dalam menjaga hubungan diplomatik," katanya.

Menurut Mohamad Noorizuddin lagi, beliau yakin banyak perkara lain akan dibincangkan oleh Obama dengan pemimpin di negara ini, terutamanya dalam aspek keselamatan dan ekonomi serantau.

Menjadi tradisi apabila pemimpin tertinggi AS itu berada di luar negara, tahap keselamatan sama ada di jalan raya mahupun ruang udara sentiasa dititikberatkan.

Manakan tidak, Perkhidmatan Rahsia AS telah berada di negara ini sejak beberapa bulan lalu bagi 'melindungi' laluan, hotel dan lokasi yang akan ditujui Obama.

Seorang pegawai Kedutaan AS di Kuala Lumpur memberikan respons dengan berkata: "Kami wajib mengunci mulut mengenai setiap pergerakan Obama di Kuala Lumpur."

Selain itu, beberapa jalan utama di ibu negara ditutup kepada orang awam.

"Semua anggota yang ditugaskan sepanjang tempoh lawatan ini mencukupi. Ada beberapa jalan akan ditutup ketika konvoi bagi menjaga Obama dan anggota-anggotanya," kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Dari aspek pengangkutan pula, pesawat Air Force One dan kereta rasmi Presiden AS itu, Cadillac One digunakan secara menyeluruh dalam lawatannya ke negara ini.

Kedua-dua kenderaan yang menjadi simbol kuasa mana-mana Presiden AS itu dilengkapi dengan peralatan serba canggih.

Menurut portal Autoweek.com, Cadillac One atau The Beast, misalnya, cukup utuh untuk melindungi Obama daripada letupan bom kereta manakala bahagian rodanya ditunjangi rim yang mampu menyokong pergerakan walaupun keempat-empat tayar meletup.

Ia turut dilengkapi tabung oksigen dan tabung darah bagi menghadapi kemungkinan pemindahan darah sekiranya berlaku kecemasan ketika dalam perjalanan.

Tabung darah itu mengandungi darah jenis sama dengan darah Obama.

Air Force One pula dilengkapi dengan peralatan telekomunikasi paling canggih.

Obama juga boleh melancarkan serangan nuklear dari pejabat bergerak yang terletak dalam pesawat itu.

Boneka bernyawa

Posted:

Boneka bernyawa

Boneka bernyawa

BONEKA Robert sudah disimpan hampir 20 tahun di Muzium Fort East Martello di Florida, Amerika Syarikat.


BAGI sesiapa yang pernah berkunjung ke Muzium Fort East Martello di Florida, Amerika Syarikat (AS), anak patung berpakaian kelasi kapal yang diletakkan di dalam sebuah bekas kaca di ruang pameran muzium itu pasti mencuri perhatian.

Lebih menarik, ruang dinding di sekeliling bekas kaca itu dipenuhi dengan nota serta surat yang menyatakan permohonan maaf kepada boneka kelasi berkenaan.

Menurut cerita penduduk tempatan, patung yang digelar dengan nama Robert itu tidak suka gambarnya diambil.

"Anda perlu meminta izin terlebih dahulu sebelum mengambil gambarnya. Jika dia tidak benarkan, kepalanya akan seolah-olah berpaling ke arah lain.

"Sekiranya anda degil dan tetap mengambil gambarnya, kemungkinan anda akan terkena sumpahan boneka kelasi itu.

Ilmu hitam

"Itulah sebab pengunjung yang pernah mengambil gambar Robert tanpa kebenaran akan mengirim surat bagi memohon maaf kepadanya," cerita seorang penduduk, Alena.

Patung Robert yang disimpan di muzium tersebut sejak tahun 1994 itu dikatakan dimiliki oleh seorang budak lelaki bernama Robert Eugene Otto.

Pada tahun 1904, Otto menerima boneka kelasi itu daripada pembantu rumahnya sebagai hadiah hari lahirnya yang keempat. Otto menamakan anak patung itu sebagai Robert sempena namanya.

Menurut Alena, boneka itu dipercayai telah disumpah oleh orang gaji Otto yang mengamalkan ilmu hitam kerana tidak puas hati terhadap majikannya.

Sebulan selepas anak patung itu disimpan di rumah, keluarga Otto mula mendapat gangguan pelik dan menakutkan. Barang-barang di dalam rumah mereka tiba-tiba hilang dan ada yang rosak tanpa diketahui puncanya.

Apabila Otto ditanya kedua-dua ibu bapanya mengenai kejadian aneh tersebut, kanak-kanak itu hanya mendiamkan diri dan menyalahkan Robert atas apa yang berlaku.

PENGUNJUNG yang mengambil gambar boneka Robert tanpa kebenaran akan mengirim surat memohon maaf.


Bayi menangis

Selain itu, mereka juga diganggu hampir setiap malam dengan suara bayi menangis dan bunyi-bunyi lain yang menyeramkan seperti orang berjalan di dalam rumah.

"Otto juga sering berperangai pelik. Pernah satu ketika ibu bapanya terdengar perbualan anak mereka itu dengan seseorang di dalam bilik. Namun apabila disoal, Otto menjawab dia hanya berbual dengan Robert," kata Alena.

Setelah Otto meninggal dunia pada tahun 1974, patung Robert itu ditinggalkan di dalam loteng rumah berkenaan sehinggalah pemilik baharu membeli rumah tersebut.

Keluarga baharu yang mendiami rumah itu memiliki seorang anak perempuan berusia 10 tahun.

Beberapa hari selepas menduduki rumah itu, kanak-kanak itu menjerit ketakutan hampir setiap malam dan mendakwa Robert seperti hidup dan bergerak sendiri di biliknya.

Lebih menyeramkan, kanak-kanak itu turut mendakwa Robert mahu menyerang dan membunuhnya.

Akibat tidak tahan dengan gangguan Robert, boneka kelasi itu diserahkan kepada Muzium Fort East Martello dan masih dihujani misteri sehingga hari ini.

Selain Robert, sebuah lagi anak patung, Harold, turut dikatakan mempunyai roh dan amat ditakuti penduduk tempatan.

Harold dipercayai dijual di laman web eBay dan sering bertukar tangan kerana ia didakwa akan menghantui individu yang pernah memilikinya.

Sebelum dijual di laman web itu, Harold dibeli oleh seorang lelaki tempatan di pasar lambak di Webster, Florida, AS.

Menurut cerita seorang penduduk tempatan, Anthony, pemilik asal patung Harold itu membeli boneka tersebut untuk anak lelakinya yang baru lahir.

Malangnya, bayi itu meninggal dunia tidak lama kemudian kerana demam panas.

Selepas kematian bayi itu, bapanya menyimpan anak patung itu di dalam loteng di rumahnya selama lebih 60 tahun.

Dia kemudiannya mula diganggu kejadian aneh dan menyeramkan.

"Mereka sering terdengar bunyi seperti kanak-kanak menangis dan menyanyi dari atas loteng. Namun, apabila diperiksa, tiada apa-apa yang mencurigakan.

"Kejadian itu berlarutan sehingga keluarga itu terpaksa berjumpa dengan paderi bagi menyelesaikan masalah mereka," cerita Anthony.

Penduduk percaya tubuh patung itu sebenarnya dihuni oleh roh bayi pemilik asal boneka berkenaan.

"Selepas bayi itu mati, patung tersebut seolah-olah hidup. Ada beberapa orang mendakwa pernah ternampak patung itu mengerdipkan kelopak matanya," tambah Anthony.

Bunuh ular tedung untuk aksesori

Posted:

Bunuh ular tedung untuk aksesori

Bunuh ular tedung untuk aksesori

Ular dibunuh dengan memasukkan paip getah berisi air ke dalam rongga mulut ular.


PEKERJA menyiat kulit ular sebelum dijemur di bawah terik matahari.


SEORANG lelaki di sebuah perkampungan kecil di Indonesia, menggadai nyawa apabila menjadikan perniagaan membuat aksesori berasaskan ular tedung sebagai mata pencariannya.

Lelaki yang dikenali sebagai Wakira itu mempunyai 10 orang pekerja dan mampu memperoleh pendapatan sehingga 50,000 rupiah (RM14,000) sebulan hasil perniagaan tersebut.

Pemilik kilang yang terletak di perkampungan Kapetakan, Jawa Barat itu turut digelar sebagai Bos Ular Tedung.


ULAR akan dipijak dan dijirus dengan air bagi mengeluarkan isi perut.


Lebih mengerikan, kesemua ular tedung tersebut dibunuh menggunakan tangan sebelum kulitnya diambil untuk dijadikan beg, kasut, tali pinggang dan beg duit.

"Sebenarnya terdapat pelbagai cara untuk mematikan ular tetapi kami menggunakan kaedah tradisional, walaupun ia kelihatan sedikit kejam.

"Di kilang ini, kami akan memasukkan paip getah dengan air mengalir ke dalam mulut ular sehingga perutnya membengkak seperti belon," katanya.

Ujarnya, paip getah tersebut pula akan diikat di mulut reptilia itu bagi mengelakkan air mengalir keluar.

"Ular tersebut dibiarkan selama 10 minit atau sehingga mati," terangnya.


KANAN: Seorang pekerja menjahit beg tangan wanita menggunakan kulit ular tedung.


Bagi mengeringkan kulit ular, ia dimasukkan ke dalam ketuhar sebelum dicelup dengan warna mengikut gaya dan bentuk beg yang diinginkan.

"Kulit ular yang jumlah panjangnya mencecah ratusan meter itu dijual ke kilang-kilang beg di Jawa Barat dan Jawa Tengah setiap bulan.

"Namun begitu, kesemua produk tersebut akan diperiksa terlebih dahulu sebelum diedarkan," jelasnya.

Sebuah beg yang diperbuat 100 peratus daripada kulit ular dijual pada harga antara 150,000 hingga 300,000 rupiah (RM42 hingga RM85), bergantung kepada saiznya.

"Namun apabila aksesori tersebut memasuki pasaran antarabangsa, harganya mampu mencecah sehingga A$4,000 (RM9,700)," ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved