Kosmo Online - Negara |
- MAS bimbang nasib 239 penumpang
- Perdana Menteri sahkan pesawat belum ditemui
- Teori kehilangan pesawat MH370
MAS bimbang nasib 239 penumpang Posted: MAS bimbang nasib 239 penumpang
SEPANG - Seramai 239 penumpang hilang apabila pesawat Boeing 777-200 milik Penerbangan Malaysia (MAS) yang mereka naiki dikhuatiri terhempas di Laut China Selatan berdekatan Vietnam setelah ia terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang di Selangor awal pagi semalam. Tragedi terburuk dalam sejarah penerbangan negara itu berlaku ketika pesawat mewah berkenaan berada di antara ruang angkasa Malaysia-Vietnam di Laut China Selatan kira-kira dua jam selepas ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang. Pesawat MH370 itu berlepas ke Beijing, China pada pukul 12.41 pagi semalam sebelum dilaporkan terputus hubungan dengan menara kawalan pada pukul 2.40 pagi. Pesawat B777-200 itu dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi (waktu tempatan). Pesawat yang dikendalikan oleh pegawai berpengalaman Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, bersama pegawai kanan Fariq Ab. Hamid, 27, itu turut membawa 12 kru dan dua bayi. Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, daripada jumlah tersebut, 38 penumpang adalah rakyat Malaysia manakala yang lain warganegara China (153 termasuk seorang bayi), Indonesia (12), Australia (7), Perancis (3) dan Amerika Syarikat (3 termasuk seorang bayi). "Selain itu New Zealand (2), Ukraine (2), Kanada (2), Rusia (1), Itali (1), Taiwan (1), Belanda (1) dan Austria (1)," katanya pada sidang akhbar di sini semalam. Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini. | |
Perdana Menteri sahkan pesawat belum ditemui Posted: Perdana Menteri sahkan pesawat belum ditemuiNAJIB melawat waris mangsa pesawat MAS yang hilang daripada radar di KLIA, Sepang semalam. SEPANG - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengesahkan bahawa pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia (MAS) yang terputus hubungan dan hilang daripada radar ketika menuju ke Beijing, China pada pukul 2.40 pagi semalam masih belum ditemui. Beliau turut mengesahkan bahawa tiada bukti bahawa pesawat Boeing 777-200 itu terhempas, dirampas mahupun diserang pengganas. "Kita sedang mengkaji segala kemungkinan. Adalah terlalu awal untuk membuat kesimpulan. "Ada beberapa teori yang hanya akan tinggal sebagai teori melainkan kita mendapat apa-apa bukti yang kukuh," katanya ketika ditanya kemungkinan wujud elemen keganasan menjadi punca tragedi tersebut. Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini. | |
Teori kehilangan pesawat MH370 Posted: Teori kehilangan pesawat MH370Masalah teknikal Kemungkinan besar pesawat itu menjunam ke laut dan sehingga kini belum dikesan pasukan penyelamat. Antara masalah teknikal pada enjin yang boleh mengundang malapetaka ialah pesawat kehabisan minyak atau kehilangan kuasa enjin dan tujahan semasa terbang. Kebakaran Pesawat kemungkinan mengalami kebakaran yang boleh berpunca daripada enjin atau dari dalam kabin. Kebakaran dari dalam kabin mungkin boleh berpunca daripada litar pintas atau peralatan elektronik dalam pesawat. Pesawat juga boleh berdepan dengan gangguan telekomunikasi jika penumpang menggunakan gajet-gajet elektronik yang dibawa bersama semasa penerbangan. Semua gangguan itu boleh mengundang malapetaka. Cuaca buruk Faktor ribut dan kilat boleh menjadi salah satu punca pesawat MH370 ditimpa kemalangan. Sistem pada pesawat boleh terganggu sekiranya berlaku bencana seperti ribut yang menyebabkan hilangnya imbangan sebelum pesawat kemudian terhempas. Tersasar penerbangan Juruterbang mungkin tersasar daripada mengikuti radar semasa penerbangan hingga menyebabkan pesawat MH370 terputus hubungan dengan menara kawalan. Juruterbang berkemungkinan tidak kembali kepada panduan penerbangan yang diberi oleh menara kawalan atau tidak kembali kepada sistem pengesanan global (GPS) yang terdapat pada pesawat hingga memungkinkan ia terhempas. Rampasan Pesawat mungkin dirampas oleh pihak pengganas yang kemudian telah meletupkannya. Pengganas biasanya akan membuat sesuatu tuntutan jika mereka merampas pesawat dan tidak melakukan perkara itu jika tiada tujuan. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan