Khamis, 19 Disember 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Legenda seni peninggalan Azean

Posted:

Legenda seni peninggalan Azean

Legenda seni peninggalan Azean

PERGINYA seorang primadona filem Melayu yang tiada galang gantinya. Azean Irdawaty Yusoef atau Azean Irdawaty akhirnya pergi menghadap Ilahi setelah enam tahun bertarung nyawa melawan penyakit kanser payudara tahap tiga yang dideritai sejak Jun 2007.

Pelakon filem Mama Oh Mama itu yang sering keluar masuk hospital sebelum ini menghidap penyakit kanser payudara sehingga ia menjadi kritikal apabila merebak kepada barah tumor.

Allahyarham juga mengidap Lymphedema iaitu kesan akibat pembedahan membuang 16 kelenjar yang dilakukan pihak hospital ketika menghadapi barah payudara sebelum ini.

Allahyarham semasa hayatnya pernah menyuarakan rasa bimbang dan sedih bila mendapat tahu menghidap penyakit kanser payudara namun atas semangat dan kecekalan diri dia berkata: "Apabila saya menyedari semua yang terjadi, saya mula reda dan muhasabah diri.

"Perkara pertama yang saya belajar ialah saya mesti serahkan semuanya kepada yang maha Esa. Mengapa saya perlu mempersoalkan, bimbang, ragu dan risau hingga tertekan perasaan dan jiwa raga dengan ketentuan Allah SWT".

Biarpun, Azean berjuang melawan penyakitnya, ajal dan maut pelakon itu telah ditentukan Allah pada 17 Disember 2013. Pelakon berusia 63 tahun itu disahkan meninggal dunia pada pukul 8.25 malam pada tarikh tersebut ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur, sejak tiga hari lalu.

Bersemadi

Jenazah Azean telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada pukul 12 tengah hari, semalam selepas dimandi dan disembahyangkan di Masjid Kayu Ara.

Anak Azean, Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy, 34, reda dengan pemergian ibunya.


BENJY menyiram air mawar di pusara Azean di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, Kuala Lumpur.


"Saya reda dan juga lega yang dia tidak lagi berada dalam kesakitan melawan penyakitnya," tuturnya ketika ditemui selepas majlis pengebumian.

Berada di sebelah Allahyarham di saat-saat akhir hayatnya, Benjy memberitahu, sejak pukul 12 tengah malam Isnin lalu ibunya dalam keadaan tenat dan tidak mampu membuka mata. Malah, tidak lagi mahu menjamah makanan sehingga ke hujung hayatnya.

Padahal pada sebelah siang hari yang sama ibunya mampu lagi menguntumkan senyuman kepadanya.

"Masa saya datang ke hospital sebelah siang pada Isnin lalu, mama masih membuka mata dan mampu senyum kepada saya. Namun, bermula 12 tengah malam itu mama mulai tenat. Dia hanya menutup mata sehingga meninggal pada malam tadi (Selasa).

"Sebelum meninggal, saya dapati mama sukar untuk bernafas. Saya dapat merasai kesakitannya setiap kali dia menarik nafas. Ketika itu, saya dan adik-beradik lain berbisik di telinga dan menyuruhnya mengucap serta memberitahu yang kami merelakan pemergiannya," ungkap Benjy dengan nada sebak.

Berkongsi mengenai kata-kata arwah sebelum meninggal, Benjy mendedahkan, beliau menyuruhnya berkahwin semula selepas bercerai dengan isterinya, Safiya Stephance Kar-Leng pada 1 Ogos 2013.

Allahyarham meninggalkan suami, Khairil Anwar Zainal Mukhtar Rashidi dan tiga orang anak iaitu Benjy, Elza Irdalynna dan Inessa Irdayanty.

Pastinya berita pemergian Allahyarham turut mengejutkan penggiat seni tanah air terutama rakan-rakan seperjuangannya.

Menurut pelakon dan juga pengarah Elly Suriati, walaupun mengetahui Azean menderita penyakit kansernya sejak enam tahun lalu, tetapi bila mendapat perkhabaran mengenai kematiannya pada pukul 10 malam semalam, Elly masih berasa terkejut.

"Memang kita tahu arwah sudah lama sakit. Tetapi, bila dapat tahu berita kematiannya daripada sahabat handai saya tetap terkejut. Sebabnya dia seorang yang sangat cekal dan tabah dalam melawan penyakitnya.

HUBUNGAN Azean dengan Benjy begitu akrab. Mereka sentiasa bersama dalam keadaan susah dan senang.


Tetapi sudah tertulis ajalnya semalam," ujar Elly.

Bercerita lebih lanjut mengenai arwah, kata Elly, Azean bukan sahaja seorang isteri, ibu dan seorang seniman tetapi dia juga umpama seorang kakak kepada Elly.

"Perjuangannya dalam seni bukan sedikit. Bila bekerja dia sangat profesional. Saya ikut caranya. Dia juga bicara dari hati ke hati. Kami ibarat seperti adik-beradik.

"Dia beri tiga beg baju-baju dia pada saya. Katanya, gunakan untuk penggambaran. Sekarang inipun saya pakai baju pemberian arwah kepada saya," ungkap Elly yang tidak mampu lagi menahan air mata untuk terus mengalir ketika ditemui Kosmo! di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, semalam.

Selain Elly, pengarah Othman Hafsham yang ditemui juga turut berasa kehilangan selepas mendapat berita kematian Azean.

Mengenali Allahyarham hampir 30 tahun lamanya, luah Othman, Azean boleh dianggap seniman yang wajar dicontohi oleh artis baharu.

"Dia bukan sahaja seorang pelakon kepada saya tetapi sudah jadi seperti kawan. Susah hendak cari artis seperti dia. Barisan pelakon baharu harus mencontohi dia. Bakat semula jadinya sebagai pelakon kita boleh nampak pada anaknya Benjy," ujar Othman lagi.

Dikenang

Sudah membintangi banyak drama bersama Allahyarham sebagai anak, bagi pelakon Ako Mustapha pula, Azean merupakan pelakon yang hebat.

Biarpun hebat, akui Ako, Azean tidak pernah sombong malah, menyalurkan bakatnya kepada pelakon-pelakon baharu sepertinya.

"Saya dapat tahu berita kematian arwah daripada pelakon Diana Yusof malam tadi (semalam). Walaupun sakit arwah sentiasa menunjukkan sikap yang baik pada sesiapa yang melawatnya. Dia tidak pernah tunjuk dia sakit dan juga meminta simpati. Tetapi, saya tahu dia sedang menderita melawan penyakitnya.

"Selama mengenalinya, arwah tidak pernah sombong. Saya rapat dengannya seperti anak. Dia ada minta saya sentiasa melawat dan menemaninya. Pada saya, dia sebenarnya tidak suka bersendirian. Dia suka bersembang dan gembira jika ada yang sudi melayannya bersembang," jelas Ako pula ketika ditemui.


KELUARGA bahagia. Dari kiri: Azean, Elza Irdalynna, Inessa Irdayanty, bekas menantunya, Safiya, Benjy dan suaminya, Khairil Anwar Zainal Mukhtar. Gambar keluarga ini dirakamkan pada tahun 2007.


Dalam pada itu, Datuk Rosyam Nor berharap agar roh Allahyarham Azean ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Kata Rosyam lagi, Azean telah melalui saat manis dan getir dalam hidup.

"Apa yang Allah beri ketika dia masih hidup (sakit) adalah untuk mencuci dosa-dosanya sebelum dia pergi. Saya doakan semoga rohnya dicucuri rahmat," ujarnya.

Menganggap Azean seperti kakaknya, menurut Rosyam, Azean banyak menegur dan banyak memberi inspirasi kepadanya.

"Saya menganggap dia sebagai mentor. Dia seorang pelakon yang sentiasa menjaga kualiti lakonannya. Industri kehilangan seorang primadona filem Melayu. Sebagai adik dan anak seni, saya reda dengan kehilangannya," luah Rosyam lagi.

Dira reda alami keguguran

Posted:

Dira reda alami keguguran

Dira reda alami keguguran

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

DIRA memberitahu dia tidak sedar dirinya hamil sehingga disahkan oleh doktor selepas terdapat ketulan darah keluar sewaktu dia sibuk dengan penggambaran.


SUDAH mendirikan rumah tangga dengan pengarah fotografi, Mohd. Helmi Mohd. Yusuf sejak dua tahun lalu, pastinya mendapatkan cahaya mata merupakan perkara yang didambakan oleh pelakon Dira Abu Zahar.

Biarpun sudah mempunyai seorang anak perempuan, Tengku Anggun Deandra yang kini berusia enam tahun hasil perkahwinan terdahulu dengan penyanyi Tengku Shafiz-Rullah Tengku Mohd. Shahid, Dira dan suaminya sekarang berusaha untuk memperoleh cahaya mata.

Namun begitu, hasrat pasangan berkenaan sedikit tergendala apabila Dira yang ditemui ketika majlis pelancaran KL Bike Week 2013 baru-baru ini mendedahkan yang dia telah mengalami keguguran pada bulan lalu.

Menurut Dira, dia sendiri tidak menyangka yang ketika itu dia hamil enam minggu dan perkara tersebut diketahuinya apabila menjalani pemeriksaan di klinik.

Kosmo!: Bolehkah ceritakan lebih lanjut tentang keguguran yang anda alami?

DIRA: Pada bulan lalu saya sedang menjalani penggambaran sebuah drama bersiri di Kemaman, Terengganu. Ketika itu, saya sedar sudah lewat datang bulan beberapa hari, namun saya tidak mengendahkannya dan beranggapan tiada sebarang masalah yang berlaku. Kemudian ketika saya sibuk bekerja, terdapat ketulan darah yang keluar dan saya terus dinasihatkan menjalani pemeriksaan di klinik. Selepas itu, penjelasan yang diberikan doktor agak mengejutkan saya.

Apakah yang diberitahu oleh doktor terhadap hasil pemeriksaan yang dilakukan?

Menerusi pemeriksaan doktor menjelaskan yang saya sebenarnya telah hamil kira-kira enam minggu, tetapi kandungan saya itu tidak dapat diselamatkan kerana saya telah mengalami keguguran.

Bagaimanakah perasaan anda ketika mendapat tahu perkara tersebut?

Sudah tentu saya berasa sangat terkejut dan tidak sangka berbadan dua. Pada masa yang sama agak sedih dan kecewa kerana hasrat untuk mendapat cahaya mata kedua tidak kesampaian. Apa pun, saya tetap reda dengan dugaan ini.

Apabila mendapat tahu yang anda keguguran, apakah reaksi suami anda?

Suami ada berpesan supaya saya banyak bersabar dan anggap tiada rezeki kami buat masa ini. Tidak dinafikan sepanjang dua tahun berkahwin, kami memang sudah berusaha untuk mendapatkan anak.

Apakah yang menyebabkan anda mengalami keguguran?

Saya sendiri kurang pasti tentang keguguran ini, tetapi rasanya ia mungkin berpunca daripada diri saya yang terlalu aktif bekerja. Selepas apa yang berlaku, saya akan cuba elakkan diri untuk aktif dan akan segera membuat pemeriksaan sekiranya lambat datang bulan.

Bagaimanakah pula dengan projek terbaharu anda sekarang ini?

Pada 20 dan 21 Disember ini saya terbabit dengan acara KL Bike Week 2013 yang dianjurkan Red Garage Enterprise dengan kerjasama Tourism Malaysia dan ia merupakan acara yang dianjurkan buat kali ke-6 di kawasan letak kereta, Jalan P. Ramlee. Terdapat beberapa aktiviti yang akan diadakan seperti pameran motor berkuasa tinggi, konvoi bersama Awie yang juga ikon KL Bike Week 2013 serta gerai jualan yang menjual pelbagai produk, terdapat satu aktiviti yang dikenali sebagai Back To School Charity Fun Race.

Apakah matlamat utama aktiviti berkenaan?

Sebenarnya kami berhasrat untuk mengumpul dana bagi membantu anak-anak mangsa banjir yang akan bersekolah tidak lama lagi. Setakat ini, kami sudah menerima sebanyak RM10,000 hasil sumbangan pelbagai pihak. Untuk mengumpul lebih banyak dana, satu acara lelongan akan diadakan dan barang-barang yang dilelong itu merupakan hasil sumbangan beberapa artis seperti Aaron Aziz, Tiz Zaqyah dan Nabil. Kami sasar agar dapat mengumpul sebanyak RM20,000 dan kesemua wang berkenaan digunakan untuk membeli sebanyak 1,000 set kelengkapan persekolahan untuk pelajar yang menjadi mangsa banjir.

Joe tunggu Malique

Posted:

Joe tunggu Malique

Joe tunggu Malique

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN

JOE FLIZZOW mempunyai misi yang masih panjang untuk menyemarakkan muzik hip-hop dalam kalangan penggemar muzik tempatan.


ISI hati penyanyi hip hop Joe Flizzow atau nama sebenarnya Johan Ishak untuk melihat kumpulan duo Too Phat yang pernah menjadi kegilaan ramai suatu ketika dulu kembali beraksi di pentas disampaikan menerusi sebuah lagu berjudul Aku Tak Kenalmu (feat. Zamaera).

Ujar Joe, rangkap kedua lagu itu ditujukan khas buat teman baiknya, Malique. Dia meluahkan keinginan dan harapan untuk kembali ke persada muzik bersama penyanyi berbakat besar itu.

"Insya-Allah sudah sekian lama saya mahu mengembalikan kegemilangan kumpulan Too Phat bersama Malique, malah sebelum ini pun saya tidak pernah mendakwa Too Phat berakhir.

"Rangkap kedua dalam lagu Aku Tak Kenalmu saya tujukan untuk Malique. Harapan itu masih ada," ujarnya yang ditemui pada majlis pelancaran album Havoc di The Lust, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Joe juga memberitahu, Malique merupakan individu pertama yang mendengar semua lagu yang dihasilkan untuk album kedua, Havoc yang merangkumi 14 buah lagu berbahasa Melayu.

"Semua lagu dalam album ini saya sayang dan sepanjang proses pembikinan album ini saya perdengarkan setiap lagu yang dihasilkan kepada enam orang terdekat saya termasuk Malique," ujarnya yang sentiasa berhubung dengan Malique.

Dalam album kedua Joe selepas President yang diterbitkan pada tahun 2009, dia menggunakan lebih 90 peratus lirik bahasa Melayu dalam album Havoc dan selebihnya berbahasa Inggeris serta bahasa pasar.

Daripada keseluruhan album, lapan buah lagu menampilkan duet daripada artis pelbagai latar belakang antaranya lagu Untukmu (feat. Ila Damia), Katakan (feat. Rossa), Takbir Cinta (feat. Yasin & Amy Search), Apa Khabar (feat. SonaOne), Lu Lari (feat. Adeep Nahar) dan pastinya lagu yang dinanti-nantikan, Havoc (feat. Altimet & SonaOne).

JOE masih berharap untuk kembali berkolaborasi dengan teman lamanya, Malique (kiri) dari duo Too Phat.


Lagu lain yang dimuatkan dalam album itu ialah Iller-Iller, Baek, Satu Kali, Kongsi, Apa Benar dan Go Hard.

"Saya andaikan diri saya seorang atlet dan sekarang sedang merehatkan badan saya yang selama ini penat bekerja, maka keluarlah album hip-hop berbahasa Melayu sepenuhnya.

"Album ini membuktikan bahawa saya juga boleh rap dan menghasilkan lagu hip hop dalam bahasa ibunda kita iaitu bahasa Melayu. Selama ini orang sering salah anggap saya penyanyi urban yang hanya menulis lirik bahasa Inggeris saja," tegasnya.

Joe sama sekali tidak menjangka daripada single Havoc yang dirakamkan secara tidak sengaja bersama Sona One dan Altimet berjaya diterjemahkan sebagai sebuah produk.

"Kami merakamkan lagu ini dalam satu malam secara tidak sengaja apabila Sona One hampir terjatuh dan tersebut perkataan havoc. Daripada kejadian itu rentak demi rentak muncul dan akhirnya menjadi sebuah single," katanya.

Sementara itu, jelas Altimet cabaran terbesar untuk merakamkan single Havoc apabila dia hanya diberikan lapan bar (rangkap) untuk dimampatkan menjadi jalan cerita.

"Selalunya apabila rap saya diberikan 16 bar sekurang-kurangnya, tapi kali ini Joe mengehadkan saya dengan lapan bar.

"Jadi saya memilih isu semasa berkaitan dilema yang sedang berlaku dalam genre muzik rap dan hip hop," ujar Altimet.

Sona One atau nama sebenarnya Mikael Adam, 25, pula menafikan dakwaan bahawa dia cuba meniru gaya nyanyian rapper antarabangsa Lil Wayne menerusi lagu Havoc.

"Ini suara dan cara nyanyian semula jadi saya, tidak pernah pula saya berniat mahu meniru mana-mana artis sebelum ini. Mungkin berlaku secara kebetulan," jelasnya yang bakal melancarkan album solonya bulan Februari tahun depan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved