Isnin, 16 Disember 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Zain, Rozita tutup kontroversi

Posted:

Zain, Rozita tutup kontroversi

Zain, Rozita tutup kontroversi

KETIKA melangkah masuk ke dalam dewan Setia City Convention Centre, Setia Alam, Shah Alam, Selangor mata seolah-olah terpaku dengan keindahan suasana yang dicetuskan oleh untaian bunga-bunga mawar putih yang dijalin kemas di setiap penjuru ruang serta meja santapan.

Pelamin yang asalnya dirancang berkonsepkan majlis dalam taman itu yang terpaksa diubah lokasinya ke kawasan tertutup masih mencetuskan ritma cinta manis berasaskan rona pastel pelamin rekaan Nas Great Creation pada malam pernikahan, 11 Disember lalu.

Sehari sebelum itu, majlis berinai berlangsung meriah dengan kehadiran keluarga dan teman rapat pasangan mempelai di Dewan N'Dah Shah Alam dalam suasana santai dan penuh adat.

Persandingan pelakon sensasi Rozita Che Wan, 40, dan Zain Saidin, 29, sememangnya dinanti-nantikan dan penutup tirai terbaik sepanjang tahun 2013.

Kuburkan kontroversi

Apapun, rentetan daripada kisah cinta yang bersulam pelbagai tangis, kontroversi, spekulasi dan penafian sepanjang tempoh dua tahun, penyatuan Zain dan Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta itu menamatkan semua cerita negatif.

"Saya harap selepas ini tidak akan wujud lagi sebarang gosip yang mengaitkan isteri saya dengan mana-mana lelaki.

"Tapi sekiranya masih ada lagi gosip yang mengaitkan namanya sampai melibatkan maruah dan nama baik keluarga kami, saya sebagai ketua keluarga akan tampil membela dan mempertahankan dia," tegas Zain.


UPACARA akad nikah.


Kembali menenangkan keadaan, Che Ta yang duduk di sisi Zain mencelah. Tidak tertekan dengan pelbagai andaian dan tohmahan yang dilemparkan terhadap majlis perkahwinannya, dia kini bersedia kembali melayari bahtera rumah tangga.

"Syukur, Alhamdulillah saya akhirnya kembali bergelar isteri dan perjalanan sepanjang menuju detik ini memang mencabar tapi saya sudah tetapkan dalam fikiran untuk tidak mahu diganggu dengan cerita tidak enak," jelasnya.

Sebelum pasangan itu mendirikan rumah tangga, pelbagai spekulasi membabitkan Che Ta dengan beberapa lelaki muda termasuk Shah Iskandar dan bintang Akademi Fantasia, Shahir Zawawi.

Sekiranya perkara yang membabitkan namanya masih muncul selepas ini, ulas Che Ta ringkas: "Tak baik bersangka buruk pada orang."

Nikah

Pasangan itu telah dinikahkan oleh Ketua Pendaftar Nikah Negeri Selangor, Ustaz Aluwi Parman berwakilkan wali adik Rozita, Roshidi Che Wan dengan sekali lafaz tepat pukul 9.05 malam pada 11 Disember lalu.

Berlangsung di lokasi yang sama dengan majlis resepsi, Che Ta menerima wang hantaran berjumlah RM23,200 dan mas kahwin RM9,300 daripada Zain.

Pada majlis itu, pengantin lelaki menghantar sembilan dulang hantaran berisi tiga biji tas tangan, lima pasang kasut, manisan, 10 set wangian, empat pasang kain renda, set telefon pintar, senaskhah al-Quran dan sejadah, tepak sirih serta sekeping cek bernilai RM23,200.


ZAIN dan Che Ta kini melayari keindahan bahtera rumah tangga.


Pihak pengantin perempuan pula membalas jumlah dulang hantaran sama berupa lima pasang kasut, lima helai kemeja-T, set barangan kulit, lima set wangian, lima helai baju Melayu, seutas gelang Pandora, sebentuk cincin, sebiji kek dan sirih junjung.

Zain dan Che Ta menyarung busana berona krim rekaan Man Kajang untuk majlis pernikahan manakala dua set busana berwarna ungu biji kundang dan off white masing-masing rekaan Rizman Ruzaini dan Bianco Mimosa pada majlis berinai.

Cita rasa tinggi

Mengenali Che Ta yang sering dianggap seorang wanita bercitarasa tinggi pernah membuahkan kesangsian dalam diri Zain pada mulanya, bagaimanapun telahan itu meleset apabila hubungan mereka semakin serius.

"Mula-mula dulu saya pun pernah fikir dia ada cita rasa tinggi dalam segala hal. Ya, perkara itu memang benar, tapi kalau dia mahukan sesuatu dia sendiri akan berusaha untuk mendapatkannya dan tidak membebankan saya.

"Apabila sudah kenal dia betul-betul, saya yakin dia bukan memandang pada kekayaan atau paras rupa. Itu hanya pandangan segelintir masyarakat yang skeptikal terhadap dia.

Atas alasan itu saya yakin untuk menjadikan dia isteri saya dan saya pun melamar dia," ujar Zain yang bakal menjalani penggambaran drama bersiri Oh My English musim ketiga awal tahun hadapan.

Zain bagaimanapun tidak meletakkan sebarang syarat kepada isterinya baik daripada segi penampilan mahupun kerjaya lakonan dan pengacaraan.

"Saya tidak letak apa-apa syarat pada dia tapi sebagai suami saya akan menegur mana-mana bahagian yang nampak tidak elok dan akan minta dia berubah perlahan-lahan. Kami akan meneruskan kerjaya masing-masing selepas ini, kalau ada tawaran berlakon sekali-sekala tiada masalah.


PASANGAN mempelai bergambar dengan keluarga sebelah pihak lelaki.


"Sekarang sumber kewangan kami sudah ada dua jadi dia tidak perlu bekerja keras seperti dahulu. Che Ta suka bidang pengacaraan dan bisnes maka saya tidak akan halang," tambah Zain.

Dengan spontan Che Ta mencelah: "Saya tidak kisah pun tak kerja sebab duit saya, duit saya. Duit Zain, duit saya juga."

Sementara itu, Zain turut meluahkan rasa terharu bergelar bapa segera kepada dua orang cahaya mata Che Ta, Ammar Effendy, 17, dan Aniq Ezzra, 15.

"Saya memang rapat dengan mereka berdua. Ketika mula-mula mengenali mereka, Ammar ketika itu masih bersekolah tingkatan dua dan Aniq darjah enam.

"Memandangkan saya pun sukakan budak-budak jadi setiap kali jumpa mereka, saya akan cuba mencari minat dan kesukaan mereka untuk mendekatkan diri.

"Kebetulan Aniq gemarkan bola sepak dan Ammar suka tengok wayang, kami berkongsi minat yang sama," jelasnya yang kini sudah bersedia untuk menimang cahaya mata bersama Che Ta andai ada rezeki.

Shukur memang pemalu - Farawahida

Posted:

Shukur memang pemalu - Farawahida

Shukur memang pemalu - Farawahida

Oleh IZWAN MOHD. ISA

FARAWAHIDA akui bakal suaminya, Shukur merupakan seorang yang pemalu.


MENJADI raja sehari merupakan impian bagi setiap wanita. Lebih-lebih lagi, apabila pasangan yang bakal bergelar suami itu adalah insan yang telah bertapak di dalam jiwa sejak bertahun-tahun lamanya.

Bagi penyanyi bersuara lantang, Farawahida Razali, perkahwinannya dengan seorang usahawan, Abdul Shukur Mohd. Zain merupakan satu permulaan dalam menerokai kehidupan baharu.

Namun, keengganannya sebelum ini untuk berkongsi dengan pihak media berkaitan hal percintaannya kerap menimbulkan tanda tanya.

Ada yang melabelkan penyanyi berkulit hitam manis itu sebagai sombong atas sikap menyembunyikan kekasih daripada pengetahuan khalayak.

Mengakui kurang mendedahkan tentang kisah peribadi bakal suaminya, pelantun lagu Tanpamu itu mempunyai sebab mengapa dia berbuat demikian.

Ikuti temu bual antara Kosmo! dengan Farawahida mengenai bakal suaminya, persiapan untuk majlis perkahwinan serta perancangan masa hadapan.

Kosmo!: Mengapa anda begitu berahsia mengenai bakal suami?

FARAWAHIDA: Saya bukan tidak mahu menceritakan hal peribadi dan perhubungan saya dengan Shukur, tetapi dia seorang yang pemalu. Dia kurang gemar gambarnya diambil dan disiarkan. Jadi, sebagai bakal isteri, saya harus menghormati keputusannya itu.

Sepanjang perkenalan, Shukur sudah mengetahui anda merupakan seorang penyanyi. Adakah dia sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga dengan individu yang dikenali ramai?

Dia sangat memahami kerjaya saya sebagai seorang penyanyi. Sepanjang lapan tahun mengenali antara satu sama lain, dia sudah faham dengan status saya sebagai seorang selebriti.

Bagaimana anda menjalinkan hubungan cinta sebegitu lama tanpa disedari oleh orang ramai?

Tipulah jika saya mengatakan tiada sesiapa yang perasan. Ketika keluar bersama, ada juga orang yang melihat tetapi setakat ini, tidak pernah pula gambar kami berdua tersebar. Mungkin saya kurang popular? (ujarnya sambil ketawa).

FARAWAHIDA bergelar isteri pada hari ini menerusi upacara akad nikah yang berlangsung di Sentosa Villa Resort, Taiping, Perak.


Bagaimana anda dan Shukur berhadapan dengan pihak media sebelum ini?

Alhamdulillah, kawan-kawan media sangat memahami. Jika saya membawanya ke majlis-majlis tertentu, mereka tidak akan mendesak untuk mengambil gambar. Mereka sangat menghormati permintaan Syukur.

Boleh ceritakan sedikit mengenai persiapan perkahwinan anda berdua?

Saya memberikan kepercayaan kepada perancang majlis, Empayar Che Det untuk menguruskan majlis perkahwinan saya nanti. Untuk majlis pernikahan, saya akan mengenakan busana daripada Syarakim manakala bagi majlis bersanding pula, saya akan menyarungkan rekaan Wan Azlan & Zainurin Couture dan Jimmy Moschino. Majlis resepsi akan diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Taiping, Perak.

Apakah tema majlis perkahwinan anda nanti?

Menurut Che Det, majlis pernikahan saya nanti akan diserikan dengan batu-batu karang dan mutiara. Pada sebelah malam pula, majlis persandingan bertemakan Glamour Extravaganza.

Setelah bergelar seorang isteri, adakah suami akan mengenakan syarat dan mengehadkan aktiviti seni anda?

Sepanjang menjalinkan hubungan dengannya, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan aktiviti nyanyian saya. Dia faham yang saya sangat cintakan bidang nyanyian. Mungkin tiada masalah untuk saya meneruskan kerjaya saya sebagai seorang penyanyi.

Harapan anda setelah bergelar seorang isteri?

Saya sangat bersyukur kerana dijodohkan dengannya. Sebagai seorang isteri, saya akan menggalas tanggungjawab yang lebih berat. Kami akan memberikan sokongan antara satu sama lain. Justeru itu, saya berharap agar persefahaman ini akan memberikan impak yang positif terhadap hubungan kami sebagai suami isteri.

Jaafar Onn promosi makanan Melayu

Posted:

Jaafar Onn promosi makanan Melayu

Jaafar Onn promosi makanan Melayu

Oleh IZWAN MOHD. ISA


JAAFAR menunjukkan cara-cara menyediakan ayam masak merah dan nasi beriani pada majlis pelancaran Jaafar Onn Kitchen @ Mentara di Kuala Lumpur baru-baru ini.


LEBIH kurang sepuluh tahun yang lalu, muncul sebuah rancangan berbentuk hiburan kanak-kanak yang diberi judul Cili Padi.

Rancangan komedi berdurasi 30 minit itu membariskan pelakon-pelakon seperti Anne Ngasri, Nik Fariz Nik Fadzil, Melissa Saila, Tam Suhaimi dan Jaafar Onn.

Menerusi rancangan itu, Jaafar yang memegang watak sebagai Cikgu Jaafar sememangnya sinonim dengan gaya lakonan bersahaja dan melucukan. Apatah lagi apabila dia terpaksa melayan karenah pelakon-pelakon lain yang rata-rata jauh lebih muda daripadanya.

Ketika berpeluang menemui Jaafar pada majlis pelancaran Jaafar Onn Kitchen @ Mentara, Tiara Ampang baru-baru ini, Jaafar begitu positif dengan perkembangan perniagaan baharunya walaupun tidak banyak menerima tawaran berlakon sepanjang tahun ini.

"Seperti semua sedia maklum, saya kurang muncul di kaca televisyen mahupun di layar perak. Ini kerana jadual saya agak padat dan saya terlalu sibuk menguruskan syarikat dan perniagaan makanan.

"Banyak juga tawaran terpaksa saya tolak kerana sukar untuk membahagikan masa sekarang. Jika ada permintaan sekalipun, saya hanya mampu untuk melakonkan satu atau dua babak secara cameo (seketika) sahaja," katanya.

Bisnes makanan Melayu

Jaafar yang kini gigih mengembangkan perniagaannya berkata, dia dan bidang kulinari sememangnya tidak dapat dipisahkan, terutamanya jika melibatkan masakan Melayu.

Justeru, kolaborasi antara dia dan restoran sajian melayu, Mentara Tiara merupakan gandingan yang baik bagi mempromosikan masakannya kepada orang awam.

Pada masa yang sama juga, terdapat beberapa perkhidmatan yang disediakan oleh Jaafar buat pelanggan yang ingin mengadakan sebarang majlis di restoran itu.

"Pembukaan Jaafar Onn Kitchen @ Mentara merupakan satu usaha saya untuk memberikan pilihan kepada para pelanggan menggunakan khidmat saya untuk mengadakan apa-apa majlis yang melibatkan bufet makanan dan persembahan artis.

JAAFAR ONN kini semakin sibuk dengan urusan syarikat dan bisnes makanan.


"Mereka bebas untuk memilih pakej-pakej yang ditawarkan oleh kami bagi melengkapkan majlis-majlis keraian yang bakal diadakan seperti majlis hari jadi, majlis sambutan hari ibu atau bapa serta majlis reunion," ujarnya yang pernah membintangi filem Aku No. 1 bersama pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi.

Menurutnya lagi, sebuah pasar lambak yang diberi nama Fabulous Bazar akan diadakan pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad mulai akhir bulan ini.

Bazar yang beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam di tempat letak kereta Mentara itu bakal menampilkan pelbagai variasi barangan jualan serta makanan.

Kios Jaafar Treats

Dalam kesibukannya mengembangkan perniagaan, Jaafar juga ingin membantu golongan ibu tunggal dan anak-anak yatim dengan memperkenalkan kios menjual kuih-muih tradisional yang diberi nama Jaafar Treats.

Katanya, melalui pengenalan kios Jaafar Treats ini, ibu-ibu tunggal dan anak-anak yatim dapat dibantu agar mereka boleh menjalankan perniagaan secara berdikari.

"Pihak saya akan cuba sedaya-upaya untuk membantu dengan memberikan mereka pendidikan mengenai perniagaan dan cara yang betul untuk menguruskan kios makanan.

"Selain itu, kami juga akan cuba untuk membantu mereka mendapatkan bantuan pinjaman bank bagi memulakan perniagaan," jelas Jaafar yang menganggarkan sebanyak 30 kios bakal dibuka menjelang tahun 2014.

Membujang lebih bebas

Bercakap mengenai alam perkahwinan, Jaafar sendiri pernah menyatakan hasrat ingin mendirikan rumah tangga beberapa bulan yang lalu. Akan tetapi, khabar gembira itu seakan-akan senyap tanpa sebarang kata putus.

"Saya akui sangat teringin untuk berkahwin. Tetapi, dengan keadaan saya yang terlalu sibuk membuatkan perancangan itu seakan-akan terbantut.

"Tambahan pula saya sering ke luar negara untuk mempromosikan masakan Melayu. Saya rasa, biarlah saya membujang buat masa ini kerana saya bebas untuk menjalankan perniagaan tanpa perlu memikirkan tentang komitmen lain," ujarnya.

Jaafar turut merancang untuk membuka cawangan Jaafar Onn Kitchen di kota London serta rancangan untuk memasarkan adunan istimewa rempah sedia guna khusus bagi masakan-masakan Melayu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved