Khamis, 7 November 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Penggempur import

Posted:

Penggempur import

Penggempur import

Kiri ZAYAR, ANDIK


SAINGAN Bola Sepak Liga Malaysia (Liga M) musim 2013 menutup tirainya pada Ahad lalu dengan Pahang muncul juara Piala Malaysia selepas menewaskan Kelantan 1-0 dalam perlawanan akhir.

Kini, tumpuan mula beralih kepada pembentukan pasukan bagi menghadapi saingan musim 2014.

Pasukan-pasukan yang beraksi dalam Liga Super musim depan sudah mula mengorak langkah untuk memburu khidmat pemain import.

Kelantan sudah awal-awal lagi bakal mendapatkan khidmat pemain dari Maghribi, Abdulla Baba yang dikatakan cukup garang merobek gawang lawan.

Proses Kelantan untuk mendapat khidmat penggempur berusia 28 tahun itu kini masih di peringkat perbincangan.

Perak pula dilaporkan sedang memburu khidmat pemain Myanmar, Kyaw Zayar Win yang telah membantu pasukannya muncul naib juara Pestabola Merdeka di Kuantan baru-baru ini.

Selain penggempur dari Myanmar itu, Perak juga sedang mengintai pemain dari Syria dan Ghana.

Johor Darul Takzim pula sedang gigih memburu pemain bintang tempatan, antaranya Amirulhadi Zainal (Pahang) serta Mohd. Norfarhan Mohammad (Kelantan).

Selangor tidak terkecuali daripada usaha mendapatkan bintang Asia yang kini dikatakan serius memburu khidmat penyerang Indonesia, Andik Vermansyah.

Begitupun, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor, (FAS) Datuk Mokhtar Ahmad belum mahu mengesahkannya.

Pasukan-pasukan yang bersaing dalam Liga M musim depan masih ada masa sebulan lagi untuk menandatangani kontrak dengan pemain baharu.

Tarikh tutup pendaftaran bagi semua pasukan yang akan menyertai saingan Liga M 2014 adalah pada 31 Disember manakala tarikh akhir pendaftaran pemain tempatan pula pada 17 Disember depan.

Sementara itu, tarikh tutup pendaftaran bagi para pemain import pula adalah pada 4 Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Afandi Hamzah berkata, pihak JKPT telah memutuskan hanya tiga orang pemain import dibenarkan bagi semua pasukan yang bertanding dalam Liga M musim depan.

Katanya, kuota bagi tiga orang tersebut ialah dua adalah pemain daripada negara asing manakala seorang lagi dari kuota bagi pemain negara Asia.

"Seperti yang pernah kita umumkan sebelum ini, hanya tiga pemain import dibenarkan beraksi dalam sesebuah pasukan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Afandi mengumumkan pihak FAM juga sedang mempertimbangkan untuk menganjurkan Liga Bola Sepak Wanita pada tahun hadapan.

Harimau Muda A tetap waspada

Posted:

Harimau Muda A tetap waspada

Harimau Muda A tetap waspada

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

"JANGAN ambil mudah kerana apa juga kemungkinan boleh berlaku dalam bola sepak."

Demikian tegas pengendali Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee apabila diundi dalam Kumpulan A acara bola sepak temasya Sukan SEA 2013 yang bakal membuka tirainya di Stadium Zayyarthiri, Nay Pyi Taw, Myanmar pada awal Disember depan.

Biarpun dikhabarkan hanya bakal beraksi dalam empat perlawanan selepas Filipina menarik diri daripada temasya dwitahunan itu, Kim Swee tidak mahu anak-anak buahnya mendabik dada dengan reputasi selaku juara bertahan.

Faktor cuaca yang panas juga jelas beliau, mampu menjejaskan rentak permainan Harimau Muda A selain jadual perlawanan yang ketat.

"Saya difahamkan, kami bakal beraksi seawal pukul 3 petang (waktu Myanmar) dalam kesemua perlawanan peringkat kumpulan nanti.

"Jadi, mental dan fizikal pemain harus kuat terutamanya terpaksa beraksi dengan jadual perlawanan yang cukup padat dan tidak mendapat tempoh rehat yang secukupnya.

"Biarpun kekurangan aksi (seandainya Filipina menarik diri), ia bukan kelebihan buat mana-mana pasukan dalam Kumpulan A kerana kesemua pasukan dalam Kumpulan B juga beraksi empat perlawanan.

"Saya juga menasihatkan pemain supaya tidak memandang mudah cabaran mana-mana pasukan dalam kumpulan terutamanya Vietnam dan Singapura yang mampu mengecewakan kita di peringkat kumpulan," katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi di Kemboja semalam.

Selain pasukan negara, Vietnam dan Singapura, turut berada dalam Kumpulan A ialah Laos dan Brunei.

Finalis 2011, Indonesia pula diundi bersama tuan rumah, Myanmar dalam Kumpulan B bersama Thailand, Timor Leste dan Kemboja.

Justeru jelas Kim Swee, beliau mahu anak-anak buahnya menjadikan faktor cuaca yang sama sepanjang beraksi dalam kejohanan jemputan Piala BIDC 2013 di Phnom Penh, Kemboja kali ini untuk menyesuaikan diri sebelum bertarung di bumi Myanmar kelak.

Sementara itu, Kim Swee juga tidak menolak kemungkinan menurunkan skuad yang berbeza ketika berdepan Myanmar dalam aksi separuh akhir Piala BIDC 2013 di Stadium Olimpik, Phnom Penh petang ini.

"Saya mahu memanfaatkan peluang menguji barisan pemain yang berbeza, namun besar kemungkinan saya mengekalkan benteng pertahanan.

"Pada masa sama, perlawanan ini juga tidak boleh dijadikan medan mengetahui kekuatan Myanmar pada temasya Sukan SEA kelak memandangkan mereka hanya tampil dengan skuad Bawah 21 Tahun," jelas beliau.

Malaysia mara ke separuh akhir Piala BIDC 2013 apabila menjuarai Kumpulan B dengan empat mata selepas seri 2-2 dengan Kemboja sebelum mengatasi Laos 3-2.

Satu lagi separuh akhir membabitkan pertemuan antara Thailand dan Kemboja petang ini sementara final bakal berlangsung di Stadium yang sama, Ahad ini.

Selepas 'berkampung' di bumi Kemboja, skuad kendalian Kim Swee juga akan menguji skuad B-23 Jordan di tempat lawan pada 12 dan 14 November depan.

Pahang jumpa Lions XII

Posted:

Pahang jumpa Lions XII

Pahang jumpa Lions XII

Oleh NOR AZIRAN YUNUS
aziran.yunus@kosmo.com.my


AFANDI (kanan) bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam sambil ditemani Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.


JUARA Liga Super 2013, Lions XII akan membuat perhitungan dengan juara Piala Malaysia 2013, Pahang pada 17 Januari 2014 di Stadium Shah Alam bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah atau Piala Sumbangsih 2014.

Perlawanan Piala Sumbangsih merupakan perlawanan pembuka tirai bagi musim baharu Liga Malaysia dan ia mula diperkenalkan sejak 1985 dengan Selangor muncul juara sulung selepas menewaskan Pahang 2-1.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Afandi Hamzah berkata, perlawanan Piala Sumbangsih itu akan dijadikan sebagai perlawanan sulung bagi saingan Liga Super musim hadapan dan pasukan Lions XII akan bertindak selaku pasukan tuan rumah.

Kata Afandi, tujuan FAM menjadikan perlawanan Piala Sumbangsih itu sebagai perlawanan sulung Liga Super 2014 adalah untuk meningkatkan nilai persaingan serta prestij kejohanan itu serta keputusan 90 minit perlawanan itu akan memberikan mata kepada pasukan terbabit.

"Kita mahu perlawanan Piala Sumbangsih 2014 bertambah meriah dengan kedua-dua pasukan mahukan kemenangan kerana sebarang keputusan 90 minit akan memberikan mata dan pada edisi 2013 ia tidak memberikan sebarang mata.

"Jika perlawanan itu berkesudahan seri pada 90 minit maka kedua-dua pasukan itu akan berkongsi satu mata untuk Liga Super.

"Kesudahan bagi menentukan pasukan yang memenangi trofi Piala Sumbangsih pula akan ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti," kata Afandi dalam satu sidang akhbar selepas mempengerusi mesyuarat JKPT di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Kata Afandi, pihak FAM juga akan menanggung segala perbelanjaan bagi kedua-dua pasukan tersebut termasuk penginapan, makanan serta penganjuran perlawanan Piala Sumbangsih itu.

Jelasnya, pada 17 Januari itu hanya satu perlawanan sahaja bagi saingan Liga Super dan lain-lain perlawanan akan berlangsung keesokan harinya membabitkan 10 pasukan lain.

"Sebanyak 12 pasukan akan bertanding dalam saingan Liga Super 2014 manakala saingan Liga Premier pula membabitkan 13 pasukan termasuk pasukan Harimau Muda B yang sebelum ini bertanding di Liga Singapura akan kembali mewarnai saingan Liga Premier.

"Tempat pasukan Harimau Muda B di Liga Singapura pula akan kembali diambil alih oleh pasukan Harimau Muda A.

"Sepak mula saingan Liga Premier pula adalah pada 24 Januari 2014 manakala Piala Presiden pula dijadualkan pada 27 Januari 2014.

"Kami akan membuat sedikit perubahan format dalam Piala Presiden. Jika 2013 hanya 18 pasukan yang bertanding tetapi bagi musim 2014, kami ingin membuka kembali penyertaan kepada mana-mana pasukan yang mempunyai pasukan Piala Presiden untuk bertanding.

"Pasukan-pasukan yang ingin menyertai Piala Presiden 2014 boleh membuat permohonan kepada FAM sebelum 31 Disember 2013," kata Afandi lagi.

Afandi juga memberitahu, Piala FAM akan berlangsung pada bulan Mac 2014 dan setakat ini 11 pasukan sudah mengesahkan penyertaan dan tarikh tutup permohonan pada 31 Disember 2013.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved