Jumaat, 8 November 2013

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Ducati Malaysia menampilan 899 Panigale

Posted:

Ducati Malaysia menampilan 899 Panigale

Ducati Malaysia menampilan 899 Panigale

Oleh SHAWKATH AZDE


SELAIN merah tradisi Ducati, model baharu ini juga didatangkan dengan pilihan warna putih.


APRIL 2012 menandakan detik permulaan baharu buat Ducati Motor Holding S.p.A (Ducati) yang bernaung bawah empayar Volkswagen Group setelah pengeluar motosikal eksotik Itali itu diambil alih menerusi Audi AG.

Bukan mudah untuk melamar Ducati tetapi Volkswagen Group sanggup berhabis AS$1.2 bilion (RM3.8 bilion). Tanda harga itu hampir sama seperti yang dibayar oleh Facebook untuk membeli Instagram pada pertengahan tahun lalu.

Pengambilan Ducati oleh Audi AG mencetuskan pelbagai spekulasi. Ada yang mengatakan tindakan itu sebagai pengubat kepada kekesalan Presiden Volkswagen Group, Dr. Ferdinand Piech kerana pernah melepaskan peluang keemasan untuk memiliki Ducati sekitar tahun 1984.

Daripada pandangan penganalisis industri, langkah itu adalah satu strategi untuk mencabar BMW Group yang memiliki sayap motosikal (BMW Motorrad). Dalam tafsiran mudah, ini ialah peperangan imej korporat antara dua gergasi Jerman.

Di bawah payung Volkswagen Group, Ducati merekodkan penghantaran sebanyak 44,000 unit motosikal pada tahun lalu biarpun keadaan ekonomi pada ketika itu agak lesu. Di sebalik pencapaian itu, ada beberapa perkara yang disedari Ducati.

Perkembangan semasa itu diutarakan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali sewaktu penampilan rasmi model 899 Panigale di Bologna, Itali.

Selain mengakui sudah hilang taring dalam Kejuaraan MotoGP sejak beberapa tahun lalu, kedudukan Ducati telah berubah di negara sendiri. Pasaran utama Ducati kini ialah Amerika Syarikat dan bukan lagi Itali.


MODEL 899 Panigale masih mengekalkan rekaan sama seperti 1199 Panigale.


Survival Ducati

Survival jenama Ducati bergantung kepada pelanggan di negara-negara asing. Percaya atau tidak, 90 peratus produksi motosikal Ducati dieksport ke pasaran global.

Mengambil contoh Thailand, Domenicali menjelaskan, negara Gajah Putih itu merekodkan pertumbuhan pasaran sebanyak 66 peratus dan dijangka menjual sebanyak 2,500 unit motosikal Ducati pada tahun ini.

Di Brazil pula, penjualan motosikal yang baru bermula tahun ini mencecah purata jualan sebanyak 100 unit setiap bulan.

Kuasa ekonomi baharu, China turut menunjukkan peningkatan jualan model Ducati sebanyak 75 peratus dalam separuh tahun pertama 2013 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Di Malaysia, pengimport dan pengedar rasmi jenama Ducati, Next Bike Sdn. Bhd. (Ducati Malaysia) kelihatan agresif untuk meletakkan rangkaian produk jenama Itali itu dalam kedudukan utama pasaran domestik.

Dalam tempoh satu bulan sahaja, anak syarikat Kumpulan Naza itu sudah menempatkan empat unit varian dan model baharu ke beberapa segmen motosikal berbeza. Model itu ialah Hyperstrada, Hypermotard, Diavel Stripe dan Diavel Strada GP Edition.

Tidak cukup dengan itu, Ducati Malaysia menjayakan penampilan sulung model 899 Panigale di rantau Asia sewaktu Kejuaraan MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) baru-baru ini.

Ducati 899 Panigale ialah pengganti model 848 EVO dan pengenalannya bertujuan mengisi vakum pasaran di bawah kelas abangnya, 1199 Panigale.

Orientasi binaan 899 Panigale lebih cenderung ke arah penggunaan harian di jalan raya berbanding tunggangan di litar lumba.


DARI kiri: Pengarah Komersial Ducati Rantau Asia, Pierfrancesco Scalzo; Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza; Datuk SM Faisal SM Nasimuddin; Pengarah Projek Model itu mewarisi beberapa seni kejuruteraan 1199 Panigale termasuk kerangka monokok aluminium dan kaya dengan tetapan elektronik seperti tiga mod pemetaan enjin, kawalan cengkaman dan sistem brek antikunci.


Untuk mengurangkan kos binaan motosikal itu, Ducati terpaksa menggunakan material binaan berbeza dengan model 1199 Panigale.

Langkah pertama membabitkan penggunaan material aluminium pada beberapa bahagian kulit enjin berbanding logam magnesium yang digunakan pada 1199 Panigale.

Potongan kos juga membabitkan pemasangan lengan ayun kembar, tangki minyak dan sub bingkai yang diperbuat daripada keluli tahan karat. Tiada lagi material aluminium.

Sistem suspensi dan sistem brek juga berbeza. Pendek kata, komponen itu tidak kelihatan eksotik seperti apa yang terdapat pada 1199 Panigale. Tidak cukup dengan itu, 899 Panigale didatangkan bersama paparan meter jenis LCD dan lampu utama motosikal biasa.

Jika pengurangan kos itu tidak diambil, Ducati berdepan kesukaran menjadikan produknya mampu dimiliki dan menghalang capaian pelanggan yang lebih luas.

Ducati Malaysia memutuskan untuk membawa masuk model 899 Panigale dari Thailand mulai pertengahan tahun hadapan.

Bagi yang tidak dapat bersabar untuk memiliki produk eksotik itu, Ducati Malaysia akan membawa masuk model 899 Panigale dari Itali dengan harga pengenalan eksklusif serendah RM108,888 seunit. Ada berani?

Teruja menonton persembahan Russ Swift

Posted:

Teruja menonton persembahan Russ Swift

Teruja menonton persembahan Russ Swift

Oleh AFIFI HAFIZ MOHD. NOR


SWIFT melakukan aksi meletak kereta secara selari di antara dua kenderaan Subaru tanpa masalah dalam aksi di USJ City Mall, Selangor baru-baru ini .


MOTOR Image baru-baru ini melancarkan siri Subaru Russ Swift Tour ke seluruh negara untuk mempromosikan jenama Subaru di negara ini.

Siri jelajah yang bermula di The 19 USJ City Mall, Selangor itu akan diteruskan di Pulau Pinang selama dua hari bermula 30 November sebelum berlangsung Ipoh, Perak pada 13 dan 14 Disember. Program itu juga akan berada di Johor Bahru pada 21 dan 22 Disember.

Siri jelajah berkenaan menjanjikan penampilan seorang pelagak ngeri, Paul Russel Swift yang membuat persembahan dramatik dengan memandu sebuah model kereta Subaru.

Lebih terkenal dengan nama Russ Swift, dia berjaya menempa nama beberapa kali dalam Guinness World Records selain terkenal dengan kemahiran pemanduan agresif.

MENGEMUDI jentera Subaru dengan hanya menggunakan dua tayar antara tarikan unik aksi bekas pembantu pemandu rali ini.


Antaranya skil parkir selari dalam ruang sempit, pusingan J dan masa tersingkat membuat 10 donut (bulatan).

Swift, 62, mula menceburkan diri dalam bidang berkenaan sejak tahun 1980 sebagai pembantu pemandu kereta rali.

Sepanjang program dua hari di The USJ City Mall itu berlangsung, Swift mempamerkan persembahan lagak ngerinya tiga kali sehari untuk tatapan penonton.

Setiap sesi selama satu jam itu berjaya membuatkan hati para penonton berdebar-debar sehingga kedengaran jeritan di beberapa sudut litar.

Sewaktu melakukan aksi lagak ngeri, Swift sentiasa berkomunikasi sambil membuat beberapa jenaka untuk menenangkan para penonton di situ.

Ada beberapa penonton diberi peluang menaiki kereta Russ untuk menikmati pengalaman berharga sewaktu aksi lagak ngeri diadakan.

Antara aksi dipamerkan ialah seperti reverse spins, parallel parking, two-wheeling, doughnut spin dan dance routine.

Menurut Swift, lokasi meletak kenderaan di USJ City Mall lebih sempit daripada situasi biasa dan dia cuba menunjukkan aksi terbaik untuk menghiburkan para penonton.

SWIFT turut melakukan beberapa aksi lawak untuk menceriakan penonton di USJ City Mall, Selangor baru-baru ini


Katanya, ini bukan kali pertama dia membuat persembahan lagak ngeri di Malaysia.

"Kali pertama saya tiba ke negara ini ialah pada tahun 1989 semasa pelancaran model Proton Saga. Selepas itu, saya melawat Malaysia pada tahun 2000 sewaktu majlis pelancaran model Proton Waja.

Swift menggunakan empat model Subaru iaitu WRX STi, Forester, Legacy dan XV untuk menjayakan aksi ngerinya.

Antara adegan yang menarik perhatian ramai ialah ketika Swift meletak kereta Subaru WRX STi di antara dua buah Subaru XV.

Persembahan itu amat mendebarkan terutamanya sewaktu penonton meminta kereta di hadapan dan di belakang dirapatkan sebelum Swift memandu laju untuk aksi meletak kenderaan .

Jika dilihat pada ruang yang sempit itu amat mustahil untuk parkir kereta tanpa henti tetapi kepakaran Swift membuktikan sebaliknya.

UMW Toyota rai penghuni Agathians Shelter

Posted:

UMW Toyota rai penghuni Agathians Shelter

UMW Toyota rai penghuni Agathians Shelter


PENGARAH Pemasaran UMW Toyota, Mohd. Shamsor Mohd. Zain (dua dari kiri) menyampaikan angpau kepada penghuni rumah Agathians Shelter baru-baru ini.


SETIAP kali menjelang musim perayaan, UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMW Toyota) pasti mengukir keceriaan pada wajah-wajah golongan kurang bernasib baik di negara ini. Begitu juga senarionya menjelang sambutan Deepavali baru-baru ini.

Kali ini, usaha murni itu melibatkan 30 penghuni rumah perlindungan, Agathians Shelter yang terletak di Petaling Jaya, Selangor. Kanak-kanak itu ditemani seramai 20 orang sukarelawan UMW Toyota untuk satu sesi beli-belah di Sunway Pyramid, Selangor.

Selesai aktiviti beli-belah, kanak-kanak berusia antara 6 hingga 16 tahun itu kemudiannya diraikan dalam satu majlis makan malam sambil menikmati persembahan badut. Mereka juga menerima sumbangan daripada wakil pengurusan UMW Toyota.

"Salah satu tujuan kami adalah untuk menanam harapan dan memberi motivasi kepada golongan kurang bernasib baik agar menjadi yang terbaik dalam kehidupan mereka dengan mencurahkan kasih sayang seperti mana yang dinikmati kanak-kanak lain," kata Presiden UMW Toyota, Datuk Ismet Suki.

UMW Toyota sudah menjayakan program sambutan perayaan bersama rumah-rumah kebajikan sebagai sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat mereka sejak tahun 2002.

Jika ingin menghulurkan sumbangan kepada Agathians Shelter, anda boleh berbuat demikian dengan menghubungi talian 03-7954 1680.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved