Selasa, 5 November 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Pernah marah pada Johan

Posted:

Pernah marah pada Johan

Pernah marah pada Johan

SATU persatu cerita tidak elok terpalit pada pelakon kacak, Sharnaaz Ahmad. Cerita-cerita negatif tersebut hampir melumpuhkan ingatan khalayak terhadap keberkesanan lakonannya.

Khalayak hampir lupa bahawa anak muda tersebut merupakan antara pelakon pelapis lelaki baharu yang tidak patut dinafikan bakatnya. Malangnya, saban hari, bermula sejak percintaan lamanya bersama penyanyi Shila Amzah menjadi bualan, serentak itu, surut cerita tentang perjalanan kariernya.

Antara berita-berita yang tidak elok mengenai dirinya, Sharnaaz dilabelkan sebagai panas baran dan kaki pukul, terbaharu dia dilabelkan pula sebagai perampas kekasih kawan sendiri.

Semuanya gara-gara pendedahan berani pelakon Pekin Ibrahim kepada pihak media mengenai hubungan sulit yang terjalin antara tunangnya, pelakon Uqasha Senrose dengan sahabatnya, Sharnaaz sekitar dua minggu lalu.

Bagaimanapun, baik Uqasha mahupun Sharnaaz, mereka sudah menafikan dakwaan Pekin. Malah, mereka terpaksa mendedahkan kekeliruan yang timbul disebabkan ingin merancang kejutan pada majlis sambutan hari ulang tahun Pekin.

Terkini, akui Sharnaaz, hubungannya bersama Pekin sudah kembali pulih dan pintanya jangan memanjangkan spekulasi kisah mereka.

"Saya dengan Pekin sudah tiada masalah. Benda ini sudah selesai. Lagipun kami sudah berkawan lama. Sama-sama minat motor. Bila dia salah sangka hubungan saya dengan Uqasha saya terus bertemu dengan dia (Pekin). Saya kalau nak cari kekasih pun, tidaklah sampai mahu rampas kekasih kawan sendiri," ulasnya ketika ditemui pada majlis Debaran Anugerah Skrin 2013 yang berlangsung di Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

SHARNAAZ kini lebih banyak menghabiskan masa dengan memberi fokus terhadap kariernya.


Bicara Sharnaaz lanjut, jujur dia juga akui tidak pandai menipu orang mengenai soal hati dan perasaannya.

Lantaran itu, dedah pelakon berusia 28 tahun itu, selama setahun dia mengambil masa untuk pulih daripada derita cintanya dengan penyanyi Shila Amzah.

Dia juga akui pada mulanya pernah berasa marah dan dendam pada pelakon Johan As'ari yang kini dikatakan sedang bercinta dengan Shila.

"Selepas putus dengan Shila saya rasa sangat sunyi dan kosong. Balik penggambaran duduk rumah dan habiskan masa menonton televisyen.

"Saya juga tidak keluar bertemu orang, kecuali berhubung menerusi telefon atau sistem pesanan ringkas (SMS) dengan kawan-kawan rapat sahaja," dedahnya tentang kehidupannya selepas putus cinta.

Sementara dirinya bergelut membuang perasaan cinta terhadap Shila, bekas kekasihnya itu dikhabarkan pula sedang akrab dengan pelakon Johan Ashari.

Akuinya tanpa berselindung, perasaan marah terus menyelubungi diri.

"Bila tengok kemesraan hubungan Shila dengan Johan saya pernah rasa marah dan tidak rela dengan apa yang berlaku. Namun, bila saya fikir balik, Mungkin Allah sudah tetapkan yang hubungan saya dengan Shila tidak panjang. Tetapi, sejak itu rezeki saya dalam bidang lakonan mencurah-curah dan tidak pernah putus tawaran.

"Daripada situ saya mula terima hubungan Johan dengan Shila dan beranggapan buat apa mahu menyimpan dendam lagi," luahnya tanpa ditahan-tahan.

Biarpun sunyi apabila hidup tanpa kekasih, kata Sharnaaz, dia tidak terdesak untuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada kekasih orang.

Jelas Sharnaaz lagi, buat masa ini dia masih belum terfikir mencari kekasih selepas kekecewaan yang berlaku sebelum ini.

Bina badan

Sementara itu, Sharnaaz yang kini kelihatan semakin berotot itu sedang membina badan bagi memenuhi tuntutan watak dalam sebuah drama berjudul Bukan Kerana Aku Tak Cinta.

Ujarnya yang akan berlakon di samping Nelydia Senrose itu, dia membawakan watak Jebat, seorang gangster berhati kering tetapi mempunyai sikap romantis.

Sharnaaz juga mengakui, terpaksa mengunjungi pusat gimnasium setiap hari demi membina otot badannya.

"Saya kena naikkan berat badan daripada 74 kilogram hingga 80 kilogram untuk watak Jebat. Jadi terpaksa diet dan pergi gimnasium setiap hari," ungkapnya mengenai drama 60 episod untuk siaran Astro itu.

DARI kiri: Sein, Izzue Islam dan Sharnaaz tercalon dalam kategori berasingan menerusi Anugerah Skrin 2013.


Pernah berdendam

Top 5 Anugerah Skrin

Dalam pada itu, Sharnaaz berterima kasih dan berbangga kerana tercalon dalam Top 5 kategori Pelakon Lelaki Terbaik Drama untuk Anugerah Skrin 2013 (ASK2012).

Sharnaaz tercalon di samping empat pelakon senior hebat iaitu Faizal Hussein, Wan Hanafi Su, Rosyam Nor dan Azhan Rani.

"Saya sangat hormat dengan pelakon-pelakon yang turut tersenarai dalam pencalonan ini. Ia satu penghargaan buat saya bersama mereka," ujarnya yang tidak meletak sebarang harapan.

Mengulas mengenai senarai pencalonan ASK2013 kali ini yang dilihat seimbang iaitu persaingan antara pelakon senior dan junior bagi setiap kategori, dia melihatnya sebagai satu petanda yang bagus untuk industri lakonan tempatan.

Katanya, artis muda perlu mengambil contoh pembawakan lakonan artis-artis senior. Malah, dia juga mengaku mahu menyerap disiplin pelakon senior untuk memastikan jangka hayat dirinya dalam bidang seni berpanjangan.

Saya pakai duit sendiri! – Nora Danish

Posted:

Saya pakai duit sendiri! – Nora Danish

Saya pakai duit sendiri! – Nora Danish

BEBERAPA blog cuba memanipulasi kenyataan Nora dan Nedim mengenai hubungan mereka selepas dikecam dalam laman Instagram masing-masing.


BUKAN kekecohan baharu, tetapi kisah 'cinta' Nora Danish dengan Nedim Nazri kini menjadi semakin hangat.

Keintiman mereka yang kebanyakannya dipamerkan menerusi akaun Instagram milik masing-masing mencetuskan pelbagai persepsi daripada semua pengikut, pembenci, malah pemerhati bebas yang menanti perkembangan terkini hubungan baik mereka.

Terkini, kisah Nora dan Nedim menghabiskan masa lebih seminggu di kota London dalam kembara yang disifatkan sebagai percutian sekali gus menguruskan bisnes di sana menarik perhatian umum.

Ia menjadi panas apabila Nora dan Nedim memuat naik aktiviti mereka di sana selain beberapa keping gambar yang agak intim seperti berpegangan tangan, kedua-duanya juga telah mengeluarkan kenyataan tentang hubungan mereka dalam bentuk sarkarstik.

Nora yang dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp menjawab persoalan yang dikemukakan Kosmo! kepadanya dengan berhemah.

Kosmo!: Ada dua perkara yang diperlukan daripada anda, jika sudi ditemu bual. Pertama, tentang dua pencalonan serentak dalam Anugerah Skrin pada malam Jumaat lalu iaitu untuk kategori Pelakon Drama Terbaik dan Pelakon Filem Terbaik. Kedua, tentang kisah anda dan Nedim.

NORA: Persoalan tentang Nedim itu lemah sikit (ketawa). Kalau boleh, saya minta jasa baik untuk tidak menjawab persoalan tersebut atau berkaitan peribadi lagi terutama tentang kerja dia dan hal-hal berkaitan politik sebab ada pihak mula memanipulasi jawapan saya dan menjadikan ia satu agenda lain pula. Jujurnya, saya lihat sekarang hubungan kami sudah mula diheret dalam kancah politik pula.

Tapi mungkin sebab anda berdua orang terkenal dan ia menjadi bualan bila kalian terbuka mengenai hubungan dengan memuat naik gambar-gambar dalam Instagram masing-masing. Terkini, hangat juga mengenai percutian kalian di London. Komen sikit?

Sebenarnya, kalau nak tanya pasal saya, saya tak ada masalah kerana saya faham dunia selebriti, tapi bukan dia. Pada saya, hal peribadi dia, orang lain tak perlu ikut campur. Tentang percutian pula, memang kami tak kisah berkongsi gambar bersama.

Kosmo! ada menerima kiriman jumlah harga tiket penerbangan anda ke London yang mencecah RM25,000. Ia satu jumlah yang besar dan ia mula mencetuskan banyak persoalan tentang perbelanjaan tersebut. Bagaimana anda boleh katakan tentang hal ini?

Saya kira pengirim itu sungguh tidak amanah dalam pekerjaan dia. Apa masalahnya dengan jumlah tersebut? Saya bayar pakai duit saya sendiri, bukannya Nedim. Saya bekerja keras dan punya wang sendiri. Saya mampu untuk membayar perbelanjaan tersebut tanpa tanggungan sesiapa.

Susah menjadi Nora Danish sekarang?

Agaklah (ketawa). Susah sebab saya single (solo) pun saya kena, sudah ada kawan pun susah. Pening. Malah, saya tak sorok tentang dengan siapa saya berkawan dengan memuat naik di Instagram, pun orang mahu mencari benda yang boleh dijadikan hal lain pula.

Bercakap tentang Instagram, hubungan baik kalian dikecam teruk oleh haters (pembenci) akhir-akhir ini. Bagaimana kalian menanganinya?

Saya salahkan sosial media yang semakin meluas sebab dulu orang hanya mengutuk dalam blog-blog sahaja, tetapi kini secara depan-depan di dalam akaun milik kita pun mereka lakukan (ketawa). Haters (pembenci) suka cakap perkara yang mereka rasa tahu, tapi sebenarnya tak tahu apa. Saya juga sudah kaji tentang pembenci saya, yang kebanyakannya terdiri daripada budak-budak, jadi saya abaikan sahaja mereka. Nedim juga tak kisah dengan keadaan ini, dia cool. Cuma dia risau saya dihentam teruk kerana dia memang seorang yang proaktif terhadap saya.

Jadi macam mana caranya anda mahu mengawal perkara-perkara negatif ini?

Saya belajar untuk kurang memberi jawapan jika ditanya tentang hubungan atau kisah peribadi kami, berbanding kisah karier saya. Saya kira, jika saya mahu berkongsi sesuatu pun, saya akan kongsi menerusi Instagram. Jika saya muat naik sesuatu di situ, maka adalah, jika tiada, tak perlu dikorek lagi.

Oh ya, ada yang mendakwa anda tidak hadir ke malam pencalonan Top 5 Anugerah Skrin baru-baru ini kerana mengelak ditanya tentang percutian dengan Nedim. Betul ke?

Tak, saya tidak hadir bukan sebab mengelak, tapi sebab saya demam dan masih jet lag akibat perubahan zon waktu.

Jadi, apakah perasaan anda apabila dicalonkan untuk dua kategori utama serentak?

Alhamdulillah, saya sangat bersyukur terhadap kedua-dua pencalonan yang diberikan. Ini merupakan kali pertama saya tercalon dalam anugerah tersebut.

Saya kira kekuatan saya sehingga tercalon terletak kepada kedua-dua jalan cerita dan karakter yang saya bawa. Alhamdulillah, kita tengoklah, kalau ada rezeki, adalah. - MALIAH SURIP

Tomok nilai 11 peserta Idola Kecil 6

Posted:

Tomok nilai 11 peserta Idola Kecil 6

Tomok nilai 11 peserta Idola Kecil 6


BARISAN 11 peserta Idola Kecil 6 dan tenaga pengajar sudah bersedia untuk memulakan musim baharu program realiti terkenal itu.


BULAN ini bakal menyaksikan musim terbaharu program realiti kanak-kanak nombor satu negara, Idola Kecil ditayangkan melalui saluran TV9.

Program pencarian bakat cilik itu telah menjelajah ke tiga lokasi iaitu di Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur pada Oktober lalu.

Hampir 1,000 orang telah hadir untuk mencuba nasib dan hanya 28 peserta terpilih untuk ke peringkat saringan yang diadakan di Cheringin Resort, Janda Baik baru-baru ini.

Kesemua peserta telah menunjukkan persembahan yang begitu menakjubkan, namun hanya 11 peserta terpilih untuk mewarnai pentas Idola Kecil musim keenam (IK6).

Menurut Pengurus Besar TV9, Zurina Othman, walaupun musim ini TV9 hanya menjelajah ke tiga buah lokasi, namun beliau berpuas hati kerana para peserta menampilkan vokal yang sangat berkualiti.

"Ini memberi kesukaran kepada pihak penerbitan, terutamanya para juri untuk membuat pemilihan.

"Kejayaan mereka bukan sahaja berdasarkan vokal malah kehandalan serta kemahiran mereka dalam tarian dan lakonan turut diambil kira," jelas Zurina ketika sidang akhbar baru-baru ini.

Tambah Zurina, selain menyediakan platform untuk mengasah dan mempamerkan bakat terpendam mereka, Idola Kecil 6 turut memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari tutorial muzik dan menimba ilmu serta pengalaman berharga pada musim cuti sekolah seperti membentuk jati diri, bertanggungjawab dan yang paling utama adalah mewujudkan sikap setia kawan.

Pada musim ini, Idola Kecil 6 menampilkan lima peserta lelaki dan enam peserta perempuan.

Lima peserta lelaki berbakat yang terpilih ialah Abdul Razzaq Muqri Abdul Qahhar, 12, dari Melaka, Ammierul Daneal Eddy Noor, 12, dari Selangor, Danial Cheur Hamasiah, 12, dari Sabah, Muhammad Aliff Kadiron, 12 dari Johor dan Razin Aiman, 12, dari Selangor.


DARI kiri: Fuzzwayne, Cikgu Delly, Tomok dan AG Coco pada sidang akhbar Idola Kecil 6 yang diadakan di Cathay Cineleisure, Damansara baru-baru ini.


Peserta perempuan pula terdiri daripada Aby Norlila Kamaruddin, 12, dari Selangor, Aida Syazlina Mohammad Azmi, 11, dari Johor, Nur Afreena Saiful Najib, 12, dari Kuala Lumpur, Shafiqah Amira Sukor, 12, dari Pahang, Nur Emilia Natasha, 11, dari Perak dan peserta paling bongsu, Nor Aleeya Nor Edwan, 10, dari Johor.

Malah, Idola Kecil 6 juga menampilkan juri tetap yang baharu iaitu seorang penyanyi dan pelakon, Shah Indrawan Ismail atau Tomok. Setiap minggu Tomok akan dibantu oleh dua lagi juri yang berpengalaman seperti komposer, pengarah muzik ataupun penulis lirik untuk menilai dan mengadili persembahan dan vokal para peserta.

"Ini kali pertama saya menjadi juri tetap untuk program realiti TV. Saya begitu teruja dan kagum dengan bakat yang ada pada para peserta," jelas Tomok.

Menurut Tomok, pentas Idola Kecil merupakan platform terbaik untuk menggilap dan mencungkil bakat si kecil.

Idola Kecil 6 turut menampilkan tenaga pengajar yang sangat berpengalaman serta kreatif untuk membimbing dan membantu para peserta.

Fadlita Mohd. Tain atau Cikgu Delly masih lagi menggalas tugas sebagai guru vokal. Turut membantu Cikgu Delly dalam susunan muzik dan komposer ialah AG Coco atau nama sebenarnya Hezry Hafidz. Guru tari pada musim ini akan diterajui oleh Fazrin Zainudin atau Fuzzwayne.

'Abang Long' dalam kalangan peserta Idola Kecil, Alif Satar, masih lagi kekal sebagai pengacara pada musim ini.

"Saya sudah lima kali menjadi pengacara Idola Kecil. Tapi pada Idola Kecil 6, saya lihat para peserta sangat berbakat dan mempunyai vokal yang memang luar biasa. Kali ini kita boleh jangka satu persaingan yang amat sengit antara peserta dan kita akan tampil dengan konsep berbeza iaitu mereka akan diiringi dengan muzik live band," jelas Alif.

Hot FM juga akan mempromosikan secara eksklusif kesemua peserta Idola Kecil 6 dengan temu bual mingguan dan pelbagai aktiviti lain.

Idola Kecil 6 akan mula bersiaran di TV9 menerusi episod pengenalan pada 9 November, Sabtu, pukul 8.30 malam, manakala konsert mingguan pertama dijadual menemui penonton pada 16 November, Sabtu pada pukul 8.30 malam.

Seperti musim yang lalu, penonton akan berpeluang untuk mengikuti perkembangan dan gelagat peserta cilik ini menerusi Idola Kecil Klip Mini yang akan disiarkan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 6.30 petang selama dua minit bermula 11 November.

Klip mini ini akan diterajui oleh Ben Laden dari Idola Kecil 5.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved