Kosmo Online - Dunia |
- Dua gunung berapi di Indonesia meletus
- Anak presiden antara 50 korban nahas pesawat
- Singa jadi simbol status
Dua gunung berapi di Indonesia meletus Posted: Dua gunung berapi di Indonesia meletus
KARO - Dua gunung berapi di Indonesia meletus semalam dengan menyebabkan banyak penerbangan mengubah haluan manakala beribu-ribu penduduk yang berpindah terhalang daripada pulang ke kediaman mereka. Pusat Pengurusan Bencana Geologi dan Gunung Berapi menyatakan, Gunung Sinabung yang setinggi 2,600 meter memuntahkan abu setinggi 8,000 meter ke udara. Menurutnya, gunung berapi berkenaan yang terletak di barat Pulau Sumatera telah meletus beberapa kali sejak pertengahan September lalu. "Kementerian pengangkutan mengubah penerbangan dari beberapa haluan ekoran letusan terbaharu Gunung Sinabung," kata jurucakap kementerian itu, Bambang Ervan. Menurutnya, perkembangan itu turut menyebabkan lebih 6,000 orang yang dipindahkan dari kawasan sekitar Sinabung baru-baru ini tidak dapat kembali ke rumah. Di Pulau Jawa, gunung berapi paling aktif di Indonesia, Gunung Merapi menghambur abu dan asap setinggi 2,000 meter pagi semalam. "Letusan Merapi dicetuskan oleh beberapa kejadian gempa bumi kecil di sekitarnya," kata Ketua Agensi Pengurusan Bencana Negara, Purwo Nugroho. Menurutnya, letusan Gunung Merapi itu menyebabkan 600 keluarga di kawasan sekitarnya bergegas menyelamatkan diri ke beberapa buah pusat pemindahan sementara. "Namun, mereka kemudian pulang ke rumah masing-masing selepas situasi reda," ujarnya. Menurut Purwo, lebih 350 nyawa melayang manakala beberapa buah kampung musnah sama sekali selepas Gunung Merapi meletus beberapa kali sejak akhir tahun 2010. Indonesia yang mempunyai 129 gunung berapi aktif terletak dalam zon bencana dikenali sebagai Lingkaran Api di antara Lautan Pasifik dan Lautan Hindi. Pada Ogos lalu, lima orang terbunuh dan ratusan penduduk berpindah apabila sebuah gunung berapi meletus di pulau kecil di wilayah Nusa Tenggara Timur. - Agensi | |
Anak presiden antara 50 korban nahas pesawat Posted: Anak presiden antara 50 korban nahas pesawatSaudara-mara mangsa menangis di dalam bangunan utama Lapangan Terbang Kazan, Rusia selepas mendengar berita nahas tersebut kelmarin.- AFP MOSCOW - Semua 50 penumpang dan anak kapal terbunuh apabila sebuah pesawat Boeing 737-500 terhempas di bandar Kazan, Rusia kelmarin. Kazan yang terletak sekitar 800 kilometer ke timur bandar raya ini merupakan ibu negeri wilayah Tatarstan. Turut menemui ajal termasuk anak lelaki Presiden Tartarstan, Rustam Minnikhanov dan seorang ketua Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB), Alexander Antonov. Nahas berlaku apabila pesawat milik Penerbangan Tartastan itu meletup dan terbakar ketika ia menyentuh landasan di Lapangan Terbang Kazan untuk pendaratan kali kedua. "Pesawat berusia 23 tahun itu berlepas dari Lapangan Terbang Domodedovo di sini pada jam 6.25 petang (waktu tempatan) sebelum terhempas sejam kemudian," kata beberapa pegawai yang dipetik agensi berita Interfax. Beberapa gambar menunjukkan serpihan Penerbangan U363 bertaburan selepas kebakaran dipadamkan oleh pasukan bomba. "Kedua-dua juruterbang dan pembantunya mempunyai pengalaman luas mengendalikan pesawat," kata seorang jurucakap yang dipetik Interfax. Pesawat itu yang diselenggara mengikut jadual dilaporkan tidak mengalami sebarang masalah teknikal sebelum berlepas. Ketika kejadian terdapat angin kencang dengan suhu sejuk hampir sifar dicatatkan di bandar berkenaan. Dalam pada itu, pihak berkuasa Rusia masih menyiasat punca nahas dengan tumpuan kini diberi kepada faktor kesilapan juruterbang atau masalah teknikal pada pesawat berkenaan. - Agensi | |
Posted: Singa jadi simbol statusSEORANG lelaki dikenali sebagai Humaid AlBuQaish duduk di atas bumbung kereta Mercedes sport bersama singa peliharaannya. ABU DHABI - Seorang pemuda di negara Teluk menyiarkan gambar di laman sosial Instagram yang menunjukkan dia bermain dengan singa di hadapan beberapa buah kereta sport sebagai simbol kemewahannya. Akaun Instagram tersebut yang setakat ini memiliki lebih 250,000 pengikut menggunakan nama Humaid AlBuQaish. Lelaki berkenaan kerap memuat naik gambarnya berdampingan dengan beberapa ekor singa dan cheetah. Setakat ini, masih tidak dapat dipastikan tentang pekerjaan AlBuQaish tetapi dia jelas memiliki kekayaan yang didambakan oleh ramai orang. Menurut pengurus Taman Hidupan Liar Ras Al-Khaimah di Emiriah Arab Bersatu, Jasim Ali, binatang buas itu kini dianggap sebagai simbol status dalam kalangan golongan kaya di Teluk. "Seekor singa putih yang jarang didapati dijual pada harga AS$50,000 (RM159,275) "Jika seseorang itu membeli haiwan yang amat mahal, dia mahu menunjukkan bahawa dia berupaya membeli apa sahaja yang dia mahu di dunia ini," kata Jasim "Jika dia menjinakkan binatang buas seperti singa, dia mahu seluruh dunia tahu tentang keberanian dan kejantanannya," tambah pengurus tersebut. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan