Jumaat, 18 Oktober 2013

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Lexus ES tampil dengan tiga varian

Posted:

Lexus ES tampil dengan tiga varian

Lexus ES tampil dengan tiga varian

Oleh AFIFI HAFIZ MOHD. NOR

PENYERTAAN Lexus dalam pasaran Malaysia pada 2007 menyaksikan jenama mewah lebih dinamik berbanding tahun-tahun sebelumnya yang lebih dikuasai jenama automotif Eropah. Entiti perniagaan yang bernaung bawah payung UMW Toyota Motor itu pada awalnya menguji pasaran menerusi pengenalan dua model iaitu GS 300 dan LS460L.

Selang dua tahun kemudian, Lexus Malaysia mula membawa masuk beberapa model baharu untuk mempelbagaikan tawaran dalam pasaran domestik. Antaranya melibatkan keluarga Lexus IS, kenderaan utiliti sukan RX, model hibrid Lexus CT200h serta rangkaian terkini GS dan LS.

Bukan sekadar melambakkan pelbagai model mewah ke pasaran, Lexus Malaysia juga mengorak langkah untuk menawarkan penyelesaian menyeluruh untuk para pemilik jentera jenama Jepun itu menerusi pembukaan pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) di beberapa bandar utama.

Premis Lexus Mutiara Damansara membuka pintu kepada pengguna tempatan pada 2007 sebelum disusuli oleh Lexus Pulau Pinang tiga tahun kemudiannya. Kemudian pada awal Mac 2011, sayap perniagaan Lexus diluaskan ke Johor. Pembukaan terbaharu adalah Lexus Sungai Besi di ibu negara pada awal tahun ini.

Sejak diperkenalkan sehingga awal tahun ini, Lexus Malaysia berjaya menjual sebanyak 4,300 unit kenderaan. Lebih signifikan, lonjakan jualan model jenama itu bermula pada tahun lalu apabila merekodkan catatan sebanyak 1,500 unit.


RUANG dalaman rangkaian model ES lebih luas berbanding model Lexus IS dan GS.


Bagi meluaskan capaian dalam pasaran, Lexus Malaysia mengembangkan portfolio produk dengan pengenalan rangkaian keluarga terbaharu iaitu Lexus ES. Siri itu mengisi vakum antara rangkaian Lexus IS (Sporty) dan GS (sedan eksekutif).

Kemunculan rangkaian generasi keenam itu juga membuka lembaran sejarah baharu kerana Malaysia adalah negara pertama yang menerima model ES dengan pemanduan sebelah kanan di rantau ASEAN.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ismet Suki berkata, rangkaian ES diletakkan dalam segmen sederhana mewah tetapi tawaran harga tergolong seperti kenderaan dalam segmen kompak premium. Beliau juga optimis rangkaian ES akan mengekori jejak IS untuk muncul sebagai model paling laris tidak lama lagi.

Bertempat di Life Center Kuala Lumpur, Lexus Malaysia memperkenalkan tiga produk dalam rangkaian ES iaitu ES 250, ES 250 Luxury dan ES 300h. Lebih tepat, dua jentera dengan enjin pembakaran dalaman dan satu model hibrid.

Mendokong falsafah Neo Luxury & Neo Smart, siri ES mencerminkan usaha progresif mencapai kemewahan pada masa sama mengetengahkan teknologi kecekapan penggunaan bahan api bagi penjagaan alam sekitar.

Ketiga-tiga varian itu menggunakan enjin sama iaitu jenis empat silinder sebaris DOHC. Bagi ES 300h, enjin diadun bersama Atkinson Cycle memandangkan ia sebuah model hibrid.

Rangkaian ES mengetengahkan imej progresif dengan kehalusan seni bina yang menjadikannya kelihatan bersih. Garis badan yang bersambung daripada bahagian hadapan sehingga belakang menyerlahkan lagi kekemasan susuk tubuhnya.

Signatur lazim sebagai sebuah produk Lexus iaitu DRL LED berbentuk anak panah turut disatukan dengan perumah set lampu utama hadapan. Model ES 250 menggunakan lampu jenis halogen manakala dua beradik yang lain dilengkapi lampu HID.

Bahagian belakang diserikan dengan padanan set lampu belakang dan bampar yang disatukan bersama peresap udara. Bagi ES 300h, jurutera Lexus memasang penstabil udara berbentuk sirip pada bampar belakang untuk mencetuskan gambaran sebuah jentera emisi rendah.


DARI kiri: Ismet, Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Datuk Takashi Hibi dan Ketua Jurutera Lexus International, Toshio Asahi pada majlis pelancaran rangkaian Lexus ES di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Buka sahaja pintu ES, elemen kemewahan dan keselesaan pantas menjamu mata. Setiap aspek binaan ruangan kabin diberi perincian khusus untuk meneruskan warisan kejuruteraan Lexus.

Ruang kabin keluarga adalah terbaik dalam kelasnya. Malah kadar keluasan ruang kelegaan kaki penumpang turut ditingkatkan agar lebih panjang berbanding keluarga Lexus IS dan GS.

Penumpang belakang kini boleh menetapkan pilihan audio, kekuatan bunyi dan suhu pendingin hawa menerusi konsol kawalan di bahagian kerusi belakang.

Bagi model ES 250, kerusi dibaluti dengan material kulit lembut manakala ES 250 Luxury dan ES 300h menggunakan produk kulit semi-anline.

Jika memilih model ES 250 Luxury dan ES 300h, perjalanan anda menjadi mudah hasil bantuan sistem navigasi yang didatangkan sebagai ciri standard.

Ketiga-tiga varian itu ditawarkan dalam lima pilihan warna iaitu putih, hitam, perak, kelabu dan perang.

Bagi 200 orang pembeli pertama, mereka akan menerima pulangan tambahan berupa servis percuma selama tiga tahun beserta cukai jalan dan insurans selama satu tahun.

Perjalanan Lexus Malaysia bakal memasuki fasa pengembangan yang lebih rancak menjelang tahun hadapan.

Ismet ada menyatakan, pihaknya bakal meluaskan jajahan jenama Lexus di tiga kawasan baharu iaitu Melaka, Kuching (Sarawak) dan Ipoh (Perak). Sama-sama kita saksikan apakah akan berlaku selepas itu.

Hayat Land Cruiser 60 tahun

Posted:

Hayat Land Cruiser 60 tahun

Hayat Land Cruiser 60 tahun

Oleh MUHAMMAD MD TAJUDIN


JERIJI hadapan menonjolkan ekspresi mewah.


BUKAN mudah membuat keputusan untuk bertukar kenderaan baharu terutama untuk pengguna berkeluarga.

Lazimnya SUV bersaiz penuh boleh memuatkan tujuh penumpang sekali gus, tetapi jika kenderaan sekecil Perodua Alza atau Nissan Grand Livina jumlah kerusinya sama tetapi perlu berhimpit.

Sebenarnya terdapat beberapa buah lagi SUV yang didatangkan dengan tujuh tempat duduk seperti Mitsubishi Pajero Sport, Kia Sorento, Land Rover Discovery, Volvo XC90 dan terbaru ialah Hyundai Santa Fe.

SUV bersaiz penuh itu sebenarnya sesuai untuk individu yang tidak reda dilihat memandu MPV besar yang kadangkala nampak seperti kotak empat segi dengan roda.

Sejarah SUV sebenarnya sudah lama dengan nama asalnya 4X4. Perubahan cita rasa dan keperluan semasa menyebabkan kenderaan itu diperbaiki ke arah gaya hidup urban dan diberi beri gelaran baharu iaitu sport utility vehicle (SUV).

Sebelum itu terdapat beberapa raja 4X4 seperti Range Rover dan Toyota Land Cruiser. Tahukah anda Toyota Land Cruiser sebenarnya sudah berada di pasaran lebih daripada 60 tahun?

Sepanjang tempoh tersebut, Land Cruiser sudah melalui pelbagai teknologi bagi mengasah lagi keupayaannya sama ada di atas permukaan jalan biasa dan lasak. Namun pada masa yang sama menarik daripada segi penampilan, peralatan, keselesaan dan praktikal.

Baru-baru ini Toyota telah memperkenalkan Land Cruiser 2014 dengan gayaan baharu, kemasan dalaman dan pengendalian yang ditambah baik.

Pada bahagian depan, jeriji depan yang terdiri daripada lima batang yang menegak lebih menonjol dan nampak begitu gah sekali. Lampu utama kini digabungkan sekali dengan lampu LED siang hari (DRL) dan kedudukan set lampu tersebut dipasang lebih tinggi untuk mengelakkan kerosakan semasa memandu laluan off-road.

Bamparnya pula direka dengan dua lapis atau tingkat yang turut berfungsi bagi melindungi lampu utama. Standard untuk dua varian berbeza ialah dua jenis saiz rim iaitu 17 atau 18 inci.

Saiz tersebut memang kecil untuk sebuah SUV besar dan untuk kaki modikasi gayaan bandar pasti rim itu bakal diganti dengan rim paling kecil pun bersaiz bersaiz 20 inci.

Pada bahagian dalaman pula, papan pemuka diganti baharu dengan fokus kepada bacaan yang lebih mudah untuk pemandu. Konsol tengah diberi panel suis baharu untuk teknologi kawalan kenderaan semasa di atas jalan biasa dan luar.


SISTEM suspensi model ini telah ditala untuk membolahkannya digunakan sebagai sebuah kenderaan harian.


Tombol tersebut terdiri daripada lima mod Multi-Terrain Select dan lima jenis Crawl Control. Turut disekalikan ialah suis untuk pacuan semua roda dan Adaptive Variable Suspension.

Untuk lebih mudah dan mesra pengguna, Toyota memasangkan skrin berwarna TFT 4.2 inci. Fungsi yang dipaparkan ialah meter kecuraman, operasi kawalan cengkaman (traction control) pada setiap roda dan status differential locks.

Pemandu boleh membuat kawalan melalui butang pada stereng dan opsyen tambahan seperti amaran tekanan tayar, laras lampu utama, pengesahan nyah aktif kawalan cengkaman dan amaran titik buta (blind spot).

Teknologi radar

Selain daripada itu, akses kepada kerusi barisan ketiga diperbaiki dengan mengubah sudut baring kerusi barisan kedua dari 33.8 darjah kepada 46 darjah.

Mengemudi sebuah SUV yang besar bukanlah tugas yang mudah dan menyedari hakikat itu Toyota melengkapi Land Cruiser dengan Blind Spot Monitor dan sistem Rear Cross Traffic Alert.

Kedua-dua sistem tersebut menggunakan radar yang sama bagi mengesan kenderaan yang semakin hampir sama ada dari sisi yang tidak mampu dilihat melalui cermin belakang atau cermin sisi.

Jika terdapat sebarang kenderaan yang mendekati, sistem itu akan memberi amaran melalui nyalaan pada cermin sisi dan mengeluarkan bunyi amaran.

Dari segi casis pula, Land Cruiser mengekalkan teknologi klasik badan di atas rangka yang telah teruji semasa pemanduan off-road.

Teknologi tersebut bagaimanapun tidak mengorbankan pemanduan harian Toyota yang menimbal balas melalui talaan pada sistem suspensi standard dan Kinetic Dynamic Suspension (KDSS) pada varian yang lebih premium.

Pada suspensi standard, prestasi mendapan (damping) dioptimumkan manakala untuk KDSS pula, ketebalan dan diameter pada beberapa komponen ditingkatkan. Bar antioleng depan turut diperbaiki supaya pengendaliannya lebih lancar dengan semakan semula pada pemindahan berat dari depan ke belakang sewaktu mengambil selekoh.

Untuk kuasa pula, Land Cruiser masih dipadankan dengan enjin 3.0 liter turbo diesel berkuasa 188hp dan 420Nm tork yang kemudiannya dipadankan dengan transmisi lima kelajuan.

Enjin empat silinder, 16 injap itu kini mematuhi piawaian emisi Euro 5+ tanpa penurunan kuasa enjin. Untuk yang berminat, Land Cruiser sebenarnya tidak dibawa masuk ke dalam pasaran tempatan kecuali model yang dibaik pulih (recondition).

Walaupun Land Cruiser jarang dilihat di atas jalan raya namun senario itu berbeza sama sekali di Sabah dan Sarawak yang begitu popular seolah-olah di situlah habitatnya!

Air Blade bawa pembaharuan

Posted:

Air Blade bawa pembaharuan

Air Blade bawa pembaharuan

Oleh SHAWKATH AZDE

SELAIN hitam emas, pilihan warna disediakan ialah putih dan hitam perak.


SEANDAINYA mahu kekal relevan dalam pasaran, sesebuah entiti perniagaan perlu bijak memperkenalkan inovasi baharu sebagai usaha untuk menambat hati pelanggan tetap. Inovasi yang ditonjolkan perlulah membawa manfaat serta praktikal dengan keperluan semasa.

Itu pendekatan yang berjaya diimplimentasi oleh Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (Boon Siew Honda) sewaktu melancarkan model skuter Honda PCX 150 akhir tahun lalu. Siapa sangka, syarikat yang terkenal dengan jentera kapcai itu akhirnya berjaya mencipta penanda aras baharu dalam segmen skuter domestik.

Boon Siew Honda terus mencipta momentum melalui pengenalan Air Blade beberapa bulan lalu. Berada dalam liga 125cc, model berkenaan membuktikan keupayaan apabila membuka dimensi baharu menerusi penampilan beberapa inovasi terkini.

Mungkin pembaharuan yang diadun bersama Air Blade nampak remeh tetapi jangan cepat skeptikal, manfaatnya hanya disedari bila anda berdepan dengan beberapa situasi yang tidak dijangka.

Prestasi lampu hadapan jenis projektor berjaya menawarkan pencahayaan yang cukup terang. Sudah pasti ia memberi kelegaan bagi mereka yang terpaksa menunggang pada waktu malam atau terpaksa menyusuri kawasan yang tiada lampu jalan.

Ruang simpanan barang yang ada di bawah pelana membolehkan pemilik menempatkan barangan berserta topi keledar jenis separuh tanpa sebarang masalah. Bagaimanapun, kebuk simpanan itu tidak berupaya menampung kapasiti simpanan sebuah topi keledar jenis penuh.

Jangan menggelabah jika anda terlupa lokasi Air Blade kerana Honda ada membekalkan peranti jarak jauh yang berfungsi seperti anjing pengesan. Kunci skuter itu ada butang kawalan jauh. Picit butang pada kunci itu, Air Blade akan memberi signal dengan bunyi beep dan kerdipan lampu isyarat membelok.

Itu perkara yang penulis alami ketika berdepan dengan kesukaran mencari skuter Air Blade di celah ribuan motosikal sewaktu Kejuaraan MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang minggu lalu.

Bukan itu sahaja, butang itu juga akan mengaktifkan dua unit lampu kecil di bahagian kemasukan kunci dan bawah pelana. Tujuan sebenar adalah untuk memudahkan anda memasukkan kunci atau mencari barang di ruangan simpanan apabila berada di kawasan gelap.


LAMPU belakang skuter ini menggunakan lampu jenis LED untuk paparan yang lebih jelas.


Semua maklumat tunggangan dipaparkan menerusi instrumen meter analog dan digital. Skrin digital LCD dengan latar belakang pencahayaan biru mempamerkan status semasa bekalan petrol, trip perjalanan, odometer dan jam.

Sistem CBS

Sepanjang sesi tunggang uji sejauh 400 kilometer (km), proses penyampaian kuasa agak lancar namun ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki.

Penulis mendapati hantaran kuasa enjin kepada roda belakang mengambil sedikit masa biarpun pendikit telah dipulas. Perkara itu jelas terasa apabila mahu mengemudi jentera keluar dari kawasan selekoh.

Umum diketahui, teknologi sistem brek kombinasi gabungan (CBS) roda hadapan dan belakang pada Air Blade menggalas tugas membantu mengawal kestabilan jentera ketika ingin mengurangkan kadar kelajuan.

Apabila tuil brek kiri ditarik, sistem akan mengaktifkan kuasa membrek pada kedua-dua roda. Secara jujur, lebih baik jika ada butang untuk mematikan fungsi sistem berkenaan agar penunggang boleh mengawal kelajuan skuter dengan menggunakan brek belakang sahaja khususnya di laluan berselekoh.

Selain itu, prestasi sistem CBS Air Blade sama seperti yang dialami pada model PCX 150. Kedua-duanya ada sela masa untuk memperlahankan atau memberhentikan jentera sepenuhnya.

Keselesaan tunggangan banyak dibantu dengan fork hadapan dan sistem suspensi kembar di bahagian belakang. Tugas yang dimainkan boleh diberi pujian. Penyumbang lain sudah semestinya pelana empuk dan lebar Air Blade.

Kelajuan maksimum yang diperoleh ialah 110km sejam (km/j) tetapi apabila berdepan dengan angin kuat, kurangkan kadar kelajuan agar anda mampu mengawal jentera dengan lebih baik. Satu tangki penuh petrol boleh mencapai jarak sekitar 130km. Itu catatan penulis apabila mengekalkan kelajuan tunggangan antara 100km/j hingga 110km/j tanpa henti.

Secara peribadi, penulis merasakan Air Blade berupaya membawa impak dalam segmen skuter 125cc namun sejauh mana kejayaannya ditentukan oleh pengguna seperti anda.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved