Kosmo Online |
- Amalan berintegriti penting untuk memperkasakan profesion perguruan
- Polis Selangor tahan tiga suspek, rampas 8,179 DVD haram
- ASEAN dijangka atasi Amerika Syarikat sebagai rakan dagang kedua terbesar China
Amalan berintegriti penting untuk memperkasakan profesion perguruan Posted: Amalan berintegriti penting untuk memperkasakan profesion perguruan23/09/2013 9:26pm KUALA LUMPUR - Amalan berintegriti dalam kalangan guru amat penting untuk melahirkan warga pendidik yang beretika tinggi dalam usaha memperkasakan profesion perguruan di negara ini. Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Kementerian Pendidikan, Tuan Sulaiman Wak berkata, integriti merangkumi aspek seperti berdisiplin, mematuhi tatatertib dan tidak salah guna kuasa yang perlu diamalkan supaya profesion perguruan terus dihormati dan mampu melahirkan modal insan berkualiti. "Saya ingin mengajak kembali kepada apa yang dijanjikan para guru yang menuntut agar melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan sebagai guru sebaik mungkin. "Guru perlu elak salah laku kuasa dan melanggar peraturan yang ditetapkan di bawah perintah am yang boleh menjejaskan sistem pendidikan negara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran Perdana Minggu Integriti IPG 2013 di sini, hari ini. Ditanya mengenai kes baru-baru ini melibatkan seorang guru disiplin di sini yang didakwa mencabul pelajarnya, Tuan Sulaiman berkata ia merupakan kes terpencil namun kementerian tetap memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan guru berkenaan sekiranya dibuktikan bersalah. - Bernama |
Polis Selangor tahan tiga suspek, rampas 8,179 DVD haram Posted: Polis Selangor tahan tiga suspek, rampas 8,179 DVD haram23/09/2013 8:59pm SHAH ALAM - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor menahan tiga suspek dan merampas 8,179 keping cakera video digital (DVD) haram bernilai RM60,000 di sebuah kondominium mewah di Petaling Jaya Jumaat lepas. Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, suspek berkenaan ialah seorang lelaki warga Myanmar berusia 30 tahun yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan dua penduduk tempatan dipercayai penjual serta pembungkus DVD haram untuk sebuah sindiket. Beliau berkata, polis turut menemui sepasang gari, lampu suluh, dua kelopak peluru pistol, sarung pistol, peluru plastik, peluru bebola besi dan sebilah pisau 'Luminox' di kondominium berkenaan. Siasatan awal terhadap suspek lelaki warga tempatan itu membawa polis ke sebuah premis di Amcorp Mall, Petaling Jaya pada hari sama dan menemui sepucuk pistol tiruan hitam jenama Milspec dan satu kelopak peluru kosong. Mohd. Shukri berkata, suspek ditahan reman dari Sabtu lepas hingga esok dan kes DVD haram disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Penapisan Filem 2002 manakala kes pistol tiruan disiasat mengikut Seksyen 2 Akta Senjata Api 1959. Beliau berkata siasatan juga dijalankan bagi mengetahui operasi sindiket penjualan DVD haram yang disyaki beroperasi sejak tahun lepas bagi pasaran di negeri ini. - Bernama |
ASEAN dijangka atasi Amerika Syarikat sebagai rakan dagang kedua terbesar China Posted: ASEAN dijangka atasi Amerika Syarikat sebagai rakan dagang kedua terbesar China23/09/2013 8:47pm BEIJING - ASEAN dijangka mengatasi Amerika Syarikat sebagai rakan dagang kedua terbesar China dalam masa tiga hingga lima tahun, kata Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Perdagangan, Liang Wentao. Beliau berkata pada masa ini, volum dagangan antara China dan Amerika Syarikat hanya antara AS$40 bilion dan AS$50 bilion lebih tinggi daripada volum dagangan dengan ASEAN. Melihat kepada kadar peningkatan semasa itu, Liang kekal optimis bahawa ASEAN akan tidak lama lagi mengatasi Amerika Syarikat untuk menjadi rakan dagang kedua terbesar China. Bercakap pada sidang media sempena lawatan oleh wartawan ASEAN, beliau berkata, pada lapan bulan pertama tahun ini, dagangan dua hala antara China dan Asean mencecah US$284.31 bilion, naik 12.5 peratus tahun ke tahun, mewakili 10.5 peratus daripada jumlah dagangan asing pada tempoh yang sama. "Pada 2012, dagangan dua hala antara China dan ASEAN berjumlah AS$400 bilion dengan kadar purata pertumbuhan tahunan sebanyak 22 peratus, 7.3 kali ganda lebih tinggi daripada sepuluh tahun lalu. "Bagaimanapun, volum dagangan antara China dan Amerika Syarikat naik 6.6 peratus tahun ke tahun, daripada Januari hingga Ogos tahun ini," katanya. Pada masa ini, ASEAN adalah rakan dagang ketiga terbesar China, selepas Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat. - Bernama |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan