Rabu, 4 September 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Konsert tarian kumpul dana

Posted:

Konsert tarian kumpul dana

Konsert tarian kumpul dana

Oleh ADLAN JAAFAR
adlan.jaafar@kosmo.com.my

AISHY dan Apshy ketika membuat persembahan di studio tarian tempat dia belajar.


PERSONALITI kedua-dua adik-beradik ini amat berlainan. Kakaknya lebih ringan mulut berbanding adiknya yang pemalu dan kurang bercakap.

Malah, anak sulung daripada dua orang adik-beradik, V. Apshyarah, 17, tampak lebih muda berbanding adiknya, Aishwariyah, 16.

Sungguhpun berbeza, mereka berdua berkongsi minat yang sama iaitu tarian, satu seni yang diterokai sejak 11 tahun lalu. Adik-beradik ini menguasai tarian balet, tap, kontemporari, moden dan lirik yang menggabungkan teknik-teknik balet, jazz dan kontemporari.

Walaupun demikian, Aishwariyah atau lebih mesra dipanggil Aishy menggemari tarian balet, manakala kakaknya, Apshy pula sukakan tarian tap.

Bakat mereka telah diasah oleh pengasas Dancesteps Studio, Shirena Hamzah dan Clara Lim yang pernah memenangi anugerah tarian tap di Festival Tarian Antarabangsa Hawaii 2002.

Mereka mengakui bahawa mungkin juga bakat menari diwarisi daripada kedua-dua ibu bapa, V. Dhya, 49 dan V. Geetha, 42, juga banyak terlibat dalam acara tarian ketika muda dahulu.

Sungguhpun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan kesakitan, namun ia tidak memutuskan semangat mereka untuk terus mendalami seni tari. Tidak terhad persembahan di pentas, bakat kedua-dua gadis remaja ini akan dimanfaat untuk satu tujuan murni.

Pada 27 September ini, mereka akan mengadakan sebuah konsert tarian amal, Dance Effect Concert 2013, bertempat di The Black Box MAPS @ Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.

Dance Effect Concert 2013 bertujuan mengumpul dana untuk didermakan kepada empat buah badan sukarelawan iaitu Girl Effect, Persatuan Impian Kanak-Kanak Malaysia, Fugee School dan IQ70 plus.

AISHY mengakui sentiasa meminati tarian dan terus bersama walaupun telah meningkat usia nanti.


Mereka akan mempersembahkan 12 buah karya koreografi berbeza merangkumi semua tarian yang dikuasai dalam tempoh satu jam setengah. Di samping itu, penari terkenal, Ramli Ibrahim turut membuat persembahan pada hari yang sama.

Idea Dance Effect Concert 2013 sebenarnya merupakan ilham kedua-dua remaja itu. Segala-galanya bermula pada tahun 2011 ketika mereka sedang melakukan kajian untuk projek bagi subjek Geografi sekolah.

"Saya sedang melayari internet untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan. Dalam pencarian, kami menjumpai sebuah pergerakan yang dikenali sebagai Girl Effect dan telah menonton sebuah video yang memaparkan keperitan seorang kanak-kanak perempuan," cerita Aishy.

Potensi remaja

Menurutnya, Girl Effect merupakan sebuah pergerakan mencari potensi remaja-remaja perempuan yang bertujuan mengakhiri kitaran kemiskinan mereka.

"Ia berkenaan untuk menonjolkan bakat mereka dan mengubah dinamik ekonomi dan sosial dengan menyediakan gadis-gadis ini sumber yang spesifik, berkuasa dan relevan.

"Pergerakan ini telah diwujudkan oleh Yayasan Nike dengan kerjasama Yayasan NoVo, Yayasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Coalition for Adolescent Girls," jelasnya.

Terkesan tatkala melihat video tersebut, Apshy serta Aishy mengadakan sebuah projek dipanggil FlashMob Girl Effect Malaysia di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur pada bulan April tahun yang sama. Projek yang bertujuan meningkat kesedaran orang ramai mengenai badan tersebut dan berjaya menarik ramai peserta, malah orang ramai yang lalu-lalang turut menyertai mereka.

Atas sambutan menggalakkan, Apshy dan Aishy turut mengadakan projek Flash Mob yang sama di pusat beli-belah 1Utama dan Bangsar Village pada tahun yang sama.

KEDUA-DUANYA akan melakukan sebuah konsert tarian secara besar-besaran pada akhir bulan September ini.


Selepas berehat selama setahun atas tuntutan pelajaran, Aishy dan Apshy mendapat ilham untuk mengadakan persembahan untuk kebajikan pada skala besar, Dance Effect Concert 2013 yang diadakan bersama badan bukan kerajaan, Friends To Mankind.

Apshy dan Aishy kini berlatih antara dua hingga tiga jam sehari untuk memastikan kesemuanya berada dalam keadaan rapi dan jitu selain meletakkan sasaran untuk mengutip derma sebanyak RM100,000.

Sementara itu, ibu mereka tersenyum apabila ditanya mengenai cara dia membesarkan anak sehingga kedua-duanya boleh berfikir untuk membuat kerja-kerja amal pada usia yang muda.

"Saya membesarkan anak-anak sama seperti ibu bapa lain, kami sokong setiap minat mereka seperti menari. Apabila mereka mahu mengadakan konsert ini, saya kerap mengingatkan mengenai komitmen yang mesti diberi sepenuhnya.

"Saya fikir, remaja ketika membesar harus menjelajahi dan mengetahui semua perkara dalam kehidupan ini supaya menjadikan mereka lebih terbuka," kata Geetha.

Konsert tersebut akan turut diserikan dengan kehadiran pelakon kelahiran Kanada yang terlibat aktif dalam bidang sukarelawan, Serinda Swan.

Kini, Apshy sedang menuntut di Kolej Taylor dalam bidang Seni Liberal, manakala adiknya akan melanjutkan pengajian pada peringkat ijazah di kolej yang sama.

Projek CAREton bantu Orang Asli

Posted:

Projek CAREton bantu Orang Asli

Projek CAREton bantu Orang Asli


GAINE (dua dari kanan) melancarkan Projek CAREton di ibu negara baru-baru ini.


BERMULA 1 Ogos lalu sehingga 30 November ini, orang ramai boleh menderma pelbagai jenis kotak minuman di pusat pengumpulan kitar semula di Yayasan Buddha Taiwan Malaysia, pusat beli-belah Publika, Kuala Lumpur dan pasar raya AEON terpilih bagi menjayakan Projek CAREton anjuran Nestle (Malaysia) Berhad (Nestle Malaysia) dengan kerjasama Tetra Pak (Malaysia) Sdn. Bhd. (Tetra Pak).

Pengarah Urusan Tetra Pak, Gaine Clarke berkata, Projek CAREton bertujuan mengumpul sebanyak 1.65 juta kotak minuman untuk dikitar semula bagi membantu lima keluarga Orang Asli di negara ini.

Keluarga-keluarga terlibat akan dipilih penganjur menjelang akhir program amal itu nanti.

"Kotak-kotak yang dikitar semula itu kemudian akan diserahkan kepada badan bukan kerajaan, Epic Homes yang akan menjalankan kerja-kerja pembaikan lima rumah Orang Asli itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Projek CAREton di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Clarke, melalui projek seperti ini, pihaknya mahu meningkatkan kadar kitar semula kotak minuman di Malaysia.

"Sebagai sebuah syarikat pemprosesan makanan dan penyelesaian pembungkusan terkemuka di dunia, kami komited untuk mempromosikan budaya kitar semula dalam kalangan masyarakat di negara ini.

"Ini diharapkan dapat memulihara alam sekitar demi kepentingan generasi akan datang," katanya.

Pada tahun lalu, projek yang sama itu telah berjaya mengumpul 300,000 kotak minuman terpakai. Hasil kutipan tersebut dikitar semula sebagai 10,000 buah buku latihan dan 100 unit perabot untuk kegunaan murid-murid di sekolah.

Menyentuh mengenai pembuatan bumbung dengan menggunakan kotak minuman terpakai, Clarke memaklumkan penggunaan kotak minuman untuk dijadikan bumbung dilihat lebih tahan berbanding zink.

"Lagipun, kotak minuman terutama keluaran Tetra Pak mempunyai tujuh lapisan yang diperbuat daripada bahan fiber, polietilena dan kepingan aluminium dengan daya tahan yang tinggi.

"Selepas kotak-kotak ini dikitar semula, pelbagai barang dapat dihasilkan selain bumbung rumah," jelas beliau sambil memaklumkan pihaknya akan mengasingkan bahan-bahan berasaskan polietilena dan aluminium dalam setiap lapisan kotak terlebih dulu sebelum proses kitar semula.

Keterangan lanjut mengenai projek boleh didapati di laman web Tetra Pak di www.tetrapak.com. – SUHANA VERU

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved