Ahad, 22 September 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Aidh berkarya di sebalik tirai besi

Posted:

Aidh berkarya di sebalik tirai besi

Aidh berkarya di sebalik tirai besi

Oleh MEGAT RAMLI MEGAT RAOF

KETUA Pusat Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM, Prof. Dr. Muhamad Rahimi Othman (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Aidh Abdullah di kampus UiTM Shah Alam baru-baru ini.


DIPENJARA selama 10 bulan, kira-kira 15 tahun lalu, seorang ulama Arab Saudi, Dr. Aidh Abdullah al Qarni menempuh kehidupan yang penuh dengan kesedihan sepanjang tempoh menjalani hukuman itu.

Beliau yang dilahirkan di selatan Arab Saudi hanya mampu menatap gerigi besi penjara tanpa merasai kasih sayang ibu bapa, isteri dan anak-anak yang amat dirinduinya.

Pemikir Islam itu dilaporkan ditahan kerana dituduh menerbitkan beberapa bait syair berkaitan politik.

Pada suatu hari, beliau terdengar seorang pemuda yang sedang menunaikan solat dalam sebuah masjid yang terletak di luar penjara membaca surah Luqman ayat 17 yang berbunyi;

"Dan bersabarlah kamu terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya ia merupakan perkara yang memerlukan keazaman (yang kuat)".

Sebaik sahaja terdengar ayat tersebut, Aidh Abdullah tiba-tiba tersedar daripada dibuai rasa sedih dan jiwanya kembali bersemangat seolah-olah disuntik penawar.

Lantas, beliau terus memegang sebatang pen dan kertas, lalu menulis beberapa solusi untuk menyelesaikan pelbagai permasalahan yang menyebabkan manusia sering bersedih dalam kehidupan mereka.

Setelah dibebaskan, beliau menyambung tulisannya dalam tempoh beberapa tahun sehingga terbitlah sebuah buku berjudul La Tahzan iaitu bermaksud Jangan Bersedih yang kini merupakan buku paling laris di Asia Barat, Indonesia dan Malaysia.

Buku ini sudah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dunia termasuk bahasa Melayu.

Buku itu membimbing pembaca supaya tidak melawan arus kehidupan, menentang takdir dan menolak dalil-dalil dalam al-Quran dan sunah.

Ia juga membuatkan pembaca merasa lebih tenang, percaya kepada kemampuan diri, mengembangkan potensi dan melupakan kepahitan hidup.

"Apa yang ditulis dalam buku ini adalah situasi yang amat istimewa. Saya menulis buku ini seperti dengan darah dan roh saya sendiri," kata Aidh Abdullah ketika memberi ceramah khas di Majlis Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam baru-baru ini.

Ceramah beliau dalam bahasa Arab telah diterjemahkan oleh Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Hakim Zainal ke dalam bahasa Melayu. Majlis tersebut anjuran Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM.


MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerima cenderamata buku La Tahzan yang diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia daripada Aidh Abdullah (kiri) di pejabatnya baru-baru ini.


Rasa gembira

Penulis buku motivasi Islam terkenal di dunia itu berkata, buku berkenaan dinamakan La Tahzan kerana ia diambil daripada ayat al-Quran yang difirmankan oleh Allah iaitu;

"Janganlah kamu takut dan janganlah kamu bersedih hati. Sesungguhnya Allah ada bersama kita". (Surah Ali Imran ayat 139).

Ayat ini disampaikan Allah kepada Nabi Muhammad ketika bersama-sama sahabatnya Abu Bakar as-Siddiq memasuki Gua Tsur sebelum melakukan hijrah ke kota Yatsrib, Madinah.

"Sebelum menulis buku ini, saya berada dalam kesedihan, namun selepas selesai menulis, 90 peratus perasaan saya gembira dan baki 10 peratus sahaja rasa sedih," ujarnya kepada kira-kira 100 orang yang hadir mendengar ceramah khas beliau.

Selain menggunakan ayat-ayat al-Quran untuk menggarapkan buku tersebut, Aidh Abdullah turut menjadikan ratusan buku dari pelbagai negara termasuk Eropah sebagai bahan rujukan.

Selain itu katanya, gaya penulisan dalam buku La Tahzan sangat unik kerana ia tidak mengikut bab sebaliknya mengisahkan tentang sesuatu cerita di samping mempelbagaikan gaya dan bentuk bahasa.

Menerusi kaedah itu, beliau berpendapat, pembaca tidak akan cepat bosan, malah lebih seronok membacanya.

"Ini cara tulisan baharu yang bukan berasaskan bab. Kaedahnya seolah-olah merujuk kepada al-Quran yang tidak mempunyai bab sebaliknya kisah-kisah tertentu yang dibawa," jelasnya.

Antara kandungan dalam buku berkenaan ialah Hari ini milik anda, Allah akan mengganti yang lebih baik, Jalani hidup seadanya, Sabar itu indah, Jangan bersedih, Jadilah diri anda dan Hindari kegelisahan serta stres.

Selain buku itu, beliau turut menghasilkan puluhan buku lain antaranya bertajuk Jadilah Wanita Yang Paling Bahagia, Kisah Kerasulan Nabi Muhammad, Keagungan Allah dan Sakaratul Maut.

Dalam ceramahnya, Aidh Abdullah sempat memberi beberapa tip penting kepada hadirin untuk menghilangkan kesedihan antaranya dengan cara mendalamkan rasa iman kepada Allah, menunaikan solat pada waktunya dan sentiasa membaca al-Quran.

Di samping itu ujarnya, manusia juga perlu menerima qada dan qadar dengan hati terbuka serta sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diberikan Allah seperti melihat, makan dan mempunyai kesihatan yang baik.

"Hasil kajian mendapati ramai orang daripada yang cuba membunuh diri merupakan golongan yang meninggalkan solat dan tidak taat kepada perintah Allah," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap buku tersebut dapat memberi panduan berguna kepada semua orang untuk meningkatkan ketaqwaan dan keimanan kepada Allah.

Budaya makan telur penyu

Posted:

Budaya makan telur penyu

Budaya makan telur penyu

Oleh ALIF ABU BAKAR

HIDANGAN telur penyu menjadi antara menu biasa di sesetengah restoran di Terengganu. - Gambar hiasan


"RUGILAH kalau tak pernah rasa telur penyu. Sedap sangat lagi kalau makan dengan nasi panas," kata seorang wanita berusia 65 tahun, Fatimah Mansor dengan penuh semangat ketika bercerita tentang keenakan telur penyu yang popular dalam kalangan penduduk Pantai Timur khususnya di Terengganu.

Membesar di negeri Darul Iman sememangnya menjadikan Fatimah antara warga emas yang masih menghargai telur penyu sebagai juadah tempatan paling istimewa, meskipun amalan pemakanan itu mula ditentang generasi muda.

"Dahulu, kalau orang datang bertandang ke rumah, memang dijamu dengan telur penyu. Tak payah rebus pun tak apa sebab rasanya lebih sedap dimakan begitu sahaja," kata Fatimah sehingga boleh menyebabkan tekak berasa mual.

Seorang lagi anak jati Terengganu yang berbeza generasi, Mohd. Nazaruddin Ramly, 27, mengakui pernah memakan telur penyu ketika berusia 11 tahun. Eksekutif komunikasi yang berasal dari Kampung Gelugor, Kerteh itu menyifatkan pengalaman sekali seumur hidup tersebut sebagai kemestian yang perlu dirasai setiap warga Terengganu.

"Ayah saya memang kerap bawa balik telur penyu. Selalunya ia diberikan orang yang mengutip telur di pantai. Namun secara jujur, kami sekeluarga tidak pernah membeli telur penyu.

"Lagipun dahulu telur penyu mudah diperoleh dan penduduk setempat anggap ia satu makanan biasa. Namun perlahan-lahan, ia mula dipandang sebagai satu bentuk kesalahan,"kongsinya yang mengatakan rasa telur penyu agak masin dan sangat enak.

Menurut beliau, kepupusan penyu yang semakin ketara sekarang mendorong ramai golongan muda, termasuk dirinya menolak untuk membeli dan memakan telur penyu

"Malah keluarga saya juga tidak lagi memakannya,"ujar Mohd. Nazaruddin.

SELAIN keropok ikan, Romlah turut menjual telur penyu di gerainya di Pasar Payang.


Pasaran

Tanggapan orang awam terhadap pengharaman penjualan telur penyu di Terengganu pula ternyata berbeza-beza. Ada yang tahu tentang kewujudan undang-undang itu dan ada yang langsung tidak ambil pusing isu nasional yang kerap kali dibangkitkan namun masih dipandang sepi.

Tinjauan Kosmo! di Pasar Besar Kedai Payang (Pasar Payang), Kuala Terengganu mendapati, peniaga masih bebas menjual telur penyu secara terbuka. Pengharaman jualan telur penyu di negeri itu hanya khusus terhadap spesies penyu belimbing dan sekali gus membenarkan telur penyu jenis lain diperdagangkan tanpa sekatan.

Seorang peniaga telur penyu yang telah 40 tahun berniaga di Pasar Payang, Romlah Hassan, 70, memberitahu, harga telur penyu ditetapkan mengikut musim penyu bertelur. Bulan Jun, Julai dan Ogos dikatakan mencatatkan pendaratan penyu tertinggi dan pada waktu itu, harga telur agak murah berbanding waktu lain.

"Masa murah, telur penyu Terengganu dijual pada harga RM4 sebiji manakala telur dari Sabah dan Sarawak boleh didapati serendah RM3 sebiji," dedah Romlah yang menambah, waktu pagi adalah masa paling ramai orang membeli telur penyu.

Fahmi Izudin, 21, yang juga antara pemborong telur penyu di Pasar Payang berkata, kebanyakan telur Terengganu datangnya dari Pulau Redang. Ujarnya: "Itu apa yang orang katalah, saya tidaklah berapa pasti."

Undang-undang

Penjualan berleluasa telur penyu di dalam negara khususnya di negeri Terengganu dikatakan berpunca daripada ketiadaan undang-undang yang mengharamkan penjualan telur penyu di Semenanjung Malaysia.

Ketua Makmal Penyelidikan Luar Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Juanita Joseph memberitahu: "Sabah dan Sarawak sahaja yang melindungi penyu secara 100 peratus termasuk mengharamkan penjualan telur penyu setiap spesies.

"Pada tahun 2005, beberapa kawasan pantai yang menjadi sarang utama penyu di Pulau Redang telah digazet oleh kerajaan. Ia mengakibatkan bekalan telur penyu untuk dijual berkurangan.

"Kesannya, penyeludupan telur penyu dari Sabah dan Sarawak dipercayai meningkat ekoran ketiadaan undang-undang pengharaman penjualan telur penyu di Semenanjung."

Modus operandi penyeludupan makanan eksotik itu bagaimanapun masih belum dapat dipastikan secara terperinci. Namun berdasarkan pemerhatian penduduk di Pulau Redang, kata Juanita, telur yang dijual sebenarnya bukanlah dari Sabah atau Sarawak.


PERLINDUNGAN yang tidak menyeluruh terhadap penyu di kebanyakan negeri menyebabkan rakyat di negara ini kurang prihatin bagi menjaga kelangsungan hidup haiwan itu.


Ia diperoleh dari pantai-pantai Terengganu yang tidak digazetkan kerajaan. Andaian tentang asal-usul telur tersebut juga boleh dipertikaikan berikutan ketiadaan bukti bagi menyokong kenyataan pembekal dan penjual telur yang mengatakan ia datang dari Sabah dan Sarawak.

"Pada tahun lalu, Unit Penyelidikan Penyu (Seatru) UMT membuat kajian genetik bagi menentukan asal-usul telur penyu yang dijual di Pasar Payang. Hasil yang ditemui mendapati kebanyakan telur sememangnya datang dari Terengganu.

"Bagaimanapun keputusan itu belum muktamad kerana sampel yang dikaji adalah terlalu kecil. Kami masih lagi meneruskan kajian ini sehingga data yang diperoleh itu lengkap dan boleh diterima secara saintifik," jelas Juanita.

Harga telur

Ketika ditanya mengenai perbezaan harga telur penyu yang dikatakan datang dari Sabah dan Sarawak dan dijual lebih murah berbanding telur dari Terengganu, Juanita mengatakan, ia sekadar taktik perniagaan yang dijalankan penjual.

Dakwaan yang mengatakan telur penyu Terengganu lebih sedap dari telur penyu dari Sabah disebabkan tekstur pasir di Terengganu lebih halus berbanding di Sabah dan Sarawak juga tidak relevan.

Hakikatnya ia adalah stigma tidak berasas semata-mata. Telur yang mahal (Terengganu) merupakan telur yang masih segar. Ia mungkin diperoleh daripada penyu yang bertelur pada sebelah malam dan pagi sebelum dijual di pasar.

Telur lama (Sabah dan Sarawak) pula boleh dikenal pasti menerusi warna yang sudah kekuningan dan kemik. Memandangkan ia telur lama, rasanya sudah tentu kurang sedap. Kebiasaanya penjual akan menjeruk telur yang lama menjadi telur masin.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved