Sabtu, 7 September 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Khazanah sampah

Posted:

Khazanah sampah

Khazanah sampah

BERJUTA-juta tan sampah di buang penduduk di seluruh dunia pada setiap hari.


KOTOR, menjijikkan malah geli pasti bermain dalam fikiran seseorang apabila ditanya tentang sampah.

Namun, ada individu yang memperolehi manfaat dan keuntungan hasil daripada menjual 'sampah' seperti besi, surat khabar, botol dan plastik.

Salah seorang daripada individu itu ialah S. Senthil Kumaar, 43, yang mengendalikan Perniagaan Logam Darishini di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.

Menurutnya, dia mampu menjana pendapatan antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan dengan menjual barangan yang dianggap tidak bernilai itu.

Namun, sampah yang dibuang itu jika dikumpulkan, boleh digunakan untuk menjana tenaga elektrik bagi kegunaan domestik.

Tidak cukup sekadar itu, sampah mampu ditransformasikan untuk menggosok baju menggunakan seterika, alat pemanas badan selain gas untuk memasak.

Jauh di Conpenhagen, Denmark yang merupakan antara kota raya terbesar di dunia, sebuah loji jana kuasa elektrik hasil proses sampah sedang giat dibina.

Uniknya, loji The Amager Bakke itu bukan sekadar menjana elektrik semata-mata tetapi ia turut dijadikan lokasi untuk bermain ski semasa musim sejuk.

Pembinaannya sedang giat dijalankan dan loji itu dijangka siap sepenuhnya empat tahun lagi.

Menelan belanja sebanyak 500 juta euro (RM2.19 bilion), loji tersebut mampu menjana 60 megawatt tenaga elektrik yang mampu menyalurkan bekalan elektrik kepada 62,500 penduduk di bandar raya itu.

Jiran negara kita iaitu Filipina mempunyai pusat pelupusan yang menukarkan gas metana kepada tenaga elektrik di Manila.

Gas metana diperangkap dengan menggunakan paip yang ditanam di bawah tapak pelupusan sampah itu yang berperanan sama seperti terowong yang mengekstrak gas dari tanah atau laut.

Gas tersebut diuraikan dengan menggunakan teknologi moden sebelum ia menjadi tenaga elektrik.

PUSAT pengurusan sisa industri milik Kualiti Alam Sdn. Bhd yang terletak di Bukit Nanas, Negeri Sembilan boleh menjana elektrik pada skala yang kecil.


Alam sekitar

Negara kita sebenarnya tidak ketinggalan terlibat dalam teknologi seperti itu.

Syarikat Recycle Energy Sdn. Bhd. pada tahun 2006 telah berjaya memproses sampah untuk menjadi tenaga elektrik di pusat pelupusan syarikat itu di Hulu Semenyih, Selangor.

Ia memproses 1,000 tan sampah sehari untuk dijadikan tenaga elektrik sembilan megawatt yang kemudian menjualnya kepada Tenaga Nasional Berhad.

Sebuah lagi syarikat, SWM Environment Sdn. Bhd. ( SWM) pula giat menyelaraskan penggunaan sistem panel solar untuk menjana tenaga elektrik di 20 tapak pelupusan sampah seliaannya di seluruh negara.

Syarikat UEM Enviro Sdn. Bhd menerusi anak syarikatnya Kualiti Alam Sdn. Bhd mampu menjana 0.8 megawatt elektrik di pusat pengurusan sisa industri di Bukit Nanas, Negeri Sembilan.

Menurut Pengarah Urusannya, Azmanuddin Haq Ahmad, sisa industri seperti minyak terpakai, bateri dan alat semburan serangga akan dilupuskan tanpa menjejaskan alam sekitar.

"Setakat ini tenaga elektrik yang terhasil daripada proses pelupusan ini ialah 0.8 megawatt.

"Tetapi, Insya-Allah kami ingin memaksimumkannya kepada dua megawatt yang mampu menjana bekalan elektrik untuk lebih 200 buah rumah," katanya.

Kenderaan

Jelasnya, idea untuk menjana tenaga elektrik dengan menggunakan sampah agak praktikal.

Azmanuddin berkata, selain sampah, pilihan lain ialah arang batu dan empangan hidro.

"Sampah hanya satu pilihan alternatif yang memerlukan penyelidikan yang teliti.

"Pelbagai faktor perlu diambil kira seperti jarak pusat pelupusan sampah dengan kawasan perumahan, alam sekitar dan pentingnya kesedaran rakyat tentang kepentingannya.

"Teknologi memproses sampah seperti itu telah lama digunakan di negara-negara maju seperti di Denmark, Jepun dan Korea Selatan," ujarnya.

Bukan sekadar sebagai sumber elektrik, sampah juga boleh digunakan untuk kenderaan.

Sebuah kereta Beetle yang dikenali sebagai Bio-Bug menggunakan biogas yang dihasilkan daripada sisa kumbahan manusia telah dilancarkan di Britain tiga tahun yang lalu.

Menurut penciptanya, Mohamed Saddiq dari firma tenaga GENeco, keupayaan Bio-Bug adalah setanding seperti kereta jenama lain.

"Bio-Bug telah dimodifikasi dengan menggunakan sumber petroleum selain gas metana hasil daripada sisa kumbahan manusia," katanya.


KAWASAN loji menjana elektrik The Amager Bakke di Copenhagen, Denmark turut dijadikan lokasi untuk bermain ski.


Enjin dua liter kereta Beetle itu boleh mencapai kelajuan sehingga 183.46 kilometer sejam.

Selain itu, plastik sampah juga boleh digunakan sebagai gas untuk memasak.

Pakar alam sekitar dari Institut Teknologi Kebangsaan, Calicut, India, Prof. Madya Lisa Sreejith telah mencipta teknologi yang menukarkan plastik sampah kepada gas untuk memasak.

Jelasnya, sebanyak 750 liter gas itu boleh dihasilkan daripada empat kilogram sampah.

"Sekarang plastik tidak mendapat tempat untuk dijual semula.

"Justeru, penggunaan sampah merupakan satu penyelesaian alam sekitar yang baik.

"Kami juga bercadang untuk membina pusat pelupusan plastik yang memproses 100 tan plastik pada setiap hari," katanya baru-baru ini.

Namun, Presiden pertubuhan bukan kerajaan EcoKnights, Yasmin Rasyid berkata, mewujudkan kesedaran masyarakat untuk mengurangkan pembuangan sampah melalui amalan kitar semula sepatutnya menjadi topik perbincangan yang utama.

"Tahap kitar semula di negara kita masih rendah iaitu 17 peratus sedangkan seharusnya melebihi 50 peratus.

"Namun, kerajaan telah banyak melakukan promosi (kitar semula) melalui media cetak dan elektronik dan tujuan itu perlu dipergiatkan lagi," ujarnya.

Pendapat Yasmin turut dipersetujui seorang pakar alam sekitar dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor iaitu Profesor Madya Dr. Latifah Abd. Manaf.

"Kebanyakan tapak pelupusan di negara ini beroperasi secara pembuangan terbuka yang mendatangkan masalah kepada alam sekitar dan kesihatan awam.

"Amalan pengurusan sampah kini hanya dengan mengutip sisa pepejal sebelum ia dihantar ke tapak pelupusan untuk dilupuskan," katanya.

Tambahnya, jika inserator menjadi pilihan utama, ia memerlukan penyelidikan penuh daripada pelbagai aspek seperti komposisi sisa, kandungan nilai kalori, kos pengurusan dan penerimaan masyarakat.

Rantau Asia Barat kian tegang

Posted:

Rantau Asia Barat kian tegang

Rantau Asia Barat kian tegang


BEBERAPA mangsa serangan gas sarin di Ghouta, Syria pada 21 Ogos lalu.


SITUASI di Asia Barat kini kian tegang apabila Amerika Syarikat (AS) kelihatan semakin hampir untuk melancarkan serangan ke atas Syria yang kini dilanda peperangan saudara sejak tahun 2011.

Pada Jumaat lalu, Jabatan Negara AS mengarahkan kakitangan-kakitangan tidak penting di kedutaan negara itu di Beirut, Lebanon dan di Pejabat Konsulat AS di Adana, Turki supaya berpindah.

Harga minyak turut naik kepada AS$110 (RM365.99) setong pada hari yang sama selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin menyatakan negaranya akan membantu Syria jika AS melakukan serangan.

Rusia mempunyai hubungan akrab dengan Syria sejak tahun 1950-an lagi.

Syria juga kelihatan sudah bersedia untuk berdepan dengan serangan AS.

Persediaan itu digambarkan menerusi kenyataan timbalan menteri luar negara itu, Faisal Muqdad yang membuat kenyataan pada 5 September lalu bahawa negaranya akan menyerang balas sebarang serangan dari negara asing.

Menurut Majlis Perikatan Kebangsaan Syria yang menentang rejim Presiden Bashar Al-Assad, sejumlah roket pelancar, artileri dan senjata berat milik tentera telah dipindahkan ke dalam kawasan kediaman di bandar-bandar seluruh negara pada minggu lalu.

Menurut laporan Press TV semalam, Tentera Laut Rusia telah menghantar empat buah lagi kapal perang ke timur Mediterranean.

Beberapa media Barat melaporkan rancangan serangan yang mahu dilancarkan oleh Presiden AS, Barack Obama itu turut menyebabkan sejumlah orang percaya bahawa kiamat semakin hampir.

Kepercayaan itu adalah berdasarkan Damsyik, ibu kota Syria bakal mengalami kehancuran akibat serangan itu.

Percaturan taktikal tentera AS juga dibincangkan dengan panjang lebar di internet dan akhbar-akhbar Barat.

Pada Jumaat lalu, akhbar The Guardian melaporkan peluru-peluru berpandu AS tidak akan menyasarkan askar-askar Bashar.

Sebaliknya, peluru berpandu AS itu akan menyasarkan lapangan terbang, bangunan-bangunan yang dijadikan pusat pemerintah tentera dan kedudukan artileri di kawasan berbukit.

Sasaran serangan itu bertujuan untuk melemahkan kekuatan tentera Syria supaya ia tidak lagi menggunakan senjata kimia pada masa depan.

Ramalan itu sesuai dengan kenyataan Setiausaha Negara AS, John Kerry yang meyakinkan Jawatankuasa Hubungan Luar Dewan Senat pada Selasa lalu bahawa Obama tidak berniat untuk menghantar askar-askar negaranya ke Syria untuk bertempur dengan rejim Bashar.


GAMBAR fail menunjukkan kapal pengangkut pesawat milik tentera Amerika Syarikat, USS Nimitz yang dipercayai akan digunakan sebagai pangkalan untuk menyerang Syria.


Menurut laporan akhbar The Guardian lagi, seorang askar Syria menyatakan, tentera AS mungkin membedil kawasan pergunungan tetapi askar-askar Syria dan peralatan penting peperangan telah ditempatkan di dalam sebuah kawasan pergunungan yang gagal ditembusi peluru berpandu.

Menurut akhbar Daily Mail pada 29 Ogos lalu, tentera Syria dilaporkan mempunyai 8,000 pengebom berani mati yang sanggup mengorbankan diri untuk menjatuhkan jet-jet pejuang negara asing.

Kira-kira 60 peratus daripada penduduk Israel yang berjumlah lima juta orang dilaporkan telah menyimpan topeng gas bagi menghadapi serangan balas tentera Syria.

Alasan yang dikemukakan oleh Obama untuk menyerang Syria adalah bagi menghukum rejim Bashar yang didakwa telah melancarkan serangan gas sarin pada bulan lalu sehingga terdapat laporan lebih 1,400 orang terbunuh termasuk kanak-kanak.

Bashar menafikan mengarahkan serangan itu tetapi media Barat melaporkan sebelum ini persediaan serangan gas tersebut sudah diketahui lebih awal oleh pihak perisikan AS.

Ketika ini serangan ke atas Syria telah ditangguhkan Obama bagi menunggu persetujuan daripada Kongres AS.

Jika serangan itu dilancarkan, kumpulan Hezbollah dan Iran akan turut membantu rejim Bashar manakala para penentang Presiden Syria tersebut akan mendapat bantuan AS untuk menggulingkannya seperti yang diidamkan kumpulan anti-Bashar sejak tahun 2011 lagi.

Zarinah yang tak didendang

Posted:

Zarinah yang tak didendang

Zarinah yang tak didendang

Oleh SYALMIZI HAMID

WANITA berusia 42 tahun ini merupakan anak kelahiran Singapura. Dia pernah mencipta nama di republik tersebut apabila bergelar pemain badminton kebangsaan sejak berusia 14 tahun.

Bekas pemain badminton itu, Zarinah Abdullah sebenarnya layak untuk digelarkan sebagai wira sukan negaranya kerana dia telah mengabdikan usia remajanya di pentas badminton.

Dia juga pernah bergelar pemain profesional Singapura.

Zarinah menganggap bahawa pengorbanannya menjadi pemain badminton itu berbaloi kerana dia merupakan wanita Melayu pertama yang menonjol dalam sukan badminton di negara yang berkeluasan 710 kilometer persegi itu. Bahkan, dia merupakan ayam tambatan perseorangan wanita yang disegani di republik itu.

"Biarpun ada nama-nama orang Melayu lain yang terlibat dalam sukan badminton di negara itu, pihak SBA (Persatuan Badminton Singapura) memberi harapan yang paling tinggi kepada saya sebagai pemain perseorangan wanita.

"Sejak di bangku sekolah menengah lagi, saya telah menyertai beberapa kejohanan antarabangsa sehinggalah bergelar pemain profesional pada usia 19 tahun. Sekurang-kurangnya, saya akan menjalani latihan selama enam jam pada setiap hari sebagai rutin memantapkan skil permainan," ujar anak ketiga daripada empat beradik itu.

Tatkala membelek kembali sejarah dirinya, wanita yang lahir pada tanggal 12 Julai 1971 tersebut menjelaskan bahawa minatnya dalam bidang itu berputik sejak usia kanak-kanak lagi.

Sifatnya yang lasak dan gemar bermain dengan budak lelaki telah memperlihatkan bakat yang terpendam. Bakatnya dikesan sendiri oleh bapanya, Abdullah Mohd. Attan.

"Saya bersifat tomboi ketika kanak-kanak. Saya lebih gemar melakukan aktiviti lasak bersama rakan-rakan lelaki dan gemar berlari. Ketika menyertai sukan dalam acara padang di sekolah, saya kerap membawa pulang kejayaan.

"Bapa pernah memberi peluang kepada saya untuk berjinak-jinak dalam sukan skuasy kerana mula menyedari bakat saya, tetapi setelah rakan-rakan mengajak menyertai sukan badminton, bakat saya lebih menonjol dalam acara itu.

"Jurulatih sukan sekolah merupakan orang yang berperanan membawa saya ke dalam sukan ini hingga meletakkan saya sebagai pemain terbaik di sekolah sejak berusia 14 tahun," ujar Zarinah teruja sambil mengenangkan jurulatih tersebut yang bernama Teo Ah Huan.

AKSI Zarinah pada tahun 1995 di Kuala Lumpur.


Nombor 3 dunia

Saat melihat keupayaan makin menyinar, bekas penuntut di Mount Vernon Secondary School, Singapura itu telah membuat keputusan untuk tidak menyambung pengajiannya di peringkat universiti. Dia sanggup mengetepikan pelajaran kerana percaya bahawa masa depannya cerah dalam bidang itu.

"Atas nasihat bapa, saya membuat keputusan untuk tidak menyambung pengajian prauniversiti yang berbaki dua tahun lagi dalam bidang perakaunan.

"Pada saat itu, kerjaya saya dalam bidang sukan berada di kemuncak. Lagipun, saya tidak mahu mengganggu kelas kerana kerap ditegur pensyarah sebab selalu tidak hadir," katanya yang sempat melanjutkan pelajaran selama setahun di Institut Outram, Singapura.

Dia bergelar pemain badminton profesional pada tahun 1990 selepas setahun dihantar menjalani latihan intensif di Jakarta, Indonesia. Sebelum itu, Zarinah telah menyertai skuad kebangsaan Singapura dalam masa yang singkat iaitu selepas enam bulan bakatnya dicungkil.

Sebenarnya bakat wanita Melayu itu turut mendapat perhatian Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila bekas pemain badminton negara, mendiang Datuk Punch Gunalan pernah menyunting Zarinah untuk berada bersama pasukan Malaysia. Ketika itu, dia baharu setahun berjinak-jinak dengan sukan badminton.

"Apabila melihat aksi saya di gelanggang, dia pernah menyatakan hasrat untuk membawa saya ke dalam pasukan Malaysia memandangkan bapa saya anak kelahiran Melaka.

"Namun, saya menolak pelawaan itu kerana enggan meninggalkan keluarga di Singapura apatah lagi pada usia 14 tahun saya tidak mahu bersendirian di Malaysia. Justeru saya meneruskan karier di Singapura," katanya ketika diwawancara kru Jurnal di pejabatnya di Puchong, Selangor pada Khamis lalu.

Dia pernah menyertai kejohanan kebangsaan dan antarabangsa termasuk dua kali dalam Sukan Olimpik, dua kali dalam Sukan Komanwel serta beberapa kali dalam kejohanan All England.

Zarinah pernah melonjakkan ranking yang dipegangnya pada tahun 1994 selaku pemain wanita ketiga terbaik dunia.

Namun, ketika berada di kemuncak kerjaya, Zarinah mengambil keputusan menggantung raket sebelum usia 30 tahun selepas dia bernikah pada usia 27 tahun. Dia bersara sepenuhnya sebagai pemain badminton secara tiba-tiba pada tahun 1998.

"Setelah kira-kira 10 tahun mengabdikan diri dalam sukan itu, saya mula terfikir untuk tidak lagi bergelar atlet nasional biarpun semangat perjuangan masih berada di kemuncak.

"Apa yang boleh saya katakan bahawa pengunduran itu adalah kerana terpaksa dan 'dipaksa'. Biarpun dengan hati berat, saya membuat keputusan tersebut dan bergelar jurulatih di beberapa buah kelab badminton di Singapura buat seketika. Namun, saya menolak tawaran menjadi jurulatih skuad kebangsaan," ujar Zarinah yang enggan mengulas mengenai sebab pengundurannya kerana menganggap ia sebagai isu sensitif.


ZARINAH dan suami kini rancak menguruskan syarikat mereka di Puchong.


Tukar kewarganegaraan

Dalam hati sayu meninggalkan dunia badminton, Zarinah bersama suaminya yang merupakan warganegara Jerman, Mohammad Salihin Sass Abdullah membuat keputusan membuka sebuah syarikat pembekal perkhidmatan tiket dalam talian sejak tahun 2008.

Pada awalnya syarikat itu beroperasi selama tiga tahun di Singapura. Namun, mereka membuat keputusan memindahkan ibu pejabat syarikat SeatAdvisor Sdn. Bhd. itu ke IOI Boulevard di Puchong dua tahun lalu.

"Disebabkan tumpuan perniagaan lebih banyak di negara ini, kami membuat keputusan untuk memindahkan operasi ke Malaysia. Kami diberi kepercayaan menjadi pengeluar tiket untuk acara-acara besar seperti perlumbaan Formula Satu, Moto GP dan konsert antarabangsa," ujar Zarinah.

Zarinah memilih untuk menjadi warga Malaysia kerana bapanya merupakan warga tempatan yang pernah mendapat taraf penduduk tetap (PR) di Singapura. Bapanya kini menetap di Tangkak, Johor.

"Selepas bapa membuat keputusan untuk kembali ke Malaysia, saya juga membuat keputusan sama sejak dua tahun lalu. Kini, Malaysia adalah tanah air saya. Saya ingin berbakti kepada negara ini pula," ujar Zarinah yang memegang jawatan pengurus besar di syarikatnya.

Biarpun sering mendapat liputan berita ketika mengharumkan nama Singapura, Zarinah kini seperti seolah-olah seorang wira sukan yang tidak didendang.

Mengaku lebih selesa tidak dikenali di sini, Zarinah yang merupakan pemain badminton seangkatan dengan Rashid Sidek sedar tentang bakti yang pernah dicurahkan olehnya itu.

"Di Malaysia, tidak ramai yang kenal saya melainkan rakan-rakan seangkatan dalam sukan badminton terutamanya keluarga Allhyarham Haji Sidek (bapa Rashid). Saya kerap bertemu dan berbual tentang sukan badminton dengan Misbun Sidek.

"Biarlah orang tidak mengenali saya kerana keutamaan kini terarah kepada keluarga dan kerjaya baharu walaupun cinta saya kepada sukan badminton masih menebal," katanya yang memiliki seorang anak perempuan berusia 13 tahun.

Sebelum mengakhiri pertemuan bersama Jurnal, Zarinah yang dua kali berdepan di gelanggang badminton dengan jaguh Indonesia, Susi Susanti berkongsi tip tentang kejayaannya.

Jelasnya, untuk bergelar pemain badminton hebat, perhatian haruslah diberi terhadap aspek fizikal.

"Saya mementingkan tahap kecergasan seratus peratus kerana permainan badminton memerlukan pergerakan seluruh anggota tubuh. Justeru, untuk berjaya, kita harus memastikan kecergasan di tahap terbaik selain skil permainan.

"Fokus ketika perlawanan juga penting dan jangan biarkan faktor luar menganggu konsentrasi," katanya mengakhiri bicara.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved