Jumaat, 2 Ogos 2013

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Honda EX5 generasi ketiga

Posted:

Honda EX5 generasi ketiga

Honda EX5 generasi ketiga

Oleh SHAWKATH AZDE

TAHUKAH anda, Malaysia merupakan satu-satunya negara di Asia Tenggara yang memiliki jangka hayat sebuah produk motosikal jenama Honda paling panjang.

Model itu cukup popular sehingga berjaya menambat hati pengguna domestik daripada segenap lapisan masyarakat sejak 26 tahun lalu.

Apa lagi jika bukan Honda EX5. EX5 diperkenalkan buat kali pertama pada tahun 1987 oleh Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (Boon Siew Honda).

Generasi kedua model kapcai itu menemui pelanggan tempatan pada tahun 2001. Ia dikenali sebagai EX5 Dream.

Sepanjang berada dalam pasaran negara ini, jumlah jualan terkumpul bagi kedua-dua generasi itu sudah melepasi paras dua juta unit.

Penyumbang kepada populariti jentera Honda itu berkait rapat dengan beberapa perkara. Antaranya, soal kebolehpercayaan, tahan lasak, mampu milik, mudah mendapat alat ganti dan jimat bahan api.


DARI kiri: Satoshi; Ketua Projek Honda EX5 Dream 110 dan Airblade Honda Research & Development Southeast Asia Co. Ltd., Tatsuya Minagawa; Ketua Pegawai Kewangan Boon Siew Honda, Koji Yamada dan Naib Pengerusi dan Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran Boon Siew Honda, Datuk Seri Tan Hui Jing pada majlis pelancaran dua model motosikal Honda terbaharu di Genting Hinglands.


Bagi meneruskan dominasi segmen underbone, Boon Siew Honda memperkenalkan generasi ketiga EX5 di Genting Highlands, Pahang baru-baru ini.

Dikenali sebagai EX5 Dream 110, produk kali ini sudah melepasi transformasi total yang melibatkan aspek rekaan dan prestasi.

EX5 Dream 110 dilengkapi enjin berkapasiti 110cc. Dua model generasi sebelumnya mengaplikasi enjin 100cc.

Jentera empat lejang itu menawarkan peningkatan kuasa enjin sebanyak 11 peratus berbanding rangkaian kuasa model terdahulu.

Sebenarnya, enjin EX5 Dream 110 adalah sama seperti yang ada pada model Honda Wave 110 baharu.

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Satoshi Okada selepas melancarkan EX5 Dream 110 dan Air Blade.

"Enjin digunakan adalah sama dengan Wave 110. Namun EX5 Dream 110 sudah diberikan talaan berbeza.

"Motosikal ini mampu menjana kuasa kilas (tork) yang lebih tinggi pada pusingan enjin rendah (RPM)," jelasnya.

Langkah menaik taraf kapasiti enjin itu bertujuan mengoptimumkan penggunaan enjin sama di beberapa pasaran termasuk Indonesia, Vietnam dan China.


REKAAN meter baharu kelihatan lebih kemas.


Sekali pandang, EX5 Dream 110 Malaysia ada iras-iras seperti model yang dijual di Thailand. Sungguhpun begitu, ada kelainan pada komponen khususnya sistem penyampaian bahan api.

Penampilan baharunya dilihat masih mengekalkan nilai-nilai klasik yang terdapat pada model generasi sebelum ini.

Elemen moden telah diterapkan pada set lampu hadapan dan belakang. Perumah lampu belakang telah disatukan dengan pemantul cahaya untuk pencahayaan lebih terang.

Pembaharuan lain melibatkan penggunaan sistem suspensi tahan lasak dan tayar yang lebih lebar.

Honda EX5 Dream 110 didatangkan dengan empat pilihan warna iaitu merah, hijau, biru dan ungu.

Harga jualan asas bagi varian dengan penghidup tendang ialah RM3,908 seunit. Bagi versi penghidup elektrik dijual pada harga RM4,145 sebuah. Jaminan diberikan selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000 kilometer.

Datsun kembali dengan GO!

Posted:

Datsun kembali dengan GO!

Datsun kembali dengan GO!


KERETA kompak ini dilengkapi enjin berkapasiti 1.2 liter.


MAC 2012 merupakan tarikh penting untuk Datsun apabila Nissan Motor Co. Ltd. mengumumkan pengenalan semula jenama klasik itu.

Misi Datsun adalah untuk merebut pasaran yang mempunyai potensi besar atau pasaran membangun. Datsun mempunyai khazanah kemahiran 80 tahun membuat kereta dan merupakan DNA penting jenama Nissan.

Mengikut perancangan, kenderaan Datsun akan mula dipasarkan di India, Indonesia, Rusia dan Afrika Selatan pada tahun 2014.

Datsun bermula dengan nama DAT-GO (kereta DAT) pada tahun 1914. Perkataan DAT bermaksud sepantas kilat. Pada masa yang sama adalah ganti huruf pertama nama keluarga tiga pembiaya Datsun iaitu Den, Aoyama dan Takeuchi. Lebih menarik, DAT juga boleh dirujuk sebagai Durable, Attractive dan Trustworthy.

Pada tahun 1933, pengasas Nissan iaitu Yoshisuke Aikawa mengambil alih bisnes Datsun dengan visi mobiliti untuk semua. Selepas itu, model baharu dengan nama Datson yang ringan, ekonomikal dan tahan lasak bagi memenuhi kehendak orang muda Jepun diperkenalkan.

Model itu adalah gabungan nama Son of Dat yang kemudiannya ditukar kepada Datsun. Kejuruteraan tempatan dan produksi besar-besaran menjadikan mimpi pengasasnya sebagai realiti.

Selepas berpuluh tahun jenama Datsun direhatkan, sekali lagi sejarah tercipta pada 15 Julai lalu di India apabila Datsun Go dipertontonkan secara rasmi kepada umum.

Model itu sebenarnya adalah sebuah janji ditepati Nissan yang dibuat lebih dari setahun lalu yang ingin membawa semula jenama Datsun ke medan arus perdana.

Datsun sebenarnya jenama ketiga kumpulan Nissan selepas Infiniti yang ditumpukan kepada pasaran mewah. Datsun akan memainkan peranan penting dalam pelan bisnes Nissan Power 88 untuk jangka masa sederhana.

"Hari ini merupakan hari bersejarah buat Nissan Motor Company, pelanggan serta rakan-rakan kami di beberapa pasaran dunia yang pantas berkembang. Ia juga momen yang menarik buat pelanggan kami di India yang pada hari ini menjadi lebih hampir bagi merealisasi impian untuk memiliki sebuah kereta," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Nissan, Carlos Ghosn semasa memperkenalkan Datsun GO.


REKAAN papan pemuka serta ruang kabin Datsun GO sememangnya kemas dan moden.


Kereta hatch-back lima pintu dengan enjin 1.2 liter itu dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan. Katanya, ruang dalaman adalah luas hasil daripada saiz yang lebar, jarak titik roda besar dan ruang kepala yang memadai. Kerusi depannya pula boleh diubah kepada beberapa konfigurasi.

Datsun GO disasarkan untuk menjadi sahabat yang boleh dipercayai untuk sesebuah keluarga. Ia mampu memuatkan lima orang penumpang dengan selesa dan lincah dalam trafik yang sesak. Lebih menarik model itu mempunyai Mobile Docking Station yang boleh disambungkan dengan telefon pintar.

Kereta serba baharu itu dibina bagi memenuhi kehendak golongan di pasaran pantas berkembang yang mahukan kereta dengan nilai tinggi.

Mereka kebiasaannya sentiasa bergerak dan mahu meningkat maju. Itu antara sebab kenapa nama GO dipilih. Nama GO juga diinspirasikan daripada model pertama Datsun iaitu DAT-GO yang dilancarkan hampir sedekad lalu di Jepun.

Pada waktu itu, DAT-GO merupakan jawapan untuk mereka yang belum pernah memiliki kereta. Jenama Datsun yang dihidupkan semula dan model GO yang dilancarkan ini bakal mengambil alih tugas yang ditinggalkan dahulu.

"Apabila seorang pelanggan membeli kereta pertamanya di negara seperti India, Indonesia, Rusia dan Afrika Selatan, pertama sekali ialah mereka akan mengimpikannya.

"Untuk menjadikannya sebagai realiti, pelanggan memerlukan akses dan rasa pemilikan terhadap sesebuah jenama. Memandangkan pembelian itu akan melibatkan sebahagian daripada pendapatan mereka, maka sangat penting untuk sesebuah jenama dan produk dipercayai. Maka jenama Datsun dibangunkan berdasarkan tiga perkara tersebut iaitu Impian, Akses dan Kepercayaan," kata Vincent Cobee yang mengetuai Datsun.

Model-model Datsun akan dibangunkan secara individu untuk pasaran berbeza. Tetapi konsepnya akan mengikut inspirasi Nissan yang sama.

Datsun GO akan menjadi model pertama barisan produk Datsun.

Reka bentuk Datsun GO dihasilkan di Nissan Motor Jepun. Sementara pembangunan dan penyelidikan (R&D) dan pembangunan kejuruteraan dibuat oleh tenaga kerja dan vendor tempatan. Ini bagi memastikan produk tersebut memenuhi kehendak, cita rasa dan keperluan setempat serta mampu milik dari segi harga.

Projek Datsun GO diawasi dan kawal selia oleh kemahiran membuat kereta dan kawalan kualiti Nissan global.

Jika ada yang tertanya adakah Datsun GO akan dibawa masuk ke dalam negara? Saya pun kurang pasti kerana jika diikutkan pasaran kereta Malaysia sudah hampir tepu dan matang. Walaupun saiz pasaran semakin meningkat tetapi perkembangannya agak sederhana tambahan pula cita rasa rakyat Malaysia agak tinggi.

Struktur cukai pula tidak menggalakkan persaingan sebenar walaupun sudah ada usaha ke arah pasaran yang lebih terbuka. Apa yang pasti, Datsun GO adalah bukti bahawa syarikat Jepun tidak leka dan lalai dalam mempertahankan pasaran yang sudah serta mula dibanjiri oleh produk Korea Selatan dan China.

Keprihatinan Honda Malaysia

Posted:

Keprihatinan Honda Malaysia

Keprihatinan Honda Malaysia


PENGURUS Pemasaran Honda Malaysia, Ahmad Nasyami Mihat memberikan pek keselamatan jalan raya kepada seorang pemandu di plaza tol Sungai Besi.


SEMPENA musim perayaan yang hampir tiba, Honda Malaysia telah mengadakan kempen keselamatan jalan raya dengan mengagihkan 10,000 pek keselamatan di Plaza Tol Sungai Besi dan Plaza Tol Jalan Duta.

Pek tersebut mengandungi risalah, air, gula-gula dan kurma itu diagihkan oleh kakitangan Honda Malaysia.

Honda Malaysia turut mengadakan sesi pemeriksaan 22 poin kenderaan di pusat rehat dan rawat terpilih di Lebuh Raya Utara-Selatan.

Pemeriksaan secara percuma yang diadakan pada 1 hingga 4 Ogos itu ditawarkan kepada semua pemilik kenderaan Honda.

"Kempen Keselamatan Jalan Raya sewaktu musim perayaan ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk menyampaikan tip-tip mudah mengenai keselamatan jalan raya.

"Saya juga ingin menggalakkan semua pemilik kenderaan Honda supaya menyelenggara dan memeriksa kereta masing-masing di 64 buah pengedar Honda di seluruh negara," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno.

Pemeriksaan ini hanya mengambil masa selama 10 hingga 15 minit. Namun, ia tidak menggantikan sesi penyelenggaraan berkala kenderaan.

Perkhidmatan yang disediakan oleh Honda Malaysia ini bertujuan meningkatkan lagi kepercayaan pelanggan, selain memberi ketenangan jiwa ketika mereka pulang ke kampung halaman.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved