Selasa, 20 Ogos 2013

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Maklumat mengenai Islam di hujung jari

Posted:

Maklumat mengenai Islam di hujung jari

Maklumat mengenai Islam di hujung jari

Oleh SUHANA VERU

MOHAMMED RAFI MOHAMED BIHIR, 39, sering kali berulang-alik ke luar negara demi kerjayanya sebagai seorang ahli perniagaan.

Hakikatnya, sepanjang berada di luar negara terutamanya negara-negara seperti Vietnam, China dan Filipina, bapa kepada tiga orang anak itu sentiasa berhadapan masalah mencari restoran makanan halal.

Justeru, dia terpaksa bertanya kepada kakitangan hotel bagaimana untuk mendapatkan makanan halal sepanjang berada di negara-negara itu.

"Lagipun, saya kurang arif dengan tempat-tempat saya berurusan. Oleh itu, saya terpaksa bertanya kepada orang ramai di kawasan tersebut, selain mencari maklumat melalui internet," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sungguhpun mendapat maklumat menerusi di laman-laman sesawang yang berkaitan, Mohammed Rafi berhadapan dengan satu lagi halangan apabila kebanyakan restoran tersebut telah ditutup malah ada sebahagian kedai berkenaan telah diambil alih oleh perniagaan lain.

"Apabila melalui saat-saat seperti ini, saya tidak mempunyai pilihan selain bergantung kepada roti dan tuna yang dibawa dari Malaysia," jelasnya.

Namun, baru-baru ini dia mula berjinak-jinak menggunakan aplikasi Muslim Pro selepas salah seorang rakannya memperkenalkan aplikasi telefon pintar berkenaan.

"Aplikasi itu sangat membantu kerana memberi pelbagai maklumat berhubung lokasi makanan halal, waktu solat, arah kiblat dan banyak panduan lain yang penting bagi saya," katanya.

APLIKASI Muslim Pro memudahkan umat Islam mencari restoran makanan halal ketika berada di luar negara.


Bertitik tolak dari situ, anak jati Kuala Lumpur itu kini banyak bergantung kepada aplikasi berkenaan apabila berada di luar negara.

"Saya tidak perlu pening lagi kerana kesemua maklumat berkaitan Islam sudah ada di dalam aplikasi ini," tuturnya tersenyum.

Seorang pengguna yang berasal dari United Kingdom yang hanya mahu dikenali sebagai Rizqi pula menyifatkan aplikasi Muslim Pro merupakan antara aplikasi terbaik dan praktikal yang terkandung dalam telefon pintar iPhonenya.

"Saya sering menggunakan aplikasi ini kerana arah kiblatnya sangat tepat. Malah waktu solat akan bertukar mengikut lokasi di mana kita berada.

"Jika saya sibuk bekerja, aplikasi ini akan mengingatkan masuknya waktu solat sekali gus saya tidak terlepas menunaikan tuntutan agama itu," ujarnya.

Aplikasi tersebut diperkenalkan di pasaran oleh Bitsmedia Pte. Ltd. (Bitsmedia), sebuah syarikat pembangun aplikasi mudah alih yang berpangkalan di Singapura, dalam sistem operasi iOS pada tahun Ogos 2010 dan Android pada Mac tahun lalu.

Ia boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play Store dan AppStore. Bagaimanapun, jika pengguna ingin menaik taraf kepada versi premium, bayaran sebanyak RM4.72 akan dikenakan.

Versi tersebut membolehkan pengguna mendengar bacaan al-Quran dalam bentuk audio, membaca terjemahan ayat-ayat suci tersebut dan memilih pelbagai suara bilal yang melaungkan azan.

Aplikasi komprehensif

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bitsmedia, Erwan Mace, 39, Muslim Pro merupakan aplikasi komprehensif terutama bagi umat Islam yang sering bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.

Muslim Pro menyediakan waktu solat berdasarkan lokasi pengguna, penunjuk arah kiblat seluruh dunia dan pencarian restoran halal serta masjid.


APLIKASI Muslim Pro ini telah dimuat turun kira-kira 7 juta kali di seluruh dunia.


"Aplikasi ini amat berguna terutamanya kepada umat Islam yang berkunjung ke luar negara. Melalui aplikasi ini, mereka boleh mencari segala maklumat yang diperlukan," katanya sambil memberitahu rata-rata pengguna memberi maklum balas positif selain pengiktirafan lima bintang terhadap aplikasi itu.

Sejak aplikasi Muslim Pro ditawarkan kepada pengguna di seluruh dunia, aplikasi itu telah dimuat turun kira-kira 7 juta kali, terutama dari negara-negara Islam seperti Arab Saudi, Emeriyah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, Malaysia, Turki, dan Maghribi.

Tidak ketinggalan negara-negara yang mempunyai minoriti penduduk Islam seperti Perancis, Jerman, Rusia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Singapura.

Menceritakan lebih lanjut mengenai aplikasi itu, beliau memberitahu, aplikasi tersebut menggunakan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) untuk mencari senarai restoran halal dan lokasi masjid di sesebuah bandar.

Malah, pengiraan waktu solat dilakukan berdasarkan kedudukan matahari untuk latitud khusus dan longitud dengan menggunakan formula matematik yang tertentu.

Bagi meningkatkan kemahiran dan penghayatan pengguna terhadap ayat-ayat suci al-Quran, beliau menambah, Muslim Pro juga menyediakan audio bacaan kesemua 114 surah al-Quran dan terjemahan yang membenarkan pengguna memilih qari dan bahasa seperti Indonesia, Melayu, Perancis, Itali, Portugis, Turki, Inggeris dan Belanda.

Pelbagai fungsi

Menurut Erwan, aplikasi tersebut bersifat mesra pengguna kerana terdapat lapan menu pilihan iaitu waktu solat, arah kiblat, bacaan al-Quran, senarai cuti umum, 99 nama Asma al-Husna, senarai restoran halal, mod tidur yang membenarkan pengguna mendengar alunan azan penuh secara automatik walaupun peranti pintar mereka dalam mod senyap, penghantaran kad ucapan perayaan dan bantuan tetapan.

"Jadi, pengguna hanya perlu menekan menu maklumat yang ingin dicari. Misalnya, lokasi restoran halal. Selain memaklumkan mengenai nama restoran, ia turut menyalurkan maklumat mengenai jarak restoran tersebut dari lokasi pengguna.


MUSLIM PRO merupakan aplikasi komprehensif bagi membantu umat Islam yang sering bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.


"Aplikasi ini menggunakan sistem navigasi yang memandu pengguna ke lokasi restoran yang dipilih," ujarnya sambil memberitahu aplikasi berkenaan boleh digunakan di seluruh dunia.

Ekoran sambutan memberangsangkan daripada pengguna, beliau memaklumkan, Bitsmedia merancang untuk menambah baik kandungan yang ditawarkan, di samping membangunkannya untuk pelbagai platform peranti pintar dalam mengikuti keperluan terkini masyarakat Islam.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perancangan masa depan, beliau berkata, pihaknya merancang membina aplikasi yang sama itu untuk kegunaan telefon biasa.

Langkah itu, jelas beliau, dilihat dapat memberi peluang kepada semua pengguna Islam untuk menggunakan perkhidmatan tersebut.

"Kami mahu menghasilkan produk yang boleh digunakan oleh semua pengguna Islam. Kami berharap perkhidmatan yang diberikan ini akan menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat yang beragama Islam untuk menghasilkan teknologi berkaitan keperluan agama mereka," tuturnya.

Laluan khas untuk OKU berenang

Posted:

Laluan khas untuk OKU berenang

Laluan khas untuk OKU berenang


SEORANG pesakit paraplegia bersedia untuk melalui laluan khas di pantai Alepochori, Athens, Greece.


SEKUMPULAN penyelidik dari Greece mencipta sebuah laluan bagi memberi peluang kepada orang kelainan upaya (OKU) untuk berenang di laut.

Laluan yang menggunakan sistem tenaga solar itu membolehkan hampir 30 buah kerusi khas yang dilengkapi butang melalui laluan berkenaan dan berada dalam lautan untuk tempoh sehari.

Kerusi itu akan membolehkan individu terlibat merasai keseronokan berada di dalam air pada kedalaman paras pinggang.

Seorang pesakit lumpuh, Lefteris Theofilou, 52, berkata, dia menghabiskan hampir separuh hidupnya berada di atas kerusi roda.

"Saya berasa seolah-olah mimpi kerana pertama kali dapat menaiki kerusi solar untuk berenang dalam laut.

"Tidak pernah terlintas dalam fikiran yang saya boleh berenang sendiri," katanya dengan penuh kegembiraan.

Kemudahan dua peranti serentak

Posted:

Kemudahan dua peranti serentak

Kemudahan dua peranti serentak


SET fon kepala wayarles ini boleh menggunakan dua peranti serentak.


SEGALA-GALANYA kini sama ada kelengkapan diri mahupun aksesori mesti menepati tahap praktikal dan mempunyai gaya yang menyerlahkan identiti si pemilik.

Set fon kepala Jabra Tag tampak mampu menepati cita rasa golongan tersebut, bukan sahaja reka bentuknya menawan, malah mampu memberikan kepuasan mendengar muzik dan berhubung dengan lebih baik.

Reka bentuk fizikalnya berupa sebuah loket tanpa wayar dengan binaan dalam radio FM. Ia boleh digayakan dengan mengantungkan pada leher pengguna.

Jika mahu kelihatan lebih ranggi, klipkan Jabra Tag anda pada pakaian atau beg supaya kelihatan seperti aksesori yang canggih.

Dengan Jabra Tag, anda dapat menikmati muzik kegemaran atau menonton video di laman YouTube menerusi sambungan pelbagai peranti mudah alih sehingga tujuh jam.

Berbual menggunakan aplikasi Skype, kualiti audio yang bermutu tinggi dapat dinikmati sehingga lapan jam.

Menariknya, ia boleh menggunakan dua peranti mudah alih secara serentak selain masih dapat mendengar radio FM, sungguhpun bateri peranti mudah alih itu sudah kehabisan.

Jika mahu menukar set fon kepala dengan yang lain, tag berbentuk loket itu sepadan dengan semua jenis fon kepala.

Namun, harus diberitahu, satu lagi kelebihan fon kepala Jabra Tag ialah ia mampu mengasingkan bunyi bising dari luar daripada didengari pendengar. Seterusnya membolehkan pendengar mendengar muzik atau berbicara dengan lancar dan tanpa sebarang gangguan luar.

Selain fungsi Bluetooth, loket Jabra Tag memudahkan kawalan muzik dan panggilan, menyimpan senarai muzik yang didengari dan menyelaras tahap suara.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved