Rabu, 28 Ogos 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Tegas terhadap anak-anak

Posted:

Tegas terhadap anak-anak

Tegas terhadap anak-anak

APABILA mengenali secara dekat insan yang bernama Didie Alias, tidak dinafikan pelakon dan pelawak itu sentiasa kelihatan ceria dan selalu bergurau senda dengan orang di sekelilingnya.

Tidak hairanlah kalau bertemu dan berbual dengan pemilik nama sebenar Fadzillah Mohammad itu, memang tidak kering gusi dibuatnya dengan celotehnya yang sentiasa mencuit hati dan menghiburkan.

Bagaimanapun, tentunya ramai yang ingin mengetahui latar dirinya dalam dunia sebenar, terutamanya kehidupan seharian yang dilalui bersama ahli keluarga.

Berkesempatan bertemu dengannya semasa acara Anugerah Lawak Warna baru-baru ini, Didie menyatakan kehidupannya sebagai seorang artis dan ibu kepada lima orang anak sememangnya jauh berbeza.

"Selama ini orang melihat saya seorang yang kelakar dan selalu membuat orang lain ketawa, tetapi apabila berada di rumah bersama keluarga, karakter saya memang berbeza.

"Tidak dinafikan, dengan anak-anak, saya memang seorang ibu yang sangat tegas. Kalau saya kekal mengamalkan sikap yang kelakar di rumah, saya risau anak-anak akan hilang rasa hormat," ujar ibu kepada lima orang cahaya mata itu.

Sehingga kini Didie memiliki empat orang cahaya mata perempuan dan seorang lelaki iaitu Nurdhaniyah, 20, Muhammad Dhanial, 19, Nur Dinie, 17, Nur Dayini Ahza, 15, dan Nur Diyana, 14, hasil perkahwinan terdahulu dengan pelakon Ridzuan Hashim.

Tambah Didie, dengan sikapnya yang tegas itu tidak bermakna dia perlu menggunakan kekerasan atau meninggi suara, sebaliknya dia lebih suka mengamalkan sikap toleransi untuk membentuk anak-anak menjadi insan yang baik.


DIDIE di samping tiga orang anak tersayang, Nurdhaniyah, Nur Dinie dan Nur Dayana (kanan) serta suaminya, Isham (kiri) yang turut berkongsi kejayaannya pada majlis Anugerah Lawak Warna.


Mengakui anak-anak memang takut dengan ketegasannya itu, namun dia lebih suka melayan mereka seperti kawan dan akan sentiasa bertanya dan memantau tentang perkembangan diri masing-masing.

"Kalau ada kelapangan dan tidak terlibat dengan sebarang aktiviti seni, saya akan menghabiskan masa di rumah. Dengan masa yang ada itu saya gunakan sebaik-baiknya untuk berborak dengan anak-anak.

"Walaupun mereka melihat saya ini seorang ibu yang tegas, tetapi saya sebenarnya bersikap terbuka dan lebih suka kalau anak-anak berterus terang dan menceritakan segala aktiviti mereka kepada saya," jelasnya.

Berkenaan dengan minat anak-anaknya terhadap bidang seni pula, Didie mendedahkan dia langsung tidak menghalang sekiranya ada antara mereka yang ingin mengikut jejak langkahnya.

Ujarnya, kesemua anaknya itu pernah berlakon dalam drama dan telemovie sebelum ini, malah anak bongsunya iaitu Nur Diyana turut memiliki karakter kelakar seperti dirinya.

"Apa yang saya lihat masing-masing ada bakat untuk menjadi pelakon, cuma mereka tidak menunjukkan minat yang lebih mendalam. Jadi, lebih baik kalau mereka buat apa yang diminati dan saya akan sentiasa menyokong," ujarnya.

DIIKTIRAF. Didie dinobatkan sebagai pemenang Artis Lawak Wanita Paling Popular semasa Anugerah Lawak Warna baru-baru ini.


Penampilan berbeza

Berbalik kepada cerita mengenai imej pelik yang selalu digayakan apabila menghadiri sesebuah acara hiburan, Didie ternyata mempunyai alasan tersendiri.

Jelasnya, tindakannya itu bertujuan untuk menampilkan pelbagai kelainan serta mahu meninggalkan kenangan tersendiri buat dirinya dan para peminat.

"Tidak semua acara saya perlu tampil dengan imej pelik. Semuanya perlu bergantung kepada tema yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur.

"Selepas itu, barulah saya akan berbincang dengan pereka fesyen serta jurumekap tentang penampilan yang akan digayakan supaya tidak nampak terlalu pelik dan melampau," ujarnya.

Mengenai penerimaan kelima-lima anaknya terhadap penampilannya itu, Didie menyatakan mereka cukup memahami bahawa semua yang dilakukan semata-mata mahu mencari rezeki.

Biarpun selalu dicerca dan dikritik segelintir peminat yang kurang gemar dengan caranya itu, pelakon berkenaan menyatakan anak-anaknya merupakan pihak yang paling banyak mempertahankan dirinya.

"Mungkin ramai yang tidak tahu kesemua anak perempuan saya kini telah bertudung. Keputusan yang dibuat itu bukanlah paksaan sesiapa kerana ia atas kerelaan hati.

"Kalau ada yang bertanya bila saya akan bertudung pula, jawapan yang akan diberikan mudah sahaja. Saya anggap perubahan yang ingin dilakukan itu semua kuasa Allah," jelasnya.


DIDIE meraikan kemenangan pada majlis Anugerah Lawak Warna bersama Jasmin Hamid (kanan) dan Zizan Razak.


Hadiah hari jadi

Setelah meraih anugerah Artis Komedi Wanita Popular dalam acara Anugerah Bintang Popular pada April lalu, kali ini Didie menjadi pilihan peminat apabila muncul pemenang Artis Lawak Wanita Paling Popular semasa Anugerah Lawak Warna baru-baru ini.

Menurut isteri kepada Nor Isham Ismail itu, kemenangan yang diraih itu ternyata cukup bermakna kerana ia diraih sehari sebelum usianya yang ke-40.

"Kejayaan yang diraih ini pastinya memberikan kenangan yang begitu istimewa kerana ia diterima semasa saya meraikan ulang tahun kelahiran.

"Selain itu, ia bukan sahaja kejayaan peribadi kerana trofi yang saya genggam ini merupakan sokongan yang tidak putus-putus daripada peminat," ujarnya yang menyambut ulang tahun kelahiran pada 17 Ogos lalu.

Memandangkan usianya kini yang sudah mencapai empat dekad serta anak-anak yang semakin membesar, Didie turut ditebak dengan persoalan tentang sehingga bila dia mahu terus menjadi seorang pelawak.

Menurutnya, dia tidak pernah meletakkan sebarang tempoh tertentu kerana semuanya bergantung kepada rezeki yang diterima serta kepercayaan yang diberikan oleh penerbit dan pengarah.

"Selagi ada mana-mana pihak yang menawarkan saya berlakon komedi, sudah tentu saya akan menerimanya kalau ia bersesuaian dan berbaloi.

"Lagipun dalam industri hiburan sekarang ini kita agak ketandusan pelawak-pelawak wanita. Setakat ini dunia komedi memang didominasi oleh golongan lelaki," jelasnya mengakhiri bicara.

Majlis rumah terbuka Kumpulan Utusan meriah

Posted:

Majlis rumah terbuka Kumpulan Utusan meriah

Majlis rumah terbuka Kumpulan Utusan meriah


ERAT silaturahim. Pengarang Kosmo! (dua dari kanan), Baharom Mahusin, Pengurus Jabatan Pengarang, Syed Agil Syed Jaafar (tengah) dan Penolong Pengarang Utusan Malaysia, Zulkifli Hamzah bersama Datuk Hattan dan isterinya, Datin Arianie.


BIARPUN Syawal semakin meninggalkan kita beberapa hari lagi, namun masih ramai lagi individu mahupun organisasi yang tidak putus-putus mengadakan rumah terbuka.

Menghidangkan juadah raya yang enak seperti ketupat, rendang, sate, mi dan nasi impit, majlis rumah terbuka juga dapat mengeratkan silaturahim sesama manusia.

Majlis rumah terbuka turut dimanfaatkan oleh Kumpulan Utusan. Jumaat lalu bersamaan 23 Ogos, Kumpulan Utusan turut mengadakan rumah terbuka di bangunan baharunya bertempat di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.

Menariknya, rumah terbuka Kumpulan Utusan itu bukan sahaja dihadiri hampir 3,000 tetamu yang terdiri daripada Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bersama isteri, Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim serta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Hampir 30 artis yang terdiri daripada penyanyi dan pelakon hadir pada majlis yang bermula pada pukul 3 petang itu. Antaranya, Datuk Siti Nurhaliza dan suaminya Datuk Seri Khalid Jiwa, Datuk Yusof Haslam, Datuk Hattan dan isteri, penyanyi Indonesia Astrid serta pasangan popular Rozita Che Wan dan Zain Saidin.

PASANGAN yang sedang menghitung hari bergelar suami dan isteri, Rozita Che Wan dan Zain.


Menurut penyanyi Astrid atau nama sebenarnya Astrid Sartiasari, dia sangat berbesar hati dapat menghadirkan diri buat pertama kali ke majlis rumah terbuka Kumpulan Utusan.

"Saya gembira kerana dijemput hadir ke majlis ini. Kalau di Indonesia ia disebut halal bi halal kalau di sini (Malaysia), rumah terbuka ya? Makanan-makanan yang disediakan juga sangat enak," ujarnya kepada Kosmo!.

Astrid yang kembali langsing selepas melahirkan anak sulungnya, Alec Djuara, 8 bulan, turut menyampaikan lagu popularnya Tentang Rasa pada majlis tersebut.

Sementara itu, pelakon jelita Rozita Che Wan turut melahirkan rasa gembira kerana dapat menghadirkan diri ke majlis rumah terbuka Kumpulan Utusan.

Majlis yang diacarakan oleh pelawak Didie Alias dan juga penyampai radio Nasional FM, Muaz itu turut dimeriahkan dengan persembahan beberapa artis seperti Pretty Ugly, Zali Redang, Nomad, Saleem dan Astrid.

Hanez tolak cinta sesama artis

Posted:

Hanez tolak cinta sesama artis

Hanez tolak cinta sesama artis

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

HANEZ SURAYA tidak menyangka hubungan cinta sesama artis yang dijalinkannya bersama bekas kekasihnya, Awi Rafael menemui jalan kesukaran.


APABILA pelakon Hanez Suraya menjalinkan hubungan cinta dengan penyanyi kelahiran Singapura, Awi Rafael, ramai yang melihat mereka merupakan pasangan yang cukup serasi.

Bagaimanapun, ikatan cinta yang terjalin tidak sampai setahun akhirnya terlerai dan masing-masing telah mengambil keputusan untuk membawa haluan sendiri.

Ketika bertemu dengan Hanez pada majlis rumah terbuka anjuran Media Prima di Kuala Lumpur baru-baru ini, pelakon drama bersiri Autumn Di Hatiku itu mengakui dia masih belum berjumpa pengganti yang sesuai.

Ujarnya, memiliki pasangan hidup bukanlah matlamat utamanya sekarang dan mengakui hidupnya lebih bebas dan selesa tanpa mempunyai sebarang komitmen dengan mana-mana lelaki.

Kosmo!: Sejak putus cinta dengan Awi, adakah Hanez cuba didekati oleh lelaki lain?

HANEZ: Bohonglah kalau saya katakan tiada lelaki lain yang ingin mendampingi saya. Cuma, saya lebih selesa untuk berkawan sahaja dan belum bersedia untuk bercinta semula.

Lagipun agak terlalu awal kalau saya hendak mencari pengganti. Sekiranya menjalinkan hubungan yang lebih serius dengan seseorang, saya perlu ambil masa untuk mengenalinya.

Apakah kriteria utama lelaki pilihan Hanez?

Paling utama, lelaki tersebut bukanlah seorang artis. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu lagi bercinta dengan artis dan mahu memilih orang biasa sebagai teman hidup.

Mungkin ramai yang bertanya kenapa saya mempunyai pendirian sebegini, tetapi berdasarkan pengalaman yang telah dilalui rasanya itulah pilihan yang terbaik boleh saya lakukan.

Dahulu, saya sangka cukup senang apabila mendapat pasangan sesama artis ini. Bagaimanapun, ia tidak seperti yang diharapkan dan puncanya lebih kepada komitmen terhadap kerjaya masing-masing.

Pada usia yang sudah mencecah 28 tahun, adakah keluarga tidak mendesak Hanez supaya berumah tangga?

Sebenarnya saya beruntung kerana memiliki keluarga yang cukup memahami. Setakat ini mereka langsung tidak bertanya tentang perkahwinan dan mahu saya sendiri yang tentukannya.

Apabila pulang ke kampung dan menziarahi saudara-mara sempena Aidilfitri, tiada sebarang pertanyaan yang diajukan kerana mereka tahu saya kurang gemar untuk menjawab soalan berkaitan perkahwinan.

MENGANGGAP kontroversi yang melanda dirinya sebagai pengajaran, Hanez Suraya kini mengambil sikap untuk tidak cepat melatah.


Bagaimanakah pula Hanez melihat perjalanan karier sendiri pada tahun ini?

Saya bersyukur kerana rezeki dalam dunia lakonan semakin bertambah hasil usaha keras yang dilakukan. Namun begitu, apa yang dikecapi juga merupakan sokongan padu daripada para peminat.

Populariti dan kontroversi terhadap Hanez dilihat berlaku seiringan. Jadi, bagaimanakah anda melihat keadaan ini?

Tidak dinafikan kontroversi memang turut membantu menaikkan tahap populariti seseorang artis, tetapi saya akan cuba sedaya upaya untuk menepis segala cerita negatif yang membabitkan diri saya.

Bergelumang dalam kehidupan sebagai seorang artis, kontroversi itu merupakan sebahagian daripada asam garam yang terpaksa ditempuhi. Jadi, saya tidak mahu terlalu cepat melatah dan anggap ia sebagai satu pengajaran yang berguna dalam kehidupan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved