Ahad, 28 Julai 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Mia Sara ajak minum susu

Posted:

Mia Sara ajak minum susu

Mia Sara ajak minum susu

MILK Mug pelbagai reka bentuk ditawarkan oleh Dutch Lady bagi menggalakkan kanak-kanak minum susu untuk tumbesaran dan kesihatan mereka.


DUTCH Lady Milk Industries Berhad (Dutch Lady Malaysia) bersama duta baharu bagi Susu Untuk Membesar Dutch Lady, Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan, 8, telah melancarkan kempen Susu dan Sahur di MegaKidz, pusat beli-belah MidValley, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kempen tersebut bertujuan menggalakkan kanak-kanak meminum susu sewaktu bersahur kerana ia mampu memberi tenaga ketika berpuasa.

Dalam usaha untuk memberi inspirasi dan galakan kepada kanak-kanak di seluruh negara, Mia Sara berazam untuk berpuasa penuh sepanjang bulan Ramadan ini.

Sambutan Ramadan kali ini juga dimeriahkan dengan azam Dutch Lady untuk mendermakan segelas susu kepada rumah anak yatim terpilih berdasarkan jumlah hari kanak-kanak yang berpuasa.

Mia Sara yang berpuasa sebulan penuh pada usia tujuh tahun membuat azam bersama-sama 20 kanak-kanak daripada Rumah Amal Siraman Kasih, Rawang, Selangor yang merupakan salah sebuah rumah anak yatim terpilih untuk kempen tersebut.

Pengaruh positif

"Kempen ini bukan sahaja menggalakkan kanak-kanak berpuasa dan meminum susu, tetapi memberikan mereka peluang untuk membantu kanak-kanak kurang bernasib baik.

"Sebagai selebriti kanak-kanak, kami yakin Mia Sara dapat memberikan pengaruh positif kepada kanak-kanak lain dengan menyemai gaya hidup sihat seperti meminum susu, berpuasa sepanjang bulan Ramadan serta mengambil berat terhadap golongan yang kurang bernasib baik," kata Pengarah Pemasaran Dutch Lady Malaysia, Anja Henze.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai kempen tersebut boleh mendapatkan kalendar Susu dan Sahur secara percuma di kedai-kedai terpilih mulai 1 Julai lalu.

Kalendar berkenaan mengandungi tip dan petikan inspirasi daripada Mia Sara bagi menggalakkan kanak-kanak berpuasa.

Tandakan pada kotak di dalam kalendar bagi menunjukkan hari kanak-kanak berpuasa dan hantarkan kembali kepada Dutch Lady Malaysia sebelum 17 Ogos depan.

Selain membantu kanak-kanak kurang bernasib baik, lima pemenang bertuah berpeluang menyambut hari raya bersama Mia Sara pada bulan September ini.

Pada majlis sama, Dutch Lady Malaysia turut melancarkan Milk Mug baharu yang boleh didapati bermula dari 1 Julai sehingga 31 Ogos ini.

Milk Mug diperkenalkan agar kanak-kanak berasa seronok ketika menikmati susu.

"Di Dutch Lady, kami ingin menjadikan pengalaman meminum susu untuk membesar sebagai pengalaman yang menyeronokkan bagi kanak-kanak.

"Jadi, kami telah menghasilkan pelbagai siri Milk Mug menarik yang sesuai mengikut peringkat umur kanak-kanak bagi menggalakkan mereka meminum lebih banyak susu," kata Anja.

Promosi berkembar

Dutch Lady Milk Mug juga boleh didapati dengan setiap pembelian pek promosi berkembar (2 Pek Susu 1 kilogram) bagi Susu Untuk Membesar Dutch Lady 123, Susu Untuk Membesar Dutch Lady 456 atau Susu Untuk Membesar Dutch Lady 6+.

Milk Mug ditawarkan dalam lima reka bentuk berbeza, The Bee (kuning), The Elephant (ungu) dan The Crab (merah) untuk kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun, sementara reka bentuk yang lebih terkini bersama tali ditawarkan dalam warna biru (untuk kanak-kanak lelaki) dan merah jambu (untuk kanak-kanak perempuan), buat kanak-kanak berusia empat tahun ke atas.

Bersempena pelancaran Dutch Lady Milk Mug, permainan video Facebook berjudul Moo-It, Moo-It yang dimulakan pada 15 Jun lalu turut diperkenalkan.

Peserta boleh menggunakan lima watak Milk Mug untuk merebut peluang memenangi hadiah bernilai sehingga RM6,000.

Untuk keterangan lanjut tentang kempen Susu dan Sahur, Dutch Lady Milk Mug dan permainan video Facebook Moo-It, Moo-It, sila layari www.smartmoments.com atau www.facebook.com/DutchLady. SmartMoments.

Minat memasak sejak kecil

Posted:

Minat memasak sejak kecil

Minat memasak sejak kecil

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

PENGASAS Jamu Mak Dara ini sudah memiliki beberapa koleksi buku resipi untuk dikongsi bersama khalayak.


PADA usia mencecah 68 tahun, keterampilan pengasas produk Jamu Mak Dara, Halimah Shuib masih mampu menarik perhatian ramai.

Kudratnya juga masih kuat untuk melakukan kerja-kerja rumah termasuk membuat kuih-muih yang ditempah oleh kenalan terdekat dan menyediakan hidangan berbuka untuk keluarga.

Mesra membahasakan diri sebagai Ibu, beliau mengakui memasak merupakan minatnya sejak kecil. Menurut anak kelahiran Rengit, Johor itu, pada usia lima tahun lagi, dirinya sudah cenderung untuk ke dapur.

"Waktu itu Ibu rajin bertanya tentang apa sahaja yang berkaitan masakan pada arwah emak. Macam-macam soalan akan ditanya ketika berada di dapur. Sebab itulah, apabila meningkat remaja, Ibu sudah mahir memasak pelbagai juadah.

"Bagi Ibu, sebagai wanita sama ada mempunyai kerjaya atau tidak, kita harus belajar memasak. Walau sesibuk mana sekalipun, pastikan kita memperuntukkan waktu menyediakan hidangan untuk keluarga.

"Ini kerana air tangan seorang ibu itu mempunyai nilai yang tinggi dalam kehidupan. Ia mampu menjadi pengikat kasih sayang sesama ahli keluarga. Seperkara lagi, jangan cepat putus asa jika masakan yang dibuat tidak menjadi. Cuba dan terus cuba hingga berjaya," ujar Halimah ketika ditemui Kosmo! di kediamannya di Ulu Kelang, Selangor baru-baru ini.

Lantaran bakat yang dimiliki, Halimah kini sudah mempunyai beberapa koleksi buku resipi yang dihasilkan semata-mata untuk dikongsi bersama pembaca.

Terbaharu buku bertajuk Air Tangan Mak Dara yang diterbitkan oleh Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. telah berada di pasaran. Ia memaparkan 58 jenis resipi enak Halimah menggunakan bahan utama seperti ayam, daging, kambing, ikan, sotong, udang dan ketam.

"Buku ini sesuai untuk mereka terutamanya wanita yang mungkin baru berjinak-jinak untuk ke dapur. Malah, ia juga boleh menjadi panduan dan rujukan buat kaum ibu untuk menyediakan pelbagai hidangan menarik untuk seisi keluarga.

"Setiap sajian dimasak secara mudah dan langkah penyediaan turut disertakan dengan teratur sekali gus membolehkan pembaca mencuba resipi ini sendiri di rumah," ujarnya.

Antara menu istimewa yang terdapat dalam buku ini ialah ayam masak bunga kantan, opor betawi, daging temasik, kambing kasturi, gulai babat, botok-botok tempe, buncis goreng kerisik dan sambal ikan bilis kukus.

Selain Air Tangan Mak Dara, buku lain yang turut diterbitkan ialah Masakan Tradisi Johor, Kek Istimewa Bersalut Krim, Fondan & Coklat serta Mudah Membuat Kek Bila-Bila Masa.

Menurut ibu kepada enam cahaya mata itu, dia gemar menulis resipi di dalam buku. Oleh itu, apabila ada pihak yang sudi memberi peluang untuk menerbitkannya dalam bentuk buku, Halimah menerima dengan tangan terbuka.

"Apa yang penting, Ibu mahu berkongsi resipi warisan yang dipelajari bersama khalayak. Moga ia memberi manfaat pada pembaca kelak," jelas Halimah sambil tersenyum.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved