Kosmo Online - Rencana Utama |
Jalani kehidupan serba kekurangan Posted: Jalani kehidupan serba kekuranganOleh MOHAMMAD HAFIZ AHMAD KESEMPITAN wang disebabkan bilangan adik-beradik yang ramai memaksa Ummu Asma' Zainal, 15, meninggalkan alam persekolahan. Walaupun hatinya terasa berat, dia sanggup berkorban. Kali terakhir dia menikmati keriuhan rakan-rakan sekelasnya ialah semasa di tingkatan satu. Selepas itu, ibu bapanya tidak mampu lagi untuk membayar yuran persekolahan remaja yang mesra dengan panggilan Ummu ini. Ummu tabahkan hati dan memadamkan seketika cita-cita bergelar doktor bagi membantu kedua-dua ibu bapanya yang hidup dalam kedaifan. Selama dua tahun, Ummu membantu ibunya berniaga kuih-muih bagi mencari rezeki untuk seisi keluarga. "Ayah tidak dapat bekerja dan hanya terlantar di rumah akibat kemalangan yang menyebabkan kakinya patah. Dia dijaga oleh abang dan saya pula membantu ibu berniaga kuih-muih di bazar," ujar anak ke-11 daripada 12 orang adik-beradik ini. Niat untuk belajar tidak pernah padam dalam diri anak kelahiran Salak Tinggi, Sepang, Selangor ini. Lantas, atas saranan abangnya, Ummu dimasukkan ke Wisma Amal Cahaya Bistari yang terletak di Selayang Baru, Batu Caves, Selangor. Kewujudan pusat itu diketahui Ummu melalui seorang rakan yang mempunyai teman yang menuntut di tempat sama. Hampir sebulan berada di Wisma Amal, Ummu banyak belajar mengenai al-Quran dan hadis bersama 60 penghuni lain yang mempunyai perjalanan hidup hampir sama dengannya. PENGHUNI Wisma Amal diajar mendirikan solat sejak usia kanak-kanak. "Saya bersyukur berada di sini kerana berpeluang meneruskan pembelajaran dalam bidang agama. "Walaupun rindu untuk bersama keluarga, kehadiran saya di sini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban keluarga," ujarnya dalam kesayuan memandangkan tahun ini merupakan kali pertama dia menyambut Ramadan jauh daripada keluarga. Wisma Amal menempatkan anak-anak yatim, fakir miskin, asnaf, remaja insaf dan perlindungan sementara kepada mereka yang memerlukan. Didirikan atas inisiatif beberapa individu, Wisma Amal berdiri utuh dengan dana dan ihsan masyarakat sekeliling. Didaftarkan atas nama Pusat Jagaan Cahaya Bistari, setiap penghuni diberi bimbingan dari sudut akidah, ibadah dan akhlak agar hidup mereka bertepatan dengan sunah dan tuntutan agama. Minat pelajar Mereka diajar bahasa Arab, menghafal al-Quran dan hadis, cara solat dan mata pelajaran yang berpandukan buku Sekolah Agama Rakyat Johor. Selain didikan agama, mereka juga diterapkan kemahiran menjahit, masakan, kraf tangan, sulaman dan bakeri. "Kelas kemahiran bergantung kepada minat pelajar. Mereka akan dihantar belajar di luar atau mendapat bantuan daripada sukarelawan yang datang mengajar di Wisma Amal," ujar Norriah Ali, 38. Norriah merupakan antara tulang belakang yang menggerakkan Wisma Amal. "Kami mempunyai tiga orang tenaga pengajar tetap yang mengajar agama dan kemahiran. Selain itu, terdapat juga sukarelawan yang terdiri daripada pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi dan individu yang membantu dalam proses pengajaran," ujarnya. KERINDUAN terhadap keluarga terubat dengan kehadiran rakan-rakan. Biskut raya Satu ruang di tingkat satu pusat itu dikhaskan untuk penghuni Wisma Amal membuat kerja-kerja bakeri. Pelajar yang mempunyai kemahiran tersebut akan menyediakan biskut-biskut untuk dijual di gerai atau kedai berdekatan. Hasil jualan tersebut akan digunakan untuk perbelanjaan bulanan Wisma Amal. Sayangnya, kekurangan barang-barang asas menyebabkan mereka membuat biskut raya dalam kuantiti yang sederhana. "Kami hanya mempunyai satu alat pembakar biskut. Kekurangan bahan mentah menyebabkan pelajar menghasilkan kuih dalam kuantiti yang sedikit," jelas Norriah. Bangunan empat tingkat berwarna biru itu diapit oleh rumah-rumah kedai di sekitarnya. Walau luarannya nampak cantik, kehidupan penghuninya serba kekurangan. Wisma Amal setakat ini tidak dinaungi oleh mana-mana syarikat atau persatuan seperti kebiasaan rumah kebajikan di sekitar Lembah Klang. Bahkan, premis itu juga tidak dilimpahi kemudahan dan kelengkapan yang mencukupi. "Setakat ini, kami belum menerima bantuan secara tetap. Sumber kewangan hanya melalui sumbangan ikhlas beberapa individu yang tahu tentang kewujudan kami. "Sumbangan pula tidak tetap, kadangkala ia berupa makanan atau bahan asas seperti beras dan tepung. Kebiasaannya orang ramai memberi sumbangan makanan pada hari tertentu seperti Isnin, Jumaat dan Sabtu. "Pada hari itu, kesemua penghuni Wisma Amal akan berpuasa, maka individu tersebut akan menghulurkan makanan untuk berbuka puasa," jelas Norriah. Tambahnya, jika tidak mendapat bantuan, mereka akan bersama-sama memasak juadah makanan harian dengan sukatan yang sederhana. "Kami tidaklah makan mewah, cukup sekadar menghilangkan lapar dan dahaga," kongsinya. Norriah menyambung, kesempitan wang menyebabkan mereka berjimat cermat berbelanja terutamanya apabila menggunakan peralatan elektronik dan bahan api. "Bayangkan keperluan bulanan mencecah hampir RM30,000. Ia belum lagi termasuk perbelanjaan tambahan yang lain," luah Norriah. JUADAH bersahur dan berbuka dimasak secara bergotong-royong dengan bantuan daripada seorang pengajar. Kedatangan Ramadan disambut serba sederhana. Norriah bersyukur kerana keberkatan bulan mulia itu memberi rezeki kepada Wisma Amal apabila ia mendapat bantuan pendidikan dan kewangan daripada peniaga kuih-muih tradisional daripada syarikat Mukbi Foods, Siti Fatimah Md. Ali. Kolaborasi antara pengusaha tempatan itu memberi peluang kepada anak-anak Rumah Amal untuk mempelajari teknik pembuatan kuih dan keusahawanan. "Selama tiga bulan, beberapa orang penghuni Rumah Amal belajar di kilang kami cara-cara membuat beberapa jenis kuih daripada pekerja Mukbi Foods dan saya sendiri. "Selepas itu, mereka akan bersama-sama membantu membuat kuih yang ditempah pelanggan. Sebagai penghargaan, Mukbi Foods akan memberi sumbangan kepada Rumah Amal dan elaun kepada pelajar," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan