Kosmo Online - Pesona |
Air dan buah elakkan dehidrasi Posted: Air dan buah elakkan dehidrasiOleh NURUL IZZA ROSLY SEMUA sedia maklum bahawa saat menjelangnya Ramadan umat Islam wajib berpuasa bermula dari terbitnya fajar hingga terbenam matahari. Namun, puasa bukan alasan untuk menjadi tidak produktif, lemah, lesu, dan berwajah kusam. Ya, berpuasa mempunyai kesan kepada tubuh. Apabila tubuh tidak mendapat makanan atau minuman buat jangka masa yang lama, ia pasti memberikan sedikit kejutan kepada sistem tubuh. "Ketika bulan puasa, kita akan kehilangan lebih kurang 2,000 mililiter (ml) cecair dalam badan setiap hari melalui air kencing, peluh dan ketika bernafas. Kehilangan cecair ini berbeza antara individu bergantung kepada aktiviti dan tahap kesihatan mereka. "Kita biasanya menggantikan cecair yang hilang ini selepas otak memberi isyarat haus yang menandakan badan memerlukan cecair tambahan. Namun, ketika Ramadan kita tidak boleh minum pada siang hari dan hanya boleh berbuat demikian ketika berbuka puasa dan pada sebelah malam," kata Perunding Dermatologi di Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Nazirin Ariffin. Tambahnya, penggantian semula cecair yang hilang sewaktu berpuasa sangat penting kerana seseorang memerlukan antara enam hingga lapan gelas atau dua liter air sehari. Air diperlukan bagi mengelakkan dehidrasi, merengus, sakit kepala, marah dan lemah. Kekurangan air juga menyebabkan kulit mudah kering lebih-lebih lagi bagi mereka yang mengalami masalah ekzema. Pengambilan cecair tidak semestinya air sahaja, bahkan buah-buahan dan sayur-sayuran. Jaga berat badan Jadi, pengambilan lebih banyak air ketika bersahur perlu bagi mengelakkan dehidrasi pada siang hari. "Ketika berpuasa, usus kita berehat selama beberapa jam serta memberikan masa kepada badan untuk melakukan detoksifikasi, serta memperbaiki dan membentuk semula sel-sel yang rosak. BUAH-BUAHAN perlu dimakan terlebih dahulu sebelum mengambil makanan lain. "Sungguhpun begitu, ramai yang berhadapan dengan masalah kenaikan berat badan semasa bulan puasa disebabkan pengambilan makanan yang salah khususnya semasa bersahur," ujarnya. Jelasnya, ada segelintir orang makan pada tengah malam dan kemudian terus tidur kerana tidak mahu bangun sahur lagi. Cara tersebut adalah salah dan tidak sihat. Dalam Islam, lebih afdal sahur dilewatkan iaitu ketika waktu hampir imsak dan tidak tidur selepas itu sebaliknya terus menunaikan solat Subuh. Andai mahu menurunkan berat badan, mulakan makan dengan buah-buahan sebelum menjamah makanan lain. "Membeli makanan di luar seperti bazar Ramadan juga wajar dikurangkan kerana kita tidak tahu apa yang diletakkan di dalam makanan tersebut. Berapa banyak minyak, santan, bahan perasa dan bahan pengawet? "Namun, jika kita memasak sendiri juadah, kita boleh mengawal jumlah bahan-bahan tersebut dan membuat penggantian ramuan. Contohnya, bagi menggantikan santan, kita gunakan susu rendah lemak dan yogurt," katanya. Menyentuh mengenai masalah gastrik pula, Nazirin memberitahu, individu yang mengalami masalah tersebut perlu merujuk kepada doktor.
Katanya, penghidap gastrik boleh mengambil ubat gastrik pada waktu malam atau ketika bersahur. Jadi tiada alasan untuk golongan itu tidak berpuasa. Menurut Nazirin, beliau sendiri mempunyai masalah gastrik, namun baginya berpuasa atau tidak, tiada bezanya. Malah, ketika berpuasa episod gastriknya berkurangan. Ini kerana perut tidak menghasilkan asid berikutan tiada makanan di dalamnya. Dalam pada itu, Perunding Dietetik, Dr. Indra Balaratnam memberitahu, diet rakyat Malaysia lebih kepada pengambilan karbohidrat dan kebanyakan mereka tidak menitikberatkan pengambilan makanan sihat lagi seimbang. Kondominium makanan "Sepatutnya, separuh daripada pinggan kita diisi dengan sayur-sayuran, suku lagi ialah nasi dengan saiz hidangan sebesar tapak tangan dan bahagian suku lagi diisi dengan protein. "Tetapi orang kita biasanya penuhkan pinggan dengan nasi terlebih dahulu dan lauk di atasnya seperti mahu membina kondominium pula. Keseimbangan pula langsung tiada," ujarnya sambil memberitahu, pengambilan makanan yang sihat boleh dilihat melalui organ terbesar kita iaitu kulit. Latih diri untuk mengambil lebih banyak air dan pastikan stok makanan berkhasiat ada di rumah supaya tidak perlu membeli juadah berbuka dengan kerap. Andai terlalu sibuk, masak makanan dan simpan di dalam peti sejuk dan panaskan apabila mahu makan. "Biasanya apabila tiba musim perayaan, seseorang boleh mengalami pertambahan berat badan antara 3 kilogram (kg) hingga 5kg atau lebih. JIKA membeli makanan di luar, seseorang itu tidak boleh mengawal jumlah minyak dan lemak yang digunakan dalam masakan. - Gambar hiasan "Ini semua berlaku kerana masing-masing mengambil makanan lebih daripada jumlah normal. Tambahan pula pada bulan puasa mereka tidak aktif, tidak melakukan senaman dan tidak banyak berjalan," katanya sambil memberitahu, pertambahan dan penyusutan berat badan secara mendadak boleh menyebabkan kulit meregang. Bagi yang menitikberatkan soal kecantikan kulit, mereka seharusnya mengambil lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran kerana ia mengandungi antioksida semula jadi. Namun, agak menyedihkan apabila kaji selidik mengenai pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam kalangan rakyat Malaysia mendapati, lebih 92 peratus rakyat negara ini tidak mengikuti panduan makanan seimbang iaitu tiga sajian sayur dan dua sajian buah-buahan. "Ketika berbuka puasa jangan makan dengan cepat kerana kita akan berasa senak perut. Makan secara sederhana. Mulakan dengan buah-buahan, sayur, sup dan kemudiannya makanan berat, "Makan dengan perlahan. Apabila mengunyah perlahan, kita akan lebih menikmati rasa makanan dan itu akan membuatkan kita rasa kenyang," ujar Indra. | |
Sahur penting untuk si kecil berpuasa Posted: Sahur penting untuk si kecil berpuasaOleh NIZHA PERIASWAMY KANAK-KANAK harus digalakkan bersahur bagi memastikan mereka tidak keletihan ketika berpuasa. SEPANJANG bulan Ramadan ini, syarikat penyedia minuman malt berperisa koko, Milo, melancarkan laman web mobil yang pertama seumpamanya untuk kemudahan memeriksa waktu berbuka dan imsak selain menyediakan maklumat berguna tentang nutrisi serta pemakanan sepanjang Ramadan melalui laman web www.milo.com.my/ramadan. Sangat bermanfaat untuk ibu bapa yang mempunyai anak kecil, laman web itu turut membuka ruang untuk mereka mencuba pelbagai elemen. Mereka boleh berbincang di laman forum, membaca tip pemakanan dan fakta-fakta nutrisi, berkongsi bahan serta menghantar kad hari raya dalam talian. Laman web itu juga berguna kepada para ibu untuk membimbing anak kecil mereka berpuasa buat kali pertama. Satu lagi elemen baharu dan segar yang diperkenalkan oleh Milo dalam laman web itu ialah rangkaian chatting secara langsung bersama pakar nutrisi Nestle. Ia bermula sejak 11 Julai lalu pada setiap hari Khamis dari pukul 12.30 tengah hari hingga 1.30 petang. "Chatting secara langsung ini selain bagi memperkenalkan minuman Milo, ia menawarkan satu platform untuk ibu-ibu mengakses maklumat nutrisi bersama pakar Nestle. "Ia juga sebagai tapak untuk Milo mendapat maklum balas yang boleh digunakan bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan produk Milo pada masa hadapan," kata Pengarah Eksekutif Unit Perniagaan Tenusu Nestle, Ho Hau Chieh. Dalam pada itu, pakar nutrisi Nestle yang akan ke udara dalam sesi chatting secara langsung itu, Nurul Iliani Ahmad teruja untuk bertemu ibu bapa secara dalam talian. "Ibu bapa harus mempelbagaikan makanan khususnya sewaktu bersahur kerana ia akan membekalkan tenaga kepada anak-anak yang berpuasa. "Dalam laman web ini, ibu bapa boleh berkongsi idea serta saling berinteraksi dan memperoleh maklumat lanjut daripada pakar," kata Iliani. Beliau juga menyarankan agar ibu bapa memperbanyakkan makanan berprotein supaya nutrisi dapat dibekalkan sepanjang hari. Antara cadangan makanan untuk bersahur menurut Iliani ialah roti gandum penuh, telur, tuna, ayam, buah-buahan serat tinggi dan minuman yang boleh membekalkan tenaga.
"Jangan terlebih makan. Bersahurlah seperti mengambil sarapan dan kekalkan amaun yang sama. Ia bukan pengganti awal untuk makan tengah hari. Beri galakan "Satu lagi, apabila mengambil minuman seperti Milo, gunakan susu tepung, khususnya untuk kanak-kanak. Jangan gunakan susu manis kerana kandungan gulanya sangat tinggi," ujar Iliani. Dalam pertemuan yang sama, Pakar Pemakanan, Dr. Norimah A. Karim serta Pakar Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja, Dr. Fairuz Nazri Abdul Rahman turut memberikan maklumat tambahan. Norimah memberitahu, tidak kira apa jua makanan yang diambil, amalan merujuk kepada amaun hidangan seperti yang dicadangkan dalam piramid makanan amat penting. "Ia satu penunjuk yang sihat tidak kira sewaktu berbuka, bersahur ataupun pada hari-hari biasa," katanya. Ditanya tentang cara melatih kanak-kanak berpuasa, beliau mengakui ia satu tugas yang berat dan memerlukan kesabaran. "Ibu harus tahu apa yang perlu diberikan semasa bersahur supaya si kecil kekal bertenaga," ujarnya. Tambah Norimah, satu lagi elemen diet anak-anak yang harus diawasi ibu bapa ialah pengambilan lapan gelas air sehari supaya si kecil terbabit tidak terhidrat lebih-lebih lagi pada musim panas. "Memang agak sukar untuk anak-anak bersahur, tetapi ibu bapa boleh menggalakkannya sebagai satu rutin berpuasa. Tidak kisah walaupun sekadar makan makanan ringan," tambah Norimah. Fairuz pula berkongsi pengalaman mendidik anaknya berpuasa. Tuturnya, kebiasaannya kanak-kanak mempunyai semangat kendiri yang tinggi untuk berpuasa, namun ibu bapa pula yang berasa terlalu bimbang. Katanya, sokongan terhadap anak-anak yang berpuasa harus dijadikan satu proses yang berterusan dan membabitkan semua ahli keluarga. "Si kecil mudah dipengaruhi oleh apa yang dilakukan orang lain, misalnya berpuasa. Jadi ibu bapa atau ahli keluarga perlu menjadi contoh yang baik. "Saya akan bertanya kepada anak jika mereka bersedia untuk berpuasa walaupun ramai ibu bapa yang mula melatih anak mereka pada usia yang sangat muda. "Bagi saya mereka perlu benar-benar bersedia. Apabila bersedia, kita harus menyemat perasaan bahawa ia dilakukan secara bersama. "Jangan lupa membalas usaha mereka sama ada dengan kata-kata pujian atau makanan kesukaan mereka sewaktu berbuka," saran beliau. | |
Posted: Mengimarahkan RamadanRAMADAN merupakan masa terbaik bagi umat Islam meningkatkan amalan kepada Allah. ASSALAMULAIKUM dan salam Ramadan kepada sekalian pembaca setia Kosmo! yang sedang menjalani ibadat puasa masuk hari ke-10. Langit dan bumi bergembira kerana kedatangan Ramadan, begitu juga umat Islam di segenap pelosok bumi. Ramadan dianggap bulan pesta ibadah dan bulan bagi rohani mendapat vitaminnya. Ucap syukur pada Allah dan selawat salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW. Ramadan membawa erti panas terik yang memang kebiasaannya pada bulan ini cuaca panas terik cukup untuk menjadi cubaan dan ujian kepada umat Islam. Allah SWT memerintahkan Nabi Muhammad dan umatnya berpuasa Ramadan pada bulan Syaaban tahun kedua hijrah dengan terwahyunya firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183 dan 184: "Wahai orang yang beriman, puasa itu diwajibkan ke atas kamu sebagaimana ia telah diwajibkan kepada umat-umat sebelum kamu, mudah-mudahan (dengan puasa itu) kamu bertakwa. "Berpuasalah pada hari-hari yang ditetapkan. Barang siapa daripada kalangan kamu yang sakit atau bermusafir, maka gantilah puasa yang kamu tinggalkan itu pada hari-hari yang lain (di luar bulan Ramadan). "Dan wajiblah ke atas mereka yang tidak berdaya untuk berpuasa itu membayar fidyah iaitu memberi makan kepada seorang miskin. Maka barang siapa yang melakukan kebaikan itu secara sukarela maka ia adalah suatu kebaikan bagi dirinya. Sesungguhnya berpuasa itu adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui." Keadaan pada zaman Rasulullah itu panas terik dengan hawa panas padang pasir pada siang, namun tetap gagah iman baginda dan umatnya menjalani ibadah puasa tersebut, bagaimana pula dengan anda? Ramadan ialah bulan ujian bagi orang yang beriman dan keimanan itu tertakluk kepada setinggi mana kecintaan kita kepada Allah. Disebabkan itu, baginda dan para sahabatnya sanggup melalui ujian beribadah kepada Allah kerana ketinggian cinta buat Pencipta sehingga sanggup berlapar dan dahaga pada siang hari dan sebelah malamnya berjaga untuk beribadah kepada Allah. Ayuh bermuhasabah saudara-saudaraku tentang sejauh mana cinta kita kepada Allah dan sanggupkah kita meninggalkan segala kehendak syahwat serta melawan semua kemahuan yang melampaui batas? |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Pesona To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan