Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Memasak satu terapiHARI itu, tidak terlihat sesuatu yang glamor pada diri Amy Search. Sebaliknya, beliau menyambut kedatangan kami ke kediamannya pada Ramadan ke-10 dengan hanya berseluar panjang dan kemeja-T berwarna kelabu. Penampilannya jauh meninggalkan imej glamor atau rockstar yang sering dibawa dalam setiap persembahannya. Ironi, ia sangat bertepatan dengan tujuan pada hari itu. Amy pada hari itu, perlu masuk ke dapur, menunjukkan kepakarannya dalam bidang masakan - satu kebolehannya yang cukup terkenal dalam kalangan ahli keluarga atau kenalan rapatnya. Malah, dengan berlapang dada beliau menerima kehadiran kami yang mahu merakam momen dan menikmati air tangan seorang rockstar sepertinya. Sempat juga, sehari sebelum sesi fotografi berlangsung, Amy pening kepala memikirkan menu yang mahu dihidangkan. Nak makan apa? Nak saya masak apa? Begitu antara persoalan yang diajukan beberapa kali sebelum keputusan dibuat - memasak hidangan ringkas yang menjadi menu seharian mereka sekeluarga. Tak perlu memasak nasi beriyani atau masakan yang luar biasa hanya untuk menunjukkan kepakarannya memasak. Lantas, tauhu sumendang, ikan kurau masin, sambal kerang, kari ikan bawal dan ulam-ulaman menjadi juadah berbuka puasa yang ringkas tetapi satu nikmat buat kami semua. Diusik masakannya setaraf peserta Masterchef, Amy hanya ketawa mengekeh. Beliau lantas berbicara tentang kebolehannya memasak. "Saya mula memasak sewaktu usia belasan tahun. Waktu itu, arwah ayah bekerja sebelah petang, jadi kalau saya tak memasak, saya akan lapar. Jadi saya pun cuba memasak nasi goreng dan sebagainya, barangkali dari situ, saya kira skil masakan saya terasah," ujarnya. Cerita anak kelahiran Johor Bahru itu lagi, tamat persekolahan, apabila beliau mula hidup merantau ke ibu kota, memasak sendiri sudah menjadi rutin hariannya. Sebagai anak rantau yang tidak punya banyak wang untuk selalu makan di kedai, alternatif terbaik adalah memasak sendiri. REBUT dapur. Amy dan Nourish sering bekerjasama memasak hidangan berbuka puasa. "Masa baru sampai di Kuala Lumpur, saya memang tak bawa banyak wang. Kalau ada pun, cukup-cukup untuk turun naik bas pergi cari kerja dan selalunya kami berkongsi makan ramai-ramai, sama macam senario orang bujang yang lain. "Jadi alternatif mahu makan sedap kenalah pandai memasak dan saya gunakan skil memasak yang saya ada pada waktu itu untuk memasak bagi rumah bujang kami," katanya. Mampu masak lauk-pauk kampung Sambil tersenyum, Amy memberitahu, hidangan pertama yang dipersembahkan kepada teman-teman serumah ialah mee hun goreng. Katanya: "Saya ingat lagi, saya pergi ke telefon awam dan telefon mak saya di kampung minta resipi macam mana nak masak mee hun goreng." Dan kini, bukan hanya mee hun goreng yang mampu dimasak pelantun lagu Fantasia Bulan Madu ini, sebaliknya, beliau hampir mampu memasak segala lauk-pauk kampung. Malah bagi rakan-rakan rapat atau ahli keluarganya, mereka sudah mempunyai masakan khusus yang digemari hasil air tangan penyanyi ini. Ditanya lauk yang mendapat permintaan paling tinggi, Amy memberitahu ia mengikut selera masing-masing. Namun, katanya hidangan ringkas seperti sambal sardin sehingga asam pedas daging, sup tulang dan ayam masak hijau selalu menjadi pilihan tetamu yang ingin bertandang ke kediamannya. Amy kemudian meluahkan persepsinya terhadap tanggapan segelintir khalayak terhadap lelaki, terutama suami yang masuk ke dapur untuk memasak sebagai tidak maskulin atau bersifat tidak seperti ketua rumah tangga. Bagi Amy, beliau tidak pernah terfikir bahawa apabila beliau masuk ke dapur dan memasak, ia mampu menjatuhkan statusnya sebagai ketua keluarga. Sebaliknya, jelas Amy, memasak merupakan satu terapi buat dirinya. Terkadang, beliau sendiri berebut dapur dengan isterinya, Nourish untuk memasak. Ujar Amy juga, sebagai seorang lelaki, ilmu memasak itu perlu dan bagi lelaki yang handal memasak, itu bonus kerana tidak semua lelaki yang mampu memasak dengan baik. "Untuk saya, memasak itu merupakan satu terapi diri. Saya suka ke dapur memasak untuk keluarga atau tetamu saya. Dan bila saya mula memasak, saya jadi cerewet kerana saya mahukan ia bermutu dan kelak memberi kepuasan kepada mereka yang menikmati air tangan saya," katanya. HIDANGAN ringkas menjadi pilihan Amy sekeluarga. Dari kiri: Qaqa At Tameemi, Amy, Sania Samara, Alexender Zulkarnain dan isterinya, Nourish. Elak pembaziran Ditanya tentang menu berbuka puasa yang sering menjadi pilihan keluarganya, ulas Amy, mereka sekeluarga jarang membeli lauk pauk di luar. Malah, beliau sendiri kurang gemar berbuka di restoran atau hotel, kecuali atas jemputan. Jelasnya, sebagai seorang yang tidak makan banyak sewaktu berbuka, beliau beranggapan berbuka di hotel merupakan satu pembaziran. "Saya jenis tidak makan banyak. Waktu berbuka, cukup buat saya hanya ada kurma atau kuih tradisional seperti badak berendam, kuih puteri mandi atau buah melaka. "Justeru, saya kira adalah satu pembaziran jika saya berbuka di luar. Saya memang senang berbuka di rumah dengan keluarga dan memasak sendiri menu berbuka. Biar ringkas, tetapi kena dengan selera kami," ujarnya yang tidak menafikan berkunjung ke bazar Ramadan untuk mencari kuih atau makanan tertentu. | |
Posted: Mawi nafi kelentong stokisOleh KHAIRUL AMRI HASSAN
TUJUH bulan beroperasi, produk kecantikan milik pasangan penyanyi popular, Mawi dan Ekin bertemu titik kontroversi apabila didakwa telah menipu wakil pengedar di beberapa buah negeri. Penipuan itu membabitkan urusan promosi produk yang tidak dilaksanakan dengan betul. Lebih tepat lagi pihak ibu pejabat yang berpangkalan di Bangi, Selangor tidak menjalankan promosi yang secukupnya. Produk kecantikan UneQuien pada dasarnya dimulakan secara perniagaan dalam talian (online) oleh Mawi dan Ekin sebelum dilancarkan secara rasmi baru-baru ini. UneQuien merupakan produk pemakanan kesihatan dan penjagaan kulit yang kini telah mempunyai lebih 40 stokis di seluruh negara. Mengulas lebih lanjut mengenai dakwaan Mawi menipu beberapa buah stokis sehingga menyebabkan kerugian, Kosmo! mendapatkan penyanyi yang popular dengan lagu Aduh Saleha itu ketika majlis berbuka puasa Jootawan di Kelab Golf Bangi, Selangor baru-baru ini. Ikuti temu bual tersebut. Kosmo!: Mawi didakwa telah menipu beberapa buah stokis sehingga menyebabkan kerugian. Apakah penjelasan anda? MAWI: Sejak daripada awal penubuhan UneQuien lagi promosi sudah giat dijalankan sama ada menerusi akhbar, majalah dan televisyen. Sekarang pun pihak kami masih meneruskan iklan di stesen radio IKIM fm. Jadi tidak timbul isu perniagaan yang saya usahakan ini teruk dan berdepan pelbagai isu termasuk penipuan daripada segi promosi. Adakah anda mempunyai masalah dengan stokis atau wakil pengedar dari negeri-negeri lain selain Selangor? UneQuien sudah mempunyai 40 buah stokis dan merancang untuk mengembangkan lagi perniagaan kami. Mereka yang sudah bersetuju untuk menjadi stokis perlu bekerja keras bukan hanya mengharapkan pihak ibu pejabat semata-mata untuk menjalankan promosi. Saya tidak pasti stokis yang mahu bernaung di bawah syarikat kami sebab ingin menggunakan nama saya atau sebab-sebab lain. Jadi, stokis juga perlu membuat promosi dan mempunyai strategi sendiri untuk menjual produk masing-masing. MAWI dan Ekin menafikan mereka menipu dan mempunyai masalah dengan stokis produk mereka, UneQuien. Bagaimanakah anda melihat dakwaan ini menjejaskan perniagaan anda dan isteri? Inilah cabaran yang saya harus lalui dan selama lapan tahun berada dalam industri seni pun lebih banyak dugaan yang sudah saya tempuhi malah lebih teruk daripada sekarang. Ujian ini membuatkan saya lebih kuat tapi saya perlu memperjelaskan isu ini supaya tidak timbul masalah lain pada masa akan datang. Adakah mungkin ada pihak yang mahu menjatuhkan bisnes anda dengan menyebarkan khabar angin sebegini? Tiada perkara atau kejayaan boleh dilalui dengan mudah. Mahu atau tidak, kita perlu lalui liku-liku yang sukar untuk diduga. Ini adalah lumrah dan menjadi kebiasaan dalam bidang perniagaan, itulah manusia. Jadi, bagi saya selagi saya membuat kerja saya di tempat yang benar dan telus, tiada apa-apa yang perlu saya takutkan. Selepas ini mungkin UneQuien akan muncul dengan produk terbaharu pula? Kami akan melancarkan produk terbaharu kopi khas untuk golongan lelaki selepas hari raya Aidilfitri. Kini, produk UneQuien pun sudah bertambah dan terbaharu adalah teh tarik Malaika yang menggunakan ramuan menyihatkan antaranya stevia, madu dan habatus sauda. Selain itu, sempena bulan Ramadan, kami melancarkan tujuh perisa air berkarbonat keluaran sendiri. Beralih pada jadual aktiviti anda sepanjang bulan puasa, apakah projek terkini anda? Saya baru selesai penggambaran program realiti Dari Pondok ke Bosnia untuk tayangan di Astro Ceria pada 27 dan 28 Julai serta 3 dan 4 Ogos. Saya membawa tiga orang anak-anak tahfiz dari Pulau Pinang melawat beberapa tempat menarik di Bosnia dan masyarakat Islam di sana. Selain itu saya terbabit mengacarakan Kapsul Ramadan sebanyak 30 episod untuk Astro Ceria dan terkini baru selesai penggambaran muzik video Namamu Asma'mu yang menampilkan Jeff A to Z. | |
Ashraf kahwin dua bukan sebab zuriat Posted: Ashraf kahwin dua bukan sebab zuriatOleh NOOR ASHREEN ISMAIL ASHRAF berharap selepas ini tiada lagi spekulasi negatif dibuat terhadap dirinya yang berpoligami. BARU-BARU ini dunia hiburan tanah air digemparkan dengan berita Ashraf Muslim berkahwin di Thailand bersama Wan Sakinah Ahmad Saburi. Terus sahaja ia mengundang spekulasi bahawa Ashraf berpoligami tanpa kebenaran isteri pertamanya, Noor Dayana Lokman. Ternyata selepas perkhabaran tersebut, Ashraf dan Sakinah dikritik hebat oleh pihak luar yang masih samar tentang berita yang sampai ke telinga mereka itu. Namun, ketika ditemu bual oleh Kosmo! secara eksklusif beberapa hari yang lalu, Ashraf mengakui dia sememangnya telah berkahwin dengan Sakinah pada 7 Julai lalu. Selepas segala spekulasi tersebut heboh diperkatakan, Ashraf muncul buat kali pertama mengadakan sebuah sidang akhbar kelmarin. Apakah sebenarnya yang terjadi? Ikuti temu bual Kosmo! bersama Ashraf pada sidang akhbar di MARAkesh, Menara Mara, Kuala Lumpur baru-baru ini. Ashraf turut menjawab tentang beberapa spekulasi seperti puisi yang dikatakan ditulis oleh Dayana dan isu isteri pertamanya itu dikatakan masuk hospital kerana tertekan apabila mendapat tahu dia telah dimadukan. Kosmo!: Kenapakah Ashraf dan Sakinah berkahwin di luar negara (Thailand)? Ashraf: Bila saya memfailkan (di mahkamah) untuk berpoligami, ada tindakan luar jangkaan. Kita tahu proses mahkamah mengambil masa yang agak lama, bukan dalam tempoh singkat. Jadi, disebabkan ramai sudah buat spekulasi (tentang poligami), saya buat keputusan untuk berkahwin di Thailand. Berapa lama tempoh anda berfikir sebelum membuat keputusan berkahwin di sana? Berbulan-bulan juga saya fikir untuk membuat keputusan ini. Siapa yang ada bersama anda dan Sakinah pada majlis pernikahan tersebut? Keluarga saya, adik-beradik saya serta seluruh keluarga Sakinah hadir. Saya bawa hampir 30 orang ahli keluarga daripada kedua-dua belah pihak. Bukan saya kahwin lari seperti yang dihebohkan sebelum ini. Namun, adakah Dayana memang tidak tahu tentang perkahwinan Ashraf dengan Sakinah kerana khabarnya perkahwinan kedua anda itu terbongkar selepas Dayana terjumpa tiket kapal terbang (ke Thailand) dalam beg pakaian Ashraf? Memang saya tidak mahu memberitahu Dayana pada awalnya. Memang saya bercadang untuk memberitahu dia selepas majlis (perkahwinan) tersebut. Namun, saya tahu hatinya terluka dan sedih. Saya minta maaf banyak-banyak dengan dia. Isteri mana yang tidak sedih apabila terjadinya perkara sebegini. Saya minta elok-elok (dengan mahkamah untuk berpoligami) tetapi tidak seperti yang disangka, jadi saya rasa inilah jalan yang terbaik. Mengenai tiket kapal terbang yang dijumpai Dayana itu, saya memang ingin beritahu dia pada keesokan harinya. Namun, memang Tuhan mahu tunjukkan kebenaran kepadanya, saya tidak mampu untuk menolak ketentuan Allah. Saya pujuk dia dan terangkan kepadanya elok-elok. Hati perempuan, saya perlu faham. ASHRAF mengakui sudah mempertemukan isteri pertamanya, Dayana (foto kiri) dengan isteri keduanya, Sakinah (foto kanan) yang baru dikahwininya pada 7 Julai lalu. Berapa lamakah anda sudah mengenali Sakinah? Sudah lama saya berkawan dengan dia. Setelah mengahwini Dayana, adakah Ashraf masih lagi berkawan dengan Sakinah? Memang kami berkawan seperti biasa. Cuma memang saya ada niat, namun takut perasaan itu bercelaru. Saya akui sebagai manusia, saya tidak sempurna. Semasa berkawan juga saya pernah terfikir perkara sebegini (berkahwin). Tapi ketika itu kami masih lagi kawan biasa. Bilakah anda mula menyimpan niat mahu mengahwini Sakinah? Saya tidak boleh beritahu niat itu bila, namun keputusan untuk bernikah dibuat tahun ini juga. Di manakah sebenarnya tempat anda berdua bernikah? Tempat itu namanya Patalong. Ia terletak antara Bangkok dan Hatyai. Mungkin ada cadangan ingin mengadakan kenduri selepas ini? Memang ada setelah kesemua perkara ini selesai dan reda. Saya mahukan yang terbaik untuk semua orang termasuk isteri dan keluarga. Namun, ia bukanlah majlis yang besar, hanya kenduri doa selamat. Fokus saya kini adalah ingin meredakan keadaan terlebih dahulu sebelum memikirkan perkara yang lain. Saya buat sidang akhbar ini untuk menjelaskan kesemuanya agar keadaan menjadi reda dan tiada lagi spekulasi selepas ini. Jadi selepas ini, anda bertiga tinggal bersama atau berasingan? Berasingan. Dayana masih tinggal bersama saya. Benarkah spekulasi mengatakan anda berkahwin kerana zuriat? Tidak benar. Saya berkahwin kerana memang saya mahu berkahwin dengan Sakinah bukan kerana zuriat. Bagaimanakah penerimaan Sakinah tentang perkara ini kerana sudah pastinya dia merupakan orang yang paling teruk dikritik? Ya betul. Memang dia agak tertekan, namun saya berpesan kepadanya supaya bersabar. Ini kerana kita memang tidak boleh menutup mulut orang. Saya juga menyuruh dia mendengar apa yang saya katakan agar kami bahagia bersama. Sakinah dan Dayana memang ada keluar bersama dan saya biarkan supaya mereka berdua berbincang secara elok. Pernahkah Dayana minta diceraikan atau seumpamanya? Tidak pernah sama sekali. Kita perlu berfikir ke depan dan bagaimana ingin menjadi lebih baik. Walau bagaimanapun, saya ingin meminta maaf kepada semua pihak, terutamanya pihak media kerana mungkin ada sesetengah perkara yang saya perlu rahsiakan. Ini kerana apabila tentang hal keluarga, perlu banyak menjaga hati mereka. Saya mengaku ini semua silap saya. Boleh komen tentang tersebarnya puisi yang dikatakan dikarang oleh Dayana? Itu semua bukan dikarang oleh Dayana dan dia juga tiada masa untuk semua itu, malahan dia juga bukan seorang yang pandai berpuitis. Bagi saya, orang ambil kesempatan untuk menambah lagi spekulasi terhadap saya. Tentang Dayana masuk hospital, memang benar. Namun, ia bukan kerana dia tertekan sebaliknya kerana demam. Jika boleh, saya minta jangan aibkan keluarga mertua saya, baik ayah atau mak mertua saya (ibu bapa Dayana) kerana saya sayangkan mereka. Saya sayang isteri-isteri saya dan semua keluarga saya. Harapan anda selepas ini? Saya minta supaya semua mendoakan saya yang baik-baik. Saya tidak pernah mengaibkan orang lain, jadi janganlah mereka juga mengaibkan saya, keluarga saya serta keluarga mertua saya. Saya hanya mahukan yang terbaik buat keluarga dan diri saya dan jika boleh kami dapat meneruskan kehidupan dengan baik. Jika suatu hari nanti Dayana dan Sakinah bersetuju, saya akan bawa mereka dan membuat sesi bergambar dengan pihak media kami bertiga (ketawa). Apakah pula perkembangan terkini karier seni Ashraf? Saya masih lagi menguruskan syarikat produksi saya Al-Hidayah Production dan juga syarikat baharu saya iaitu Uwaez yang menjual produk pewangi yang boleh digunakan untuk solat. Perubatan Islam saya sudah tidak lakukan lagi, namun mungkin selepas keadaan reda mungkin saya bakal mulakan semula, insya-Allah. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan