Ahad, 19 Mei 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Malaysia tumbang

Posted:

Malaysia tumbang

Malaysia tumbang

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my

KIEN Keat (belakang) dan Boon Heong gagal menyumbang mata kemenangan skuad negara selepas tewas kepada beregu Taiwan pada aksi pembukaan peringkat Kumpulan C Kejohanan Badminton Piala Sudirman di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.


APA sudah jadi dengan skuad badminton negara? Taiwan pun tak mampu untuk diatasi pada aksi pembukaan peringkat Kumpulan C Kejohanan Badminton Piala Sudirman di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.

Pada perlawanan tersebut, skuad negara tewas 2-3 kepada Taiwan, negara yang kurang terkenal dengan sukan badminton.

Untuk memburukkan lagi keadaan, beregu No. 3 dunia, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong gagal menyumbang mata kemenangan selepas tewas kepada lawan mereka, Lee Sheng Mu-Tsai Chia Hsin 18-21, 18-21.

Kem Malaysia menaruh keyakinan kepada beregu utama negara itu untuk meraih mata keramat itu, tetapi gandingan Koo-Tan tidak mampu mengatasi lawan mereka itu yang turun buat kali pertama mewakili skuad negara mereka pada kejohanan berprestij itu.

Sebelum itu, Malaysia meraih dua mata menerusi kemenangan pemain perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei dan beregu campuran yang digalas Chan Peng Soon- Goh Liu Ying.

Chong Wei tidak menghadapi masalah untuk menjinakkan lawannya, Yang Chih Hsun 21-8, 21-13 untuk menghadiahkan mata pertama buat skuad negara.

Mata kedua pula diraih menerusi Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang terpaksa bekerja keras sebelum menundukkan Lu Ching Yao-Lai Chia Wen 25-23, 21-11 dalam tempoh 31 minit.

Kekalahan yang dialami Koo-Tan telah memberi tekanan kepada pemain perseorangan wanita negara, Sonia Cheah Su Ya untuk mencari mata kemenangan dan seperti dijangka, Sonia tewas kepada Tai Tzu Ying dengan keputusan 7-21, 13-21.

Mata kemenangan Taiwan diraih menerusi beregu wanita mereka, Chen Wen Hsing-Hsieh Pei Chen yang menewaskan pasangan negara, Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei 21-17, 21-19.

Chong Wei selaku kapten skuad negara meminta agar semua pemain tidak cepat mengalah walaupun tewas pada perlawanan pertama peringkat kumpulan.

Ujar Chong Wei, skuad negara harus bangkit pada aksi kedua Kumpulan C menentang Jerman esok bagi memastikan peluang Malaysia untuk melangkah ke peringkat separuh akhir tercapai.

"Saya memang tidak sangka Koo-Tan tewas pada perlawanan hari ini (semalam). Sonia pula mungkin berada dalam keadaan tertekan kerana diturunkan untuk kali pertama pada Piala Sudirman.

"Walaupun tewas, kita tidak boleh menyalahkan pemain, kami harus bersedia untuk menentang Jerman Selasa ini.

"Saya harap kami akan dapat meraih kemenangan ke atas Jerman sambil mengharapkan Taiwan tewas pada perlawanan kedua mereka nanti kepada Jerman.

"Esok (hari ini) tiada perlawanan, jadi kami boleh berehat dan menilai segala kelemahan yang berlaku pada perlawanan pertama hari ini (semalam)," jelas Chong Wei.

KLHC juara Piala TNB

Posted:

KLHC juara Piala TNB

KLHC juara Piala TNB

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril.abdullah@kosmo.com.my


PARA pemain KLHC meraikan kejayaan mereka selepas muncul juara Piala TNB hasil kemenangan 2-1 ke atas TNB pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.


KELAB Hoki Kuala Lumpur (KLHC) berjaya menjulang trofi ke-13 Liga Hoki Malaysia (MHL) selepas mengalahkan musuh tradisi, Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2-1 pada perlawanan akhir Piala TNB di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Kejayaan tersebut merupakan gelaran berganda ketiga berturut-turut buat skuad kendalian Muhd. Dhaarma Raj Abdullah itu yang turut menjuarai Liga Premier musim ini.

Sebelum ini, mereka memenangi gelaran berganda pada musim 2011 dan 2012, dan ironinya, kedua-dua kejayaan itu dilakar selepas menewaskan pasukan yang sama.

Bagi TNB pula, kekalahan ini sudah pasti amat pahit untuk ditelan selepas mereka sekali lagi dibayangi musuh ketat mereka itu dalam tiga kejuaraan musim ini iaitu dalam Piala Sumbangsih, Liga Premier dan Piala TNB.

Kedua-dua kelab tersebut masing-masing terikat dengan pencapaian 12 kejuaraan sebelum turun beraksi di final malam tadi, namun KLHC kini berjaya mengatasi kehebatan TNB yang lebih banyak mendominasi saingan MHL sejak diperkenalkan pada 1987.

Pada aksi semalam, TNB mendahului seawal minit kelima menerusi jaringan Amir Farid Ahmad Fuzi.

Begitupun KLHC bangkit menyamakan kedudukan hasil jaringan Mohd. Syamim Mohd. Yusof pada minit ke- 15 sebelum Muhammad Imran muncul wira pasukannya dengan menjaringkan gol kemenangan menerusi pukulan penalti lima minit sebelum permainan tamat.

Sebagai juara, KLHC membawa pulang hadiah kemenangan bernilai RM70,000 manakala TNB pula meraih RM50,000 selaku naib juara.

Sapura pula memenangi RM40,000 untuk tempat ketiga selepas menewaskan Maybank 2-1 pada aksi penentuan ketiga/keempat kelmarin.

Maybank menerima habuan berjumlah RM30,000.

Saingan Piala Presiden pula, menyaksikan TNB Thunderbolts menerima hadiah wang tunai RM30,000 sebagai juara setelah menumpaskan UiTM 4-2 menerusi penentuan pukulan penalti pada satu lagi final petang semalam.

Selaku naib juara, UiTM membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000.

Harimau Muda 'berwajah baharu'

Posted:

Harimau Muda 'berwajah baharu'

Harimau Muda 'berwajah baharu'

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


KIM SWEE (kiri) membayangkan akan memanggil beberapa pemain baharu untuk menyertai latihan skuad Harimau Muda.


BEBERAPA lagi pemain berpotensi dijangka mengikut jejak langkah penyerang muda Sarawak, Junior Eldstal 'berguru' bersama Harimau Muda di Slovakia pada masa terdekat.

Pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa pemain daripada pasukan Liga Super dan Liga Premier untuk menjalani latihan bersama skuad muda negara selepas ini.

"Beberapa lagi pemain akan dipanggil mengikuti latihan sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2013 di Kazan, Rusia Julai depan," kata Kim Swee menerusi Twitter peribadinya kelmarin.

Bagaimanapun, Kim Swee tidak mendedahkan nama beberapa pemain berkenaan.

Semalam, Kosmo! melaporkan kenyataan jurulatih Sarawak, Robert Alberts yang mengesahkan Junior, 21, yang juga pemain kacukan Malaysia-Sweden akan menjalani latihan bersama Harimau Muda di Slovakia bermula Julai depan.

Untuk rekod, Harimau Muda masih gagal memburu kemenangan sulung sepanjang berguru di Eropah kali ini.

Siri ujian persahabatan itu merupakan medan pemanas badan skuad muda negara sepanjang berguru selama lima bulan di Eropah sebagai persiapan awal mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar penghujung tahun ini.

Selain tumpas 0-3 dan 0-4 kepada dua kelab Hungary, Kaposvari FC dan FGSZ Siofok, mereka juga tewas sebanyak dua kali dalam dua pertemuan dengan kelab Slovakia, MSK Zilina (1-4 dan 2-3) serta dibelasah 1-7 oleh skuad Bawah 21 tahun (B-21) Georgia.

Terbaharu, skuad muda negara juga tumpas 0-2 kepada kelab Divisyen Satu Slovakia, Nitra FC baru-baru ini.

Selain itu, taring Harimau Muda juga tampak tumpul apabila sekadar melakar keputusan seri 1-1 dengan skuad B-19 Slovakia serta terikat tanpa jaringan ketika berdepan skuad B-19 Norway sebelum ini.

Selain dijadualkan mengharungi Pestabola Merdeka, Ogos depan, Harimau Muda juga membawa cabaran negara dalam temasya Universiade 2013 di Kazan dari 6 hingga 17 Julai depan dan hanya kembali ke tanah air sebelum Aidilfitri.

Ketika ini, anak-anak buah Kim Swee hanya menjalani latihan intensif selama dua minggu di Slovakia sebelum bertolak ke Republik Czech bagi mengharungi beberapa lagi aksi persahabatan di sana.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved