Rabu, 17 April 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Hans, Neelofa kunci mulut

Posted:

Hans, Neelofa kunci mulut

Hans, Neelofa kunci mulut

SEJAK pelakon muda, Neelofa menjadi pilihan utama Hans Isaac untuk filem arahannya iaitu Lemak Kampung Santan, gosip cinta antara mereka mula bertiup kencang.

Gosip itu semakin panas apabila mereka menjalani penggambaran filem tersebut pada Oktober, 2011. Baik Hans mahupun Neelofa, masing-masing tidak memberi sebarang pengesahan yang sahih tentang status hubungan mereka.

Kenyataan yang sering diberikan mereka: "Kami berkawan rapat dan selesa antara satu sama lain."

Dalam satu temu bual sebelum ini, Hans pernah mengakui berkenalan rapat dengan keluarga Neelofa.

Bagaimanapun, pada sidang media filem Lemak Kampung Santan baru-baru ini, Hans enggan berkongsi kisah peribadi dirinya dengan media.

"Saya tidak mahu gosip cinta dan cerita tentang hubungan kami menjadi cerita yang lebih besar daripada filem saya. Sebab itu saya mengadakan sidang media sekarang meskipun filem saya akan ditayangkan lambat lagi," katanya.

Sungguhpun begitu, Hans mengakui dia tertarik kepada Neelofa saat pertama kali bertemu dengannya pada sesi uji bakat yang dijalankan.

"Sejujurnya saya langsung tidak mengenali siapa Neelofa sebelum bekerja dengannya. Sebelum memilih Neelofa saya telah mempunyai pilihan pelakon wanita yang lain, jauh lebih senior daripadanya.

"Namun, waktu itu Aziz M. Osman mencadangkan kepada saya supaya mengambil Neelofa. Selepas bertemu dengannya buat pertama kali kami terus serasi.

"Benarlah kata Aziz, Neelofa seorang pemikir, bukannya pelakon yang cantik dan kejar glamor semata-mata," tuturnya.

Tambahnya, pada sesi uji bakat, Neelofa telah mengejutkan dirinya kerana berjaya melontarkan skrip seperti pelakon senior meskipun ketika itu dia masih terlalu baru dalam dunia lakonan.

"Saya tertanya-tanya juga, pandai atau tidak dia berlakon? Selepas melihat sendiri bakatnya saya cukup yakin dan terus mengambilnya untuk watak Tiga.

"Sejak berkerja sama, kami berdua mula rapat. Apa yang saya suka tentangnya, dia boleh buat saya ketawa," ujarnya.

GOSIP cinta Hans, Neelofa bukan gimik untuk pancing penonton.


Ditebak mengapa sebelum ini Hans lebih terbuka berkongsi kisah cintanya, jawab Hans, dia telah belajar daripada kesilapan lalu.

"Sebelum ini memang saya bersikap terbuka dengan siapa saya bercinta tetapi dengan sikap terbuka itu saya telah mendapat banyak masalah.

"Saya penat untuk menjawab soalan yang sama berulang kali. Rasanya cukuplah saya dikenali dengan gosip cinta kerana apa yang saya inginkan andai saya tiada lagi di dunia ini ialah pencapaian saya dalam industri seni," balasnya.

Kata Hans, filem yang tidak cukup bagus sahaja akan menggunakan gosip cinta sebagai gimik untuk melariskan filem mereka.

"Selalunya penerbit yang menggunakan gosip cinta sebagai gimik untuk lariskan filem kerana mereka tidak yakin dengan filem sendiri.

"Jujurnya, zaman 80-an banyak produksi filem menggunakan cara tersebut untuk melariskan filem. Hollywood juga tidak terkecuali.

"Sekarang sudah tahun 2013, tidak mungkin saya akan menggunakan cara yang sama untuk memancing penonton ke pawagam," ujarnya.

Jika sudah berkata begitu, sudah pasti Hans sangat yakin dengan kualiti Lemak Kampung Santan yang dihasilkan dengan kos mencecah RM1.7 juta itu.

"Ya, memang saya cukup yakin filem saya berkualiti. Saya mempunyai barisan pelakon yang terbaik dan saya sendiri memastikan setiap babak di pawagam berbaloi untuk ditonton," jelasnya.

Permaisuri

Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor mengakui, gosip cinta yang bertebaran tidak dirancang. Bukan itu sahaja, gosip cinta itu tidak mengganggu konsentrasinya ketika berlakon bersama Hans.

"Ketika gosip itu hangat diperkatakan, kami sedang berada pada akhir penggambaran. Terus-terang, saya langsung tidak terganggu dengan gosip itu.

"Saya tidak akan sesekali mencampurkan urusan kerja dengan urusan peribadi. Saya juga kunci mulut tentang kisah peribadi, apa yang saya boleh katakan kami berkawan baik, itu sahaja," balas pelakon berusia 24 tahun itu.

Sambung pelakon kelahiran Kelantan itu, sepanjang penggambaran Lemak Kampung Santan selama 45 hari, dia diberi layanan bak permaisuri oleh Hans.

"Memang cukup berbeza ketika berada di set penggambaran Hans. Semuanya cukup lengkap. Makanan, tempat rehat dan karavan yang lengkap dengan penghawa dingin. Rasa seperti permaisuri (ketawa).

"Kemudahan itu bukan untuk saya seorang sahaja, tetapi untuk semua pelakon yang terlibat, jadi jangan salah faham," tuturnya berseloroh.

Tambahnya, terlibat dalam filem tersebut pada tahun pertama menceburi bidang seni telah mengangkat dirinya ke tahap yang lebih tinggi kerana dikelilingi oleh pelakon-pelakon yang berkaliber selain skrip filem yang cukup menarik.

"Apabila berlakon dalam filem ini saya dapat rasa diri saya berada setingkat lebih tinggi kerana pelakon sekeliling saya semuanya hebat-hebat.

"Mereka tidak lokek memberikan ilmu untuk saya menjadi pelakon yang lebih baik. Ini antara filem yang saya tidak sabar untuk penonton beri respons kerana saya buat sehabis baik," katanya tentang filem keempat lakonannya itu.

NEELOFA dan Hans memilih untuk tidak membicarakan soal peribadi secara lantang.


Hero

Menerusi filem terbitan Tall Order Production Sdn. Bhd. tersebut, Hans membawakan watak utama sebagai Ridzuan. Pada masa yang sama Hans juga memegang tanggungjawab sebagai penulis skrip serta pengarah.

Walaupun ia turut dibintangi oleh barisan pelakon gred A seperti Harun Salim Bachik, Awie, Natasha Hudson dan Khir Rahman, namun Hans seperti tidak mahu memberi peluang kepada pelakon lain untuk memegang watak utama.

Saat diajukan persoalan tersebut kepadanya, Hans menjawab: "Selepas berfikir panjang, saya tidak melihat ada pelakon yang mampu menggalas watak tersebut.

"Ini kerana watak Ridzuan itu sangat urban seperti diri saya sendiri. Tidak ada pelakon lain yang sesuai untuk watak itu selain diri saya sendiri."

Bercakap mengenai pemilihan pelakon pula, Hans mengatakan dia memilih pelakon yang bersesuai dengan watak, bukannya popular semata-mata.

"Setiap watak yang saya pilih cukup sesuai dengan pelakon. Saya cukup bertuah kerana mendapat pelakon-pelakon yang berjuang untuk industri filem.

"Mereka memberikan yang terbaik. Tidak sukar untuk mengarahkan mereka semua kerana mereka tahu apa yang perlu dilakukan di hadapan kamera," balasnya tentang filem yang diklasifikasikan sebagai PG13 (boleh ditonton oleh kanak-kanak yang berumur 13 tahun ke bawah tetapi dengan pengawasan ibu bapa) oleh Lembaga Penapisan Filem.

Filem Lemak Kampung Santan yang bakal ditayangkan pada Jun ini bergenre komedi, drama dan misteri mengisahkan seorang pemuda bandar Ridzuan (Hans Isaac) yang jatuh cinta dengan gadis kampung bernama Tiga (Neelofa).

Ridzuan menyembunyikan identitinya, seorang pereka binaan dan dalam proses membina sebuah resort di Kampung Santan. Projek itu memaksa semua penduduk berpindah.

Bagaimanapun, terdapat misteri di Kampung Santan yang disembunyikan Tiga dan semua penduduk kampung tersebut.

Uqasha mahu tinggalkan MIG

Posted:

Uqasha mahu tinggalkan MIG

Uqasha mahu tinggalkan MIG

Oleh FATEN SAPHILLA MOHD ISA

UQASHA sedar dia sudah melanggar kontrak yang tidak membenarkan dia bercinta.


NAMA Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen atau Uqasha tiba-tiba mencuri perhatian peminat apabila gambar dia berpegangan tangan bersama pelakon filem Rock Oo dan Bunohan, Pekin Ibrahim di Phuket, Thailand tersebar di laman sesawang.

Ramai yang membuat andaian mengatakan kakak kepada pelakon Nelydia Senrose itu bercinta dengan Pekin. Walaubagaimanapun kedua-dua pelakon itu menafikannya dan memberitahu kepada media yang mereka hanya berkawan rapat.

Belum lagi reda dengan gosip percintaan mereka, terbaharu timbul pula cerita mengenai pihak MIG Talent yang berasa kurang senang dengan pendedahan gambar kemesraan kedua-dua pelakon itu. Ini kerana Uqasha merupakan artis residen MIG Talent.

Memang termaktub dalam kontrak, apabila bergelar artis residen MIG Talent, seseorang pelakon itu dilarang menjalin hubungan cinta. MIG Talent merupakan anak syarikat kepada syarikat Metrowealth International Group (MIG) milik pengarah David Teo.

Disebabkan tekanan yang diberi oleh pihak MIG Talent, pelakon cantik berusia 21 tahun itu dikhabarkan nekad untuk keluar daripada syarikat tersebut selepas tamat kontrak kelak. Begitupun, Uqasha memberitahu, langkah itu bukan diambil disebabkan Pekin semata-mata.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Uqasha seterusnya.

Kosmo!: Sejak bilakah anda menjadi artis residen MIG Talent?

UQASHA: Sejak bulan November tahun lepas.

Bilakah kontrak anda akan tamat?

Kontrak saya akan diperbaharui setahun demi setahun.

Benarkah sebagai artis MIG anda tidak dibenarkan bercinta?

Ya, tetapi memang saya bercadang mahu keluar daripada MIG.

Anda masih berbaki tujuh bulan lagi kontrak bersama MIG. Jadi bagaimana?

Mungkin saya akan meninggalkan MIG selepas kontrak tamat. Saya sebenarnya enggan mengulas lanjut mengenai perkara ini kerana ia akan membuatkan beberapa pihak terasa.

Kenapakah anda mengambil keputusan untuk keluar MIG? Adakah disebabkan Pekin?

Tidak. Saya memang bercadang keluar daripada MIG sebelum kenal Pekin lagi. Tolonglah saya tidak mahu mengulas lagi perkara ini.

Adakah anda dengan Pekin memang benar-benar bercinta?

Saya memang rapat dengan dia selepas sama-sama berlakon dalam filem Paku Pontianak.

Apakah perkembangan terbaharu anda?

Saya sedang menjalani penggambaran telefilem Mama I Love You untuk tayangan saluran Astro Ceria.

KATA Pekin, gambar dia berpegangan tangan dengan Uqasha sudah membuktikan mereka sedang dilamun cinta. Ia tidak memerlukan pengesahan daripada mulutnya.


SEMENTARA itu, Kosmo! juga mendapatkan maklum balas berhubung perkara ini dengan pelakon Pekin Ibrahim. Malangnya, Pekin yang kini berada di Sydney, Australia kerana terbabit dengan sebuah penggambaran drama enggan mengulas lanjut mengenai MIG. Dia sebaliknya lebih bersikap terbuka memberitahu hubungan cintanya dengan Uqasha sudah terjalin sejak bulan Februari lalu. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Pekin pula.

KOSMO!: Apabila gambar anda berpegangan tangan dengan Uqasha tersebar di laman sesawang, timbul cerita mengatakan pihak MIG Talent tidak berpuas hati kerana kalian telah melanggar perjanjian kontrak?

PEKIN: Maaf, saya enggan mengulas lanjut mengenai perkara ini. Biarlah isu sebenarnya saya sendiri yang tahu.

Uqasha memberitahu yang dia ingin keluar daripada MIG, adakah ia disebabkan desakan anda?

Tidak. Mungkin itu adalah keputusannya sendiri. Bagi saya jika dia bukan di bawah MIG sekali pun, dia boleh pergi jauh kerana dia ada pesona dan bakat. Saya melihat bakat-bakat pelakon baharu yang ada dan saya dapati Uqasha mempunyai pesona.

Adakah anda tidak kisah Uqasha menumpang populariti anda?

Dia tidak menumpang populariti saya kerana dia ada bakat yang besar. Tidak perlu saya perkenalkan, orang boleh nilai dan nampak bakat dia.

Melihat pada kenyataan anda, sememangnya dilihat anda dan Uqasha mempunyai hubungan cinta. Benarkah?

Gambar yang sudah tersebar memperlihatkan saya dan dia berpegangan tangan. Jadi faham-faham sahajalah apa maksudnya.

Sudah berapa lama hubungan cinta anda dan dia berlangsung?

Sejak bulan Februari ketika kami sama-sama terlibat dalam penggambaran filem Paku Pontianak.

Bagaimanakah penerimaan keluarga terhadap Uqasha?

Keluarga saya okay dengan dia. Cuma saya tidak suka orang menulis buruk tentang dia dan cuba mengungkit sejarah silam dia. Dia ada maruah dan keluarga. Kalau orang cerita buruk tentang saya tidak apa kerana saya lelaki.

Apakah perkembangan terbaharu tentang anda?

Saya kini sedang menjalani penggambaran filem pendek berjudul Tali Nombor Enam dengan Khir Rahman. Lusa (Selasa) saya akan ke Sydney untuk menjalani penggambaran telefilem arahan Erma Fatima. Selain saya, Erra Fazira, Datin Paduka Umi Aida dan juga Nabila Huda turut berlakon bersama.

Kekasih hadiahkan Zizan iPhone 5

Posted:

Kekasih hadiahkan Zizan iPhone 5

Kekasih hadiahkan Zizan iPhone 5

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN


ZIZAN mengakui dia menyenangi wanita yang berpenampilan sederhana.


SEKADAR berseloroh ketika memberikan ucapan pada majlis sambutan hari jadi ke-29, Zizan Razak akhirnya mendedahkan dia kini telah jatuh hati kepada seorang gadis yang baru dikenalinya.

Gadis itu, kata Zizan, bukan individu yang berada dalam industri hiburan malah personaliti gadis misteri itu telah menarik minatnya untuk berkenalan dengan lebih rapat.

"Tahun ini, usia saya sudah menjangkau 29 tahun dan saya merancang untuk berkahwin pada usia saya 30 tahun, tetapi soal jodoh kita tidak tahu.

"Individu yang berkenan di hati sudah ada tapi susah nak cakap. Untuk saya katakan dia kekasih hati, sebenarnya masih berbelah bagi lagi sebab saya takut dia tidak faham kerja saya.

"Namun, apa yang boleh saya katakan sekarang, dia bukan berada dalam industri seni, sebaliknya dia sentiasa dekat dengan saya. Susah nak sebut dia kekasih sebab belum sah lagi dia terima saya.

"Sejujurnya saya menyukai dia tapi belum terfikir ke arah selebihnya. Kami masing-masing sibuk dengan kerja dan jarang ada masa untuk berjumpa.

"Pasti, dia pun tidak tahu saya suka akan dia kerana saya tidak pernah meluahkannya," cerita Zizan jujur yang ditemui ketika sambutan hari jadinya yang ke-29 di Restoran D'saji Felda Villa, Kuala Lumpur kelmarin.

Bagaimanapun, sempena hari jadinya itu yang jatuh pada hari Isnin, 15 April lalu, ujar Zizan, dia dihadiahkan sebuah telefon pintar iPhone 5 oleh gadis itu.

Gadis sederhana

Menghuraikan lebih lanjut ciri-ciri utama yang membuka hatinya untuk meminati gadis tersebut, ujar Zizan, gadis itu memiliki peribadi dan penampilan yang serba sederhana.

"Minat itu timbul daripada hati dan saya tertarik melihat penampilannya kerana dia seorang yang sederhana dan kalau letakkan dia di mana-mana pun dia tak kisah.

"Saya bukan seorang yang suka wanita high class atau terlalu stailo. Bagi saya, wanita yang sederhana itu menyenangkan saya," ujarnya yang mahu mengunci mulut untuk berbicara lebih lanjut mengenai latar belakang gadis itu.

Zizan turut menjawab mengenai gosip yang pernah mengaitkannya dengan pelakon jelita, Juliana Evans dan terbaharu, Nora Danish.

"Saya tidak sedar gosip yang mengaitkan saya dengan beberapa orang dalam industri timbul sebelum ini. Saya ikhlas mengenali mereka dan apabila digosipkan, saya rasa memang pelik. Perkara itu main-main saja.

"Malah, baru-baru ini pun saya ada menghubungi Nora memandangkan saya baru tahu dia juga berasal dari Terengganu," dedahnya.

FIGURA ini merancang untuk berkahwin pada tahun depan.


Terkilan

Zizan dalam masa sama turut mengulas mengenai khabar angin yang mengatakan dia terkilan kerana gagal meraih gelaran Bintang Paling Popular (yang dimenangi oleh Shaheizy Sam), Anugerah Bintang Popular 2012 baru-baru ini.

"Saya terkilan bukan kerana kalah tapi sebab peminat saya yang meletakkan harapan tinggi. Walaupun kita berusaha sebanyak mana pun jika sudah bukan rezeki, pasti kemenangan bukan milik kita.

"Semua mahukan kemenangan tapi kalau tiada kualiti kerja tidak berguna juga. Sam seorang yang berbakat dan saya gembira atas kemenangannya malah saya juga salah seorang peminat dia.

Zizan bakal muncul menerusi filem Bikers Kental pada 23 Mei depan selain tiga buah filem lakonannya iaitu KL Zombi, KL Gangster 2 dan Tokan.

Menafikan dirinya akan berubah walaupun kini semakin popular dan mengecapi kejayaan sepanjang masa, Zizan menegaskan dia masih memerlukan peminat untuk kekal bertahan dalam industri.

"Setiap hari bangun tidur, saya rasa diri ini masih 'hijau' dan perlu belajar lebih banyak. Kalau popular tak membahagiakan orang pun belum tentu akan berjaya," tuturnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved