Sabtu, 30 Mac 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Kelantan calar ego ATM

Posted:

Kelantan calar ego ATM

Kelantan calar ego ATM

MARLON (tengah) meledakkan dua gol ketika ATM tewas 2-3 kepada Kelantan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan malam tadi.


JUARA bertahan Liga Super, Kelantan mengutip tiga mata penuh selepas menundukkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 dalam satu aksi penuh dramatik di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan malam tadi.

Skuad kendalian Bojan Hodak membuka tirai jaringan menerusi Indra Putra Mahayuddin dan Keita Mandjou masing-masing pada minit ke-28 dan 31.

Begitupun, peledak berbisa skuad The Gladiators, Marlon Alex James menyamakan kedudukan selepas menjaringkan dua gol pada minit ke-53 dan 67.

Penyerang gantian The Red Warriors, Norfarhan Muhammad muncul sebagai wira apabila bijak memperdayakan penjaga gol ATM, Farizal Harun untuk menjaringkan gol kemenangan pasukan pelawat pada masa kecederaan.

Kekalahan ATM itu memberi ruang kepada Selangor yang seri 1-1 dengan Felda United di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya petang semalam untuk mengambil alih status selaku pendahulu Liga Super.

Jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim tetap berpuas hati dengan persembahan barisan pemain Gergasi Merah yang sekadar berkongsi satu mata dengan Felda.

Selangor terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Adib Aizuddin Ab Latif dilayangkan kad merah pada minit ke-63 selepas mengasari pemain tengah Felda, Amar Rohidan.

Ketiadaan penyerang import, Francis Forkey Doe yang beraksi bersama skuad kebangsaan Liberia memberikan kesan kepada jentera serangan Gergasi Merah.

Pada aksi tersebut, penyerang import Felda, Carlos Junior menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-24 sebelum Amri Yahyah menyamakan kedudukan berselang tiga minit kemudian.

"Forkey mengalami masalah teknikal dan dia akan pulang bersama Selangor pada esok pagi (hari ini). Apa yang pasti, saya kecewa ketiadaan Forkey kerana ia jelas memberikan kesan kepada pasukan kami.

"Bagaimanapun, saya tetap berpuas hati dengan persembahan pemain dan saya berharap kami dapat memperbaiki persembahan kami pada perlawanan akan datang," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan petang semalam.

Dalam perkembangan lain, jurulatih Felda, K. Devan mengakui kecewa selepas menyaksikan skuad kendaliannya gagal meraih tiga mata meskipun menguasai sebahagian besar perlawanan.

Jelasnya, Felda yang bakal mengambil tiga pemain tempatan antaranya Azmi Muslim dan K. Rajan pada perpindahan pemain April ini, mengalami masalah pada jentera serangan.

"Kami sepatutnya memenangi perlawanan ini. Pada pendapat saya, persembahan kami dilihat lebih baik berbanding Selangor dan peluang (untuk menjaringkan gol) lebih banyak tetapi penyerang kami gagal memanfaatkan kelebihan tersebut.

"Saya memasukkan (penyerang import) Mohamed Ghaddar pada separuh masa kedua kerana dia masih bergelut dengan masalah kecederaan namun saya terpaksa akur dengan keputusan ini.

"Saya berharap kami akan dapat menamatkan kemarau kemenangan di laman sendiri pada aksi akan datang," ujar Devan.

Kay Kim dijemput ke Wisma FAM

Posted:

Kay Kim dijemput ke Wisma FAM

Kay Kim dijemput ke Wisma FAM

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

"JIKA berminat dengan bola sepak, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersedia untuk menjemput Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim menghadiri satu taklimat di Wisma FAM Kelana Jaya."

Demikian respons Setiausaha FAM, Datuk Azzuddin Ahmad mengenai pandangan Kay Kim yang menyifatkan persatuan bola sepak negara itu dilihat 'hilang' arah tuju dalam pembangunan bola sepak tempatan.

Azzuddin memberitahu, FAM bersedia untuk bersemuka dengan Kay Kim bagi menjelaskan mengenai sistem pengurusan FAM.

Jelasnya, beliau menganggap pendekatan tersebut lebih ideal berbanding 'menyerang' FAM tanpa usul periksa.

"Saya menghormati Kay Kim sebagai pengkritik sukan dan tokoh sejarah. Saya berpendapat isu ini dapat diselesaikan sekiranya Kay Kim datang ke Wisma FAM dan mendengar penjelasan mengenai sistem kami.

"Justeru, FAM berbesar hati untuk menjemput Kay Kim menghadiri satu taklimat mengenai bola sepak.

"Saya berharap beliau akan dapat memberikan komen-komen lebih membina selepas ini sekiranya menghadiri taklimat yang disediakan khas untuknya," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Akhbar tempatan semalam melaporkan Kay Kim menasihati FAM supaya tidak terlalu 'kejam' untuk menghukum individu-individu yang menegur sistem pengurusan FAM bagi memartabatkan bola sepak negara.

Sementara itu, Azzuddin turut mengulas lanjut mengenai pihak-pihak yang mendakwa FAM merupakan persatuan yang 'kejam' selepas bertindak untuk menyiasat ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal.

Rajagobal didakwa melanggar Artikel 88 Statut FAM apabila dikatakan mengkritik Liga Malaysia (Liga M) dengan mengeluarkan kenyataan skuad negara tiada penyerang semula jadi akibat lambakan penyerang import dalam saingan domestik pada 17 Mac lalu.

Beliau didakwa mengeluarkan kenyataan itu sebaik Harimau Malaya tewas 1-4 kepada Arab Saudi dalam satu aksi pemanas badan di Stadium Shah Alam.

"Kenapa mesti salahkan FAM (berhubung kes Rajagobal)? Sedangkan komuniti (Jawatankuasa) Tatatertib FAM merupakan badan bebas yang langsung tidak melibatkan ahli-ahli FAM.

"Kepada pengkritik-pengkritik di luar sana, usah bercakap jika anda tidak mengetahui perkara sebenar dan mereka (Jawatankuasa Tatatertib FAM) hanya menjalankan tanggungjawab mereka. Sekiranya tiada kes, maka Rajagobal tidak akan dikenakan sebarang hukuman," katanya

Dalam perkembangan lain, Azzuddin tidak berminat untuk melayan desakan satu gerakan penyokong bola sepak tempatan yang mengelarkan diri mereka sebagai 'Presiden FAM Sila Letak Jawatan (PFSLJ)' untuk memberikan maklum balas mengenai lima permasalahan yang dikemukakan sejak tiga bulan lalu.

"Siapakah mereka (PFSLJ)? Apa yang mereka hendak tahu mengenai FAM? Mereka boleh bercakap apa sahaja tetapi pihak kami tidak akan memberikan sebarang maklum balas.

"Saya tidak tahu bagaimana isu ini boleh timbul tetapi mereka mendapatkan maklumat-maklumat dari ahli atau bekas pegawai FAM yang sering mengambil kesempatan terhadap badan induk ini," katanya.

Kosmo! semalam melaporkan, PFSLJ telah mengemukakan lima permasalahan kepada FAM sejak tiga bulan lalu namun tiada sebarang respons.

Kim Swee masih belum 'panik'

Posted:

Kim Swee masih belum 'panik'

Kim Swee masih belum 'panik'

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

PENGENDALI Harimau Muda, Ong Kim Swee masih enggan menekan 'butang panik'.

Biarpun anak-anak buahnya menerima tamparan awal sebaik dibelasah 1-7 oleh skuad Bawah 21 tahun (B-21) Georgia di Vienna, Austria pada Selasa lalu, Kim Swee menganggap ia sebagai pengajaran berguna buat skuad muda negara.

"Kekalahan kepada Georgia tempoh hari akan dijadikan iktibar buat Harimau Muda.

"Ia akan membantu kami memperbaiki kelemahan dan akan berusaha lebih gigih selepas ini," kata Kim Swee menerusi Twitter peribadinya semalam.

Sebelum ini skuad Harimau Muda juga sekadar terikat 1-1 dengan skuad B-19 Slovakia minggu lalu.

Perlawanan itu merupakan medan pemanas badan skuad muda negara sepanjang berguru selama lima bulan di Slovakia sebagai persiapan awal mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar, Disember depan.

Mengulas lanjut, Kim Swee memberitahu fokus anak-anak buahnya tidak terjejas dengan kekalahan itu dan kembali menyambung sesi latihan.

"Setiap usaha dan sikap ingin memperbaiki kelemahan bagi semua pemain pastinya akan mendatangkan keputusan positif pada masa depan," katanya.

Selepas ini, Harimau Muda bakal meneruskan aksi persahabatan menentang kelab Slovakia, Zilina di Vion pada 3 April depan sebelum berdepan B-19 Norway di Budapest tiga hari kemudian.

Dalam pada itu, perkhabaran gembira menyelubungi dua tonggak Harimau Muda, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Nazirul Naim Che Hashim yang tidak berdepan masalah ketika menjalani latihan bersama kelab divisyen tiga Jepun, FC Ryukyu di Okinawa semalam.

Untuk rekod, kedua-dua pemain itu tidak turut serta berlepas ke Slovakia baru-baru ini kerana menyertai FC Ryukyu dengan kontrak selama dua tahun.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved