Selasa, 12 Mac 2013

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Hitam putih Nurita Harith

Posted:

Hitam putih Nurita Harith

Hitam putih Nurita Harith

Oleh HAFIZ AHMAD

RONA lembut dengan potongan minimalis menjadi signatur Nurita.


PELUANG bertemu pereka busana wanita diaturkan dalam jangka masa yang agak singkat. Ruang masa terhad itu, bagaimanapun tidak membuatkan Nurita Harith menolak pelawaan Stailo untuk berkunjung ke butiknya yang terletak di nadi fesyen ibu negara di Jalan Telawi, Bangsar.

Deretan butik dalam kawasan tersebut ibarat dikhususkan untuk pencinta fesyen jenama tempatan kerana kebanyakan rumah fesyen pereka muda dan profesional berpusat di sekitarnya.

Nurita berada dalam mood berdebar dan teruja kerana sedikit masa lagi, anak jati Kuala Lumpur itu bakal menyertai sejumlah pereka fesyen tanah air serta antarabangsa bersama-sama meraikan keindahan fesyen dan memartabatkan usaha kreatif mereka.

"Keadaan sedikit bercelaru namun masih terkawal," ujarnya mengukir senyuman manis.

Di hujung sudut butik kelihatan supermodel, Tengku Azura tekun menyiapkan diri untuk menyarungkan busana anggun Nurita. Salah satu daripadanya bakal dipamerkan pada malam pertunjukan fesyen terbesar dan berprestij itu.

"Gemuruh tetapi pada masa sama, tidak sabar untuk berkongsi pentas dengan rakan-rakan yang lain kerana saya difahamkan ramai pereka bakal menyertai minggu fesyen kali ini. Pereka antarabangsa juga ada yang turut serta," jelas Nurita berkongsi keterujaan.

Selama tujuh hari, industri rekaan busana kreatif bakal disajikan dengan deretan fesyen bersempena Minggu Fesyen Mercedes-Benz Stylo 2013 bermula 17 hingga 23 Mac ini. Busana Nurita bakal sebaris dengan pereka-pereka lain seperti Wanpa, Hazree Wahid dan ramai lagi.

Dalam menyiapkan koleksi tersebut, Nurita mengambil masa selama lebih sebulan untuk menampilkan idea terbaharu yang dianggap bakal lari sedikit daripada kebiasaan.

"Sebelum ini saya banyak menggunakan rona-rona lembut polos seperti merah jambu cair atau kuning cair, tetapi untuk menonjolkan kelainan dalam Minggu Fesyen kali ini saya hanya ambil dua palet warna asas iaitu hitam dan putih," ujar Nurita ketika mengulas idea rekaan.

Rona putih dan hitam mudah untuk menampakkan unsur-unsur eksklusif dan potongan badan seseorang, tambahnya. Walaupun begitu, signatur Nurita tetap dapat kelihatan dalam setiap inci rekaan koleksi istimewanya itu. Fabrik sutera sifon dan organza menghiasi koleksi Nurita.

SALAH satu busana berfabrik sifon dengan teknik cerapan warna hitam yang bakal dipamerkan di pentas peragaan Minggu Fesyen Mercedes-Benz Stylo Grand Prix 2013.


Signatur Nurita

Queen of Draping adalah gelaran diberikan teman pereka, Alia Bastamam kepada Nurita. Dia tergelak kecil saat dijolok gelaran itu, namun tidak menafikan kerana di situ terletak sentuhan peribadi Nurita.

"Saya lebih suka terus membuat rekaan pada patung tanpa perlu melakukan draf terlebih dahulu. Apabila mencipta busana melalui patung, kita akan dapat melihat sama ada kain sesuai pada kedudukan tubuh badan si pemakai," ujar graduan Institut Seni Surrey, London, United Kingdom itu.

Dalam kesibukan memberi sentuhan akhir koleksi minggu fesyen, Nurita tetap tenang meneruskan perjalanan perniagaan. Ketika ditemubual, pelanggan keluar masuk bertemu dengan sang pereka, sama ada mengambil tempahan atau sesi perbincangan awal untuk menempah baju.

Penulis sempat berbual dengan pasangan pengantin yang akan melangsungkan majlis resepsi pada Mei akan datang.

"Nurita bijak menampilkan siluet tubuh sempurna seorang wanita. Rekaannya tidak terlalu sarat bersesuaian dengan tema perkahwinan kami," kongsi pengantin wanita.

Pemilihan warna, siluet dan teknik balutan atau draping menjadi kekuatan kepada sentuhan Nurita yang pernah menyertai program realiti Project Runway Malaysia.

Langkah dalam dunia fesyen

Pengalaman dalam program berkenaan membuka jalan kepada wanita berumur 30 tahun itu untuk menapak dalam dan berkembang dalam industri fesyen, biar pun hanya bertahan setakat minggu keempat.

Minat dalam dunia seni dan rekaan bercambah sejak kecil lagi. Tidak mahu melupuskan bakat yang ada, Nurita melanjutkan pelajaran peringkat A Level pengkhususan dalam bidang seni halus dan arca sehingga menyambung ke peringkat ijazah rekaan fesyen.

Sekembalinya ke tanah air pada tahun 2006, Nurita tidak risau untuk tercari-cari imej yang perlu ditonjolkan kerana tidak mahu terikut-ikut dengan kehendak semasa. Namun baginya, perkara paling utama adalah cara untuk menempatkan jenama setaraf pereka sedia ada.

NURITA akan memasang lagu sama berulang kali ketika mencari ilham rekaan terbaharu atau melancong ke destinasi percutian bagi merehatkan minda.


Selama tujuh tahun, Nurita telah menyertai pelbagai pertunjukan fesyen dalam dan luar negara. Butik Nurita Harith yang dibuka pada tahun 2008 mengukuhkan lagi jenamanya untuk selangkah ke hadapan.

Momen paling indah apabila busana rekaannya menyerlahkan kejelitaan Lisa Surihani sewaktu dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-23.

"Percutian banyak membantu saya hadir dengan idea-idea segar dan terbaharu. Destinasi pilihan saya tidak tetap, malah tiada kena mengena dengan bidang rekaan supaya badan dapat beristirehat seketika daripada tuntutan kerjaya," cerita Nurita. Selain itu, pereka dari Scotland, Christopher Kane turut menjadi sumber rujukan kepada suai padan dan gaya.

"Khoon Hooi antara pereka tempatan saya gemari kerana mempunyai potongan feminin yang menarik," kata Nurita.

Sesi fotografi pada hari itu mengalir pantas dan tangkas. Lagak gaya profesional Tengku Azura melancarkan proses dalam desakan masa yang menghimpit.

Prestij Busana Mahligai

Posted:

Prestij Busana Mahligai

Prestij Busana Mahligai

Oleh ALIF ABU BAKAR


ALIA (depan) bersama barisan model yang menggayakan koleksi busana pengantinnya.


PERCUBAAN pertama Alia Bastamam memperkenalkan koleksi perkahwinan 2013 wajar diberi pujian. Busana khusus untuk hari bahagia itu direka ringkas dan mengangkat tinggi elemen klasik.

Moden, indah, ringkas, elegan, mudah difahami dan berprestij merupakan kumpulan huraian bagi koleksi perkahwinan Alia.

Meminjam inspirasi rangkaian busana perkahwinan aktres ternama antarabangsa, Elizabeth Taylor, Alia cuba menterjemahkan potongan asal pakaian pelakon tersebut ke dalam versi moden.

"Kelihatan selesa sangat penting kepada pengantin, namun berasa selesa adalah lebih penting," ujar Alia yang memegang frasa itu setiap kali menghasilkan pakaian.

Alia turut menjadikan busana perkahwinan sosialit New York, Amerika Syarikat, Minnie Cushing bersama pasangannya, Peter Beard, seorang jurugambar terkenal sebagai rujukan. Pada majlis yang diadakan pada tahun 1967 itu, Cushing tampil anggun mengenakan dres sutera bersama tampalan flora dan manik kaca ciptaan Oscar de la Renta.

Dekorasi berciri kesenian dapat dilihat ketara pada koleksi Alia. Dres satin dengan perincian tampalan les yang ditindih di atas kain net nipis pada bahagian leher, bahu dan pergelangan tangan memberi simfoni mewah.

"Saya sering menjadikan beberapa wanita sebagai ikon setiap kali menghasilkan sesuatu koleksi. Bagi koleksi perkahwinan ini, sudah tentu inspirasi utama datangnya daripada pengantin-pengantin yang pernah menyarungkan rekaan saya," jelas Alia.

Koleksi baharu Alia kali ini juga menampilkan kepelbagaian dari segi fungsi pakaian tersebut. Busana dengan potongan baju kurung sopan amat menepati konsep akad nikah yang melambangkan kesucian dan kesederhanaan.

Kaftan, skirt lepas (wrap) dan baju (top) pula mencipta penampilan ringkas serta sesuai digayakan mempelai yang memilih majlis perkahwinan bertemakan pantai.

Paduan ilham buat wanita

Posted:

Paduan ilham buat wanita

Paduan ilham buat wanita


SOO WINCCI mereka sendiri kasut yang khusus buat wanita.


PENAMPILAN bergaya seorang wanita yang mementingkan penampilan tidak lengkap jika tidak dipadankan bersama kasut mengikut kesesuaian acara atau sesuatu aktiviti.

Kasut tumit tinggi layak dipakai ketika menghadiri acara glamor atau formal malah sepatu tapak leper tampak bersahaja ketika aktiviti seharian. Peraturan tidak bertulis itu menjadi pegangan setiap wanita untuk tampil menarik ketika berada dalam khalayak ramai.

Penggunaan kasut tinggi atau sebarang jenis kasut perlu mementingkan keselamatan dan keselesaan pada kaki.

Ratu Cantik Malaysia/Dunia 2008/2009, Soo Wincci, tidak mahu ketinggalan dalam dunia aksesori pelengkap penampilan wanita tersebut.

Beliau menyerlahkan bakat dengan mengeluarkan kasut hasil rekaan kreatifnya yang menitikberatkan keselesaan dan reka bentuk menarik melalui kerjasama dengan label kasut XES.

Bercakap mengenai inspirasi di sebalik reka bentuk kasut, Soo Wincci mendapat ilham berdasarkan gaya hidup aktifnya sebagai selebriti fesyen yang kini turut menceburi dunia nyanyian.

"Memandangkan saya melakukan pelbagai pekerjaan, kerap kali timbul situasi yang memerlukan saya perlu berada di lima lokasi dan majlis berbeza dalam satu hari. Ia akan menjadi igauan ngeri sekiranya menyarungkan kasut yang tidak sesuai.

"Oleh itu, saya memerlukan kasut yang selesa namun cukup bergaya dan menepati setiap situasi. Ia terdiri daripada kasut daripada jenis kasual hinggalah formal bagi memenuhi keperluan wanita muda zaman moden yang bekerja," ujarnya.

Menariknya, Soo Wincci sendiri terlibat secara langsung dalam proses pembuatan merangkumi pemilihan warna, material dan teknologi yang terdapat pada sepatu rekaannya.

"Saya tidak akan meletakkan nama pada sebarang kasut yang saya tidak akan pakai sendiri," jelasnya yang kini sedang mengembangkan kerjaya seni ke Taiwan dan pada masa sama sedang menyambung pelajaran ke peringkat doktor falsafah (PhD).

Rangkaian kasut wanita Soo Wincci dicipta istimewa untuk wanita bekerjaya dengan reka bentuk yang mengutamakan keselesaan kepada si pemakai.

Ia terdiri daripada enam jenis rekaan kasut tumit tinggi dan setiap satunya dihiasi warna-warna menarik yang mampu dipadankan dengan busana yang digayakan.

Harga runcit untuk rangkaian kasut itu adalah RM139.90 sepasang, manakala koleksi akan datang boleh didapati pada lingkungan harga RM109.90 hingga RM159.90. Ia boleh didapati di 25 cawangan utama premium XES di Malaysia.

Pengarah Eksekutif XES, Jason Tan berkata, pada mulanya XES berhasrat memperkenalkan Soo Wincci sebagai duta jenama itu sempena sambutan ulang tahun ke-10, tahun lepas.

"Namun, kesungguhannya telah menarik minat kami untuk bekerjasama menghasilkan koleksi istimewa ini," ujarnya dala majlis pelancaran koleksi tersebut.

Tidak terhenti setakat rekaan kasut, jalinan kerjasama tersebut bakal diteruskan pada masa hadapan dengan rangkaian beg dan aksesori.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved