Jumaat, 15 Mac 2013

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Model penting Honda Malaysia

Posted:

Model penting Honda Malaysia

Model penting Honda Malaysia

Oleh SHAWKATH AZDE

JENTERA lima tempat duduk ini berupaya menawarkan kuasa setinggi 155PS.


AWAL Febuari lalu, Honda Malaysia telah mengumumkan hasrat syarikat untuk menjual 64,000 unit kenderaan bagi tahun ini.

Peneraju segmen hibrid tempatan itu kelihatan agresif untuk meletakkan sasaran sedemikian memandangkan angka jualan tahun lalu sekadar 34,947 unit.

Terjemahan mudah, syarikat automotif jenama Jepun itu mahu menggandakan jualan hampir 90 peratus.

Strategi menuju impian itu sudah digariskan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno.

Honda Malaysia akan memperkenalkan lima model kereta baharu yang juga merangkumi tiga produk pemasangan tempatan (CKD).

Langkah pertama sudah dilakukan. Model naik taraf CR-Z 2013 sudah dimasukkan dalam pasaran. Selang beberapa minggu kemudiannya, Honda CR-V generasi keempat pula dilancarkan untuk pengguna tempatan.

CR-V terbaharu itu merupakan produk CKD keluaran kilang Honda Malaysia di Pegoh, Melaka.

Kilang yang memulakan operasi pada tahun 2002 turut menghasilkan model Civic, City, Jazz hibrid dan Accord.

Untuk makluman, CR-V merupakan jentera pertama keluaran kilang Honda Malaysia. Pada ketika itu, ia merupakan model generasi kedua. Generasi ketiga CR-V menemui peminat tempatan pada 2007.

Dalam tempoh empat bulan selepas pelancaran generasi ketiga itu, CR-V sudah menerima tempahan sebanyak 3,900 unit yang melepasi sasaran Honda Malaysia untuk setahun.

Unjuran jualan Honda Malaysia pada masa itu adalah 3,600 unit. Model kenderaan utiliti sukan (SUV) itu sememangnya popular.

Ueno menyatakan sehingga kini terdapat sebanyak 34,000 unit model CR-V berada di atas jalan raya tempatan. Statistik itu membabitkan produk sehingga generasi ketiga sahaja.

"Model CR-V serba baharu ini bakal meningkatkan penanda aras SUV ke peringkat yang lebih tinggi menerusi reka bentuk, ruang dalaman, praktikaliti, penjimatan bahan api dan keselesaan," katanya pada majlis pelancaran model berkenaan di ibu negara baru-baru ini.


GARISAN pada badan CR-V generasi keempat membuatnya kelihatan lebih mantap dan moden.


Tempahan 1,000 unit

Percaya atau tidak, Honda Malaysia menyatakan, pihaknya sudah menerima tempahan awal bagi model CR-V generasi keempat itu hampir 1,000 unit.

Itu tempahan diterima sebelum hari pelancaran. Sasaran jualan ditetapkan bagi tahun ini adalah sebanyak 7,000 unit.

Angka itu masih realistik bagi model CR-V memandangkan segmen SUV kini memiliki lebih banyak pesaing berbanding senarionya sebelum ini.

Reka bentuk model generasi keempat itu nyata mencerminkan kemodenan pada keseluruhan badannya. Lampu hadapan jenis projektor dan gril tiga jalur mendatar menyerlahkan lagi imejnya.

Bahagian belakang semakin menarik apabila mengadun set lampu yang kelihatan seperti produk Volvo. Tidak ketinggalan penggunaan antena berbentuk sirip pada bahagian atas bumbungnya.

Buka sahaja pintu, dua perkara pertama yang boleh diterjemahkan menerusi pandangan mata adalah keselesaan dan kemewahannya. Keselesaan penumpang belakang diberi perhatian menerusi pemasangan corong pendingin hawa.

Papan pemuka CR-V turut menerima pembaharuan. Pertama, butang ECON berwarna hijau ditempatkan pada sebelah kanan stereng. Jika ditekan, ia membantu mengoptimumkan penggunaan bahan api secara automatik.

Perkara itu dibantu dengan adanya sistem Eco Assist. Ciri ini mengubah gegelang pencahayaan pada kluster meter. Warna putih menandakan anda tidak efisien. Matlamat pemanduan adalah pencahayaan berwarna hijau.

Buat masa ini, Honda Malaysia hanya menawarkan satu varian enjin kepada orang ramai iaitu petrol 2.0L i-VTEC yang dipadankan dengan kotak gear lima kelajuan automatik. Gabungan itu menghasilkan kuasa 155PS pada 6,500rpm.


SISTEM pacuan empat roda CR-V berupaya menyalurkan kuasa pada roda belakang apabila diperlukan.


Ia merupakan tambahan kuasa sebanyak 5PS jika dibandingkan dengan generasi sebelumnya. Kuasa kilasnya setinggi 190Nm pada 4,300rpm.

CR-V menggunakan sistem pacuan empat roda (4WD). Perkara itu dibuat memandangkan Honda Malaysia mendapati majoriti pelanggan tempatan lebih gemarkan sistem pacuan sebegitu.

Berhubung ruang kargo pula, jentera lima tempat duduk itu menawarkan keluasan ruang 589 liter. Kapasiti tersebut boleh ditingkatkan kepada 1,156 liter sebaik sahaja tempat duduk barisan kedua dilipat.

Untuk melipat kerusi belakang, anda hanya perlu menarik tuli yang disediakan. Sekali tarik, tempat duduk kerusi akan dilipat secara sistematik. Cukup mudah.

CR-V ditawarkan dengan lima pilihan warna iaitu biru, putih, perak, hitam dan kelabu. Harga jualan atas jalan termasuk insurans adalah RM148,800 seunit. Jaminan diberikan adalah selama lima tahun tanpa had perbatuan.

Tidak lama lagi, Honda Malaysia akan memperkenalkan CR-V 2.4L dengan harga anggaran sebanyak RM190,000 sebuah. Sama-sama kita nantikannya.

Suzuki SX4: Penjelajah urban

Posted:

Suzuki SX4: Penjelajah urban

Suzuki SX4: Penjelajah urban

Oleh MUHAMMAD MD. TAJUDIN


MODEL terbaharu ini bakal menerusikan legasi model-model sebelumnya.


SUZUKI Motor Corporation baru-baru ini mempamerkan kepada umum model baharu SX4 Crossover. Model tersebut merupakan gantian kepada model sedia ada yang turut dipasarkan oleh Suzuki Malaysia Automobile. SX4 ialah sebuah crossover, mungkin jenis kenderaan yang asing buat rakyat Malaysia.

Saya pernah memandu uji SX4 beberapa tahun yang lalu dan kereta itu sebenarnya begitu praktikal. Kelegaan jarak buminya tinggi. Tetapi tidak tinggi sangat, elok-elok sahaja. Cerminnya luas, kedudukan kerusi juga tinggi, breknya bagus, output enjin mencukupi dan penggunaan minyak agak ekonomikal.

Reka bentuknya pula cantik dengan pengaruh Eropah. Paling penting, harganya yang berpatutan iaitu sekitar RM90,000 untuk sebuah kereta yang dikilangkan di Jepun. Senang kata, SX4 mempunyai pakej yang lengkap.

SX4 baharu dilihat sebagai penerus legasi model sedia ada dengan beberapa pembaharuan. Dengan sasaran untuk memenuhi kehendak pelanggan, pereka dan jurutera model itu sedar mereka memerlukan set pemikiran baharu.

Suzuki membangunkan SX4 dengan memberi fokus kepada gayaan, ruang yang luas untuk penumpang dan barangan, selain juga emisi rendah. Ia merupakan model yang memberikan keseronokan pemanduan, praktikal untuk kegunaan keluarga dan sesuai untuk pelbagai keadaan.

Reka bentuk SX4 dipengaruhi oleh tiga elemen iaitu emosi, kualiti dan aerodinamik. Apa yang dimaksudkan dengan emosi adalah garisan badan pada sisi kereta bermula dari bampar depan hingga ke lampu belakang.

Bonet enjin yang bulat pula memberi visual kekuatan dan keteguhan. Aerodinamik kereta diserlahkan melalui beberapa gayaan seperti garisan bumbung yang condong ke bawah pada bahagian belakang, kontur yang diperhalusi pada bahagian sisi dan garisan fleksi dari depan hingga belakang dan roda seretan rendah.

Pada bahagian dalaman pula, panel instrumennya ringkas dan cantik dengan rekaan yang menampakkan ia lebar dan dinamik. Kontur panel instrumen dipanjangkan hingga ke pintu dan material pembalut yang lembut pula sedap untuk dipegang. Kerusinya dibentuk untuk rasa yang sofistikated, manakala dekorasi berwarna perak pula nampak sporty dan kontra kepada ruang kabin berwarna hitam.

Bahagian belakang kerusi depan direka untuk memberi kelegaan pada penumpang belakang. Jarak antara penumpang depan dan belakang ialah 814 milimeter.

Jarak kelegaan kaki yang selesa sememangnya suatu yang penting untuk perjalanan jauh. Terutama untuk keluarga yang kampungnya di Kota Bharu, Kelantan ketika pulang sewaktu musim cuti. Sudahlah jauh, tiada kemudahan lebuh raya, jalan pula sesak seperti parkir kereta bergerak.

Bahagian bagasinya walaupun dari luar nampak kecil, tetapi dengan keadaan kerusi yang menegak saiznya adalah 430 liter. Kerusi belakang dan komponen but boleh diubah suai untuk memuatkan pelbagai jenis bagasi.

Enjin 1.6 liter


RUANG simpanan barang adalah seluas 430 liter.


Menggerakkan SX4 baharu ialah dua jenis enjin iaitu 1.6 liter petrol dan diesel. Enjin petrol sebenarnya diasaskan oleh inventori sedia ada iaitu M16A.

Dengan semakan seperti penurunan geseran dan berat yang dikurangkan, enjin tersebut kini lebih menjimatkan tanpa menjejaskan kuasa dan tork.

Enjin diesel SX4 pula menggunakan teknologi pengecas turbo geometri yang memastikan kuasa tork dibekalkan dari kelajuan enjin rendah supaya pemandu dapat menikmati kuasa pada setiap kelajuan.

Penebat pada penutup enjin pula direka semula untuk mengurangkan gegaran dan bunyi yang sinonim dengan karakter enjin diesel.

Dipadankan dengan enjin petrol ialah transmisi lima kelajuan manual. Nisbah gear pula dioptimumkan untuk prestasi dan penjimatan minyak.

'Bekas' transmisi pula diubah supaya lebih tegar untuk meredakan bunyi dan gegaran untuk pemanduan yang lebih relaks. Lagi menarik, enjin diesel dibekalkan dengan transmisi enam kelajuan manual.

Untuk mereka yang malas menukar gear, Suzuki turut membekalkan transmisi CVT yang julat gearnya dipadankan untuk pecutan, dakian dan penjimatan minyak. Normal untuk CVT ialah mod manual tujuh kelajuan dengan kawalan pedal anjakan (paddle shift).

Suzuki SX4 baharu hadir pada zaman industri automotif sedang agresif. Jika dahulu senang sahaja untuk Suzuki menjual kenderaan mereka. Tetapi roda sedang berputar dan harus tahu pada penghujung tahun lepas Suzuki mengumumkan yang mereka akan keluar dari bisnes kereta di Amerika Syarikat.

Dengan model-model menarik dari Korea Selatan serta kebangkitan semula abang besar dari Jepun seperti Nissan, keadaan semakin sukar. Lihat sahaja penerimaan model-model Suzuki di pasaran tempatan.

Mujur mereka mempunyai Swift yang merupakan nadi utama perolehan syarikat. Apa pun, Suzuki mempunyai deposit yang selamat iaitu di India. Pernah dengar Maruti Suzuki?

BMW X5 Performance Edition

Posted:

BMW X5 Performance Edition

BMW X5 Performance Edition


JENTERA ini bakal berada di bilik pameran BMW di seluruh negara mulai hujung bulan ini.


BMW Group Malaysia (BMW Malaysia) baru-baru ini mengumumkan kemasukan versi terbaharu kenderaan aktiviti sukannya (SAV) iaitu BMW X5 Performance Edition ke pasaran tempatan.

Varian taruhan syarikat automotif Jerman itu dikatakan menawarkan pengalaman pemanduan baharu kepada para pengguna, khasnya kepada mereka yang mahukan lebih prestasi pada sesebuah model SAV.

Model X5 mula diperkenalkan ke pasaran Malaysia pada tahun 2007. Sejak itu, sebanyak 665 unit BMW X5 telah menemui pemilik-pemilik baharu di seluruh negara. Pencapaian itu disifatkan sebagai percapaian terbaik oleh Ketua Pegawai Eksekutif BMW Malaysia, Dr. Gerhard Pils.

Secara amnya, BMW X5 Performance Edition mewarisi reka bentuk maskular yang terdapat pada siri BMW X. Pembaharuan luaran pada model itu jelas kelihatan menerusi pengenaan pakej aerodinamik BMW M yang meliputi bampar hadapan dan belakang.

Tambahan lain pada SAV tujuh tempat duduk itu ialah set lampu Bi-Xenon Adaptive dengan LED Corona Rings, rail bumbung dan rim aloi berukuran 20 inci. Bahagian dalaman pula menyaksikan stereng disalut material kulit, paddle shifter dan kemasan tona hitam.

Jentera itu dilengkapi enjin petrol enam silinder sebaris BMW TwinPower Turbo berserta teknologi Double Vanos, Valvetronic dan sistem suntikan bahan api BMW High Precision Injection. Ia berupaya menghamburkan kuasa setinggi 320hp iaitu tambahan 14hp jika dibandingkan dengan varian BMW X5 xDrive35i. Tork pula mencecah 450Nm.

Pecutan dari titik pegun ke 100 kilometer sejam (km/j) hanya mengambil masa 6.6 saat. Ia 0.2 saat lebih pantas berbanding varian X5 xDrive35i. Kadar purata penggunaan bahan api adalah sebanyak 10.1 liter bagi setiap 100km, manakala emisi karbon direkodkan sebanyak 236 gram setiap km.

Model baharu itu sudah ditingkatkan pemanduan dinamiknya menerusi agihan kuasa kilas iaitu sebanyak 40 peratus pada gandar hadapan dan bakinya disalurkan kepada roda belakang. Selain itu, sistem pemanduan xDrive juga meningkatkan prestasi optimum untuk semua jenis pemanduan.

BMW X5 Performance Edition yang didatangkan dalam pilihan warna putih dan hitam boleh didapati menerusi 16 buah pengedar sah BMW Malaysia mulai 30 Mac ini. Harga atas jalan tanpa insurans adalah RM588,800 seunit.

Model itu didatangkan bersama program BMW Service+ Repair Inclusive. Ia meliputi penyelenggaraan, penggantian, servis dan baik pulih komponen kereta. Tempoh jaminan adalah selama tiga tahun atau jarak perbatuan 60,000km (yang mana tiba dulu).

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved