Sabtu, 9 Februari 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Terompah cara Giman

Posted:

Terompah cara Giman

Terompah cara Giman

TEROMPAH sekadar hobi bagi Giman pada mulanya kini menjadi sumber rezeki yang agak lumayan.


BUKAN semua orang boleh bermain dengan seni halus dan dunia pertukangan jika tidak kena gurunya.

Syarat pertama perlu ada keazaman, syarat kedua perlu ada usaha tetapi itu pun belum cukup.

Bagi Giman Wakiran, 54, seni pertukangan tidak asing baginya sejak di bangku sekolah lagi.

Bak kata pepatah, belakang parang kalau diasah lagikan tajam. Dia berjaya mengeksploitasi barangan kayu menjadi rak kasut, set perabot dan meja.

Inginkan satu kelainan, lelaki eksentrik ini berjaya menghasilkan produk berasaskan kayu yang biasa dikenali sebagai terompah.

Giman memberi nafas baharu kepada terompah yang selama ini hanya berwarna merah dan bertali hitam.

"Mulanya sekadar suka-suka tetapi mula serius sejak empat tahun lalu," katanya ketika ditemui kru Jurnal Jumaat lalu.

Bertempat di Kampung Ibrahim Majid, Simpang Renggam, Johor lelaki ini teruja menceritakan keunikan Terompah Mastor.

Bapa kepada 13 anak ini menambah, kebanyakan terompah hasil tangannya dihias dengan corak menarik manakala warna ceria menjadikan ramai yang tertarik dengan keunikan barangan tersebut.

"Mulanya sekadar cenderamata kepada rakan-rakan dan pembesar-pembesar negeri.

"Saya cuba melarikan imej terompah yang berwarna merah dengan warna dan corak mengikut minat semasa seperti corak bermotif flora, gambar-gambar motosikal dan kereta," katanya.

Tutur Giman, setakat ini sambutan yang diterima cukup menggalakkan sebaik sahaja produk dipromosi anaknya melalui laman web dan media sosial Facebook.

"Sehingga ada rakyat negara lain seperti Australia, Belanda, Jepun dan Korea Selatan membelinya melalui internet," katanya.

Mansor ditanya mengenai stigma pemakaian selipar yang boleh menyebabkan seseorang tergelincir atau jatuh.

"Setakat ini jarang saya dengar individu terjatuh disebabkan terompah cuma sepatu itu terlucut daripada pergelangan kaki kerana permukaan tapaknya yang licin.

"Tetapi, permukaan tapak bawahnya akan menjadi kasar apabila kerap digunakan menjadikannya lebih stabil. Tetapi, jika sudah terlalu haus buangkan sahaja beli yang baharu," kata Giman sambil ketawa.

Tambah Giman, tidak sukar untuk menghasilkan terompah kerana dia hanya menggunakan kayu batang pokok durian dan getah.

Katanya, dia boleh menghasilkan sepasang terompah dalam masa 15 minit.


HARGA sepasang Terompah Mastor RM35 hingga RM45.


"Mulanya, saya akan mereka coraknya dengan kertas ataupun grafik berkomputer. Selepas itu memotong blok kayu berbentuk empat segi kepada bentuk terompah.

"Kemudian talinya menggunakan getah atau kulit. Proses corak bahagian sarung serta lapisan atasnya hanya menggunakan pelekat khas.

Setakat ini, lebih 1,000 terompah dihasilkan setiap bulan untuk memenuhi keperluan pelanggan dalam dan luar negara.

"Saya juga sedang bekerjasama dengan seorang doktor di Jeli, Kelantan menghasilkan terompah yang mempunyai nilai kesihatan untuk tubuh seseorang terutamanya di bahagian tapak kaki," ujarnya.

Sepatu wajib

Selain itu, Giman yang gemar memakai terompah untuk menghadiri program rasmi, kenduri-kendara, surau, masjid dan Hari Raya Aidilfitri ingin menghasilkan sepatu yang menggunakan plastik sebagai medium utama.

"Harga sepasang terompah yang dijual sekitar RM35 hingga RM45, mungkin terompah plastik boleh dijual kurang RM10.

"Saya inginkan semua orang mampu membeli kasut ini dan mengembalikan budaya tradisional yang semakin terhakis ini," terangnya jujur.

Tutur Giman lagi, dia turut memperkenalkan Tarian Terompah.

Tarian Terompah merupakan salah satu daripada tarian yang digarap daripada kehidupan seharian masyarakat lama.

Diadaptasi daripada pergerakan kaki menggunakan terompah yang mengeluarkan bunyi dengan hentakan kaki si penari.

Pemakainya mengenakan baju Melayu Johor bagi lelaki manakala wanita kebiasaannya baju kebaya sambil menari diiringi muzik terhasil daripada paluan gambus, rebana, gendang dan rebab.

Tempoh tarian ialah selama 10 hingga 15 minit.

Obses Giman bukan sekadar menghasilkan terompah tetapi mewajibkan pemakaian kasut itu semasa keluarganya mengunjungi sanak saudara dan rakan-rakan pada sambutan Hari Raya Aidilfitri dan semasa menghadiri kenduri-kendara.


TEROMPAH Mastor mengambil masa 15 minit untuk disiapkan.


Menunggang motosikal

"Bukan apa, saya harus menunjukkan contoh kepada orang lain. Jika pembuatnya sendiri tidak mencuba, apatah lagi orang lain.

"Syukur kerana anak-anak dan menantu dapat menerimanya dengan baik," katanya.

Lelaki ini juga sering memakai topi dan terompah semasa menghadiri majlis rasmi sehingga menjadi 'trademark' jika individu lain ingin mengenalinya dengan lebih dekat.

"Jika memandu kereta Mercedes E280 sekalipun saya akan memakai terompah termasuk menunggang motosikal jenis Harley-Davidson.

"Penduduk di Simpang Renggam sudah kenal dan biasa dengan keadaan sebegitu.

"Namun saya sering memakainya jika ke surau atau masjid," tambahnya.

Dia juga pernah ditegur oleh kakitangan sebuah hotel di Kuala Lumpur kerana bunyi bising terompah yang dipakainya semasa ingin keluar minum di gerai makanan.

"Kakitangan itu memberitahu perbuatan itu mengganggu tetamu hotel tetapi sebaik sahaja saya mengatakan ingin berjumpa dengan pengurusnya dia agak cuak.

"Namun, sebaik sahaja berjumpa dengan pengurus tersebut dia mengatakan bagus kerana saya masih mengekalkan nilai-nilai tradisional penduduk negara ini," jelasnya.

Terompah Mansor juga digunakan beberapa hotel di Johor menggantikan selipar untuk ke tandas dan bilik air bagi kegunaan tetamu.

Dia juga berharap terompah yang dahulunya semakin tidak dikenali mula mendapat sambutan kembali dan menjadi salah satu produk untuk sektor pelancongan negara.

"Bukan sekadar rekaan saya tetapi juga pembuat yang lain kerana sesuai untuk semua golongan, bangsa dan keturunan di seluruh dunia," katanya pengakhir bicara.

Hidup dua kali

Posted:

Hidup dua kali

Hidup dua kali

GAMBAR fail Malala ketika tiba di Hospital Queen Elizabeth di Birmingham, Britain pada Oktober tahun lalu.


GADIS ini baru sahaja menginjak umur 15 tahun namun suara Malala Yousafzai cukup lantang dalam memperjuangkan hak pendidikan dalam kalangan wanita, terutamanya di kawasan tempat tinggalnya di Lembah Swat yang menjadi pusat aktiviti Taliban di utara Pakistan.

Keberaniannya itu pernah memakan diri apabila dia ditembak di leher dan kepala oleh pejuang Taliban dalam satu cubaan membunuhnya pada 9 Oktober lalu.

Ketika kejadian, Malala sedang dalam perjalanan pulang dari sekolah sebelum anggota Taliban menahan bas yang dinaikinya.

Akibat daripada insiden itu, Malala tidak sedarkan diri selama berhari-hari. Bagaimanapun, nasibnya baik kerana dia mendapat rawatan intensif daripada sekumpulan pakar perubatan tempatan dan antarabangsa.

Selepas peluru yang menembusi kepalanya berjaya dikeluarkan oleh pakar bedah di Pakistan, anak sulung daripada tiga beradik ini diterbangkan ke Hospital Queen Elizabeth, di Brimingham, Britain untuk menjalani beberapa siri pembedahan dan rawatan rapi.

Keadaannya beransur pulih selepas menjalani pembedahan memasang plat titanium di tengkoraknya pada Januari lalu.

Malala mula mendapat perhatian masyarakat dunia selepas muncul dalam media antarabangsa, mengutuk tindakan Taliban yang mengharamkan pendidikan ke atas wanita di kebanyakan kawasan pergunungan di wilayah utara Pakistan pada Januari 2012.


SEKUMPULAN pelajar di New Delhi, India mengadakan rapat umum baru-baru ini untuk menyatakan sokongan kepada Malala.


Tak endah

Malala sekeluarga tidak mengendahkan amaran itu malah dia masih pergi ke sekolah setiap hari dan bermain dengan rakan-rakannya di padang sekolah.

Bukan sekadar itu, dia juga tegas menyatakan pendiriannya terhadap hak pendidikan wanita dalam satu temu bual bersama CNN pada tahun 2009.

"Saya ada hak untuk belajar, bermain dan menyanyi. Saya juga ada hak untuk ke pasar.

"Saya tidak perlu takut menentang pihak yang menyekat hak saya dan kawan-kawan," ujarnya yang fasih berbahasa Inggeris.

Sementara itu, menurut seorang wartawan New York Times yang pernah menemubualnya pada tahun 2009, Adam Ellick, Malala bukan budak perempuan biasa.

"Saya boleh melihat karakter berbeza dalam dirinya. Dia seorang remaja yang riang, anak yang sangat patuh kepada ibu bapanya dan kakak yang bersifat pelindung terhadap adik-adiknya.


SEORANG doktor menunjukkan plat titanium yang digunakan untuk menampal kerosakan di kepala Malala.


Suka aiskrim vanila

"Dia suka membaca novel cinta, menonton sitkom Amerika dan menggemari aiskrim vanila.

"Namun dalam masa yang sama, Malala adalah seorang pejuang hak asasi manusia yang cukup saya kagumi. Walaupun umurnya masih mentah, dia tahu kemelut yang berlaku di sekelilingnya.

"Percakapannya persis orang dewasa. Walaupun masih remaja tetapi dia seorang gadis berani.

Malala tidak gentar bercakap di dalam mesyuarat berprofil tinggi ataupun duduk di meja rundingan dengan orang sebaya bapanya.

"Andainya dia merasakan haknya dinafikan, dia tidak berdiam diri. Malala sebaliknya tegas mempertahankan hak tersebut, bukan sahaja untuk kepentingan dirinya tetapi juga sebagai suara yang mewakili rakan-rakan dan golongan wanita secara amnya," jelas Ellick yang pernah merakamkan dokumentari berkisar kehidupan kanak-kanak Pakistan di bawah kuasa Taliban.

Tambah Ellick, karakter Malala banyak dipengaruhi bapanya, Ziauddin Yousafzai yang merupakan penyair yang juga pemilik sekolah swasta.

"Biarpun usianya masih muda, persekitaran menjadikan dia mampu berfikiran jauh lebih matang daripada usia sebenarnya.

"Malala seorang yang komited terhadap pelajaran. Dia juga gadis yang idealis.

"Selain suka ke sekolah, dia juga akan pastikan waktu petangnya dihabiskan dengan mengulang kaji pelajaran bersama rakan-rakan.

"Kalau terserempak dengannya di jalanan, begnya sentiasa penuh dengan buku," ujar Ellick.

Pernah sekali Ellick bertanya dengan Malala, puak Taliban berjuang dengan senapang dan bom, sedangkan dia tidak mempunyai apa-apa. Jawab Malala:

"Saya akan gunakan al-Quran dan beritahu tindakan mereka menidakkan hak pendidikan itu tidak betul. Ini kerana, tidak ada satu ayat pun dalam al-Quran yang mengharamkan wanita daripada menuntut ilmu."


KESELAMATAN di kawasan pergunungan di utara Pakistan masih rapuh terutama membabitkan keselamatan wanita.


Jadi presiden

Malala juga ditanya, apa yang akan dilakukan sekiranya dia dilantik sebagai Presiden Pakistan, Malala menjawab: "Saya akan beritahu Taliban bahawa wanita ada hak untuk belajar."

Menurut statistik yang dikeluarkan Pejabat Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Hak Asasi Manusia (OHCHR), antara 2007 hingga 2009, tentera Taliban telah menutup sebanyak 172 sekolah di Pakistan.

Akibat pengharaman hak pendidikan itu, seramai 23,000 pelajar terpaksa berhenti bersekolah.

"Sejak pelajar perempuan diharamkan bersekolah, ramai ibu bapa di kawasan ini mengambil keputusan untuk berpindah demi memberi peluang kepada anak-anak mereka untuk bersekolah di tempat lain.

"Di sekolah saya, jumlah pelajar semakin lama semakin sedikit. Daripada ratusan pelajar, kini hanya tinggal 11 orang sahaja.

"Kebanyakan ibu bapa terpaksa mengurung dan menyuruh anak gadis mereka membaca dan menelaah pelajaran di rumah.

"Saya tidak faham mengapa Taliban mengharamkan pendidikan.

"Mereka bukan sahaja menutup sekolah, bahkan sekolah kami turut dimusnahkan.

"Ini abad ke-21, zaman di mana orang berlumba-lumba mencari ilmu. Saya tidak boleh bayangkan bagaimana ada orang boleh hidup tanpa pendidikan, " ujar Malala penuh matang.

Hadiah Nobel

Selain lantang bersuara di media, gadis bermata bundar ini juga menyuarakan pendiriannya itu melalui blognya yang banyak menceritakan dengan kehidupannya sebagai gadis Pakistan.

Menulis dalam bahasa Urdu di blognya, Malala menegaskan, setiap kanak-kanak berhak untuk belajar, tanpa mengira lokasi mereka berada.

"Kalau saya punya kuasa ajaib, saya akan pastikan setiap kanak-kanak mendapat pendidikan terbaik, walau apa pun keadaan mereka.

"Saya juga mahu berkhidmat untuk orang ramai. Kalau Taliban menganggap kelantangan saya ini satu bentuk keingkaran, saya tidak kisah. Saya hanya jalankan tanggungjawab kepada Allah.

"Taliban buat hidup kami susah. Saya reda kalau ditakdirkan mati di tangan mereka. Mungkin tidak ada lagi kematian yang lebih baik selain mati dalam memperjuangkan hak yang selama ini dinafikan.

"Kesihatan saya bertambah baik. Allah makbulkan doa anda semua.

"Selepas benar-benar sembuh, saya akan berkhidmat untuk masyarakat," ujar Malala.

Kisah hidup dan perjuangan Malala membuka mata banyak pihak. Dia juga mengambil inisiatif menubuhkan Yayasan Malala yang memperjuangkan hak pendidikan dalam kalangan kanak-kanak perempuan.

Selain menjadi inspirasi bagi kanak-kanak yang berada di negara bergolak, semangat Malala juga turut menarik perhatian selebriti seperti Angelina Jolie dan Tina Turner bergabung untuk menyokong usaha murni Malala.

Rentetan daripada penubuhan yayasan berkenaan, Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari dan Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) berjaya mengumpulkan dana berjumlah AS$10 juta (RM31 juta) untuk merealisasikan hasrat Malala yang mahukan semua kanak-kanak perempuan dimasukkan ke sekolah pada tahun 2015.

Kesungguhan gadis ini turut menarik perhatian ramai pemimpin negara-negara asing. Malah nama Malala Yousafzai turut dicalonkan sebagai penerima Hadiah Nobel Keamanan 2013.

Malah, ketika Malala mendapatkan rawatan di Britain, lebih 30,000 orang menandatangani petisyen sebagai sebahagian daripada usaha global oleh pejuang hak-hak wanita yang mahu gadis tersebut diberi pengiktirafan bertaraf dunia.

Selain di Britain, kempen yang sama turut diadakan di Kanada, Perancis dan Sepanyol.

Di bawah peraturan Jawatankuasa Nobel, hanya tokoh seperti ahli-ahli perhimpunan-perhimpunan kebangsaan dan negara boleh dicalonkan.

Setakat ini, Malala adalah calon penerima Hadiah Nobel Keamanan termuda dalam kalangan wanita.

Pesta pelik manusia

Posted:

Pesta pelik manusia

Pesta pelik manusia

MASYARAKAT Sepanyol percaya amalan melompat melepasi bayi yang baru lahir dapat mengusir hantu.


WUJUDNYA masyarakat di dunia yang pelbagai bangsa melahirkan bermacam-macam ragam hidup serta budaya berbeza.

Bukan sekadar budaya, tetapi ada perayaan pelik yang masih dipraktikkan walaupun ia mencabar batas sensitiviti, menakutkan dan tidak terjangkau dek fikiran manusia normal.

Walaupun Sepanyol dianggap negeri maju namun ada sejumlah masyarakat di negara Kesatuan Eropah itu sanggup melompat di atas bayi baru lahir hanya kerana mahu menghalau jembalang.

Perayaan kuno itu masih diamalkan oleh penduduk kampung di Castrillo, Sepanyol sehingga kini.

Cuma peliknya, lelaki dewasa berpakaian menakutkan seperti syaitan akan melompat melepasi empat hingga lima orang bayi yang baru dilahirkan.

Amalan pelik ini dijalankan sejak 1620 di perkampungan ini bertujuan memastikan setiap bayi itu selamat, sihat serta melindungi mereka daripada semangat jahat.

PESTA TOMATO di Valencia, Sepanyol menyebabkan seluruh badan anda dilumuri buah itu.


Di Korea Selatan pula, Perayaan Lumpur Boryeong berlangsung di bandar Boryeong yang terletak kira-kira 200 kilometer dari bandar Seoul.

Pesta tujuh hari ini berlangsung di sebuah pantai yang berlumpur pada bulan Jun atau Julai setiap tahun.

Lumpur di kawasan itu didakwa kaya dengan mineral selain boleh mengubati penyakit kulit.

Festival ini cukup popular di Korea Selatan sejak tahun 1998 dengan kehadiran lebih 1 juta orang termasuk pelancong asing.

Kalangan pelancong asing akan berasa teruja kerana dapat menikmati keseronokan bermain lumpur.

Aktiviti yang diadakan seperti mandi tab bersaiz besar yang mengandungi lumpur, gusti lumpur, meluncur dalam lumpur, latihan ketenteraan lumpur dan penjara lumpur.

Di Jepun, penduduk negara Matahari Terbit itu juga tidak kurang sisi eksentriknya. Hadaki Matsuri (Pesta Bogel) diadakan setiap tahun untuk lelaki negara itu membuang dosa.

Tetapi, mereka bukan telanjang bulat cuma wajib memakai pakaian tradisional Jepun seperti cawat.

Tradisi yang diadakan di beberapa daerah di Jepun ini bermula sejak 1,600 tahun yang lalu.

Aktiviti yang menyusahkan dan membuang masa ini bukan sekadar melibatkan manusia dan bayi tetapi juga haiwan.

Ironi, Turki tidak pernah melahirkan bakat-bakat besar dalam sukan gusti tetapi popular dengan sukan gusti unta.


LUMPUR sememangnya kotor tetapi bagi rakyat Korea Selatan ia kaya dengan nilai kesihatan.


Gusti unta

Dikenali sebagai Kejohanan Gusti Unta, acara tahunan tersebut selalunya dimulakan pada Ahad ketiga dalam bulan Januari di Selcuk, wilayah Aegean.

Acara itu merupakan tradisi yang dimulakan sejak 2,400 tahun dahulu oleh puak-puak yang tinggal di Turki.

Secara umumnya, gusti unta melibatkan perlawanan antara dua ekor unta jantan jenis Tulu, yang dilagakan untuk merebut seekor unta betina.

Peraturan gusti unta sangat mudah. Sekiranya seekor daripada unta jantan berkenaan berundur, jatuh atau 'menjerit seolah-olah mengaku kalah,' maka unta terbabit diisytiharkan sebagai tewas.

KEJU memang sedap dimakan tetapi bagi segelintir masyarakat Britain makanan itu dikejar sebelum ditangkap untuk memperoleh hadiah lumayan.


Tangkap keju

Kira-kira 1,200 ekor unta akan menyertai pertandingan berkenaan setiap tahun.

Berlainan pula halnya di Thailand. Jika di Malaysia monyet dianggap haiwan perosak tetapi penduduk Thailand menganggap ia bak seorang raja kerana akan dijamu makanan mewah termasuklah buah-buahan segar.

Berlangsung di kawasan Lopburi setiap tahun lebih 2,000 ekor monyet disaji dengan makanan lazat.

Menariknya semua monyet sentiasa menunggu saat festival ini dijalankan kerana kepercayaan penduduk daerah itu haiwan tersebut membawa tuah dan rezeki.

Pesta ini diadakan setiap tahun di Thailand pada bulan November untuk mempromosikan sektor pelancongan.

Selain itu, monyet Lopburi berkeliaran bebas tanpa sebarang gangguan.

Jika wanita menganggap avokado boleh meremajakan wajah, tetapi lelaki Sepanyol memusnahkan beratus-ratus tan buah tomato tanpa alasan munasabah dalam Pesta Tomato atau Latomatino di Bunol, Valencia.


PERLAWANAN gusti bukan sahaja melibatkan manusia tetapi unta di Turki.


Para peserta diwajibkan untuk menghancurkan buah itu sebelum dibaling atau dilumur kepada individu lain.

Bukan sahaja tomato, keju juga menjadi sasaran untuk dibazirkan.

Pesta keju di Britain yang bermula sejak 200 tahun lampau diadakan di Bukit Cooper di wilayah Gloucester, Britain.

Menariknya, peserta akan berlari menuruni bukit yang dipenuhi selut serta rumput untuk menangkap keju berbentuk roda yang dilepaskan dari atas bukit.

Namun, aktiviti ini bukan mudah kerana keju yang dilepaskan itu boleh bergerak sehingga 70 kilometer sejam sehingga mengakibatkan ramai peserta yang tercedera.

Apa pun, Pesta Air atau Songkran di Thailand merupakan pesta yang sentiasa dinanti-nantikan bukan sahaja oleh masyarakat tempatan tetapi juga pelancong asing.

Air akan dicurahkan kepada sesiapa sahaja sewaktu pesta yang berlangsung pada musim panas.

Pesta tahunan tiga hari pada pertengahan April itu akan melibatkan seluruh penduduk Thailand dan setiap individu harus bersiap sedia untuk basah kuyup sepanjang hari.

Malah ada yang sanggup meronda menggunakan kenderaan keliling bandar bagi mencari mangsa untuk disimbahkan air.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved