Khamis, 3 Januari 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Keluar kepompong sehaluan VIP -

Posted:

Keluar kepompong sehaluan VIP -

Keluar kepompong sehaluan VIP -

FADLAN nekad keluar daripada kumpulan VIP untuk memulakan langkah baru bersempena tahun baru 2013 yang baru dibuka tirainya ini.


ATURAN yang jelas dalam gerak langkah seorang anak muda berkulit cerah setinggi 177 sentimeter itu ketika fotonya dibidik oleh jurufoto Kosmo!, Nooradzrene Mohd. Noor.

Memilih lokasi serba sibuk di tengah-tengah kota metropolitan Kuala Lumpur atau secara tepatnya di Bukit Bintang adalah ironi kepada pergerakan langkahnya dalam arena seni - perlahan tapi pasti.

Kata Fadlan atau nama penuhnya Fadlan Hazim Anwar, 20, seperti mana kehidupan yang memerlukan keseimbangan begitu juga pilihannya bergerak dalam kerjaya selaku anak seni.

"Saya memilih untuk seimbang, tidak terlalu mengejar populariti atau sensasi tapi tidak dinafikan populariti itu perlu untuk naik. Dalam masa yang sama, duit juga prioriti untuk memastikan kita kekal bergerak.

"Semahu-mahunya saya enggan dicop sebagai seorang artis yang hanya harapkan muka," jelasnya.

Tambahnya, bakat lebih penting daripada rupa atau populariti kerana rupa adalah bonus.

Tegas Fadlan: "Apabila rupa sudah tiada, bakat pula sederhana, akhirnya duduk rumah juga."

Fadlan bagaimanapun cuba mengikis persepsi masyarakat sekeliling yang melihatnya bergantung pada rupa semata-mata untuk mencuri tumpuan.

"Susah apabila awal-awal lagi sudah kena label cari makan dengan rupa, tetapi saya akan cuba buktikan bahawa saya hidup berdasarkan bakat dan bukannya rupa," ujarnya ketika yang ditemui usai sesi fotografi.

Anak ikan

Soal rupa masih menjadi pokok perbualan. Pernah suatu ketika sewaktu pengunduran Fadlan daripada kumpulan VIP timbul gosip liar yang mengatakan bahawa anak jati Kuala Lumpur itu ditaja oleh beberapa orang kenamaan sekali gus meletakkan label Fadlan sebagai 'anak ikan' (lelaki muda yang menjadi pendamping).

Situasi sedikit tegang dan Fadlan terhenti seketika menarik nafas. Katanya, label yang lebih teruk pernah diberikan kepada dia serta anggota kumpulan VIP ketika mereka mula melangkah masuk menjadi penyanyi.

"Saya faham bahawa anggota kumpulan VIP kebanyakannya muda-muda, malah ada yang menggelarkan kami 'adik-adik' (lelaki lembut) selain anak ikan.

"Namun, hanya individu yang rapat tahu siapa saya. Saya bukan anak ikan dan makan duit haram. Saya tak mahu malukan keluarga saya," getusnya bertegas.

Mengecilkan skop perbualan pada petang itu, soal hati dan bicara cinta mengisi slot yang berbaki. Kata Fadlan, dia enggan melihat dirinya hanyut bercinta sementelah ruang masa dan peluang yang diberi kini perlu dimanfaatkan untuk berkerja.

"Saya bukan seorang yang suka bersosial, masa yang ada hanya untuk bekerja dan bersama keluarga. Kenapa saya perlu buang masa memikirkan soal bercinta, komitmen dan sakit hati sedangkan saya ada peluang untuk merasa gembira tanpa terbeban dengan masalah cinta.

"Sudah banyak kali saya putus cinta dan sudah masak dengan dunia fantasi sebegitu. Buat masa sekarang fokus saya adalah kerjaya saya," tegas Fadlan berterus-terang.

Jual mahal atau terlalu memilih? Ujar Fadlan dia memberikan ruang sementara waktu masih sihat untuk berkerja dan mencari rezeki.

"Bukan tak mahu mencari atau menerima tapi beri saya masa untuk fikirkan soal kerja dan cari rezeki. Insya-Allah pada umur 25 tahun saya akan mencari," jelasnya.

Ditanya mengenai perancangannya selepas ini sama ada mahu menyambung pelajaran atau tidak, jawab Fadlan dia mungkin meneruskan hasrat keluarganya untuk menggenggam segulung ijazah.

Sebelum ini Fadlan pernah belajar di Universiti Multimedia Cyberjaya selama satu semester dalam bidang Filem dan Animasi pada tahun 2010.

VIP

Tahun 2012 yang kini berlalu sudah, telah memaksa Fadlan berfikir ke arah melakar kecemerlangan dalam dua bidang yang diceburinya iaitu lakonan dan nyanyian.

Keluar daripada kumpulan VIP tidak mengganggu fokusnya.

Alasan Fadlan, dia terpaksa mengundur diri berikutan perjuangan muzik yang tidak sealiran.

"VIP memperjuangkan muzik rancak, lincah dan wajib menari sebaliknya saya lebih sukakan muzik hip hop dan rap.

"Oleh kerana kurang persefahaman sesama ahli dan saya, adalah lebih baik saya keluar membawa haluan sendiri. Selama setahun bersama VIP saya banyak belajar tentang dunia muzik dan kematangan berfikir mencorak masa depan," ulasnya.

VIP tampil dianggotai oleh lima orang ahli iaitu Fadlan, Ryan, Yandy, Marlon dan Adam AF.

Tidak mengandaikan perjuangan bersama VIP selama setahun merupakan satu kesilapan, tambah Fadlan tidak mustahil suatu hari nanti mereka akan kembali bersatu.

"Saya gembira bersama VIP dan selepas setahun saya baru tahu asam garam bersama sesebuah kumpulan. Mungkin satu masa nanti kami akan kembali bergabung sebagai satu kumpulan semula," kata Fadlan.

Langkahnya kini disusun untuk meneruskan impiannya dalam muzik hip hop, rap, R&B serta pop dan berusaha untuk mengeluarkan albumnya sendiri.

"Memanglah lagu yang saya cipta tidak sebaik komposer terkenal tapi Insya-Allah perlahan-lahan saya mendaki untuk sampai ke puncak nanti," simpulnya.

Kekecewaan Yuna

Posted:

Kekecewaan Yuna

Kekecewaan Yuna

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


KONTRAK Yuna bersama syarikat rakaman Fader kini sudah tamat.


PENYERTAAN penyanyi bertaraf antarabangsa, Yunalis Zarai atau Yuna di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) bermula pada tahun 2009. Menerusi AJL ke-24 (AJL 24) tersebut, dia tampil dengan lagu popularnya, Dan Sebenarnya.

Sukses meraih gelaran naib juara AJL 24, Yuna seterusnya beraksi di pentas AJL pada tahun 2010 pula menerusi lagu Cinta Sempurna. Tahun berikutnya iaitu pada 2011, Yuna sekali lagi tercalon dalam AJL dengan mempertaruhkan lagu Gadis Semasa dan Penakut.

Namun, lagu ciptaannya itu tidak berjaya dinobatkan sebagai lagu terbaik.

Bagaimanapun pada tahun ini, Yuna yang tercalon sekali lagi dalam AJL menerusi lagu hit, Terukir Di Bintang secara tiba-tiba menarik diri seminggu sebelum AJL ke-27 (AJL 27) berlangsung kerana bertembung dengan jadual rakaman album baharunya.

Mengaku kecewa dan sedih kerana tidak dapat menyanyikan sendiri lagu ciptaannya di AJL 27, Yuna bagaimanapun berkongsi berita gembira kerana kini dia sedang sibuk menjalani rakaman untuk album keduanya dengan sebuah syarikat rakaman popular di Amerika Syarikat.

Kosmo! menghubungi Yuna untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penarikan dirinya dalam AJL 27.

Kosmo!: Kenapakah Yuna menarik diri daripada membuat persembahan pada AJL 27 yang akan berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada 6 Januari ini?

YUNA: Saya tidak tarik diri cuma tidak dapat membuat persembahan pada AJL atas urusan kerja yang tidak dapat dielakkan. Walaubagaimanapun, akan ada penyanyi lain yang akan gantikan tempat saya.

Boleh beritahu urusan apakah yang menyebabkan Yuna tidak boleh beraksi di pentas AJL?

Saya sibuk dengan rakaman album kedua di Amerika Syarikat. Terpaksa ikut jadual penerbit di sana.

Siapakah penyanyi yang akan menggantikan tempat Yuna?

Pengganti itu saya tidak dapat nak komen. TV3 akan maklumkan nanti sebab ia masih dalam perbincangan antara pihak saya dan TV3.

Kenapakah jadual boleh bertembung sedangkan tarikh AJL sudah diberitahu lebih awal? Sebelum ini Yuna pernah beritahu pihak label di sana (Amerika Syarikat) tiada hak untuk halang aktiviti Yuna di Malaysia?

Memang betul tapi disebabkan rakaman sudah dirancang awal oleh pihak pengurusan, saya terpaksa akur dengan keputusan yang telah dibuat oleh syarikat rakamannya di Amerika Syarikat.

Ada khabar mengatakan Yuna tidak mahu buat persembahan di AJL sebab merajuk dengan layanan industri Malaysia. Betulkah?

Tak betul. Saya memang tidak dapat balik atas urusan kerja.

Boleh beritahu siapakah calon-calon yang dipilih Yuna untuk menyanyikan lagu Terukir Di Bintang?

Calon-calonnya buat masa ini kami masih tengah double confirm. Bila sudah confirm TV3 sendiri akan beritahu.

Adakah Yuna kecewa tidak dapat beraksi di pentas AJL tahun ini?

Kecewa dan sedih tapi kerana kerja terpaksa berkorban.

Khabarnya kontrak Yuna bersama syarikat rakaman Fader sudah tamat. Kenapakah?

Apa yang boleh saya komen tentang perkara ini, saya sudah lakukan yang terbaik di Amerika Syarikat. Alhamdulillah saya dapat tawaran lebih bagus daripada syarikat rakaman lain.

Khabarnya Yuna disunting oleh syarikat rakaman yang bertempat di California, Verve Records. Benarkah?

Maaf buat masa ini saya diminta untuk merahsiakan dulu nama syarikat berkenaan.

Apakah perkembangan terbaharu Yuna?

Saya sekarang tengah sibuk merakamkan album kedua untuk keluaran antarabangsa di bawah naungan label baharu.

Sabon akhirnya tersungkur

Posted:

Sabon akhirnya tersungkur

Sabon akhirnya tersungkur

Oleh NOR SYARIA MUHD. TAHIR


KUMPULAN Sabon hanya mampu bertahan sehingga minggu ketujuh dalam Maharaja Lawak 2 ini.


MENJADI juara Maharaja Lawak Mega (MLM) pada musim pertama bukan satu jaminan untuk Abon mengulangi semula kejayaannya itu pada musim kedua ini.

Dia yang muncul berpasangan dengan Sathiya menerusi kumpulan Sabon akhirnya terpaksa menghentikan usaha dan perjuangan mereka di gelanggang MLM musim kedua apabila diumumkan sebagai kumpulan yang tersingkir pada minggu ketujuh, Jumaat lepas.

Setelah tiga minggu berturut-turut berada di kedudukan tiga yang terendah, Sabon terpaksa menerima kenyataan bahawa lawak yang diketengahkan oleh mereka pada minggu ini gagal memenangi hati juri dan penonton.

Ketika ditemui sejurus selepas berakhirnya program tersebut, Abon berkata, meskipun berasa kecewa dengan keputusan itu, namun mereka berpuas hati dengan pencapaian yang telah dibuat sehingga minggu ketujuh.

"Berjaya bertahan sehingga minggu yang ketujuh pun sudah cukup membuatkan kami berasa gembira dan ia merupakan satu kejayaan buat kami.

"Hal ini kerana rakan-rakan pelawak lain yang sezaman dengan kami telah pun meninggalkan gelanggang MLM 2 sejak awal-awal lagi dan ini membuktikan bahawa peminat masih boleh menerima lawak yang kami ketengahkan," ujarnya yang muncul sebagai juara MLM musim pertama bersama dengan Os menerusi kumpulan Osbon.

Bagi Sathiya pula, Sabon telah memberikan persembahan yang terbaik pada setiap minggu. Bagaimanapun, mereka terpaksa akur dengan format pemarkahan pertandingan itu yang turut mengambil kira undian khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada penonton.

"Jika diikutkan, kami sering mendapat komen yang positif daripada juri, namun memandangkan penonton turut menyumbang sebanyak 30 peratus melalui undian SMS, kami terima keputusan ini dengan hati terbuka.

"Bagaimanapun, perjuangan kami dalam bidang lawak tidak akan terhenti di sini kerana kami akan terus berlawak walau di mana-mana sahaja memandangkan ini adalah dunia kami," katanya yang telah menceburi bidang lawak jenaka selama 28 tahun.

Gelanggang MLM minggu ketujuh menyaksikan tujuh kumpulan perlu mencabar kreativiti mereka apabila diberikan dua tema tugasan, iaitu Loghat dan Kembali ke Sekolah.

Jozan dan Jambu dilihat yang paling berjaya mencuri hati penonton apabila lawak bersahaja yang dibawakan mereka berjaya menggamatkan auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), terutamanya babak antara seorang guru dengan pelajar oleh kumpulan Jambu yang dianggap oleh juri sebagai kreatif dan lain daripada yang lain.

Jambu bagaimanapun dikritik oleh juri, Lisa Surihani sebagai membawakan jalan cerita yang kabur, namun tetap menghiburkan untuk drama di kedai tomyam bagi pusingan yang pertama.

Begitu juga bagi Jozan yang dianggap sebagai bernasib baik oleh juri, Najib Ali kerana mempunyai aura yang membuatkan penonton akan ketawa tidak kira walau apa pun yang mereka lakukan.

Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada satu-satunya kumpulan yang berasal dari Indonesia yang masih lagi bertahan, iaitu Saywho yang mencuba untuk bercakap dalam dialek Kelantan, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Meskipun kedengaran janggal, mereka berjaya membuktikan kepada penonton bahawa mereka merupakan pelawak yang versatil.

Kedudukan peratusan keseluruhan bagi minggu ketujuh menyaksikan Jozan mengungguli carta dengan 70 peratus, Jambu (62 peratus), Shiro (62 peratus), Saywho (57 peratus), Boboi (57 peratus), R2 (56 peratus) dan Sabon (51 peratus).

MLM yang disiarkan secara langsung di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134) itu akan bersiaran dari Kuala Terengganu untuk konsert seterusnya pada minggu hadapan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved