Sabtu, 29 Disember 2012

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Kim Swee masih berteka-teki

Posted:

Kim Swee masih berteka-teki

Kim Swee masih berteka-teki

Oleh MULLER ASEN
berita@kosmo.com.my

WAN ZACK (kiri) cuba melepaskan diri daripada kawalan pertahanan Sarawak pada aksi persahabatan di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak kelmarin.


PENGENDALI Harimau Muda, Ong Kim Swee masih merahsiakan senarai pemain yang akan dibawa 'berguru' ke Australia, Januari depan.

Kim Swee berkata, hanya pemain-pemain yang cergas 100 peratus akan dipilih untuk menyertai skuad tersebut.

"Kami masih ada masa yang panjang iaitu lebih kurang 20 hari lagi untuk bertolak ke Australia. Jadi, kami akan pilih siapa yang akan pergi dan sebaliknya," katanya selepas Harimau Muda menewaskan Sarawak 4-2 pada aksi persahabatan di Stadium Negeri Sarawak, Petra Jaya malam kelmarin.

"Paling mustahak, para pemain hendaklah cergas sepenuhnya sebelum fikir untuk terpilih menimba pengalaman di sana (Australia) nanti."

Buat masa ini, sekurang-kurangnya tiga pemain Harimau Muda dijangka terlepas peluang keemasan berlatih di bumi kanggaru, Januari depan.

Ketiga-tiga pemain tersebut iaitu Fandi Othman, A. Thamil Arasu dan Syahrul Azwari Ibrahim masih dibelenggu kecederaan.

Sementara itu, Kim Swee mengakui berpuas hati dengan persembahan mantap anak-anak buahnya ketika menewaskan skuad Bujang Senang itu.

"Walaupun ketinggalan pada awal permainan, para pemain mampu bangkit dan bekerja sebagai satu psukan untuk mencipta gol demi gol.

"Ini petanda positif bahawa perancangan yang diatur telah membuahkan hasil, namun kita akan perkemaskan lagi kerana masih terlalu awal untuk gembira," katanya.

Pada perlawanan tersebut, Harimau Muda yang bermula hambar menerima padah apabila Sarawak terlebih dahulu membolosi gawang pasukan pelawat seawal minit keempat menerusi sepakan padu penyerang tuan rumah, Bobby Gonzales.

Terkejut dengan jaringan itu, pemain-pemain Harimau Muda yang diketuai Wan Zack Haikal mula menampilkan rentak sebenar dengan melancarkan serangan bertali arus.

Kerja keras pemain-pemain Harimau Muda berbaloi apabila mereka berjaya mendapat gol penyamaan menerusi jaringan pemain sayap, Wan Zaharulnizam pada minit ke-30.

Bagaimanapun, lebih daripada 15,000 penonton yang menyaksikan perlawanan tersebut kecewa selepas kedua-dua pasukan menampilkan aksi yang membosankan dan tiada percubaan bahaya kira-kira 15 minit sebelum rehat.

Sebaik babak kedua bermula, Harimau Muda menguasai permainan dan sekali lagi membolosi gawang Sarawak pada minit ke-57.

Wan Zack bijak menewaskan penjaga gol Sarawak, Sani Anuar Kamsani selepas pengadil perlawanan Mohd. Radzi Othman menghadiahkan sepakan penalti kepada Harimau Muda setelah pemain import Sarawak, Guy Bwele mengasari Wan Zaharulnizam.

Meskipun menguasai hampir keseluruhan permainan pada babak kedua, Harimau Muda hanya mampu meledak dua jaringan lagi ketika permainan berbaki lima minit.

Wan Zaharulnizam menyumbat gol kedua peribadi dan ketiga Harimau Muda pada minit ke-85 manakala gol keempat disumbangkan oleh pemain gantian, Mohd Nurridzuan pada minit ke-90.

Gol kedua tuan rumah pula dijaringkan pemain import Sarawak, Ivan Babic pada masa kecederaan.

Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada barisan pertahanan pasukan muda negara yang diterajui kapten, Mohd. Fadhli Mohd. Shas apabila bijak mengekang pergerakan rangkaian penyerang Sarawak.

PBNJ yakin main malam

Posted:

PBNJ yakin main malam

PBNJ yakin main malam

Oleh RADIAH SAORI
radiah.saori@kosmo.com.my


TUNKU ISMAIL (tiga dari kanan) beramah mesra dengan pemain-pemain pada majlis memperkenalkan pasukan serta jersi Johor Darul Takzim dan Johor di Plaza Angsana, Johor Bahru semalam.


PERSATUAN Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) yakin pasukan Johor Darul Takzim pasti akan bermain pada waktu malam di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin sepanjang saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Keyakinan tersebut disuarakan sendiri presidennya, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi mengulas isu lampu limpah di stadium terbabit yang dikatakan tidak menepati piawaian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Tunku Ismail berkata, pihaknya akan menjalankan kerja-kerja menaik taraf sistem pencahayaan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos dan yakin ia akan siap sebelum 8 Januari depan.

"Isya-Allah kita akan selesaikan masalah ini sebelum 8 Januari. Saya yakin, perlawanan di Stadium Larkin pasti akan diadakan pada waktu malam," katanya kepada pemberita pada majlis memperkenalkan pasukan serta jersi Johor Darul Takzim dan Johor di Plaza Angsana, Johor Bahru semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan hanya tujuh stadium yang menjadi venue tuan rumah aksi Liga M, menepati piawaian memiliki sekurang-kurangnya lampu limpah dengan tahap kecerahan 1,000 lux.

Perlawanan yang akan diadakan Stadium Tan Sri Hassan Yunos pula terpaksa dilakukan pada waktu petang kerana ia tidak menepati piawaian.

Dalam pada itu, Tunku Ismail berkata, beliau sama sekali tidak bimbang dengan kekalahan 2-1 Johor Darul Takzim kepada pasukan Johor pada perlawanan akhir kejohanan Piala Tunku Mahkota Johor kelmarin.

Katanya, kekalahan itu merupakan adat dalam sesebuah pertandingan tetapi apa yang lebih penting, pemain kedua-dua pasukan telah menunjukkan komitmen dan disiplin yang tinggi.

"Kita tidak boleh menjangkakan untuk menang 6-0 pada setiap perlawanan. Ini hanyalah aksi pemanas badan dan saya masih percaya kita mempunyai peluang untuk meraih kejayaan," katanya.

Majlis pelancaran semalam dihadiri ribuan penyokong yang ingin menyaksikan dengan lebih dekat pemain-pemain Johor Darul Takzim dan Johor selain ingin melihat jersi baharu yang akan digunakan musim depan.

Kelantan dalam kelas tersendiri

Posted:

Kelantan dalam kelas tersendiri

Kelantan dalam kelas tersendiri

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

BARANGKALI tidak keterlaluan rasanya menyifatkan gergasi Pantai Timur, Kelantan sebagai pasukan paling berjaya dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2012.

Cemerlang merangkul gelaran trebel musim ini apabila 'menyapu bersih' ketiga-tiga trofi iaitu Liga Super, Piala FA dan juga Piala Malaysia, kejayaan The Red Warriors pastinya dicemburui ramai pihak.

Kini, majoriti pemerhati bola sepak tempatan mula berdebat sesama sendiri sama ada Kelantan mampu mengulangi kecemerlangan itu ataupun tidak pada musim depan.

Tatkala penyokong fanatik Kelantan pastinya mengharapkan supaya sejarah kembali berulang musim depan, tidak mustahil segelintir penyokong-penyokong pasukan lain turut memasang angan-angan agar anak-anak buah Bojan Hojak tumbang sebelum berjuang.

Bukan apa, sejarah sudah membuktikan segala-galanya. Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sewajarnya sedar bahawa bukan mudah untuk mengekalkan reputasi selaku pasukan terunggul di negara ini.

Mereka perlu menerima hakikat bahawa pasukan yang berada di puncak kejayaan sebelum ini gagal mengekalkan momentum cemerlang mereka, malah ada pasukan berstatus gergasi terus terumbang-ambing mencari rentak.

Antara pasukan yang cukup digeruni dalam Liga M sebelum ini termasuk Selangor, Pahang, Johor, Terengganu, Kedah, Sarawak dan Negeri Sembilan tetapi mereka juga gagal mengekalkan rentak cemerlang.

Andai Kelantan tidak belajar sesuatu daripada apa yang dialami oleh pasukan-pasukan tersebut, tidak mustahil mereka juga bakal mengalami nasib yang sama.

Kedah umpamanya, merupakan satu-satunya pasukan yang berjaya mempertahankan gelaran trebel pada musim 2007 dan 2008, tetapi kecemerlangan itu kini sekadar tinggal kenangan.

Untuk memburukkan lagi keadaan jagoan utara tanah air itu, Sang Kenari kini tersingkir ke saingan Liga Premier musim depan.

Jika diikutkan di atas kertas, Bojan dilihat tidak berdepan masalah mengekalkan kecemerlangan Kelantan apabila sebahagian besar pemain beliau membuat keputusan untuk kekal di Kota Bharu musim depan.

Justeru, beliau sepatutnya tidak memiliki sebarang alasan seandainya Kelantan gagal mengulangi kejayaan kali ini.

Kali ini, peluang pertama Bojan memburu trofi sulung bersama Kelantan bagi musim 2013 dilihat hadir lebih awal apabila dijadual berdepan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam aksi Piala Sultan Ahmad Shah (Sumbangsih) pada 5 Januari ini.

Kekecewaan Kelantan yang terkandas di peringkat suku akhir Piala AFC musim ini selepas dijinakkan kelab Iraq, Arbil SC dengan agregat 2-6 juga wajar ditebus barisan pemain The Red Warriors sebagai penanda aras kehebatan mereka di persada bola sepak tempatan selepas ini.

Di kesempatan ini, Kosmo! mengajak pembaca mengimbau semula perjalanan Kelantan mendaki kemuncak kemasyhuran sepanjang musim ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved