Selasa, 18 Disember 2012

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


‘Jangan usik Kim Swee’

Posted:

'Jangan usik Kim Swee'

'Jangan usik Kim Swee'

RAJAGOBAL (berdiri di kanan) masih mendapat kepercayaan daripada FAM untuk membimbing Harimau Malaya.


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan berganjak dengan pendirian untuk terus mengekalkan khidmat Datuk K. Rajagobal sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya.

Biarpun pengendali berusia 56 tahun itu gagal membantu Malaysia mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF 2012, FAM memberi jaminan bahawa 'kerusi panas' itu masih menjadi milik Rajagobal.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad menegaskan bahawa cadangan untuk melantik jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee untuk menggantikan tempat Rajagobal tidak wujud buat masa sekarang.

Menurut Azzuddin, FAM tidak akan menghukum Rajagobal hanya disebabkan gagal pada kempen Piala Suzuki AFF 2012, sebaliknya badan induk sukan bola sepak negara itu masih memerlukan khidmatnya.

Jelasnya, FAM juga tidak mahu pihak-pihak tertentu memberikan tekanan kepada Kim Swee dan beliau yakin jurulatih kelahiran Melaka itu akan terus melahirkan pemain-pemain muda berpotensi untuk diserapkan dalam skuad negara.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, kami tidak mahu menyingkirkan Rajagobal hanya disebabkan satu kegagalan.

"Apakah mereka sudah lupa jasa-jasa Rajagobal yang berjaya menamatkan penantian 20 tahun pingat emas Sukan SEA Laos 2009 dan muncul sebagai juara buat kali pertama Piala Suzuki AFF 2010.

"Kita sepatutnya menerima hakikat bahawa kita tewas kepada pasukan yang lebih baik. Saya yakin Rajagobal telah melakukan yang terbaik untuk skuad negara.

"Kim Swee merupakan seorang jurulatih yang cukup berwibawa. Buktinya, banyak bakat baharu dapat dicungkil, jadi FAM tidak akan sesekali mengganggu tugas Kim Swee.

"Mereka (pengkritik) boleh bercakap tetapi kita jangan mudah lupa jasa-jasa orang (Rajagobal)," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, Azzuddin menggesa semua pihak agar tidak terus menimbulkan spekulasi terhadap kedua-dua jurulatih berkenaan.

"Hentikan spekulasi seperti ini. Mereka (Kim Swee dan Rajagobal) bekerja di bawah satu bumbung dan sepatutnya kita harus menghormati mereka, bukannya memecahkan keharmonian antara mereka."

Sabah idam satu piala

Posted:

Sabah idam satu piala

Sabah idam satu piala

Oleh MOHD. YUNUS YAKKUB
yunus.yakkub@kosmo.com.my


MUSA (kanan) bersalaman dengan para pemain pada majlis memperkenalkan pemain skuad Sabah di Kota Kinabalu semalam.


"SAYA mahu satu piala musim depan."Ringkas tetapi penuh bermakna amanat dan harapan yang dilontarkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman kepada para pemain Sabahawks dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.

Tidak mahu ia dijadikan sebagai omongan kosong, Musa mendesak agar pemain-pemain baharu yang dipilih bagi mewakili pasukan tersebut mempamerkan persembahan terbaik dengan semangat berpasukan, jujur dan amanah bagi mengembalikan kegemilangannya sebagai antara pasukan disegani.

Ujarnya, ia penting bagi mendapatkan semula sokongan ribuan penyokong tempatan yang sentiasa berada di sisi mereka biarpun akan beraksi pada Liga Premier nanti.

"Secara jujurnya, memang saya akui agak terkilan terutama apabila pasukan yang disayangi ini bakal bermain di Liga Premier dan bukan lagi Liga Super.

"Namun, bagi saya kedua-dua liga ini mempunyai persaingannya tersendiri dan memenangi sekurang-kurangnya satu piala mampu mengubati luka pada musim ini," katanya ketika berucap pada majlis suai kenal pemain skuad Sabah di Kota Kinabalu semalam.

Pada majlis tersebut, hampir 60 peratus muka-muka baharu diperkenalkan bagi memperkuatkan pasukan Negeri Di Bawah Bayu dengan lapan pemain import tempatan dan empat daripadanya adalah bintang kelab T-Team diketuai bekas penjaga gol kebangsaan, Mohd. Syamsuri Mustafa.

Tiga lagi bekas pemain T-Team yang menyertai Sabah termasuk Khairul Izwan Khalid, Shahril Faizal Sharifuddin dan Wan Mohd. Aliff Wan Jasmin.

Selain itu, Mohd. Hafizulldin Mohd. Noor daripada pasukan KL Pos, Mohd. Fazilidin Khalid (Selangor), Shahril Shaari (Harimau Muda) dan bekas pemain Pahang, Wan Azwari Wan Noor.

Bagi memastikan misi satu piala tersebut tercapai, Sabah juga mempertaruhkan dua pemain import dari luar negara iaitu penyerang antarabangsa Mali, Koh Troare selain pertahanan dari Wales, Rhys David Weston.

16 pemain tempatan dikekalkan terdiri daripada Irwan Jamil, Rosdin Wasli, Alto Linus, Shahrul Azhar Ture, Sumardi Hajalan, Julamri Muhammad, Shahrudin Radzi, Zainizam Marjan dan Juffery Omopor.

Dalam majlis tersebut juga, pasukan Sabahawks turut mendapat tajaan pakaian daripada syarikat sukan, Grace One Sdn. Bhd.

Musa yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) berkata, para pemain juga dituntut mengambil semangat yang ditunjukkan oleh pasukan Kelantan yang berjaya mempertahankan ketiga-tiga piala yang dimenangi mereka sebelum ini.

Tambahnya, beliau mahu bukan sahaja pihak pengurusan malahan setiap pemain meletakkan sasaran untuk kembali semula ke kancah Liga Super pada musim 2014.

"Sehubungan itu, saya mahu para pemain bersih dari segi pemikiran dan komited terhadap setiap perlawanan yang diharungi.

"Kamu (para pemain) juga harus mengikis istilah menjual permainan kerana saya tidak akan teragak-agak untuk bertindak segera dan mengenakan tindakan displin sekiranya berjaya menghidu kegiatan tidak bermoral ini," tegasnya.

Sementara itu, ketua jurulatih Sabah, David McCreery berkata, bagi memantapkan lagi pasukan tersebut beberapa siri perlawanan akan diadakan dengan pasukan Selangor, T-Team dan Polis Diraja Malaysia pada 26, 27 dan 28 Disember sebelum menguji skuadnya bersama kelab bola sepak dari Filipina pada awal Januari.

"Kita berharap pemain akan menunjukkan aksi yang lebih baik dan fokus pada setiap perlawanan serta bersungguh-sungguh agar dapat memenuhi impian Presiden Safa," katanya.

ToV 2012: Pelumba negara bermula penuh bergaya

Posted:

ToV 2012: Pelumba negara bermula penuh bergaya

ToV 2012: Pelumba negara bermula penuh bergaya

NOR RIZUAN tampil cemerlang pada saingan peringkat pertama VoT 2012 semalam.


CAN THO CITY, Vietnam – Skuad lebuh raya Malaysia melakar kejayaan cemerlang pada perlumbaan peringkat pertama Kejohanan Lumba Basikal Tour of Vietnam 2012 (ToV 2012) apabila dua pelumbanya menduduki tempat ke sembilan dan ke-10 sejauh 161 kilometer dari Bandaraya Ho Chi Minh ke Vinh Long-Can Tho City semalam.

Dua pelumba berpengalaman, Mohd. Nor Rizuan Zainal dan Ahmad Fakrullah Alias hampir melakar kejayaan bermakna namun usaha mereka untuk mengejar kelompok pelumba utama diketuai pemenang daripada pasukan kebangsaan Hong Kong, Choi Ki Ho gagal.

Catatan 3 jam 34 minit 06 saat yang dirakam dua pelumba tersebut ternyata membantu pasukan kebangsaan Malaysia untuk menduduki tempat keenam kategori berpasukan keseluruhan daripada 21 pasukan yang menyertai ToV 2012.

Seorang lagi pelumba muda yang sedang meningkat naik, Mohd. Ekbar Zamanhuri turut merakam keputusan terpuji apabila menduduki tempat ke-20 manakala dua tonggak Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd. Zamri Salleh dan Mohd. Harrif Salleh pula melakar keputusan sensasi apabila masing-masing mengisi posisi kelima dan keenam.

Jurulatih pasukan kebangsaan, Aminuddin Sulaiman jelas gembira dengan keputusan yang dicetuskan oleh anak-anak buahnya pada ToV 2012..

"Saya mengambil keputusan drastik apabila menampilkan pasukan campuran pada Tour of Vietnam 2012. Saya bawa empat pelumba pelapis yang bakal dipertimbangkan untuk kejohanan Le Tour de Langkawi 2013 dan Kejohanan Lumba Basikal Asia 2013 di New Delhi.

"Nampaknya hari ini (semalam) ada dua pelumba berpengalaman iaitu Ahmad Fakrullah dan Mohd. Nor Rizuan menduduki tempat kesembilan dan ke-10. Namun saya paling gembira apabila pelumba muda iaitu Mohd. Ekbar berjaya menduduki tempat ke-20 daripada 141 pelumba yang menyertai Tour of Vietnam 2012..

"Ini adalah satu pencapaian yang baik untuk pelumba muda. Ternyata mereka berjaya menyerap tekanan. Saya memang mengharapkan mereka melakukan sesuatu pada kejohanan ini. Akhirnya mereka berjaya menyahut cabaran saya.

"Saya menyangka mereka akan sekadar membantu pelumba berpengalaman. Namun Mohd. Ekbar telah merakam satu keputusan yang terpuji pada perlumbaan peringkat pertama," katanya.

Mohd. Nor Rizuan yang bertindak sebagai kapten pasukan selepas ketiadaan Mohd. Fauzan Ahmaf Lufti yang kempunan untuk beraksi di ToV 2012 gara-gara menduduki peperiksaan semester akhir mengaku agak terkilan kerana gagal untuk menghambat kelompok depan yang berada hanya kira-kira satu kilometerdi depannya tatkala menghampiri garisan penamat di Bandaraya Ho Chi Minh.

"Saya berhempas pulas mengejar mereka bersama Ahmad Fakrullah. Pada awalnya kami menjangka mampu untuk menghabiskan perlumbaan bersama kelompok hadapan. Rasanya kami boleh dapat nombor lima terbaik andai menamatkan perlumbaan bersama mereka," katanya.

Kejayaan semalam jelas membakar semangat Mohd. Nor Rizuan yang berikrar akan melakar kejayaan lebih bermakna pada perlumbaan peringkat kedua dari Can Tho City-Can Tho City sejauh 200km hari ini.

"Perlumbaan peringkat kedua sangat jauh dan faktor cuaca sangat memainkan peranan. Misalnya seperti hari ini (semalam). Cuaca hampir melepasi 38 darjah selsius. Malangnya, kami tidak mendapat bekalan air dan makanan yang mencukupi kerana masalah teknikal.

"Pasukan kita cuba untuk memberi minuman dan makanan namun masalah kenderaan motosikal yang terlalu banyak menyaksikan mereka bermasalah untuk berbuat demikian. Bagaimanapun, buat permulaan, ini adalah satu keputusan yang bagus," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved