Khamis, 27 Disember 2012

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Noraniza nafi sara suami

Posted:

Noraniza nafi sara suami

Noraniza nafi sara suami

NORANIZA berhasrat untuk lebih memberikan tumpuan kepada rumah tangga dan aktiviti keagamaan pada masa depan.


SETELAH tiga tahun menjalani kehidupan sebagai seorang ibu tunggal, penyanyi Noraniza Idris akhirnya telah mendirikan rumah tangga dengan seorang bilal yang berasal dari Singapura, Jeffri Hudi, 53, pada 29 September 2011.

Lebih setahun menjalani kehidupan bahagia tanpa sebarang kontroversi, tiba-tiba ada khabar angin yang mendakwa peranan mencari rezeki telah digalas oleh Noraniza kerana suaminya didakwa tidak bekerja.

Bagaimanapun, penyanyi berkenaan yang ditemui sewaktu majlis pelancaran pertandingan tarian Akar Kita Zapin 2012 di Panggung Bandaraya DBKL, Kuala Lumpur kelihatan tenang apabila diajukan pertanyaan mengenai cerita tersebut.

"Sepanjang berumah tangga dengan bekas suami dahulu sudah bermacam-macam cerita yang ditimbulkan mengenai perkahwinan saya. Jadi, saya tidak terkejut sekiranya masih ada yang memperkatakan tentang kehidupan rumah tangga saya.

"Mungkin cerita sebegini timbul apabila orang melihat saya yang lebih banyak menonjol, tetapi hakikatnya saya tidaklah menyara keluarga seperti yang diperkatakan sesetengah pihak," ujar penyanyi berusia 44 tahun itu.

Menurut Noraniza, buat masa ini suaminya menjalani perniagaan sendiri iaitu menjadi pembekal barang-barang runcit, selain menjadi bilal bebas di sebuah masjid di Seri Kembangan, Selangor.

Ujarnya, memandangkan suaminya merupakan seorang warganegara Singapura, mereka juga kini sedang berusaha membuat permohonan agar Jeffri mendapat kerakyatan Malaysia supaya lebih mudah menjalankan segala urusan di sini.

"Sudah tentu orang tidak melihat apa yang suami saya telah lakukan kerana cerita mengenai kegiatannya tidak dikongsikan memandangkan dia bukanlah seorang artis seperti saya.

"Lagipun, saya tidak kisah apa yang orang hendak kata mengenai rumah tangga kami. Lebih penting saya rasa lebih gembira dan bahagia dengan kehidupan sekarang," jelasnya.

Pada masa yang sama, Noraniza meluahkan rasa syukurnya kerana usaha yang dilakukan untuk terus memperjuangkan etnik kreatif turut mendapat sokongan suami.

Ujarnya, biarpun suaminya itu merupakan seorang bilal, tetapi dia beruntung kerana mendapat restu suami dalam melakukan pekerjaan sekarang dan menganggap ia merupakan perkara yang paling penting sekiranya mahu berjaya.

"Walaupun suami merestui apa yang saya lakukan sekarang ini, dia juga ada meminta supaya saya kurangkan kegiatan seni. Namun begitu, saya meminta kepadanya supaya memberi sedikit lagi masa untuk mengejar impian saya," ujarnya.

Konsert

NORANIZA mengakui tidak terkejut mendengar pelbagai cerita negatif tentang suaminya ini.


Bercerita dengan lebih lanjut mengenai impiannya itu, Noraniza meluahkan sepanjang 15 tahun memperjuangkan irama etnik kreatif, dia sebenarnya mempunyai impian tersendiri.

Menurutnya, sejak tahun 1997 lagi dia sudah mengimpikan untuk mengadakan sebuah konsert secara besar-besaran, namun sentiasa berhadapan dengan banyak halangan.

"Itu merupakan impian saya yang paling tinggi sepanjang bergelar penyanyi. Seboleh-bolehnya kalau dapat mengadakan satu konsert sahaja pun ia sudah memberi kepuasan kepada saya.

"Lagipun saya pernah memberitahu kepada suami sekiranya impian saya ini terlaksana, barulah saya akan terus mengurangkan aktiviti seni dan memberikan tumpuan kepada rumah tangga dan aktiviti keagamaan," jelasnya lagi.

Ketika ditanya adakah dia akan terus bersara daripada bidang seni selepas impiannya itu terlaksana, penyanyi berkenaan menyatakan dia tidak akan bersara sepenuhnya.

Sebaliknya, dia mahu mengurangkan aktiviti nyanyian dan lebih banyak melakukan kerja-kerja di belakang tabir. Sekiranya ingin menyanyi, dia akan mendedangkan lagu-lagu yang berunsur keagamaan.

"Saya sudah merancang untuk menganjurkan sebuah konsert besar-besaran yang dikenali sebagai Konsert Masyhur 1Malaysia pada bulan September 2013 sempena hari pembentukan Malaysia.

"Kalau diikutkan memang masa yang ada untuk merealisasikannya agak singkat, namun saya tetap yakin ia akan berjaya dan berharap mendapat sepenuh sokongan daripada semua pihak serta kerajaan," ujarnya.

Risau

Sebagai seorang penyanyi yang begitu dikenali kerana bergiat aktif memperjuangkan irama etnik kreatif, Noraniza meluahkan kerisauannya terhadap nasib dan masa depan irama berkenaan yang semakin terpinggir.

Ujarnya, situasi berkenaan dapat dilihat apabila lagu-lagu irama sedemikian kurang mendapat tempat di stesen radio popular dan semasa acara Anugerah Industri Muzik ke-19 (AIM 19) yang berlangsung pada bulan lalu.

PERJUANGAN seni. Noraniza kini mengambil inisiatif dengan menubuhkan sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Gagasan Anak Merdeka.


"Secara jujurnya saya memang agak terkejut apabila nama saya seorang sahaja yang tercalon dalam Top 5 untuk kategori Lagu Pop Etnik pada AIM 19 baru-baru ini.

"Jadi ini membuktikan yang industri nyanyian di Malaysia sudah ketandusan penyanyi yang aktif menyanyikan lagu-lagu irama etnik kreatif dan pastinya ia memang sangat merisaukan saya," ujarnya.

Dalam usaha mengatasi masalah tersebut, Noraniza telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Gagasan Anak Merdeka.

Ujarnya, kumpulan tersebut ditubuhkan sebagai langkah untuk mencungkil bakat-bakat baharu sebagai penyanyi dan komposer lagu-lagu irama etnik kreatif yang terdiri daripada golongan belia.

"Setakat ini saya sudah mengenal pasti beberapa individu yang boleh diketengahkan, antaranya Dr. Mohammad Ihab Ismail yang berkebolehan menyanyi dan mencipta lagu etnik kreatif serta diangkat sebagai Ikon Masyhur 1Malaysia.

"Mengenai penciptaan lagu tidak dinafikan memang ramai anggota kumpulan Gagasan Anak Merdeka yang memiliki kebolehan, cuma mereka tiada keyakinan untuk mengetengahkan lagu ciptaan mereka itu," jelasnya.

Menurut Noraniza, sebagai pengasas kumpulan berkenaan dia akan menilai setiap lagu-lagu yang dihasilkan oleh setiap ahli dan menyasarkan supaya ia akan dapat dipertandingkan pada AIM yang akan datang.

Bisa Super Junior M

Posted:

Bisa Super Junior M

Bisa Super Junior M

Oleh HARYATI KARIM


SUPER Junior M tetap menampilkan persembahan yang hebat biarpun tanpa kehadiran seorang anggotanya iaitu Siwon.


KUMPULAN Super Junior M nampaknya masih berbisa apabila lapan ribu peminat hadir memenuhi dewan di Kenanga Wholesale City, Kuala Lumpur sempena konsert 2012 Asia Super Showcase In Malaysia baru-baru ini.

Dikhabarkan juga tiket VIP berharga RM600 sehingga tiket berharga RM183 habis terjual dalam tempoh tidak sampai sebulan sejak penjualan tiket dilancarkan.

Tiket laris terjual mungkin kerana peminat tidak hanya dihiburkan dengan persembahan Super Junior M tetapi juga mereka turut dapat menyaksikan persembahan kumpulan BTOB dan juga EXO-M yang sememangnya digilai ramai peminat terutamanya gadis remaja.

Super Junior M merupakan hasil gabungan dua negara iaitu anggota Super Junior berasal dari Korea Selatan yang dianggotai Siwon, Donghae, Ryeowook, Sungmin, Kyuhyun dan Eunhyuk.

Dua orang lagi ahli kumpulan itu iaitu Zhou Mi dan Henry pula berasal dari China disebabkan Super Junior M juga memberi fokus sepenuhnya pada pasaran lagu berbahasa Mandarin.

Persembahan untuk konsert yang dibawakan oleh U Mobile dan anjuran bersama Marctensia Concerts serta Universal Music Malaysia itu dimulakan dengan persembahan pembukaan kumpulan BTOB yang mempersembahkan lagu pertama berjudul Born To Beat.

Muncul dengan kostum yang lengkap BTOB yang dianggotai oleh Eunkwang, Minhyuk, Changsub, Hyungsik, Peniel, Ilhoon dan Sungjae turut mendendangkan enam buat lagu lain yang menjadi siulan para peminat.

Antara lagu yang didendangkan ialah Irresistible Lips, Imagine, One Thinking I Know, My Girl, Insane dan Wow.

Kehangatan konsert yang berlangsung selama dua jam setengah itu disambung oleh kumpulan EXO-M yang dianggotai oleh Tao, Lu Han, Chen, Lay, Xiu Min dan Kris.

Lagu pertama yang berjudul History sudah cukup membuatkan para peminat bagai terkena histeria ditambah pula dengan tarian yang mantap.

EXO-M turut menyanyikan tiga lagi lagu yang berjudul What Is Love, Angle dan Mama.

Jeritan yang seakan-akan mahu memecahkan gegendang telinga oleh seluruh peminat berlaku apabila Super Junior M mengambil alih pentas persembahan.

Dewan di tingkat 15 pusat beli-belah itu tiba-tiba bertukar wajah apabila lampu berwarna biru dan kain rentang dengan tulisan Korea memenuhi dewan.


PERSEMBAHAN BTOB tidak kurang hebat yang menyebabkan penonton konsert berteriak penuh keterujaan.


Memulakan persembahan dengan lagu hit mereka iaitu Super Girl, peminat turut menyanyi dan menari bersama mengikut rentak tarian kumpulan Super Junior M.

Sesekali, mereka berbicara dengan peminat dan berjanji akan datang semula ke Malaysia dengan ahli yang lengkap kerana salah seorang ahli mereka Siwon tidak dapat hadir.

"Kami berharap ini bukan kali terakhir kami di Malaysia, kami akan datang lagi dengan persembahan yang hebat bersama Siwon. Terima kasih kerana hadir, kami sayangkan anda semua," ucap Henry yang fasih berbahasa Inggeris.

Siwon yang sempat memberi ucapan video kepada peminat di Malaysia ketika konsert berlangsung memberitahu, dia kini terikat dengan jadual penggambaran drama bersiri terbaharu lakonannya yang berjudul The Lord of The Drama.

"Saya amat berharap saya dapat hadir bersama di konsert tetapi saya sibuk dengan penggambaran drama. Saya harap peminat terus memberikan sokongan kepada kumpulan Super Junior M dan dua kumpulan junior kegemaran saya EXO-M dan BTOB.

"Harap anda semua nantikan drama terbaharu saya dan semoga terhibur dengan persembahan daripada Super Junior M," katanya ringkas daripasa sedutan video itu.

Selain itu, Super Junior M turut menghiburkan peminat dengan barisan lagu At Least I Still Have You, Love Doesn't Come Alone, Lost dan Destiny. Too Perfect menjadi lagu penutup untuk konsert itu.

Sepanjang persembahan nampaknya peminat yang menonton konsert itu cukup terhibur.

Bagaimanapun, harga tiket yang agak mahal dirasakan tidak setimpal dengan sistem bunyi yang cukup menyiksakan telinga.

Fazurina hormati pendirian ibu

Posted:

Fazurina hormati pendirian ibu

Fazurina hormati pendirian ibu

Oleh NOOR HASLIZA NUSI

FAZURINA dan Hykal menunjukkan surat akuan pernikahan mereka.


PERKAHWINAN adalah sesuatu yang sangat indah dan istimewa. Perjanjian di antara dua insan akan termeterai jika restu perhubungan diizinkan.

Namun bagi pelakon drama bersiri menerusi slot Trilogi Cinta, Siti Fazurina Mohd. Famir, 30, atau lebih dikenali sebagai Siti Fazurina, dia tidak menyangka pernikahan dengan jejaka pilihan hatinya, Muhammad Hykal Zulkifli, 31, mengundang mimpi duka setelah didakwa tidak mendapat restu keluarga.

Kontroversi kisah hidup Fazurina yang baru dua minggu mendirikan rumah tangga itu semakin tersebar luas menerusi laman sosial Facebook dan Twitter apabila mereka dikhabarkan 'kahwin lari' di Thailand.

Persoalan mengenai status pernikahannya menjadi perbualan sehingga Fazurina pasrah dengan dakwaan yang timbul apatah lagi membabitkan ahli keluarganya sendiri.

Bagaimanapun, segalanya terjawab sebaik Fazurina atau nama ringkasnya Nina mengadakan sidang akhbar di salah sebuah hotel di Bayan Baru, Pulau Pinang baru-baru ini dengan turut menjemput ibunya, Zubaidah Abu Bakar, 60, serta beberapa ahli keluarganya yang lain termasuklah abang tiri Fazurina, Shahzuri Shaharudin, 36, serta adik-beradiknya, Mohd. Fauzi, 24, dan Mohd. Firdaus, 22.

Sidang akhbar tersebut bagaimanapun bertukar menjadi seolah-olah penggambaran sebuah drama Melayu apabila Zubaidah dan ahli keluarga Fazurina yang hadir hanya mendiamkan diri.

'Drama' air mata mula tercetus apabila Fazurina tiba-tiba bergegas mengejar Zubaidah sehingga ke tangga selepas ibunya itu dibawa oleh salah seorang daripada adik lelakinya itu untuk beredar dari sidang akhbar tersebut.

Hanya sempat memeluk ibunya selama beberapa saat sambil meminta ampun, Fazurina dilihat amat sebak.

Sementelah, Zubaidah kedengaran telah meluahkan kekesalannya dengan tindakan Fazurina (berkahwin secara senyap-senyap) sebelum dia ditarik adiknya itu meninggalkan lokasi sidang akhbar tersebut.

Berikut sedutan temu bual bersama Fazurina selepas tamat 'drama' sebabak tersebut.

Kosmo!: Bagaimanakah timbul isu Nina kahwin lari sehingga boleh diketahui umum?

SITI FAZURINA: Isu ini timbul sebaik sahaja selesai majlis akad nikah pada 21 Disember lalu di Masjid Jamek Sungai Pinang di sini (Pulau Pinang). Ada pihak cuba hentam Nina. Saya kesal kerana pihak itu ialah keluarga sendiri.

Adakah keluarga tidak merestui hubungan Nina dengan Hykal?

Hal keluarga adalah peribadi. Apa yang boleh Nina beritahu sebenarnya banyak pihak berkecil hati. Mereka (keluarga) tidak pernah merasai apa yang Nina rasa. Nina tak kahwin lari. Nina berkahwin secara sah dengan berwalikan bapa saudara sebelah arwah bapa.

Adakah Nina membuat keputusan berkahwin dengan Hykal secara terburu-buru?

Kami sudah lama membuat perancangan untuk berkahwin dan sudah beberapa kali ibu saya tidak menerima keputusan saya untuk mengahwini Hykal. Namun kali ini, saya nekad memilih Hykal menjadi pilihan hati. Malah saya juga membuat solat Istiqarah selama tiga hari berturut-turut.

Bagaimanakah sekiranya ada pihak membuat tohman mengatakan Nina telah menderhakai ibu sendiri?

Sebelum bernikah, saya dan Hykal ada berjumpa dengan ustaz dan kami menghadiri kaunseling. Kami diberitahu perkahwinan adalah perkara wajib dan sunnah Rasulullah. Saya menghormati pendirian ibu walaupun dia tidak mahu terlibat dalam pernikahan saya dengan Hykal.

Apakah perubahan yang ingin dikecapi di sebalik kemelut perkahwinan Nina ini?

Ibu dan anak tidak boleh terpisah. Saya harap suatu hari nanti ibu akan menerima Hykal. Kalau dia terima perkahwinan ini, masalah sebegini akan selesai.

Harapan masa depan Nina terhadap hubungan anda suami isteri dan keluarga masing-masing?

Saya inginkan kebahagiaan yang bukan dicari kami berdua tetapi untuk kedua-dua belah keluarga. Harap kebahagiaan dapat dikongsi dengan ibu dan ahli keluarga lain.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved