Jumaat, 9 November 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Muiz permata sukan go-kart

Posted:

Muiz permata sukan go-kart

Muiz permata sukan go-kart

IBARAT kata pepatah, kecil-kecil cili padi, ia amat sesuai ditujukan kepada Muizzuddin Mushaffa Abdul Gafar, pelumba cilik negara yang mengibar Jalur Gemilang pada Kejuaraan Go-Kart Itali CSAI.

Beraksi di gelanggang saingan go-kart yang diiktiraf antara terulung di dunia, anak kecil berusia 10 tahun yang mesra dipanggil Muizz itu berjaya membuktikan kemampuan diri setanding dengan pelumba handalan lain.

Walaupun tahun 2012 merupakan musim pertamanya beraksi di Itali, tetapi anak sulung daripada empat beradik itu sudah menunjukkan prestasi terbaik. Buktinya, seawal pusingan pertama di Litar Sarno pada awal Mei lalu, Muizz sudah berjaya menduduki tempat ke-20 daripada 51 pelumba.

Ini diikuti pencapaian di tempat kesembilan sewaktu pusingan kedua yang berlangsung pada 3 Jun 2012 di Ugento, Leece, Itali.

Berpegang kepada moto perjuangan no retreat, no surrender, peminat besar perlumbaan Formula Satu (F1) yang digelar Iron Man oleh pasukannya dan pelumba lain itu yakin bahawa impiannya melakar kedudukan terbaik mampu direalisasi walaupun ia sebenarnya suatu misi sukar.

"Tahun ini adalah musim pertama saya di Itali. Ia lebih untuk menimba pengalaman dan mengenal saingan. Namun, berbekalkan pengalaman tahun ini, saya berazam untuk mengejar podium secara konsisten sepanjang kejuaraan tahun depan.

"Berlumba di Itali amat berbeza. Pelumba-pelumba amat bagus. Saingan sangat hebat dan kami bersaing menggunakan jentera dan chasis terbuka. Ia sangat berbeza dengan Malaysia," kata Muizz yang beraksi buat kali pertama musim ini untuk kejuaraan penuh dan bertarung dengan para pelumba yang rata-rata lebih tua daripadanya dalam kategori Mini 60.

Muizz yang ditemui Kosmo! ketika berada di Kuala Lumpur pada Julai lalu memberitahu, persaingan di Itali melibatkan pelumba yang datang dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Amerika Selatan, Jepun dan Eropah.

"Itu antara sebab utama kenapa saya memilih untuk bersaing di sana kerana ingin berlumba dengan yang terbaik," kata Muizz yang mula melibatkan diri dalam sukan go-kart pada usia lapan tahun dengan penuh semangat.


MUIZZ (dua dari kanan) bersama rakan sepasukan dari Gamoto Racing Team.


Selain itu, Muizz turut beraksi pada Kejuaraan Siri Karting Dunia, Piala Kejohanan WSK dan pertandingan peringkat negeri, Campionato Regionale Puglia di sekitar negara yang terkenal dengan hidangan pasta itu.

Program tiga tahun

Muiz kini menetap di Sicily, Itali bersama ibunya, Siti Rohanah Hussein dan mempunyai program selama tiga tahun bagi penyertaan untuk berlumba di sana. Ayahnya, Abdul Gafar Abdurrahiman pula akan datang untuk menyaksikan perlumbaan yang melibatkan Muizz jika ada kelapangan.

Sebagai ibu, Siti Rohanah gembira apabila anaknya berpeluang menimba pengalaman berlumba di negara tersebut.

"Setiap ibu bapa sudah pasti mahukan yang terbaik buat anak-anak mereka. Begitu juga saya dan suami. Melalui cara ini, saya percaya bakat dan kebolehan yang dimiliki Muizz dapat diasah dengan lebih berkesan.

"Hidup di Sicily memang banyak cabarannya terutama latar budaya dan bahasa. Tetapi, itu perkara biasa yang dihadapi semua orang yang berhijrah ke tempat baharu, apatah lagi negara luar. Saya anggap ia sebagai pengalaman untuk mematangkan diri," terang Siti Rohanah sambil melahirkan harapan agar Muizz mampu mengharumkan nama Malaysia satu hari kelak.

Catat sejarah

Sementara itu, pengurus Muizz, Zainuddin Radzi memaklumkan bahawa pencapaian anak didiknya itu dalam aksi perlumbaan di Itali amat membanggakan.

"Muizz boleh dianggap permata cilik sukan go-kart negara. Dia bukan sahaja mencatat sejarah menjadi pelumba go-kart Malaysia yang pertama mencatat kemenangan di bumi Eropah, bahkan sudah tiga kali melakukannya," ungkap lelaki yang lebih dikenali sebagai Pak Din dalam kalangan sukan go-kart Malaysia.

Menurut beliau, kemenangan pertama Muizz adalah pada saingan Campionato Regionale Puglia pada 27 Mei 2012 manakala kejayaan kedua diraih Muizz pada 10 Jun dalam saingan Sicily Campionato Cup 2012.

"Bagaimanapun, sasaran utama kami adalah pada Kejuaraan Go-Kart Itali CSAI. Ini adalah pentas jaguh-jaguh F1 beraksi pada awal karier mereka bermain go-kart seperti Lewis Hamilton, Sebastian Vettel, Mika Hakkinen, Michael Schumacher dan ramai lagi.


PENGORBANAN Siti Rohanah untuk menetap di Sicily, Itali dilakukan semata-mata demi masa depan Muizz.


"Di sinilah juga tempat banyak pencari bakat untuk pasukan-pasukan lumba single-seater. Lantaran itu, kejuaraan ini amat penting dalam pembangunan karier Muizz," ujar Zainuddin.

Terbaru pada aksi final ROK Cup Italia yang berlangsung 16 September lalu, anak muda kelahiran Cheras itu berjaya menduduki podium apabila menamatkan saingan di tempat ketiga dengan catatan masa 9 minit, 48.461 saat, ketinggalan 0.33 saat di belakang pemenang tempat kedua, Kevin Gagliano.

Untuk kejuaraan Siri Karting Dunia tahun ini, Muizz sudah menyertai lima perlumbaan dan dia sekarang menduduki tempat ke-25 keseluruhan daripada 48 pelumba.

Diurus oleh pasukan Gamoto Racing Team, Muizz mula bersaing di luar negara sejak tahun lepas selepas ayahnya menyedari bakat besar yang dimiliki oleh anaknya itu.

"Justeru, kami tidak teragak-agak membuat pelaburan untuk Muizz berlumba di Itali untuk tiga musim bermula tahun ini. Segala perbelanjaan ditanggung sendiri oleh keluarga dan rakan taulan yang berkongsi satu impian iaitu untuk melihat Muizz menjadi pelumba handalan dunia.

"Gamoto Racing Team adalah salah satu pasukan go-kart yang sangat kukuh di Itali dan telah beroperasi sejak 30 tahun lalu. Pasukan ini banyak mengendalikan para pelumba muda yang kemudian terus berkembang menjadi pelumba terkenal," jelas Zainuddin yang menyenaraikan Tony Kart, PDB dan Top Kart sebagai antara chasis-chasis terkemuka dunia yang lain.

Ditanya mengenai enjin pula, Zainuddin berkata, penggunaan enjin adalah terbuka dalam kejuaraan di Itali yang disertai Muizz.

Dalam kejohanan ini, peserta boleh menggunakan pelbagai enjin berbeza tetapi memiliki kuasa kuda yang sama. Antara enjin yang biasa digunakan termasuklah LKE, Comer, Parilla, Vortex dan Rotax. Muizz menggunakan enjin LKE 60cc.

Warna-warni Deepavali

Posted:

Warna-warni Deepavali

Warna-warni Deepavali


SETIAP rumah pasti memasang pelita ini pada Deepavali untuk mengindahkan kediaman masing-masing.


DENGAN Pesta Deepavali bakal dirayakan hanya dalam empat hari sahaja lagi, maka tidak hairanlah pengusaha-pengusaha periuk dan bekas pelita tanah liat di India kini tidak menang tangan menghasilkan ribuan produk itu setiap hari.

Namun, berbeza daripada periuk dan bekas pelita yang digunakan pada hari biasa, hasil kerja tangan yang dianggap istimewa bagi masyarakat India itu akan dihias dengan rona warna dan motif indah sempena Diwali.

Ia simbolik kepada kemeriahan sambutan perayaan Deepavali yang penuh bercahaya dan warna-warni.

Malah, kebanyakan periuk tanah liat disapukan dengan warna-warna terang untuk menonjolkan keindahannya. Ada periuk tanah liat yang dicat dengan warna merah, hijau, kuning dan merah jambu.

Bahkan, ada juga yang diselang-seli campuran warna untuk menambahkan lagi tarikannya.

"Pada hari biasa kami menghasilkan sekitar 400 hingga 500 periuk tanah liat dan 2,000 hingga 2,500 bekas pelita sehari. Tetapi sempena Deepavali kami terpaksa menghasilkan dua atau tiga kali ganda daripada jumlah biasa.


SELAIN penggunaan warna-warna terang, periuk juga dilukis dengan motif tertentu.


"Bahkan, kami terpaksa mengupah pekerja sambilan memandangkan periuk dan bekas pelita tanah liat itu perlu diwarnakan agar tampil menarik sempena Deepavali," ujar seorang penguasa kraf itu di Hyderabad, India, Gopi Vishal.

Menurut Gopi, mengikut kepercayaan masyarakat India periuk dan pelita tanah liat adalah sebagai menghargai elemen alam iaitu tanah itu sendiri.

Menjadi tradisi bagi penduduk di sana untuk menggunakan periuk tanah liat dalam rutin memasak setiap hari, manakala pelita tanah liat bagi tujuan penyembahan.

Bukan itu sahaja, pelita tersebut memberi makna simbolik cahaya kemenangan daripada kejahatan iaitu kemenangan Dewa Rama menentang Dewa Ravana.

Periuk berwarna pula digunakan sebagai dekorasi menjelang Deepavali dengan kelapa dan daun mangga diletakkan di atas periuk sebagai tanda menarik aura positif.

Ia akan diletakkan di depan pintu atau kolam (hiasan menggunakan beras berwarna) untuk mengalu-alukan kedatangan tetamu.

Memancing ikan di hotel

Posted:

Memancing ikan di hotel

Memancing ikan di hotel

KATAKAN sahaja, apa tarikan yang terdapat di pekan kecil Sekinchan, Selangor. Makanan eksotik, kawasan sawah padi yang terbentang luas, pembuatan bedak sejuk secara tradisional, hasil laut serta buah-buahan segar dan banyak lagi.

Semua ini pasti menggamit kehadiran pengunjung ke kawasan luar bandar yang terletak kira-kira dua jam perjalanan dari Kuala Lumpur itu.

Kini, Sekinchan mempunyai satu lagi jenama baharu yang mampu dibanggakan iaitu Sekin Hotel & Resort milik usahawan tempatan, Datuk Jamal Md. Yunos. Nama restoran itu diambil daripada nama Sekinchan.

Resort yang dibuka pada Ogos lalu itu memanipulasi sepenuhnya perkampungan nelayan di situ dengan menukarnya menjadi satu produk pelancongan yang berdaya saing.

Lebih menarik lagi, pengunjung boleh membeli udang bersaiz XL pada harga RM50 sekilogram sahaja berbanding harga pasaran sekitar RM80 hingga RM100 daripada nelayan yang baru mendaratkan hasil tangkapan di jeti ikan yang terletak bersebelahan hotel tersebut.

Menurut Jamal, di Sekin Hotel juga terdapat Restoran Sekinchan Ikan Bakar yang sememangnya sudah terkenal di Lembah Klang.

Sejak cawangan pertama restoran itu dibuka di Setiawangsa, Kuala Lumpur pada tahun 2010, ia telah memiliki 18 cawangan setakat ini.

"Restoran ini membolehkan pengunjung menikmati makanan laut seperti ikan, udang dan sotong segar pada harga yang berpatutan," kata Jamal yang juga pemilik rangkaian restoran berkenaan.

Ujar usahawan berusia 40 tahun ini lagi, hasil laut itu dibeli secara terus daripada nelayan di Pantai Remis, Kuala Selangor dan Sekinchan di Selangor serta Hutan Melintang di Perak.


JARANG hotel dan resort yang menawarkan perkhidmatan memancing ikan dan memasaknya terus.


Pancing

Tutur Jamal dengan nada teruja, pengunjung boleh cuba memancing ikan di kolam yang terdapat di kawasan hotel itu. Kolam itu menempatkan kira-kira 50,000 ekor ikan jenis jelawat, tilapia serta patin.

"Dengan bayaran sebanyak RM15 untuk seorang pelanggan, mereka dibenarkan memancing dua ekor ikan pelbagai saiz.

"Harga itu termasuk upah memasak di restoran tidak kira masak kukus, pedas atau masam manis," katanya.

Penulis bertanya adakah boleh memancing lebih daripada dua ekor ikan, Jamal hanya tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

Bagaimanapun, usah khuatir jika anda berfikir sukar untuk menaikkan ikan.

Dengan bilangan ikan yang begitu banyak, sebenarnya sangat mudah melakukannya walaupun pengunjung bukan kaki pancing, kata Jamal.

"Tekstur ikan segar itu begitu lembut serta manis isinya," kata Jamal yang berasal dari Kampung Sungai Leman, Sekinchan.

Selain itu, di sini terdapat menara tinjau yang jarang ditemui di hotel serta resort lain.

Menurut Jamal, pengunjung dapat menyaksikan pemandangan jajaran sawah padi, jeti nelayan, lautan serta pekan Sekinchan.

Ternyata, pemandangan dari menara itu cukup indah terutamanya pada waktu senja dan malam.


LAUTAN kaya dengan sumber alam yang tidak ternilai.


Menara besi setinggi 24 meter itu menyajikan pemandangan laut Selat Melaka yang merupakan laluan kapal paling sibuk di dunia di samping kehijauan sawah padi dan kedamaian perkampungan tradisional Melayu di situ.

Di aras puncak menara itu, diletakkan tiga buah meja bulat dan beberapa buah kerusi untuk pengunjung melepaskan lelah setelah mendaki kira-kira 100 anak tangga.

Alunan serta tiupan angin dari Selat Melaka pasti membuai perasaan.

"Walaupun pada waktu tengah hari dengan simbahan cahaya panas matahari, suhu di menara ini tetap dingin," katanya.

Kejar ayam

Tutur Jamal, tarikan lain yang terdapat di situ ialah perkhidmatan bot yang disewa khas untuk pengunjung.

"Ini membolehkan mereka merasai kehidupan sebagai nelayan dengan melihat aktiviti menjala dan memancing ikan.

"Malah, mereka boleh menikmati persekitaran laut yang luas dan indah," katanya.

Menurut Pengurus Jualan dan Operasi Sekin Hotel, Harun Anwar Zaini, 45, resort itu turut menyediakan aktiviti berkumpulan seperti makan di dalam talam, mengejar ayam kampung serta melihat cara penanaman padi.

MENARA tinjau setinggi 24 meter membolehkan pengunjung menyaksikan panorama sawah padi dan pekan Sekinchan.


"Biasanya kita makan sahaja ayam kampung dan nasi tetapi tidak mengetahui betapa sukarnya untuk membela ayam atau menanam padi.

"Aktiviti menangkap ayam kampung biasanya dilakukan pada waktu senja kerana haiwan itu rabun pada masa itu.

"Ada juga aktiviti menangkap ikan di lumpur sawah. Jangan terkejut kerana ia ditangkap dengan tangan kosong tanpa bantuan peralatan seperti jala atau tangguk," ujarnya.

Kata Harun, jarang orang bandar dapat menikmati sambal belacan serta ulam-ulaman kampung tetapi ia pasti ada di resort berkenaan.

"Pelancong asing juga ramai yang menyukai sambal belacan," ujarnya sambil ketawa.

Beliau memberitahu, hotel itu sedang merancang untuk membina kolam renang dan taman tema air.

"Kami bukan sahaja ingin menjadikan tempat ini sebagai lokasi percutian bahkan hab kepada pelbagai aktiviti seperti perkhemahan, permainan paintball dan karaoke," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved