Ahad, 25 November 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Antara tuntutan dan evolusi fesyen

Posted:

Antara tuntutan dan evolusi fesyen

Antara tuntutan dan evolusi fesyen

NAMA selebriti seperti Waheeda, Yuna, Datuk Siti Nurhaliza dan Datin Norjuma Habib suatu ketika dahulu pernah menjadi fenomena dalam bisnes jualan tudung tanah air.

Sama ada dianggap suatu bentuk penjenamaan ataupun pemasaran, fenomena fesyen itu berjaya mengubah cita rasa wanita bertudung dari semasa ke semasa.

Hari ini, fesyen tudung berkembang dengan begitu luas. Bukan sahaja menggayakan tudung rekaan tempatan, malah wanita Malaysia mampu bergaya dengan rekaan tudung dari negara-negara lain.

Jika dahulu, penggunaan selendang cukup terhad kerana ia sukar untuk diperolehi. Jika ada pun, ia lazimnya dimiliki melalui kiriman daripada ahli keluarga atau rakan yang berkunjung ke Tanah Suci Mekah.

Hari ini, lambakan pelbagai jenis tudung di kedai-kedai sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman di ibu negara mudah ditemui. Pelbagai trend tudung terkini mampu dimiliki dengan mudah.

Transformasi tudung yang dilihat selari dengan cita rasa permintaan semasa dan peralihan gaya menjadikan wanita bertudung mempunyai banyak pilihan. Lebih daripada itu, aspek kreativiti juga terbit dalam kalangan pencetus trend yang menyaksikan mereka tampil unik dengan fesyen tudung masing-masing.

Oleh kerana trend yang datang silih berganti, tidak hairanlah jika gadis seperti Khadijah Sazili, 24, mempunyai lebih daripada 100 helai tudung di dalam almari pakaiannya.

"Sejak kecil, saya memang cenderung kepada fesyen dan kecantikan. Memandangkan saya memakai tudung, maka saya gemar membeli dan bereksperimen dengan gaya dan warna.

"Saya juga gemar mencipta gaya tudung sendiri yang saya rasakan praktikal dan pantas untuk dipakai," ujarnya.

Minat pashmina

Tudung jenis bawal dan pashmina pula merupakan tudung yang paling digemari dan banyak tersimpan di dalam koleksi peribadinya.


GEMAR berfesyen menyebabkan Khadijah sentiasa bereksperimen gaya bertudung dan menjadikan penyanyi Yuna sebagai idolanya.


"Apabila saya mengenakan tudung dengan gaya yang saya suka, saya rasa lebih yakin dengan diri saya dan secara automatik ia mampu menjadikan saya lebih ceria serta yakin," katanya.

Walaupun lambakan tudung segera popular seperti Ariani dan Syria sering menjadi pilihan umum, gadis kecil molek itu mempunyai pandangan peribadinya.

"Tidak dinafikan Ariani dan Syria mudah dipakai tetapi saya lebih cenderung kepada pashmina.

"Walaupun ramai yang berpendapat pemakaian tudung lilit mengambil masa yang lama, tetapi tidak bagi saya kerana saya hanya perlukan lima minit untuk melilit pashmina mengikut kreativiti saya," katanya.

Mula mengikuti perkembangan fesyen tudung sejak di bangku sekolah, menurut Khadijah, dia sering menjadikan penyanyi antarabangsa, Yunalis Zarai sebagai sumber inspirasinya memandangkan penyanyi itu selalu menggayakan trend tudung yang cantik dan luar biasa seperti turban.

"Kalau kita tengok, kehadiran selebriti yang bijak berfesyen sekarang ini mampu menarik lebih ramai wanita untuk bertudung dan saya rasa itu satu perkembangan yang positif.

"Walaupun bertudung, ia tidak menghalang mereka untuk berfesyen asalkan ianya tidak berlebihan serta menutup aurat sebagai seorang Muslimah," ujarnya.

Memang kecantikan dan wanita tidak dapat dipisahkan sejak dahulu lagi. Jadi tidak hairan jika mereka sanggup berhabis wang ringgit untuk kelihatan cantik dan menyerlah.

Jika tidakpun, mereka akan 'berteleku' di hadapan almari pakaian selama beberapa jam untuk memilih tudung yang bersesuaian dengan pakaian mereka.

Namun, ia berbeza bagi Norhana Washida Abd. Talib, 24, yang sejak dahulu selesa menggayakan imej tudung yang sama walaupun fesyen tudung di Malaysia telah mengalami pelbagai transformasi.


KOMBINASI warna dan corak pada tudung amat penting bagi wanita kerana ia mampu membangkitkan seri wajah si pemakai.


"Saya memang tidak pernah tukar penampilan saya sebab saya sudah selesa dengan gaya tudung seperti ini.

"Itu bukan bermaksud saya menolak perkembangan fesyen. Cuma fesyen yang ada sekarang ini masih lagi belum dapat memenuhi cita rasa saya," katanya.

Selesa dengan tudung berbidang besar tanpa corak dan berwarna pastel, bagi Norhana, ia sudah menjadi identiti dirinya sejak sekian lama.

"Saya bukan seorang yang cerewet dalam memilih tudung. Cuma saya mahukan yang ringkas dan mudah digunakan untuk aktiviti harian. Paling penting, dapat menutup aurat saya," katanya.

Imej Islam

Jika warna hitam menjadi identiti bertudung bagi wanita di negara Asia Barat seperti Arab Saudi, Jordan dan Syria manakala tudung segera pula menjadi identiti wanita bertudung di Indonesia, wanita Malaysia pula terkenal dengan identiti tudung bawal.

Namun akibat transformasi fesyen yang tersebar di seluruh dunia, mereka kini mampu menggayakan fesyen-fesyen tudung dari negara-negara lain.

Perunding Imej Muslimah, Yasmin Siddik berkata, disebabkan pengaruh yang sangat meluas, wanita kini lebih cenderung untuk mencuba pelbagai jenis fesyen dan tanpa disedari, dalam keghairahan itu, beberapa garis panduan menutup aurat seperti yang ditetapkan Islam telah dilanggar.

"Seperti yang kita tahu, dalam Islam, aurat wanita meliputi semua bahagian tubuh melainkan muka dan tapak tangan yang tidak perlu ditutup.

"Tidak menjadi masalah jika wanita hendak mengikut peredaran fesyen, tetapi mereka harus berhati-hati dan fikir dahulu adakah penampilan yang mereka gayakan itu sesuai sebagai seorang Islam atau tidak," katanya.

Perkataan cantik adalah subjektif pada wanita yang sentiasa mahu bergaya. Namun, penampilan cantik itu seharusnya di jadikan sebagai satu dakwah dan jangan sampai menjadi bahan tontonan umum.

"Dalam Islam itu sendiri ada etika berpakaian yang perlu diikuti. Tidak dinafikan sekarang ini kita ada berjuta-juta warna, corak dan fesyen tudung di pasaran. Tetapi, tidak semua kain yang bernama tudung boleh dipakai.

"Sebagai contoh, apa-apa yang bermotifkan agama lain seperti tanda salib atau motif kuil adalah dilarang sama sekali. Begitu juga dengan corak bahagian tubuh badan manusia, kasut, rantai dan ladam kuda adalah diharamkan pemakaiannya," katanya.

Islam menekankan konsep kesederhanaan iaitu pakaian yang disertakan hiasan berlebihan tidak digalakkan. Ia dikhuatiri akan menarik perhatian kaum Adam seterusnya menimbulkan pesona yang disengajakan.

Hal berlebih-lebihan dalam pemakaian tudung itu dikhuatiri sama sahaja seperti wanita tidak bertudung yang berpakaian menjolok mata, bersolek dan berwangi-wangian secara melampau untuk menarik perhatian ramai, sedangkan fungsi hijab adalah untuk menjaga kehormatan kaum Hawa.

"Sebagai Muslimah, kita kena sedar dan jaga penampilan kita. Ini kerana secara tidak langsung, kita membawa nama Islam melalui pakaian yang kita sarungkan dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki," tambahnya.

Masgoof kembali selepas perang

Posted:

Masgoof kembali selepas perang

Masgoof kembali selepas perang


BERIKUTAN keadaan perang yang semakin pulih, permintaan terhadap ikan kap kian meningkat.


BERIKUTAN keadaan perang yang semakin pulih, permintaan terhadap ikan kap kian meningkat.

ABU SHAHAD menguis isi ikan kap panggang menggunakan jarinya dan memasukkannya ke dalam mulutnya. Dia menikmati hidangan kebangsaan Iraq itu yang dinamakan masgoof.

Berikutan keredaan tahap keganasan akibat peperangan di seluruh negara, rakyat Iraq kini kembali menikmati budaya kulinari tempatan yang kian mendapat perhatian meluas.

Sambil berpakaian dishdasha iaitu pakaian tradisional lelaki Arab yang labuh, Abu Shahad terus ghairah menikmati makan malam itu bersama rakan-rakannya.

"Ikan ini adalah sebahagian daripada warisan Baghdad, terutamanya di selatan dan barat Iraq," katanya.

Walaupun kemelut peperangan masih bersisa, Abu Shahad dan rakan-rakanya yang lain-lain masih berpeluang untuk keluar rumah bagi mengunjungi kafe dan restoran.

"Apabila kami datang ke sini, kami berasa santai," ujarnya.


BEGINILAH cara ikan kap dibakar untuk memasak menu masgoof di restoran-retoran di sekitar Iraq.


Abu Shahad memberitahu, perjumpaan makan malam mereka adalah sebagai tanda menghormati seorang rakan yang baru sembuh

Hasilnya, industri perikanan dan restoran yang menghidang ikan kap panggang mengalami ledakan permintaan.

"Semasa konflik, kami hanya menjual kurang daripada 10 ekor ikan sehari. Sekarang, kami menghidangkan sekitar 100 ikan sehari," kata Hashim Murshid, pemilik restoran Khadra, Adhamiyah, utara Baghdad.

Semakin ramai rakyat Iraq yang mula meneroka cita rasa mereka dengan melawat restoran seperti milik Hashim di sepanjang tebing Sungai Tigris yang melalui bandar tersebut.

Senario berkumpul di kedai makan seperti yang dilakukan oleh Abu Shahad sekarang mungkin sukar dibayangkan pada tahun antara 2006 hingga 2008.

Ketika itu, Iraq dicoret dengan sejarah pertumpahan darah yang meragut puluhan ribu nyawa. Rakyatnya hanya akan keluar meninggalkan rumah mereka selepas gelap untuk tujuan yang mendesak.

Abu Shahad memberitahu, perjumpaan makan malam mereka adalah sebagai tanda menghormati seorang rakan yang baru sembuh dari sakit.

"Kini dia telah pulih. Jadi kami memaksanya untuk membelanja kami makan masgoof," ujar Abu Shahad merujuk kepada restoran Khadra yang selalu berada dalam gelap kerana menjadi mangsa pemotongan elektrik.

Apabila pelanggan tiba di Khadra, mereka memilih ikan kap yang sedia ada di dalam kolam di restoran itu.

Ikan itu dipotong dua dan kemudian disapu perencah iaitu bawang, rempah dan sos tomato. Ia kemudian diletakkan di dalam rak dan dipanggang dalam ketuhar batu.

Pelanggan Khadra dikenakan bayaran sekitar 40,000 dinar (RM101) untuk sehidang masgoof. Harga itu dianggap mahal menurut piawaian restoran Iraq. Itu bermakna, lebih ramai orang memilih untuk membeli ikan di pasar dan memasaknya di rumah.

Mengingati suami

Umm Ahmed ialah salah seorang daripada mereka. Dia lazimnya pergi ke pasar ikan Shawka di tengah-tengah Baghdad untuk memilih ikan.


DUA orang pekerja pusat ternakan ikan di Hilla, Baghdad menangkap ikan kap untuk dijual.


"Saya memasak masgoof sebagai mengingati anak dan suami saya. Mereka terbunuh dalam serangan tiga tahun lalu sewaktu solat Jumaat," katanya dengan senyuman bercampur kesedihan.

Umm yang memasak ikan kap itu untuk keluarga dan rakan-rakannya memberitahu, dia sering berkunjung ke pasar Shawka kerana harga ikan di situ lebih murah.

Harith Faraj yang berniaga di pasar Shawka bersetuju dengan Umm sambil menunjukkan jualan ikannya yang jauh lebih murah berbanding daging di Iraq.

"Harga sekilo ikan kap ialah 6,500 dinar (RM19). Hari ini, kap adalah makanan yang mampu dibeli semua orang. Beberapa tahun lalu, ia sangat mahal," katanya sambil menghalau lalat-lalat yang mengerumuni ikannya.

Jatuh harga

Harga pasaran ikan kap jatuh berikutan pembangunan kolam penternakan ikan, sebahagiannya sebagai menangani kesan aliran yang semakin berkurangan di sepanjang dua sungai di Iraq, Tigris dan Euphrates.

Aliran itu berkurangan selepas Turki membina empangan dan kerana saliran sistem paya yang disusun oleh bekas pemimpin, Saddam Hussein.

Pusat ternakan ikan Euphrates terletak berhampiran dengan runtuhan Babel, sekitar 100 kilometer di selatan Baghdad. Pemiliknya, Khudayr Abbas al-Imarah berbangga menyatakan ia sebagai pusat ternakan ikan terbesar di Asia Barat.

Pusat penternakan itu menghasilkan sekitar 1,250 tan ikan kap biasa, kap rumput dan kap perak pada tahun 2011. Jumlah itu meningkat daripada 800 tan semasa kejatuhan rejim Saddam pada tahun 2003.

Imarah menerima bantuan daripada agensi pembangunan dari Amerika Syarikat, USAID, yang melaburkan sejumlah wang kepada pusat ternakan itu melihat peningkatan jualan yang ketara.

"Sewaktu kemuncak keganasan Iraq, kami menghabiskan sejumlah besar wang untuk tujuan menjaga keselamatan.

"Ia bermakna kami mempunyai wang yang sedikit untuk pelaburan. Di atas jalan raya, trak kami terdedah kepada keganasan, tetapi keadaan mula stabil pada tahun 2008," imbas Imarah.

Sekarang, ikan kap dari pusat ternakan tersebut dijual ke pasar ikan dan terus kepada pelanggan. Ikan diternak dalam tiga buah kolam dan menunggu untuk dipilih pelanggan.

Umm dan anak paling bongsunya sering mengunjungi Pusat Ternakan Ikan Efrat, mencari ikan kap.

"Kami mempunyai tradisi. Setiap hari Rabu, kami akan memasak masgoof. Alhamdulillah, Iraq lebih baik sekarang. Kami akan menghidangkan ma

Membaca di portal e-Sentral

Posted:

Membaca di portal e-Sentral

Membaca di portal e-Sentral

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
ayman.ghaffa@kosmo.com.my


FAIZ menunjukkan cara e-book beroperasi menggunakan pelbagai gajet elektronik terkini.


KETIKA mula dilancarkan pada bulan September 2011 oleh syarikat Xentral Methods Sdn. Bhd., e-Sentral, buku elektronik (e-book) kurang mendapat sambutan di Malaysia kerana masih ramai yang tidak peka mengenai kewujudannya.

Rakyat negara ini waktu itu baru mengenali nama-nama portal e-book seperti Amazon Kindle, Apple iBooks dan Kobo. Melaluinya, pembaca boleh membeli dan membaca buku keluaran syarikat penerbitan dari luar negara.

Perkembangan teknologi yang begitu pesat dewasa ini secara signifikan telah membantu portal e-Sentral untuk menarik minat orang ramai yang meminati bahan bacaan e-book.

Pengarah Urusan Xentral Methods Sdn. Bhd., Faiz Al-Shahab memberitahu, e-Sentral merupakan sebuah portal yang menyediakan pelbagai jenis buku dalam bentuk e-book dan boleh dibaca terus menerusi gajet canggih pembaca.

"Menerusi portal ini, setiap pembaca perlu memuat turun aplikasi e-Sentral pada gajet mereka secara percuma. Selesai memuat turun aplikasi tersebut, pembaca akan diberikan beberapa judul buku secara percuma sebagai percubaan.

"Portal ini juga menyediakan lebih 1,700 judul buku yang pada asalnya merupakan buku yang dicetak oleh syarikat penerbitan tempatan. Syarikat-syarikat ini kemudian telah berkolaborasi dengan pihak kami untuk menjadikan buku itu dalam bentuk e-book," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Lebih murah

Aplikasi e-Sentral ternyata dekat dengan pengguna yang menggunakan gajet canggih dewasa ini kerana ia boleh digunakan pada sistem operasi IOS, Android, Cloud dan pada komputer peribadi mereka.

Format yang beroperasi pada aplikasi tersebut ialah e-pub dan ia merupakan format yang berbeza dengan format yang kebiasaannya digunakan pada e-book iaitu PDF.

Format e-pub berupaya melindungi setiap e-book pada aplikasi itu daripada diciplak atau disalin oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Selain itu, pengguna juga diberi kebebasan untuk memilih judul buku yang ditawarkan oleh portal itu.

"Setiap judul buku yang ditawarkan pada portal ini terbahagi kepada dua iaitu e-book percuma dan e-book berbayar.

"Namun, pengguna tidak perlu risau kerana e-book yang dijual menerusi portal ini jauh lebih murah daripada harga buku yang dicetak dan dijual di pasaran, malah ada yang dijual serendah RM5," jelas Faiz.

Tambahnya, fokus utama portal berkenaan adalah untuk mempromosikan buku tempatan terutamanya buku Bahasa Melayu dalam bentuk e-book.

Pengguna tidak perlu risau mengenai langkah-langkah perlindungan pada aplikasi itu kerana seorang pengguna boleh menggunakan tiga akaun berbeza pada tiga gajet milik mereka.

Antara syarikat penerbitan tempatan yang telah menyumbangkan karya di portal itu ialah Karnadya Solutions Sdn. Bhd., Pelangi, Hijjaz Record, Marshall Cavendish dan Buku Fixi.

Tidak hanya mempromosikan buku-buku novel yang menjadi kegemaran remaja, e-Sentral juga menawarkan buku-buku ilmiah daripada syarikat penerbitan Universiti Malaya untuk dijadikan rujukan oleh golongan profesional.

"Portal ini juga memberi peluang kepada penulis-penulis bebas untuk menghasilkan karya mereka melalui e-book tanpa mengeluarkan modal untuk pencetakan.

"Ini merupakan salah satu cara untuk kami mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang penulisan negara untuk dipromosikan menerusi portal ini," ujar Faiz.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved