Khamis, 15 November 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Arafat tidak pernah mati di hati Suha

Posted:

Arafat tidak pernah mati di hati Suha

Arafat tidak pernah mati di hati Suha

AKHIRNYA, kubur yang menjadi tempat persemadian bekas Presiden Palestin, Allahyarham Yasser Arafat digali semula sejak Selasa lalu. Kerja-kerja penggalian bermula dengan mengalihkan struktur konkrit dan batu yang dijangka mengambil masa selama 15 hari.

Kerja-kerja penggalian akan dihentikan apabila bahagian paling dekat dengan kedudukan mayat Arafat ditemui. Jenazah tidak akan dialihkan sehingga ketibaan anggota pendakwa raya Perancis, pakar-pakar Switzerland dan para penyiasat Rusia.

Pihak pendakwa raya Perancis membuka siasatan kematian Arafat pada Ogos lalu selepas stesen televisyen Al-Jazeera menyiarkan kenyataan pakar-pakar Switzerland bahawa bahan radioaktif polonium ditemui pada barang milik peribadi pemimpin itu.

Dalam temu ramah dengan Al-Jazeera, balu kepada Arafat, Suha Arafat, 49, menceritakan, pihak penyiasat begitu sukar dalam memastikan kerja-kerja penyiasatan tersebut supaya sentiasa berprofil rendah.

Katanya, penyiasatan telah pun berjalan selama sembilan bulan bermula dengan pemeriksaan terhadap barang peribadi seperti jam dan ubat-ubatan serta perlu menunggu selama tiga bulan bagi mengetahui kadar kandungan polonium.

"Mereka menemui kandungan polonium yang sangat tinggi. Bukan polonium semula jadi, ia nuklear radioaktif iaitu bahan yang hanya ada pada negara-negara maju.

"Menggali semula kubur Arafat sesungguhnya sesuatu yang amat menyakitkan bagi saya, tetapi sekurang-kurangnya, ia akan menghilangkan bebanan yang berat kepada saya.

"Setidak-tidaknya, saya ada sesuatu untuk diterangkan kepada orang Palestin, Arab dan generasi Muslim seluruh dunia yang kematiannya bukan semula jadi. Ia sebuah jenayah," tegas Suha dalam sesi temu bual yang diadakan pada bulan Julai lalu.


ARAFAT (kiri) dan Suha pertama kali bertemu ketika pemimpin PLO itu menghadiri sebuah persidangan di Perancis.


Suha sudah mengetahui perkara tersebut sejak dahulu lagi kerana baginya, lelaki seperti Arafat tidak mungkin akan meninggal dunia dengan mudah walaupun pemimpin tersebut berusia 75 tahun pada waktu itu.

Tubuhnya secara tiba-tiba menjadi lemah. Kecurigaan Suha bermula sejak 12 Oktober 2004 yang disimpan sehingga kini. Pada hari itu, Arafat dilaporkan mula mengalami cirit-birit.

Allahyarham turut mengadu sakit perut dan pening. Simptom tersebut dengan cepat menjadi teruk sehingga menyebabkan tubuhnya begitu kurus.

Arafat meninggal dunia di sebuah hospital tentera, dekat Paris pada 11 November 2012. Sejak itu banyak pihak berpendapat, kematiannya seperti bukan semula jadi namun, tidak ada sebarang fakta yang dapat membuktikan tuduhan tersebut.

"Saya sangat yakin, seluruh kes ini akan berakhir dengan positif dalam sedikit masa lagi. Kita bakal mengetahui kebenarannya," kata Suha yang berasakan dia bakal menghampiri sasaran.

Suha suri di hati Arafat

Suha lahir pada 17 Julai 1963 di Baitulmuqaddis dalam keluarga Kristian dengan nama Suha Daoud Tawil. Ayahnya, Daoud Tawil merupakan seorang pengurus bank di Tebing Barat dan Jordan manakala ibunya, Romanda Hawa Tawil ialah wartawan yang sering mendapat perhatian media melalui penglibatannya dalam politik.

Suha membesar di Ramallah dan belajar di sekolah convent, Sekolah Rosary Sisters' di Beit Hanina, Baitulmuqaddis. Pada usianya 18 tahun, dia ke Paris, Perancis untuk belajar dan menetap bersama-sama kakaknya.

Terdapat pelbagai versi mengenai tarikh pertama kali Suha bertemu dengan Arafat tetapi rata-rata sekitar tahun 1985 hingga 1988.

Ketika Arafat melawat Perancis pada tahun 1989, Suha menjadi penterjemah ketika pemimpin tersebut berjumpa dengan pegawai kerajaan negara itu.

Selepas beberapa ketika, Arafat menawarkan Suha untuk bekerja dengannya di Tunisia. Mereka berkahwin pada 17 Julai 1990 secara rahsia.

Zahwa Arafat, satu-satunya anak hasil perkahwinan mereka lahir pada 24 Julai 1995 di Neuilly-sur-Seine, Perancis.

Perbezaan umur yang begitu ketara antara Arafat (61) dan Suha (27) ketika berkahwin menjadi bahan bagi pihak musuh terutamanya Israel untuk menyerang keperibadian wanita itu.

Dalam sebuah artikel yang diterbitkan pada 9 November 2004 dalam akhbar Haaretz, Suha dituduh sebagai seorang wanita yang gilakan kuasa semenjak dia bekerja dengan Arafat ketika berusia 26 tahun.

Bukan setakat itu, selepas kematian Arafat banyak akhbar melaporkan Suha mendesak para pemimpin Pihak Berkuasa Palestin (PA) untuk bantuan kewangan supaya dia dapat meneruskan gaya hidup mewah.

Pemimpin PA dikatakan bersetuju untuk membayar AS$22 juta setahun (RM67 juta) daripada akaun rahsia Arafat yang dipercayai berjumlah paling kurang AS$4 bilion (RM12.26 bilion).

Khabar angin tidak terhenti setakat itu, wartawan Israel News, Roee Nahmias melaporkan, Suha telah mengahwini abang ipar Presiden Tunisia, Lahasn al-Trabulsi pada tahun 2006 kerana lelaki tersebut mahukan kekayaan yang dimiliki oleh balu berkenaan.

"Saya tidak mengambil duit daripada Palestin, saya tidak mengambil tanah negara Palestin," tegas Suha kepada wartawan Mesir, Wael Al Abrashi pada tahun 2008 sekali gus menolak semua khabar angin yang menuduhnya.


ZAHWA (kiri) dan ibunya kini menetap di Malta selepas taraf warganegara Tunisia Suha dilucutkan beberapa tahun lalu.


Dia yang kini menetap di Malta berkata, Arafat hanya membina sebuah taman permainan untuk anak perempuannya di Tunisia walaupun sudah berkerja untuk Palestin selama 50 tahun.

"Saya tidak malu untuk mengakuinya (taman permainan), tetapi ia telah diambil alih. Itu merupakan satu-satunya pelaburan yang dia lakukan untuk Zahwa dan saya ada dokumen bagi membuktikannya.

"Dia tidak membeli barang kemas atau membina kilang untuknya (Zahwa) cuma, taman permainan yang kecil," ceritanya lagi.

Teruskan perjuangan Arafat

Wartawan Spiegel Online, Juliane von Mittelstaedt dan Volkhard Windfuhr yang pernah menemu bual Suha memberi gambaran wanita itu sama seperti suri rumah lain, lapor berita yang dikeluarkan pada 3 September lalu.

Lokasi kediaman Suha di Malta susah untuk sampai dengan jalan raya berliku-liku. Ia mengambil masa setengah jam perjalanan menaiki kereta dari ibu kota Valletta.

Kediamannya tidak tersergam indah di kawasan berbukit dengan taman kecil dan sebuah kereta kompak buatan Korea diparkir di hadapan rumah.

Dia tinggal bersama-sama dengan ibunya, manakala Zahwa yang kini berusia 17 tahun belajar di sekolah asrama di Perancis.

Menceritakan perasaan terpaksa melalui detik penggalian semula kubur Arafat, hanya perkataan amat menyakitkan diluahkan Suha.

Katanya, semakin lama semakin banyak mereka menemui kesamaran dalam penyiasatan. Orang ramai tidak mahu membincangkan perkara tersebut malah, melarang Suha memperkatakannya.

"Ia amat menyakitkan tetapi berjaya membina keyakinan kami bahawa ia sebuah plot yang dirancang apatah lagi apabila melihat pengisytiharan oleh ketua-ketua Israel dan pentadbiran Amerika Syarikat.

"Dia (Arafat) tidak penting, dia perlu dihapuskan, dia halangan kepada keamanan dan deklarasi Sharon yang mahu membunuhnya. Umpama imbas kembali, datang dan pergi. Kami selalu menangis," katanya kepada Al-Jazeera.

Pada pendapat Suha, penduduk Palestin harus berbangga kerana dalam situasi politik dunia Arab, tetapi orang ramai masih lagi datang melawat kubur Arafat seperti dia seorang santa.

"Saya percaya kepada keadilan. Jika kamu tidak mendapat keadilan ketika hidup, kamu akan mendapatkannya sewaktu alam kematian," ungkapnya.

Suha mahu meneruskan legasi politik suaminya dan menyifatkan Arafat seorang pejuang pembebasan dengan hati nurani.

"Saya ada memperkatakan perkara tersebut barangkali selepas Zahwa berkahwin. Saya mungkin terlibat dalam politik kerana Arafat perlu ada penyambung (perjuangan)," ujarnya kepada CNN.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved