Kosmo Online - Rencana Utama |
- e-Pusara pelengkap Raudhatul Sakinah
- Cangkul penggali direka sendiri
- Keperitan hidup anak yatim Nepal
e-Pusara pelengkap Raudhatul Sakinah Posted: e-Pusara pelengkap Raudhatul SakinahSEJAK tiga bulan lalu, Ahmad Fathiri Ahmad Fadzlah, 34, tidak pernah putus menziarahi pusara arwah ayahnya, Allahyarham Ahmad Fadzlah Mohd. Salleh. Setiap hari, pada pukul 8 pagi, ahli perniagaan itu meluangkan masa memandu ke Tanah Perkuburan Islam KL-Karak yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumahnya di Taman Melewar, Gombak. Kekerapan kunjungan Ahmad Fathiri ke tanah perkuburan yang digelar Raudhatul Sakinah berkonsepkan kubur dalam taman itu membuatkannya cukup mahir selok-belok kawasan berkeluasan 32.75 hektar tersebut. Mujur pusara ayahnya ditempatkan di dalam zon baharu yang dipisahkan mengikut jantina. Tanah perkuburan itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada bulan Julai lalu. Kedatangan Ahmad Fathiri ke tanah perkuburan itu disambut audio alunan ayat-ayat al-Quran yang berkumandang ke setiap pelosok kawasan pusara. "Pelandskapan cemerlang di sini langsung tidak mencerminkan ia sebagai sebuah tanah perkuburan. Suasananya juga tenang dan indah sekali gus menghilangkan rasa takut yang dirasai kebanyakan orang yang menziarahi tanah perkuburan. "Menerusi papan tanda bergrid, waris dapat mengenal pasti lokasi tepat pusara yang ingin diziarahi. Kemudahan siar kaki yang memisahkan setiap zon pula memberikan keselesaan kepada orang ramai. "Infrastruktur lain seperti surau, tandas dan pejabat pengurusan turut diletakkan di dalam kawasan tanah perkuburan," kongsi Ahmad Fathiri yang ditemani anak lelakinya pada hari tersebut. Tambahnya, pengindahan dan penyelenggaraan perkuburan Islam sebegitu wajar dilaksanakan di semua tempat. Bagi Ahmad Fathiri, tempat persemadian jenazah perlu dihormati dan diurus dengan sempurna. PAPAN tanda bergrid memudahkan lokasi pusara dikesan dengan mudah. Tanah perkuburan yang terbiar seringkali mengundang kedatangan haiwan liar seperti anjing dan binatang berbisa seperti ular. Justeru, ia mengancam keselamatan waris yang datang menziarah. Konsep kubur Melewati setiap zon di Raudhatul Sakinah, cukup menyejukkan pandangan mata. Lambaian pohon-pohon bersaiz sederhana seperti cempaka hutan, kurma, kemboja dan banyak lagi menciptakan ambien nyaman yang tidak pernah dirasai tatkala mengunjungi kawasan perkuburan lain. Memandangkan tanah perkuburan tersebut dibuka sejak tahun 1987 dan menerima jenazah pertama pada tahun 1992, konsep perkuburan dalam taman hanya dilaksanakan di kawasan-kawasan baharu. Ia meliputi Fasa 7C dan sebahagian Fasa 7A. Fasa-fasa lain pula akan dijalankan secara berperingkat mengikut keperluan. Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali, menceritakan keistimewaan konsep kubur dalam taman yang pertama di Malaysia itu. Ulasnya: "Fasa baharu perkuburan KL-Karak dilengkapi batu tanda pusara yang disusun secara seragam. Kepungan kuburan juga perlu mematuhi spesifikasi yang kami tetapkan dan menepati hukum syarak. "Sehubungan itu, waris yang ingin menempah kepungan sendiri disarankan melihat contoh sedia ada atau boleh membuat tempahan menerusi pejabat pengurusan kami di situ. LAMAN web e-Pusara menyediakan rangkaian maklumat berkenaan nama si mati, nombor kubur dan lain-lain informasi yang ingin diketahui waris atau orang awam. "Begitu juga dengan pokok atau bunga yang ingin ditanam waris di pusara ahli keluarga mereka. Tiada halangan untuk berbuat demikian namun, ketinggian pokok tidak boleh melebihi batu nisan. Disebabkan itu kami menanam pokok yang sama di atas setiap pusara bagi membentuk keseragaman." Selain itu, penyediaan lampu-lampu di sepanjang jalan utama, membantu menerangi kawasan perkuburan bermula pada pukul 7 malam sehingga 12 malam. Ia beroperasi secara automatik setiap hari. Skrin yang diletakkan di bawah pondok berhampiran pejabat pengurusan pula bertujuan memberi maklumat kepada waris dan orang ramai tentang keterangan upacara pengebumian yang berlaku pada hari tersebut. Tambah Che Mat, konsep Raudhatul Sakinah bakal diterapkan di kawasan-kawasan perkuburan baharu di bawah penyelenggaraan Jawi yang akan dibangunkan kelak. Sistem e-Pusara Ia juga bakal merangkumi kemudahan sistem e-Pusara yang telah dikuatkuasakan di tanah perkuburan Islam KL-Karak dan Bukit Kiara. AHMAD FATHIRI antara waris yang hampir setiap hari menziarahi pusara ayahnya di tanah perkuburan ini. Mengupas sistem dokumentasi maklumat jenazah yang dikuburkan itu, Che Mat memberitahu, kedua-dua tanah perkuburan tersebut terletak di bawah fasa pertama. Pembangunan e-Pusara fasa kedua akan diperluaskan ke enam buah tanah perkuburan Islam sekitar Kuala Lumpur. Kawasan yang terlibat adalah Segambut Dalam (Taman Sri Sinar), Taman Ibu Kota, Titiwangsa, Kg. Datuk Keramat, Kg. Midah Dalam dan Kg. Sungai Penchala. "Secara keseluruhan, pembangunan sistem e-Pusara fasa pertama mengambil masa selama satu tahun. Bagaimanapun, ia bergantung kepada rekod manual maklumat pengebumian yang disimpan. "Sejak ia dibangunkan pada tahun 2010, rekod penguburan dalam tempoh 10 tahun bagi KL-Karak dan 20 tahun untuk Bukit Kiara dapat dilaksanakan," ujar Che Mat ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya baru-baru ini. Mengakui kemudahan sistem e-Pusara tersebut ialah seorang waris, Baili Ahjun, 64. Beliau mempunyai beberapa saudara-mara yang disemadikan di tanah perkuburan Islam Bukit Kiara. Menurut Baili yang telah melibatkan diri dalam pengurusan jenazah selama 37 tahun, hanya dengan memasukkan nama si mati atau nombor lot kubur, pelawat laman web e-Pusara dapat mengesan lokasi pusara dengan pantas dan mudah. "Prosedur pengurusan masih sama. Sebagai kariah Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, jenazah yang bermastautin di dalam kawasan kami akan diuruskan pihak masjid sebelum dikebumikan di Bukit Kiara. "Seperti biasa, wakil khairat kematian masjid akan memaklumkan kepada penggali kubur maklumat tentang si mati. Dahulu, ia direkodkan secara manual namun, kini segalanya boleh diakses menerusi sistem komputer," ujar Baili yang memberitahu dahulu pengebumian qariah sekitar Bangsar lazimnya disempurnakan di tanah perkuburan Islam Jalan Ang Seng, Brickfields Kuala Lumpur tetapi ia telah penuh. | |
Cangkul penggali direka sendiri Posted: Cangkul penggali direka sendiri
SELAMA sembilan tahun, Mohammad Shadzri Kamarudzaman, 37, bergelumang dengan tanah kubur. Sepanjang tempoh itu juga, lelaki yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang itu menempuhi pelbagai pengalaman manis dan pahit. Bergelar sebagai penggali kubur, Shadzri seronok dengan pekerjaannya. Sebelum berbakti di tanah perkuburan Islam KL-Karak, dia hanya melakukan pekerjaan kampung. Memikul kepercayaan ahli keluarga si mati tidak mudah. Disebabkan itu, kerja-kerja menggali kubur perlu dilaksanakan dengan tertib. Tugasan yang lancar dan sempurna secara tidak langsung menjadi penawar kesedihan ahli keluarga si mati. Apabila diminta mengganti abang iparnya yang ketika itu bekerja kontrak sebagai penggali kubur, Shadzri tidak menolak. Detik itu menjadi permulaan kariernya yang kini telah pun mendapat status sebagai pekerja tetap, di bawah pengurusan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi). "Mula-mula saya memang tidak tahu apa-apa tentang ilmu menggali kubur. Maklumlah, tiada silibus jadi saya belajar daripada orang lama dalam bidang ini dan mengutip pengalaman sendiri. "Lama-kelamaan, kemahiran itu datang sendiri terutamanya apabila melibatkan proses penggalian lubang lahad dan penyelesaian yang perlu dilakukan ketika berdepan masalah seperti tanah keras atau hujan lebat," cerita Shadzri yang baru selesai mengebumikan satu jenazah yang tidak dituntut di kawasan perkuburan awal KL-Karak. Dalam sehari, secara purata Shadzri dan rakan sekerjanya menerima tiga jenazah. Itu merupakan jumlah minimum. Pengebumian paling tinggi dalam sehari setakat ini dikhabarkan melibatkan tujuh jenazah yang memerlukan Shadzri dan beberapa penggali kubur sukarelawan bekerja keras dari awal pagi sehingga lewat petang. Gali lubang asas "Pengebumian waktu malam pula kebiasaannya melibatkan kes-kes jenazah bedah siasat yang perlu ditanam segera. Pengurusannya tetap sama dan tiada perbezaan sama ada waktu siang atau malam. SUFIAN telah menjadi penggali kubur dalam masa dua dekad. "Setiap hari penggali kubur di sini ditugaskan untuk menggali dua lubang asas bagi memudahkan urusan pengebumian pada masa akan datang. "Apabila pihak khairat kematian menghubungi kami dan memberi maklumat si mati, kami akan sampaikan kepada pejabat pengurusan dan menyediakan lubang lahad," terang Shadzri yang mengkategorikan kerjanya sebagai satu amanah terindah. Difahamkan, sebuah lubang asas memakan masa antara dua hingga tiga jam untuk digali. Lubang lahad pula disediakan dalam tempoh satu hingga satu setengah jam. Bagaimanapun, ia bergantung kepada cuaca dan struktur tanah. Mat Sufian Abd. Hamid, 48, menyatakan, sekiranya tanah itu berbatu, waktu diambil untuk menggali kubur boleh mencecah durasi empat jam setengah. Peralatan yang sesuai juga penting dalam memastikan kelancaran proses penggalian. Menurut Sufian, cangkul yang digunakan kebanyakan penggali kubur dibuat mengikut acuan sendiri. "Ia bagi membolehkan cangkul tahan lebih lama dan jika ia diguna secara kerap pun, sebatang cangkul mampu bertahan selama dua bulan," ujar Sufian yang telah berkhidmat di tanah perkuburan Islam Bukit Kiara sejak dua dekad lalu. Minatnya terhadap pekerjaan itu mungkin kedengaran pelik. Namun, hakikatnya, Sufian yang berasal dari Perak selesa dengan sumber rezeki tersebut. Hasil yang diperoleh diyakini halal biarpun ganjaran tidak sebesar pekerjaan lain. "Sekitar tahun 1990-an, saya pernah mengebumikan sembilan jenazah dalam satu hari. Sewaktu itu ia dibuka untuk semua penduduk di Kuala Lumpur dan purata kubur yang kami gali adalah sebanyak lima hingga enam setiap hari. SETIAP kubur mempunyai batu tanda yang bernombor bagi memudahkan urusan pencarian pusara oleh waris. "Selepas kawasan ini dihadkan kepada penduduk bagi empat kariah masjid sekitar, jumlahnya berkurang kepada satu jenazah dalam tempoh dua minggu. Namun, jumlah itu tidak menentu," tambah Sufian yang turut melakukan kerja-kerja pembersihan kawasan perkuburan secara berkala. - ALIF ABU BAKAR | |
Keperitan hidup anak yatim Nepal Posted: Keperitan hidup anak yatim NepalNIRMALA (tengah) menyiapkan makanan untuk adik-adiknya setiap pagi sebelum mereka pergi ke sekolah, sementara dia bersiap untuk mencari kayu di hutan. SETIAP hari tatkala subuh menjelma, Nirmala Nepali akan memasak, membersihkan rumah dan keluar bekerja untuk mencari sumber rezeki. Itu merupakan perjuangan yang dia tempuhi sejak bertahun-tahun. Gadis itu terpaksa menanggung peranan ketua isi rumah pada usia enam tahun selepas ibunya meninggal dunia akibat Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS). Usia Nirmala kini mencecah 15 tahun dan dia tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah untuk belajar membaca dan menulis serta tidak pernah menikmati keseronokan seperti rakan-rakan sebaya yang lain. "Jika saya tidak keluar mencari kayu api untuk dijual, saya tidak ada wang untuk membeli makanan. Saya terpaksa bekerja. Jika tidak, adik-adik saya akan kelaparan. Saya juga perlu melakukan kerja rumah seperti memasak dan membersihkan rumah," katanya. Nirmala akan memastikan adik-adiknya, Sita, 13, dan Suresh, 10, makan dan mandi sebelum dia keluar untuk bekerja. Dari kejiranan kampung Biraltoli yang kebanyakan rumahnya diperbuat daripada lumpur dan tanah liat itu, Nirmala melangkah menuju ke hutan untuk mengumpulkan kayu. Kampungnya itu adalah sejauh sejam perjalanan dari Mangalsen iaitu bandar utama di wilayah Achham di barat Nepal. Pendapatan yang diterima Nirmala pada hari yang baik adalah sebanyak 100 rupee (RM1.20) dan nilai itu membolehkan Sita dan Suresh ke sekolah untuk menikmati peluang yang dia tidak pernah dapat. "Saya ingin bermain tetapi jika saya menghabiskan masa untuk bermain, itu bermakna kami tidak makan," ujarnya. Bapa Nirmala merupakan seorang buruh asing yang memindahkan jangkitan HIV kepada ibunya. Lelaki yang bekerja di Mumbai itu akhirnya meninggal dunia akibat penyakit itu ketika dia berada di India. NIRMALA (kiri) sanggup mengerah tenaga dan mengorbankan masa depan pendidikannya demi memastikan Sita dan Suresh dapat bersekolah. Seks tanpa perlindungan Cerita Nirmala adalah suatu yang biasa di Achham iaitu sebuah rantau termiskin di Asia Selatan. Infrastruktur kesihatannya telah banyak musnah akibat perang saudara selama sedekad yang berakhir pada tahun 2006. Peluang pekerjaan yang terhad menyebabkan lelaki muda terpaksa ke luar negara terutamanya ke India untuk mencari kerja. "Oleh kerana kurangnya pendidikan, mereka melakukan seks tanpa perlindungan dengan pekerja seks seterusnya membawa jangkitan HIV kembali ke Achham. "Ia adalah satu masalah yang besar," kata seorang fasilitator kampung yang dibiayai oleh Tabung Kanak-Kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Sharmila Shah. Organisasi itu menganggarkan seramai 13,000 kanak-kanak telah kehilangan kedua-dua ibu bapa kerana wabak HIV/AIDS yang melanda masyarakat luar bandar di Nepal. Daripada jumlah itu, 1,500 daripada mereka berasal dari Achham. Sementara itu, Bikram Augi, 17, memasak capati sebagai sarapan pagi untuk adiknya, Pashupati, 14, sebelum meninggalkan rumah setinggannya yang terletak di Sanfebagar, sebuah perbandaran yang membentuk pola petempatan di sepanjang Sungai Ganga Budhi. Dia menjadi ketua isi rumah pada usia sembilan tahun apabila ibunya, 32, meninggal dunia akibat AIDS. "Pada satu hari, saya pulang ke rumah dan melihat keadaan ibu yang seolah-olah akan meninggalkan kami semua," ungkapnya. "Ketika itu, ibu berkata 'sudah tiba waktunya, jaga adik dan diri sendiri'. Waktu itu saya mula menangis dan 10 minit kemudian, dia menghembuskan nafas terakhirnya," imbas Bikram. RAMAI kanak-kanak di Nepal menjadi yatim piatu dan menguruskan diri sendiri kerana kematian ibu dan bapa yang dijangkiti HIV/AIDS. Setahun kemudian, Bikram mendapat khabar daripada saudara-mara yang mengatakan bahawa bapanya juga telah meninggal dunia di Pune, India. Dia juga mengetahui, sekurang-kurangnya 20 orang kawan-kawannya juga menjadi anak-anak yatim AIDS. "Sejak ibu meninggal dunia, saya terpaksa mengumpul kayu dari hutan dan membawa pulang. Saya terpaksa memasak dan membersihkan rumah dan menjaga adik. "Malah, ketika berusia sembilan tahun, saya bekerja sepanjang hari dan apabila saya tiba di rumah, saya masuk ke bilik tidur dan menangis mengingatkan ibu bapa saya," katanya sayu. Bantuan amal Bagaimanapun, badan amal UNICEF telah membantu Bikram dengan menyediakan pakaian sekolah, tilam dan makanan. Bantuan itu sekurang-kurangnya membolehkan dia berhenti kerja dan hadir ke sekolah. Namun, dia positif tentang masa depan dan mahu lulus dalam peperiksaan supaya dia boleh membantu mendidik orang lain tentang bahaya seks tanpa perlindungan. Biarpun hidup dalam tekanan persekitaran, dia langsung tidak menunjukkan tanda berputus asa. Seorang ibu, Dhunki, 30, duduk di luar pondok tanah liat yang hampir roboh berdekatan Mangalsen sambil membuai anak kecil. Dia sendiri bimbang jika dia tidak sempat melihat anaknya itu membesar. Dia telah hidup dengan HIV yang dijangkiti daripada suaminya kira-kira 10 tahun yang lalu. Anak sulungnya, Harka, 9, disahkan HIV positif. Dia mempunyai dua orang anak lagi. Sejak Dhunki disahkan HIV positif, dia tidak pernah mendengar khabar suaminya yang telah kembali bekerja di Mumbai. Dhunki dan Harka menerima ubat antiretroviral yang disediakan oleh kerajaan tetapi dia mengakui bahawa dia semakin sakit. "Saya kerap berasa letih dan mengalami demam. Saya bimbang jika saya mati dan tiada yang menjaga anak-anak saya," tuturnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan