Jumaat, 26 Oktober 2012

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Pengganti Z750

Posted:

Pengganti Z750

Oleh SHAWKATH AZDE

AKHIR tahun 1960-an menyaksikan corak peralihan pembangunan enjin dua lejang kepada empat lejang oleh beberapa syarikat pengeluar motosikal di Jepun.

Mengikuti arah aliran semasa pada ketika itu, Kawasaki Heavy Industries Ltd. (KHI) mula menyusun langkah bagi membangunkan motosikal empat lejang iaitu N600.

Projek yang diketuai oleh Sam Tanegashima itu berjaya menyiapkan jentera berkenaan pada bulan Oktober 1968. Ia dipercayai bakal mencipta sejarah dalam industri motosikal global.

N600 dipasang enjin sejukan udara DOHC empat silinder sebaris bersesaran 750cc dan menanti masa untuk memasuki barisan pengeluaran dalam skala besar-besaran.


Reka bentuk model Z800 diberi penelitian rapi agar kelihatan agresif atas jalan.


Hasrat KHI untuk mengejutkan dunia pemotoran terbantut apabila mengetahui pesaing senegara iaitu Honda sudah mendahului kejutan di Tokyo Motor Show pada tahun sama (1968).

Honda memperkenalkan model CB750 Four berkapasiti 750cc. Kejayaan Honda mendahului pengenalan produk itu membuatkan pasukan projek N600 kembali ke meja rundingan untuk mengatur strategi baharu.

Enam tahun kemudian, pasukan projek itu tampil dengan pengenalan Kawasaki Z1. Itulah motosikal sport pertama dunia yang dihasilkan secara besar-besaran.

Kawasaki Z1 dipasang enjin DOHC empat silinder sebaris bersesaran 903cc dan kotak gear lima kelajuan.

Lebih menarik lagi, pelumba Reg Pridmore memenangi kejuaraan perlumbaan AMA Superbike di Pocono Raceway di Amerika Syarikat pada tahun 1977 dengan menunggang model Z1.

Kejayaan itu meletakkan jenama Kawasaki sebagai motosikal pertama keluaran Jepun memenangi kejuaraan AMA Superbike.

Ahli keluarga Z mula berkembang menerusi pengenalan beberapa model baharu termasuklah Z1-R pada 1977 dan model Z1300 (1978).

Kawasaki Z1100GP pula muncul pada 1981, sebelum disusuli model Z1000R (1982), Z1000 (2003, 2007 dan 2010) serta Z750 (2004, 2007 dan 2011). Model terbaharu ialah Z800, pengganti kepada Z750.

Tepat pada masanya.

MUKHRIZ (dua dari kiri) dan Takata (kanan) melancarkan dua model baharu Kawasaki sambil disaksikan oleh barisan pengurusan tertinggi KHI dan Kawasaki Malaysia di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.


Di pasaran Malaysia, model Z800 diperkenalkan oleh Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd. (Kawasaki Malaysia) sewaktu majlis Makan Malam Gala Kawasaki di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Z800 yang berwajah agresif dipasang enjin baharu bersesaran 806cc. Pereka motosikal itu juga mengadun huruf 'Z' pada aspek rekaannya. Antaranya pada lampu belakang, tangki minyak dan tempat duduk.

Kemasukan model naked itu boleh dikatakan tepat pada masanya memandangkan kedudukan dan prestasi jualan semasa Kawasaki Malaysia.

"Sejak sembilan bulan pertama tahun ini, Kawasaki Malaysia sudah menguasai 50 peratus pasaran motosikal berkapasiti 500cc ke atas," kata Pengurus Besar Kawasaki Malaysia, Jeffrey Lim Chee Sing.

Apa yang paling mengejutkan adalah harga Z800. Untuk sebuah jentera berkuasa begitu, harga sekitar RM48,000 boleh dianggap sebagai cukup berpatutan. Pengenalan harga itu berikutan Z800 merupakan produk pemasangan tempatan (CKD) ASEAN yang dipasang di Thailand.

Saiz pasaran motosikal berkapasiti 500cc ke atas tidaklah begitu besar di Malaysia. Kategori berkenaan hanya merangkumi tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV).

INFORMASI dipamerkan menerusi instrumen meter digital.


TIV tahun lalu adalah sebanyak 540,000 unit dan angka itu dijangka meningkat kepada 600,000 menjelang akhir tahun ini.

Biarpun volum jualan motosikal Malaysia masih kecil, ia berpotensi untuk berkembang bersama dua negara ASEAN lain iaitu Indonesia dan Thailand.

Perkara itu diakui oleh Presiden Motorcycle & Engine Company KHI, Hiroshi Takata. Namun tiada angka atau peratusan peningkatan didedahkan.

Sebagai persiapan awal, kapasiti pengeluaran kilang Kawasaki Malaysia di Shah Alam, Selangor tersenarai untuk dinaik taraf.

Takata berkata, dalam tempoh tiga tahun akan datang, jumlah pengeluaran akan ditingkatkan kepada 40,000 unit. Kadar semasa ialah 15,000 unit sahaja.

Jika itu berlaku, sudah pasti lebih banyak model bakal dipasang secara tempatan dan pilihan motosikal pastinya bertambah. Apa pun, sama-sama kita nantikan pengumuman terbaharu daripada Kawasaki Malaysia.

Kempen servis khas untuk pelanggan Toyota dan Lexus

Posted:

Kempen servis khas untuk pelanggan Toyota dan Lexus

PEMILIK Vios keluaran tahun 2006 hingga 2010 akan dihubungi oleh UMW Toyota untuk membolehkan kereta mereka diservis.


UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMW Toyota), pengedar eksklusif kenderaan Toyota dan Lexus di Malaysia, baru-baru ini mengadakan kempen servis khas bagi menyelesaikan isu berkaitan masalah tingkap kuasa (Power Window Master Switch).

Kempen berkenaan seiring dengan usaha Toyota Motor Corporation (TMC) untuk menyelenggara model-model yang terlibat iaitu Camry, Corolla Altis, Vios, RAV 4 dan Yaris keluaran tahun 2006 hingga 2010.

Menurut UMW Toyota, sebanyak 63,083 unit kenderaan Toyota yang dijual di Malaysia terlibat dalam kempen berkenaan. Para pemilik akan dihubungi bagi kerja-kerja pembaikan sebaik sahaja komponen baharu untuk penukaran diterima syarikat.

Proses penukaran dijangka mengambil masa selama satu jam. Untuk maklumat lanjut, para pelanggan boleh menghubungi talian bebas tol Toyota 1800-8-869682.

SUV mewah berkuasa 550hp

Posted:

SUV mewah berkuasa 550hp

Oleh MUHAMMAD MD. TAJUDIN

CAYENNE Turbo S menambah variasi famili Cayenne sebelum ini termasuklah model Hybrid, Diesel, GTS dan Turbo.


PORSCHE adalah satu nama besar dalam dunia automotif. Daripada kanak-kanak hinggalah golongan berusia, masing-masing mengenali dan mengagumi kereta yang berasal dari Stuttgart, Jerman itu.

Menyusuri sejarah jenama tersebut, Porsche diasaskan oleh Profesor Ferdinand Porsche yang pada awalnya menawarkan perkhidmatan konsultansi dan pembangunan kenderaan.

Antara bisnes awal yang diterima Porsche adalah daripada kerajaan Jerman untuk membina kereta rakyat. Kereta rakyat itu ialah Volkswagen Beetle.

Porsche 64 yang merupakan model pertama Porsche berkongsi banyak komponen dengan model Beetle. Pada tahun 1948, model kedua Porsche iaitu 356 dibina oleh Ferry Porsche iaitu anak kepada pengasas jenama itu. Sekali lagi, model tersebut berkongsi komponen dengan model Beetle seperti enjin, transmisi dan suspensi.

Lebih menarik lagi, model 356 dibina selepas Ferry Porsche gagal menemui model dalam pasaran yang kena dengan jiwanya dan langsung membina sendiri kereta idamannya.

Berpuluh-puluh tahun kemudian, reka bentuk Porsche masih tetap sama. Cuma modifikasi dilakukan sedikit supaya ia kekal relevan dengan peredaran zaman. Tetapi model yang dipaparkan kali ini iaitu Cayenne Turbo S sungguh radikal.

Kekalkan identiti Porsche

Model SUV yang dikeluarkan pada tahun 2002 itu memecah tradisi Porsche yang sebelum ini hanya mengeluarkan kereta sport dua pintu. Walaupun badannya jauh lebih besar, namun Cayenne masih lagi mengekalkan identiti Porsche seperti aplikasi rekaan lampu utama, lampu belakang, bonet dan bampar.

Senang kata, sekali lalu orang boleh mengecam bahawa model itu adalah keluaran Porsche. Selain Cayenne, Porsche turut mengeluarkan sebuah lagi model yang lari daripada tradisi iaitu Panamera, sebuah sedan sport empat pintu.

Strategi yang langsung lari daripada tradisi bukanlah pelik dalam keadaan ekonomi tidak menentu demi survival memandangkan kehendak pelanggan adalah jauh lebih penting daripada ego pengeluar. Lagi pun, bukan semua orang kaya menyukai kereta sport dua pintu.

Berdasarkan kepada laporan agensi berita Newspress, pada tahun 2010 Porsche mengeluarkan Cayenne generasi kedua menerusi beberapa varian seperti Hybrid, Diesel, GTS dan Turbo.

Tidak cukup dengan itu, Porsche turut mengeluarkan model terkini dan paling berkuasa iaitu Turbo S yang memiliki kuasa mencecah 550hp. Dengan pakej kerangka, sistem pacuan empat roda dan kuasa enjin, model SUV tersebut lebih berprestasi berbanding mana-mana kereta sport yang ada dalam pasaran.

Model Turbo S mempunyai ekstra 50hp berbanding model Cayenne Turbo. Peningkatan tork daripada 700Nm kepada 750Nm diterjemahkan kepada kuasa pecutan dan kelajuan maksimum yang lebih tinggi.

Pecutan dari titik pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya mengambil masa 4.5 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 282km/j. Cayenne Turbo S dikonfigurasi dengan

terperinci bagi mencapai dinamik prestasi yang maksimum.

Justeru, model tersebut dipasang dengan sistem kawalan yang bersesuaian dengan prestasinya sebagai peralatan standard. Berkongsi dengan model Turbo, Cayenne Turbo S menggunakan komponen yang sama seperti supspensi dan kawalan PASM damping control.

Peralatan lain ialah Porsche Dynamic Chassis Control (PDCC) yang bertanggungjawab mengurangkan sudut olengan semasa di selekoh tajam, sekali gus memperbaiki kelincahan dan keselesaannya.

RUANG kabin menampilkan pakej warna merah dan hitam yang eksklusif.


Porsche Torque Vectoring Plus (PTV Plus) juga merupakan peralatan standard yang menggabungkan torque vectoring pada roda belakang dengan rear differential lock kawalan elektronik untuk meningkatkan aspek cengkaman, seterusnya menjadikan SUV itu lebih sedap dipandu dalam apa jua kondisi pemanduan.

Penampilan luaran Cayenne Turbo S amat jelas dalam memberi isyarat kuasa yang dimilikinya. Rekaan menonjol ialah gril yang mempunyai liang udara, perumah lampu utama dan cermin yang diwarnakan hitam berkilat.

Roda aluminium bersaiz mega iaitu 21 inci yang diberi nama 911 Turbo II pula direka khas untuk model Cayenne Turbo S. Pada bahagian dalaman, pereka Porsche telah memberi pakej warna dan corak yang segar khusus untuk model itu.

Kombinasi warna istimewa yang tersedia ialah kombinasi Black/Carrera Red atau Black/Luxor Beige. Pakej Interior Carbon pula menjadi pelengkap kepada tema warna merah tersebut untuk menambah lagi kemasan model tersebut.

Di United Kingdom, Cayenne Turbo S akan dipasarkan pada Januari 2013. Harga yang ditawarkan bermula dari £107,460 pound sterling atau kira-kira RM527,000 seunit.

Untuk pengetahuan anda, harga Cayenne Turbo di pasaran tempatan ialah RM970,000 manakala harga Cayenne Turbo S masih belum ditentukan. Agak-agaknya berapakah harganya nanti? Pasti melebihi takat harga RM1 juta.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved