Selasa, 30 Oktober 2012

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Mahu jadi pemilik terawal

Posted:

Mahu jadi pemilik terawal

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

SAMBIL menggalas sebuah beg di bahu, seorang lelaki pertengahan usia menjadi orang pertama yang beratur dalam satu barisan khas. Dirinya tenang menunggu sementelah di belakangnya terdapat puluhan lagi individu yang juga sabar berbaris.

Sesekali matanya melirik ke arah jam yang tersarung di tangan kanannya yang menunjukkan pukul 8.45 pagi. Itu bermakna, masih ada 1 jam 15 minit waktu yang perlu ditunggu sebelum pukul 10 pagi. Namun, riak wajahnya masih sama dan bersahaja seolah-olah berdiri di situ sejak pukul 7 pagi bukan satu masalah besar buatnya.

Sebaik pengacara majlis mengumumkan siri jelajah pertama Samsung Galaxy Note II di Malaysia yang berlangsung di Centre Court, pusat beli-belah MidValley dibuka kepada orang ramai, dia yang memegang kertas tertera nombor 1 segera ke kaunter.

Dalam masa beberapa minit, prosedur jual beli selesai dilaksanakan. Gajet canggih yang dijual pada harga RM2,299 seunit itu akhirnya berada di tangan Edison Liew sekali gus merupakan antara pelanggan terawal yang memilikinya dalam pasaran di negara ini.

"Sejak Samsung Galaxy Note II diperkenalkan di Berlin, Jerman bulan lalu, hati saya sudah tertawan dengan peranti ini. Saya amat teruja dengan skrin yang besar dan fungsi yang pelbagai apabila membaca tentang keistimewaan gajet ini di internet.

"Justeru, saya tidak mahu melepaskan peluang untuk menjadi antara individu terawal yang memiliki Galaxy Note II apabila ia dipasarkan di Malaysia.

"Kini, ia sudah berada di dalam genggaman saya. Saya tidak sabar untuk meneroka keupayaannya," ujar Edison yang merupakan Pengurus Sumber Manusia di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Selain itu, Edison bersama 100 pelanggan pertama telefon pintar tersebut turut menerima beberapa hadiah istimewa termasuk kit bateri tambahan telefon, pengecas bateri melalui komputer meja, kulit pelindung telefon boleh lipat dan baucar minuman Starbucks.

Ambil cuti

Bagi seorang pekerja swasta, Rasdan Rashid, 28, dia mengakui sanggup mengambil cuti untuk menyertai siri jelajah sulung itu sekali gus mendapatkan gajet tersebut.

Bagaimanapun, jelas Rasdan, itu merupakan pengalaman pertamanya beratur hampir tiga jam demi menjadi antara individu terawal memiliki produk berkenaan.

"Apabila mengetahui Galaxy Note II akan dilancarkan di Malaysia, saya sudah mula menyimpan sedikit wang untuk mendapatkannya. Ketika sampai di MidValley kira-kira pukul 7.15 pagi, saya ingat akan jadi orang pertama yang beratur. Rupa-rupanya sudah ada orang lain yang sampai dahulu.

"Tetapi tidak mengapa, kerana saya merupakan pelanggan kedua. Rasa seronok kerana dapat merasai pengalaman sebegini," jelas Rasdan yang menetap di Shah Alam dan keluar rumah pada pukul 6.45 pagi untuk ke Mid Valley.

KOMUNITI pencinta gajet canggih lazimnya mempunyai rangkaian kenalan terdiri daripada mereka yang memiliki minat serupa.


Apa yang pasti, Edison dan Rasdan antara contoh golongan yang obses terhadap gajet canggih. Mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuk berbaris panjang bagi mendapatkan produk idaman mereka.

Walaupun hakikatnya, mereka boleh sahaja membeli telefon yang mempunyai pelbagai ciri komputer tablet itu pada hari-hari biasa yang lain, namun itu bukan pilihan mereka.

Tukar setiap tahun

Sementara itu, minat yang mendalam terhadap gajet telekomunikasi canggih membuatkan Khairul Anuar Abdul Rahman, 33, sering bertukar-tukar telefon bimbit bagi mengetahui dan meneroka kehebatan peralatan tersebut.

Jika dihitung sejak mula memiliki telefon bimbit pada tahun 1996, konsultan teknologi dalam kejuruteraan pengurusan sistem itu mengakui sudah menukarnya sebanyak 18 kali manakala telefon pintar pertama yang dibeli ialah 02 XDA IIS pada 2004.

"Saya mula berjinak-jinak dengan gajet digital sekitar 10 tahun lalu, namun hanya serius sekitar tujuh tahun kebelakangan ini.

"Walaupun saya meminati gajet tetapi saya tidak pernah obses untuk memiliki setiap keluaran terkini. Ini kerana agak mustahil untuk mengejar kemajuan teknologi terutama evolusi gajet digital.

"Bagi saya, selagi saya boleh menggunakan aplikasi atau ciri yang terdapat pada sesuatu gajet itu tanpa sebarang kekangan, saya akan terus gunakannya," terangnya yang turut memiliki set radio amatur portable dan beberapa set walkie-talkie.

Kesan negatif

Bagi golongan yang obses pada gajet canggih, mereka mempunyai pelbagai alasan untuk memiliki rangkaian teknologi itu mengikut kapasiti dan keperluan masing-masing. Begitupun, ada sesetengahnya yang terlalu mengikut trend semasa hingga melampaui batas kemampuan sendiri.

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Khaidzir Ismail berkata, golongan yang bersifat obses terhadap sesuatu perkara biasanya banyak membawa kesan negatif pada diri mereka.

Ini termasuklah soal pembaziran dan rasa bangga diri yang wujud lantaran berjaya memiliki gajet-gajet tertentu berbanding orang lain yang tidak mampu untuk membelinya.

"Apa yang pasti terdapat dua ciri manusia yang obses. Pertama, untuk kepuasan dan rasa seronok, mereka sanggup beratur panjang atau menunggu sejak awal pagi agar menjadi antara individu terawal memilikinya.


ORANG ramai beratur dalam keadaan sabar sambil menanti giliran mereka tiba untuk urusan pembelian.


"Yang kedua pula golongan yang obses untuk mendapatkan barangan tersebut pada bila-bila masa yang mereka mahu selepas ia dilancarkan. Ini membuatkan mereka sanggup mengikat perut dan berjimat semata-mata untuk membeli barang yang diidamkan," tutur Khaidzir.

Tambah beliau, dalam aspek psikologi manusia, sifat obses sebenarnya berkait rapat dengan persekitaran yang pernah dilalui golongan terbabit ketika zaman kecil mereka.

Contohnya, anak-anak di peringkat prasekolah sudah mempunyai ciri-ciri dan sifat kepunyaan dalam diri apabila inginkan sesuatu.

"Namun, jika persekitaran tidak membantu atau dalam erti kata lain ibu bapa mungkin tidak mampu membeli barang yang dimahukan, apabila dewasa mereka pasti akan mengumpul duit untuk memilikinya," ungkapnya.

NX210 semudah kamera kompak

Posted:

NX210 semudah kamera kompak

MODEL kamera Samsung NX210 mudah untuk diterokai kerana mempunyai ciri yang pelbagai dan menarik.


MEMPUNYAI reka bentuk yang membolehkan pengguna memegangnya umpama sebuah kamera kompak, kamera Samsung, NX210 mampu merakam foto yang berkualiti.

Paparan AMOLED pada kamera itu memudahkan pengguna membuat komposisi gambar selain senang merakam dengan sudut yang berbeza.

Ciri Penangkapan Berkelajuan Tinggi NX210 meringkaskan kaedah imej dirakam dalam keadaan yang betul-betul fokus. Sistem AF dengan kadar berturutan untuk lapan bingkai setiap saat dapat menangkap gambar objek yang bergerak pantas tetapi masih dalam keadaan jelas.

Sistem iFunction 2.0 pula membolehkan tetapan kamera diubah dengan hanya menggunakan satu butang. Gelungan bacaan meter yang terletak pada lensa juga membolehkan pengguna mengawal parameter dengan menggunakan lensa itu sendiri.

Samsung NX210 juga mempunyai ciri ISO julat lebar yang membolehkan pengguna merakam gambar walaupun pada waktu malam. Julat NX210 sehingga 12,800 boleh mengurangkan noise dan kabur pada bawah lampu malap.

Model NX210 juga mempunyai keupayaan merakam gambar 3D Panorama. Jadi, pengguna hanya perlu memilih mod 3D bagi merakam gambar format tersebut dengan mudah

Satu lagi perkara menarik mengenai NX210 ialah ciri 'gambar berbunyi' yang dapat merakam audio selama 10 saat pada apa-apa gambar. Ia membolehkan mesej bergambar boleh menjadi lebih peribadi.

Pengembaraan penuh aksi

Posted:

Pengembaraan penuh aksi

Oleh MOHAMMAD RADZI ZOHRI

WAR yang merupakan salah seorang daripada Four Horsemen of The Apocalypse telah dijatuhkan hukuman matiakibat konspirasi.


HACK AND SLASH merupakan satu genre permainan video yang sangat diterima dalam kalangan masyarakat gamers. Permainan video God of War, Dante's Inferno dan Devil May Cry ialah antara contoh permainan video bergenre hack and slash.

Dibikin oleh Vigil Games dan diterbitkan oleh THQ, Darksiders II boleh didapati di pasaran bermula 13 Ogos lalu untuk platform PlayStation 3, XBOX 360 dan juga Microsoft Windows.

Permainan video Darksiders II ini juga telah dirancang untuk dibawa masuk ke platform Wii U pada hujung tahun 2012.

Plot

Tidak seperti jangkaan ramai komuniti gamer, Darksiders II bukan sambungan kepada siri sebelum ini iaitu Darksiders. Jika pemain pernah dan tamat bermain Darksiders, pemain pasti ingat bahawa watak utama siri iaitu War adalah salah seorang daripada kumpulan Four Horsemen of The Apocalypse, yang bertanggungjawab mengekalkan keseimbangan antara tiga dunia - dunia manusia, syurga dan neraka.

Namun, dalam Darksiders II, pemain akan mengawal Death, iaitu salah seorang daripada Four Horseman of The Apocalypse selain War, Strife dan Fury.

Selepas diarahkan untuk membunuh kaum mereka sendiri, iaitu Nephilim, War telah ditangkap dan dijatuhkan hukuman mati. Mengesyaki adik beliau menjadi mangsa konspirasi, Death mengingkari arahan Charred Council dan mengembara untuk mencari bukti.

Mekanisme permainan

Darksiders II secara asasnya adalah sebuah permainan video gabungan beberapa genre termasuklah hack and slash, action role-playing dan juga action-adventure. Dengan gabungan genre inilah Darksiders II berjaya mendahului permainan video lain dengan genre yang sama.

Dunia permainan adalah dunia terbuka dan pemain boleh sama ada berjalan kaki ataupun mengembara dengan menunggang kuda milik Death, iaitu Despair. Di Overworld, terdapat daerah yang boleh diterokai dengan lebih mendalam seterusnya membolehkan pemain untuk menjalankan misi utama ataupun misi sampingan.

Pemain juga mampu melompat masa (warp) ke beberapa lokasi tertentu di Overworld. Sepanjang permainan, pemain akan sentiasa diberi bantuan oleh Dust, iaitu seekor burung gagak yang akan menunjuk jalan kepada Death ke objektif seterusnya.

Senjata dan kemahiran

Death menggunakan sabit di kedua-dua belah tangan sebagai senjata. Sepanjang permainan pemain akan diberi experience dan setiap kali pemain menaiki peringkat seterusnya, poin kemahiran akan diberikan untuk meningkatkan ataupun mempelajari kemahiran baharu.

Death juga mempunyai senjata sampingan seperti tukul, kapak dan juga penumbuk. Setiap senjata mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Pemain digalakkan untuk menguji setiap senjata bagi menentukan senjata yang terbaik untuk stail mereka.

Di samping mengumpul experience point pemain juga boleh mengumpul stonebites, iaitu sejenis batu yang tersembunyi di sepanjang permainan. Dengan memperdagangkan stonebites dengan seorang karakter bernama Blackroot, pemain dapat meningkatkan status secara kekal.

Namun, pemain harus ingat bahawa apabila sudah memiliki tiga jenis stonebites, kombinasi yang berbeza diperlukan untuk setiap jenis statu Death.

Grafik

Darksiders II mempunyai grafik yang mantap dan boleh diterima. Walau bagaimanapun, grafik masih tidak setanding dengan permainan video seperti Final Fantasy XIII dan juga Uncharted 3, iaitu siri permainan video yang sering digunakan sebagai penanda aras untuk grafik di PlayStation 3.

Namun, grafik di platform PC masih di tangga teratas. Walaupun mekanisme permainan sedikit sebanyak seperti siri God of War, Darksiders II masih berjaya menarik minat ramai pemain.

Ini kerana Darksiders II mempunyai cara penyampaian yang lebih menarik atau mungkin ia memberi nafas baharu kepada genre hack and slash.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved