Isnin, 24 September 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Kucing teman akrab Annur

Posted:

Kucing teman akrab Annur

WANITA itu tekun melipat longgokan pakaian yang baru diambil daripada ampaian rumahnya yang terletak di Kampung Sungai Masin, Batang Kali, Kuala Kubu Baru, Selangor itu.

Lazimnya begitulah rutin yang dilakukan Rabiatul Adawiyah Lokman, 22. Setiap hari, selepas membantu ibunya, Mahanum Mat Shah, 51, yang mengusahakan perniagaan baulu di kampung itu, barulah dia mempunyai masa untuk melakukan kerja-kerja di rumah.

Bagaimanapun konsentrasi wanita yang lebih mesra dengan panggilan Annur itu sedikit terganggu dengan kehadiran dua 'anaknya'' menyelerakkan pakaian yang telah dilipat.

"Mok, Kiko...Janganlah main-main dekat sini, Annur kan tengah sibuk lipat pakaian," katanya lembut.

Seakan memahami kata-kata yang diucapkan, Mok dan Kiko menundukkan kepala sambil mendiamkan diri.

"Macam ini lah gelagat kedua-duanya. Pantang tengok orang senang, ada saja yang datang nak mengacau atau nak bermanja.

"Itu belum lagi dengan kehadiran Isabel, Bob dan Kecik yang keluar sejak dari tadi lagi. Jika semua berkumpul sekali di rumah, boleh pening kepala dibuatnya," tutur Annur tatkala menceritakan keletah kucing-kucing kesayangannya itu.

Anak ketiga daripada tujuh beradik itu berkata, sebelum ini dia tidak berminat membela kucing kerana adik bongsunya, Anis Nurulhuda, 10, mengalami alahan akibat penyakit asma.

"Memang ada kucing-kucing liar yang berkeliaran di luar rumah, tetapi ia hanya datang seketika untuk mencari makanan sahaja," katanya.

KELETAH nakal Mok sering mencuit hati Annur.


Perasaan tersentuh

Bagaimanapun, persepsinya terhadap haiwan yang menjadi kesayangan Rasullullah S.A.W itu berubah ketika berkunjung ke Pasar Awam Batang Kali pada tahun 2007.

"Ketika berjalan-jalan, saya terjumpa tiga ekor anak kucing yang berkeliaran mencari ibunya.

"Perasaan saya tersentuh tatkala melihat keadaan kucing yang kelaparan dan tidak terurus. Tanpa berfikir panjang, saya tekad membawa kesemua kucing itu pulang," ujarnya.

Bimbang perkara itu diketahui, dia cuba menyorokkan kucing-kucing itu di luar rumah.

"Lama-kelamaan ibu mengetahuinya, apa lagi, puas saya menahan telinga mendengar leteran. Jika mahu membela kucing, saya kena pastikan ia tidak membuang najis merata-rata atau merosakkan perabot," katanya.

Ujar Annur, selepas dilatih kucing-kucingnya mula pandai mendengar kata dan menyesuaikan diri biarpun dibiarkan bebas berkeliaran di dalam rumah.

Sejak itu, keluarganya mula menerima kehadiran kehadiran haiwan itu, lebih-lebih lagi selepas adiknya tidak lagi menunjukkan tanda-tanda alahan seperti sebelum ini. Daripada tiga ekor, jumlah kucing miliknya terus bertambah menjadi 18 ekor. Dalam tempoh seminggu, kata Annur, dia terpaksa menyediakan tiga kilogram makanan untuk kucing-kucingnya itu.

Jelas Annur, kucing bukan sekadar haiwan peliharaan semata-mata sebaliknya teman akrab dirinya tatkala berada dalam keadaan suka dan duka.


ANNUR sentiasa memastikan kucing-kucingnya sihat melalui pemakanan yang seimbang.


"Seperti manusia, kucing juga mempunyai perasaan. Mereka perlu dibelai dan dimanja setiap hari. Disebabkan itu, saya tidak kekok berdamping dengan kucing biarpun sehingga ke bilik tidur.

"Setiap kucing mempunyai perwatakan dan sifat-sifat yang tersendiri, namun saya paling sayang Kecik kerana sifatnya yang manja dan tidak mahu berdamping dengan orang lain kecuali saya.

Baru melangsungkan perkahwinan beberapa bulan lalu, Annur berkata, dia bertuah kerana suaminya, Mohd. Alif Haikal, 22, juga seorang peminat kucing seperti dirinya.

"Setakat ini tidak ada masalah, kami saling bekerjasama menguruskannya, lagi pun jumlah kucing hanya tinggal lima ekor sahaja kerana ada yang mati, hilang atau diberi kepada saudara-mara. Kata Annur, dia tidak menyangka hobi membela kucing menjadi inspirasi kepada Ahmad Nazri Mahmood, 38, seorang pelukis dan animator bebas untuk diadaptasi ke dalam komiknya yang bertajuk, Annur dan Meow.

Katanya, dia mengenali Ahmad Nazri yang merupakan salah seorang kenalan abangnya, Muhammad Ammar, 25.

Selepas Ahmad Nazri berhenti kerja dan berhijrah ke Kuala Lumpur untuk meneruskan cita-citanya dalam bidang animasi, mereka masih tetap berhubung seperti biasa.

"Abang Nazri ada bercerita tentang hasratnya untuk menghasilkan komik tulisan jawi, secara berseloroh saya memintanya membuat kisah mengenai dirinya dan kucing-kucingnya itu," ujarnya yang sudah menganggap Ahmad Nazri sebagai abang kandung sendiri.

Tanpa diduga, komik itu telah mendapat sambutan yang luar biasa daripada peminat-peminat komik tempatan. Kata Annur, dia sendiri tidak percaya apabila diberitahu bahawa komik itu dibaca lebih 2,000 pembaca kurang sebulan ia dimuat naik di laman sosial Facebook.


SETIAP hari masa Annur dihabiskan dengan membantu ibunya mengusahakan pernigaaan baulu.


Di belakang tabir

"Ada kisah yang memaparkan pengalaman saya sendiri, ada juga yang berdasarkan imaginasi Abang Nazri, namun apa yang penting populariti komik itu sedikit sebanyak telah menarik golongan muda untuk mendekati tulisan jawi.

"Biarpun hanya popular di belakang tabir, saya tidak kisah, apa yang penting saya dapat berkongsi pengalaman dengan peminat-peminat kucing di luar sana," jelasnya.

Sementara itu, Ahmad Nazri pula berkata, hasrat untuk menerbitkan komik tulisan itu jawi itu bermula selepas terbaca artikel mengenai kisah seorang seorang profesor dari Korea Selatan, Prof. Dr. Kang Kyoung Seok yang begitu obses terhadap tulisan berkenaan.

"Saya kagum dengan usaha yang dilakukan beliau dalam memartabatkan tulisan jawi di negara ini, jika orang luar boleh menghargai warisan bangsa Melayu ini, mengapa tidak saya mengetengahkannya melalui bakat yang ada.

"Lagi pun komik merupakan medium paling dekat dengan masyarakat tanpa mengira usia, bangsa dan jantina, seperti yang pernah dilakukan oleh Raja Kartun Malaysia, Rejabhad melalui karya-karyanya suatu ketika dahulu," kata Pengarah Urusan Frame to Frame Production Sdn. Bhd. itu.

Lebih 4,500 ikuti kisah Annur dan Meow

Posted:

Lebih 4,500 ikuti kisah Annur dan Meow


PROSES lakaran komik Annur dan Meow dilakukan dengan menggunakan peralatan khas.


BERPENGALAMAN luas sebagai animator termasuk terlibat di dalam pembikinan siri animasi popular seperti Usop Sontorian, Yokies, Alif dan Fruities, Ahmad Nazri Mahmood berusaha keras merealisasikan impiannya itu.

Menggunakan media baharu seperti Facebook untuk mengetengahkan karyanya itu, pada peringkat awal Ahmad Nazri mengakui menghadapi masalah untuk mencari watak dan jalan cerita yang sesuai dengan komiknya itu.

"Saya mencipta lebih 10 watak komik sebelum ini sebelum ia dimuat naik di dalam akaun Facebook milik saya. Ada kisah wanita muslimah, ada kisah pekerja di pejabat, pelajar universiti dan sebagainya.

"Bagaimanapun, ia tidak mendapat sambutan yang diharapkan dan tidak banyak komen diterima," katanya. Biarpun begitu, dia tidak mengalah. Akhirnya, selepas beberapa kali mencuba dia tampil dengan komik Annur dan Meow yang disiarkan sejak Jun lalu.

Katanya, dia memilih Annur untuk menjadi watak penting kerana gadis itu seorang yang lemah-lembut dan sopan dalam tutur caranya.

Bagi menambah elemen humor di dalam komik itu, dia mencipta watak Meow dan Afi sebagai pelengkap jalan cerita.

PENGALAMAN luas dalam bidang animasi mendorong Ahmad Nazri membuka produksi animasi sendiri di Subang Jaya.


"Kebetulan saya memang mengenali diri Annur dan keluarganya sejak dahulu lagi, secara tidak langsung ia memudahkan saya memahami dan menyelami kesemua watak-watak yang berada di dalamnya," katanya.

Ujarnya, sebaik sahaja tersiar di Facebook, komik itu terus mendapat komen-komen positif daripada pembaca. Malah ia juga turut popular dalam kalangan pemilik-pemilik blog di negara ini.

Komen positif

Kekuatan komik itu, katanya terletak kepada tiga teraju utamanya iaitu Annur, Meow dan Afi.

"Konsep komik yang santai dan menekankan elemen Islamik, kekeluargaan dan humor itu juga menyebabkan ia pantas menarik perhatian bukan sahaja si kecil malah peminat-peminat kucing di negara ini.

"Apa yang membanggakan saya, komik ini juga turut dijadikan bahan dalam kalangan guru-guru agama yang mengajar subjek Jawi di sekolah.

"Saya turut difahamkan, ia bukan sekadar diminati kaum Melayu sahaja, tetapi juga kaum-kaum lain seperti Cina dan India," jelasnya yang memberitahu

Senarai peminat komik itu di akaun Facebook miliknya kini mencecah lebih 4,500 orang.


AHMAD Nazri mahu menggunakan bakatnya untuk memartabatkan tulisan jawi di negara ini.


Katanya, berikutan sambutan yang memberangsangkan itu, dia bercadang untuk menerbitkan komik Annur dan Meow pada masa hadapan.

"Setakat ini, sebanyak 70 muka surat komik telah dimuat naik di laman itu sementara sebanyak 50 muka surat lagi telah pun siap untuk dimuatkan di dalam komik itu nanti.

"Kini saya sedang giat menghasilkan siri kedua komik tersebut, di mana ia masih mengekalkan watak dan jalan cerita yang sama seperti sebelum ini," katanya yang turut mencipta Fan Page Annur dan Meow di Facebook, khusus untuk peminat-peminat komik itu.

Katanya, dia berharap lebih ramai pelukis dan animator lain yang bakal mengikut jejak langkahnya bagi memastikan tulisan jawi tidak pupus ditelan zaman.

"Sebelum ini pun saya jarang menggunakan tulisan jawi dalam kehidupan harian. Melalui komik ini, secara tidak langsung ia berjaya mengasah semula kemahiran saya selepas sekian lama meninggalkannya sejak zaman sekolah lagi," jelasnya. Kepada mereka yang ingin mengikuti kisah Annur dan Meow boleh melayari annurmeow.blogspot.com atau www.facebook.com/AnNurMeow.

Facebook medium sebarkan jawi

Posted:

Facebook medium sebarkan jawi

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA

USAHA memartabatkan tulisan jawi seharusnya bermula sejak kanak-kanak lagi.


TULISAN jawi merupakan satu seni penulisan yang wujud berabad-abad lamanya di Nusantara. Kemunculannya berkait secara langsung dengan kehadiran orang Arab yang menjalankan aktiviti perniagaan di samping menyebarkan dakwah Islam di rantau ini.

Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, antara kesan penyebaran dakwah ini ialah penggunaan huruf-huruf Arab sebagai medium untuk berkomunikasi yang kini dikenali dengan nama tulisan jawi.

"Abjad jawi diambil dari abjad Arab bermaksud Jawah. Jawi merupakan istilah yang digunakan pedagang Arab ketika itu untuk mengenali alam Melayu dan penduduknya," katanya.

Tambah Ramlah, tulisan jawi telah berkembang sejak zaman kerajaan Melayu silam bermula dari kerajaan Islam Pasai kemudian disebarkan ke kerajaan Melayu Melaka, kerajaan Melayu Johor dan Aceh pada kurun ke-17.

"Biarpun tidak terdapat tarikh jelas mengenai kehadiran tulisan jawi ke Tanah Melayu, namun ia dipercayai telah bertapak sejak kurun ke-13, melalui penemuan Batu Bersurat di Terengganu," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Kegemilangan tulisan jawi

Pada zaman dahulu, tulisan jawi memainkan peranan penting dalam masyarakat. Ia digunakan sebagai perantara dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat dan perdagangan.

"Tulisan jawi turut digunakan pada perjanjian penting antara Raja-Raja Melayu dengan penjajah Portugis, Belanda dan Inggeris.

"Kegemilangannya menyebabkan ia tersebar ke seluruh dunia. Ia dapat dibuktikan melalui penemuan surat-surat Sultan Iskandar Muda dari Aceh kepada Raja James I dari England pada tahun 1615 dan surat daripada Sultan Abdul Jalil IV dari Johor kepada Raja Louis XV dari Perancis pada tahun 1719," katanya.

Bagaimanapun, kehadiran penjajah Inggeris yang memperkenalkan tulisan rumi pada akhir abad ke-19 menyebabkan tulisan jawi semakin terhakis di Tanah Melayu.

Pembukaan sekolah-sekolah varnikular yang berteraskan bahasa ibunda secara tidak langsung telah meminggirkan tulisan jawi dalam sistem pendidikan negara ketika itu.


TULISAN jawi merupakan khazanah dan warisan unik kepada bangsa, identiti dan tamadun masyarakat Melayu.


"Ia adalah agenda halus Inggeris untuk mengurangkan rasa taksub orang Melayu terhadap agama Islam di samping menghapuskan warisan Melayu itu secara perlahan-lahan.

"Keadaan itu diburukkan lagi dengan sikap segelintir kaum Melayu sendiri yang memandang rendah terhadap tulisan jawi. Akibatnya kemahiran membaca, menulis dan memahami tulisan jawi semakin terhakis daripada generasi ke generasi," ujarnya.

Menyedari nasib tulisan jawi yang semakin kelam, beliau menyokong mana-mana pihak yang mahu mengangkat dan memperjuangkan warisan Melayu itu khususnya melalui media baharu seperti Facebook.

"Tidak semestinya bahan ilmiah, menerusi komik atau kartun tulisan jawi juga kita mampu menarik minat generasi muda untuk mengetahui keunikan dan mempelajari tulisan jawi," katanya.

Sementara itu, seorang pencinta tulisan jawi, Ujud Sindut, 54, berkata, generasi muda kini tidak menyedari betapa bertuahnya mereka memiliki sebuah warisan unik yang menjadi identiti dan penyambung legasi bangsa.

"Tulisan jawi sinonim dengan al-Quran, apabila mereka terbiasa dengan tulisan jawi ini akan memudahkan pengenalan kepada pembacaan al-Quran.

"Khazanah tulisan jawi perlu diangkat semula kerana ia sebahagian daripada warisan sejarah Melayu," ujarnya.

Berpengalaman luas dalam memperkembangkan sistem pembelajaran tulisan jawi sejak 32 tahun lalu, Ujud memberitahu, kaedah terbaik untuk memartabatkan semula tulisan itu ialah melalui transformasi di dalam sistem sedia ada.

Berdasarkan kajiannya, terdapat 30 hingga 35 peratus pelajar gagal menguasai tulisan jawi.

Masalah serius

Antara kelemahan-kelemahan yang dikesan ialah ketidakmampuan mengenal huruf jawi, tidak memahami suku kata terbuka dan suku kata tertutup serta menguasai tradisi tulisan itu.

"Ia masalah serius dan perlu ditangani segera oleh pihak-pihak yang terlibat di kementerian. Dalam kalangan guru pula mereka bukan sahaja perlu mahir tetapi kreatif dalam mempelbagaikan kaedah pengajaran. Hanya dengan ini masalah tulisan jawi dapat disuburkan dalam jiwa para pelajar kita," katanya.

Bagi mengatasi masalah ketirisan tulisan jawi itu, beliau telah mencipta kaedah Wujudi pada tahun 2006 iaitu teknik pembelajaran jawi yang pantas dan berkesan berdasarkan sistem gambar dan bunyi.

"Setakat ini ia menunjukkan kejayaan yang membanggakan. Pelajar-pelajar yang bermasalah mempelajari tulisan jawi akhirnya mahir dan berjaya menunjukkan prestasi memberangsangkan selepas mengikutinya.

"Saya turut menghasilkan buku bertajuk, Pemulihan, Pengayaan dan Pengajaran Jawi Kaedah Wujudi yang dilancarkan tahun lalu," ujarnya yang aktif mengadakan bengkel pembelajaran tulisan jawi di seluruh negara.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved