Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Hutan tanpa tanahMENAKJUBKAN. Itu ungkapan yang paling sesuai untuk menggambarkan keunikan dan kekayaan alam di Taman Negara Bako, Sarawak. Terletak 37 kilometer dari bandar raya Kuching, hutan ini diwartakan sebagai taman negara pada tahun 1957 iaitu tahun yang sama negara mencapai kemerdekaan 55 tahun lalu. Jaraknya yang tidak terlalu jauh dari pusat bandar raya menjadikannya lokasi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara. Setiap tahun, dianggarkan antara 40,000 hingga 45,000 pelancong melawat taman negara ini. Bagi penulis pula, ini merupakan kali kedua berkunjung ke situ. Kesempatan yang ada dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjelajah bahagian yang belum diterokai lagi. Babi hutan Ditemani jurufoto, Fairuz Izyana Ayub dan pemandu pelancong yang mesra dengan panggilan Lenjoe, kami bergerak dari Kuching menuju ke Taman Negara Bako seawal pukul 7 pagi selepas masing-masing mengalas perut dengan mi sapi dan air teh cina, juadah sarapan yang menjadi kemestian di Bumi Kenyalang. Sebaik sahaja sampai di Jeti Taman Negara Bako di Kampung Bako, kelihatan sudah ramai pelancong yang sedang beratur untuk menaiki bot. Menurut Lenjoe, perjalanan menaiki bot mengambil masa lebih kurang 20 minit. "Nampak tak papan tanda amaran buaya itu? "Di sungai ini memang banyak buaya, tetapi jangan risau, ia tidak mengganggu bot. Kalau bernasib baik, kita boleh lihat buaya berjemur di tebing sungai nanti," ujar Lenjoe, lelaki berketurunan Bidayuh ini. Beberapa minit selepas bot meninggalkan jeti, muara sungai semakin lama semakin melebar. Air sungai yang keruh mula ditinggalkan. Begitupun, pemandangan yang sama masih kelihatan, iaitu rimbuan pokok bakau dengan akar berceracak yang menjadi pemegang tebing di kiri dan kanan sungai. Jelas Lenjoe, istilah Bako yang menjadi identiti kawasan tersebut turut berasal daripada pokok bakau yang ada di kawasan itu. "Orang Sarawak menyebut bakau sebagai 'bako'. Semasa penempatan pinggir laut ini mula dibuka ratusan tahun dahulu, pokok bakau memang banyak ditemui di sini," ujarnya. Selain pokok bakau, pandangan mata pastinya tidak lari daripada melihat pancang-pancang kayu yang ditanam sama ada hampir dengan tebing sungai mahupun di tengah-tengah muara yang semakin melebar. "Itu kawasan memukat udang. Setiap pancangan kayu itu ada tuannya sendiri. Kalau nak tahu, selain belacan Bintulu, belacan Bako juga terkenal di Sarawak," ujar Lenjoe yang merupakan penggemar belacan Bako. FORMASI bukit batu yang menarik ini dikatakan berada di dasar laut jutaan tahun lalu. Terkecil Selepas 20 minit dilambung ombak, dataran kelabu Taman Negara Bako mula kelihatan. Untuk sampai ke destinasi, pengunjung perlu meranduk air separas lutut sebelum merentasi dataran kelabu yang terbentuk daripada padatan butiran pasir halus selama lebih kurang 15 minit. "Berjalan di dataran pasir ini adalah pengalaman yang cukup mengujakan apatah lagi pemandangan di sini sangat menarik. Lihat sahaja cenuram bukit batu yang menghijau di sebelah kiri anda. Ia sungguh menakjubkan. "Saya kira ini adalah permulaan yang baik untuk pengembaraan saya," ujar Ian Wedrick, seorang pelancong solo berusia 63 tahun dari New Zealand. Tiba sahaja di pekarangan ibu pejabat Taman Negara Bako, sambutan ucapan selamat datang yang diterima para pengunjung juga sangat unik, malah mungkin ia hanya boleh ditemui di sini. Jika anda membayangkan tarian gemalai daripada barisan penari jelita yang diiringi alunan merdu petikan sapeh, bayangan itu silap sama sekali kerana satu-satunya penyambut tetamu yang tidak pernah jemu mengalu-alukan kedatangan anda ke taman negara ini ialah babi hutan. Menurut Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Perhutanan Sarawak (Kawasan Perlindungan Bahagian Pemuliharaan dan Biodiversiti), Oswald Braken Tisen, bilangan babi hutan di Taman Negara Bako memang banyak. "Di sini kami amalkan konsep mesra alam, mesra haiwan. Sungguhpun bilangannya banyak, babi hutan tidak suka bercampur dengan manusia. "Hanya tiga empat ekor yang suka muncul di khalayak umum seperti yang anda lihat hari ini. Ia juga sudah jinak dan tidak pernah menyerang manusia. Jika ada pengunjung yang kurang selesa, mereka boleh menghalaunya," ujar Oswald. Beliau menjelaskan, taman negara tersebut merupakan yang tertua di Sarawak. "Mempunyai keluasan 27 kilometer persegi, ia adalah taman negara terkecil di Asia Tenggara. Sungguhpun saiznya kecil, hampir keseluruhan spesies flora di Kepulauan Borneo yang merangkumi Sarawak dan Sabah, Malaysia serta wilayah Kalimantan, Indonesia, boleh ditemui di sini," katanya.
Bukit dalam laut Selain itu, jelas Oswald, taman tersebut turut merekodkan 316 spesies tumbuhan, 22 spesies burung, 24 spesies haiwan reptilia dan binatang berdarah sejuk, 57 spesies mamalia termasuk monyet proboskis atau monyet belanda. "Kalau bernasib baik, anda boleh terserempak dengan ikan lumba-lumba di perairan taman negara ini," ujarnya. Tidak hanya itu, banyak lagi haiwan lain yang boleh ditemui di taman ini termasuklah biawak, memerang dan tupai. "Keunikan lain di Taman Negara Bako, ia mempunyai tujuh ekosistem lengkap iaitu tumbuhan pantai, tumbuhan cenuram, hutan kerangas, hutan bakau, hutan diteroka campuran, padang rumput dan hutan paya gambut. "Kepelbagaian biologi seperti ini membuktikan kekayaan yang terdapat di taman ini," ujarnya. Menyediakan jumlah trek yang banyak, Taman Negara Bako memudahkan penjelajahan denai dengan memberi rundingan dan panduan serta membekalkan peta trek secara percuma di ibu pejabat taman negara yang terletak di Teluk Assam. Trek terpanjang di taman ini ialah sejauh 10.5 kilometer yang menuju ke Tanjung Kruin manakala yang paling pendek merupakan trek ke Tanjung Sapi dengan jarak 800 meter. Mengambil keputusan untuk menyusuri trek menunju Telok Pandan Kecil sepanjang 2.5 kilometer, laluan yang ditanda dengan cat kuning ini tidak kurang mencabarnya. Berjalan di atas pelantar kayu yang didirikan di kawasan hutan bakau, trek akan melewati kawasan hutan yang muka buminya agak mencanak dan dipenuhi akar pokok, batu dan pasir. Penjelajahan diteruskan dengan mendaki bukit setinggi 500 meter dari aras laut. Ketahanan fizikal teruji apabila terpaksa menempuh laluan berbukit sejauh kira-kira 1.3 kilometer. "Tahu tak anda sedang berjalan di atas apa sekarang?" tanya Lenjoe. "Pastinya tanah berbukit," jawab saya. "Anda salah. Apa yang kita daki dari tadi bukanlah tanah, sebaliknya campuran batu, pasir, daun-daun kering dan akar-akar kayu yang berselirat. "Kalau tak percaya, cuba hentakkan kaki. Permukaannya lembut seperti span bukan?" "Memandangkan kawasan ini dipenuhi pasir, daun-daun kering dan akar-akar kayu, andainya taman negara ini terbakar, hutan ini memerlukan 1,000 tahun lagi untuk jadi seperti sekarang," katanya. PERJALANAN menaiki bot dari Kampung Bako mengambil masa 20 minit untuk sampai ke Taman Negara Bako. Penjelasan lelaki yang sudah berbelas tahun menjadi pemandu pelancong ini menambah keterujaan kami untuk terus mendaki walaupun ketika itu nafas sudah mula mengah. Tiba di kawasan bukit batu, Lenjoe memberitahu, 100 juta tahun lalu, batu itu letaknya di dalam laut. "Ia dapat dibuktikan dengan tanda hakisan yang memanjang ini. Hampir setiap inci permukaan bukit ini mempunyai tanda hakisan yang sama. "Mengikut kajian, batu bukit ini mengandungi batu, silika dan ferrous oksida. Kalau nak tahu, pada zaman dahulu, orang menjadikan ferrous oksida ini sebagai senjata," ujarnya lagi. | ||
Posted: Manusia kebal bukan karutOleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM TRICHAN mengambil ayam goreng daripada minyak bersuhu 480 darjah Celcius dengan tangan. MANUSIA secara semula jadi akan cedera bahkan boleh terbunuh jika badannya ditusuk benda tajam seperti pisau atau ditembak dengan senjata api. Jarang sekali ada orang yang bertubuh kebal. Bagaimanapun, cerita manusia kebal popular di seluruh dunia. Pada tahun 2008, daerah Gorontalo di Indonesia gempar dengan kelibat seorang lelaki yang digelar Tarzan kerana tidak lut peluru. Kejadian itu bermula selepas Tarzan membunuh seorang anggota polis yang datang ke rumahnya bersama seorang orang kampung untuk menagih hutang wang yang dipinjamnya. Sebagai tindak balas, sepasukan anggota polis menyerbu rumah Tarzan dan melepaskan 107 tembakan yang mengenai tubuh lelaki pelik itu. Anehnya, peluru itu langsung tidak mencederakan Tarzan. Pihak polis yang terkejut dengan kejadian itu buntu. Kemudian, seorang jiran Tarzan memberitahu bahawa kekebalan lelaki itu terletak pada sebentuk cincin yang dipakai di jari kanannya. Berdasarkan maklumat itu, pihak polis menyasarkan tembakan ke arah cincin itu hingga ia terlucut dan akhirnya membolehkan peluru menembusi tubuh lelaki itu. Kadangkala manusia bukan sahaja tidak lut senjata tajam malah kebal daripada arus elektrik dan minyak panas. Di Indonesia juga, seorang lelaki yang digelar Manusia Elektrik, Suparlan, 59, 'kebal' daripada arus elektrik sejak kecil lagi. Dia yang mempunyai sembilan anak dan 12 cucu berkata, rasa terkena kejutan elektrik sama seperti digigit semut. "Sekiranya sakit badan atau lenguh, memegang kabel yang mengandungi arus elektrik boleh membuatkan tubuh saya menjadi segar," katanya yang bekerja sebagai juruelektrik di sebuah syarikat tenaga di negara itu. Di Chiang Mai, Thailand, Kann Trichan, 50, selamba mencelupkan tangannya ke dalam minyak panas. Trichan ialah pemilik sebuah kedai makan yang menyediakan menu ayam goreng. Setiap kali menggoreng ayam, lelaki itu mencelupkan tangannya ke dalam kuali untuk mengambil ketulan ayam yang telah masak. Peliknya, tangan Trichan tidak pernah melecur. Kebolehan luar biasa itu menyebabkan ramai orang berkunjung ke kedainya. Otot Trichan menyedari kemampuan uniknya itu semasa berusia tujuh tahun ketika dia menjual makanan di bawah sebatang pohon mangga. Tanpa diduga, seekor tupai menjatuhkan sebiji mangga ke dalam kuali minyak panas hingga minyak itu terpercik mengenai sebahagian besar tubuh Trichan. "Saya fikir akan cedera parah tetapi tiada apa yang berlaku," kenangnya. Kemampuan Trichan mendapat pengiktirafan Guiness Book of Records sebagai lelaki yang paling pantas mengambil ayam goreng dalam minyak bersuhu 480 Celcius dengan tangan iaitu sebanyak 20 ketul dalam tempoh seminit. Berdasarkan ilmu fizik, kemampuan Trichan disebabkan kesan Leidenfrost iaitu fenomena pembentukan lapisan tipis pada cairan (atau kulit) untuk mencegah pertukaran suhu. Tindak balas kimia ini terjadi secara spontan ketika cairan panas bersentuhan dengan kulit manusia walaupun pada suhu yang ekstrem. Menurut Ketua Unit Jabatan Anatomi, Fakulti Kesihatan dan Perubatan, Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohamad Aris Mohd. Moklas, tiada istilah kebal dalam bidang sains. Ini kerana lapisan kulit manusia hanya mempunyai tisu yang lembut. Beliau menyangkal dakwaan bahawa tubuh manusia mengandungi besi tetapi bersetuju jika badan manusia mempunyai zat besi dalam bentuk terampai. "Kebal mungkin dikaitkan dengan keadaan tubuh seseorang. Jika badannya berotot pejal maka potensi untuk dia luka lebih kecil," terang beliau. Lemak dalam badan turut menjadi faktor. Kata Aris, seseorang yang berotot, kurang lemak dalam tubuhnya. "Lemak yang wujud di bawah kulit membuatkan badan seseorang lebih lembut dan potensi untuk luka lebih tinggi. "Sama seperti beberapa individu yang berjalan di atas api, bukan disebabkan dia kebal tetapi kulit tapak kaki manusia sebenarnya lebih tebal berbanding kulit di bahagian lain," ujarnya. Tutur Aris, kepantasan seseorang berjalan di atas kaca pula membantu mengelakkannya daripada mendapat luka yang parah. Namun, beliau menghormati pandangan yang mengatakan manusia boleh menjadi kebal kerana katanya, setiap kejadian pasti ada rahsia di sebaliknya. | ||
Kisah mayat berjalan di Sulawesi Posted: Kisah mayat berjalan di SulawesiOleh SITI NOR AFZAN KASIMAN SIAP dengan persalinan baharu, mayat akan menerima tunduk hormat daripada ahli keluarganya. INDONESIA yang dihuni pelbagai etnik sememangnya terkenal dengan upacara berunsur mistik. Antara adat unik tersebut ialah ritual 'mayat berjalan' yang dipanggil ma'nene yang masih diamalkan oleh etnik Baruppu yang mendiami Tana Toraja di Sulawesi Selatan. Etnik pribumi yang mendiami kawasan Pergunungan Sesean ini menganggap semangat ahli keluarga yang telah mati akan kekal bersama ahli keluarga yang masih hidup. Lantaran itu, mereka sangat menghormati mayat. Menurut ketua masyarakat Baruppu, Pongtiku, ma'nene merupakan ritual khas untuk memuliakan mayat dan mengenang jasa si mati. Ia diadakan setiap tiga tahun sekali. "Waris si mati akan menurunkan keranda ahli keluarga mereka dan menjalankan beberapa ritual khusus tanda memuliakan mayat. "Mayat kemudiannya dibersihkan, dibawa berjalan pulang ke rumah dan dipakaikan pakaian baharu," katanya. Upacara ma'nene dipercayai mula diamalkan ratusan tahun dahulu oleh seorang pemburu binatang bernama Pong Rumasek. "Satu hari, ketika Pong berburu di hutan tebal, dia terjumpa dengan rangka mayat. Oleh kerana simpati dengan keadaan mayat yang tidak terurus, dia membungkus mayat tersebut dengan baju yang dipakainya. "Selepas itu, mayat itu diletakkan di tempat yang lebih sesuai. "Sejak itu, rezeki Pong melimpah-ruah. Setiap kali keluar berburu, dia tidak pernah pulang dengan tangan kosong, malah hasil tanamannya semakin menjadi. "Pong juga dikatakan sering ditunjukkan di mana tempat persembunyian haiwan buruan oleh mayat yang pernah dibantunya itu. "Sejak itu, Pong beranggapan, mayat yang sudah tinggal tulang-belulang juga perlu dimuliakan dan itu adalah amanatnya yang menjadi pegangan kaum Baruppu hingga ke hari ini," jelas Pongtiku. Bagi waris yang mahu melakukan upacara ma'nene, persiapan dilakukan sejak awal pagi lagi. Seperti Tumonglo, seluruh ahli keluarganya akan berkumpul di rumah sehari sebelum ma'nene untuk membuat persiapan. "Sebelum mayat dibawa pulang ke rumah, kami perlu menyembelih kerbau dan babi terlebih dulu. "Upacara ini diraikan bukan sahaja sesama keluarga tetapi dengan seluruh penduduk kampung," ujarnya. Jelas Tumonglo lagi, walaupun ada dalam kalangan ahli keluarganya sudah memeluk agama Kristian, mereka masih kuat berpegang kepada adat Baruppu. "Mereka tetap hadir untuk menghormati upacara ini. Walaupun tidak terlibat secara langsung, sekurang-kurangnya mereka masih datang untuk meraikan ahli keluarga yang telah meninggal dunia," katanya. Selesai menyembelih kerbau dan babi pada awal pagi, sebahagian besar ahli keluarga akan pergi ke kawasan perkuburan di tebing gunung batu Tunuan bagi menunggu keranda milik datuk Tumonglo yang meninggal dunia tahun lalu dibawa turun. "Kerja menurunkan keranda dilakukan secara berhati-hati bagi mengelakkannya daripada terjatuh. Sebarang kecuaian boleh merosakkan keadaan mayat di dalamnya, " ujar lelaki ini. MAYAT yang telah diberi persalinan baharu akan disimpan semula di liang batu. Sementara itu, di bawah tebing kubur, waris-waris lelaki akan berganding tangan membentuk bulatan sambil meratib ma'bong bagi mengiringi keranda yang diturunkan. "Ma'bong adalah satu lagu yang melambangkan ratapan sedih ahli keluarga yang ditinggalkan si mati. "Bait-bait liriknya juga memberi semangat kepada waris yang masih hidup untuk lebih bersemangat selepas ketiadaan si mati," katanya. Sebaik sahaja keranda kusam berbungkus kain merah itu mencecah papan pelantar, jasad mayat datuk Tumonglo dikeluarkan. "Sebaik sahaja dikeluarkan, mayat akan diletakkan dalam posisi berdiri sebelum dibawa berjalan pulang ke rumah. "Sesampainya di rumah, rangka akan dibersihkan menggunakan berus halus. "Dalam upacara ma'nene, waris mesti memastikan mayat tidak mencecah tanah dalam apa keadaan sekali pun. Itu pantang larangnya. "Apabila mayat sudah bersih, pakaiannya digantikan dengan persalinan baharu. Tahun ini, saya memilih kemeja batik serta sepasang sut berwarna hitam untuk datuk. "Selepas semuanya selesai, mayat akan terus dibiarkan berdiri. Jika si mati itu adalah orang tua, anak-anak akan pergi kepadanya dan memberi tunduk hormat. "Jika si mati masih mempunyai ibu bapa, mayat akan dibawa berjalan untuk menghadap orang tuanya bagi mendapatkan sembah restu dan memohon doa," katanya lagi. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan