Rabu, 29 Ogos 2012

Kosmo Online - Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Wanita enggan lepas beg ditetak

Posted:

Wanita enggan lepas beg ditetak

Oleh MOHD. ZUHARMAN
MOHAMAD NOR
berita@kosmo.com.my

ORANG ramai membantu Rohairani yang cedera teruk di tangan kiri akibat ditetak peragut di Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Seorang wanita ditimpa malang apabila pergelangan tangan kirinya hampir putus akibat ditetak penjenayah ketika dia berusaha menyelamatkan beg tangannya daripada diragut di hadapan sebuah pusat jualan tudung di Jalan Sultanah Zainab di sini semalam.

Kejadian pada pukul 1.20 petang itu berlaku ketika mangsa Rohairani Abdullah, 36, yang bekerja sebagai pembantu di sebuah klinik di sini baru keluar dari kereta untuk ke kedai tudung.

Ketika ibu kepada dua orang anak itu berjalan ke kedai tudung, beg tangannya tiba-tiba diragut seorang lelaki sebelum penjenayah itu menetak bertubi-tubi tangan mangsa yang enggan melepaskan beg tersebut.

Seorang penjual tudung, Hidayah Daud, 21, yang menyaksikan kejadian itu berkata, dia melihat peragut itu cuba menarik beg tangan mangsa manakala seorang lagi lelaki menunggu di atas motosikal Honda EX5 di tepi jalan kira-kira 20 meter dari tempat wanita itu diragut.

Kejadian tersebut berlaku di tepi kedainya dan tindakan mangsa yang enggan melepaskan beg tangannya menyebabkan mangsa ditarik kira-kira tiga meter dari lokasi mula-mula mangsa diragut.

"Tindakan mangsa tidak melepaskan beg tangannya menyebabkan peragut itu marah lalu menetak tangan mangsa lebih tujuh kali," kata saksi itu.

Menurut gadis itu, kejadian selama tiga minit itu menyebabkan orang ramai yang lalu lalang tergamam, panik dan hanya mampu menjerit kerana takut melihat tindakan kejam penjenayah itu.

"Peragut yang berputus asa kemudian meninggalkan wanita itu tanpa dapat meragut beg tangan mangsa," kata Hidayah sambil memberitahu dia juga takut untuk membantu mangsa kerana penjenayah itu bersenjatakan parang.

Ekoran kejadian itu, kawasan tersebut dipenuhi darah yang meleleh daripada tangan mangsa yang cedera.

Katanya, kira-kira 15 minit kemudian ambulans tiba untuk membawa mangsa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) dekat sini bagi mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

Menurut beliau, mangsa mengalami kecederaan serius iaitu ada antara luka tersebut sedalam 38 sentimeter manakala urat pergelangan tangan kiri mangsa juga putus.

Sehingga malam tadi peragut berhati haiwan itu belum ditangkap manakala kecederaan tangan mangsa belum dapat diketahui statusnya.

KDN minta laporan terperinci

Posted:

KDN minta laporan terperinci

Oleh LILY YEAN dan ZULKIFLI MANZOR
berita@kosmo.com.my

PENIAGA (kiri) hanya membuka pintu untuk berurusan selepas yakin pelanggannya bukan penjenayah yang dipercayai kerap menyamun premis perniagaan di Segambut, Kuala Lumpur.


KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius trauma yang dihadapi para peniaga di Kawasan Perindustrian Taman City, Segambut di sini ekoran ancaman penjenayah dan mengarahkan polis serta pihak berkuasa tempatan (PBT) memberikan laporan terperinci mengenai masalah sebenar yang berlaku di kawasan itu.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Abd. Rahim Mohd. Radzi (gambar kecil) berkata, pihaknya akan meneliti kes tersebut secara terperinci memandangkan ia boleh memberi imej negatif terhadap tahap keselamatan di Kuala Lumpur.

"Pihak kami berterima kasih kepada akhbar Kosmo! kerana menyiarkan berita ini dan tentunya KDN akan memberi respons kepada fenomena yang berlaku itu," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Beliau mengulas laporan muka depan Kosmo! semalam mengenai masalah yang dihadapi kira-kira 40 peniaga di kawasan Segambut ekoran ancaman penjenayah sejak dua bulan lalu sehingga memaksa mereka berniaga dalam keadaan pintu premis tertutup.

Pada masa yang sama, beliau juga menasihatkan peniaga di kawasan itu supaya bekerjasama dengan pihak polis dan PBT untuk membendung jenayah.

Saranan yang sama turut dikemukakan oleh Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM), Tan Sri Lee Lam Thye yang berkata, komuniti setempat juga perlu memainkan peranan membendung jenayah.

"Urusan menangani jenayah adalah tugas polis. Namun penduduk juga perlu bekerjasama menyelesaikan masalah," ujarnya.

Setiausaha Parti Gerakan Wilayah Persekutuan, Wong Ruen Yuan pula berkata, pihaknya sedang menyediakan laporan terperinci masalah jenayah di sekitar Segambut untuk tindakan pihak polis.

"Masalah di Taman City ini turut dialami di kawasan lain di Segambut termasuk kawasan-kawasan perumahan," katanya.

Menurutnya, laporan itu akan dihantar kepada Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, tinjauan semula Kosmo! di kawasan tersebut semalam mendapati masih ada peniaga yang menutup pintu jeriji kedai bagi mengelak disamun.

Peniaga alat ganti kenderaan yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Meng, 42, berkata, dia terpaksa berwaspada sepanjang masa selepas disamun tiga tahun lalu.

"Kedai saya pernah disamun tiga tahun lalu yang mana tiga lelaki bersenjatakan pedang samurai melarikan wang tunai dan barangan bernilai lebih RM10,000.

"Kami berharap pihak polis dapat mencegah jenayah dengan mengadakan rondaan lebih kerap di kawasan ini," ujarnya.

Penyelia kedai alat ganti, Fun Swee Keong, 27, pula berkata, walaupun kedainya tidak pernah disamun, tahap keselamatan yang kurang memuaskan di kawasan tersebut diakui membimbangkan.

"Kami juga sering bimbang dan ragu-ragu sama ada orang yang datang itu benar-benar pelanggan atau penjenayah," katanya yang membayar RM250 sebulan untuk mendapatkan khidmat pengawal keselamatan berkelompok.

Pekerja kedai alat ganti kenderaan, Lai Wai Lek, 28, memberitahu, mereka sebelum ini pernah berniaga dengan pintu separuh tertutup ekoran risau disamun penjenayah.

"Pekerja kedai kami tak ramai, biasanya kalau kedai-kedai lain sudah tutup, kami juga ikut tutup sekali takut berlaku kejadian tidak diingini," ujarnya.

Polis akan tempatkan balai bergerak

Posted:

Polis akan tempatkan balai bergerak

Oleh MOHD. HAFIZI AHMAD
berita@kosmo.com.my

ZAKARIA (dua dari kiri) bertanyakan sesuatu kepada seorang peniaga dalam lawatannya ke premis perniagaan di Segambut semalam.


KUALA LUMPUR - Sebuah balai polis bergerak akan ditempatkan di kawasan perindustrian Taman City, Segambut di sini dalam usaha mengurangkan kadar jenayah di kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, tindakan itu adalah sebahagian daripada langkah pencegahan jenayah yang akan diambil selain meningkatkan kekerapan rondaan.

"Ini adalah inisiatif pihak kami untuk menjamin keselamatan peniaga dan penduduk di kawasan itu susulan daripada kes samun yang pernah dilaporkan sebelum ini," katanya ketika dihubungi selepas meninjau kawasan Segambut semalam.

Beliau mengulas laporan Kosmo! semalam mengenai keluhan kira-kira 40 peniaga di kawasan perindustrian itu yang bimbang dengan ancaman jenayah sehingga ada antara mereka terpaksa melakukan urusniaga menerusi celah-celah jeriji kedai masing-masing.

Jelas Zakaria, tahap keselamatan kawasan itu masih terkawal dengan sepanjang Jun lalu hingga kini hanya lima kes jenayah dilaporkan.

Beliau bersama beberapa pegawainya turut meluangkan masa kira-kira dua jam meninjau kawasan itu sambil bersemuka dengan para peniaga terbabit bagi mendapatkan maklum balas mereka terhadap ancaman jenayah setempat.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved